Pendahuluan
Jemaah haji KT65, melalui Ash-Har Travel & Tours Sdn Bhd.
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ba’du.
Tentang haji, Allah Taala berfirman:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “… Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” [Ali ‘Imran: 97]
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ»
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Satu umrah ke umrah yang lain ialah kaffarah (penghapus dosa) bagi apa yang ada di antara keduanya dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” [Riwayat al-Bukhari, no. 1773]
Dalam catatan ringkas ini ana akan ceritakan sedikit pengalaman yang dilalui dan diperhatikan sepanjang rehlah al-hajj (perjalanan menunaikan ibadat haji) pada tahun 1430 Hijrah bersamaan 2009M.
Semoga apa yang dicoretkan di sini menjadi suatu kenangan dan sebahagian daripadanya pula boleh dijadikan bahan renungan atau perbincangan bersama.
8 Zulhijjah (Yaum at-Tarwiyah)
Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari tersebut para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.
Pada pagi hari Tarwiyah, jemaah haji Asia Tenggara termasuk Malaysia akan dibawa terus ke Arafah, tidak dibawa ke Mina sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW dan para sahabat. Baginda berada di Mina melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara qasar dan tidak menjamaknya.
Jemaah kita dibawa terus ke Arafah dengan alasan takut tidak sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak mendapat haji. Alasan ini sudah lama digunakan, namun ada juga beberapa kumpulan jemaah yang bertindak sendiri dan menuju ke Mina pada hari Tarwiyah.
Kita mengharapkan agar sunnah ini dapat dihidupkan oleh jemaah kita setelah perjalanan ke tempat-tempat haji (masya’ir) diperbaiki dan dinaik taraf.
Ketika itu projek kereta api atau monorel yang menghubungkan Makkah, Arafah dan Mina sedang giat dijalankan dan dijangka siap untuk musim haji 1431H.
Pada musim haji tahun ini hujan lebat turun di Makkah dan Arafah, bermula pada tengah hari (8 Zulhijjah) sehingga ke petang. Kebetulan bas yang kami naiki, iaitu trip pertama, sampai di Arafah pada jam 11.30 pagi ketika hujan sedang turun dengan lebatnya, membasahi karpet dan tilam yang disediakan untuk jemaah duduk dan tidur.
Tetapi alhamdulillah, bumi padang pasir ini lain sedikit. Pada malamnya, yang basah tadi sudah ada yang kering dan boleh digunakan. Bolehlah kami tidur beralaskan tikar dan tilam yang lembap; udara memang sejuk dan nyamuk juga banyak menyerang.
Budaya nasyid dan zikir munajat
Biasanya pada malam Arafah ini, ustaz-ustaz pakej swasta yang dibawa khas oleh syarikat masing-masing akan berzikir dengan kuat menggunakan mikrofon dengan suara yang lantang. Ada yang bermula seawal jam 1 pagi dan ada yang selepasnya.
Sedangkan menurut arahan pihak Tabung Haji yang telah dikeluarkan melalui perbincangan dengan ustaz-ustaz pakej ini: “Tidak dibenarkan mengadakan majlis zikir dan qiyamullail beramai-ramai secara kuat kerana ini boleh mengganggu jemaah haji lain yang mungkin ingin tidur atau berehat untuk menghadapi hari wukuf keesokan harinya, ataupun yang mungkin sedang beribadat dan bermunajat secara bersendirian sebagaimana yang dianjurkan.”
Tetapi yang menyedihkan, ada sebahagian ahli zikir munajat ini yang tidak menghiraukan arahan dan meneruskan program mereka tanpa mengambil kira perasaan orang lain serta melanggar hak kejiranan yang sepatutnya dijaga dan dihormati.
Lainlah sekiranya terdapat riwayat yang menyebut bahawa Baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya bertahajud atau berzikir munajat beramai-ramai pada malam Arafah sewaktu mengerjakan haji, maka pastilah ia akan menjadi satu sunnah yang wajar diamalkan.
Tetapi pada tahun ini, disebabkan bumi dan khemah basah, pihak keselamatan Muassasah Haji tidak membenarkan penggunaan elektrik di khemah kerana berbahaya. Maka suasana malam Arafah pada tahun ini agak tenang daripada laungan zikir munajat. Itu pun masih ada pihak yang secara kecil-kecilan menggunakan mikrofon bateri pula untuk meneruskan agenda mereka, Allahul-musta’an.
