Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Musafir

Rehlah Haji 1434H (Siri 5)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 9 November 2013 · 23 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Catatan Rehlah Haji 1434H, dalam tiga bahagian yang ditulis di Makkah, Arafah dan Mina sepanjang musim haji 1434H (Oktober–November 2013).

Bahagian 1: Rehlah atau Pengembaraan Suci

Dr. Abu Anas Madani di tengah-tengah jemaah di dataran Masjidil Haram pada waktu malam

Alhamdulillah, sekali lagi syukur yang tidak pernah putus dan setinggi-tingginya kepada al-Mun'im 'Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya ini, sekali lagi untuk mendapat peluang menjadi dhuyuf (tetamu)-Nya bagi tahun 1434H ini.

Tidak ada satu pun pengembaraan di atas muka bumi ini sebaik perjalanan menuju ke Baitullah al-Haram. Rehlah yang diberkati ialah rehlah haji dan umrah.

Setiap jemaah yang telah mendaftar untuk mengerjakan haji menanti dengan penuh kerinduan dan pengharapan untuk menjadi tetamu Allah SWT. Apabila sahaja keputusan diterima, mereka sujud syukur kepada Allah SWT seolah-olah telah mendapat anugerah yang besar daripada-Nya. Bagaikan mereka telah menerima kad jemputan daripada Allah SWT untuk menziarahi rumah yang paling mulia, negeri yang dicintai oleh Nabi SAW, tempat terawal wahyu diturunkan, kiblat solat umat Islam, tempat ganjaran solat seratus ribu kali ganda serta pelbagai fadilat dan kelebihan lagi.

Demikianlah keadaan al-'abd al-faqir Abu Anas apabila dijemput untuk bersama kafilah haji Ash-Har Travel pada tahun 1434H, walaupun keuzuran di bahagian lutut nampak tidak begitu mengizinkan untuk melaksanakan haji. Tetapi demi menyertai jemaah haji ini, pengorbanan tetap diteruskan.

Maka pada pagi Selasa 1 Oktober 2013 bersamaan 25 Zulkaedah 1434H, saya berangkat bersama rombongan dari Kota Bharu pada jam 11.50 pagi ke KLIA, seterusnya ke Kelana Jaya untuk penginapan dan proses keberangkatan seperti biasa.

Lihat rehlah tahun sebelumnya: Rehlah Haji 1432H (Siri 3) dan Rehlah Haji 1433H (Siri 4).

Pada jam 1.30 pagi Rabu (2 Oktober 2013) kami terbang dengan KT 57 (SV5217), pesawat sewa khas dari Sepanyol (Pullmantur Air).

Alhamdulillah, kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAAIA), Jeddah, tepat ketika azan Subuh (4.58 pagi), jadi sempat solat Subuh berjemaah di terminal haji. Setelah itu kami beratur untuk mengecop pasport di kaunter imigresen, mengambil barang, mendapatkan tiket bas dan terus ke tempat menunggu jemaah haji Malaysia.

Oleh sebab rombongan Ash-Har ada 56 orang dalam kumpulan ini, maka 12 orang perlu menaiki bas lain. Perjalanan begitu lancar dan kami selamat tiba di Makkah, mendaftar masuk di Hotel Al-Zahabi Al-Khalil, al-Misfalah pada jam 11.30 pagi.

Selepas semua mendapat bilik dan makan tengah hari, ada jemaah yang pergi sendiri menyelesaikan ibadat umrah (tawaf, saie dan bergunting), ada yang pergi pada waktu Asar dan majoriti jemaah dibawa pada waktu malam selepas solat Isyak.

Keadaan di Makkah pada masa itu masih tenang, kesesakan tidak begitu teruk. Tetapi yang menjadikan keadaan kelam-kabut dan serabut ialah orang yang tidak berdisiplin dan tidak menjaga akhlak: selamba duduk di tengah jalan, di depan pintu dan pelbagai kerenah lagi.

Sedikit maklumat dari Makkah

Pemandangan Masjidil Haram dari atas dengan kawasan pembinaan dan kren di sekelilingnya

Akibat pembinaan dan pembesaran yang sedang dijalankan di Masjidil Haram, berlaku kesesakan yang agak teruk. Ini kerana sebahagian besar kawasan masjid, terutama tempat tawaf di tingkat atas bermula dari bahagian Hajar Aswad hingga ke rukun Hijir Ismail, masih dalam pembinaan.

Sebagai alternatif, orang ramai menjadikan sebahagian besar ruang saie sebagai tempat solat, menjadikan kawasan ini begitu penuh dan sesak. Laluan untuk masuk ke dalam masjid melalui ruang ini juga menjadi agak sukar.

Mereka yang menggunakan kerusi roda juga terpaksa menghadapi kesesakan dan kesukaran.

Untuk naik bertawaf di tingkat atas sahaja, adakalanya mereka terpaksa beratur hampir satu jam dalam barisan yang begitu panjang sehingga ke pintu istana.

Semua ini belum lagi pada waktu kemuncak haji. Jika waktu puncak ibadat nanti, tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaannya; hanya Allah sahaja yang dapat menolong dan mempermudahkannya.

Jadi, tindakan Kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji tahun 1434H (2013) sebanyak 20% memang wajar dan perlu. Ia amat penting untuk kebajikan dan keselesaan para jemaah haji sendiri.

Diharap para jemaah haji tahun itu dapat bersabar dan bertimbang rasa menghadapi semua keadaan ini demi maslahah dan kebaikan masa depan, insya-Allah.

Rahsia haji yang terabai

Memahami rahsia dan hikmah ibadat haji ialah manfaat yang besar dan sangat tinggi nilainya. Allah SWT telah mendahulukan sebutan menyaksikan manfaat bagi orang yang mengerjakan haji sebelum menyebut nama Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

{لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ}

Maksudnya: {Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana kurniaan-Nya kepada mereka berupa binatang-binatang ternakan (untuk dikorbankan). Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir.} [Surah al-Hajj: 28]

Apabila manusia jahil atau tidak mengetahui hikmah dan rahsia sesuatu amalan yang besar, amalan itu akan dipandang kecil kerana mereka menunaikannya tanpa roh dan tidak mengikut kehendak Allah yang mensyariatkannya. Maka mereka tidak mendapat faedah daripada ibadat tersebut kecuali sangat sedikit.

