Bahagian 1: Berangkat ke Makkah
Pendahuluan
Alhamdulillah, panggilan haji tiba lagi. Terlalu sukar untuk menolak atau membuat keputusan untuk tidak menyahut seruan yang besar ini, kerana bukan ramai yang mendapat tawaran atau panggilan sebegini.
Walaupun pada musim haji tahun 1436H (2015) ini keadaan kesihatan lutut agak kurang baik dan sahabat ahli perubatan juga menasihatkan agar saya menangguhkan pemergian atau berehat seketika untuk memulihkan kesihatan, seruan haji tidak dapat dihalang dengan pelbagai alasan yang cuba dicari untuk menenangkan hati.

Rombongan
Ada pelbagai jenis perjalanan dan rombongan, semuanya dengan tujuan masing-masing, menuju destinasi tersendiri.
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
«وَفْدُ اللَّهِ ثَلَاثَةٌ: الْحَاجُّ وَالْمُعْتَمِرُ وَالْغَازِي»
Maksudnya: "Rombongan Allah ada tiga, iaitu orang yang menunaikan haji, orang yang menunaikan umrah dan orang yang berperang (di jalan Allah)." [Sahih Ibn Hibban, no. 3692; an-Nasa'i, no. 2625]
Imam al-Munawi rahimahullah berkata:
«قادمون عليه امتثالاً لأمره»
"Mereka ialah orang yang menuju dan mendatangi Allah untuk melaksanakan perintah-Nya." [At-Taisir, 2/315]
Perjalanan yang baik ialah perjalanan ibadah yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Rombongan dengan tujuan ini ialah sebaik-baik rombongan.
Semoga Allah memilih kita untuk menjadi antara mereka yang berada dalam rombongan-Nya. Amin. [#Arar, 1436H]
Pembimbing Jemaah
Seperti biasa, ana akan ke Makkah sebagai pembimbing kepada jemaah haji Ash-Har Travel. Untuk musim haji 1436H, ana dijadualkan bertolak dengan penerbangan KT 51 bersama 61 orang jemaah. Namun atas beberapa sebab, ana terpaksa menangguhkan jadual penerbangan pada hari Khamis 10 September untuk beberapa hari.
Akhirnya, pada hari Isnin 14 September 2015 bersamaan 30 Zulkaedah 1436H, ana berangkat dari Kota Bharu dengan MH1389 pada jam 12:30 tengah hari ke KLIA. Sampai di lapangan terbang, ana berehat seketika, kemudian berjumpa dengan beberapa orang sahabat ahli Masjid Kuarters KLIA yang diketuai oleh Akhi Jazman.

Terfikir juga, dengan kecanggihan alat pengangkutan dan teknologi terkini, masihkah musafir pada zaman kita ini boleh dikira sebagai satu masyaqqah (kepayahan)?
Musafir sebahagian daripada azab
Pengembaraan pada zaman kita sekarang sangat senang dan mudah berbanding zaman dahulu. Namun sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, "Musafir itu sebahagian daripada azab" (Sahih al-Bukhari dan Muslim), masih terpakai. Kenapa?
Imam al-Haramain, Abu al-Ma'ali al-Juwaini, pernah ditanya tentangnya. Jawab beliau dengan spontan:
"Kerana ia memisahkan kita daripada orang-orang yang disayangi."
Benar, apabila mengembara, ramai orang kesayangan terpaksa ditinggalkan: anak-anak, isteri atau suami, ibu bapa dan kawan-kawan.
Semoga Allah melindungi kita semua daripada sebarang perkara yang tidak baik!
[AAM, Rehlah Haji 1436H, MH1389 KB–KL, 30/11/1436 – 14/9/2015]
Pada jam 3:30 petang, kami berkumpul di KLIA bersama jemaah yang akan berangkat bersama, iaitu seramai 25 orang yang akan terbang dengan SAUDIA SV835, penerbangan komersial biasa pada jam 6:00 petang.
Alhamdulillah, penerbangan dilalui dengan selesa. Bos Ash-Har bermurah hati menempatkan petugas bersama jemaah di kelas pertama.

Alhamdulillah, kami semua selamat tiba di Jeddah pada jam 9:30 malam waktu Arab Saudi. Atas nama pakej khas atau yang orang suka sebut VIP, pihak syarikat telah menempah sambutan khas ke bilik VIP atau khidmat segera. Begitulah rancangannya untuk mempercepat urusan atau memberi keselesaan kepada jemaah.
Kebetulan, dalam penerbangan kami juga ada pakej VIP daripada TH Travel dan syarikat Rayhar, maka bersesaklah terminal dengan para jemaah haji VIP ini. Jemaah terlalu ramai, manakala kaunter imigresen yang dikhaskan pula satu sahaja.
Ketika penantian ini, ana sempat membaca cerita haji orang zaman dahulu dan membuat catatan di bawah ini.
Lama Menunggu di Lapangan Terbang
Jemaah haji yang tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Jeddah terpaksa melalui proses cop pasport, kastam dan menunggu bas. Proses ini mungkin mengambil masa enam jam atau lebih. Mereka yang mengikut pakej mahal pula terpaksa duduk di bilik VIP menunggu proses tersebut.
Dalam tempoh menunggu itu, ada yang tertidur kerana kepenatan atau bertukar waktu tidur. Ada yang berbual-bual, ada juga yang istiqamah dengan zikir dan membaca al-Quran.
Ana terbaca kisah "Berjalan ke Makkah Sehingga Beruban".
Suatu hari, seorang syeikh sedang melakukan tawaf. Tiba-tiba dia terdengar seorang jemaah bersyair:
"Ziarahilah mereka yang engkau sayangi, walaupun jauh jaraknya
dan terhalang untuk sampai kepadanya dengan pelbagai rintangan."
Syeikh tersebut dapat mengesan bahawa orang ini pasti datang dari jauh.
Lantas beliau bertanya: "Dari mana awak datang?"
Jawab lelaki itu: "Dari negeri China yang jauh."
Syeikh bertanya lagi: "Sejak bila kamu keluar dari negerimu?"
Jawabnya: "Apa yang tuan nampak di kepala saya?"
Jawab syeikh: "Sudah putih kerana banyaknya uban."
Kata lelaki itu: "Ketika saya keluar dari negeri saya, belum ada lagi uban di kepala saya."
Kata AAM: "Syukurlah, tuan-tuan. Makmurkan masa menunggu dengan zikir, talbiah dan tilawah al-Quran. Masa kita menunggu tidaklah sampai menambahkan lagi uban yang sedia ada di kepala kita."
Semoga beroleh reda Allah dan haji yang mabrur.
[AAM, 1 Zulhijjah 1436H, ketika menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah]
Rehat dan Tunggu
Setelah berada di bilik menunggu (bilik tanfizi atau VIP), jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir, mencari-cari kad SIM data Saudi (Zain, STC atau Mobily), minum-minum serta makan roti atau kek.
Proses imigresen dan pengumpulan barang siap pada jam 4 pagi, sudah hampir waktu Subuh.
Jam 5 masuk waktu Subuh. Kami solat Subuh berjemaah dan menuju ke bas yang telah sedia menunggu.

Jam 6:05 pagi kami bertolak ke Makkah, berhenti di beberapa tempat seperti pusat pemeriksaan jawazat (imigresen) serta tempat pengagihan hadiah haji dan pengambilan pemandu arah, lalu terus ke Maktab Muassasah 112 dan 94.
Kami tiba di Makkah, Hotel Safwah, pada jam 9:30 pagi. Dari mula sampai di Jeddah hingga ke Makkah memakan masa 12 jam. Alhamdulillah 'ala kulli hal.
Sampai di Makkah
Alhamdulillah, jemaah sampai di Makkah. Ada yang tinggal di Hotel Safwah. Jemaah KT 51 majoritinya di Hotel Nada Diyafah dan sebahagian kecil di Saraya Ajyad. Jemaah JKIM pula di Hotel Multazam.
Tragedi Kren Runtuh di Masjidilharam
Pada petang Jumaat, 27 Zulkaedah 1436H bersamaan 11 September 2015, berlaku ribut dan hujan lebat di Makkah yang mengakibatkan salah satu kren pembinaan terbesar tumbang.

Kemalangan ini menyebabkan lebih 100 orang terkorban dan 7 orang daripadanya ialah rakyat Malaysia.
Lihat laporan di Astro Awani: Lima warga Malaysia disahkan maut dan Astro Awani: Identiti 8 jemaah Malaysia dikenal pasti.

