Pendahuluan
Jemaah haji KT82, Maktab 81, melalui Ash-Har Travel & Tours Sdn Bhd.
[KT: nombor penerbangan carter Tabung Haji dari Malaysia. Maktab: nama kumpulan Muassasah Arab pengendali jemaah haji Malaysia di Makkah.]
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ وَالَاهُ، وَبَعْدُ
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ba’du.
Firman Allah Taala:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (27) لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28)
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (27) Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir miskin. (28)” [Al-Hajj: 27–28]
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ» رواه البخاري
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah, lalu dia tidak melakukan rafath (kata-kata lucah atau hubungan suami isteri) dan tidak melakukan kefasikan (maksiat), dia pulang (bersih daripada dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 1521]
Catatan perjalanan haji
Dalam catatan ringkas ini, ana akan berkongsi sedikit pengalaman peribadi yang dilalui dan diperhatikan sepanjang rehlah al-hajj (perjalanan menunaikan ibadat haji) pada tahun 1431 Hijrah bersamaan 2010M. Semoga apa yang dicoretkan di sini menjadi suatu kenangan dan sebahagian daripadanya boleh dijadikan bahan renungan atau perbincangan bersama.
Perjalanan dari Malaysia
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan peluang kepada Abu Anas ke Makkah untuk menunaikan haji serta memberi bimbingan kepada jemaah haji yang bersama dalam pakej Ash-Har Travel & Tours.
Hari pertama, 1 November
Rombongan kami dari Kota Bharu agak cemas sedikit. Cuaca mendung dan hujan turun agak lebat; beberapa penerbangan terpaksa menukar haluan dan beberapa kerisauan sampingan turut menyapa. Alhamdulillah, sesudah semua ujian “sulung” itu dilalui, akhirnya pesawat MH kami selamat berlepas ke KLIA, walaupun penerbangan yang dijadualkan jam 11.35 pagi agak terlewat.
Sampai di KLIA, jemaah terus dibawa dengan bas ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Di sana jemaah berehat di bawah khemah yang disediakan dan makanan tengah hari diedarkan oleh staf Ash-Har. Setelah selesai makan, jemaah dibawa masuk ke ruang rehat di Dewan Seri Jugra sementara menunggu waktu lapor diri di dewan berlepas.
Pada jam 9.30 malam proses daftar masuk dimulakan dan jemaah berkumpul di dewan berlepas. Sedikit taklimat perjalanan disampaikan oleh pegawai TH, kemudian seorang jemaah melaungkan azan sebagai tanda keberangkatan.
[Ada juga jemaah yang bertanya dan meminta dalil: adakah Rasulullah SAW atau para sahabat melaungkan azan ketika hendak bermusafir? Dalil perlu diteliti untuk memberi jawapan kepada jemaah yang bertanya!]
Kemudian jemaah dibawa menaiki bas dalam satu konvoi 7–8 buah bas yang diiringi sepasukan polis trafik terus ke dewan berlepas KLIA.
Pada jam 2.00 pagi rombongan kami berlepas dengan pesawat Saudia (SV) ke Jeddah. Dalam penerbangan, Abu Anas sempat bercakap sedikit tentang miqat dan solat Subuh di dalam pesawat memandangkan semua anak kapal tidak boleh berbahasa Melayu. Rombongan kami terpaksa solat Subuh di dalam pesawat. Maka ramailah jemaah yang melakukan solat “HORMAT WAKTU” yang diajar kepada jemaah haji oleh para pengkursus haji di Malaysia. Abu Anas dapat solat dengan sempurna di celah kerusi pesawat, alhamdulillah.
Sampai di Jeddah
Kami sampai di Jeddah pada jam 6.40 pagi waktu Arab Saudi. Kami terpaksa menunggu giliran cop pasport dan mengambil barang. Setelah semua urusan pasport, kastam dan Kementerian Haji Arab Saudi selesai, kami menaiki bas ke Makkah. Semua proses di atas berserta perjalanan mengambil masa 7–8 jam, Allahul-musta’an. Kami sampai di Hotel Dar Umm Hani, Makkah, jam 2.30 petang.