Kesannya, sebahagian besar jemaah haji yang kembali dari menunaikan haji hanya membawa pulang cerita-cerita sahaja, tetapi tidak membawa kesan haji yang dilaksanakan; contohnya dalam penjagaan solat, menutup aurat, meninggalkan riba dan rasuah serta lain-lain pelanggaran perintah syarak.

Bagi penduduk Makkah pula, sebahagian mereka menganggap jemaah haji yang datang semata-mata rezeki daripada Allah, sehingga sebahagian penduduk Makkah merasakan jemaah haji tidak perlu diberi layanan istimewa sebagai tetamu Allah. Maka bumi yang berkat ini menjadi seakan-akan bumi perniagaan semata-mata tanpa roh ibadat haji yang sebenar.

Akhukum, Abu Anas Madani,
Makkah, al-Misfalah.
29 Zulkaedah 1434H – 5 Oktober 2013.

Bahagian 2: Hari-Hari Awal Zulhijjah di Makkah

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Makkah pada pagi Rabu 26 Zulkaedah 1434H (2 Oktober 2013). Setelah selesai mengerjakan umrah (tawaf, saie, bercukur atau bergunting), selesailah ibadat ini bagi orang yang ingin mengerjakan haji tamattu'. Bagi mereka yang mengerjakan haji ifrad, mereka melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang) dan saie haji, kemudian kekal dalam ihram hingga selesai tahallul awal nanti.

Tugas saya ke Makkah, selain beribadat untuk diri sendiri, ialah membimbing jemaah haji yang bersama dalam pakej Ash-Har Travel khususnya. Bersama kami juga tahun itu ialah kumpulan JKIM (Jawatankuasa Kebajikan Islam MAS, Malaysia Airlines) yang terdiri daripada kakitangan MAS dan pasangan mereka seramai 50 orang.

Mudah-mudahan dengan sedikit bimbingan dan motivasi, para jemaah terbimbing dalam melakukan ibadat mereka di Tanah Suci.

Kulit buku Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah karya Dr. Abd. Basit Abd. Rahman

Tajuk pertama kuliah di Makkah ialah "Anda di Makkah", memperkenalkan kelebihan dan adab berada di Tanah Haram.

Jemaah dinasihatkan supaya banyak beribadat setakat yang mampu; jangan berlebihan sehingga terjejas kesihatan dan sukar pula menunaikan ibadat haji nanti.

Rehat

Kerehatan itu ibarat fatamorgana. Setiap kali kita menghampirinya, ia semakin jauh menghilang.

Dan kita tidak akan sampai kepadanya melainkan di syurga.

Oleh itu, usahlah kita memburu kerehatan, tetapi ayuhlah memburu syurga.

(Makkah, 4 Zulhijjah 1434H – AAM)

Fadilat beramal pada sepuluh hari awal Zulhijjah

Poster Kelebihan Beramal Pada 10 Hari Awal Bulan Zulhijjah dengan hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmizi

Jangan sampai ibadat diremehkan dan diperkecilkan!

Sepuluh hari awal bulan Zulhijjah ialah hari-hari yang mempunyai kelebihan, sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW.

Ini kerana pada hari-hari tersebut terkumpul pelbagai jenis ibadah.

Namun ibadah tersebut mestilah dilakukan dengan IKHLAS kerana Allah,

bukan untuk diperlihatkan (RIYAK) atau diperdengarkan (SUM'AH).

Nabi SAW bersabda:

((مَنْ سَمَّعَ النَّاسَ بِعَمَلِهِ سَمَّعَ اللَّهُ بِهِ سَامِعَ خَلْقِهِ، وَحَقَّرَهُ وَصَغَّرَهُ))

"Sesiapa yang memperdengarkan amalannya kepada manusia, Allah akan memperdengarkan (keburukan niat)nya kepada pendengaran makhluk-Nya, serta MENGHINAKAN DAN MEMPERKECILKANNYA." [Musnad Ahmad, no. 6509; sahih]

Jangan jadikan amalan yang HEBAT dan BESAR di sisi ALLAH SWT menjadi amalan yang remeh dan kecil.

Ya Allah, kurniakanlah kami keikhlasan dalam beribadah kepada-Mu. #ARAR

(Makkah, 4 Zulhijjah 1434H)

Ibadah korban

Peringatan bagi mereka yang ingin melakukan ibadat korban:

Poster peringatan bagi yang ingin berkorban supaya tidak memotong rambut dan kuku apabila masuk sepuluh hari awal Zulhijjah, dengan hadis riwayat Muslim

Ziarah mahabbah

Ustaz Shamsudin Abdul Rahman bersama Dr. Abu Anas Madani dan jemaah di hadapan hotel di Makkah

Pada pagi 4 Zulhijjah (9 Oktober 2013), Ustaz Shamsudin Abdul Rahman (JARUM) datang menziarahi jemaah Ash-Har dan bersedia menjelaskan kesesatan dan kejahatan ajaran Syiah kepada jemaah Ash-Har di Hotel Az-Zahabi, Makkah. Pendedahan kesesatan ini sangat penting untuk mengawal akidah umat ini. Jazahullahu khairan.

Antara buku tentang ajaran Syiah yang ditelaah sempena haji ini:

Kulit buku Al-'Alaqah baina as-Sufiyyah wa al-Imamiyyah

Nasihat: sembunyikanlah amal kebajikan!

Orang soleh pada zaman dahulu, apabila melakukan amalan yang baik, mereka bersusah payah menyembunyikannya.

