Tulisan: Ummu Anas Madani (catatan tazkirah Dato’ Dr. Abu Anas Madani). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.
Rakaman kuliah: Facebook
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memfardukan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram.
Allah juga telah meletakkan dalam hati hamba-Nya yang beriman perasaan rindu, suka dan sayang untuk sampai ke Baitullah al-Haram.
Ia sekali gus memperkenankan doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang telah memanggil dan menyeru seluruh manusia setelah selesai membina Baitullah al-Haram bersama anaknya Nabi Ismail a.s. suatu ketika dahulu.
Selawat dan salam juga ke atas Nabi kita Muhammad SAW yang telah membersihkan bumi Makkah daripada segala bentuk syirik, mungkar dan maksiat serta menyeru kepada tauhid dan menyembah Allah SWT semata-mata, serta telah mengembalikan Makkah kepada syariat yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Juga salam ke atas para sahabat Baginda dan semua yang berjalan mengikut sunnah Nabi SAW.
Alhamdulillah, kita bersama lagi dalam siri kuliah di Makkah bagi rehlah haji 1445H.
Dalam siri ini kita hendak memahami makna haji mabrur dan apakah kebajikan dalam haji. Ia amat penting bagi perjalanan hati menuju kepada Allah SWT yang amat besar tujuannya!
Apakah Haji Mabrur (مَبْرُور)?
Haji dari Sudut Bahasa
Haji dari sudut bahasa bermaksud menuju atau berniat (القصد) untuk melakukan sesuatu.
Haji dari Sudut Syariah
Haji ialah menuju ke Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan amal ibadat tertentu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menurut syarat-syaratnya.
- Bermula daripada niat sehingga selesai semua rukun dan wajibnya.
- Ia juga mempunyai waktu dan tempoh yang khas untuk berniat haji iaitu bulan-bulan haji: daripada 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.
- Haji ialah salah satu daripada Rukun Islam yang lima.
Hukum menunaikan ibadat haji ialah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Makna mabrur (مَبْرُور) diambil daripada perkataan بِرٌّ yang bererti kebaikan, iaitu haji yang baik dan yang diterima Allah SWT!
Pandangan Ulama
Ulama bahasa membahagikan orang yang datang ke Makkah pada musim haji kepada tiga kategori:
- al-Hajj (الحاج), bagi perempuan al-hajjah (الحاجة): iaitu orang yang pergi ke Baitullah untuk mengerjakan ibadat haji seperti yang telah ditetapkan di atas dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Maka yang zahirnya dialah yang berhaji, kerana niat tiada siapa yang boleh mengesan dan mempertikaikannya; hanya Allah SWT yang mengetahuinya.
- ad-Dajj (الداج): pengikut jemaah haji. Dia pergi ke Makkah bukan untuk mengerjakan haji tetapi kerana kerja, seperti pekerja (pemandu bas atau lori, pengangkut barang dan sebagainya) atau khadam yang berkhidmat kepada orang yang mengerjakan haji; yakni kerana sebab atau urusan dunia.
- az-Zajj (الزاج): orang yang pergi ke Makkah kerana hendak menunjuk kepada orang dan mencari kemasyhuran supaya orang memuji perbuatannya itu. Dia mengerjakan haji tetapi dengan riyak, dengan niat hendak menunjuk kepada orang, bukan ikhlas semata-mata kepada Allah!
Semoga kita termasuk dalam golongan pertama yang akan mendapat kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Haji yang mabrur tiada balasan baginya selain syurga.” Lalu sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kebaikan (tanda mabrur) haji itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Memberi makan dan mengucapkan kata-kata yang baik.”
[HR Ahmad, 3/325 dan al-Hakim, 1/483, daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a. Al-Hakim menilai sanadnya sahih dan disetujui oleh az-Zahabi; al-Munziri dan al-Haithami menilainya hasan, manakala sebahagian ulama hadis melemahkan sanadnya. Dalam riwayat lain: “Memberi makan dan menyebarkan salam.”]
Sebutan Haji
Haji boleh dibaca dengan dua bacaan, sama ada huruf ha (ح) berbaris atas atau bawah: hajj (حَجّ) atau hijj (حِجّ).