Tawaf dan saie umrah
Tawaf dan saie umrah dilakukan secara berkumpulan, ada juga yang pergi bersendirian, khususnya mereka yang pernah datang menunaikan haji atau umrah. Sepanjang tempoh menanti hari wukuf, sempat diadakan beberapa siri ceramah kepada jemaah tentang sejarah Makkah dan Tanah Haram, ceramah khas tentang kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah (takbir, tahmid dan tahlil) serta anjuran berpuasa sunat.
Begitu juga penjelasan tentang adab-adab khusus bagi mereka yang hendak melakukan ibadah korban. Perkara ini kelihatan seolah-olah terpadam daripada kotak ilmu dan amalan masyarakat kita di Malaysia. Sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Imam Muslim: “Apabila telah masuk sepuluh hari (pertama Zulhijjah) dan salah seorang daripada kamu ingin berkorban, maka janganlah dia memotong sedikit pun rambut dan kukunya” (hingga dia selesai berkorban). [Riwayat Muslim, no. 1977]
Ceramah oleh Ustaz Abu Fatih al-Mubaraki (10 November)
Tugas ceramah menjadi lebih ringan dengan kedatangan Ustaz Abu Fatih al-Mubaraki (Ahmad Husni Dato’ Abdul Rahman).
Ahad, 8 Zulhijjah (Yaum at-Tarwiyah)
Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.
Amalan hari ini bagi jemaah haji:
Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah sewaktu datang ke Makkah), hendaklah berihram (berniat) haji pada hari ini, kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW dan para sahabat. Baginda berada di Mina melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan.
Pada pagi hari Tarwiyah, jemaah haji Asia Tenggara, termasuk Malaysia, dibawa terus ke Arafah, tidak dibawa ke Mina, dengan alasan takut tidak sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak mendapat haji. Namun ada juga beberapa kumpulan jemaah yang bertindak sendiri dan menuju ke Mina pada hari Tarwiyah. Alhamdulillah, mereka selamat sampai ke Arafah pada pagi Isnin dan berwukuf dengan sempurna.
Alasan ini sudah lama digunakan. Dengan pembesaran kawasan Mina dan jalan yang telah tersusun, ditambah pula dengan kereta api yang mula beroperasi di Masya’ir (Mina, Muzdalifah dan Arafah) pada tahun 1431H ini, amatlah diharapkan agar pihak berkuasa yang menguruskan jemaah haji Malaysia berfikir dan berunding dengan pihak Muassasah Asia Tenggara untuk menyediakan kemudahan pergerakan jemaah ke Mina, kemudian ke Arafah, sebagaimana yang dilakukan oleh Muassasah negara lain. Sama-samalah kita berdoa agar sunnah ini dapat dihidupkan secepat mungkin.
Untuk makluman pembaca, projek kereta api atau monorel yang menghubungkan Makkah, Arafah dan Mina telah siap dan dapat digunakan pada musim haji 1431H, namun penggunaannya terhad kepada hujjaj dalam negeri sahaja.
Jemaah Ash-Har mula bergerak ke Arafah jam 12.30 tengah hari, waktu Zuhur di Makkah. Sampai di Arafah, jemaah dibawa masuk ke kawasan yang dikhaskan oleh Maktab 81 kepada syarikat Ash-Har, lalu solat Zuhur dan makan bekalan yang dibawa.
Apabila masuk waktu Maghrib, jemaah diarah melakukan solat jamak tamam (7 rakaat: Maghrib 3 dan Isyak 4 rakaat). Pihak maktab dan Tabung Haji telah menyediakan pembesar suara besar yang boleh didengari oleh semua jemaah Maktab 81 (seramai 2,400 orang). Kemudian Dato’ Daud Che Ngah (Andalusia Travel) memulakan program dengan kuliah, diikuti oleh ustaz-ustaz lain. Setelah kuliah mereka tamat, Abu Anas berucap sebentar kepada para jemaah Ash-Har di khemah.
Alhamdulillah, muafakat antara tujuh buah syarikat pelancongan dalam Maktab 81 (Andalusia, Ash-Har, Harom Fast, KSB, Hidayah, Lintas dan Misbah) berjaya. Tiada gangguan zikir secara kuat pada malam Arafah, walaupun ada juga ustaz jemputan (dari Indonesia) yang dibawa oleh sebuah syarikat dalam maktab ini berzikir dengan kuat di sebelah khemah kami, namun tidak mengganggu jemaah lain.