9 Zulhijjah 1430H (Yaum Arafah): Wukuf
Tibalah fajar pagi hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan lebih ramai hamba-Nya daripada api neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian berbangga-bangga dengan mereka di hadapan para malaikat seraya berfirman: Apakah yang mereka mahu?” [Riwayat Muslim, no. 1348]
Pada pagi yang tenang ini, dengan udaranya yang sejuk dan dingin, para jemaah haji menunaikan solat Subuh secara berjemaah di khemah masing-masing. Selepas solat ada yang membaca al-Ma’thurat (zikir pagi dan petang) dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh ustaz pembimbing masing-masing.
Mereka juga menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah. Waktu duha juga disambut dengan solat duha dan ibadat-ibadat lain seperti kuliah dan bacaan al-Quran.
Apabila tiba waktu Zuhur, setiap maktab (lebih kurang 2,500 orang) diminta mengadakan solat berjemaah di bawah pimpinan seorang imam. Keadaan menjadi agak kelam-kabut kerana sistem PA yang tidak lengkap dan tidak mencukupi. Juruteknik sukarelawan yang tidak bertauliah terpaksa berusaha dengan pelbagai cara; ada yang menyambung mikrofon ke mana-mana pembesar suara yang ada sehingga program solat dan khutbah ini berjaya dilakukan secara berjemaah.
Ada juga sebahagian khemah yang tidak dapat menyelesaikan masalah ini sehingga terdapat kumpulan yang terpaksa mufaraqah dan mengadakan solat dan khutbah sendiri dalam khemah syarikat masing-masing kerana tidak dapat mendengar khutbah dan solat daripada imam umum.
Diharapkan pihak TH dapat memperbaiki kekurangan kecil ini supaya gangguan sistem PA yang berulang setiap tahun ini tidak terjadi lagi.
Satu lagi perkara yang membuatkan jemaah berasa pelik ialah apabila khatib selesai khutbah pertama dan baru memulakan khutbah kedua, seorang muazin diarahkan bangun melaungkan azan. Lalu terjadilah pertembungan antara khutbah dan doa khatib dengan bilal yang sedang melaungkan azan, menjadikan para jemaah keliru dan terpinga-pinga: mahu menjawab azan atau mengaminkan doa khatib!
Perkara ini perlu dibincangkan secara halus dan teliti: adakah sewaktu Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya dahulu berlaku perkara seperti ini?
Selepas itu imam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim tamam, iaitu tanpa qasar: empat rakaat Zuhur dan empat rakaat Asar.
Sedangkan Jabir RA meriwayatkan bahawa pada hari tersebut Rasulullah SAW melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan qasar.
Zikir Arafah
Selepas solat Zuhur para jemaah mula berzikir; ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang secara bersendirian.
Zikir yang agak masyhur dalam kalangan sebahagian ustaz kita ialah zikir “Hasbi Rabbi jallallah, ma fi qalbi ghairullah …” dan ia seolah-olah menjadi zikir rasmi pada hari Arafah.
Sedangkan zikir ini tidak diketahui sumber dan kelebihannya, malah maknanya pula menunjukkan pengakuan membersihkan diri: “… Tiada di dalam hatiku selain Allah.” Benarkah pengakuan ini?
Sebaliknya zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW tidak begitu popular (diketahui).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku dan nabi-nabi sebelumku ucapkan ialah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 3585; dinilai hasan oleh al-Albani]
Maka harapan kita ialah agar zikir ini diperkenalkan dan diajar bersungguh-sungguh kepada para jemaah haji, merangkumi bacaan, makna dan kelebihannya secara menyeluruh.
Waktu paling berharga
Waktu wukuf yang afdal bermula selepas solat Zuhur hari Arafah sehingga terbenam matahari (Maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (Subuh) hari raya.
Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selepas solat Zuhur terus berwukuf di atas untanya menghadap kiblat sehingga terbenam matahari (Riwayat Muslim). Usamah bin Zaid RA pula meriwayatkan bahawa Baginda mengangkat kedua-dua tangannya berdoa dengan khusyuk, sehingga apabila tali kekang unta terlepas, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa (Riwayat an-Nasa’i; sanadnya sahih).