Dalilnya sebagaimana firman Allah SWT:
Pertama, dalam Surah Ali ‘Imran ayat 97 (حِجّ):
وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (ke Baitullah).” (Ali ‘Imran 3:97)
Kedua, dalam Surah al-Hajj ayat 27 (حَجّ):
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji.” (al-Hajj 22:27)
Al-Quran membawa kedua-dua bacaan dan makna keduanya ialah pergi haji ke Makkah!1
Makna Haji Mabrur
Kita lihat pula erti haji mabrur, iaitu haji yang baik, yang elok, yang sempurna dan yang diterima Allah SWT.
Terdapat beberapa kriteria yang disebut; kita huraikan dan buat kesimpulannya, mudah-mudahan kita akan mendapat haji mabrur.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Umrah ke umrah berikutnya ialah kafarah (penghapus dosa) di antara kedua-duanya dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga.” [HR al-Bukhari, no. 1773 dan Muslim, no. 1349].
Ulama hadis menafsirkan makna haji mabrur sebagai:
- Haji yang diterima (maqbul) oleh Allah SWT. Apabila diterima, maknanya ia mabrur.
- Haji yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
- Dari sudut pelaksanaannya, bertepatan dengan ajaran dan sunnah Nabi SAW.
Daripada Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu mengambil daripadaku cara mengerjakan manasik haji kamu, kerana aku tidak tahu, barangkali aku tidak akan mengerjakan haji lagi selepas hajiku ini.” [HR Muslim, no. 1297; dengan lafaz “خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ” oleh al-Baihaqi]. - Perbelanjaan haji itu daripada harta yang halal.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah ini lalu tidak melakukan rafath dan tidak melakukan fusuq, nescaya dia pulang (bersih daripada dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” [HR al-Bukhari, no. 1819 dan Muslim, no. 1350].
Makna Rafath dan Fusuq
Ulama berkata:
- Rafath ialah nama bagi setiap perkara yang sia-sia (laghw), kata-kata yang keji, hubungan intim suami isteri dalam ihram, perlakuan maksiat dan juga gurau senda yang melampau tanpa wujud perasaan malu dalam jiwa.2
- Fusuq (perbuatan fasiq) pula ialah keluar daripada ketaatan kepada Allah SWT, termasuk juga berbalah, merokok dan lain-lain.
Semoga kita semua meninggalkan semua perbuatan dosa dan maksiat sebelum sampai di Arafah.
Maksud “seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya” ialah seperti bayi yang baru lahir dalam keadaan suci, tidak mempunyai dosa sedikit pun.
Ulama berbahas pula dosa mana yang diampunkan Allah itu. Ada yang berkata dosa kecil sahaja; ada yang berkata semua dosa dengan Allah sama ada besar atau kecil, KECUALI yang berkait dengan manusia: ia tidak akan terlepas selain dengan meminta maaf daripada tuan haknya!
Jangan sampai pergi haji dengan menggunakan duit atau hak orang tanpa keizinannya.
Kriteria Haji Mabrur
Haji untuk menjadi mabrur mesti mempunyai dua perkara asas:
- Seseorang melakukan semua amal kebajikan, baik dari segi ibadat, akidah, muamalah dan semua kebaikan.
- Menjauhi segala dosa dan maksiat yang dilarang Allah ‘Azza wa Jalla.

Amalan Kebajikan Ketika Haji
Apakah pula amalan baik yang perlu dilakukan ketika haji?
1. Ihsan: Berbuat Baik kepada Orang Lain (الإحسان)
Ini kerana dalam ibadat haji kita tidak pergi seorang diri, bahkan manusia dari seluruh dunia datang. Maka kita akan berjumpa dengan pelbagai bangsa dan bahasa, apatah lagi teman-teman sebilik dan sekhemah yang datang bermusafir bersama kita.
2. Akhlak yang Baik
عَنِ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ، فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ، وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ
Daripada an-Nawwas bin Sam‘an al-Ansari r.a., beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan dan dosa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan ialah akhlak yang baik (حُسْنُ الْخُلُقِ), manakala dosa ialah sesuatu yang meresahkan hatimu dan kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.”
[HR Muslim, no. 2553 dan at-Tirmizi, no. 2389; juga diriwayatkan oleh Ahmad].