Ayyub as-Sakhtiyani (wafat 131H) pernah memberikan satu nasihat yang sangat berharga dalam perkara ini. Beliau berkata:

ليتق الله رجل، فإن زهد فلا يجعلن زهده عذابا على الناس، فلأن يخفي الرجل زهده خير من أن يعلنه

"Hendaklah seseorang itu bertakwa kepada Allah. Jika dia hidup zuhud, janganlah dia menjadikan zuhudnya itu satu kesengsaraan kepada orang lain. Seseorang yang menyembunyikan zuhudnya itu lebih baik daripada dia menzahirkannya." [Lihat: Siyar A'lam an-Nubala', 6/15–26]

Kata-kata beliau ini dilaksanakan oleh beliau sendiri.

Sallam memberitahu: Ayyub melakukan qiamullail sepanjang malam tetapi beliau menyembunyikannya. Apabila hampir waktu Subuh, beliau mengangkat suara seolah-olah baru bangun daripada tidur.

Abu Hazim Salamah bin Dinar (wafat 140H) berkata:

اكتم حسناتك كما تكتم سيئاتك

"Sembunyikanlah amalan kebaikanmu sebagaimana kamu menyembunyikan perbuatan jahatmu." [Lihat: Siyar A'lam an-Nubala', 6/96–103]

Al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah meriwayatkan dalam Tarikh Baghdad (10/200) bahawa Abdul Rahman bin Abi Laila melakukan solat sunat di rumahnya; jika ada orang masuk ke rumah, beliau akan berbaring di tilamnya (seolah-olah sedang berehat).

Contohilah mereka, wahai para ahli ibadah! #ARAR, 16/5/2013.

(Makkah, 5 Zulhijjah 1434H – AAM)

Muhasabah diri: besar juga fitnah Facebook dalam ibadat kita

Karikatur seorang lelaki mengambil swafoto dengan telefon ketika berada di atas sejadah

Pada zaman kita hari ini pula, semua ibadat hendak diberitahu kepada orang:

  • Sedang solat, ambil gambar.
  • Sedang tawaf dan saie, ambil gambar.
  • Sedang melontar, ambil gambar.
  • Sedang menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW pun ambil gambar.
  • Bahkan ketika sedang berdoa pun ambil gambar; menangis dalam doa atau dalam sujud pun diceritakan kepada orang.

Semuanya untuk dimasukkan ke dalam Facebook!

Bahayanya: nanti "hidupku dan matiku untuk Facebook"!

اللهم أصلح أحوالنا ونياتنا!

Hujan di Arafah (Rabu, 4 Zulhijjah 1434H)

Hujan turun lebat di Arafah dan kawasan sekitarnya.

Menurut maklumat petugas di Arafah, banyak juga khemah yang terbalik dan runtuh dan ada barang-barang yang hanyut dibawa air hujan.

Bumbung zink dan khemah yang runtuh menimpa kenderaan selepas hujan lebat di Arafah

Biasalah, hujan di Makkah dan sekitarnya akan menjadi banjir kilat, mungkin kerana sistem perparitan tidak disediakan memandangkan jarang hujan di sana.

Khemah yang terbalik itu biasanya dibaiki dalam masa yang singkat oleh pihak muassasah. Alhamdulillah.

Doakan semoga pada hari Arafah nanti semuanya selamat sejahtera.

Berita palsu

Cepatnya tersebar dan rajinnya orang bekerja menyebarkan cerita palsu kononnya Kerajaan Saudi menghantar pulang jemaah haji kerana banjir dan lain-lain.

"Dukacita dimaklumkan bahawa Arab Saudi telah menutup kemasukan jemaah haji di seluruh dunia akibat berlakunya ribut taufan di Arafah. Jemaah yang telah tiba di Jeddah pun diarah pulang ke negara masing-masing."

Laporan dari Makkah

Mesej penafian berita palsu tentang banjir di Makkah yang ditandatangani Abu Anas Madani

Ahli keluarga jemaah haji jangan bimbang; alhamdulillah kami di Makkah dalam keadaan dan suasana yang baik.

Jangan percaya kepada SMS palsu yang mengatakan jemaah diarah pulang kerana banjir. Berita yang mengatakan Arab Saudi mengarahkan jemaah haji berpatah balik ke tanah air semasa tiba di Jeddah adalah TIDAK BENAR.

Jemaah yang tidak mendapat visa haji dan tidak dapat datang memang ramai di Kuala Lumpur sana. Jangan cuba menggunakan kejadian alam untuk menutup kelemahan dan memberi alasan.

Saya perbetulkan mesej tersebut: TIADA SAMA SEKALI arahan daripada Kerajaan Arab Saudi untuk menutup kemasukan jemaah haji yang akan berwukuf di Arafah. Peristiwa yang berlaku hanyalah hujan lebat dan banjir kilat. Semua dalam keadaan sedia kala sekarang. Ada khemah yang tumbang kerana belum dipasang dengan sempurna dan para petugas sedang membaikinya hari ini. Tiada kemalangan jiwa dan semua jemaah haji berada di Makkah.

Kemasukan jemaah haji memang ditutup seperti tahun-tahun lepas, iaitu seminggu sebelum wukuf semua penerbangan haji dari seluruh dunia sudah selesai dan lapangan terbang haji ditutup sementara.

Lihat juga catatan saya pada haji tahun 1430H ketika berlaku hujan lebat di Arafah dan Jeddah: Rehlah Haji 1430H (Siri 1).

Mataf

Tempat tawaf (mataf) dan binaan mataf sementara di Masjidil Haram pada waktu malam

Alhamdulillah, pada 5 Zulhijjah tempat tawaf (mataf) asal di atas bangunan Masjidil Haram yang sedang dibaiki telah dibuka kepada tha'ifin (orang yang bertawaf) walaupun belum siap sepenuhnya untuk menampung jemaah yang semakin ramai.

Manakala tempat tawaf sementara yang berbentuk bulat di tengah-tengah dataran dan mengganggu pandangan itu tetap dikekalkan! Tetapi ia hanya dikhaskan untuk pengguna kerusi roda bersama seorang pengiring sahaja.