Ini bermakna waktu afdal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok. Orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji Malboro! Semoga Allah kurniakan kita haji yang mabrur.
Situasi di Muzdalifah
Apabila tiba waktu Maghrib, jemaah haji dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan mengikut giliran masing-masing.
Setiap maktab disediakan enam buah bas ulang-alik (shuttle bus) yang akan membawa jemaah haji ke Muzdalifah, jaraknya lebih kurang 10–15 minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”. Jalan ini dikhaskan untuk jemaah haji Asia Tenggara.
Apabila masuk waktu Maghrib, Rasulullah SAW keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dan mengerjakan solat Maghrib dan Isyak di sana secara jamak takhir dan qasar. Setelah itu Baginda SAW berehat.
Tidak ada riwayat yang menyebut Rasulullah SAW melakukan ibadat khusus pada malam Muzdalifah tersebut.
Pada tahun ini kebetulan jatuh pada malam Jumaat. Terdapat juga ustaz-ustaz yang mengarahkan para jemaah membaca Yasin, lalu para jemaah pun membacanya secara bersendirian di bawah lampu limpah Muzdalifah yang cerah itu.
Perhatian: Diingatkan di sini bahawa tidak perlulah setiap jemaah haji membawa lampu suluh. Memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan sebagai bekalan kecemasan.
Setelah membacanya ada yang berehat lalu tertidur kerana kepenatan sambil menunggu bas yang entah bila akan tiba; ada yang tripnya selepas Subuh dan sebagainya. Tiba-tiba ada pula ustaz yang melaung dengan pembesar suara supaya para jemaah haji bangun membaca Yasin dan berdoa beramai-ramai. Ada yang bangun dengan terkejut dan terpinga-pinga lalu menyertai majlis tersebut dan selepas majlis mereka mendapati giliran bas mereka masih jauh lagi. Sepatutnya biarkan mereka berehat dahulu; bangunlah apabila hampir Subuh, waktu tahajud yang memang diajar oleh Rasulullah SAW.
Dalam keghairahan kita melakukan ibadat haji, janganlah lupa pesanan Rasulullah SAW: “Khuzu ‘anni manasikakum”, yang bermaksud: “Ambillah daripadaku cara-cara ibadat haji kamu.” Jangan hanya mengira adat kebiasaan yang dilakukan, kerana para ulama telah menetapkan bahawa syarat amalan diterima ada dua perkara:
Pertama: dilakukan dengan ikhlas. Kedua: mengikut ajaran yang dilakukan oleh Rasulullah SAW (al-ikhlas wa al-mutaba’ah).
Sewaktu di Muzdalifah juga jemaah haji kita mula mengutip batu-batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi saiz ini sebagaimana pesan Rasulullah SAW ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar: “Dengan batu-batu seumpama inilah hendaklah kamu melontar. Dan jauhilah kamu sikap melampau dalam agama” (Riwayat an-Nasa’i dan Ibn Majah; sahih). Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah; boleh sahaja dikutip di mana-mana.
Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Bagi jemaah yang bersama pakej, mereka akan diundi untuk menentukan kumpulan mana yang bertolak dahulu dengan bas ulang-alik; jadi terpulang pada nasib dan bersabarlah menunggu giliran masing-masing. Ada yang terpaksa menunggu sehingga Subuh; bagi mereka ini alhamdulillah, dapat mabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran terakhir (selepas Subuh).
10 Zulhijjah 1430H (Hari Raya Aidiladha)
Bagi kumpulan yang sampai awal (sebelum Subuh), mereka dibawa terus untuk melontar, manakala mereka yang sampai selepas Subuh harus menunggu sehingga selepas Asar nanti. Selepas melontar, suasana di dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala para haji yang licin.
Alhamdulillah, mereka menyambut tawaran Rasulullah SAW yang mendoakan agar Allah SWT merahmati orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali; kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW menyebut bahawa mereka yang hanya bergunting juga dirahmati. Tetapi masih ada juga yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka. Mereka masih enggan menggugurkan seluruh rambut mereka di Mina yang berkat ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW!
Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya-Allah, tetapi peluang untuk termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini tiada siapa yang dapat menjamin akan berulang sekali lagi dalam hidupnya. Alhamdulillah, jemaah haji yang bersama saya semuanya licin kecuali seorang. Semoga Allah memberinya peluang lagi untuk menerima ganjaran doa Rasulullah SAW sebagaimana rakan-rakan jemaahnya yang lain, insya-Allah.
Situasi di Mina
Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3 km dari Jamrah (tempat melontar).
Rombongan kami ditempatkan di Maktab 85, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di sekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP) yang ditempatkan dekat dengan Jamrah. Ada juga yang tinggal di Wadi Muhassir, hujung Muzdalifah, tetapi masih dianggap sebagai Mina?
Kami yang tinggal di perkhemahan ini disediakan makanan berbungkus tiga kali sehari: nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air). Bolehlah untuk menghalau lapar, alhamdulillah. Pakej yang lebih mahal sedikit istimewa dengan hidangan bufet, tetapi makanannya hampir sama juga.
Lelaki dan perempuan di khemah yang berasingan diberikan sebuah tilam kecil seorang, seelok-elok muat badan seperti liang lahad, sebagai peringatan kepada kematian. Suasana tidaklah begitu sesak kerana ramai jemaah yang berulang-alik pulang ke Makkah untuk menunaikan tawaf dan saie masing-masing.
Yang menjadi sedikit masalah dan memerlukan kesabaran serta ketahanan yang amat tinggi ialah bilik air dan tandas. Bilangannya amat sedikit berbanding jemaah yang amat ramai: satu maktab yang terdiri daripada lebih 2,000 orang jemaah hanya disediakan 40 buah lebih tandas. Purata masa menunggu pada waktu Subuh hampir atau lebih sejam beratur. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita: hendak beratur lagi, hendak menjaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka). Tambahan pula orang Melayu ini tidak faham-faham; dalam keadaan yang begini terdesak pun masih sentiasa hendak mandi, tidak hanya menyelesaikan hajat yang wajib sahaja! Setelah selesai solat nanti pergilah mandi.
Jemaah haji yang berada di Mina diminta solat jamak tamam (tanpa qasar) dengan alasan darurat kerana susah mendapatkan air, sedangkan menurut sunnah Nabi SAW, Baginda melakukan solat qasar tanpa jamak, bererti setiap solat dilakukan dalam waktunya sendiri.
Aktiviti ibadat lain bergantung pada kerajinan dan keaktifan ustaz pembimbing masing-masing. Ada yang meriah dengan ceramah dan tazkirah, ada yang senyap sahaja. Alhamdulillah, kami rombongan Ash-Har sentiasa mengadakan tazkirah selepas setiap solat jemaah serta ceramah tentang sejarah Mina dan hikmah bermalam (mabit) dan melontar setiap hari, begitu juga taklimat dan penerangan bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan seperti melontar dan lain-lain.
Jemaah Malaysia diberi arahan oleh Muassasah supaya keluar melontar selepas Asar atau Maghrib. Kami pun keluar berjalan kaki beramai-ramai ke Jamrah. Sesiapa yang mahu melontar secara bersendirian pada waktu lain boleh pergi, tetapi tidak dibenarkan membawa bendera negara kerana tidak mahu kelihatan bercanggah dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Muassasah.
Alhamdulillah, dengan pembesaran yang begitu canggih dan sistematik, laluan kami terus naik ke tingkat satu tanpa menghadapi kesesakan dan kekacauan. Ia amat bersih dan selesa, tiada lagi hujjaj yang tidur di tepi-tepi jalan; malah untuk menunggu pun tidak boleh, akan dihalau oleh polis yang bertugas.
Setelah dua malam berada di Mina, ahli rombongan kami diberi pilihan sama ada melakukan nafar awal (pulang dahulu ke Makkah setelah menyelesaikan amalan haji di Mina) ataupun menyempurnakan mabit tiga malam di Mina dan melakukan nafar thani. Sebahagian jemaah melakukan nafar awal, sebahagian lagi melakukan nafar thani bersama ustaz. Ini berpandukan hukum kelonggaran yang diberikan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:
وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Dan berzikirlah* (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Sesiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan sesiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya daripada dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya.” [Al-Baqarah: 203]
* Maksud zikir di sini ialah membaca takbir, tasbih, tahmid, talbiah dan sebagainya. Beberapa hari yang berbilang ialah tiga hari sesudah Hari Raya Haji, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hari-hari itu dinamakan hari-hari tasyrik.