Biasanya pada malam Arafah, ustaz-ustaz pakej swasta yang dibawa khas oleh syarikat masing-masing akan berzikir dengan kuat menggunakan mikrofon dengan suara lantang. Ada yang bermula seawal jam 1 pagi dan ada yang selepasnya. Sedangkan arahan pihak Tabung Haji yang dikeluarkan melalui perbincangan dengan semua pihak pakej ialah: “Tidak dibenarkan mengadakan majlis zikir dan qiyamullail beramai-ramai secara kuat kerana ini boleh mengganggu jemaah haji lain yang ingin tidur atau berehat untuk menghadapi hari wukuf keesokan harinya, termasuk yang mungkin sedang beribadat dan bermunajat secara bersendirian sebagaimana yang dianjurkan.”
Tetapi yang menyedihkan, walaupun perkara ini tidak berlaku dalam maktab kami, masih ada sebahagian ahli zikir munajat yang tidak menghiraukan arahan dan meneruskan program mereka tanpa mengambil kira perasaan orang lain serta melanggar hak kejiranan yang sepatutnya dijaga dan dihormati.
Isnin, 9 Zulhijjah 1431H (Yaum Arafah): Wukuf
Tibalah fajar pagi hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan lebih ramai hamba-Nya daripada api neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian berbangga-bangga dengan mereka di hadapan para malaikat seraya berfirman: Apakah yang mereka mahu?” [Riwayat Muslim, no. 1348]
Pada fajar pagi yang tenang ini, dengan udaranya yang sejuk dan dingin, para jemaah haji menunaikan solat Subuh secara berjemaah di khemah masing-masing.
Selesai solat, ada yang membaca al-Ma’thurat (zikir pagi) dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Suhaimi dari Harom Fast Travel di surau maktab yang dapat didengar oleh semua jemaah. Mereka juga menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah.
Waktu duha juga disambut dengan solat sunat duha, bacaan al-Quran dan pelbagai ibadat sunat yang lain. Kuliah duha disampaikan dengan panjang lebar oleh Ustaz Dato’ Daud Che Ngah (Andalusia Travel).
Nama Abu Anas telah dicadangkan oleh pihak Tabung Haji sebagai khatib Maktab 81 (setelah beberapa kali mesyuarat penyelarasan dan persetujuan antara syarikat-syarikat dicapai) dan pengumuman juga telah dibuat. Jemaah Ash-Har sudah mengambil tempat di surau pada jam 10 pagi untuk mendengar khutbah, namun “anak bulan tidak nampak”. Tiba-tiba datang seorang ustaz yang bertugas dengan TH memberitahu bahawa khutbah hari ini akan disampaikan oleh beliau atas arahan pihak atasan: khutbah di semua maktab mesti dibaca oleh guru agama yang dibawa oleh Tabung Haji. Bagi Abu Anas, ia tidak menjadi masalah, walaupun sebelum itu terpaksa menapak ke Janadariah (pejabat besar TH) yang terletak agak jauh dari tempat kami untuk penyelarasan khutbah.
Zikir Arafah
Selepas solat Zuhur dan Asar, para jemaah mula berzikir; ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang bersendirian. Antara zikir yang agak masyhur dalam kalangan sebahagian ustaz kita ialah zikir “Hasbi Rabbi jallallah, ma fi qalbi ghairullah …” dan ia seolah-olah menjadi zikir rasmi pada hari Arafah.
Sedangkan zikir ini tidak diketahui sumber dan kelebihannya, malah maknanya menunjukkan pengakuan membersihkan diri: “… Tiada di dalam hatiku selain Allah”. Benarkah pengakuan ini?
Sebaliknya zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW tidak begitu popular. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku dan nabi-nabi sebelumku ucapkan ialah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 3585; dinilai hasan oleh al-Albani]
Maka harapan kita ialah agar zikir ini diperkenalkan dan diajar bersungguh-sungguh kepada para jemaah haji, merangkumi bacaan, makna dan kelebihannya secara menyeluruh.
Waktu paling berharga
Waktu wukuf yang afdal bermula selepas solat Zuhur hari Arafah sehingga terbenam matahari (Maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (Subuh) hari raya.
Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selepas solat Zuhur terus berwukuf di atas untanya menghadap kiblat sehingga terbenam matahari (Riwayat Muslim). Usamah bin Zaid RA pula meriwayatkan bahawa Baginda mengangkat kedua-dua tangannya berdoa dengan khusyuk, sehingga apabila tali unta terlepas, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa (Riwayat an-Nasa’i; sanadnya sahih).
