Tulisan: Ummu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.
Pendahuluan
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه ومن والاه، وبعد
Zaman globalisasi menguasai hidup kita kini; semuanya berada di hujung jari. Pelbagai nama diberi: dunia tanpa sempadan, zaman langit terbuka, dunia IT… Segalanya boleh diakses dan tersebar dalam sekelip mata tanpa had dan peraturan yang membatasinya. Sesiapa sahaja boleh menerbitkan (publish), memuat naik (upload) dan memuat turun (download) apa sahaja berita, cerita, gambar dan carta dan sesiapa sahaja pula boleh membuka dan melihatnya.
Sekarang ada FB, Twitter, Instagram, WeChat, WhatsApp dan 1001 macam lagi applications yang bertambah canggih dan tidak terkira banyaknya. Seronoknya apabila terjumpa semula kawan-kawan lama di alam maya, menjejak kasih, bertanya khabar dan bertukar cerita terkini, mengimbau kenangan silam, zaman remaja dan pelajar yang indah dan tidak mungkin berulang kembali. Boleh pula melihat foto terkini kawan bersama anak-anaknya, rumahnya dan segala aktiviti yang ingin dikongsi.
Tetapi semuanya ada positif dan negatif. AWASLAH, jangan sampai kita lupa batasan hukum syariah dan melanggar adab susila. Sekitar tahun 2010 tersebar kes “mangsa tagging”. Semua orang bercakap tentang keburukan “tagging photos” sehingga terbuka segala aurat dan rahsia, hasil kerajinan kawan atau lawan. Gambar-gambar lama yang kita tidak suka dan tidak sesuai menjadi tatapan umum yang ajnabi telah tersebar luas di alam maya tanpa kita sedari. Ini akibat hasil kerja orang lain…
Sila lihat:

Itu kerja orang lain tanpa kebenaran kita. Tetapi apa yang lebih mendukacitakan dan seolah-olah menjadi trend hari ini, ialah “pendedahan” hasil buah tangan diri kita sendiri yang tidak segan silu membuka pekung di dada!
Inilah yang dikatakan menzahirkan maksiat atau keburukan yang dilakukan!
Iaitu seseorang yang membuka dan mendedahkan sendiri perbuatan buruk yang dilakukannya secara tertutup, yang tidak diketahui oleh orang lain sebelumnya. Seolah-olah mereka berbangga dengan perbuatan tersebut dan mahu semua orang tahu dan melihatnya.
Fitnah Facebook
Pada zaman IT ini sangat mudah bagi seseorang untuk mendedahkan aib dan keburukan diri sendiri. Contohnya dengan mendedahkan gambar-gambar lama dalam koleksi, kononnya sebagai kenangan, sedangkan gambar itu diambil sebelum dia mendapat kesedaran: tidak menutup aurat atau bercampur bebas.
Mungkin juga seseorang yang memang menutup auratnya, tetapi bergambar dengan aurat terbuka di dalam rumah bersama keluarga secara tertutup. Kemudian gambar itu disebarkan, sama ada melalui blog atau Facebook, sehingga boleh dilihat oleh ratusan atau ribuan orang yang haram kita perlihatkan aurat kepada mereka.
Ingatlah amaran Nabi SAW terhadap perbuatan sedemikian, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Setiap umatku dimaafkan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya). Dan termasuk perbuatan menzahirkan dosa ialah seseorang melakukan sesuatu (dosa) pada waktu malam, kemudian dia berpagi-pagi sedangkan Allah telah menutup (aibnya), lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan itu dan ini. Padahal sepanjang malam Tuhannya menutup (aibnya), tetapi pada pagi harinya dia sendiri menyingkap tutupan Allah daripada dirinya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Lihat juga ceramah Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani) bertajuk “Facebook, Fitnah & Bala Akhir Zaman”.
Ini realiti, bukan lagi fantasi. Apabila kita membuka foto-foto di Facebook sesetengah orang (yang profil dan latar belakangnya memang ada asas pengajian agama dan lebih malang lagi jika daripada kalangan ilmuwan dan agamawan… ustaz/ustazah), terdapat gambar separuh menutup aurat yang tidak sepatutnya disiarkan untuk umum. Mungkin gambar itu sekadar suka-suka semasa bersantai bersama keluarga dan rakan terdekat. Okey, tidak mengapa jika untuk simpanan sahaja, tetapi malangnya tangan kita sendiri pula yang “gatal” menyiarkannya di FB yang boleh menjadi tatapan ribuan bahkan jutaan mata, termasuk lelaki yang bukan mahram! Ini bukan lagi tidak sengaja dan tanpa niat namanya.