Kebaikan ini ialah akhlak yang baik seperti tidak menghina, mengata dan mengutuk orang serta tidak menyakiti orang lain dengan perkataan, perbuatan, isyarat dan seumpamanya, termasuk melalui tulisan kita.
3. Muka Manis dan Kata-Kata yang Baik
Ada orang yang bertanya kepada Ibnu ‘Umar r.a.: Apakah itu kebaikan? Jawabnya: Kebaikan itu ialah muka yang sentiasa tersenyum dan perkataan yang lembut.
Yakni semasa haji ini kita bersabar dan bercakap baik serta bermuka manis walaupun kita sedang hendak marah. Bersabarlah, terutama pada hari-hari puncak haji; sifat ini amat perlu untuk kita mendapat haji mabrur!
Ini kerana kesabaran yang sebenar ialah ketika sedang menghadapi ujian atau teguran itu, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya kesabaran itu ialah ketika hentakan (musibah) yang pertama.” [HR al-Bukhari, no. 1283 dan Muslim, no. 926].
4. Memberi Makan dan Menjaga Lidah
Seorang ulama salaf, Sa‘id bin Jubair rahimahullah, ditanya: Siapakah jemaah haji yang paling baik? Jawabnya: Orang yang memberi makan dan menjaga lidahnya. [Musannaf ‘Abd ar-Razzaq, no. 8816].
Ini termasuk dalam bersahabat dan bersosial sesama jemaah haji: berkenalan dan berkongsi makanan lalu berbaik-baik.
Ciri-Ciri Jemaah Haji yang Baik
Kata Abu Ja‘far al-Baqir rahimahullah, tiga perkara yang perlu ada ketika haji, iaitu ciri-ciri jemaah haji yang baik:
- Sifat warak, takwa dan takut kepada Allah yang menghalangnya daripada melakukan maksiat; kawalan dalam diri kita sendiri.
- Sifat lemah lembut (hilm), toleransi dan bertolak ansur sesama manusia. Sesiapa yang memberi kelapangan (mempermudahkan urusan) kepada orang lain di dunia, insya-Allah, Allah akan meluaskan kuburnya kelak.
- Elok pergaulan, bersahabat dan berkawan dengan baik. Inilah sifat yang baik, apatah lagi ketika bermusafir dalam haji!
Berkata Rabi‘ah rahimahullah: Tiga maruah atau akhlak orang musafir:
- Memberi bekalan atau berkongsi makanan yang dibawa.
- Tidak banyak berselisih dengan sahabat dalam perjalanan.
- Sekali-sekala bergurau senda yang tidak dimurkai Allah. Kawal dan jagalah gurauan supaya tidak melebihi had.
Ibrahim bin Adham rahimahullah mensyaratkan orang yang hendak bermusafir bersamanya agar:
- Apabila tiba waktu solat, dia mahu azan supaya alam sekeliling menjadi saksi.
- Dia bersedia berkhidmat kepada ahli musafir bersamanya.
‘Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah, seorang mujahid dan abid (berjihad dan beribadat seiring), ialah seorang yang suka mengadakan jamuan dan menjamu orang lain makan hatta ketika dia berpuasa.
- Kita berpuasa tidak menghalang kita menjamu tetamu yang datang. Tetapi jika tetamu yang datang ialah jemputan kita atau sudah berjanji lama, sedangkan puasa kita puasa sunat biasa atau kerana diet, harus kita berbuka dan makan bersama untuk meraikannya. Ini kerana menjaga hati sahabat lebih afdal daripada menjaga badan!
- Apabila ‘Abdullah bin al-Mubarak hendak pergi haji, beliau mengisytiharkan siapa yang mahu mengikutnya boleh mula menabung dan mereka memberinya duit untuk disimpan sebagai belanja haji. Selesai haji dengan segala khidmat dan jamuan makan, setibanya di tanah air beliau mengembalikan semula duit para jemaah hajinya sebagai hadiah untuk dibawa pulang kepada keluarga masing-masing! Allahu Akbar, semuanya atas belanjanya sendiri; seorang yang begitu hebat!