Ini bermakna waktu afdal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok. Orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji Malboro!
Semoga Allah kurniakan kita haji yang mabrur. Pada petang hari Arafah itu, ana meminta jemaah bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah dengan tangisan penuh syahdu agar diampunkan dosa dan diterima haji yang dilakukan, serta memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan yang berpesan agar didoakan. Mintalah kebaikan di dunia dan di akhirat …
Ke Muzdalifah
Apabila tiba waktu Maghrib, jemaah haji dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan mengikut giliran masing-masing. Setiap maktab disediakan beberapa buah bas ulang-alik (shuttle bus) yang membawa jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 8 km, mengambil masa 10–15 minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”. Jalan ini dikhaskan untuk jemaah haji Asia Tenggara.
Alhamdulillah, kami tiba di Muzdalifah jam 8.30 malam. Sewaktu di Muzdalifah, jemaah haji mula mengutip anak-anak batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi saiz ini sebagaimana pesan Rasulullah SAW ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar: “Dengan batu-batu seumpama inilah hendaklah kamu melontar. Dan jauhilah kamu sikap melampau dalam agama” (Riwayat an-Nasa’i dan Ibn Majah; sahih). Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah; boleh sahaja dikutip di mana-mana.
Perhatian: Usahakan supaya tidak membawa lampu suluh setiap seorang. Memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan sebagai bekalan kecemasan.
Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Bagi jemaah yang bersama pakej, mereka akan diundi untuk menentukan kumpulan mana yang bertolak dahulu dengan bas ulang-alik. Jadi terpulang pada nasib dan bersabarlah menunggu giliran masing-masing. Ada yang terpaksa menunggu sehingga Subuh; bagi mereka ini alhamdulillah, dapat mabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran terakhir (selepas Subuh).
Jemaah Ash-Har keluar dari Muzdalifah ke Mina jam 3 pagi.
Hari Raya, 10 Zulhijjah (Aidiladha)
Bagi kumpulan yang sampai awal (sebelum Subuh), mereka dibawa terus untuk melontar, manakala mereka yang sampai hampir Subuh atau selepasnya harus menunggu sehingga selepas Asar nanti. Jemaah Ash-Har keluar ke Jamarat selepas solat Asar.
Selepas melontar dan pulang ke khemah, suasana di dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala para haji yang licin. Alhamdulillah, mereka menyambut tawaran Rasulullah SAW yang mendoakan agar Allah SWT merahmati orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali; kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW mendoakan rahmat untuk mereka yang hanya bergunting.
Tetapi masih ada yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka. Mereka masih enggan menggugurkan seluruh rambut di Mina yang berkat ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW! Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya-Allah, tetapi peluang untuk termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini tiada siapa yang dapat menjamin akan berulang sekali lagi dalam hidupnya.
Alhamdulillah, ramai jemaah haji yang bersama saya bercukur licin kecuali beberapa orang. Sedih juga hati ini; dalam sejarah membimbing jemaah Ash-Har, inilah tahun yang paling ramai jemaah tidak mahu bercukur. Semoga Allah memberi mereka peluang lagi untuk menerima ganjaran doa Rasulullah SAW sebagaimana rakan-rakan jemaah yang lain, insya-Allah.
Mina 1431H
Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3 km dari Jamarat (tempat melontar). Rombongan kami ditempatkan di Maktab 81, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di sekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP) yang ditempatkan dekat dengan Jamarat.
Kami yang tinggal di perkhemahan ini disediakan makanan berbungkus tiga kali sehari: nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air). Ramai jemaah membawa bekalan serunding dan sebagainya sebagai lauk tambahan. Makanan paling popular dalam lima hari ini ialah Indomie; orang yang tidak makan mi segera di Malaysia pun terpaksa makan di sini …
Lelaki dan perempuan di khemah yang berasingan diberikan sebuah tilam kecil seorang (untuk mendapatkan tilam, Ash-Har perlu membayar tambahan kepada Muassasah), seelok-elok muat badan seperti liang lahad, sebagai peringatan kepada kematian.