(AAM, Masjidil Haram, 5 Zulhijjah 1434H)

Haji mabrur: unta yang menunaikan haji

Orang yang ingin menunaikan haji hendaklah memastikan perbelanjaan hajinya daripada harta yang halal dan suci.

Seorang penyair berkata:

إذا حججت بمال أصله دنس ... فما حججت ولكن حجت العير

Jika engkau melaksanakan haji dengan harta yang kotor asalnya,
maka bukan engkau yang menunaikan haji; hakikatnya yang menunaikan haji ialah UNTA (yang ditunggangi).

لا يقبل الله إلا كل صافية ... ما كل من حج بيت الله مبرور

Allah tidak menerima kecuali yang SUCI BERSIH;
tidak semua yang menunaikan haji ke Baitullah itu hajinya mabrur.

Maksudnya, dia tidak mendapat pahala dan hajinya tidak diterima oleh Allah Ta'ala disebabkan perbelanjaannya yang kotor.

Maka keadaannya sama seperti orang yang tidak pergi haji.

Jadi, yang pergi haji ialah unta yang ditungganginya.

Carilah harta yang halal dan bersih untuk menunaikan haji. Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur. #ARAR

(Makkah, 6 Zulhijjah 1434H – AAM)

Tazkirah: ihram hati

Khutbah Syeikh Salih Al Talib di Masjidil Haram, 6 Zulhijjah 1434H (خطبة الشيخ صالح آل طالب). Lihat rakaman: YouTube.

Mukadimah khutbah Masjidil Haram hari ini: keluhan orang yang tidak dapat pergi haji.

يا راحِلين إلى البيت العتيقِ لقد ... سِرتُم جُسومًا وسِرنا نحن أرواحًا
إنـا أقَمنـا على عُذرٍ نُكابِدُه ... ومن أقـامَ على عُذرٍ كمن راحَا

Wahai golongan yang berangkat ke Bait al-'Atiq (Kaabah), sesungguhnya
kamu pergi dengan jasad kamu dan kami pergi dengan jiwa kami.
Kami tinggal kerana keuzuran yang kami tanggung,
dan sesiapa yang tinggal kerana uzur sama seperti orang yang pergi.

خرجَت أمُّ أيمن بنتُ عليٍّ من مصر وقتَ خُروج الحُجَّاج والجِمالُ تمرُّ بها وهي تبكِي وتقول: "هذه حسرةُ من انقطعَ عن الوصول إلى البيت؛ فكيف تكونُ حسرةُ من انقطعَ عن ربِّ البيت؟!".

Ummu Aiman binti Ali rahimahallah keluar dari Mesir ketika jemaah haji berangkat menuju ke Makkah. Apabila rombongan unta melintasi di hadapannya, dalam keadaan menangis beliau berkata: "Ini kerugian bagi mereka yang terhalang daripada sampai ke Baitullah. Maka bagaimana pula besarnya kerugian bagi mereka yang terputus hubungannya dengan Tuhan pemilik Baitullah?!"

(AAM, Jumaat 6 Zulhijjah 1434H)

Dalam hal ini Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah berkata:

من فاته هذا العام المقام بعرفة، فليقم بحقه الذي عرفه. من عجز عن المبيت بمزدلفة، فليبيت عزمه على طاعة الله وقد قربه وأزلفه. من لم يمكنه القيام بأرجاء الخيف، فليقم بحق الرجاء والخوف. من لم يقدر على نحر هديه بمنى، فليذبح هواه هنا، وقد بلغ المنى. إن حُبستم العام عن الحج فارجعوا إلى جهاد النفوس، أو أُحصرتم عن أداء النسك فأريقوا على تخلفكم من الدموع ما تيسر، فإن إراقة الدماء لازمة للمحصَر، ولا تحلقوا رءوس أديانكم بالذنوب، فإن الذنوب حالقة الدين ليست حالقة الشعر، وقوموا لله باستشعار الرجاء والخوف مقام القيام بأرجاء الخيف والمشعر، ومن كان قد بعد عن حرم الله فلا يبعد نفسه بالذنوب عن رحمة الله، فإن رحمة الله قريب ممن تاب إليه واستغفر، ومن عجز عن حج البيت أو البيت منه بعيد، فليقصد رب البيت، فإنه ممن دعاه ورجاه، أقرب إليه من حبل الوريد.

(Maksudnya secara ringkas: Sesiapa yang terlepas wukuf di Arafah tahun ini, hendaklah dia menunaikan hak Allah yang telah dikenalinya; sesiapa yang tidak mampu bermalam di Muzdalifah, hendaklah dia bermalam dengan tekad untuk mentaati Allah; sesiapa yang tidak dapat menyembelih hadyunya di Mina, hendaklah dia menyembelih hawa nafsunya di sini. Jika kamu terhalang daripada haji tahun ini, kembalilah kepada jihad melawan nafsu dan janganlah mencukur "kepala agama" kamu dengan dosa, kerana dosa itu mencukur agama, bukan mencukur rambut. Sesiapa yang tidak mampu pergi ke Baitullah, hendaklah dia menuju kepada Tuhan pemilik Baitullah, kerana Dia lebih dekat kepada orang yang berdoa dan berharap kepada-Nya daripada urat lehernya sendiri. – Lata'if al-Ma'arif)

Haji: antara semalam dan hari ini

Beberapa titik penting daripada pertemuan dengan para pendakwah dari beberapa negara, berkisar tentang haji: antara semalam dan hari ini.

1. Perjalanan haji. Jemaah haji dahulu menggunakan kapal laut yang mengambil masa berbulan-bulan; ada yang berjalan kaki sehingga mengambil masa setahun. Jemaah haji hari ini hanya mengambil masa beberapa jam dari tempat bertolak hingga sampai ke Makkah.