Tetapi yang menyedihkan, terdapat sesetengah ustaz atau pakej yang tidak membenarkan jemaahnya melakukan nafar awal kerana salah menafsirkan ayat ini. Janganlah kerana kepentingan pihak tertentu kita menafsirkan ayat al-Quran mengikut kehendak kita, kononnya “bagi orang yang bertakwa” itu merujuk kepada golongan yang melakukan nafar thani. Jadi golongan nafar awal tidak bertakwakah?!
Maksud sebenarnya, ayat ini merujuk kepada kedua-dua golongan yang telah melakukan haji dengan penuh ketakwaan, wallahu a’lam.
Pada hari ketiga belas, semua jemaah haji pulang ke Makkah; yang belum tawaf dan saie haji menyempurnakan tawaf dan saie mereka.
Setelah berehat beberapa hari, mereka mula aktif melakukan umrah semula berulang-ulang kali.
Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, juga generasi selepasnya.
Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ia boleh dilakukan.
Setelah selesai haji, kami sempat membawa para jemaah melawat beberapa tempat bersejarah seperti kaki Jabal Nur (Gua Hira’), Perkuburan Ma’la dan sebagainya untuk pengetahuan dan peringatan.
Selepas dua minggu kami pun berangkat ke Madinah. Di sini jemaah Malaysia juga kuat beribadat di Masjid Nabawi dan Raudhah serta menziarahi makam Rasulullah SAW. Mereka juga dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Madinah, Kota Rasulullah yang bercahaya ini.
Semoga solat jemaah 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabawi itu menjadi asas untuk mereka terus beristiqamah melakukannya sekembali ke tanah air. Amatlah rugi jika ibadat ini hanya menjadi rutin dan amalan semasa di Tanah Suci sahaja; balik ke rumah tidak kenal lagi masjid dan surau. Begitu juga jemaah perempuan: apabila sudah terbang balik ke Malaysia, tudung dan pakaian yang menutup aurat turut terbang daripadanya. Jika di Makkah dan Madinah mereka sentiasa bertudung rapi, bahkan ada yang bertelekung sembahyang 24 jam sehari, mengapa tidak sanggup menutup aurat yang wajib sekembalinya ke rumah?
Antara tanda haji mabrur ialah amalan selepas haji lebih baik daripada sebelumnya. Jika dahulu tidak solat, selepas haji sudah tetap solatnya bahkan berjemaah di masjid; jika dahulu tidak kemas tudungnya, selepas haji auratnya tertutup rapi dan kemas, alhamdulillah.
Meninggalkan Tanah Haram
Akhirnya tibalah masa untuk meninggalkan Tanah Haram. Pada petang hari keberangkatan kami ke Jeddah, hujan turun dengan lebatnya dan semua bas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan, lalu kami berhenti seketika. Apabila hujan agak reda barulah bas dibenarkan bergerak, tetapi diiringi oleh kereta-kereta syarikat bas di hadapan (untuk memastikan bas tidak laju dan membahayakan). Kereta ini bersama kami sehingga separuh perjalanan ke Jeddah; apabila cuaca semakin baik dan kering barulah bas dilepaskan bergerak sendiri.
Setibanya di Jeddah, hujan amat lebat pada malam itu. Semua jalan utama ditutup, bahkan jalan utama dari lapangan terbang ke Makkah pun sudah ditutup. Kami semua amat cemas dan takut, teringat banjir kilat di Jeddah sebelum haji baru-baru ini yang telah meragut nyawa lebih 100 orang; ia berlaku setelah hujan lebat seperti ini. Bas kami mula mengharungi air sedalam separuh tayar. Para jemaah senyap daripada percakapan lain; yang kedengaran hanyalah alunan ayat-ayat al-Quran, zikir, munajat dan doa, semoga Allah membantu kami.
