Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Khutbah

Khutbah Musim Haji (Siri 3): Sesudah Haji Tertunai

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 14 November 2011 · 11 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Syeikh Dr. ‘Abd ar-Rahman as-Sudais, terjemahan Abu Fatih al-Mubaraki. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: Khutbah Jumaat di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah, 15 Zulhijjah 1432H (11 November 2011M); alih bahasa di Makkah, 18 Zulhijjah 1432H.

Khutbah Pertama

إن الحمد لله، نحمده ونستعينُه ونستغفرُه ونتوبُ إليه، أحمده سبحانه أكمل لنا المناسك وأتمَّ، وأسبغَ على الحَجيج فضلَه المِدرارَ الأعمَّ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له شهادةً نسمُو بها إلى أعلى القِمَم، وأشهد أن نبيَّنا وسيِّدنا محمدًا عبدُ الله ورسوله أزكى من أدَّى المناسِكَ وطافَ بالبيت العتيق وأمَّ، وأبانَ معالمَ الدين ورسَم بأبلغِ عبارةٍ وأوجزِ الكلِم، صلَّى الله عليه وعلى آله الأطهارِ صفوةِ الأُمَم، السالكين النهجَ القويمَ الأَمَم، وأصحابِه الأخيارِ أُسدِ العَرين ولُيُوثِ الأَجَم، والتابعين ومن تبِعهم بإحسانٍ ما قصدَ المسجدَ الحرام حاجٌّ والتزَم، وسلَّم تسليمًا كثيرًا إلى يوم الدين. أما بعد

Bertakwalah kamu semua kepada Allah dengan takwa yang sebenar-benarnya. Sesungguhnya takwa ialah permata yang terlalu berharga dan peninggalan terhebat daripada ibadah haji dan keagungan syiar-syiar yang telah kamu lakukan. Justeru, takwa kepada Allah Ta‘ala ialah cahaya bagi segenap jiwa, sinar bagi setiap pandangan, rahsia yang tertinggi dan sebaik-baik penyelamat daripada segala bahaya. Maka bertakwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya takwa ialah sebaik-baik bekalan.

Kata penyair:

“Seseorang mendambakan agar tercapai hasratnya, namun Allah enggan melainkan apa yang Dia kehendaki. Lalu dia berkata: Antara faedah dan hartaku, takwa kepada Allah itulah sebaik-baik perolehanku.”

Tetamu ar-Rahman yang dirahmati Allah,

Beberapa hari yang lalu, kamu semua telah dikurniakan nikmat menyempurnakan rukun kelima daripada rukun Islam, salah satu binaannya yang teragung, dalam suasana ceria penuh keimanan serta keamanan yang tersendiri. Justeru, hargailah nikmat ini yang sentiasa direbut peluangnya oleh sekalian umat. Murnikanlah kesyukuranmu kepada Allah yang telah melimpahkan kepadamu sebaik-baik pemberian dan nikmat, serta menyibukkan kamu dengan ibadat haji ke rumah-Nya (Baitullah) yang dijadikan kekal, terbina kukuh kecintaan dan ketenteramannya dalam hati manusia. Di dalamnya terdapat balasan hebat yang tiada tandingannya. Disusuli pula selepas itu dengan perayaan Aidiladha yang meriah dan hari-harinya yang gemilang lagi indah. Cara yang paling layak untuk meraikan detik itu hanyalah dengan memurnikan kesyukuran kepada Yang Maha Memberi Nikmat, Subhanahu wa Ta‘ala.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Maka bersyukurlah kamu kepada Allah dengan kesyukuran yang sebenar. Berzikirlah mengingati Allah dengan sebenar-benar ingatan. Kamu telah berwukuf di lapangan yang terindah dalam erti memohon keampunan dan pelepasan daripada segala bentuk dosa, dalam keadaan kamu bercita-cita memperoleh pahala dan kemenangan. Kamu telah menempatkan diri dan jiwamu dalam siraman keampunan dan kamu lenyapkan segala noda dan kesalahan dengan untaian rahmat dan hadiah-hadiah yang mengiringinya. Kamu bermunajat dan berdoa dengan lisan yang suci, hati yang khusyuk, jiwa yang hancur luluh lagi pasrah serta mata yang berbicara dengan limpahan tangisan yang mencurah-curah.