Gambar lama kafilah unta jemaah haji merentasi padang pasir
  1. Keamanan perjalanan. Selain masa perjalanan yang panjang, para jemaah terdedah kepada banyak bahaya sepanjang perjalanan, sama ada bencana alam atau kezaliman penyamun di tengah jalan. Kerana itu masyhur dalam kalangan orang terdahulu ungkapan: "Jemaah haji: perginya umpama hilang, pulangnya bagai baru dilahirkan."
  2. Persiapan rohani. Seseorang yang berihram dari miqat dahulu mengambil masa beberapa hari sebelum sampai ke Makkah. Justeru mereka bertalbiah pagi dan petang, siang dan malam sepanjang perjalanan. Talbiah ialah lambang pengesaan Allah dan memberi kesan yang amat besar kepada orang yang mengucapkannya. Berbeza dengan perjalanan sekarang: belum sempat menghabiskan 100 kali talbiah, Kaabah sudah berada di hadapan mata.
  3. Kemudahan. Tentu sahaja kemudahan yang ada sekarang ialah nikmat yang besar daripada Allah sehingga orang yang berhaji berada dalam keadaan lebih selesa berbanding dahulu: Masjidil Haram yang luas, khemah di Mina dan Arafah, tandas, petunjuk arah kiblat, bekalan makanan dan minuman serta lain-lain.

Seorang pendakwah dari Indonesia berkongsi pengalaman menunaikan haji pada era 80-an: apabila beliau bermimpi dan bangun dalam keadaan berjunub, amat payah untuk mendapatkan air sehingga beliau terpaksa membeli beberapa botol minuman dan menggunakannya untuk mandi.

Semoga kita dapat mengambil faedah daripada perbezaan ini dan memanfaatkan nikmat yang dikurniakan tanpa melupakan sudut-sudut yang memberi kelebihan kepada para jemaah haji dahulu. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada jemaah haji kita dan seluruh dunia HAJI yang MABRUR serta menerima segala amalan kebaikan kita, sehingga akhirnya Allah mengganjari kita dengan SYURGA yang kekal abadi di akhirat sana.

(Ustaz Hashimi, Makkah, 7 Zulhijjah 1434H)

Akhukum, Abu Anas Madani (Makkah, 12 Oktober 2013).

Bahagian 3: Tarwiyah, Arafah, Mina dan Wada'

Tarwiyah

Pintu masuk Maktab 74 di Mina pada waktu malam

Keadaan di Makkah malam ini (7 Zulhijjah): ada jemaah yang sudah mula berangkat ke Mina untuk menghidupkan sunnah hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) dengan berada di Mina keesokan harinya.

Rasulullah SAW sewaktu Hajjatul Wada' berangkat ke Mina pada pagi hari Tarwiyah dan melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh (lima waktu) pada waktunya masing-masing tanpa jamak dan solat yang empat rakaat diqasarkan menjadi dua rakaat.

Pada pagi 9 Zulhijjah Baginda berangkat ke Arafah.

((خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ))

((الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ))

"Ambillah daripadaku cara-cara manasik kamu." "Haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga." [HR Muslim dan an-Nasa'i; HR al-Bukhari dan Muslim]

Alhamdulillah, jemaah Ash-Har yang bersama saya semuanya berada di Mina pada hari Tarwiyah, menghidupkan sunnah haji ini.

Di Mina kami mengisi masa dengan solat, zikir, tazkirah serta kuliah dan lain-lain aktiviti. Demikian juga pada hari raya dan hari-hari tasyrik selepasnya.

اللهم اجعل حجنا حجا مبرورا

Buku-buku murajaah dan mutalaah musim haji 1434H

Susunan buku rujukan musim haji 1434H, termasuk Makkah al-Mukarramah dan Al-'Alam al-Akhir

9 Zulhijjah 1434H: hari wukuf

Selepas solat Subuh jemaah dibawa dengan bas ke Arafah. Sampai di Arafah jemaah berehat seketika.

Kemudian saya menyampaikan tazkirah Duha: mengulang kaji khutbah Rasulullah SAW di Arafah 1424 tahun yang lampau.

Dr. Abu Anas Madani bersama jemaah berihram di dalam khemah Arafah
Pagi Arafah sebelum waktu wukuf.

Selepas solat Zuhur, jemaah bermunajat, berdoa dan berzikir memohon segala hajat serta keampunan daripada dosa dan segala kesalahan.

Fenomena "zikir munajat" seperti biasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina terus berkumandang, istimewa lagi apabila ada bersama kami "syeikh munajat" sendiri. Allahul musta'an. (Hal ini sudah diceritakan dengan terperinci dalam catatan tahun 1430H.)

Doa Arafah

Poster Kelebihan Puasa dan Beramal Pada 9 Zulhijjah dengan hadis tentang puasa dan doa hari Arafah

Doa pada hari Arafah: untuk jemaah haji atau semua? Persoalan ini saya huraikan dalam tulisan "Doa Pada Hari Arafah Untuk Jemaah Haji Atau Semua".

Di Arafah, 1424 tahun yang lalu

((Seorang Yahudi berkata kepada Umar radhiyallahu 'anhu: Wahai Amirul Mukminin, ada SATU AYAT dalam kitab kamu yang kamu baca; jika ayat itu diturunkan kepada kami kaum Yahudi, nescaya kami akan menjadikan hari itu HARI RAYA.

Umar RA bertanya: Ayat yang mana?

Yahudi itu berkata:

{الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا}

Maksudnya: {Pada hari ini Aku telah SEMPURNAKAN bagi kamu AGAMA kamu, Aku telah CUKUPKAN NIKMAT-KU kepada kamu dan Aku telah REDA ISLAM itu menjadi AGAMA untuk kamu.} [Surah al-Ma'idah: 3]

Umar radhiyallahu 'anhu berkata: Kami mengetahui hari dan tempat ayat tersebut diturunkan kepada Nabi SAW. Ia turun ketika Baginda sedang berdiri di ARAFAH pada hari Jumaat.)) [Muttafaq 'alaih: al-Bukhari, no. 45; Muslim, no. 3017]

Berpegang teguhlah dengan AGAMA ISLAM yang telah diredai dan disempurnakan oleh Allah Ta'ala 1424 TAHUN yang lalu.

