Tulisan: Abu Fatih al-Mubaraki (Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman), pembimbing jemaah haji Ash-Har Travel, Makkah al-Mukarramah, musim haji 1432H/2011M. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Abu Anas Madani, 23 November 2011.
Takrif istiqamah
Kalimah istiqamah dan arahan untuk beristiqamah terdapat dalam Surah Hud ayat 112:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Maka tetaplah engkau (fastaqim) di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (begitu juga) orang-orang yang bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Begitu juga dalam hadis riwayat Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah ath-Thaqafi r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku dalam Islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya kepada sesiapa selain engkau.” Jawab Nabi SAW:
قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
“Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama).” (Sahih Muslim, no. 38)
Inilah seperkara yang amat sukar dalam hidup. Untuk beriman itu agak mudah pada kata-kata, namun istiqamah selalunya parah pelaksanaannya. Mungkin ini boleh membantu. Kata Saidina Umar al-Khattab: “Istiqamah itu ialah kamu berdiri teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa berbelok-belok seperti musang.” (Lihat Ibn al-Qayyim, Madarij as-Salikin)
Motivasi istiqamah
Dalam al-Quran, Allah SWT memberi galakan dan motivasi kepada hamba-Nya yang istiqamah di atas jalan agama dan kebenaran. Syurga-Nya ditawarkan bagi mereka yang istiqamah. Firman Allah Ta‘ala dalam Surah Fussilat ayat 30:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, akan turun kepada mereka para malaikat (dengan berkata): Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
Sesudah menyelesaikan tuntutan ibadat haji, gesaan istiqamah selepasnya mempunyai signifikan yang tersendiri. Keadaan yang sudah putih bersih umpama bayi yang baru lahir menuntut lembaran baharu kehidupan selepas haji dicorakkan dengan warna-warna ketaatan, kebaikan dan amal soleh.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. dalam sebuah hadis yang panjang, antaranya Allah SWT berfirman kepada hamba-Nya yang bermaksud: “Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan bagi kamu dan bagi sesiapa sahaja yang kamu mohonkan ampun untuk mereka. Setiap biji batu yang kamu lontar di jamrah akan menghapuskan dosa kamu. Korban yang dilakukan, pahalanya disimpan untukmu di sisi Tuhanmu. Kepala yang kamu cukur, bagi setiap helai rambutnya diberi pahala dan dihapuskan dosa. Tawaf ifadah yang kamu lakukan menjadikan kamu tiada dosa lagi.
Sesudah itu malaikat datang dan meletakkan tangannya di antara kedua-dua bahumu sambil berkata: ‘Beramallah kamu untuk masa yang akan datang. Sesungguhnya dosa-dosamu yang lalu telah diampunkan.’” (Riwayat al-Bazzar, Kasyf al-Astar, no. 1082; al-Haithami, Majma‘ az-Zawa’id, j. 3, hlm. 274–275: perawi al-Bazzar dinilai thiqah; turut dimuatkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ as-Saghir)
Panduan beristiqamah selepas haji
Allah SWT memberi isyarat yang tersurat dalam Surah Hud selepas arahan untuk beristiqamah, iaitu beberapa noktah penting dalam ayat 113–115. Antara intisari yang boleh diambil:
- Jangan mendekatkan diri atau terlibat dengan orang-orang zalim dan berbuat kezaliman.
- Jangan menyekutukan Allah Ta‘ala.
- Menjaga solat fardu dan solat malam.
- Memperbanyak kebaikan untuk menghapuskan keburukan dan dosa.
- Sabar dan berserah diri kepada Allah.
Berikut beberapa nota fikir sebagai panduan untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah sesudah pulang ke tanah air.
1. Berpegang kepada akidah yang benar serta menjauhi syirik dan khurafat
Inilah perkara asas dan utama yang perlu diperhatikan: akidah yang benar dan iman yang jitu kepada Allah. Akidah yang benar ialah mengikut apa yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan salafussoleh. Masalah terbesar umat Islam hari ini ialah mereka mengaku beriman tetapi mencampuradukkan iman mereka dengan kepincangan syirik, khurafat dan perkara yang karut-marut.
Firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-An‘am ayat 82:
الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim membawa riwayat Imam al-Bukhari bahawa tatkala ayat ini turun, para sahabat bertanya kepada baginda SAW: “Siapakah di kalangan kami yang tidak menzalimi dirinya sendiri?” Lalu Allah menurunkan firman-Nya yang menjelaskan maksud kezaliman dalam ayat tersebut (Sahih al-Bukhari, no. 32):
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya syirik itu ialah kezaliman yang amat besar.” (Surah Luqman: 13)
Justeru, tidak wajar sesudah selesai ibadat haji kita masih berada di takuk lama: masih percaya kepada aneka macam tahyul dan kepercayaan karut yang tidak berasas dan lebih teruk lagi jika kekal menyekutukan Allah SWT. Jika sebelum ini anda pernah terjebak dengan dunia syirik, sihir, perbomohan, pemeliharaan jin dan seumpamanya, segeralah bertaubat nasuha dengan memurnikan tekad agar tidak mengulangi lagi perbuatan menyekutukan Allah. Tinggalkan segala amalan bersifat jahiliah dan kembalilah kepada kesucian akidah yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan yang bakal dilalui oleh setiap kita, iaitu alam barzakh dan alam akhirat.