Cerita Kuota Tambahan
Pada musim haji 1436H berlaku lagi anugerah kuota tambahan sebanyak 5,000 orang, maka kelam-kabutlah syarikat pelancongan yang diberi kuota sekitar 60 orang lebih bagi setiap syarikat: mencari jemaah yang sanggup membuat urusan segera dan mencari tempat duduk penerbangan dengan syarikat SAUDIA sahaja kerana masa sudah lewat.
Pihak pengurusan di Makkah pula ke sana ke mari mencari hotel yang sesuai dan dekat.
Alhamdulillah, jemaah terakhir selamat tiba pada 19 September 2015, iaitu sudah 5 Zulhijjah 1436H, dua hari lagi sebelum ke Mina.
Bersyukurlah!
SESUNGGUHNYA DIRIMU TELAH DISERU.
قال الله تعالى:
﴿وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ﴾ (سورة الحج: ٢٧)
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj: 27)
Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya:
Allah memerintahkan Nabi Ibrahim 'alaihissalam menyeru manusia supaya menunaikan ibadah haji.
Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku boleh menyampaikan seruan ini kepada manusia sedangkan suaraku tidak mampu sampai kepada mereka?"
Allah menjawab: "Serulah, Kami yang akan menyampaikannya."
Lalu Nabi Ibrahim pun menyeru: "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian telah menjadikan rumah ini (Kaabah) sebagai tempat ibadah, maka datanglah untuk melaksanakan ibadah haji."
Dikatakan bahawa suara tersebut telah sampai kepada mereka yang berada di dalam rahim para wanita dan sulbi para lelaki. Bahkan seruan tersebut telah disahut oleh semua yang mendengarnya, daripada batu-batu, tanah liat, pokok-pokok dan sesiapa yang telah ditulis di sisi Allah untuk melaksanakan ibadah haji sehinggalah hari kiamat.
Lalu mereka menjawab:
لبيك اللهم لبيك
(Kami sahut seruan-Mu, ya Allah.)
قال ابن كثير: هذا مضمون ما ورد عن ابن عباس ومجاهد وعكرمة وسعيد بن جبير وغير واحد من السلف، والله أعلم. (انتهى كلامه بتصرف)
"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami dan zuriat kami rezeki untuk melaksanakan ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur di sisi-Mu."
[#AAM, 6 Zulhijjah 1436H]
Petugas dan Pembimbing
Dalam jemaah Ash-Har, yang menjadi pembimbing sepenuh masa ialah Ustaz Rohaimi (Mudir Maahad Tahfiz di Kajang) yang datang awal dan pulang bersama jemaah terakhir.
Abu Anas sebagai ketua bimbingan dibantu oleh Ustaz Ahmad Husni (Abu Fatih al-Mubaraki) dan Ustaz Ahmad Hasyimi (Abu Abdurrahman).
Semua pembimbing sangat aktif, bersemangat dan berdedikasi. Jazakumullahu khairan.
Kebetulan, bersama jemaah kami juga ada Ustaz Abdullah Bukhari (pensyarah UIA) yang boleh dikira sebagai pembimbing bantuan serta pencatat dan pengulas isi kandungan tazkirah yang sangat bermanfaat. Barakallahu fik, ya Ustaz Loh.
Ustaz Loh menemani ana dalam rehlah haji kali ini ke Arafah, Mina dan Muzdalifah.
Keberkatan
Allah Ta'ala memerintahkan kita untuk sentiasa melakukan kebaikan dan berbuat ihsan.
Namun, adakalanya perbuatan baik yang dilakukan tidak dipedulikan atau tidak dihargai oleh manusia.
Seorang ulama, asy-Syinqithi, berkata kepada anaknya:
لا تحزن على طيبتك؛ فإن لم يوجد في الأرض من يقدرها، ففي السماء من يباركها
"Janganlah engkau bersedih dengan kebaikan yang engkau lakukan. Jika tiada di atas bumi ini yang menghargainya, maka ada yang di atas langit yang MEMBERKATINYA."
Maka buatlah ihsan dan kebaikan, sama ada ia dihargai manusia atau tidak. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada yang melakukannya.
[#Arar, Haji 1436H]
Tazkirah Sebelum Haji
Antara siri kuliah dan tazkirah yang sempat disampaikan kepada para jemaah sebelum haji ialah:
- Anda di Makkah: memperkenalkan kepada jemaah kedudukan bumi Makkah, kelebihan dan sejarahnya, serta menjaga adab ketika di Makkah dan ketika haji.
- AAM 01 Rehlah Haji 1436: Kelebihan Tanah Haram Makkah dan Memahami Erti Haji Mabrur. Tonton di YouTube.
- Fadhilat Amalan di Awal Zulhijjah dan di Makkah: tazkirah tentatif untuk memenuhi masa di Makkah dengan membaca al-Quran, berpuasa, berzikir, bersedekah dan lain-lain.
- Tips Meraih Haji Mabrur dan Ulang Kaji Hukum Haji serta Sunahnya: "Beberapa Tips untuk Meraih Haji Mabrur yang Sangat Besar Kelebihannya". Tonton di YouTube.
- Tip-tip Mengisi 330 Minit di Arafah yang perlu dilakukan oleh jemaah haji.
Haji Mabrur (1)
Mabrur berasal daripada perkataan al-birr, iaitu kebajikan dan lawannya ialah dosa.
1. Ada ulama berkata: Haji mabrur ialah al-hajj al-maqbul, iaitu haji yang diterima oleh Allah.
Tidak ada seorang pun yang mengetahui tentang penerimaan amalannya selain Allah. Kerana itu Allah berfirman, maksudnya: {Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertakwa.} [al-Ma'idah: 27]
Abu ad-Darda' radhiyallahu 'anhu berkata ketika membaca ayat ini: "Kalau aku yakin bahawa Allah SWT telah menerima daripadaku satu solat sahaja, itu lebih aku sukai daripada memiliki dunia dan segala isinya."
- Haji mabrur ialah haji yang dilakukan dalam keadaan bersih daripada sebarang dosa. Ini pandangan pilihan Imam an-Nawawi.
- Haji mabrur ialah haji yang tidak ada perasaan riak dalam menunaikannya.
Kata Imam al-Qurtubi rahimahullah: "Tiga pendapat di atas hampir sama maknanya. Haji mabrur ialah haji yang telah disempurnakan hukum-hakamnya dan amalannya bertepatan dengan tuntutan syariat dengan cara yang sempurna."
[Al-Hajj, daripada Bulugh al-Maram: 34]
Haji Mabrur (2)
شروط الحج المبرور
Syarat untuk mendapat haji mabrur:
- Niat yang ikhlas kerana Allah, tidak riak dan tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang.
- Nafkah yang halal. Allah Maha Baik (Tayyib) dan tidak menerima melainkan yang baik.
- Menjaga anggota ketika mengerjakan haji daripada perbuatan mungkar dan maksiat, mengumpat, menjadi batu api, berbantah-bantah dan seumpamanya.
- Menunaikan amalan haji dengan menyempurnakan rukun, wajib, syarat dan semua sunah yang dilakukan oleh Nabi SAW serta banyak berzikir kepada Allah.
- Setelah selesai mengerjakan haji, hendaklah menjaganya daripada sifat riak dan perkara yang menghilangkan pahalanya.
[#AAM, Mina, hari al-Qarr 1435H]
Haji Mabrur (3)
Isytihar Pemergian Haji… Relevankah?
Dr. Abdul Basit (wakil Ash-Har Travel) memberikan taklimat pergerakan ke Mina untuk hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah.
Timbul persoalan: adakah relevan mengisytiharkan pemergian kita ke Makkah untuk haji? Bimbang akan timbul riak? Bimbang diberikan duit belanja oleh saudara-mara dan teman-teman?
Ini jawapan Dr. Abdul Basit terhadap anggapan itu:
"Ikhlas ialah rahsia hati. Apabila ramai yang tahu, maka DOA MEREKA AGAR KITA MENDAPAT HAJI MABRUR mungkin membantu kita memperoleh anugerah haji mabrur.
Duit hadiah atau sedekah daripada saudara-mara serta kawan-kawan sempena pemergian kita ke haji MAMPU MEMANJANGKAN PAHALA UNTUK SI PEMBERI SEDEKAH ATAU HADIAH kerana bukan semua berkesempatan menunaikan haji."
Semoga kita semua mendapat PAHALA HAJI MABRUR, sama ada secara fizikal di Makkah atau di Malaysia. Amin!
[#Catatan: Haji Abdullah Bukhari Abdul Rahim, Makkah, 21 September 2015]
Berpisah Maktab
Setelah persiapan dibuat, sebahagian jemaah yang datang akhir terpaksa berpisah lantaran jemaah yang ke Maktab 94 terlalu ramai. Maka sebahagian daripada jemaah yang datang lewat ditempatkan di Maktab 68 atau dikenali sebagai "Maktab Furada", iaitu maktab bagi jemaah haji yang datang sendiri.
Maka jemaah Ash-Har sudah terbahagi kepada tiga:
- Maktab 112 (VIP) dibawa oleh Syeikh Ash-Har (Ustaz Shukri) dan dibimbing oleh Ustaz Husni.
- Maktab 94 dibimbing oleh Abu Anas Madani dan dibantu oleh Ustaz Firdaus Mohd Nor dan Ustaz Abdullah Bukhari.
- Maktab 68 (seramai 33 orang) pula dibimbing oleh Ustaz Ahmad Hasyimi dan Ustaz Rohaimi Habil.
Alhamdulillah, jemaah yang majoritinya di Maktab 94 dapat berangkat ke Mina pada hari Tarwiyah.
Penjelasan tentang sunah Tarwiyah boleh dibaca dalam Rehlah Haji 1433H (Siri 4).
Bahagian 2: Mina, Arafah, Muzdalifah dan Kembali ke Mina
Ke Mina
Pada malam Selasa, 7 Zulhijjah (21 September 2015), jemaah Ash-Har Maktab 94 telah dihantar ke Mina untuk beribadat pada hari Tarwiyah sebagaimana amalan Rasulullah SAW ketika mengerjakan haji.