Hujan lebat di Mina dan Makkah
Pada hari Nafar Awal (12 Zulhijjah) tahun ini, hujan lebat turun di Makkah dan Mina pada waktu Asar. Ketika itu kami berada di dalam khemah hendak menunaikan solat Asar. Hujan turun dengan lebatnya … banyak juga selipar yang hanyut dan ada khemah jiran kami yang dimasuki air.
Hari ketiga belas
Semua jemaah haji pulang ke Makkah. Pelbagai pengalaman dirasai oleh jemaah haji; ada bas yang ditahan oleh polis trafik yang bertugas, maka mereka terpaksa turun dari bas dan berjalan jauh sambil menarik beg pakaian menuju ke hotel.
14 Zulhijjah
Abu Anas melakukan tawaf pada pagi 14 Zulhijjah, bermula jam 6.10 pagi dan selesai jam 7.20 pagi. Setelah selesai solat sunat tawaf dan minum air zamzam, ana pergi ke Mas’a (tempat saie); semuanya selesai jam 8.30 pagi.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Ceramah “Muhasabah Selepas Haji”
Setelah berehat beberapa hari, kami mula mengadakan ceramah “Muhasabah Selepas Haji” dan tajuk-tajuk lain yang dipilih. Jemaah pula kembali aktif melakukan umrah semula berulang-ulang kali.
Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, juga generasi selepasnya. Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ia boleh dilakukan, wallahu a’lam.
Abu Anas, Makkah: 19 Zulhijjah 1431H.
Selepas haji
Setelah selesai melakukan semua amalan haji, jemaah meneruskan aktiviti ibadat mereka dengan bersolat di Masjidil Haram, melakukan tawaf dan umrah, mengikuti kuliah yang diatur oleh pihak Ash-Har serta meronda kedai-kedai yang banyak di sekitar masjid.
Zikir pagi petang dan zikir selepas solat yang disusun oleh Abu Anas dijadikan bacaan tetap jemaah sepanjang mengerjakan haji. Nampaknya ramai jemaah yang meneruskan bacaan zikir yang diambil daripada Rasulullah SAW dan para sahabat itu. Alhamdulillah, semoga ia menjadi amalan sepanjang hayat.
Di Makkah, kami sempat membawa para jemaah melawat beberapa tempat bersejarah seperti kaki Jabal Thaur, Jabal Nur (Gua Hira’), Ja’ranah, Hudaibiah, Muzium Haramain, minum susu unta dan lain-lain (ada jemaah yang pergi sebelum wukuf dan ada yang selepasnya). Bagi ma’alim (tempat bersejarah) di sekitar Masjidil Haram, jemaah dibawa berjalan kaki sahaja. Tempat yang dilawati ialah beberapa tapak bersejarah yang penting, bertujuan untuk mengenali kawasan lama yang ada kaitan dengan sejarah dan sirah.
Antaranya kawasan kediaman Rasulullah SAW bersama Sayyidah Khadijah RA, tempat kelahiran Nabi SAW, rumah Sayyidina Abu Bakar RA (lokasi bermulanya peristiwa hijrah yang bersejarah), rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, Masjid ar-Rayah (dikenali sebagai Masjid Kucing; tempat yang berkait dengan sejarah pembukaan Kota Makkah tahun 8 Hijrah), Masjid Jin, Masjid Syajarah, Perkuburan Ma’la dan sebagainya untuk pengetahuan dan peringatan (tazkirah).
Beberapa peringatan diberikan kepada jemaah agar jangan sekali-kali terikut-ikut dengan perbuatan orang ramai yang menyapu atau menggosok tempat-tempat tersebut atau berdoa menghadapnya.
Tujuan kita bersama-sama ke ma’alim ini adalah untuk mengenali tempat dan mengetahui sejarah penting di sebaliknya. Untuk keterangan lanjut tentang tempat dan sejarah bumi Makkah, sila dapatkan buku “Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah” susunan al-Faqir Abu Anas Madani.
Selasa, 17 Zulhijjah
Alhamdulillah, pagi ini sempat berjaulah bersama Ustaz Abu Fatih al-Mubaraki dan Dr. Haji Zek (pakar bedah HRPZ II) dengan kereta Akhi Abdul Rahman al-‘Amudi (sahabat lama yang menjadi pemandu arah rombongan Haji Eksklusif Ash-Har) ke beberapa tempat bersejarah, lama dan baharu. Antaranya tempat jualan air zamzam di Kudai yang baru dibuka sebulan lalu, cantik dan tersusun, dengan harga SR5 untuk 10 liter.
