Tulisan: Dr. Abdul Wahhab bin Nasir at-Turairi, terjemahan Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: laman al-Islam al-Yawm (Islam Today), dimuatkan semula di saaid.net.
Pesanan Buat Para Hujjaj
بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika matahari hampir ghurub (terbenam) pada petang hari Arafah, Rasulullah SAW sedang mengangkat dan menadah kedua-dua tangannya yang mulia. Baginda berdoa dalam keadaan penuh khusyuk, tunduk dan merendah diri. Kemudian baginda menurunkan tangannya lalu berpaling ke arah Bilal seraya berkata: “Wahai Bilal, suruhlah manusia semuanya diam!”
Bilal pun menyeru sekalian manusia agar diam. Maka semua hati memerhati, telinga menajamkan pendengaran dan mata memandang ke arah Rasulullah SAW yang menyeru mereka:
“Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku membawa khabar gembira bahawa Allah SWT telah menerima (amalan) orang yang berbuat baik daripada kalangan kamu, memaafkan orang yang berbuat salah daripada kalangan kamu dan menanggung (menyelesaikan) tanggungan kesalahan kamu.”
Ketika mendengar berita gembira tersebut, Sayyidina Umar bin al-Khattab lantas bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kelebihan ini khusus untuk kita (yang berada di sini pada hari ini) atau umum untuk semua manusia?”
Sabda Nabi SAW: “Bahkan umum untuk semua manusia.”
Umar pun berkata: “Banyak sekali kebaikan Tuhan kami dan amat baik!”
Betapa indahnya khabar gembira (busyra) yang disampaikan oleh Nabi SAW, yang menyelinap masuk ke dalam hati para hujjaj (jemaah haji) yang sedang berwukuf di Arafah, beberapa saat sebelum berangkat ke Muzdalifah. Maka berbungalah harapan mereka, seolah-olah mereka dibawa naik ke langit, kesalahan mereka telah diringankan dan kebaikan yang mereka lakukan telah diberkati.
Khabar gembira daripada Nabi SAW itu menunjukkan luasnya rahmat Tuhan dan curahan kasih sayang-Nya yang tidak terhingga. Demikian juga terdapat banyak lagi nas hadis yang menyebut tentang berita gembira dan limpahan rahmat Allah SWT.
Ketika ‘Amru bin al-‘As datang untuk memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW, baginda menyambutnya dengan gembira dan menghulurkan tangannya yang mulia untuk membaiahnya di atas Islam, tetapi ‘Amru menarik tangannya.
Nabi bertanya: “Kenapa wahai ‘Amru?” Jawabnya: “Saya mahu meletakkan satu syarat.” Kata Nabi: “Syarat apa yang kamu mahu?” Jawab ‘Amru: “Syaratnya, Allah SWT mengampunkan dosa saya.” Sabda Nabi SAW: “Wahai ‘Amru, tidakkah kamu tahu bahawa Islam menghapuskan (dosa-dosa) yang sebelumnya, hijrah menghapuskan (dosa-dosa) yang sebelumnya dan haji menghapuskan (dosa-dosa) yang sebelumnya?” [HR Muslim]
Sesungguhnya haji menghapuskan kesalahan dan dosa-dosa yang lalu, sebagaimana Islam menghapuskan kesalahan kekufuran.
Sabda Nabi SAW yang seumpama itu juga: “Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan rafath (perkara yang berkait dengan nafsu syahwat) dan tidak melakukan kefasikan (kejahatan dan maksiat), dia akan kembali (bersih) daripada dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Haji merupakan kelahiran baharu bagi seorang manusia. Pernahkah kamu tahu ada anak yang baru dilahirkan ke dunia telah tercatat dalam surat amalannya dosa yang dilakukannya atau kesalahan yang diperbuatnya?
Ingatlah, seorang yang telah mengerjakan haji kembali dari hajinya dalam keadaan sahifah (surat amalannya) bersih, seolah-olah dia baru keluar ke alam dunia dari perut ibunya.
Kepada semua yang telah mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram dan berwukuf di tempat wukuf, tempat Allah SWT mencurahkan rahmat; kepada mereka yang telah menadahkan tangan di perhimpunan yang agung, mendedahkan kepala dan menanggalkan pakaiannya lalu menggantinya dengan dua helai kain ihram dengan penuh tawaduk dan merendah diri kerana Allah SWT:
Bergembiralah dan bercita-citalah dengan apa yang kamu suka, kerana khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah benar dan janji Allah SWT adalah hak (pasti). Firman Allah SWT:
{Itulah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai kurnia yang besar.} [al-Hadid: 21; al-Jumu‘ah: 4]
Wahai Haji / Hajjah!