Alhamdulillah, sepanjang hari berada di Mina, setiap kali selepas solat kami penuhi dengan kuliah dan tazkirah serta bacaan zikir pagi dan petang.
Bermula Subuh pagi 8 Zulhijjah dengan zikir dan kuliah Subuh. Sebelum solat Zuhur juga ada kuliah. Selepas solat Zuhur, kuliah dibantu oleh Ustaz Abdullah Bukhari dengan tadabbur ayat-ayat haji. Kuliah disambung lagi selepas solat Asar dan Maghrib.
Satu dialog terbuka pula diadakan selepas solat Isyak pada malam Arafah untuk memberi peluang kepada jemaah berbincang dan bertanya tentang perkara yang mereka inginkan penjelasan.
Cabaran Haji Mabrur
Senang mengucapkannya, namun berat untuk meraihnya. Cabaran datang dari pelbagai sudut.
Cabaran dalaman
Cabaran ini datang daripada individu yang melakukan haji itu sendiri jika dia tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh syarak, sama ada tidak mempelajari hukum manasik haji atau adab mengerjakan haji. Perkara ini menjadi asas yang boleh menyebabkan amalannya tidak sempurna kerana mereka akan melakukan ibadat ikut orang buat, ikut cerita kawan-kawan yang datang mengerjakan haji sebelumnya atau menafsir sendiri cara amalan haji.
Cabaran luaran
Pertama: Salah memilih kawan yang bersamanya dalam rehlah haji. Pengaruh rakan yang negatif akan membuatnya lagha (lalai) dengan cakap-cakap atau perbuatan yang menyimpang daripada matlamat haji itu sendiri.
Kedua: Bahagian pengurusan dan penganjur, sama ada dari negaranya sendiri atau pihak tempatan di Makkah dan Masya'ir, yang tidak menyantuni jemaah sebagai Duyuf ar-Rahman (tetamu Allah), sebaliknya menganggap mereka sebagai habuan untuk meraih keuntungan semata-mata: tidak menyediakan tempat atau makanan yang mencukupi, kenderaan dan lain-lain keperluan. Allahul Musta'an!
Semoga Allah menganugerahkan kepada sekalian tetamu-Nya kesabaran dan limpahan rahmat serta keampunan dan menggapai maqam "haji mabrur" yang diidamkan dan didambakan.
[#AAM, Mina, Maktab 94. Selasa, jam 2:22 petang, hari Tarwiyah 1436H]
Ke Arafah: 9 Zulhijjah (23 September 2015)
Alhamdulillah, jemaah haji Ash-Har yang ditempatkan di Maktab 94 dapat beribadat pada hari Tarwiyah di Mina dengan pelbagai aktiviti ibadat dan ilmu yang diadakan.
Setelah selesai solat Subuh pagi Arafah, pada jam 7:05 pagi Rabu, kami bergerak ke Arafah dan selamat sampai pada jam 7:20 pagi.
Jemaah dalam Maktab 112 dan 68 juga, alhamdulillah, dibimbing oleh guru masing-masing dengan program yang hampir sama dengan apa yang kami lakukan di Maktab 94, di bawah pembimbing yang sudah terlatih dan berpengalaman, insya-Allah.
Kuliah Duha di Arafah
Setelah semua jemaah mengambil tempat di khemah yang dikhaskan untuk jemaah Ash-Har, bersarapan serta berehat seketika, kami mempersilakan Ustaz Abdullah Bukhari menyampaikan Tadabbur Ayat-ayat Haji di Arafah dengan huraian tentang kepentingan doa berdasarkan amalan Nabi Ibrahim 'alaihissalam.

Bersiap untuk Wukuf
Pada musim haji 1436H, pihak TH dan Maktab 94 meminta Abu Anas menyampaikan khutbah Arafah kepada jemaah di surau maktab.
Memandangkan lokasi yang agak sempit dan khemah yang sangat terhad, tidak ramai jemaah yang dapat mengikutinya. Ada jemaah yang terpaksa membuat kumpulan sendiri di tempat masing-masing. Demikianlah keadaan di Arafah dan Mina, tempatnya sangat terhad.
Isi kandungan khutbah berkisar tentang kelebihan dan adab bertamu di Arafah serta huraian 10 Wasiat Rasulullah SAW ketika Haji Wada'. Isi kandungannya hampir sama dengan catatan Khutbah Arafah 1432H.

Solat Zuhur dan Asar secara jamak takdim diimamkan oleh Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi.
Selesai solat Zuhur dan Asar, jemaah berzikir dan bermunajat secara bersendirian sehingga petang.

Ada juga sesetengah pak syeikh syarikat yang berzikir dengan kuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu jemaah lain yang khusyuk berzikir dan bermunajat. Fenomena ini agak sukar dibendung kerana sudah menjadi kebiasaan sebahagian syarikat atau PJH (Pengendali Jemaah Haji), siap membawa ustaz yang bersuara merdu untuk bermunajat dan berlagu di Arafah dan Mina.


Hari yang Paling Utama
Hari ini ialah hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Hari ini dikenali sebagai hari Arafah.
Ada orang yang berada di Arafah. Ada yang tidak berada di sana.
Ada yang sedang berpuasa hari Arafah, iaitu mereka yang tidak mengerjakan haji. Ada pula yang sedang menunaikan haji dengan berwukuf di Arafah dengan agenda tersendiri mengikut sunah Nabi SAW.
Syeikh Muhammad bin Abi Bakr (Ibn Qayyim al-Jauziyyah) rahimahullah berkata:
إن أفضل أهل كل عمل أكثرهم فيه ذكرا لله عز وجل، فأفضل الصوام أكثرهم ذكرا لله عز وجل في صومهم، وأفضل المتصدقين أكثرهم ذكرا لله عز وجل، وأفضل الحاج أكثرهم ذكرا لله عز وجل، وهكذا سائر الأحوال.
"Sesungguhnya ORANG YANG PALING UTAMA dalam setiap golongan yang melakukan sesuatu amalan ialah ORANG YANG PALING BANYAK BERZIKIR (MENGINGATI) Allah 'Azza wa Jalla.

Jadi, orang yang paling utama dalam kalangan orang yang BERPUASA ialah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah 'Azza wa Jalla ketika dia sedang berpuasa.
Orang yang paling utama dalam kalangan orang yang BERSEDEKAH ialah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah 'Azza wa Jalla.
Orang yang paling utama dalam kalangan orang yang MENUNAIKAN HAJI ialah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah 'Azza wa Jalla.
Begitulah juga pada amalan yang lain." [Al-Wabil as-Sayyib, hlm. 104]
Jadilah yang paling utama. Berzikirlah!
[#Arar, Haji 1436H]

Ke Muzdalifah
Pada musim haji 1436H, jemaah Ash-Har mendapat giliran nombor 1 untuk keluar dari Arafah dan juga Muzdalifah. Masuk waktu Maghrib, rombongan kami telah berangkat ke Muzdalifah, kemudian menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir di Muzdalifah. Selepas itu aktiviti bebas seperti mengutip anak batu, berzikir dan tidur.

Dalam perjalanan ke Muzdalifah, biasanya berlaku kesesakan yang agak teruk, melainkan jemaah yang menggunakan jalan taraddudiyah (khas untuk bas jemaah tertentu sahaja). Perjalanan mereka agak cepat, iaitu Arafah ke Muzdalifah sekitar 20 hingga 30 minit sahaja.
Apabila sudah lewat tengah malam, kami pun diarah berangkat ke Mina pula.
Sesak
Apabila dalam keadaan sesak, adab dan akhlak perlu dijaga sebaik-baiknya. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ialah contoh terbaik.
Usamah bin Zaid radhiyallahu 'anhuma berkata:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسير العنق، فإذا وجد فجوة نص
"Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berjalan dengan 'anaq (tidak terlampau laju dan tidak terlampau perlahan). Apabila ada ruang yang luas, baginda mempercepat perjalanannya." [Sahih al-Bukhari dan Muslim]
Baginda sallallahu 'alaihi wasallam tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak.
Malah, baginda memerintahkan para sahabat radhiyallahu 'anhum untuk berjalan dengan TENANG apabila bertolak dari Arafah. Baginda bersabda:
عليكم بالسكينة
"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang." [Muttafaq 'alaih]
Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, maka semua perjalanan akan teratur.
Pepatah Arab menyebutkan:
لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها ... ولكن أخلاق الرجال تضيق
Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
namun SIKAP (AKHLAK) PENGHUNINYA yang menyempitkannya.
Wallahu a'lam. [#Arar, Haji 1436H]

Kematian di Mina
Pada musim haji 1436H berlaku peristiwa yang tidak diingini di Jalan 204 dari Muzdalifah ke Mina. Jemaah yang sama-sama berjalan kaki bertembung dan berlaku rempuhan yang menyebabkan ramai yang meninggal dunia. Ada anggaran yang mengatakan lebih 1,000 orang. Pihak TH telah mengesahkan hanya seorang jemaah haji dari Malaysia yang terkorban.
Berikutan itu, pelbagai tafsiran dan ulasan daripada para pengulas dan penganalisis tentang punca peristiwa tersebut telah dikeluarkan dan disebarkan tanpa autoriti sebenar. Ketika catatan ini ditulis, punca sebenarnya belum diumumkan dalam kenyataan rasmi pihak berkuasa Arab Saudi.
Siaran akhbar
TH mengesahkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia dalam rempuhan Mina. [Kenyataan Tabung Haji di Facebook]
Lihat juga catatan Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Rombongan Haji Malaysia tahun 1436H, mengenai kejadian di Makkah dan Mina. [Facebook]
Pancung!
Peristiwa rempuhan berlaku pada pagi Hari Raya. Petangnya sudah keluar cerita kerajaan Saudi memancung 28 orang petugas haji. Cerita ini sangat tidak logik: bilakah mahkamah bersidang sehingga hukuman dijatuhkan sebegitu cepat?
AWAS! Berhati-hatilah, para jemaah. Jangan mudah percaya dengan khabar angin dan suka pula menyebarkan berita yang kita tidak pasti kesahihannya.
Berhati-hati Berkongsi
Walaupun sekadar berkongsi (share) atau menyalin dan menampal (copy & paste) status atau artikel orang lain, seseorang tetap dipertanggungjawabkan atas tindakannya.
Jika statusnya bermanfaat, mudah-mudahan pahala diperoleh. Jika statusnya mengundang dosa, maka dosa jugalah yang akan ditanggung.
Al-Hafiz al-Mundziri (wafat 656H) mengatakan: "Orang yang menyalin sesuatu yang tidak bermanfaat yang membawa kepada dosa akan menanggung dosa perbuatan tersebut, dosa orang yang membacanya, dosa orang yang menyalinnya kembali atau dosa orang yang mengamalkannya selepasnya, selama mana tulisannya kekal dan selama mana ia diamalkan."
Hari Raya dan Hari Tasyrik di Mina
Amalan hari raya bagi jemaah haji ialah melontar Jamrah al-Aqabah atau Jamrah al-Kubra, kemudian bercukur atau bergunting. Bercukur lebih afdal kerana Nabi SAW mendoakan rahmat tiga kali untuk orang yang bercukur. Bagi wanita, tidak ada pilihan melainkan memotong hujung rambutnya sekadar seruas jari sahaja.
Setelah selesai melontar dan bercukur atau bergunting, berlakulah tahallul awal (pembebasan daripada 10 larangan ihram). Kemudian, apabila selesai tawaf ifadah dan saie haji, berlakulah tahallul thani (bebas daripada semua larangan ihram).
Dalam istilah ilmu haji, tahallul awal berlaku apabila jemaah melakukan dua daripada tiga amalan haji pada hari raya, iaitu melontar dan bercukur atau tawaf dan saie serta bercukur. Apabila dilakukan ketiga-tiganya, maka terlaksanalah tahallul thani. Wallahu a'lam.