Kami ke Jabal Thaur, King Abdullah Medical City (hospital pakar yang baru setahun dibuka), Masjid Namirah di Arafah (bahagian hadapannya di luar Arafah, bahagian belakangnya di dalam Arafah), Maqbarah (perkuburan lama) Quraisy di Arafah, al-Mughammas (tempat Abrahah binasa menurut satu riwayat; yang masyhur, Abrahah binasa di Wadi Muhassir) dan perkuburan Syara’i (tempat jemaah haji dikebumikan).
Akhirnya kami berhenti makan madhghut hasyi (nasi minyak berlauk anak unta) di Aziziah dan solat Zuhur di Masjid Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah.
Perjalanan ke Madinah
Pada 28 Zulhijjah 1431H bersamaan 5 Disember 2010, iaitu dua minggu selepas selesai menunaikan ibadat haji, kami berangkat ke Madinah dengan bas syarikat Rawahil. Alhamdulillah, dalam perjalanan ke Madinah ini jemaah Ash-Har agak bernasib baik kerana pihak pengurusan syarikat berjaya mendapatkan bas-bas Mercedes yang baharu dan selesa.
Memang agak memenatkan bagi para jemaah haji kerana kebanyakan bas yang disediakan oleh pihak muassasah sepanjang musim haji ini agak lama dan usang, sedangkan perjalanan pula memakan masa yang panjang. Keadaan ini tidaklah pelik kerana bayaran tiket yang dibayar kepada muassasah (Naqabah, syarikat bas Saudi) oleh pihak kerajaan Malaysia untuk setiap hujjaj kita hanyalah SR347.50 seorang untuk semua perjalanan sepanjang musim haji.
Ia meliputi perjalanan dari lapangan terbang Jeddah ke Makkah, dari Makkah ke Arafah, Mina dan Muzdalifah serta pulang semula, kemudian ke Madinah dan ke lapangan terbang Madinah. Jika dari Madinah ke lapangan terbang Jeddah pula, bayarannya ditambah sedikit kepada SR435. Jika dikira pada musim haji, bayaran ini amatlah murah dan berpadanan dengan bas yang disediakan!
Jadi sepanjang perjalanan haji ini banyak bas jemaah kita yang mati dan rosak di tengah jalan. Mereka terpaksa berpenat menunggu bas lain datang ataupun terus berjalan kaki, terutamanya dalam perjalanan pulang dari Mina ke Makkah. Hakikat ini memang berlaku setiap tahun.
Jadi besarlah harapan kami agar pihak kerajaan dan pihak berkuasa haji Malaysia dapat berunding dengan pihak Naqabah dan Muassasah Haji Arab Saudi agar khidmat ini dapat dinaik taraf, dengan menambah bayaran yang sesuai dengan keselesaan kenderaan yang disediakan.
Di Madinah
Setiba di Madinah, kami ditempatkan di Hotel Diyar Royal, tidak jauh dari Masjid Nabawi. Kedudukannya di sebelah belakang masjid, di tengah-tengah antara Hotel Hilton dan Dar al-Hijrah InterContinental. Di sini jemaah kita juga kuat beribadat di Masjid Nabawi, berjuang untuk masuk bersolat di Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah SAW. Mereka juga dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Madinah, Kota Rasulullah SAW yang bercahaya ini.
Antara tempat yang dilawati ialah Perkuburan Baqi’ yang menempatkan sahabat-sahabat besar seperti Sayyidina Uthman bin ‘Affan RA, sembilan orang isteri Baginda (Ummahatul Mukminin), empat orang puteri Rasulullah SAW dan puteranya Ibrahim serta para syuhada dan auliya’ yang lain. Mereka juga dibawa ke Bukit Uhud dan di sana Abu Anas membawa mereka menaiki Jabal ar-Rumah, tempat tentera pemanah ditempatkan semasa Perang Uhud.
Para jemaah diminta membayangkan suasana tragis hari Uhud yang bersejarah itu: tentera Muslim yang syahid bergelimpangan seramai lebih 70 orang di kaki bukit, jasad penghulu para syuhada Hamzah bin Abdul Muttalib yang terburai perutnya setelah dirosakkan dengan kejam, Rasulullah SAW yang cedera dan berlumuran darah di wajahnya, serta para sahabat lain yang cedera dan sebagainya.