Kamu telah menyeru Tuhan Yang Maha Agung, Maha Baik lagi Maha Pemurah. Tiada dosa yang terlalu besar untuk diampunkan-Nya (selain syirik) dan tiada kurniaan yang terlalu besar untuk diberikan-Nya. Maka elokkanlah sangkaan kamu terhadap Tuhanmu dan bersungguh-sungguhlah dalam bersangka baik, kerana Tuhanmu berada di sisi sangkaan kamu. Anugerah Allah SWT melebihi apa yang kamu angan-angankan dan kemurahan-Nya lebih luas daripada permintaan kamu.
Kamu telah menyeru (berdoa kepada) Tuhan kamu, yang apabila kamu menghampiri-Nya sejengkal, Dia akan menghampiri kamu sehasta; apabila kamu menghampiri-Nya sehasta, Dia akan menghampiri kamu sedepa; dan apabila kamu datang kepada-Nya dengan berjalan, Dia akan datang kepada kamu dengan berlari-lari anak. (Kata-kata ini menunjukkan betapa cepatnya Allah SWT memperkenankan permintaan hamba-Nya.)
Harapkanlah pahala daripada Tuhanmu pada hari Dia menzahirkan rahmat-Nya kepada ahli Mauqif (Arafah), sedangkan kamu salah seorang daripada mereka. Allah SWT berbangga dengan mereka kepada malaikat (dan Allah lebih mengetahui) dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu? Mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut masai, berdebu dan berpanas di bawah terik matahari. Saksikanlah, Aku telah mengampunkan mereka.”
Harapkanlah pahala daripada Tuhanmu pada hari ahli musim haji bertolak (dari Arafah) dalam keadaan tidak menutup kepala (sedang kamu bersama mereka), lalu Allah SWT berfirman: “Bertolaklah kamu dalam keadaan telah diampunkan.”
Harapkanlah pahala daripada Tuhanmu kerana musim ibadat yang kamu hadiri ini turut dihadiri bersama kamu oleh orang-orang yang kusut masai dan berdebu, yang tidak dikenali dan tidak dipedulikan kehadirannya, tetapi kalau salah seorang daripada mereka bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah SWT akan memenuhi sumpahnya. Maka Allah SWT menerima amalan mereka dan orang yang bersama mereka dan berfirman: “Mereka itulah kaum yang tidak akan celaka orang yang duduk bersama mereka.”
Wahai Haji / Hajjah, Bersangka Baiklah
Bersangka baiklah dengan Tuhanmu; jangan sekali-kali bersangka melainkan sangkaan yang baik. Antara tanda bersangka baik (husnuzzan) dengan Tuhan kamu ialah kamu yakin bahawa Tuhan telah menerima haji yang kamu lakukan, mengampunkan dosa kamu, memperkenankan doa kamu dan menggandakan anugerah kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjemput kamu datang melainkan untuk menerima amalan kamu, menghapuskan dosa kamu dan membersihkan surat amalan (sahifah) kamu. Apa sahaja yang kamu sangka, sesungguhnya limpahan kurnia Allah SWT lebih luas daripada sangkaan dan angan-angan kamu.
Demikianlah keadaan orang-orang soleh dan para ulama yang mantap ilmunya di perhimpunan yang besar ini.
Berkata Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah: “Aku datang bertemu Sufyan ath-Thauri pada petang hari Arafah. Dia sedang duduk di atas lututnya dengan air mata mengalir. Dia berpaling kepadaku, lalu aku bertanya kepadanya: Siapakah orang yang paling buruk keadaannya dalam perhimpunan ini? Jawabnya: Orang yang menyangka bahawa Allah SWT tidak mengampunkan mereka.”
Diriwayatkan daripada al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah bahawa beliau memerhatikan esak tangis manusia pada petang hari Arafah, lalu berkata: “Apa pandangan kamu, kalau mereka semua pergi kepada seorang lelaki meminta daripadanya satu daniq (seperenam dirham), adakah dia akan menolak mereka?” Jawab mereka: “Sudah tentu tidak.” Katanya: “Demi Allah, keampunan di sisi Allah SWT lebih mudah daripada lelaki itu memberi mereka satu daniq.”
وإني لأدعو الله أسأل عفوه *** وأعلم أن الله يعفو ويغفر
لئن أعظم الناس الذنوب فإنها *** وإن عظمت في رحمة الله تصغرAku berdoa kepada Allah SWT memohon kemaafan-Nya,
dan aku mengetahui bahawa Allah memaafkan dan mengampunkan.
Sekiranya dosa itu dianggap besar oleh manusia,
walau sebesar mana pun, dalam rahmat Allah ia menjadi kecil.
Saudara Haji / Saudari Hajjah
Pekakkanlah telinga kamu daripada mendengar sejenis nasihat yang menyempitkan jalan kamu kepada Allah SWT, menyempitkan rahmat Allah SWT yang sangat luas dan memutuskan harapan manusia daripada diterima amal soleh mereka. Apabila seseorang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, ada orang berkata kepadanya: “Bukan amalan yang kamu lakukan itu yang diambil kira, tetapi apa yang diterima oleh Allah SWT. Kamu tidak tahu amalan kamu diterima atau tidak!” Seolah-olah penerimaan amalan itu perkara nasib (hazh) semata-mata, yang seseorang tidak tahu sama ada dia mendapatnya atau tidak. Bukankah ini satu bentuk berputus asa daripada rahmat Allah SWT?