Agama Islam telah sempurna.
Agama Islam telah sempurna.
Agama Islam telah sempurna.

Ingatlah, sesuatu perkara atau urusan yang bukan daripada agama ISLAM 1424 TAHUN yang lalu, maka ia bukan daripada agama Islam pada hari ini.

Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu. #ARAR

(AAM, Mina, Maktab 74, pagi hari Arafah 1434H)

Mina – منى

Kenapa dinamakan Mina?

  1. Kerana banyak darah hadyu, korban atau dam ditumpahkan di sini.
  2. Tempat manusia berkumpul ketika haji.
  3. Bermaksud cita-cita atau harapan. Ceritanya: apabila Jibril hendak berpisah dengan Nabi Adam di Mina, Jibril bertanya: "Apakah cita-cita tuan?" Jawab Adam: "Aku mengharapkan syurga."

Kata Imam an-Nawawi: jawapan pertama itulah yang betul.

(AAM, Mina, Yaum an-Nahr 1434H)

Hari Raya

Hari Raya di Mina: jemaah beribadat dan berehat di khemah.

Pada petang hari ini, kami ke Jamarat untuk melontar Jamrah al-Aqabah, kemudian bercukur atau bergunting. Selesailah tahallul awal.

Alhamdulillah, semua jemaah haji lelaki yang bersama saya bercukur kepala (100%). Terima kasih kerana memilih yang terbaik.

Jemaah lelaki Ash-Har yang telah bercukur kepala bergambar beramai-ramai di khemah Mina

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ((Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Dan orang-orang yang bergunting, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Dan orang-orang yang bergunting, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata lagi: Dan orang-orang yang bergunting, wahai Rasulullah? Barulah Baginda bersabda: Dan juga orang-orang yang bergunting.)) [HR al-Bukhari, no. 1727 dan Muslim, no. 1301]

Manakala wanita hanya perlu menggunting sekadar seruas jari dari hujung rambut.

(AAM, Mina, 11 Zulhijjah 1434H)

Forum Perdana di Mina, 11 Zulhijjah

Pihak Tabung Haji telah memilih tiga orang ustaz sebagai ahli panel forum:

  • Dato' Daud Che Ngah
  • Abu Anas Madani
  • Habib Ali Zainal Abidin

Ustaz Shukri Ramli bertindak sebagai moderator.

Tajuk: Anggaplah Peluang Haji Hanya Sekali! Maka Lakukanlah Amalan Ibadat Haji yang Terbaik.

Ahli panel Forum Perdana di Mina 11 Zulhijjah 1434H

Isi perbincangan:

  1. Jemaah perlu mendapat ilmu dan motivasi yang cukup sebelum datang.
  2. Di Makkah, para pembimbing perlu berusaha menyampaikan maklumat yang sahih, zikir, cerita serta rahsia atau hikmah ibadat haji, selain hukum-hakam.
  3. Kesedaran jemaah yang ingin berubah perlu diisi dengan tarbiah, bimbingan dan suntikan semangat yang berterusan.
  4. Memperkenalkan kelebihan Tanah Haram, Makkah, Muzdalifah dan Mina. Biar jemaah sedar di mana mereka berada, bukan hanya melihat bangunan tinggi atau longgokan sampah-sarap.
  5. Perancangan rapi: 300 minit di Arafah ketika waktu wukuf perlu diisi dengan zikir, istighfar, munajat dan taubat (bukan "zikir munajat" dengan suara kuat yang mengganggu jemaah lain beribadat).
  6. Malangnya, masih ramai lagi yang melakukan "haji malboro", bukan haji mabrur.

اللهم تقبل منا حجنا إنك أنت السميع العليم

Madrasah haji

Selain madrasah Ramadan, madrasah haji ialah madrasah yang paling menyentuh hati dan perasaan.

Saya perhatikan, sejak pulang dari wukuf di Arafah, ramai ahli jemaah yang berubah dari segi semangat, kata-kata dan sikap, serta mereka menjaga amalan-amalan sunat.

Memang benar, madrasah haji ialah madrasah hebat yang mampu mengubah diri seseorang. Jiwa kembali kepada fitrah, hati kembali kepada ketenangan, diri kembali mengabdikan diri kepada Tuhan. Di sanalah paling ramai manusia mengadu segala resah kepada Tuhannya sehingga mengalir air mata, menangis mengenangkan diri, hamba yang penuh dosa dan noda.

Ketika sesi taaruf di Mina, kebanyakan ahli jemaah sebak dan menangis. Kebanyakan mereka berkata, "Kali ini barulah saya kenal siapa diri saya sebenarnya: hamba Allah yang hina lagi banyak dosa."

"Ya Allah, berilah kami kesempatan lagi untuk menyahut seruan-Mu."

Nafar awal (12 Zulhijjah 1434H)

Jemaah Ash-Har bersiap menaiki bas untuk kembali ke Makkah selepas nafar awal

Alhamdulillah, selesai amalan haji di Mina.

ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم

Firman Allah SWT:

{وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ}

Maksudnya: "Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua (nafar awal), maka dia tidaklah berdosa; dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina), maka dia juga tidaklah berdosa, (ketiadaan dosa itu) bagi orang yang bertakwa. Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepada-Nya." [Surah al-Baqarah: 203]

(AAM, Makkah, 12 Zulhijjah 1434H)

Selepas haji

Saya sempat meninjau pembangunan Masjidil Haram yang masih dalam pembinaan dan perancangan pembangunan Makkah hingga tahun 1462H, insya-Allah.

Sempat atau tidak atau sudah kiamat? Allahu a'lam; perancangan tetap perlu dibuat!

المخطط الشامل لمكة المكرمة والمشاعر المقدسة– lihat rakaman YouTube.