Tanpa akidah ini, masyarakat akan berubah menjadi masyarakat jahiliah yang marak dengan kekacauan, diliputi ketakutan dan kecemasan di pelbagai penjuru dan penghuni dunia akan berubah menjadi liar dan buas. (Al-‘Aqidah al-Islamiyyah baina al-‘Aql wa al-‘Atifah, hlm. 104–105)
2. Iltizam dengan solat berjemaah dan solat sunat serta witir
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mendengar azan lalu tidak menghadiri (solat berjemaah), maka tiada solat baginya kecuali kerana uzur.” (Riwayat Ibn Majah, no. 793 dan Abu Dawud, no. 551)
Sabda Nabi SAW: “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Riwayat al-Bukhari, no. 645 dan Muslim, no. 650)
Sekadar kisah buat renungan bersama, berkaitan seorang ulama hadis tersohor bernama Sulaiman bin Mihran (wafat 148H), lebih dikenali dengan gelaran al-A‘masy. Waki‘ bin al-Jarrah berkata: “Al-A‘masy, selama hampir tujuh puluh tahun, tidak pernah terlepas takbir pertama (takbiratul ihram bersama imam).” (Az-Zahabi, Siyar A‘lam an-Nubala’, biografi al-A‘masy)
Subhanallah! Tiada ulasan yang boleh dilampirkan, cuma ingin mengajak kita untuk berfikir dan berzikir.
Jadual solat fardu, sunat dan witir
| Waktu | Qabliyah (sebelum) | Fardu / muakkad | Ba‘diyah (selepas) |
|---|---|---|---|
| Subuh | 2 | 2 | – |
| Duha | – | 2 + 2 + 2 + 2 | – |
| Zuhur | 2 + 2 | 4 | 2 + 2 |
| Asar | 2 + 2 | 4 | – |
| Maghrib | 2 | 3 | 2 |
| Isyak | 2 | 4 | 2 + 3 (witir) |
| Jumaat | 2 (tahiyyatul masjid) | 2 | 2 + 2 |
3. Melazimi pakaian takwa dan patuh syariat
Tiada lagi alasan untuk kita meninggalkan pakaian takwa. Kepada para hajah terutamanya, mulakanlah dengan melihat deretan dan lipatan baju yang ada dalam koleksi. Periksa sama ada ia patuh syariah atau tidak. Jangan lagi berhias dengan tabarruj jahiliah. Inilah bukti mabrurnya haji yang dilakukan.
Panduan utama ialah firman Allah Ta‘ala dalam Surah an-Nur ayat 31: “Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”
Di penghujung ayat yang sama Allah berfirman: “…dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka…”
Sabda Nabi SAW: “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat: kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang mereka gunakan untuk memukul manusia dan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan menggoda; kepala mereka seperti bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bau syurga dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim, no. 2128)
Begitu juga dengan sikap dan pergaulan. Pastikan semuanya terkawal. Jika anda bekerja di pejabat misalnya, jauhi sikap keluar berdua-duaan atau keluar dengan lelaki yang bukan mahram walaupun dengan alasan kerja atau sekadar keluar makan. Jaga batas pergaulan dan bersikaplah sebagai mukmin profesional dengan jati diri dan sifat sejati muslimah. Jauhi gurau senda, hilai tawa atau bertepuk tampar. Gunakan laman web sosial dengan bijak untuk tujuan yang murni, bukan untuk memuat naik gambar-gambar yang mendedahkan aurat, aksi-aksi yang tidak sesuai dan segala yang negatif. Banyak yang perlu dijaga dan diawasi. Insya-Allah jika semua ini dipatuhi dan dijaga, anda akan merasakan diri anda sentiasa diawasi dan dirahmati Allah.