Kesimpulan: Ihsan dalam Perjalanan Haji
Kesimpulannya, dalam perjalanan haji ini ihsan ialah menjaga:
- Hubungan dengan manusia: bermuka manis, bercakap baik, berbuat baik sesama manusia, banyak bersabar, tidak banyak berselisih, memberi makan dan menjaga kebersihan agar mendapat tempat yang selesa.
- Hubungan dengan Allah pula: melakukan semua ketaatan. Apabila kita hendak berhaji, kita mesti melakukan rukun haji yang enam itu. Kita mesti melakukan rukun, wajib dan sunat serta menjauhi semua yang dilarang. Yang sunat kita lakukan secara maksimum; ambil peluang kita berada di Tanah Haram ini untuk meraih pahala sebanyak mungkin, insya-Allah.
Allah mengajarkan enam jenis kebaikan dalam firman-Nya ini:
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah 2:177)
Secara ringkasnya:
- Beriman kepada Allah SWT.
- Menginfakkan harta pada jalan Allah.
- Mendirikan solat.
- Menunaikan zakat.
- Menunaikan janji, sama ada kepada Allah atau manusia.
- Sabar ketika susah dan senang.
Firman Allah SWT:
“Kemudian apabila kamu bertolak turun dari Padang Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy‘ar al-Haram (di Muzdalifah) dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah daripada golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.” (al-Baqarah 2:198)
“Selain daripada itu, hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun); sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqarah 2:199)
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat.” (al-Baqarah 2:200)
Ayat-ayat ini menyentuh amalan khusus semasa haji:
- Memperbanyak zikir pada hari-hari haji. Bahkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa amalan haji itu disyariatkan untuk menegakkan zikir (mengingati) Allah SWT.3
- Antara zikir dan doa yang terbaik ialah:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (al-Baqarah 2:201)
Jadilah orang yang bijak mengurus masa dan bijak memohon doa kepada Allah SWT; jangan meminta dunia sahaja, kita akan rugi di akhirat kelak!
- Peringatan dan nasihat Dr. Abu Anas Madani pada setiap masa dan ketika: merokok adalah haram dan membawa banyak keburukan, apatah lagi merokok ketika menjadi tetamu Allah di Tanah Haram. Kita tanamkan keazaman untuk berubah kepada kebaikan, kemudian ikhlaskan doa memohon petunjuk dan pertolongan kepada Allah SWT!
Inilah ciri haji mabrur yang pertama iaitu ihsan (الإحسان): berbuat baik kepada Allah dan sesama manusia.
Manakala ciri haji mabrur yang kedua ialah meninggalkan perkara yang dilarang Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (al-Baqarah 2:197)
Semoga dengan kita melakukan dua perkara ini dan meninggalkan segala larangan Allah, kita semua akan mendapat haji mabrur dan diampunkan segala dosa!

Ciri-Ciri Haji Mabrur
Ringkasan ciri-ciri haji mabrur atau tanda-tanda birr al-hajj:
- Kita mengerjakan haji dengan menyempurnakan rukun, wajib dan sunatnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ‘Abd ar-Rahman bin Sakhr r.a.: “Apa sahaja yang aku larang, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan, maka kerjakanlah semampu kamu. Sesungguhnya yang telah membinasakan orang-orang sebelum kamu ialah banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka.” [HR al-Bukhari, no. 7288 dan Muslim, no. 1337].
- Melakukan semua perkara kebaikan, sama ada kebaikan dengan Allah, manusia, haiwan dan seluruh alam.
- Elok pergaulan dengan manusia dan memiliki akhlak yang mulia, sebagaimana hadis Nabi SAW dan kata-kata Ibnu ‘Umar r.a. di atas.
- Memperbanyak zikir dan doa kepada Allah, terutama membaca al-Quran.
Sebaik-baik doa ialah doa hari Arafah. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan oleh para nabi sebelumku ialah:لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” [HR at-Tirmizi, no. 3585; dinilai hasan oleh al-Albani]. Lihat juga: Doa Pada Hari Arafah: Untuk Jemaah Haji Atau Semua?
Ini ialah doa tanpa meminta apa-apa, iaitu doa atau zikir sebagai ibadat kepada Allah. Manakala jenis doa kedua ialah permohonan, iaitu berdoa kepada Allah untuk diri sendiri, ibu bapa, anak, isteri atau suami, kaum keluarga, sahabat handai, guru serta semua orang yang disayangi di dunia dan akhirat; sebagaimana projek kita: hendak masuk syurga sekeluarga.