Penjunjung jemaah haji uzur

Apabila melihat orang uzur bertawaf dengan kerusi roda, teringatlah saya akan cerita lama dalam sejarah Makkah: asy-Syibriyyah atau asy-Syabari (الشِّبرية – الشباري).

Ia ialah katil atau kotak yang dibuat daripada kayu dari Jawa dan diikat dengan tali untuk membawa orang sakit atau tua yang tidak larat berjalan bertawaf.

Gambar lama syabari: pengusung kayu yang dijunjung untuk membawa jemaah uzur bertawaf

Ia seperti raga atau kotak daripada kayu dan tali. Orang yang uzur duduk di dalamnya, kemudian diusung atau dijunjung oleh dua atau tiga orang penjunjung; sekiranya pesakit itu besar, empat orang akan membawanya.

Laungan mereka meminta laluan ialah: "Khasyab, khasyab!" (خشب, ertinya kayu). Semua orang akan memberi laluan kerana takut dilanggar oleh penjunjung yang biasanya berbadan besar (orang Nigeria).

Syabari ini telah dihentikan khidmatnya sekitar tahun 2008 dan digantikan dengan kerusi roda (menurut laporan akhbar Asharq al-Awsat).

(AAM, Makkah, 15 Zulhijjah 1434H)

Kerusi saie ("teksi saie")

Deretan kerusi saie berhias di Mas'a, Masjidil Haram

Dahulu kerusi ini digunakan untuk membawa orang yang uzur melakukan saie.

Kini sudah tinggal sedikit sahaja kerana orang menggunakan kerusi roda biasa yang tidak berhias (seperti di hospital).

(Mas'a, Makkah, 14 Zulhijjah 1434H – AAM)

Unta

Kaligrafi ayat afala yanzuruna ilal ibili kaifa khuliqat yang dilukis berbentuk unta

Pagi ini bersama jemaah Ash-Har, kami mentadabbur ayat tentang unta. Firman Allah SWT:

{أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ}

{(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat?) Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?} [Surah al-Ghasyiyah: 17]

Sila lihat juga Surah an-Nahl, ayat 5–6, yang menyebut nikmat Allah 'Azza wa Jalla ke atas hamba-Nya dengan kurniaan binatang ternakan (al-an'am) ini.

Kemudian jemaah dibawa melawat Hudaibiyah, tempat-tempat bersejarah dan ladang unta. Di sana para jemaah sempat minum susu unta dan melawat Muzium Haramain.

(AAM, Hudaibiyah, 16 Zulhijjah 1434H)

Daripada sekian banyak haiwan, Allah memerintahkan kita memerhati kejadian UNTA. Kenapa?

أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ (عجائب الإبل)

Lihat: Camels (muslimcd)

Dr. Abu Anas Madani berdiri di sisi seekor unta di ladang unta

Unta ialah makhluk Allah Ta'ala yang besar, tanda kekuasaan Allah 'Azza wa Jalla, sebagaimana firman-Nya: "Tidakkah mereka memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?" (al-Ghasyiyah: 17).

Dengan seruan sebegini daripada Allah, sudah pasti ia sesuatu yang sangat penting, yang mempunyai kebaikan, pengajaran dan manfaat besar bagi manusia yang mengkajinya. Al-Quran yang mulia penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Kita di Malaysia memang sukar melihat unta secara langsung, mungkin ada jika kita pergi ke zoo yang besar. Tetapi ini tidak menghalang kita daripada menyahut seruan Allah ini. Kita boleh mendapat maklumat tentang keajaiban unta melalui buku, laman web, majalah atau program dokumentari di televisyen dan dengan itu menggalakkan anak-anak kita membaca dan menimba ilmu ini.

Kata Ibnu Kathir: kejadiannya pelik, susunan bentuknya aneh, mempunyai kekuatan dan kehebatan tetapi boleh tunduk kepada manusia yang lemah. Ia boleh dimakan, diminum susunya dan dimanfaatkan bulunya.

Antara keistimewaan unta ialah:

  • Mempunyai daya ingatan yang kuat; walaupun mengembara jauh ke serata tempat, unta pandai kembali ke tempat asalnya.
  • Mempunyai deria bau yang kuat; boleh mengesan tempat yang ada air, tempat turun hujan atau tempat tumbuh rumput.
  • Dapat membezakan suara tuannya daripada suara-suara lain.
  • Ketika berjalan, unta mengangkat kaki hadapan dan kaki belakang sebelah kanan serentak, kemudian kedua-dua kaki sebelah kiri bergerak serentak pula untuk keseimbangan.
  • Unta jantan mempunyai sifat cemburu yang sangat kuat dan tidak mahu unta jantan lain berada berdekatan ketika musim mengawan; jika tidak, unta jantan tadi akan mengejar dan membunuh unta jantan lain itu.
  • Untuk menambat unta, ikatlah kaki hadapan kirinya supaya tidak bergerak atau mudah duduk; demikian juga ketika hendak menyembelih atau memerah susunya.
  • Unta juga mampu berenang dengan kaki-kakinya.
  • Bulu badan unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk, tetapi juga mencegah tubuhnya kehilangan air.
  • Ia dapat mengelakkan badannya daripada berpeluh dengan membiarkan suhu badannya meningkat sehingga 41 darjah Celsius.
  • Bulu yang panjang pada hidung dan telinganya menjadi perisai daripada pasir dan debu padang pasir.
  • Mampu menghabiskan 30–50 kg makanan sehari jika ada makanan; sebaliknya mampu bertahan dengan hanya 2 kg rumput sebulan ketika kekurangan makanan.
  • Dapat hidup tanpa makanan dan air selama lapan hari pada suhu 50 darjah Celsius.
  • Ia dapat meneguk air sebanyak 130 liter dalam tempoh 10 minit (kira-kira satu pertiga daripada berat badannya).