Jika lelaki, mungkin gambar anak isteri atau keluarga terdekat, juga gambar ikhtilat yang tidak sepatutnya. Sebagai suami atau bapa, pantaulah perbuatan anak dan isteri masing-masing; jangan pula menjadi ‘bapa borek anak rintik’!
Nabi SAW pernah bersabda:
((مَا مِنِ امْرَأَةٍ تَضَعُ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا إِلَّا هَتَكَتِ السِّتْرَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ رَبِّهَا))
Ertinya: “Tiada seorang wanita pun yang menanggalkan pakaiannya (membuka auratnya) di tempat selain rumah suaminya (atau rumah ayahnya tanpa kehadiran orang luar) melainkan dia telah mengoyakkan tabir (sempadan yang digariskan) antara dirinya dengan Tuhannya.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi; kata at-Tirmizi: “Hadis hasan”.)
Ada antara mereka bertaraf pelajar sekolah agama yang berasaskan pendidikan Islam (terus terang ditujukan kepada semua bekas pelajar sekolah menengah agama berprestij dari seluruh Malaysia: bekas maahad-maahad, kolej-kolej Islam, UIA, UKM, UM dengan Pengajian Islamnya (malas hendak sebut nama satu per satu)… hatta dari Arab Saudi, al-Azhar dan Jordan). Juga untuk semua saudara/saudari Islam, tidak kira apa pendidikan (persekolahan) anda, yang penting kamu adalah seorang Islam yang sedar dan tahu hukum-hakamnya. Don’t try to make any excuse…
Bagi sesetengah muslimah, zaman sekolah rendah dia antara yang terawal bertudung; tidak percaya, lihatlah dalam foto Facebook itu juga. Selepas itu di sekolah menengah dengan tudung bulat matako dan jersinya, sesetengahnya berdagu lagi, berstoking tebal yang panjang. Zaman ini mungkin paling perfect dan sempurna pakaian muslimah solehahnya, masya-Allah! Kemudian apabila masuk universiti, agak longgar dan mula bertambah ‘modern’ & up-to-date, tetapi masih terkawal dengan rules and regulations kolej. Akhirnya apabila sudah bergraduat dan berkerjaya, anda bebas, tetapi mungkin tidak secanggih hari ini selepas bersuamikan orang hebat yang memahami jiwa, yang sama-sama inginkan kebebasan dan mahu keluar daripada label golongan “sekolah agama” atau ustaz/ustazah! Bukan hendak menyuruh masih ber‘jersi’ atau ber‘matako’, tetapi yang sewajarnyalah. Tepuk dada, tanya iman masing-masing.
Jika kita lihat melalui gambar-gambar itu sahaja, kita dapat melihat betapa hebatnya transformasi yang berlaku!
Bagi wanita, jangan kata suka-suka sahaja sesama female friends. Boleh dikatakan semua orang ada kawan FB lelaki yang bukan mahram, belum termasuk lagi kawan suami, suami kawan dan lain-lain… Astaghfirullahal ‘Azim. Di mana asas ilmu dan iman yang ditanamkan oleh ibu bapa kita sejak kita kecil lagi? Bukan salah ibu bapa yang telah memberikan kita didikan AGAMA sejak kecil; salah FB barangkali!
Untuk golongan lelaki pula, si suami, tidak kira apa kerjaya anda sekarang, ustaz atau bukan, apa-apa profesional, pantaulah anak isteri. Bertanggungjawablah dengan amanah yang dipikul… Jangan hanya berdengung: “Benda yang kecil-kecil my wife yang decide; I hanya putuskan masalah-masalah yang besar sahaja!”
Apakah menjaga syariat Allah itu perkara kecil?
Pakaian, solekan dan gaya hidup kita dan isteri tidak perlu diambil tahu dan dipedulikan? Bebas hendak memakai apa asalkan masih “menutup rambut”, sedangkan aurat yang lain terdedah atau hanya dibalut sahaja?
Sedih hati dan sakit mata melihat mereka yang boleh dikatakan berpendidikan agama (terutamanya jika kawan-kawan yang dikenali) berseluar ketat (BAHKAN BER‘JEANS’!), berbaju ketat dan singkat, berkemeja-T lengan pendek; ada yang membalut tangan dengan ‘sarung lengan’ sahaja, tidak kurang juga yang terdedah begitu sahaja! Fesyen baju tidak usah dikiralah; mungkin waktu itu bersama keluarga. TETAPI YANG MENYEDIHKAN, KENAPA SANGGUP MENGAIBKAN DIRI DAN MENJATUHKAN MARUAH DIRI DAN ISLAM DENGAN MENYIARKANNYA UNTUK TATAPAN UMUM, OPEN TO PUBLIC? JANGAN KATA TIDAK TAHU BATASAN DAN BAGAIMANA PAKAIAN WANITA ISLAM, BATASAN AURAT YANG TELAH DIJELASKAN ALLAH SWT!
