Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Khutbah

Khutbah Musim Haji (Siri 1): Khutbah Arafah 1431H

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 November 2010 · 7 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Abu Fatih al-Mubaraki. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: teks tazkirah Arafah untuk jemaah haji Ash-Har Travel (Maktab 81), Makkah, 7 Zulhijjah 1431H.

Petikan Teks Khutbah Arafah 1431H

حجاج بيت الله

Seruan Arafah 1431H kali ini sekali lagi bersuara. Suara yang sentiasa memenuhi jiwa-jiwa yang ingin pulang ke pangkuan Allah Ta‘ala dengan seruan menambah ketakwaan kepada-Nya. Hanya takwa sahajalah nilaian yang diperakui di sisi Rabb al-Jalil.

Pesanan Luqman al-Hakim kepada anakandanya wajar dijadikan perhatian buat semua dengan katanya: “Wahai anakku yang dikasihi. Janganlah sekali-kali kamu menanggalkan pakaian takwa daripada tubuhmu. Sekiranya itu berlaku, maka seolah-olah tiada seurat benang pun yang menutupi tubuhmu.”

Justeru, permukiman kita dalam perkhemahan tarbawiyyah dan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim a.s. dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW ini wajib dijadikan peluang yang digunakan sebaik-baiknya untuk menjana iman dan takwa.

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Ibadah haji menyaksikan perhimpunan agung manusia dari seluruh pelosok dunia. Perhimpunan yang mempunyai satu arah dan tujuan. Perhimpunan yang menyaksikan perbezaan darjat yang selama ini dibanggakan manusia, warna kulit yang suka dibeza-bezakan serta kedudukan dan pangkat yang sentiasa dibanding-bandingkan dan dipuja, semuanya menjadi sama, serupa dan tiada berbeza. Kebersamaan inilah yang lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan manusia terhimpun menjadi satu. Satu akidah, satu iman. Satu kiblat dan satu tujuan, haji yang mabrur menjadi idaman. Menjadi satu umat kepada Nabi akhir zaman. Berpegang teguh dengan satu kitab, al-Quran. Beramal kukuh dengan sunnah Nabi junjungan, sehingga mampu menjadi pegangan yang berkekalan untuk dipersembahkan di hadapan ar-Rahman pada perhimpunan Mahsyar yang agung kelak.

Sudah jelas lagi nyata kepada kita bahawasanya ajaran Islam memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat. Sebaliknya lebih jelas dan nyata lagi bahawasanya ajaran-ajaran, idealisme-idealisme dan semua yang selain daripada agama Islam akan menempah akibat yang buruk bermula dari dunia lagi, sebelum akibat yang lebih buruk dan tercela di akhirat sana. Kenyataan dan hakikat inilah yang mewajibkan diri kita bertambah yakin dengan Islam. Agama yang memacu kebenaran dan keadilan. Agama penyelamat manusia daripada kemurkaan Tuhan.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 85:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang yang rugi.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Dalam kesempatan rehlah imaniyyah (kembara keimanan) yang berkampung di perkampungan maghfirah (keampunan) di bumi Arafah ini, pada saat yang sangat mulia lagi mustajab, saya ingin mengajak diri saya dan khalayak para jemaah sekalian untuk mendengar wasiat terakhir bumi Arafah, Khutbah al-Wada‘ Baginda SAW yang disampaikan di Wadi ‘Uranah di hadapan lebih seratus ribu jiwa manusia pada hari Jumaat, 9 Zulhijjah tahun kesepuluh Hijrah.

Pesanan khutbah ini diulang-ulang dengan suara lantang oleh Rabi‘ah bin Umayyah bin Khalaf di bumi Arafah supaya didengar oleh orang ramai. Dengarlah wahai para hujjaj sekalian, bingkisan daripada khutbah terakhir ini. Dengarlah dengan iman yang memenuhi setiap pelosok nurani. Dengarlah agar jelas olehmu maksudnya dan pengajaran daripadanya. Dengarlah dan hayatilah agar meresap dalam jiwamu yang murni. Dengarlah kini dan murnikan dengan hakikat dan pelaksanaannya, bermula di sini dan hendaknya berkekalan setelah pulang dari kembara haji ini nanti.

Petikan Khutbah al-Wada‘

Teras khutbah ini diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. dalam hadis panjang tentang haji Nabi SAW (Sahih Muslim, no. 1218). Sebahagian lafaz lain (seperti nombor 1 dan 3 di bawah) terdapat dalam riwayat sirah, antaranya Sirah Ibn Hisyam. Nabi SAW bersabda:

1) “Wahai manusia, dengarlah apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu lagi di tempat ini selepas tahun ini selama-lamanya.”

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

2) “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu adalah haram (terpelihara) ke atas kamu, sebagaimana haramnya hari kamu ini, dalam bulan kamu ini, di negeri kamu ini.” (Dalam riwayat al-Bukhari daripada Abu Bakrah r.a. ditambah: “dan kehormatan kamu”.)

أَلَا كُلُّ شَيْءٍ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ تَحْتَ قَدَمَيَّ مَوْضُوعٌ وَدِمَاءُ الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعَةٌ وَإِنَّ أَوَّلَ دَمٍ أَضَعُ مِنْ دِمَائِنَا دَمُ ابْنِ رَبِيعَةَ بْنِ الْحَارِثِ كَانَ مُسْتَرْضِعًا فِي بَنِي سَعْدٍ فَقَتَلَتْهُ هُذَيْلٌ

3) “Sesiapa yang memegang amanah, maka hendaklah dia mengembalikan amanah itu kepada tuannya. Ingatlah, segala urusan jahiliah telah berada di bawah tapak kakiku (telah dihapuskan). Tuntutan darah zaman jahiliah (sebelum Islam) telah digugurkan. Tuntutan darah pertama yang aku gugurkan daripada darah kami ialah darah Ibn Rabi‘ah bin al-Harith yang disusukan dalam kalangan Bani Sa‘d, lalu dibunuh oleh Huzail.”

