Soalan
Adakah wujud solat qada kaffarah pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan?
Penjelasannya: hadis tentang solat kaffarah pada Jumaat terakhir Ramadan (sebagai pengganti solat selama 400 tahun) yang tersebar seperti dalam mesej di bawah.
Jawapan
Status: Palsu.
Menurut nukilan Syeikh Abdul Hayy al-Laknawi dalam al-Athar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah, Mulla Ali al-Qari dalam kitab al-Maudhu'at (al-Kubra dan ash-Shughra) menyatakan hadis ini batil secara pasti.
Imam asy-Syaukani dalam al-Fawa'id al-Majmu'ah (hlm. 54) menyebut hadis ini palsu tanpa syak, direka oleh satu kumpulan di San'a (Yaman) pada zaman beliau. Wallahu a'lam.
Saya ditanya tentang status hadis dalam gambar di atas. Maka saya katakan ia palsu dan dusta. Ia tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis.
Keterangan
1. Kata asy-Syaukani:
حديث: من صلى في آخر جمعة من رمضان الخمس الصلوات المفروضة في اليوم والليلة قضت عنه ما أخل به من صلاة سنته. هذا موضوع لا إشكال فيه، ولم أجده في شيء من الكتب التي جمع مصنفوها فيها الأحاديث الموضوعة، ولكنه اشتهر عند جماعة من المتفقهة بمدينة صنعاء في عصرنا هذا، وصار كثير منهم يفعلون ذلك، ولا أدري من وضعه لهم، فقبح الله الكذابين.
Maksudnya: Hadis "Sesiapa yang menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam pada Jumaat terakhir bulan Ramadan, solat itu akan menggantikan solat yang dicuaikannya sepanjang tahun itu." Hadis ini palsu, tiada kekeliruan padanya. Saya tidak menjumpainya dalam mana-mana kitab yang penulisnya mengumpulkan hadis-hadis palsu, tetapi ia masyhur dalam kalangan sekumpulan pelajar fiqh di bandar San'a pada zaman kami ini dan ramai di antara mereka yang melakukannya. Saya tidak tahu siapa yang mereka-rekanya untuk mereka. Semoga Allah memburukkan para pendusta. [al-Fawa'id al-Majmu'ah, hlm. 54]
2. Kata Abdul Hayy al-Laknawi:
حديث: من قضى صلوات من الفرائض في آخر جمعة من رمضان كان ذلك جابرا لكل صلاة فائتة في عمره إلى سبعين سنة. قال علي القاري في موضوعاته الصغرى والكبرى: باطل قطعيا لأنه مناقض للإجماع على أن شيئا من العبادات لا يقوم مقام فائتة سنوات. ثم لا عبرة بنقل صاحب النهاية ولا بقية شراح الهداية، لأنهم ليسوا من المحدثين، ولا أسندوا الحديث إلى أحد من المخرجين.
Maksudnya: Hadis "Sesiapa yang mengqada solat-solat fardu pada Jumaat terakhir bulan Ramadan, ia menjadi penampung bagi setiap solat yang ditinggalkan sepanjang umurnya sehingga 70 tahun." Kata Ali al-Qari dalam kitab al-Maudhu'at ash-Shughra dan al-Kubra: "Ia batil secara pasti, kerana ia bercanggah dengan ijmak bahawa tiada satu pun ibadat yang boleh menggantikan solat yang ditinggalkan bertahun-tahun." Tidak diambil kira nukilan pengarang kitab an-Nihayah dan para pensyarah kitab al-Hidayah yang lain, kerana mereka bukanlah muhaddithin (ahli hadis) dan mereka tidak menyandarkan hadis ini kepada mana-mana kitab yang meriwayatkan hadis dengan sanad. [al-Athar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah, hlm. 85]
Jika kita lihat alasan yang diberikan oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari, kita dapat simpulkan bahawa hadis dalam gambar ini juga mempunyai ciri yang sama, iaitu solat yang dilakukan pada hari itu dikatakan dapat menggantikan qada solat fardu selama 400 tahun. Tambahan pula, ia tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab hadis yang bersanad. Maka saya katakan hadis ini palsu.
Jadikanlah bulan Ramadan ini sebagai titik mula untuk kita membersihkan lidah dan jari kita daripada bercakap atau menulis sesuatu yang merupakan pendustaan terhadap Nabi SAW. Wallahu a'lam.
Tambahan
Penjelasan Dr. Abu Anas Madani tentang isu ini juga boleh ditonton dalam video "Penjelasan Isu Solat Qadha' 5 Waktu Dapat Kaffarah 400 Tahun Pada Hari Jumaat Akhir Ramadhan" di halaman Facebook Dr. Abu Anas Madani.
Bacaan berkaitan
Rujukan
3 sumber-
Asy-Syaukani, al-Fawa'id al-Majmu'ah fi al-Ahadith al-Maudhu'ah, hlm. 54.
-
Abdul Hayy al-Laknawi, al-Athar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah, hlm. 85.
-
Mulla Ali al-Qari, al-Asrar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah (al-Maudhu'at al-Kubra).
