بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.
Dalil Kelebihan
Beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis telah menyebut tentang kelebihannya:
1. Firman Allah SWT:
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
Maksudnya: “Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr: 1–2)
Kata Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu az-Zubair, Mujahid dan lainnya.
2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi dengan sesuatu pun daripadanya (syahid).” (Riwayat al-Bukhari no. 969 dengan lafaz yang hampir sama, Ahmad no. 1968, Abu Dawud no. 2438 dan at-Tirmizi no. 757; lafaz di atas lafaz at-Tirmizi)
3. Firman Allah SWT:
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ
Maksudnya: “… dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Hajj: 28)
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu. (Disebut oleh al-Bukhari secara ta‘liq dalam Kitab al-‘Idain)
4. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ، وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Riwayat Ahmad no. 5446; dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam tahqiq al-Musnad)
- Adalah Sa‘id bin Jubair rahimahullah (tabiin yang meriwayatkan hadis Ibnu Abbas di atas), apabila tiba hari-hari tersebut, beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya upayanya. (Riwayat ad-Darimi dengan sanad yang hasan)
- Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya ibadat-ibadat yang utama, iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak terhimpun sebegitu. (Fath al-Bari, Kitab al-‘Idain)
Amalan-Amalan yang Baik Dilakukan pada Hari-Hari Tersebut
Solat
Disunatkan keluar awal menuju ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali engkau sujud kepada-Nya, Allah akan mengangkat darjatmu dengannya dan menghapuskan kesalahanmu.” (Riwayat Muslim no. 488). Ini umum untuk semua waktu.
Puasa
Kerana ia juga termasuk dalam amalan soleh. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri Rasulullah SAW, katanya: “Rasulullah SAW berpuasa sembilan hari (pertama) bulan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud no. 2437 dan an-Nasa’i; dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Dawud, manakala sebahagian ulama seperti az-Zaila‘i menilainya daif kerana idtirab pada sanad dan matannya)
Kata Imam an-Nawawi: Berpuasa pada sembilan hari ini (1 hingga 9 Zulhijjah) adalah sunat yang sangat digalakkan, khususnya hari kesembilan (hari Arafah). (Syarh Sahih Muslim, bab puasa sepuluh Zulhijjah.) Hari kesepuluh pula ialah Hari Raya Korban yang haram berpuasa padanya.
Takbir, Tahlil dan Tahmid
Ini kerana hadis Ibnu Umar di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La ilaha illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam al-Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA keluar ke pasar pada hari-hari sepuluh sambil bertakbir dan orang ramai turut bertakbir dengan takbir mereka.”
Katanya lagi: “Umar RA bertakbir di dalam khemahnya di Mina, lalu orang ramai yang berada di masjid mendengarnya dan mereka turut bertakbir, begitu juga orang di pasar-pasar, sehingga Mina bergema dengan suara takbir.”
Ibnu Umar RA pula bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas solat, di tempat tidurnya, di dalam khemahnya, di dalam majlis dan ketika berjalan. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.
Adalah patut sekali para Muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Puasa pada Hari Arafah
Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan daripada Allah agar ia menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim no. 1162)
PERINGATAN: Ini hanya disunatkan untuk orang yang TIDAK mengerjakan haji. Bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu baginda wukuf di Arafah pada tahun baginda mengerjakan haji (Riwayat al-Bukhari no. 1988 dan Muslim no. 1123).
Hari Raya Korban (Yaum an-Nahr), 10 Zulhijjah
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini, iaitu kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari haji yang besar (Hajj al-Akbar), seperti yang tersebut dalam Sunan Abi Dawud (no. 1765), hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qarr.” (Hari Qarr ialah hari para jemaah haji menetap dan bermalam (mabit) di Mina, iaitu hari kesebelas Zulhijjah.)
Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dosa dua tahun, tidak ada hari lain yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada neraka lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut (Riwayat Muslim no. 1348).
Yang lebih tepat ialah pendapat yang pertama (hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
[Nota: Ini pendapat Ibnu al-Qayyim dan sebahagian ulama Hanbali. Mazhab Syafie dan ramai ulama lain berpendapat hari Arafah ialah hari yang paling afdal dalam setahun berdasarkan hadis Muslim no. 1348 di atas. Kedua-duanya hari yang agung.]
Sama ada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap Muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji, mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.
Cara Menyambut Musim Kebajikan
- Setiap Muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat, kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.
- Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Ankabut: 69)
Peringatan kepada Mereka yang Ingin Melakukan Ibadat Korban
Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Apabila masuk sepuluh terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu ingin melakukan ibadat korban, maka janganlah dia memotong rambut (bulu) dan kukunya sedikit pun.” (Riwayat Muslim no. 1977, daripada Ummu Salamah RA)
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini. Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafie mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulama mazhabnya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang tidak sampai kepada haram).” (Syarh Sahih Muslim). Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat ia tidak makruh.
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan membuat persediaan lebih awal lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Kepada para jemaah haji, semoga mendapat haji yang mabrur. Amin. Sekian, wassalam.
وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين
Risalah asal bertajuk Fadl Ayyam ‘Asyr Dhi al-Hijjah, terbitan Dar al-Watan, Riyadh dan telah disemak oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin. Alih bahasa oleh Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani), Madinah al-Munawwarah, 30 Zulkaedah 1418H / 28 Mac 1998. Suntingan: 19 Zulkaedah 1426H / 21 Disember 2005 dan 18 Zulkaedah 1433H / 4 Oktober 2012. Wallahu a‘lam.
Bacaan berkaitan
Rujukan
16 sumber-
Al-Quran, Surah al-Fajr (89): 1–2.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Idain, no. 969 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 757; Sunan Abi Dawud, no. 2438; Musnad Ahmad, no. 1968 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 28.
Quran.com -
Musnad Ahmad, no. 5446 (riwayat Ibn 'Umar r.a.); dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth.
surahquran.com -
Sunan ad-Darimi: athar Sa'id bin Jubair (isnad hasan).
alukah.net -
Sahih Muslim, Kitab as-Salah, no. 488 (riwayat Thauban r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 2437 (riwayat Hunaidah bin Khalid daripada sebahagian isteri Nabi SAW); disahihkan al-Albani (Sahih Abi Dawud), didaifkan az-Zaila'i (Nasb ar-Rayah 2/157) kerana idtirab.
islamqa.info -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Idain, bab fadl al-'amal fi ayyam at-tasyriq dan bab at-takbir ayyam Mina (athar mu'allaq).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1162 (riwayat Abu Qatadah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1988; Sahih Muslim, no. 1123 (riwayat Ummu al-Fadl r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 1765 (riwayat 'Abdullah bin Qurt r.a.); disahihkan al-Albani.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat 'Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-'Ankabut (29): 69.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Adahi, no. 1977 (riwayat Ummu Salamah r.a.).
Sunnah.com -
Dar al-Ifta' al-Misriyyah, fatwa no. 14031: hukum mengambil rambut dan kuku bagi yang ingin berkorban.
dar-alifta.org
