Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Ramadan al-Mubarak: Lailatulqadar dan Iktikaf

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 27 September 2007 · 10 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dalam kalangan orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil).” [al-Baqarah: 185]

Bersyukur kepada Allah Taala kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadan. Alangkah bertuahnya sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah serta mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada-Nya.

Dan alangkah ruginya sesiapa yang tidak bertambah iman dan amalnya dalam bulan yang berkat ini. Kini, sepuluh terakhir Ramadan bakal menjelma lagi. Hanya dalam beberapa hari, Allah Taala menyediakan untuk hamba-hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran, keampunan dan kelebihan yang tidak mampu kita hitung.

Lailatulqadar

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang sangat berkat, iaitu Lailatulqadar. Malam ini dinamakan Lailatulqadar daripada kalimah al-qadr yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi, kerana malam ini sangat mulia. Atau ia diambil daripada kalimah qadar atau takdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan menetapkan takdir segala perkara.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan hingga terbit fajar.” [al-Qadr: 1–5]

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatulqadar) dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kamilah yang mengutus para rasul, sebagai rahmat daripada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [ad-Dukhan: 3–6]

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari, no. 1901 dan Muslim, no. 760]

Antara kelebihan Lailatulqadar yang dapat diambil daripada surah al-Qadr ialah:

  • Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut, yang memberi petunjuk kepada manusia dan membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat.
  • Allah SWT bertanya, “Dan tahukah kamu apakah malam Lailatulqadar itu?” Pertanyaan seperti ini menunjukkan keagungan dan kemuliaan perkara tersebut.
  • Ia lebih baik daripada 1000 bulan (kira-kira 83 tahun 4 bulan).
  • Para malaikat turun ke dunia pada malam itu dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat.
  • Malam ini malam kesejahteraan hingga terbit fajar, iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah.
  • Allah menerangkan kelebihannya dengan menurunkan satu surah penuh yang akan dibaca hingga hari kiamat.

Para ulama salaf dalam kalangan sahabat dan tabiin bersiap sedia dengan mandi dan berwangi-wangian pada malam-malam sepuluh terakhir sebagai persediaan untuk beribadat serta mencari Lailatulqadar yang dimuliakan oleh Allah dan diangkat kedudukannya.

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatulqadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia, bahkan lebih daripada itu. Apakah tempoh 83 tahun 4 bulan sesuatu yang singkat? Beramal pada malam tersebut lebih baik daripada beramal selama 83 tahun. Sesiapa yang melepaskan peluang kebaikan ini, dialah orang yang rugi.

Bilakah Lailatulqadar?

Bulan Ramadan

Tidak syak lagi Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadan berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa al-Quran diturunkan pada Lailatulqadar dan diturunkan pada bulan Ramadan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadan.

Dalam satu hadis, Abu Zar RA bertanya kepada Nabi SAW, maksudnya: “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Lailatulqadar, adakah ia pada bulan Ramadan?” Jawab baginda SAW: “Bahkan pada bulan Ramadan.” [Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i dalam as-Sunan al-Kubra]

Sepuluh Terakhir Ramadan

Ia lebih khusus pada sepuluh terakhir Ramadan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaq ‘alaih:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh terakhir Ramadan.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2020 dan Muslim, no. 1169]

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhan baginda pada masa-masa lain [Riwayat Muslim, no. 1175]. Dalam hadis muttafaq ‘alaih, kata Aisyah RA: “Apabila masuk sepuluh terakhir, Rasulullah SAW mengetatkan kainnya (tidak mendatangi isteri), menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarganya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2024 dan Muslim, no. 1174] Aisyah RA juga meriwayatkan, maksudnya: “Nabi SAW pada dua puluh malam yang awal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” [Riwayat Ahmad]

Kata Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin: “Zahir hadis ini menunjukkan bahawa baginda menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah, iaitu berzikir, membaca al-Quran, bersolat dan membuat persediaan untuk ibadah lain seperti bersahur.” Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malah dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu, maksud kata-kata Aisyah RA, “Aku tidak mengetahui Rasulullah SAW pernah bersolat sepanjang malam hingga pagi” [Riwayat Muslim, no. 746], ialah Rasulullah SAW tidak pernah bersolat sahaja sepanjang malam.

Rasulullah SAW juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” [at-Tahrim: 6]

Tujuh Malam Terakhir

Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan malam sejak awal sepuluh terakhir, bolehlah bermula pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah SAW:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ -يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ- فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ، فَلَا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي

Maksudnya: “Carilah ia (Lailatulqadar) pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang daripada kamu lemah atau tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh malam yang berbaki.” [Riwayat Muslim, no. 1165]

Malam-Malam Ganjil (21, 23, 25, 27 dan 29)

Pada malam-malam ini Lailatulqadar lebih diharapkan kerana terdapat riwayat bahawa Nabi SAW menyebut malam-malam tersebut [lihat riwayat al-Bukhari, no. 2017].