4. Teruskan amalan sunat, zikir dan doa
Inilah amalan-amalan yang telah diamalkan sepanjang tempoh bermukim untuk ibadat dalam musim haji. Jadikan amalan-amalan ini perisai diri daripada segala gangguan, penambah bekal di alam barzakh dan pemberat mizan di akhirat. Latihan sepanjang kita tinggal di Makkah serta amalan ketika di Arafah dan Mina diharapkan dapat menjadikan kita sudah terbiasa dan semoga menjadi tabiat yang baik untuk kita. Zikir pagi dan petang, zikir selepas solat dan zikir harian ialah zikir yang dilafazkan dan diamalkan sendiri oleh Nabi SAW. Adakah lidah yang mengucap zikir lebih baik daripada lidah mulia Nabi SAW? Sewajarnya kita berbangga mengamalkan zikir-zikir warisan Nabi SAW ini kerana inilah zikir yang dibaca oleh manusia teragung, penghulu sekalian nabi dan rasul.
Antara zikir terbaik yang diucapkan oleh Nabi SAW dan para nabi sebelum baginda (sebagaimana dalam hadis doa hari Arafah riwayat at-Tirmizi, no. 3585) ialah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، (يُحْيِي وَيُمِيتُ) وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala pemilikan dan pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Fadilatnya tiada taranya. Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a., Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membacanya sepuluh kali selepas solat Subuh, dalam keadaan masih duduk melipat kakinya sebelum bercakap, akan dituliskan baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan sepuluh keburukan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat. Sepanjang harinya akan dipelihara daripada segala perkara yang tidak disukai, dikawal daripada gangguan syaitan dan tiada dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 3474: katanya hadis hasan gharib sahih)
5. Bersahabat dengan al-Quran
Alhamdulillah, dengan kekuatan, keazaman dan usaha gigih, ramai jemaah haji dapat mengkhatamkan al-Quran sepanjang berada di Makkah al-Mukarramah. Insya-Allah, tanamkan azam dalam diri setiap kita agar melazimi dan terus “bersahabat” dengan al-Quran setelah pulang ke Malaysia nanti.
Sabda Nabi SAW: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pendampingnya.” (Riwayat Muslim, no. 804)
Antara keistimewaan al-Quran ialah ia diturunkan untuk mengimbangi dan menjadi makanan harian kepada roh manusia. Allah Ta‘ala berfirman dalam Surah asy-Syura ayat 52: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ruh (al-Quran) dengan perintah Kami.” Manusia terdiri daripada unsur akal, fizikal dan roh. Setiap satu mempunyai keperluan tersendiri dan keperluan roh manusia ialah al-Quran.
6. Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu
Pada hari ini ilmu mudah didapati di mana-mana dan terlalu mudah diakses dengan hujung jari sahaja. Namun ilmu yang paling penting ialah ilmu yang akan menyelamatkan kita dalam dua kehidupan, dunia dan akhirat. Ia merupakan tugas dan kewajipan yang sentiasa berjalan bermula dari hari kelahiran hingga detik kematian. Sentiasalah kita berdoa agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang membawa laknat.
Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 114: “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.”
Nabi SAW juga menitipkan pesan: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Ibn Majah, no. 224; dinilai hasan dengan himpunan jalannya dan disahihkan oleh al-Albani)
Ingatlah bahawa dengan kejahilan manusia akan berada dalam gelita dan kegelapan. Hanya dengan ilmu manusia akan selamat dan memiliki cahaya untuk menyuluh jalan hidupnya. Jangan mudah berpuas hati dengan ilmu yang telah kita pelajari. Pastikan ilmu meningkat seiring dengan pertambahan usia.
Malulah kita jika usia sudah dewasa atau meningkat tua tetapi ilmu masih bertaraf tadika! Carilah ilmu di mana sahaja: masjid, surau, televisyen, radio dan internet. Imam asy-Syafie rahimahullah pernah ditanya bagaimana kesungguhannya mencari ilmu, lalu beliau menjawab: “Seperti seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya mencari anaknya itu.”
7. Halal haram dalam kewangan dan muamalat
Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 278–279:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukannya, maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu pokok harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.”
Begitu juga Nabi SAW pernah memberi amaran bahawa riba mempunyai tujuh puluh tiga pintu, yang paling ringan dosanya seperti seorang lelaki menikahi ibunya sendiri (riwayat Ibn Majah, no. 2275 dan al-Hakim; disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, no. 3539) dan bahawa satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang sedangkan dia mengetahuinya lebih berat daripada tiga puluh enam kali berzina (riwayat Ahmad daripada ‘Abdullah bin Hanzalah; lihat al-Munziri, at-Targhib wa at-Tarhib, 3/68; disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih at-Targhib, no. 1855). Bukan itu sahaja, malah orang yang terlibat dengan riba juga akan menjemput bala dan azab Allah dalam kehidupannya.