Pandangan-pandangan tertumpu ke langit, mengharapkan ar-Rahman dengan penuh kehinaan diri, lantas memecah empangan tangisan yang mengalir deras umpama ombak yang menggulung dalam himpunan ketakwaan. Tuhan semesta alam menyahut panggilan hamba-Nya ketika bertalbiah.

Pada detik indah di Arafah, kamu menuju kepada Allah Ta‘ala dengan meninggalkan segala keburukan dan perkara yang telah lalu. Kamu telah berwukuf umpama berdirinya seorang fakir yang berhajat, dalam keadaan menjaga segala ketertiban dan ketulusan hati. Kamu telah menyembelih hadyu di bumi Mina, kamu melontar jamrah kerana harapan yang terbina, kamu mengikat jiwa dan roh di pelabuhan suci dengan melaksanakan saie antara Safa dan Marwah. Antara rukun Hajar al-Aswad dan Maqam Ibrahim mengalir keluar ungkapan-ungkapan pilu penuh keinsafan.

Di sisi rukun Hajar al-Aswad itu jugalah terhimpun segala kesalahan manusia lalu lebur hancur dan dada-dada manusia bersih daripada menanggung segala dosa, sambil merintih mengharapkan dimuliakan oleh Yang Maha Esa dengan pahala yang besar dan taubat yang diterima. Semua itu akan terbukti dengan melakukan segala kebajikan dan ketaatan sepanjang usia dan masa hidupnya. Hatinya sentiasa lunak dan tertarik kepada kebajikan.

Sabda Nabi SAW:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ

“Haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1773 dan Muslim, no. 1349 daripada Abu Hurairah r.a.)

Tahniah kepada sekalian pengunjung Baitullah dan bergembiralah dengan bicara hikmah daripada warisan nubuwwah ini.

Allah Maha Besar! Kalimat-kalimat ini umpama permata yang terletak di hamparan sutera.

Wahai jemaah haji yang dimuliakan,

Kini kamu telah berpindah ke lembaran baharu dalam hidupmu, kelahiran bahagia yang diberkati, lembaran hidup yang bersinar, bersih lagi suci waktunya dan sangat berharga detik-detiknya. Telah selesai kamu melaksanakan manasik haji. Persoalannya, apakah pula rencana dan perancangan selepas pulang nanti?

Tetaplah beriltizam dengan amalan-amalan soleh serta beristiqamah melaksanakannya sehingga ajal tiba di penghujung usia. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hijr ayat 99:

وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ

Maksudnya: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu (perkara) yang diyakini (kematian).”

Maka persiapkanlah bekalanmu, wahai para jemaah haji sekalian, daripada khazanah hajimu dengan taubat nasuha dan keyakinan yang kukuh kepada Allah Ta‘ala, beserta jiwa yang bersih dan keperibadian yang mulia, agar dapat memenuhi telaga dan lautan kehidupan dengan amalan-amalan soleh dan niat yang tulus murni.

Al-Hasan al-Basri rahimahullah pernah ditanya: “Apakah maksud haji yang mabrur?” Beliau menjawab: “Kamu kembali dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan sangat mengharapkan akhirat.”

Wahai umat Islam dan para jemaah haji ke Baitullah al-Haram,

Antara intipati haji mabrur ialah perubahan ke arah yang lebih baik dan mulia. Perkara ini hanya akan berlaku dengan berpegang teguh kepada tali Allah, saling berkasih sayang sesama umat Islam, bermuafakat serta menjauhi segala bentuk perpecahan dan perbalahan. Sentiasa saling mengingatkan dan berpesan ke arah kebaikan dan keutuhan akhlak, menjauhi segala bentuk kecelakaan, kemusnahan, kemungkaran dan penyakit-penyakit kemunafikan.

Bersihkanlah lidahmu daripada bicara dusta, mencaci, mengumpat, mengata serta mengadu domba. Bersihkanlah hatimu, kerana itulah tempat yang dilihat dan dinilai oleh Allah, Pemilik Kemegahan dan Kemuliaan.