Masya-Allah, Allah al-Khaliq, Pencipta yang hebat. Kejadian unta begitu unik, cukup dengan segala kelengkapan untuk berdepan kesukaran persekitarannya di padang pasir yang panas dengan sumber air yang begitu terhad.

Demikianlah keajaiban yang Allah tunjukkan pada makhluk-Nya. Semoga kita sentiasa memerhati dan berfikir.

Sumber: الإبل عجائب وغرائب – منتديات النداوي الشعبية.

(AAM, Hudaibiyah, 29 Rejab 1434H)

Poster seorang musafir menuntun unta di padang pasir dengan kata hikmah supaya hidup di dunia seperti seorang pengembara

Muhasabah: beberapa perhatian

Penaja beg kepada jemaah haji Malaysia tahun 1434H.

Terima kasih atas sumbangan itu. Cuma saya terfikir: adakah bank ini sudah patuh syariah dalam segala muamalahnya atau masih mengamalkan sistem RIBA?

Kalau sudah patuh, alhamdulillah. Kalau belum patuh syariah, kasihan jemaah haji yang mengelek ke semua tempat ibadat haji logo yang mengiklankan muamalah riba yang diharamkan oleh Allah 'Azza wa Jalla.

Pihak pengurusan Tabung Haji perlu peka dengan isu yang sensitif menurut syariah.

Fenomena ber"couple"

Fenomena baharu juga bagi jemaah Malaysia: suka solat berjemaah bersama suami atau isteri bersebelahan, sedangkan ruang masih ada untuk solat secara berasingan.

Dahulu kita melihat jemaah negara lain berbuat begitu. Sekarang orang kita pun sudah pandai solat berjemaah "berduet".

Sekarang bukan setakat solat (di Makkah) ber"couple", ceramah pun ber"couple"; seperti tidak sah kalau buat forum tanpa ustaz dan ustazah atau suami isteri berforum sepentas.

Makkah luas, Masjidil Haram pun luas

Dataran Masjidil Haram yang dipenuhi jemaah haji

Yang menjadi masalahnya:

  1. Orang suka duduk di tengah jalan menuju ke masjid; tidak mahu masuk ke dalam masjid.
  2. Kalau masuk masjid pun, suka duduk berhampiran pintu.
  3. Fenomena baharu jemaah Malaysia: suka solat berjemaah bersama suami atau isteri bersebelahan.

Benarlah pepatah Arab:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها ... ولكن أخلاق الرجال تضيق

Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
namun SIKAP PENGHUNINYA yang menyempitkannya.

Wallahu a'lam.

(AAM, Makkah, 21 Zulhijjah 1434H)

Sebelum berpisah

Majlis makan malam perpisahan jemaah Ash-Har di Muzdalifah

Sebuah majlis perpisahan, tazkirah dan makan malam jamuan anak unta (hasyi).

Jemaah haji Ash-Har Travel 1434H telah dibawa dengan bas ke Muzdalifah (المشعر الحرام).

Semoga peristiwa ini menjadi kenangan dalam memori rehlah haji.

Wada' Makkah (haji 1434H)

Amalan terakhir jemaah haji ialah TAWAF WADA', saat perpisahan dengan Makkah dan Kaabah.

Mungkin hikmahnya: mereka yang tidak merasai kepahitan berpisah tidak akan mengetahui kemanisan bertemu.

Setiap orang akan bertanya kepada dirinya: Adakah kita akan bertemu lagi? Ataupun ini perpisahan abadi dan kita tidak akan bertemu lagi?

Di saat itu jiwa dan perasaan bergetar, air mata mengalir dan lidah berdoa:

اللهم لا تجعل هذا آخر عهدنا في هذا المكان الطاهر، وارزقنا العودة بعد العودة، عاجلا غير آجل يا كريم

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ini kali terakhir aku berada di tempat yang suci ini. Rezekikanlah aku untuk kembali lagi dan lagi menjadi tetamu-Mu, dalam masa terdekat, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah!"

لئن أصبحت مرتحلا بشخصي ... فروحي عندكم أبدا مقيم

Walaupun jasadku berangkat meninggalkanmu,
jiwaku tetap berada di sisimu.

(Abu Anas Madani, wada' Makkah, pagi Isnin 23 Zulhijjah 1434H)

Akhukum,
Abu Anas Madani. Selamat sampai dari rehlah haji pada malam Rabu, 1 Muharam 1435H (5 November 2013).
Catatan siap pada 5 Muharam 1435H (9 November 2013).

Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)

Sebelum: Rehlah Haji 1433H (Siri 4) | Seterusnya: Rehlah Haji 1436H (Siri 6)

Bacaan berkaitan

Rujukan

13 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 28.

    Quran.com
  2. Musnad Ahmad, no. 6509 (riwayat Abdullah bin 'Amr r.a.) – sanad sahih.

    islamtics.com
  3. Sahih Muslim, no. 1977 (riwayat Ummu Salamah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih Muslim, no. 1297 (riwayat Jabir r.a.).

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 1773; Sahih Muslim, no. 1349.

    Sunnah.com
  6. Sahih Muslim, no. 1218 (hadis Jabir r.a.).

    Sunnah.com
  7. Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 3.

    Quran.com
  8. Sahih al-Bukhari, no. 45; Sahih Muslim, no. 3017 (riwayat Umar r.a.).

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibnu Umar r.a.).

    Sunnah.com
  10. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 203.

    Quran.com
  11. Al-Quran, Surah al-Ghasyiyah (88): 17.

    Quran.com
  12. Al-Quran, Surah an-Nahl (16): 5–6.

    Quran.com
  13. Sahih Muslim, no. 1348 (riwayat Aisyah r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Musafir Rehlah Haji 1436H (Siri 6) 2 Okt 2015 Musafir Catatan Rehlah Ke Istanbul dan Umrah 2013 1 Jun 2013 Musafir Rehlah Haji 1433H (Siri 4) 13 Nov 2012 Musafir Rehlah Haji 1432H (Siri 3) 12 Nov 2011