Manakala si suami yang profesional pula, yang kononnya tiada asas pendidikan agama (sebenarnya asas agama semua sudah ada, alhamdulillah, semuanya Islam dan tahu hukum, cuma tidak bersekolah Arab atau agama sahaja dahulu…): bukankah kamu berkenan dan jatuh hati kepada si dia kerana tudungnya dahulu, kerana sopannya pakaian muslimahnya? Berkenan untuk dijadikan suri yang membimbing anak-anak dan diri, membina keluarga mukmin? Tetapi sekarang nampaknya semua sudah sama-sama hanyut dalam arus pemodenan dan globalisasi. Bukan lagi yang mempunyai asas agama memberi kesan positif kepada pasangannya, tetapi seolah-olah sebaliknya…
Ingatlah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang orang-orang di bawah pimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Isteri dan keluarga adalah di bawah tanggungjawab suami! Mustahil tidak tahu hukum kalau sudah Melayu dan Islam sejak lahir di Malaysia. Mualaf pun tahu dan diajar semuanya sekarang. Kalau tidak tahu, belajarlah…

Ajaibnya, apabila melihat gambar dahulu dan kini, tidak rasa malu pula meletakkan gambar zaman sekolah rendah dan menengah yang begitu sopan, kemudian gambar terkini yang WOW! Fahamlah sendiri… Mungkin kita bangga dan megah dengan transformasi itu, tetapi pada hakikatnya ia sesuatu yang merendahkan taraf diri sendiri.
Selepas ini, semoga setiap orang menyemak gambar masing-masing. Mana-mana yang dirasakan tidak lulus guidelines syariah, silalah buang dan simpan untuk tatapan dan kenangan peribadi. Bukan gambar sahaja; ubahlah penampilan dan pakaian kita, tidak kira apa pun kita sekarang. Kalau ustaz/ustazah, lebih-lebih lagi. Kalau bukan dari segi profesion atau sijil pun, secara asasnya kita semua boleh dikatakan ustaz/ustazah; ayah-ayah kita kebanyakannya ustaz, tok imam, tok lebai dan yang sejenis dengannya.
Juga jangan kita terlalu ghairah memuatkan semua foto dan apa sahaja aktiviti hidup untuk dikongsi umum. Ingatlah, FB ini pun namanya “Laman Sosial”. Kita bukan lagi remaja belasan tahun yang belum jelas hala tuju hidupnya; usia sesetengah kita ini sudah hampir masuk kumpulan warga kubur pun…
Yang lebih menyedihkan, sesetengah ustaz sanggup mempamerkan gambar berdakap mesra dengan isteri masing-masing, bahkan lebih parah, bergaya mesra di hadapan Kaabah! Memang anda berdua halal, tetapi adalah aib dan tidak wajar mempamerkannya di hadapan orang lain… Pasangan suami isteri lain pun “loving & caring” macam kita juga! Kita bukannya mat salleh atau kucing; unta pun tahu malu…
Maaflah jika terasa; memang hendak mengajak bermuhasabah pun. Bukan merasakan diri ini lebih baik dan sempurna, tetapi sebagai peringatan untuk diri sendiri juga, agar sentiasa lebih berhati-hati dan tidak melangkaui batasan yang telah ditetapkan-NYA!
Akhirnya, ingatlah firman Allah yang bermaksud:
“Dan bukankah Kami telah memanjangkan umur kamu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir dan telah datang kepada kamu pemberi peringatan?” [Fatir: 37]
Sebahagian ahli tafsir mengatakan panjang umur itu ialah apabila telah sampai “40 tahun” (ada juga yang mengatakan 60 tahun), manakala tanda peringatan itu pula ialah “uban”.

Catatan ini memang peringatan untuk semua saudara/saudari Islam, tua muda, remaja atau warga emas. Tetapi lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah matang dan berusia, para suami dan isteri. Kita sepatutnya menunjukkan contoh dan didikan yang baik kepada anak-anak muda dan remaja di luar sana yang masih memerlukan bimbingan agama dan akhlak, bukannya turut hanyut dan terikut budaya dan arus yang negatif itu.
Wallahu a’lam.
Catatan oleh: Mama ‘Iffah, Ummu Anas Madani, 29 Mac 2010. Dikemas kini dan disunting semula pada 6 Syawal 1434H (13 Ogos 2013).
Rujukan
5 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 6069; Sahih Muslim, no. 2990 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, no. 2803; Sunan Abi Daud, no. 4010; Sunan Ibn Majah, no. 3750 (riwayat ‘Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 893; Sahih Muslim, no. 1829 (riwayat Ibn ‘Umar r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Fatir (35): 37.
Quran.com -
Tafsir Ibn Kathir, Surah Fatir: 37.
Quran.com