Wahai para jemaah haji ke Baitullah! Hendaklah kamu semua berada di atas manhaj akidah yang jelas dengan berpegang teguh dan mengagungkannya. Itulah yang dimaksudkan dengan al-‘urwah al-wuthqa (simpulan tali yang teguh), maka janganlah sekali-kali rela simpulan itu dirungkai dengan apa jua usaha sekalipun.

Wahai sekalian kaum muslimin dan para jemaah haji yang beriman!

Bersempena musim ibadah manasik yang agung ini, kita mengambil pengajaran daripada tanda-tanda dan iktibar. Kita perlu memikirkan pertukaran masa dan perubahan-perubahan yang berlaku di sekitarnya. Sesungguhnya kefarduan haji yang hebat ini ialah medium bertolak ansur dan perbincangan, jaminan keselamatan dan tempat permuafakatan yang menzahirkan gambaran kesatuan umat yang bersepakat atas satu arah dan tujuan. Maka tidak wajar musim ini berlalu bagi setiap warga umat kecuali dengan mengambil pengajaran yang berharga daripada perhimpunan mega tahunan ini dan menghasilkan resolusi-resolusi penting demi kemaslahatan dan masa depan umat.

Bumi Haramain ini (semoga Allah memeliharanya) telah mempersembahkan kepada alam sejagat, dengan rahmat Allah, gambaran toleransi, sikap kerjasama serta nilai-nilai keamanan. Begitu banyak mercu tanda Islam dan kemanusiaan serta panorama kemajuan dan pembangunan yang tidak dapat disaksikan melainkan di bumi suci ini. Semua ini membuktikan kepada manusia sejagat bahawa tanpa iman dan akidah serta pegangan yang jitu kepada al-Quran dan as-Sunnah, semua ini mustahil dapat direalisasikan. Sesungguhnya anasir-anasir perpecahan dan perbalahan tidak memberi sebarang faedah kecuali kemunduran dan kebinasaan.

Sesungguhnya kami, atas nama umat Islam, dengan tegas menyeru dari lembah wahyu dan tempat lahirnya risalah kenabian kepada sekalian pemimpin dan rakyat jelata agar memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta menghapuskan segala bentuk pertelingkahan, kezaliman, dendam kesumat, pergeseran, pertikaian, perbuatan melampaui batas, permusuhan dan pembunuhan sesama sendiri. Semua ini hanya mampu terhasil dengan kehendak dan kuasa Allah serta kesedaran yang tinggi untuk memilih jalan penyatuan, bukan dengan mengambil jalan yang menyimpang lagi merosakkan perpaduan.

Harus disedari bahawa pancaroba, cabaran dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan umat Islam menuntut kita lebih cakna akan bahaya yang bakal dihadapi pada masa hadapan. Justeru, kita perlu menghadapinya dengan penuh jati diri dan integriti sebagai orang yang beriman. Inilah zaman yang berlalu pantas di hadapan kita dan lisan-lisan menceritakan peristiwa dan berita setiap hari dengan kisah yang berbeza. Ada kerajaan yang tumbang, ada negara yang musnah dan ada pula yang memperoleh kemenangan dan membangun. Begitu juga kita mengetahui peristiwa akhir zaman yang banyak mengorbankan para pejuang, perwira, saudara-mara dan kaum kerabat. Semoga Allah menempatkan mereka dalam nikmat syurga-Nya dan membalas segala jasa mereka dengan ganjaran terhebat. Beginilah dunia yang beredar dan terus beredar. Padanya terdapat iktibar dan pengajaran bagi setiap yang berakal.

Justeru, wahai hamba-hamba Allah yang mulia dan para jemaah haji ke Baitullah, marilah kita berusaha menempatkan diri dalam kalangan mereka yang mengusahakan kehidupan akhirat dan berlumba-lumba mendapatkan tempat tertinggi di syurga Allah.

Saudara-saudaraku yang beriman!