Sesungguhnya keyakinan kita kepada Allah SWT ialah setiap amalan soleh yang dilakukan kerana Allah SWT, jalannya ialah diterima (qabul) dan digandakan. Allah SWT terlalu mulia dan pemurah untuk menolak amalan soleh hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas kepada-Nya. Sesiapa yang bersangka selain daripada ini terhadap Allah SWT, dia telah bersangka buruk terhadap Allah SWT.
Firman Allah SWT: {Apa gunanya Allah menyeksa kamu jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.} [an-Nisa’: 147]
Mulakan Hidup Baharu Selepas Haji
Tahniah untuk anda; khabar gembira dan penyejuk mata (qurratu ‘ain)! Sesungguhnya dengan haji ini kamu telah dilahirkan dengan kelahiran yang baharu. Kamu telah meninggalkan segala dosa dan kesalahan sepanjang umur yang lepas; kamu telah kembali bersih daripada dosa seperti hari kamu dilahirkan oleh ibu kamu. Maka jadikanlah haji ini permulaan kehidupan yang baharu dan bermuamalahlah dengan Allah SWT dengan amalan yang soleh. Mulakanlah hidup baharu; perkara yang lepas telah selesai, maka kukuhkanlah amalan untuk kehidupan yang akan datang.
Ketahuilah (semoga Allah SWT memberkati kehidupanmu selepas ini) bahawa bukanlah syarat diterimanya amalan itu kamu menjadi maksum (terpelihara daripada dosa) selepas ini atau dengan sebab mengerjakan haji kamu mesti terlepas daripada sifat kemanusiaan dan naik ke taraf kehidupan para malaikat yang tidak bernafsu.
Bukan begitu, kerana perkara itu di luar kemampuan kamu walau sekuat mana pun kamu berusaha.
Tetapi mulakanlah kehidupan selepas haji ini dengan kehidupan yang baharu, setelah kamu membuang beban kesalahan yang lepas di belakang kamu.
Mulakan hidup baharu dengan penuh harapan dan tunduklah kepada kehendak syariat Allah SWT; perbanyakkan amalan ketaatan dan bermujahadah melawan nafsu daripada maksiat.
Sekiranya kamu tergelincir ke lembah maksiat, segeralah susuli dengan kebaikan: “Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu menghapuskannya.” [HR at-Tirmizi]
Maka setiap kebaikan, jalannya ialah digandakan pahalanya dan diperbanyakkan. Setiap kesalahan pula, jalannya ialah diampunkan dan dihapuskan.
Dan tidak akan binasa di sisi Allah melainkan orang yang memang (memilih untuk) binasa.
Akhi Haji / Ukhti Hajjah
Para salafus soleh (orang soleh zaman dahulu), apabila menyambut kepulangan jemaah haji, mereka meminta jemaah haji itu mendoakan mereka dengan berkata: “Mohonlah keampunan untuk kami!” Ini kerana jemaah haji kembali daripada mengerjakan haji dalam keadaan tidak berdosa, maka mereka diharapkan doanya dimakbulkan.
Maka saya menyambut kepulangan tuan/puan dengan maqalah ini, dengan memohon agar kamu mendoakan semua saudara Islam kamu agar Allah SWT mengampunkan dosa mereka, mencurahkan hidayah ke dalam hati mereka, memperbaiki keadaan mereka, menjauhkan keburukan daripada mereka serta memelihara mereka sebagaimana Allah SWT memelihara hamba-hamba-Nya yang soleh.
Wassalamu‘alaikum.
Akhukum, Abu Anas Madani, al-Mis-yal, Makkah al-Mukarramah, 20 Zulhijjah 1432H – 16 November 2011.
Bacaan berkaitan
Rujukan
13 sumber-
‘Abd al-Wahhab bin Nasir at-Turairi, "Ayyuha al-Hajj ista’nif ‘amalak" (teks Arab asal).
saaid.org -
Al-Mundhiri, at-Targhib wat-Tarhib (hadis Anas: Bilal diperintah mendiamkan manusia di Arafah; "katsura khairu rabbina wa taba").
-
Sahih Muslim, no. 121 (kisah keislaman ‘Amr bin al-‘As r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1521; Sahih Muslim, no. 1350 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Hadid (57): 21 dan al-Jumu‘ah (62): 4.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 7405; Sahih Muslim, no. 2675 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 1348 (riwayat ‘Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 2622 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 6408; Sahih Muslim, no. 2689 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah an-Nisa’ (4): 147.
Quran.com -
Sunan at-Tirmizi, no. 1987 (riwayat Abu Dharr r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 131 (riwayat Ibn ‘Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Ibn Rajab, Lata’if al-Ma‘arif (majlis hari Arafah).