Ketiga-tiga pesanan ini Nabi SAW sampaikan untuk para pemimpin dan pemegang amanah khasnya. Kepada para pemimpin tidak kira sama ada di peringkat tertinggi, ketua di pejabat atau syarikat, pemimpin dalam kelompok masyarakat atau pemimpin dalam institusi keluarga: anda adalah tunjang kepada mereka yang dipimpin. Ini kerana kebaikan dan keperibadian mereka yang di bawah jagaan kita mempunyai keterikatan dengan tindak-tanduk kita.

Terdapat kata-kata yang masyhur (ia bukan hadis Nabi SAW):

الناس على دين ملوكهم

“Manusia mengikut agama (cara hidup) pemimpin mereka.”

Kata-kata ini telah diolah oleh Dr. Salman al-‘Audah:

الناس على دين إعلامهم

“Manusia mengikut aliran media massa mereka.”

Justeru, pimpinlah manusia dengan aturan dan panduan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Ingatlah, kebenaran harus diutamakan walaupun berkaitan dengan darah daging sendiri. Lihatlah betapa luhurnya Nabi SAW menghapuskan sesuatu yang besar walaupun berkaitan dengan keluarga Baginda sendiri. Keperibadian inilah yang diikuti dan diteladani oleh para khulafa’ zaman kegemilangan Islam, yang melayakkan mereka memperoleh kemenangan dan bantuan Tuhan.

Begitu jugalah dengan segala amalan yang bersifat jahiliah, sama ada datang dalam bentuk perbuatan, perhiasan, pakaian dan apa jua bentuk amalan dan tradisi. Janganlah kita cemari pahala dan keampunan yang telah diperoleh dalam haji ini, terutama pada hari Arafah ini, dengan kembali kepada kejahilan.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Fussilat ayat 34:

ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُۥ عَدَٰوَةٌ كَأَنَّهُۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: “Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang di antaramu dengannya ada permusuhan akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Seterusnya Nabi Muhammad SAW meneruskan khutbahnya dengan sabda Baginda:

وَرِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ وَأَوَّلُ رِبًا أَضَعُ رِبَانَا رِبَا عَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَإِنَّهُ مَوْضُوعٌ كُلُّهُ

4) “Riba jahiliah telah digugurkan. Riba pertama yang aku gugurkan daripada riba kami ialah riba ‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib. Sesungguhnya ia digugurkan kesemuanya.”

Perhatikan sejenak kenyataan Rasulullah SAW ini. Ingatlah bahawasanya Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278–279:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ۝ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba (yang masih dituntut) jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukannya, maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu pokok asal harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi.”

Nabi SAW berpesan lagi dalam khutbahnya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

5) “Bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan mereka dihalalkan bagi kamu dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memasuki rumah (tempat tidur) kamu. Jika mereka melakukannya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan hak mereka ke atas kamu ialah kamu memberi mereka nafkah makan dan pakaian dengan cara yang baik.”

Kepada pemimpin keluarga, hargailah keluargamu yang dikasihi.

Kepada para suami, jangan lupa bahawa anda mempunyai isteri dan mungkin juga zuriat yang perlu dijaga dengan amanah Allah.

Kepada semua yang cintakan kekayaan dan harta, awasilah agar harta anda bersih daripada memakan yang bukan haknya dalam semua aspek.

Nabi SAW mengakhiri khutbahnya dengan bersabda: “Kamu akan ditanya tentang diriku, maka apakah yang akan kamu katakan?” Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, menunaikan (amanah) dan menasihati.” Lalu Baginda SAW mengangkat jari telunjuknya ke langit, kemudian menunjukkannya ke arah orang ramai sambil bersabda sebanyak tiga kali: “Ya Allah, saksikanlah.”

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Wahai hati-hati yang mempunyai iman! Berlarilah memeluk keampunan daripada Tuhan. Jangan biarkan waktu mustajab doa di Arafah ini berlalu pergi tanpa dimanfaatkan. Mengadulah, pohonlah dan bermunajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah air mata keinsafan yang datang daripada taubat yang tulus, daripada hati yang mahu kembali kepada fitrahnya, umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.

Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 133–135:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ۝ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ۝ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya).”

Oleh: Abu Fatih al-Mubaraki. Makkah al-Mukarramah, al-Misfalah, Dar Umm Hani’, Ash-Har Travel (Maktab 81). 7 Zulhijjah 1431H – 13 November 2010. Disemak oleh: Abu Anas Madani.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3

Seterusnya: Khutbah Musim Haji (Siri 2): Khutbah Arafah 1432H

Bacaan berkaitan

Rujukan

7 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 85.

    Quran.com
  2. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir bin 'Abdullah r.a. tentang haji Nabi SAW).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no. 1741 (Abu Bakrah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Al-Quran, Surah Fussilat (41): 34.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 278–279.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 133–135.

    Quran.com
  7. As-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah (dinukil juga dalam al-'Ajluni, Kasyf al-Khafa'): «الناس على دين ملوكهم» – tidak dikenali sebagai hadis.

    ad-Durar as-Saniyyah

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026 Khutbah Tuntutan Mencintai Rasulullah S.A.W & Menghidupkan Sunnah-Nya 7 Sep 2025 Khutbah Tanggungjawab Mengisi & Mempertahankan Kemerdekaan Negara Malaysia 1 Sep 2025 Khutbah Khutbah Musim Haji (Siri 3): Sesudah Haji Tertunai 14 Nov 2011