Antara bentuk kesyukuran kepada Yang Maha Esa ialah menyebut nikmat Allah yang mengkhususkan bumi Haramain yang mulia (semoga Allah memeliharanya) dengan tugas memberi khidmat kepada para jemaah haji, mengharapkan ganjaran dan pahala yang berpanjangan daripada-Nya. Khidmat yang berterusan ini tanda kurniaan dan pertolongan Allah Ta‘ala jua. Sesungguhnya khidmat, bantuan dan pengurusan para jemaah haji diletakkan sebagai keutamaan yang sangat besar kepentingannya, memandangkan besarnya amanah yang digalas oleh para petugas dan pemberi khidmat. Dengan nikmat, kurniaan dan taufik Allah, segala tugasan dan operasi ibadah haji berjaya secara menyeluruh. Sekalung tahniah, penghargaan, ucapan terima kasih serta doa yang berpanjangan dihulurkan kepada pihak pemerintah dan para petugas yang begitu tekun dan progresif menjaga urusan dan kebajikan para tetamu Allah. Semoga Allah membalas segalanya dengan ganjaran yang setimpal dengan usaha dan jasa yang telah dicurahkan. Begitu juga doa buat mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam urusan para jemaah haji. Semoga ganjaran yang serupa diterima dan diperoleh hendaknya.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah ayat 200–202:

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ۝ وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ۝ أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungan-Nya.”

بارك الله لي ولكم في الكتاب والسنة، ونفعنا وإياكم بما فيهما من الآيات والحِكمة، أقول قولي هذا، وأستغفرُ الله العظيمَ الجليلَ لي ولكم ولكافةِ المسلمين من كل خطيئةٍ وإثمٍ، فاستغفروه وتوبوا إليه، إنه كان للأوَّابين غفورًا

Khutbah Kedua

الحمد لله وليِّ التوفيق والإصابة، أحمده سبحانه خصَّ من شاء من عباده بالحجِّ المبرورِ والمغفرة والإنابة، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له شهادةً نرجُو بها من الرحمن دعوةً مُجابة، وأشهدُ أن نبيَّنا محمدًا عبدُ الله ورسوله ذو القدرِ العليِّ والذاتِ المُهابَة، خيرُ من درَجَ على ثرَى أمِّ القُرى والمدينةِ طابَة، صلَّى الله عليه وعلى آلهِ الأطهارِ ذوِي المكارِمِ والنجابَة، وصحبِه الأخيار أُولِي النفوس الأبِيَّةِ المُستطابة، والتابعين ومن تبِعهم بإحسانٍ إلى يوم الدين، وسلَّم تسليمًا كثيرًا. أما بعد

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Berpeganglah kamu dengan simpulan yang terikat teguh (akidah). Ketahuilah wahai sekalian yang hadir (semoga kamu dirahmati Allah), bahawasanya Allah Ta‘ala telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad SAW agar kamu semua mengikuti dan mematuhinya. Maka bergembiralah mereka yang mendukung dakwah dan seruannya dan beruntung serta berjayalah mereka yang melaksanakan segala yang disuruhnya dan menjauhi segala yang ditegahnya.

Wahai para jemaah haji sekalian!

Setelah selesai menunaikan ibadah haji, sebahagian kamu akan menuju ke bumi Madinah untuk menziarahi Masjid Nabi SAW. Itulah antara tempat yang digalakkan untuk diziarahi. Tahniah kepada sesiapa yang telah dan akan menziarahinya. Namun perlu diingat, ia bukanlah termasuk wajib haji atau rukunnya. Jika tidak melaksanakannya pun tidak mengapa; haji yang dilakukan tetap sempurna dan sah. Namun, peluang menziarahi Masjid Nabi SAW sebaiknya tidak dipersia-siakan. Sesiapa yang menziarahinya dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran, kerana bukankah Madinah al-Munawwarah itu tempat kembalinya iman dan tempat penghijrahan Nabi SAW? Selawat dan salam yang paling sempurna dan lengkap buat Baginda.

Para jemaah haji sekalian!