Pemandu bas tidak tahu lagi ke mana hendak pergi dan ana yang biasa di sini pun mula berasa panik. Tetapi alhamdulillah, di sebuah stesen minyak muncul tiga orang pemuda Arab yang sanggup menunjukkan arah jalan kepada bas kami dengan upah SR20. Di separuh jalan mereka meminta bayaran dinaikkan kepada SR100. Ana menyanggupi sahaja permintaan itu kerana tanpa pertolongan mereka kami tidak akan sampai ke mana-mana. Lagipun khidmat mereka amat mencabar dan berbahaya: memandu kereta kecil dalam hujan lebat, meredah air yang dalam dan deras, mencari jalan yang boleh dilalui oleh bas kami untuk sampai ke destinasi!
Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai ke asrama jemaah haji Malaysia di bangunan lapangan terbang lama (Matar Qadim) yang disediakan untuk para jemaah haji di Jeddah sebelum berangkat pulang ke tanah air masing-masing.
Setelah semalam berada di Jeddah, kami berangkat pulang dengan penerbangan biasa (komersial) MH151 ke KLIA.
Solat hormat waktu
Dalam perjalanan kami terpaksa menunaikan solat Subuh di dalam pesawat. Jemaah kami melakukan solat secara sempurna, bahkan berjemaah 4–5 orang setakat muat ruang yang ada. Yang lain hanya melakukan solat hormat waktu (tanpa wuduk dan tanpa berdiri, cuma berniat solat sambil duduk di atas kerusi). Apabila ditanya, mereka menjawab begitulah yang diajar dalam kursus ibadat mereka.
Ana minta supaya para pengkursus dan pihak yang bertanggungjawab meneliti semula (muraja’ah) masalah ini. Jangan terlalu bermudah-mudah dengan solat yang sangat besar kedudukannya di sisi Allah; nanti tuan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Kembali ke tanah air
Alhamdulillah, pada 24 Disember 2009 kami selamat sampai ke Pondok Sungai Durian.
Semoga Allah menerima semua amalan yang dilakukan, hajjan mabrura wa dhanban maghfura dan memberikan kita semua taufik dan hidayah-Nya agar terus berada di atas landasan yang benar, beramal dengan amalan yang diredai-Nya dan mengikut sunnah Nabi SAW.
Akhukum, Abu Anas Madani
Lampiran: Sajak Arafah 2009
Tulisan: Cikgu Nasir. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: sajak nukilan salah seorang jemaah haji rombongan Ash-Har 1430H, Makkah al-Mukarramah, 2009.
Arafah 2009
Inti ibadah ini
mutiara langit sirami marhaban kami
kuyup, kesejukan dan terpinga
sesekali terdengar sungutan, rengekan
tapi pada siapa?
dan untuk apa?
Ketika kami alpa, nasihatmu menerpa
dalam tangisan kau melafazkan kata
mengapa masih ada yang leka …
pantang dalam ihram, katamu jangan kau lupa
masih ada hilai tawa
tanpa hirau apa dikata
seolah haji pelancongan cuma
suaramu penyambung lidah bapa
jasad tiada baka masih bicara
murabbi penyambung suara nabi
munajatmu menyentuh hati
bukan lakonan malam hari
sunnah nabi yang diikuti
bukan dicipta diri sendiri
jauh sekali nama dicari
jeling penuh bererti
namun ramai yang tak sudi
hilai tawa ulam juadah kata
kekadang lupa pesan pendeta
memang kami anak yang bangka
sukar mendengar kata
maafkan kami ustaz
ampunkan kami ya Allah
mabrurlah haji kami
Cikgu Nasir, Firdaus Alghazzah 702, Makkah al-Mukarramah, 2009
Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)
Seterusnya: Rehlah Haji 1431H (Siri 2)
Bacaan berkaitan
Rujukan
11 sumber-
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 97.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, no. 1773 (riwayat Abu Hurairah RA).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat Aisyah RA).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3585 (riwayat 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya); dinilai hasan oleh al-Albani (Sahih al-Jami', no. 3274).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir RA tentang haji Nabi SAW).
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, Kitab Manasik al-Hajj, no. 3011 (riwayat Usamah bin Zaid RA); sanad sahih menurut al-Albani; juga Musnad Ahmad, no. 21821.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1297 (riwayat Jabir RA): «لتأخذوا مناسككم».
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, no. 3057; Sunan Ibn Majah, no. 3029 (riwayat Ibn 'Abbas RA); sahih.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibn 'Umar RA).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 203.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, no. 1785 (riwayat Jabir RA tentang umrah Aisyah RA dari Tan'im).
Sunnah.com