Sabda Nabi SAW:
إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَالرِّبَا فِي قَرْيَةٍ فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللهِ
“Apabila zina dan riba berleluasa dalam sesebuah negeri, maka penduduknya telah menghalalkan azab Allah ke atas diri mereka.” (Riwayat al-Hakim dan at-Tabarani daripada Ibn ‘Abbas; lihat Sahih al-Jami‘, no. 679, Syeikh Nasiruddin al-Albani)
Masalah umat Islam hari ini dengan sistem kewangan yang ada ialah mereka merasa selesa dengan segala bentuk nikmat dan kekayaan yang diperoleh walaupun mungkin bersalut riba. Perasaan takut, risau dan kurang keyakinan sudah tentu akan terbit kesan daripada lamanya terlibat dengan sistem riba. Inilah hasil penjajahan Barat terhadap dunia Islam yang masih kekal walaupun umat Islam sudah bebas dan mampu mentadbir dunia mereka sendiri. Mengapa sistem yang direncana Yahudi dan Nasrani itu masih mendominasi ruang pasaran kewangan umat Islam?
Umat Islam pernah gemilang dengan pelaksanaan sistem Allah dalam era emas pemerintahan Islam di dunia. Mengapa kita kembali semula ke lembah dan lumpur jijik rekaan Yahudi dan Nasrani sedangkan kita pernah hidup dalam keindahan dan keadilan sistem yang bersumberkan wahyu Allah? Namun peluang untuk kita kembali semula kepada sistem Allah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan keuntungan akhirat masih terbuka luas. Oleh itu, selepas pulang dari haji nanti, perhatikanlah harta benda dan sumber rezeki kita. Periksa semua jenis harta, simpanan, pelaburan, saham, perniagaan, hartanah dan seumpamanya. Pastikan semuanya bebas daripada riba. Jika masih belum, setelah pulang nanti pastikan semuanya ditukar dan diuruskan menurut kehendak syariat.
Sistem kewangan dan perbankan Islam sentiasa menanti untuk memberi khidmat yang terbaik dan patuh syariah demi kesejahteraan hidup. Tukar semua akaun yang masih bersifat konvensional kepada sistem perbankan Islam. Bertaubatlah! Jangan biarkan harta benda kita menjadi senjata untuk kita berperang dengan Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya kerana masih terikat dengan riba dan sistemnya. Bergembira dan beruntunglah semula dengan keuntungan dan kejayaan yang merupakan tawaran hebat daripada Allah!
Firman Allah Ta‘ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 130:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan riba dengan berlipat-lipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Penutup
Semoga risalah kecil ini dapat memberi sedikit panduan berguna kepada para jemaah haji yang akan pulang ke tanah air nanti. Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita dan menjadikan kita semua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang beroleh nikmat, rahmat dan kemenangan, daripada kalangan orang-orang yang soleh. Selamat pulang ke pangkuan keluarga dan selamat beramal. Kuatkan azam, semangat dan motivasi untuk melakar perubahan. Semoga perubahan kita, kesan haji yang mabrur, akan membekas juga kepada saudara seagama kita yang lain. Wallahu a‘lam.
Al-Haqir ila Allah, Abu Fatih al-Mubaraki (Ahmad Husni Abd Rahman), Makkah al-Mukarramah, haji 1432H/2011M. Dibaca oleh Abu Anas Madani, 23 November 2011.
Bacaan berkaitan
Rujukan
19 sumber-
Al-Quran, Surah Hud (11): 112–115.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 38 (riwayat Sufyan bin Abdillah ath-Thaqafi r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Fussilat (41): 30.
Quran.com -
Musnad al-Bazzar (Kasyf al-Astar, no. 1082); al-Haithami, Majma' az-Zawa'id, 3/274–275 (riwayat Ibn Umar r.a.).
hadithanswers.com -
Al-Quran, Surah al-An'am (6): 82 dan Surah Luqman (31): 13; Sahih al-Bukhari, no. 32.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 793; Sunan Abi Dawud, no. 551 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 645; Sahih Muslim, no. 650 (riwayat Ibn Umar r.a.).
Sunnah.com -
Az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala', biografi al-A'masy.
ar.wikisource.org -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 31.
Quran.com -
Sahih Muslim, no. 2128 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 3585.
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 3474 (riwayat Abu Zar r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 804 (riwayat Abu Umamah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah asy-Syura (42): 52; Surah Taha (20): 114.
Quran.com -
Sunan Ibn Majah, no. 224 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 278–279; Surah Ali 'Imran (3): 130.
Quran.com -
Sunan Ibn Majah, no. 2275; al-Hakim, no. 2259 (riwayat Ibn Mas'ud r.a.) — Sahih al-Jami', no. 3539.
Sunnah.com -
Musnad Ahmad (riwayat 'Abdullah bin Hanzalah r.a.) — al-Albani, Sahih at-Targhib, no. 1855.
surahquran.com -
Al-Hakim, no. 2261; at-Tabarani (riwayat Ibn 'Abbas r.a.) — Sahih al-Jami', no. 679.
surahquran.com