Ini semua untuk mengembalikan keinsafan dan kesedaran akan sejarah yang berlaku. Menziarahi syuhada Uhud menjadi amalan Rasulullah SAW selain Baqi’ dan Masjid Quba’.
Mereka juga dibawa ke Masjid Quba’ yang mempunyai kelebihan tersendiri: sekali solat di dalamnya mendapat pahala seperti umrah. Di Saqifah Bani Sa’idah, tempat perlantikan Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah, jemaah diterangkan kronologi peristiwa tersebut serta jawapan kepada beberapa tuduhan jahat golongan Syiah Rafidah terhadap as-Siddiq dan sebagainya.
Bukit Magnet
Ramai juga jemaah haji yang bertanya tentang Bukit Magnet yang sering diperkatakan di Madinah ini. Jawapannya sebagaimana yang didapati daripada Wikipedia: “A magnetic hill or gravity hill is a place where the layout of the surrounding land produces the optical illusion that a very slight downhill slope appears to be an uphill slope. Thus, a car left out of gear will appear to be rolling uphill.”
Bukit magnet atau bukit graviti ialah tempat yang kedudukan muka bumi sekitarnya menghasilkan ilusi optik, iaitu cerun yang sedikit menurun kelihatan seperti mendaki. Maka kereta yang dibebaskan gearnya akan kelihatan seolah-olah menggelongsor ke atas bukit.
Memang fakta ini benar dan tepat sekali berdasarkan pengalaman ana semasa ke sana dahulu. Untuk “menuruni” bukit ini (sebenarnya mendaki), kita perlu menekan minyak sebagaimana kebiasaan ketika mendaki mana-mana bukit. Manakala ketika menurun yang sebenarnya (walaupun nampak seolah-olah mendaki), kereta pasti akan bergerak turun dengan sendiri! Bahkan menurut Wikipedia, kawasan ini dikenali sebagai Lembah Jin kerana kedudukannya yang sunyi dan terpencil.
Jadi tidak perlulah kita menziarahinya kerana tiada apa-apa kelebihan khusus. Utamakan menziarahi Masjid Quba’ yang mempunyai fadilat khas dan tempat-tempat sejarah lain yang boleh menambah ilmu dan kesedaran tentang perjuangan Rasulullah SAW.
Selamat tinggal Madinah
Setelah lapan hari di Madinah, akhirnya tibalah masa untuk meninggalkan Tanah Haram Madinah. Jemaah telah dijelaskan bahawa “ziarah wada’” ialah satu istilah yang sering disalahfahami oleh sebahagian jemaah. Mereka menyangka hukumnya sama seperti tawaf wada’ yang wajib dilakukan pada saat terakhir oleh orang yang hendak meninggalkan Makkah.
Tawaf wada’ memang mesti diakhirkan. Bahkan ada sebahagian ustaz syarikat pelancongan yang melekatkan notis di hotel: “Setelah selesai tawaf mesti terus keluar dari Masjidil Haram, tidak boleh menunggu solat lagi walaupun sudah hampir azan.” Nampak sangat fatwa itu ketat dan tidak sesuai dengan zaman ini.
Bagi pengunjung Kota Madinah, tidak disyaratkan sedemikian, malah istilah ziarah wada’ sebenarnya tidak sesuai digunakan kerana mengelirukan sebahagian jemaah. Jika dapat solat sekali di Masjid Nabawi atau Raudhah dan menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW sekali berhadapan dengan makam Baginda, sudah terhasil maksud ziarah yang sebenarnya.
Bagi jemaah yang datang dari jauh seperti kita dari Malaysia dan lama tinggal di Madinah, bolehlah pergi sekali lagi sehari sebelum pulang atau bila-bila waktu yang sesuai, tidak semestinya pada hari terakhir sebelum berangkat pulang.
Kepulangan jemaah KT82
Pada jam 2 pagi 14 Disember, kami bersiap untuk berangkat pulang ke tanah air. Jam 4.30 pagi kami keluar dari hotel menuju ke lapangan terbang. Jam 8 pagi, pesawat Saudi Airlines SV5214 menerbangkan kami terus ke KLIA dan kami tiba hampir jam 10 malam.