Bagi mereka yang akan menziarahi bumi hijrah Nabi SAW, ingatlah kepentingan mengikuti sunnah Baginda, menuruti sunnah para sahabat Baginda dan menghayati sirah kehidupan Baginda SAW. Sesungguhnya pada mengikuti sunnah Rasulullah SAW itu terdapat hidayah, kebaikan dan kejayaan. Pada berpegang kepada sunnah Baginda SAW juga terdapat cahaya yang menerangi umpama mentari yang menyinar, bak permata yang bergemerlapan yang menghilangkan kegelapan akibat kebejatan dan penyelewengan akidah. Sunnah Baginda SAW juga penuh dengan teladan akhlak mulia dan peribadi unggul dalam membina jati diri umat dalam kehidupan bermasyarakat yang produktif. Allah Ta‘ala telah memberi amaran keras terhadap mereka yang mengingkari atau menyalahi sunnah Nabi SAW. Firman Allah Ta‘ala dalam surah an-Nur ayat 63:

فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya beringat serta berjaga-jaga, jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Antara tuntutan mentaati dan menyayangi Baginda SAW ialah mempelajari adab-adab menziarahi Masjid Nabawi, tatacara mengucapkan salam kepada Baginda SAW dan para sahabat Baginda serta adab-adab tinggal di Madinah al-Munawwarah yang penuh dengan keberkatan dan rahmat.

Akhir sekali, pesanan buat saudara-saudaraku yang beriman! Kini kamu berada di ambang perpisahan dengan lembah wahyu dan tempat lahirnya risalah kenabian. Maka kita tidak mempunyai waktu untuk dibazirkan. Inilah doa yang akan diulang-ulang dari telinga ke telinga, doa yang mengiringi perpisahan bersama tautan ukhuwah yang lestari dan abadi: Kami titipkan kepada Allah agamamu, amanahmu dan penghujung amalanmu. Semoga Allah menambahkan takwamu, mengampunkan dosamu, menghapuskan segala keburukanmu, memurnikan cita-citamu, menyampaikan hasrat dan tujuanmu, menjadikan hajimu mabrur, usahamu disyukuri dan dosamu diampuni. Semoga kamu pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat sejahtera, beroleh ganjaran dan pahala serta tidak kecewa, gembira dan ceria, sentiasa dalam ketaatan dan istiqamah melaksanakannya. Sesungguhnya Dialah Allah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Memperkenankan permohonan.

Selawat dan salam yang terindah buat junjungan mulia, rasul pilihan akhir zaman, sebagaimana perintah Allah dalam surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Nabi SAW juga bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Riwayat Muslim, no. 384 daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a.)

صلَّى عليك الله ما قرأَ الورَى آيَ الكتابِ وسُورةَ الفُرقانِ، مِنَّا السلامُ عليك ما هبَّ الصَّبَا فوقَ الرُّبَى وشقائقِ النُّعمانِ. اللهم صلِّ على محمدٍ وآلهِ وأزواجِه وذريَّته، كما صلَّيتَ على إبراهيم، إنك حميدٌ مجيد، وبارِك على محمدٍ وآلهِ وأزواجِه وذريَّته، كما بارَكتَ على إبراهيم وعلى آل إبراهيم في العالمين، إنك حميدٌ مجيد، وارضَ اللهم عن الأئمة الأربعةِ الخلفاء الراشدين، الأئمةِ المهديين: أبي بكرٍ، وعمر، وعثمان، وعليٍّ، وعن سائر الصحابة والتابعين، ومن تبِعَهم بإحسانٍ إلى يوم الدين، وعنَّا معهم برحمتك وكرمك يا أكرم الأكرمين.