Aktiviti di Mina
Amalan haji di Mina ialah bermalam (mabit) dan melontar jamrah.

Menurut hadis Nabi SAW: "Hari-hari Tasyrik (di Mina) ialah hari makan, minum dan berzikir kepada Allah." [HR Muslim]
Maka kami memenuhi hari-hari di Mina dengan solat pada waktunya, diikuti zikir, takbir dan tazkirah.
Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat disampaikan serta ukhuwah juga dapat dimantapkan.
Musim Ilmu
Makkah dan Madinah ialah tempat berkumpulnya ulama dan penuntut ilmu.
Di Makkah terletaknya Kaabah dan tempat-tempat untuk menunaikan haji. Manakala di Madinah terletaknya Masjid Nabawi.
Abu Ja'far Muhammad bin Ali al-Baqir rahimahullah berkata:
إنه ليزيدني في الحج رغبة لقاء عمرو بن دينار، فإنه يحبنا ويفيدنا
"Sesungguhnya pada MUSIM HAJI keinginanku bertambah untuk bertemu 'Amr bin Dinar. Ini kerana dia mencintai kami dan MEMBERIKAN FAEDAH (ILMU) kepada kami." [As-Siyar, 5/303]
Musim haji ialah musim ilmu.
Ambillah peluang berada di Makkah dan Madinah untuk bertemu dengan ahli ilmu, hadir dalam majlis mereka dan menuntut ilmu daripada mereka.
Ambillah ilmu daripada mereka. Tanyalah kepada mereka persoalan berkenaan haji yang ingin dilakukan.
Tanyalah juga kepada mereka persoalan yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan seperti akidah, solat, puasa, zakat dan sebagainya.
Semoga Allah mengurniakan ilmu yang diberkati dan haji yang mabrur.
[#Arar, Haji 1436H]
Ambillah peluang belajar dan bertanya ketika bersama para pendakwah dan ustaz agar kefahaman agama yang kita pegang dan amalkan bertepatan dengan arahan baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam: "Ambillah daripadaku cara-cara (manasik) haji kamu" dan "Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat".
[#AAM, Mina, malam Jumaat, malam Tasyrik pertama 1436H]

Yaum al-Qarr (11 Zulhijjah)
Menjadi kebiasaan bagi kami di Mina mengadakan majlis taaruf antara jemaah: memperkenalkan diri, keluarga serta negeri asal untuk merapatkan ukhuwah sesama jemaah. Pada musim itu majlis terpaksa dilewatkan kerana ana perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.
Selain taaruf, kami juga meminta para jemaah menceritakan secara ringkas pengalaman hidup mereka yang agak menarik.
Dalam kumpulan kami ada ramai jemaah dari JKIM, iaitu Jawatankuasa Kebajikan Islam MAS (Malaysia Airlines).
Kami meminta seorang juruterbang, Kapten Haji Firdaus, berkongsi pengalamannya selama 20 tahun bertugas di udara.

Beliau lulusan Australian Civil Air Academy, Cessnock, Australia, pada 1993. Pada tahun 1997, beliau ditauliahkan sebagai pembantu juruterbang Boeing 777-200 bagi laluan antarabangsa ke Eropah, Timur Tengah, Australia dan Amerika Syarikat. Pada 2011, beliau ditauliahkan sebagai kapten pesawat Boeing 737-800 bagi laluan domestik dan serantau.
Banyak kisah ajaib yang membuka mata dan iman tentang kuasa Allah. Kapten Firdaus hanya bercerita tentang makhluk Allah yang bernama ANGIN menurut pengalaman seorang juruterbang.
Ketika hampir menamatkan latihannya di Australia, beliau hampir dirembat angin kencang di udara. Dengan pertolongan Allah, beliau selamat mendarat.
Dengan itu, kata beliau, kerja juruterbang selain membawa pesawat turun dan naik ialah membuat keputusan apabila berlaku keadaan yang kurang baik di udara.
Antara keajaiban angin ialah kewujudan SUNGAI ANGIN DI UDARA yang diistilahkan sebagai "JET STREAM". Kelajuan angin dalam laluan ini mencecah 200 hingga 300 km sejam. Jika juruterbang bijak memanfaatkan sungai ini, perjalanan sebuah kapal terbang dapat disingkatkan kerana angin membantu menggerakkan pesawat. Subhanallah! Ini sudut baharu dalam memahami ayat ini:
﴿وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنْتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ﴾
{Dan Kami hantarkan angin SEBAGAI PEMBAWA (air dan pemindah benih), maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.} [Al-Hijr (15): 22]
[Lihat catatan Ustaz Abdullah Bukhari: Jet Stream]






Ambil yang Jernih!
Jemaah pula terpaksa bersabar dengan keadaan sempit, cuaca panas, makanan ala kadar dan perlu beratur panjang apabila ke tandas.
Semoga semuanya menjadi kenangan manis sepanjang hidup para jemaah haji. Bawa pulanglah apa yang baik dan yang tidak baik campakkan ke dalam tong sampah.
Kota yang bersih pasti juga ada sampah
"Sebuah bandar raya yang cantik tidak mungkin sunyi daripada sampah yang mencemarkan pandangan. Namun, bukanlah suatu kebijaksanaan sampah tersebut dikumpulkan dalam sebuah bekas lalu dibawa untuk dipertontonkan kepada khalayak penghuni bandar, menyakiti pandangan dan deria bau mereka dengan tujuan menghinakan. Sepatutnya sampah itu terus dibuang dan disembunyikan jauh daripada manusia."
(Petikan daripada ulasan buku Syukran Ayyuha al-A'da' (Terima Kasih Wahai Para Musuh) oleh Abdul Basit Abdul Rahman.)
Alhamdulillah, setelah bermalam di Mina pada malam 11 dan 12 Zulhijjah, kami memilih untuk melakukan nafar awal (berangkat awal) ke Makkah.
Dalam perjalanan pulang, sekali lagi jemaah diuji dengan bas yang rosak di tengah jalan. Bas juga terpaksa berhenti jauh kerana jalan telah ditutup oleh polis, lalu para jemaah terpaksa berjalan sambil menarik beg ke hotel masing-masing. Namun jemaah masih mampu bersyukur dan tersenyum apabila sampai di hotel tengah hari tersebut. Semoga Allah mengganjari pahala yang banyak kepada mereka yang sabar.
Alhamdulillah, semua pembimbing telah menjalankan tarbiah dan bimbingan dengan baik. Semoga para jemaah dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna serta mendapat keampunan dan keredaan Allah: haji mabrur, amalan diterima dan dosa diampunkan.
Renungan buat Mereka yang Tidak Mengerjakan Haji
Haji merupakan satu ibadah yang perlu dilakukan dengan ikhlas kepada Allah Ta'ala dan mengikut sunah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan jika mempunyai KEMAMPUAN.
Ada orang yang diberikan peluang oleh Allah untuk menunaikan haji. Ada pula yang tidak diberikan peluang tersebut.
Al-Hafiz Ibn Rajab rahimahullah berkata:
من لم يستطع الوقوف بعرفة، فليقف عند حدود الله الذي عرفه
"Sesiapa yang tidak dapat BERWUKUF (BERHENTI) di ARAFAH, maka hendaklah dia BERHENTI pada BATAS-BATAS yang ditetapkan ALLAH yang dia ketahui."
ومن لم يستطع المبيت بمزدلفة، فليبت على طاعة الله ليقربه ويزلفه
"Sesiapa yang tidak dapat BERMALAM di MUZDALIFAH, maka hendaklah dia bermalam dalam melakukan KETAATAN kepada ALLAH untuk mendekatkan diri kepada-Nya."
ومن لم يقدر على ذبح هديه بمنى، فليذبح هواه ليبلغ به المنى
"Sesiapa yang tidak mampu MENYEMBELIH HADYU (binatang yang dihadiahkan kepada Baitullah) di Mina, maka hendaklah dia MENYEMBELIH HAWA NAFSUNYA supaya dia dapat mencapai cita-citanya."
ومن لم يستطع الوصول للبيت لأنه منه بعيد، فليقصد رب البيت فإنه أقرب إليه من حبل الوريد
"Sesiapa yang tidak dapat sampai ke KAABAH kerana dia berasal dari tempat yang jauh, maka hendaklah dia menuju kepada (ALLAH) PEMILIK KAABAH kerana Dia lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." [Lata'if al-Ma'arif, hlm. 633]
Jika belum mampu melaksanakan haji, maka buatlah kebaikan dan tinggalkan kejahatan.
Semoga Allah memberikan peluang kepada mereka yang belum dapat menunaikan haji untuk menunaikannya suatu hari nanti.
Semoga Allah memudahkan perjalanan mereka yang sedang menunaikan haji dan mengurniakan mereka haji yang mabrur.
[#Arar, Haji 1436H]
Catatan Pembimbing: Rezeki Sebuah Kebaikan
Bunyi hon dan enjin kenderaan membingitkan lagi deria pendengaran.
Ruang bawah tanah (basement) Menara Jam Zamzam Makkah sibuk dengan urusan jemaah haji serata dunia yang mahu bergerak ke bumi Mina.
Ketika menunggu ketibaan jemaah, saya dikejutkan dengan kehadiran seorang jemaah haji dari negara China yang berdiri rapat di sebelah saya. Dalam keadaan itu, beliau tiba-tiba menghulurkan kepalanya lantas mengeluarkan pisau cukur dan memberikannya kepada saya.
Hati kecil saya begitu kagum dengan keberanian beliau dan tawakalnya yang begitu tinggi, seakan-akan beliau tahu saya adakalanya dijemput mencukur kepala bayi pada hari ketujuh kelahiran.
Dalam kekeliruan itu, Ustaz Ahmad Shukri, mudir Ash-Har Travel, memecah kebisuan kami dengan katanya:

"Dia nak minta tolong cukur la tu, nak tahallul. Di atas sana nun mahal. Sampai 50 riyal diambilnya…"
"Bismillah…"
Catatan ini bukan berniat untuk bermegah, nauzubillah. Juga tiada hasrat menagih pujian. Hanya Allah Yang Maha Mengerti.
Sekadar ingin meneguk ibrah ketika dunia gersang dan melupakan hikmah.
Wahai para tetamu Allah, kebaikan atau kebajikan itu satu misteri. Ia boleh menerjah tanpa kita sedari. Ia juga ibarat rezeki yang jangan dinafikan.
Jangan hanya membataskan kebaikan kepada yang bersifat rohaniah dan spiritual semata-mata. Rezeki kebaikan ada juga pada ibadah yang bersifat kemanusiaan, ibadah bertoleransi, ibadah akhlak dan pekerti, ibadah memahami dan difahami, ibadah menjaga alam sekitar, ibadah muamalat keinsanan, ibadah komunikasi, ibadah bantu-membantu dan pelbagai pintu ibadah yang tidak tersenaraikan.
Allah itu Maha Pemurah. Jika kena pada syariat, gaya dan adabnya, mungkin ia juga mampu bernilai hebat seperti pahala solat di Masjidilharam yang penuh berkat.
Justeru, jangan lagi "terlena" tatkala rezeki kebaikan datang menyapa. Sedarilah segera agar tidak dikesali kemudian.
Khalid bin Ma'dan rahimahullah berkata:
إذا فتح أحدكم باب خير فليسرع إليه؛ فإنه لا يدري متى يغلق عنه
"Jika pintu kebaikan dan kebajikan telah terbuka, maka bersegeralah memasukinya kerana tidak diketahui bila pintu itu akan ditutup."
Catatan Pembimbing: Mensyukuri Ibu Bapa
"Jangan lari! Nanti jatuh."
Biasanya itulah teriakan seorang bapa atau ibu tatkala anak-anak kecilnya bermain dan berlari.
"Mari makan, nak, dah siap!"
Panggil sang ibu kepada anak-anaknya, menjemput makan.
Betapa ibu dan ayah bersusah payah demi melihat anak-anak membesar dan dewasa.
Benar, haji mengandungi seribu satu ibrah.
Tugasan yang kadangkala melibatkan warga tua sebenarnya mampu menyentap jiwa.
Sewaktu membantu salah seorang jemaah yang baru pulang dari klinik kelmarin, saya memimpin tangan beliau. Tiba-tiba beliau menggenggam erat jari-jemari saya. Tiada bicara, yang ada hanya rasa. Rasa yang lahir daripada jiwa seorang hamba. Daripada rasa seorang yang bernama bapa…
Barangkali tersimpan satu hasrat yang tidak mampu diungkap. Ada harapan yang tidak mampu dilafazkan: harapan agar ada insan bergelar anak yang sudi menemani…
Ya… mungkin kita mampu menguruskan syarikat dan segala urusan dunia, namun sukar dan mencabar apabila mahu menguruskan ibu dan bapa.
Namun ada juga yang direzekikan untuk berkhidmat kepada ibu bapanya dalam musim yang penuh berkat ini.
Dua dunia yang berbeza. Dua keadaan yang mempunyai nilai dan intipati yang berbeza.
Firman Allah:
﴿أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ﴾ [لقمان: 14]
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu…" [Luqman: 14]
Sukar sekali manifestasi SYUKUR kepada kedua-dua ibu bapa ini… Ya Allah, bantulah mereka yang masih mempunyai ibu bapa. Ilhamkanlah segala kekuatan dan upaya kepada mereka untuk mensyukuri nikmat ibu bapa dengan berbakti kepada mereka…
P/S: Mulahazah (pemerhatian)
Ada baiknya ditetapkan bahawa sesiapa yang mahu menghantar ibu bapa yang sudah tua menunaikan haji dan umrah, elok dihantar bersama salah seorang anak untuk membantu dan menguruskan hal mereka di Tanah Suci. Sekadar cadangan yang saya kira mempunyai nilai kebaikan. Insya-Allah.
Haji Mabrur lawan Haji Marlboro
Jangan Rosakkan Pengembaraan Sekali Seumur Hidup dengan Asap Penyakit
Apabila selesai sebatang, lelaki itu cuba menyambung sedutan "asap fasik" untuk batang yang kedua. Pada saat itu, Tuan Guru Dr. Abdul Basit yang baru keluar dari tandas di khemah Mina segera memegang tangan lelaki itu seraya berkata:
"Encik! Cukup dulu! Tergamak encik mencemari Tanah Haram seperti Mina ini dengan asap rokok yang sudah difatwakan haram oleh para ulama. Jangan dirosakkan haji encik dengan benda ini."
Itulah realiti yang berlaku kepada sesetengah perokok tegar. Ketagihan kepada batang rokok yang haram itu tidak mengenal tempat. Lokasi pilihan untuk merokok ketika di khemah Mina pun cukup strategik, iaitu berhampiran tandas dan semua sedia maklum tandas ialah sarang "musuh azali manusia" (Fatir [35]: 6).
Merokok di Tanah Haram ketika menunaikan haji sebenarnya "membakar hangus" peluang mendapat haji mabrur. Bunyinya kasar, tetapi itulah yang ditegaskan Allah dalam al-Quran:
﴿الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ﴾
Ertinya: {(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, "DAN TIDAK BOLEH MEMBUAT FASIK (DOSA DAN MAKSIAT)" dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).} (al-Baqarah [2]: 197)
Perkataan fusuq atau melakukan maksiat merangkumi segala macam perkara haram seperti rokok. Ia jelas difatwakan haram oleh para ulama, sama ada di Malaysia atau di mana-mana sahaja.
Haji ialah pengembaraan seumur hidup kerana ia diwajibkan hanya sekali seumur hidup seorang Muslim. Peluang untuk datang menunaikan haji pun sangat sukar dengan segala macam kekangan seperti kuota haji dan sebagainya. Alangkah malangnya jika pengembaraan yang sekali ini dirosakkan hanya kerana ketagihan menghirup asap penyakit itu. Tahanlah diri sekejap daripada merosakkan "peluang keemasan yang sekali ini".
Dr. Abdul Basit bercerita, pernah satu pasangan duduk berhampirannya. Si isteri dengan gembira menyatakan dia sudah berdoa banyak kebaikan untuk si suami, antaranya doa agar suami berhenti merokok. Suaminya terkejut besar lantas berkata:
"Ya Allah, mohon batalkan doa berhenti merokok isteri saya tu."
Astaghfirullah! Sampai begitu sekali rokok sudah bertapak kemas dalam lubuk hatinya.
Kepada perokok tegar yang sukar meninggalkan rokok, ada caranya untuk meninggalkan rokok ketika di Tanah Suci dan selepas pulang ke Malaysia. Bagaimana? Jawapannya ada dua, iaitu (1) niat mahu berhenti dan (2) terapi air zamzam.
Mulakan dengan niat ikhlas mahu meninggalkan rokok "SELAMANYA" demi kesempurnaan haji dan Islam anda. Tanpa niat ini, air zamzam 10 tempayan pun tidak akan mengubah "sakit gila rokok" anda.
Apabila niat sudah bulat kerana Allah, mahu "bercerai talak 1000" dengan rokok, berdoalah ketika minum air zamzam kerana ia janji baginda SAW:
مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ
Ertinya: "Air zamzam itu (berkhasiat) menurut apa yang diniatkan oleh orang yang meminumnya." (Musnad Ahmad dan Sunan Ibn Majah)
Status hadis ini masih diperselisihkan oleh para ulama hadis, namun tidak kurang juga yang menerimanya sebagai hadis hasan.
Dalam sebuah riwayat (yang masih diperselisihkan status kesahihannya), Abdullah ibn 'Abbas pernah berdoa ketika meminum air zamzam:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ
Ertinya: "Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan PENAWAR DARIPADA SEGALA PENYAKIT." (Mustadrak al-Hakim dan Sunan ad-Daraqutni)
Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan kemujaraban air zamzam dalam mengubati pelbagai penyakit yang dihidapinya. Ia juga menjadi minuman yang mengenyangkan sehingga ada yang tinggal berhari-hari di Masjidilharam bertawaf tanpa makanan (Zad al-Ma'ad).
Bahkan jika diteliti kisah para ulama, doa mereka agar mencapai darjat tertinggi dalam ilmu, amal dan kesolehan banyak dimakbulkan setelah meminum air zamzam. Bagi yang mampu membaca teks Arab, rujuklah perbincangan tentangnya di forum Ahl al-Hadith.
Subhanallah! Sungguh beruntung perokok tegar yang dijemput Allah ke Tanah Suci. Antara ribuan hamba-Nya di seluruh dunia, anda terpilih untuk sampai ke sini demi ibadah haji. Makkah pula bukan sebarang bumi; ia bumi yang sungguh mustajab untuk penerimaan sebarang doa. Gunakan peluang berada di Tanah Haram ini untuk "mengubati sakit ketagihan rokok" anda dengan air zamzam yang Allah anugerahkan kepada Nabi Ismail AS ini. Biar kepulangan anda nanti ke tanah air ialah kepulangan yang suci daripada dosa dan "daki" najis rokok.
Tinggal lagi, apa kehendak anda? Doktor boleh mencadangkan ubat untuk pesakit, tetapi jika pesakit malas mengambil ubat yang ternyata baik untuknya, apalah gunanya ubat tersebut. Malang dan sungguh malang pesakit yang "maha degil" seperti ini. Mohon dijauhkan Allah daripada kedegilan sebegini.
[Oleh: Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim, 22 September 2015 / 8 Zulhijjah 1436H. Lihat: Haji Marlboro]
Bahagian 3: Muhasabah Selepas Haji dan Wada' Makkah
Muhasabah Selepas Haji Ditunaikan
Alhamdulillah, pada hari Sabtu, 12 Zulhijjah, semua jemaah Ash-Har selamat pulang ke Makkah, keluar dari Mina dengan niat nafar awal.