- Menjauhi segala perkara yang tidak elok dan tidak baik, sebagaimana firman Allah SWT tadi.
- Memastikan belanja yang digunakan untuk haji ialah wang yang halal dan nafkah yang benar.
Kata ahli syair: Jika kamu pergi haji dengan harta yang tidak halal, maka bukan kamu yang naik haji tetapi unta yang membawamu itulah yang pergi haji. - Memperbetulkan niat: jangan berbangga dan riyak, hendak menunjuk kepada manusia.
Apakah Tanda-Tanda Haji Mabrur?
Kata ulama, sebagaimana yang disebut oleh Imam an-Nawawi dan ulama lain rahimahumullah, antaranya: kembalinya seorang haji dengan jiwa dan sifat yang lebih baik daripada sebelumnya (serta tidak kembali kepada maksiat).
Penutup
Semoga kita semua berubah kepada sifat dan akhlak yang lebih baik, insya-Allah.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang maqbul dan mabrur hajinya serta segala amal ibadatnya, insya-Allah.
Allahu a‘lam.
Untuk panduan ringkas ibadat haji, lihat juga Koleksi Pamplet Haji, Korban & Zulhijjah.
Catatan Ummu Anas Madani daripada tazkirah ilmu Dr. Abu Anas Madani di Makkah, Rabu, 12 Jun 2024 / 6 Zulhijjah 1445H.
Nota kaki
- Pada Ali ‘Imran 3:97, riwayat Hafs, Hamzah dan al-Kisa’i membaca hijju (حِجُّ) manakala qiraat lain seperti Nafi‘, Ibn Kathir dan Abu ‘Amr membaca hajju (حَجُّ); pada al-Hajj 22:27 semua qiraat membaca bil-hajj (بِالْحَجِّ).
- Ibnu ‘Abbas r.a. dan kebanyakan ahli tafsir mentafsirkan rafath dalam al-Baqarah 2:197 sebagai jimak dan perkara yang membawa kepadanya (termasuk perbualan tentangnya), fusuq sebagai segala maksiat dan jidal sebagai pertengkaran (lihat Tafsir at-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir pada ayat tersebut). Huraian yang lebih luas di atas termasuk dalam makna umum larangan ayat itu.
- Hadis ‘Aisyah r.a.: “Sesungguhnya tawaf di Baitullah, sa‘i antara Safa dan Marwah dan melontar jamrah dijadikan untuk menegakkan zikir kepada Allah.” [HR Abu Dawud, no. 1888 dan at-Tirmizi, no. 902; at-Tirmizi menilainya hasan sahih, manakala al-Albani menilainya daif]. Maknanya disokong oleh al-Baqarah 2:198–203 yang berulang kali memerintahkan zikir dalam manasik haji.
Bacaan berkaitan
Rujukan
15 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, no. 1773; Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1349 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Musnad Ahmad, 3/325; al-Mustadrak al-Hakim, 1/483; at-Tabarani, al-Mu'jam al-Awsat (riwayat Jabir r.a.). Al-Hakim: sahih al-isnad (disetujui az-Zahabi); al-Munziri dan al-Haithami: hasan; sebahagian ulama melemahkan sanadnya.
hadithanswers.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 97.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 27.
Quran.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1297 (riwayat Jabir r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1819 (juga 1521); Sahih Muslim, no. 1350 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Birr, no. 2553; Sunan at-Tirmizi, no. 2389 (riwayat an-Nawwas bin Sam'an r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1283; Sahih Muslim, no. 926 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Musannaf 'Abd ar-Razzaq, 5/10, no. 8816 (athar Sa'id bin Jubair).
hadithanswers.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 177.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 197.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 198–201.
Quran.com -
Sunan Abi Dawud, no. 1888; Sunan at-Tirmizi, no. 902 (riwayat 'Aisyah r.a.); at-Tirmizi: hasan sahih; al-Albani: daif.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 7288; Sahih Muslim, no. 1337 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3585; at-Tirmizi: gharib; al-Albani: hasan.
Sunnah.com