اللهم أعِزَّ الإسلام والمسلمين، اللهم أعِزَّ الإسلام والمسلمين، اللهم أعِزَّ الإسلام والمسلمين، وأذِلَّ الشرك والمشركين، وسلِّم الحُجَّاج والمُعتمِرين، وسلِّم الحُجَّاج والمُعتمِرين، وسلِّم الحُجَّاج والمُعتمِرين، والمُسافِرين في برِّك وبحرِك وجوِّك أجمعين. اللهم آمِنَّا في أوطاننا، اللهم آمِنَّا في أوطاننا، وأصلِح ووفِّق أئمَّتنا وولاةَ أمورِنا، وأيِّد بالحقِّ إمامَنا ووليَّ أمرنا. اللهم وفِّق إمامَنا خادمَ الحرمين الشريفَين لما تحبُّ وترضى، وخُذ بناصيَته للبرِّ والتقوى، وهيِّئ له البِطانةَ الصالحة التي تدلُّه على الخير وتُعينُه عليه، اللهم وفِّقه ووليَّ عهده وإخوانَهم وأعوانَهم إلى ما فيه صلاحُ الإسلام والمسلمين، اللهم اجزِهم خيرَ الجزاءِ وأوفرَه جزاءَ ما قدَّموا ويُقدِّمون لخدمةِ حُجَّاج بيتك الحرام. اللهم اجعل ذلك في موازين أعمالهم وصفحات حسناتهم يا ذا الجلال والإكرام. اللهم وفِّق جميعَ وُلاة أمور المسلمين لما تحبُّ وترضى، وخُذ بنواصِيهم للبرِّ والتقوى، واجعلهم لشرعِك مُحكِّمين، ولسنَّة نبيِّك صلى الله عليه وسلم مُتَّبعين، ولأوليائك ناصِرين. اللهم أصلِح أحوالَ المسلمين في كل مكان، اللهم أصلِح أحوالَ المسلمين في كل مكان، اللهم اكشِف الغُمَّة عن هذه الأمة، اللهم اكشِف الغُمَّة عن هذه الأمة، اللهم اكشِف الغُمَّة عن هذه الأمة، اللهم احقِن دماءَ المسلمين، اللهم احقِن دماءَ المسلمين، اللهم احقِن دماءَ المسلمين، واحفَظ أمنَهم وإيمانَهم واستقرارَهم في كل مكان يا رب العالمين. اللهم أنقِذ المسجدَ الأقصى، اللهم أنقِذ المسجدَ الأقصى، اللهم أنقِذ المسجدَ الأقصى من المُحتلِّين المُعتدين، اللهم اجعله شامِخًا عزيزًا إلى يوم الدين، اللهم عليك بالصهايِنة المُعتدين، اللهم عليك بالطُّغاة الظالمين فإنهم لا يُعجِزونك، اللهم شتِّت شملَهم، وفرِّق جمعَهم، واجعلهم عبرةً للمُعتبرين يا رب العالمين. (رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) [البقرة: 201]. اللهم اغفر لفقيد الأمة الإسلامية سلطان بن عبد العزيز، اللهم اغفر له وارحمه، اللهم ارفَع درجاته في المهديِّين، اللهم ضاعِف حسناته في علِّيِّين، اللهم اخلُفه في عقِبِه في الغابِرين، اللهم اغفر لنا وله ولسائر المسلمين ولموتانا وموتى المسلمين يا رب العالمين. اللهم أنت الله لا إله إلا أنت، أنت الغنيُّ ونحن الفقراء، أنزِل علينا الغيثَ ولا تجعلنا من القانِطين، اللهم أغِثنا، اللهم أغِثنا، اللهم أغِثنا، اللهم أغِث قلوبَنا بالإيمان واليقين، وبلادَنا بالخيرات والأمطار والغيثِ العَميم. ربَّنا تقبَّل منَّا إنك أنت السميعُ العليم، وتُب علينا إنك أنت التوَّابُ الرحيم، واغفر لنا ولوالدينا ووالدِيهم وجميعِ المسلمين الأحياءِ منهم والميتين، برحمتك يا أرحم الراحمين. سبحان ربِّك ربِّ العِزَّة عما يصِفون، وسلامٌ على المُرسَلين، والحمدُ لله ربِّ العالمين.

Abu Anas Madani.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3

Sebelum: Khutbah Musim Haji (Siri 2): Khutbah Arafah 1432H

Bacaan berkaitan

Rujukan

7 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ibrahim (14): 7.

    Quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, no. 1773; Sahih Muslim, no. 1349 (Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Al-Quran, Surah al-Hijr (15): 99.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 200–202.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 63.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 56.

    Quran.com
  7. Sahih Muslim, no. 384 ('Abdullah bin 'Amr bin al-'As r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026 Khutbah Tuntutan Mencintai Rasulullah S.A.W & Menghidupkan Sunnah-Nya 7 Sep 2025 Khutbah Tanggungjawab Mengisi & Mempertahankan Kemerdekaan Negara Malaysia 1 Sep 2025 Khutbah Khutbah Musim Haji (Siri 2): Khutbah Arafah 1432H 3 Nov 2011