Jemaah digalakkan melakukan tawaf dan saie haji bagi mereka yang melakukan haji tamattuk agar semua amalan haji selesai sebelum tamatnya hari Tasyrik (kalau terlepas pun tidak salah) dan mengambil jalan segera menyelesaikan semua amalan haji serta terlepas daripada semua larangan ihram (tahallul thani).
Semuanya selesai kecuali mereka yang uzur syarie atau sakit yang memerlukan bantuan.
Majlis Muhasabah
Isnin, 14 Zulhijjah 1436H.
Setelah berehat selama dua hari, suatu majlis muhasabah amalan haji yang telah selesai dilakukan diadakan di Hotel Nada Diyafah, Makkah.
Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk mengumpulkan semula semua jemaah haji yang bersama Ash-Har dari semua maktab untuk saling bertanya khabar dan mengucapkan tahniah kerana selesai mengerjakan haji.

Majlis dimulakan dengan ucapan ketua qafilah Ash-Har, Ustaz Haji Ahmed Shukri. Dalam ucapannya, beliau menceritakan sedikit latar belakang operasi perjalanan haji 1436H, dengan usaha dan kerja keras warga Ash-Har di Malaysia dan Makkah untuk memastikan jemaah kuota tambahan (60 orang lebih) dapat menunaikan haji pada musim itu.

Kemudian Ustaz Hasyimi (pembimbing Maktab 68) pula menyampaikan analogi bahawa haji yang ditunaikan bukanlah seperti gambar dalam bingkai atau swafoto si kaki pancing yang mendapat ikan besar, kemudian bergambar dan melepaskan ikan itu kembali.
Muhasabah Selepas Haji: Haji Bukan Sekadar Gambar dalam Bingkai

"Haji Bukan Sekadar Gambar dalam Bingkai"
"Seumpama seorang kaki pancing yang sudah berhempas pulas, berpenat lelah mengawal joran untuk menaikkan seekor ikan yang baru menyambar umpan pada mata kailnya.
Setelah hampir sejam bertarung, akhirnya si ikan gergasi berjaya dinaikkan ke darat.
Puas dan lega! Si pengail terus mengambil gambar kenangan bersama habuan tangkapannya ini, seakan-akan sebuah piala yang baru dimenangi.
Sejurus selepas itu, ikan tersebut dilepaskan kembali ke dalam sungai. Yang tinggal pada si pengail cuma gambar kenangan. Ikan yang sepatutnya menjadi santapan jasad terbuang begitu sahaja. Alangkah ruginya si pengail. Masa hampir sejam bertarung dengan si ikan gergasi hanyalah kerja sia-sia."
Tepat dan benar sekali analogi ikan dan pengail yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Hasyimi ketika mengisi slot "MUHASABAH SELEPAS HAJI" untuk jemaah haji pakej Ash-Har Travel di Hotel Nada Diyafah.
Analogi beliau memang wujud pada sesetengah orang yang pulang daripada mengerjakan rukun Islam kelima ini.
Kesusahan yang dilalui semasa menunaikan haji, bermula dengan berpanas di Arafah, bersesak tidur berbumbungkan langit di bumi Muzdalifah, bermalam pada 11 dan 12 Zulhijjah dalam khemah di Mina, keletihan tiga atau empat kali berjalan kaki untuk melontar Jamrah al-Kubra dan tiga jamrah yang lain, di mana setiap satu perjalanan melontar mencecah jarak 4.5 km, hinggalah kesesakan menunaikan tawaf ifadah dan saie haji, seakan-akan hanyalah suatu "kenangan susah" ketika melancong ke Makkah pada musim haji.
Roh haji tidak kekal melekat pada diri kita selepas pulang ke tanah air. Kitalah yang perlu berusaha mengekalkannya sehingga akhir hayat. Sungguh malang manusia yang meninggalkan semangat rohani ibadah haji di Makkah, kemudian pulang ke tanah air sebagai individu yang sama, masih bergelumang dengan segala macam tabiat lama, sedangkan gelaran "Tuan Haji" atau "Puan Hajah" bakal dinobatkan oleh manusia.
Ustaz Hasyimi menegaskan bahawa roh serta semangat ibadat haji yang menuntut kita "bersabar dan patuh" kepada semua suruhan dan larangan Allah dalam haji wajib dibawa pulang bersama ke tanah air. Ia wajib dipakai seumur hidup. Pulang haji menuntut kita membuka lembaran baharu dalam hidup selepas menjiwai peranan "HAMBA ALLAH YANG SENANTIASA PATUH DAN RELA BERKORBAN APA SAHAJA DEMI ALLAH".
Berkaitan jaminan pengampunan Allah bagi orang yang mencapai haji mabrur pula, Ustaz Hasyimi menegaskan bahawa hak memberi pengampunan adalah MUTLAK MILIK ALLAH. Ia tidak boleh dipaksa. Allah bukanlah majikan yang "terpaksa" memberikan "gaji pengampunan" kepada manusia setelah "kerja haji" diselesaikan. Sebaliknya, pengampunan daripada Allah ialah al-fadl atau kemuliaan yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki:
﴿أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ﴾
{Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? DIA MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIAT-NYA) DAN MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA (MENURUT ATURAN DAN HUKUM SYARIAT-NYA). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} [al-Ma'idah (5): 40]
Bukti lain yang menunjukkan pengampunan ialah hak mutlak Allah ialah kerisauan Nabi Adam AS di Padang Mahsyar nanti, walaupun Allah telah menganugerahkan pengampunan kepadanya semasa di dunia dahulu:
﴿فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ﴾
{Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).
﴿ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ﴾
Kemudian TUHANNYA MEMILIHNYA (DENGAN DIBERI TAUFIK UNTUK BERTAUBAT), LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA SERTA DIBERI PETUNJUK.} [Taha (20): 121–122]
Walaupun dosa baginda AS sudah diampunkan, kerisauan tetap ada pada baginda di akhirat kelak sehingga apabila diminta memberikan syafaat kepada semua manusia, baginda menjawab:
إن ربي قد غضب اليوم غضبا لم يغضب قبله مثله، ولن يغضب بعده مثله، وإنه قد نهاني عن الشجرة فعصيته، نفسي نفسي نفسي، اذهبوا إلى غيري
"Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah berlaku sebelumnya dan tidak akan berlaku selepasnya. Sesungguhnya aku sendiri pernah dilarang daripada mendekati pokok larangan (dalam syurga dahulu) tetapi aku mengingkarinya. Maka pada hari ini (usahlah berharap kepadaku kerana kita semua membawa diri) sendiri-sendiri. Pergilah kamu mencari (pemberi syafaat) selain aku." [Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan at-Tirmizi]
Rupa-rupanya haji mabrur yang kita usahakan semasa di dunia ini kelak akan menjadi aset penting di akhirat.
Walaupun haji mabrur ialah anugerah Allah kepada sesetengah insan, ia tetap berkait rapat dengan usaha, ikhtiar dan SANGKA BAIK kita kepada Allah sebagaimana firman-Nya dalam sebuah hadis qudsi:
أنا عند ظن عبدي بي
"Aku berada pada (tahap) sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku." (Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Bersangka baiklah dengan Allah yang mampu menganugerahkan kita haji mabrur. Iringilah harapan mendapat haji mabrur selepas pulang ke tanah air dengan usaha MENJAGA SEGALA ARAHAN DAN LARANGAN ALLAH sepanjang umur kita. Mudah-mudahan kita mendapat haji mabrur yang bakal menjadi aset akhirat untuk melepaskan diri daripada azab neraka.
[Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim, Makkah al-Mukarramah, 14 Zulhijjah 1436H / 27 September 2015. Lihat di Facebook: Haji Bukan Sekadar Gambar dalam Bingkai]

Kemudian Ustaz Ahmad Husni (Abu Fatih al-Mubaraki), pembimbing Maktab 112, pula menyampaikan ucapan nasihat dan taujihat bahawa haji yang dilakukan ialah suatu ibadat seumur hidup yang perlu dijaga dan disuburkan kemanisannya sentiasa.

Antara butir pesanan atau tausiah Abu Fatih:
- Rumah yang wajib dirindui ialah Baitullah al-Haram. Itulah antara hikmah ia dinamakan sebagai al-bait (rumah).
- Manusia pada hakikatnya seronok dengan ibadah dan kebaikan. Buktinya, sewaktu menjalankan ibadah haji, semua bersungguh-sungguh kerana sebenarnya manusia sangat merindui suasana dekat dengan Allah, cuma selama ini mungkin jauh dan tidak dipedulikan.
- Bertemu dan berpisah adalah lumrah. Kita berlatih untuk perpisahan abadi setelah kita mati nanti. Ukhuwah yang terbina sepanjang rehlah perlu juga dijaga hingga ke akhirnya.

Abu Anas pula memulakan ucapan dengan mengucapkan tahniah kerana telah sempurna amalan haji yang menjadi agenda dan objektif kedatangan ke Makkah pada musim itu.
Kemudian diceritakan semula semua amalan haji yang telah dilakukan bermula dari hari Tarwiyah sehinggalah pulang ke Makkah. Sekiranya ada mana-mana bahagian yang kurang sempurna atau tersalah, jemaah diminta tampil bertemu dengan ana untuk menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan. Sekiranya ada dam atau fidyah yang mesti dibayar, maka perlu diselesaikan segera sebelum pulang ke Malaysia, kerana isu haji tidak boleh diselesaikan di tanah air selepas pulang.
Alhamdulillah, banyak perkara yang dapat diselesaikan dan tidak banyak masalah yang dikemukakan.
Inilah tugas para pembimbing yang sepatutnya dijalankan, bukan setakat duduk berlagu di Arafah atau Mina pada saat jemaah memerlukan ketenangan dan tumpuan untuk beribadat.
Aku Seorang Haji / Hajah
Rabu, 16 Zulhijjah 1436H.
Menjadi kebiasaan para ulama dan murabbi berpesan kepada jemaahnya agar beristiqamah, teguh pendirian di atas jalan yang diredai oleh Allah 'Azza wa Jalla.
Namun perkataan "fastaqim", iaitu "teguh pendirian", ialah suatu ucapan yang sangat berat untuk ditanggung. Kerana itu ia menjadi pesanan.
Maka sebelum berpisah, ana memilih tajuk ini sebagai bicara dengan para jemaah, sebagai wasiat dan taujihat untuk dijadikan panduan dalam menjaga rekod amalan yang telah dibersihkan, sebagaimana disebut dalam riwayat tentang petang hari Arafah: {Bertolaklah kamu, wahai hamba-hamba-Ku, dalam keadaan telah diampunkan}.