Solat hormat waktu
Dalam perjalanan kami terpaksa menunaikan solat Zuhur dan Asar di dalam pesawat. Jemaah kami melakukan solat jamak dan qasar secara sempurna, manakala majoriti penumpang jemaah haji lain hanya melakukan solat hormat waktu: tanpa wuduk dan tanpa berdiri (qiyam), cuma berniat solat sambil duduk di atas kerusi.
Di KLIA
Setiba di KL, jemaah yang ingin pulang ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu terpaksa bermalam di lapangan terbang untuk menunggu penerbangan keesokan harinya. Ada yang dibawa pulang oleh sanak saudara dan tidak kurang juga yang terpaksa mencari tempat di celah-celah beg dan kerusi yang kosong.
Pengamatan penting
Pada solat Subuh pagi Jumaat di Masjid Nabawi, imam Syeikh Dr. Ali Abdul Rahman al-Huzaifi membaca surah as-Sajdah. Sepanjang musim haji tahun ini surah ini tidak dibaca di Makkah dan Madinah kerana dikhuatiri mengelirukan jemaah haji. Mungkin apabila beliau melihat jemaah haji sudah agak berkurangan, barulah al-Imam membacanya.
Solat istisqa’ dan tabiat merokok
Di Madinah kami sempat melakukan solat istisqa’ (solat minta hujan) pada hari Isnin. Sebelum haji kami juga berpeluang melakukannya di Makkah.
Ada kebiasaan yang sangat susah ditinggalkan oleh orang yang memang tidak mahu meninggalkannya walaupun sudah berada di Makkah dan Madinah: mereka masih merokok walaupun berada di Tanah Haram.
Pakaian
Alhamdulillah, apabila tiba di Makkah, para hajah mematuhi syariat dari segi pakaian. Namun apabila kembali ke Malaysia, pakaian mereka berubah.
Solat berjemaah
Alhamdulillah, semasa di Makkah dan Madinah jemaah kita cukup rajin ke masjid, bahkan awal-awal lagi mereka pergi. Semoga solat jemaah 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabawi itu menjadi asas untuk mereka terus beristiqamah melakukannya sekembali ke tanah air.
Makanan
Bab makanan memang menjadi satu isu bagi jemaah haji. Walaupun makanan mungkin berbeza dengan citarasa mereka, seharusnya kita bersyukur atas segala nikmat.
Itulah beberapa pengamatan dan pengalaman ringkas yang dapat dicatatkan di sini, walaupun sebenarnya banyak lagi yang ingin diperkatakan. Cukuplah ia sebagai satu isyarat kepada yang lain. Semoga Allah menerima semua amalan yang dilakukan, hajjan mabrura wa dhanban maghfura dan mengampunkan segala kekurangan kami.
Doa memohon agar terus beristiqamah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada terpesong (daripada landasan yang benar) setelah lurus (mendapat hidayah).” [Sebahagian doa musafir daripada hadis ‘Abdullah bin Sarjis RA; riwayat Muslim, no. 1343]
وصلى الله على نبينا وحبيبنا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Akhukum, Abu Anas Madani, 13 Muharam 1432H / 19 Disember 2010, Pondok Sungai Durian.
Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)
Sebelum: Rehlah Haji 1430H (Siri 1) | Seterusnya: Rehlah Haji 1432H (Siri 3)
Bacaan berkaitan
Rujukan
13 sumber-
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 27–28.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no. 1521 (riwayat Abu Hurairah RA).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Adahi, no. 1977 (riwayat Ummu Salamah RA).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat Aisyah RA).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3585 (riwayat 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya); dinilai hasan oleh al-Albani (Sahih al-Jami', no. 3274).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir RA tentang haji Nabi SAW).
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, Kitab Manasik al-Hajj, no. 3011 (riwayat Usamah bin Zaid RA); sanad sahih menurut al-Albani; juga Musnad Ahmad, no. 21821.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sunan an-Nasa'i, no. 3057; Sunan Ibn Majah, no. 3029 (riwayat Ibn 'Abbas RA); sahih.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibn 'Umar RA).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, no. 1785 (riwayat Jabir RA tentang umrah Aisyah RA dari Tan'im).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, no. 324; Sunan Ibn Majah, no. 1411 (riwayat Usaid bin Zuhair RA).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jumu'ah, no. 891 (riwayat Abu Hurairah RA).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1343 (riwayat 'Abdullah bin Sarjis RA).
Sunnah.com