Istiqamah Selepas Haji
Ringan pada lidah tetapi berat pada pelaksanaan dan tindakan. Itulah penangan istiqamah atau konsisten dalam kebaikan, lebih-lebih lagi selepas pulang dari haji. Walaupun sukar, ia tetap menjadi kewajipan bersesuaian dengan firman Allah:
﴿فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ﴾
Ertinya: {Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.} (Hud [11]: 112)
Sukar memang sukar, namun ia mampu dilakukan kerana Allah tidak menyuruh sesuatu yang mustahil.
Istiqamah paling utama selepas haji ialah istiqamah dalam tauhid.
Lihat pesanan baginda SAW kepada sepupunya, Abdullah bin 'Abbas, yang masih kecil ketika itu:
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
Ertinya: "Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa kalimah. Jagalah (hak) Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah (hak) Allah, nescaya engkau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau mahu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah bahawa jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manfaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memberikanmu manfaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudaratkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memudaratkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan ke atasmu. Pena takdir sudah diangkat dan lembaran takdir juga sudah kering! (Takdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah.)" (Sunan at-Tirmizi)
Syiar talbiah dalam haji mengandungi prinsip tauhid. Muslim sanggup berhabis harta, tenaga dan masa hanya kerana menyahut seruan Allah. "Hanya kerana Allah! Tidak yang lain!" Inilah prinsip tauhid dalam ibadah haji.
Tauhid dalam haji bukan permulaan hidup seorang Muslim tetapi suatu "PEMUGARAN SEMULA", seumpama pokok yang disegarkan dengan siraman air. Penanaman tauhid sudah bermula seawal kelahiran manusia ketika mereka diazankan dengan kalimah tauhid. Apabila usia mencecah tujuh tahun, seorang anak diajar solat kerana dalam solat juga terkandung intisari tauhid.
Selepas pulang haji, apakah tandanya cahaya tauhid mula meresap masuk ke dalam diri?
Dr. Abdul Basit menyebut ia berkait dengan hati. Hati yang soleh dan mengenal tauhid berasa tenang dengan Islam, manakala hati yang berkarat berasa sempit apabila mendengar perkataan Islam. Ayat ini menjadi petunjuk terbaik:
﴿فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ﴾
Ertinya: {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (al-An'am [6]: 125)
Tuan Guru Dr. Abdul Basit mencadangkan beberapa panduan yang perlu diikat erat pada hati semua jemaah pakej haji Ash-Har Travel demi menjaga istiqamah (konsisten dalam kesolehan) selepas haji sehingga kita dijemput Allah:
1) Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi segala lubang syirik, kerana syirik ialah "KEZALIMAN TERBESAR":
﴿وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ﴾
Ertinya: {Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR."} (Luqman [31]: 13)
- Menjaga solat lima waktu (merangkumi solat sunat rawatib 12 rakaat setiap hari bersama zikir pagi dan petang) dan jangan berlagak seperti "lembu kenyang" yang buta hati, tidak mempedulikan seruan azan.
- Melazimi pakaian takwa yang berbentuk zahir (tidak ketat menyeksa dan tidak nipis menggoda) dan juga pakaian takwa berbentuk batin (akhlak mulia). Bagi merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar yang tidak menepati syariat di media sosial "WAJIB SEGERA DIHENTIKAN DAN DIPADAMKAN".
Dr. Abdul Basit menegaskan bahawa "MEDIA SOSIAL YANG SENANG MENELANJANGKAN" umat Islam ialah fitnah terbesar akhir zaman yang disebut sebagai "FITNAH AD-DUHAIMA'", iaitu fitnah yang "menampar semua manusia tanpa kecuali" sehingga sudah tidak dapat dibezakan antara seorang mukmin dan munafik (Sunan Abi Dawud, Musnad Ahmad dan Mustadrak al-Hakim).
[Lihat juga catatan Ummu Anas Madani, Tazkirah buat Teman di Facebook.]

4) Berdamping dengan al-Quran seumur hidup kerana ia ialah tali penghubung antara kita dengan Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi penolong setia kita di akhirat kelak:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Ertinya: "Bacalah (fahami, hayati dan praktikkan) al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya." (Sahih Muslim)
5) Mencintai ilmu dan melazimi majlis ilmu. Pencarian ilmu pada zaman moden semakin mudah. Alasan malas atau tidak sempat sudah tidak relevan kerana ilmu boleh diakses di mana-mana sahaja. Nampaknya semakin tinggi teknologi, semakin kuat hujah untuk Allah menyalahkan kemalasan kita di akhirat kelak. Walau bagaimanapun, majlis ilmu rasmi di surau dan masjid tetap perlu dihadiri untuk mendapat siraman empat rahmat Allah sebagaimana hadis ini:
لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya: "Tidaklah suatu kaum itu duduk mengingati Allah (seperti menghadiri majlis ilmu) melainkan mereka (akan memperoleh empat kelebihan, iaitu) (1) dinaungi para malaikat, (2) rahmat akan meliputi mereka, (3) ketenangan akan turun kepada mereka dan (4) Allah akan menyebut nama mereka dalam kalangan (makhluk) yang berada di sisi-Nya." (Sahih Muslim)
6) Menjaga halal dan haram dalam muamalat. Hindari riba sejauh mungkin kerana ia antara wasiat utama khutbah wada' Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam). Berterusan dalam sistem riba seumpama mengisytiharkan "PERANG DENGAN ALLAH DAN RASULULLAH":
﴿فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ﴾
{Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.} (al-Baqarah [2]: 279)
7) Bersahabat dengan orang soleh, terutama sekali kaki masjid dan surau, kerana mereka "bersahabat dengan para malaikat" sebagaimana pujian Rasulullah SAW:
إن للمساجد أوتادا هم أوتادها، لهم جلساء من الملائكة، فإن غابوا سألوا عنهم، وإن كانوا مرضى عادوهم، وإن كانوا في حاجة أعانوهم
Ertinya: "Sesungguhnya masjid itu mempunyai 'tiang seri', mereka (kaki surau dan masjid) mempunyai teman duduk dari kalangan para malaikat. Jika mereka tidak hadir (ke masjid), para malaikat akan bertanya khabar tentang mereka. Jika mereka sakit, para malaikat akan menziarahi mereka. Jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka." (Mustadrak al-Hakim)
Kaki surau dan masjid boleh menjadi "radar pengesan dan pemberi peringatan" jika kita terlupa mengimarahkan rumah Allah.
8) Sentiasa berdoa dengan doa anjuran Rasulullah agar ditetapkan hati di atas iman dan amal soleh:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ertinya: "(Ya Allah) Yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu." (Sunan at-Tirmizi)
Juga firman Allah:
﴿رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ﴾
Ertinya: {(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya."} (Ali 'Imran [3]: 8)
Juga doa saranan Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Ertinya: "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada terpesong sesudah mendapat petunjuk." (Sahih Muslim dan Sunan an-Nasa'i)

Di akhir tazkirah, Dr. Abdul Basit menyimpulkan makna haji mabrur dengan katanya:
"Selepas pulang, jangan kita mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap manusia yang terdedah kepada salah dan silap. Maksud mendapat haji mabrur ialah kita sentiasa cenderung ke arah kebaikan dan semakin menjauhi dosa dan maksiat. Jika berasa lesu daripada kebaikan, carilah ustaz atau teman yang boleh 'MEMUGARKAN KESOLEHAN' dalam diri sebagaimana kebiasaan para sahabat Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu:
اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنْ سَاعَةً
Ertinya: 'Duduklah bersama kami seketika untuk menambah iman (dengan sedikit peringatan agama).'" (Imam al-Bukhari menyebutnya tanpa sanad dalam Sahih al-Bukhari dan ia disebut juga dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah)
Semoga perkongsian ini menjadi peringatan kepada kita semua untuk kekal ISTIQAMAH sehingga mati selepas pulang daripada menunaikan haji.
[Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim, 2 Oktober 2015 (4:20 pagi) di hadapan Kaabah. Petikan daripada tazkirah "Istiqamah Selepas Haji" oleh Tuan Guru Dr. Abdul Basit pada 30 September 2015. Lihat: Istiqamah]
Sesudah Haji Tertunai
(Lihat juga catatan Khutbah Jumaat Dr. as-Sudais: Sesudah Haji Tertunai.)

Tazkirah istiqamah diteruskan lagi dengan nasihat dan taujihat daripada Ustaz Ahmad Hasyimi, jazahullahu khairan.

"Islam Ialah Visa ke Syurga"
Susah sungguh memikirkan barang apa yang perlu dibawa pulang ke Malaysia selepas selesai menunaikan haji. Senarai penerima "buah tangan" haji berjela panjangnya, seakan-akan jika tidak dibawa produk Makkah, maka tidak sah gelaran haji atau hajah yang bakal dipakai.
Di tengah kecamuk pemikiran tentang "buah tangan fizikal" daripada haji itu, sesi muhasabah selepas haji anjuran pakej Ash-Har Travel seakan-akan satu tukul besar yang memecahkan segala pemikiran remeh sebegitu.
Sekali lagi Ustaz Hasyimi mengkagumkan saya. Analoginya mudah dihadam:
"Banyak bekal haji boleh dibawa pulang. Yang paling utama dan wajib dibawa pulang bukanlah buah tasbih, jubah atau produk Makkah, tetapi 'kesempurnaan penghayatan Islam'. Kesempurnaan Islam sangat tepat dengan roh haji kerana ayat yang menobatkan kesempurnaan Islam turun kepada Rasulullah SAW pada haji terakhir baginda."
Ayat yang dimaksudkan oleh Ustaz Hasyimi ialah:
﴿الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا﴾
Ertinya: {Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.} (al-Ma'idah [5]: 3)
Mengapa begitu disibukkan dengan penghayatan Islam sebagai "produk rohani haji" yang wajib dibawa pulang, sedangkan semua tahu Islam pasti melekat pada jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing?
Tidak lain, ini kerana Islam seumpama "visa utama" bagi haji sebagai rukun Islam. Tanpa visa Islam, segala macam ibadat tidak berguna. Bahkan tanpa visa ini, mustahil seseorang itu boleh menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Ia diwartakan secara kekal oleh Allah berikutan turunnya ayat ini pada tahun ke-9 Hijrah:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ﴾
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, OLEH ITU JANGANLAH MEREKA MENGHAMPIRI MASJIDILHARAM SESUDAH TAHUN INI (TAHUN KE-9 HIJRAH); dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (at-Taubah [9]: 28)
Semangat tauhid dalam ibadah haji ialah tulang belakang Islam. Melepaskan tauhid dan terlibat dengan syirik seperti meruntuhkan tiang seri Islam. Tanpa Islam dan tauhid, apalah gunanya bergelar Tuan Haji atau Puan Hajah. Ingatlah amaran Nabi Isa AS ini:
﴿لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ﴾
Ertinya: {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah al-Masih ibni Maryam." Padahal al-Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH HARAMKAN KEPADANYA SYURGA DAN TEMPAT KEMBALINYA IALAH NERAKA"; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.} (al-Ma'idah [5]: 72)
Pendek kata, tanpa Islam dan tauhid yang tulen, usahlah bermimpi mahu ke syurga kerana ia ialah "SATU-SATUNYA VISA SYURGA" yang diterima Allah. Tanpa visa tersebut, segala amalan baik kita di dunia dahulu yang bergunung nilainya langsung tidak dipandang Allah:
﴿قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا﴾
Ertinya: {Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan." Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat kelak.} (al-Kahfi [18]: 103–105)
Oleh itu, segala semangat Islam yang dilatih semasa menunaikan ibadah haji di Makkah, merangkumi sikap warak, berhati-hati dalam bertindak, kasih sayang sesama teman jemaah haji, semangat iktikaf serta solat berjemaah di Masjidilharam, semangat menghidupkan solat malam, membaca al-Quran, bersedekah, berterusan berdoa dan sebagainya, perlu dikekalkan serta dibawa sebagai "OLE-OLE TANDA ROHANI HAJI" ke tanah air.
Jika semangat ini yang dibawa, maka insya-Allah visa Islam, iman dan akhlak yang terangkum dalam makna "haji mabrur" akan menjadi tiket kita ke syurga kelak, seiring sabda Rasulullah SAW:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ
Ertinya: "Antara satu umrah dengan umrah yang berikutnya menjadi penghapus (dosa-dosa kecil) di antara keduanya dan haji mabrur tidak ada ganjaran yang layak baginya melainkan syurga." (Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Semoga cahaya iman yang terpancar dalam hati kita semua semasa berada dalam keberkatan Tanah Suci Makkah akan terus bersinar seumur hidup kita walaupun selepas pulang ke tanah air. Inilah harapan dan doa orang yang benar-benar beriman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ﴾
Ertinya: {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."} (at-Tahrim [66]: 8)
[#Catatan: Ustaz Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim, 30 September 2015, di hadapan Kaabah]
Setiap yang Bermula Ada Akhirnya
Demikianlah kami, jemaah haji. Ana dan beberapa orang jemaah akan berangkat awal ke Madinah, iaitu selepas solat Asar hari Jumaat, 18 Zulhijjah 1436H (2 Oktober 2015).
Bingkisan Wada'
Perjalanan kami menuju "kampung halaman ilmu" kami di bumi Madinah al-Munawwarah dijadualkan selepas solat Asar.
Ini bermakna tawaf wada' mesti dibereskan sebelum Asar dan selepas solat Jumaat pada hari itu. Melihatkan bahang cahaya mentari yang membakar, cuaca panas yang menjalar sangat menguji dan mencabar.
Alhamdulillah, hampir setiap kali tawaf wada' sejak mula berkhidmat dengan Ash-Har Travel sebagai petugas dan pembimbing, saya dapat menemani al-Fadhil Tuan Guru Dr. Abu Anas Madani @ Abdul Basit Abdul Rahman di medan tawaf.

Setiap kali itu jugalah saya mampu meneguk hikmah, ilmu dan pengalaman (khibrah) daripada beliau.
Dalam bahasa Arab, beliau bermadah yang maksudnya:
"Jika begini dekat rasanya panas mentari hari ini, bagaimana pula mampu ditahan kepanasan dengan dekatnya mentari di atas sekalian makhluk di akhirat nanti?"
Kami sama-sama terdiam.
Kalau di sini, mampu kita berteduh dengan payung, kaca mata hitam yang melindungi dan deruan kipas bersulam air yang menyinggah.
Jika di SANA nanti, bagaimana? Apa pula pelindungnya? Ke mana pula hendak berteduh? Apakah pula penyejuknya? Tatkala mentari sejengkal di atas kepala…
Ya Allah! Sungguh panas dunia-Mu ini sudah mampu memerah keringat dan memabukkan kepala. Kami faham bahawa "mabuk" di SANA lebih menyeksakan kerana azab-Mu yang tidak terperi beratnya.
﴿وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ﴾
"Dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan." [Surah al-Hajj: 2]
Nyata… tujuh pusingan wada' itu harus mempunyai makna.
Ya Rahman! Jadikanlah kami antara golongan yang tujuh. Tujuh manusia yang mendapat teduhan, pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang Engkau berikan…
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: إمام عادل، وشاب نشأ في عبادة الله، ورجل قلبه معلق بالمساجد، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله، ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه، ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه» متفق عليه
"Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan (teduhan) Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
- Pemimpin yang adil.
- Seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah.
- Seorang yang hatinya selalu terpaut pada masjid.
- Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana-Nya.
- Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang berkedudukan dan cantik, tetapi dia menolaknya sambil berkata, 'Aku takut kepada Allah.'
- Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
- Seorang yang berzikir kepada Allah ketika bersendirian lalu mengalir air matanya." (Muttafaq 'alaih)
[Catatan: Ahmad Husni Abdul Rahman, Abu Fatih al-Mubaraki (#AFM)]
Wada' Makkah
Lembutkan Hati Para Haji dan Hajah dengan Mencintai Allah dan Rasul

Kata Abu Anas:
Wada' Makkah (Haji 1436H).
Amalan terakhir jemaah haji ialah TAWAF WADA', saat perpisahan dengan Makkah dan Kaabah.
Mungkin hikmahnya ialah mereka yang tidak merasai kepahitan berpisah tidak akan mengetahui apakah kemanisan bertemu.
Setiap orang akan bertanya kepada dirinya:
Adakah kita akan bertemu lagi?
Ataupun ini merupakan perpisahan abadi dan kita tidak akan bertemu lagi?
Ketika itu jiwa dan perasaan akan gementar, air mata akan mengalir dan lidah akan berdoa:
اللهم لا تجعل هذا آخر عهدنا في هذا المكان الطاهر، وارزقنا العودة بعد العودة، عاجلا غير آجل يا كريم
"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ini kali terakhir aku berada di rumah-Mu ini. Rezekikanlah aku agar dapat kembali lagi menjadi tetamu-Mu!"
لئن أصبحت مرتحلا بشخصي ... فروحي عندكم أبدا مقيم
Walaupun jasadku berangkat meninggalkanmu,
namun jiwaku tetap berada di sisimu.
Abu Anas Madani, Wada' Makkah, petang Jumaat 18 Zulhijjah 1436H.
Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)
Sebelum: Rehlah Haji 1434H (Siri 5)
Bacaan berkaitan
Rujukan
47 sumber-
Sunan an-Nasa'i, Kitab Manasik al-Hajj, no. 2625 (riwayat Abu Hurairah r.a.); juga Sahih Ibn Hibban, no. 3692.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1804; Sahih Muslim, no. 1927 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 27.
Quran.com -
Tafsir Ibn Kathir, tafsiran Surah al-Hajj (22): 27.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 27.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab az-Zakah, no. 1015 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no. 1666; Sahih Muslim, no. 1286 (riwayat Usamah bin Zaid r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no. 1671 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.); Sahih Muslim, no. 1282.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1141 (riwayat Nubaisyah al-Hudzali r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibn 'Umar r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1297 (riwayat Jabir r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhan, no. 631 (riwayat Malik bin al-Huwairith r.a.).
Sunnah.com -
Adz-Dzahabi, Siyar A'lam an-Nubala', biografi 'Amr bin Dinar (Wikisource).
ar.wikisource.org -
Al-Quran, Surah al-Hijr (15): 22.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Luqman (31): 14.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Fatir (35): 6.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 197.
Quran.com -
Sunan Ibn Majah, Kitab al-Manasik, no. 3062; Musnad Ahmad (riwayat Jabir r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 40.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Taha (20): 121–122.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, no. 4712; Sahih Muslim, no. 194; Sunan at-Tirmizi, no. 2434 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 7405; Sahih Muslim, no. 2675 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat 'Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Hud (11): 112.
Quran.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah, no. 2516 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-An'am (6): 125.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Luqman (31): 13.
Quran.com -
Sunan Abi Dawud, Kitab al-Fitan, no. 4242 (riwayat Ibn 'Umar r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab Salat al-Musafirin, no. 804 (riwayat Abu Umamah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab adz-Dzikr, no. 2700 (riwayat Abu Hurairah dan Abu Sa'id r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 279.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir r.a. tentang haji wada').
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Qadar, no. 2140 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 8.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1343 (riwayat 'Abdullah bin Sarjis r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, pendahuluan bab (ta'liq daripada Mu'adz bin Jabal r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 3.
Quran.com -
Al-Quran, Surah at-Taubah (9): 28.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 72.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Kahfi (18): 103–105.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1773; Sahih Muslim, no. 1349 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah at-Tahrim (66): 8.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 2.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhan, no. 660; Sahih Muslim, no. 1031 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
The Star, 15 September 2015: 'M'sian death toll goes up' (tragedi kren Masjidilharam).
thestar.com.my -
New Straits Times: 'One Malaysian pilgrim killed in Mina stampede' (September 2015).
nst.com.my -
Wikipedia: 2015 Mina stampede.
en.wikipedia.org