Malam 27 Ramadan

Boleh jadi malam yang paling diharapkan ialah malam ke-27, berpandukan hadis riwayat Imam Muslim daripada Ubai bin Ka‘ab RA, katanya, yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya aku tahu malam bilakah ia; itulah malam yang Rasulullah SAW perintahkan kami untuk bangun beribadah, iaitu malam ke-27.” Ubai berkata lagi: “Tandanya sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami ialah matahari yang terbit pada pagi harinya tidak bersinar terang (شعاع).” [Riwayat Muslim, no. 762]

Namun ramai ulama berpendapat Lailatulqadar berpindah-pindah antara malam-malam ganjil, walaupun kebanyakannya pada malam ke-27. Maka tidak tepat jika kita menganggap Lailatulqadar hanya berlaku pada malam tersebut sahaja. Wallahu a‘lam.

Bacaan pada Malam Lailatulqadar

Aisyah RA berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku bertemu malam Lailatulqadar, apakah yang patut aku ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “(Ucapkanlah:) Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Pemurah, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, no. 3513 dan Ibn Majah, no. 3850; sahih]

[Nota penyunting: lafaz yang tsabit dalam kebanyakan riwayat ialah «اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي» tanpa kalimah “كَرِيمٌ”; tambahan itu hanya terdapat dalam sebahagian naskhah at-Tirmizi.]

Hikmah Lailatulqadar Disembunyikan

Mungkin ada yang bertanya mengapa Allah SWT sengaja menyembunyikan Lailatulqadar dan tidak menjadikannya satu malam tertentu supaya mudah hamba-hamba-Nya mendapat kelebihan ini. Hikmahnya banyak, sama ada kita ketahui atau tidak. Antara yang jelas ialah:

  1. Sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatulqadar. Jika ia ditentukan pada satu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada malam itu sahaja.
  2. Ujian kepada hamba-hamba-Nya supaya nyata siapa yang benar-benar ingin mendapatkannya dan siapa yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa.

Beriktikaf

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadan ini ialah galakan beriktikaf padanya.

Apakah Erti Iktikaf?

Iktikaf dari segi bahasa ialah menahan, menetap dan melazimi sesuatu.

Dari segi istilah, iktikaf ialah melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama menambah, “…untuk melakukan ketaatan.” Tujuan tambahan ini adalah untuk mengisyaratkan bahawa ibadah ini hendaklah dimulakan dengan niat ikhlas kerana Allah, bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan dan bukan juga semata-mata ingin mengasingkan diri daripada orang lain, tetapi datang untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Hukum Beriktikaf

Beberapa ulama menukilkan ijmak bahawa hukumnya sunat, tidak wajib. Ia hanya menjadi wajib jika dinazarkan. Kata Ibn Syihab az-Zuhri: “Alangkah peliknya orang-orang Islam yang meninggalkan iktikaf, sedangkan Nabi SAW tidak pernah sekali pun meninggalkannya sejak baginda masuk ke Madinah.” Walaupun iktikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, terdapat galakan khusus untuk beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan.

Dalil-Dalil

Abu Hurairah RA meriwayatkan, maksudnya: “Rasulullah SAW beriktikaf sepuluh hari pada setiap Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2044]

Daripada Ibn Umar RA, maksudnya: “Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2025]

Daripada Aisyah RA, maksudnya: “Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan sehingga Allah mewafatkan baginda. Kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf selepasnya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2026 dan Muslim, no. 1172]

Amalan Ketika Beriktikaf

Iktikaf ialah ibadat yang menghimpunkan banyak amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya.

Orang yang beriktikaf sepatutnya mengetahui hukum, syarat, peraturan dan adab beriktikaf. Secara ringkas, orang yang beriktikaf tidak dibenarkan keluar dari masjid hingga selesai tempoh yang diniatkan. Kelonggaran untuk keluar hanyalah bagi memenuhi hajat lazim untuk keperluan diri, seperti mendapatkan makanan dan ke tandas. Sepatutnya dia juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat, seperti urusan dunia dan cakap-cakap kosong.

Sesetengah ulama mengatakan digalakkan juga menghadiri majlis ilmu di masjid tempat beriktikaf dalam tempoh iktikaf. Ini kerana menuntut ilmu ialah salah satu ibadah kepada Allah SWT, sebagaimana kata sesetengah ulama salaf: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu.”

Namun ada juga ulama yang tidak menggalakkannya, seperti Imam Malik. Sebagai contoh, beliau meninggalkan pengajian hadis di Masjid Nabawi dan menyibukkan diri dengan al-Quran. Katanya: “(Ketika beriktikaf) janganlah menyibukkan diri dengan majlis ilmu dan jangan juga mencatat ilmu.”

Bagi beliau, majlis seperti itu boleh menghilangkan tumpuan terhadap ibadah iktikaf. Kesimpulannya, tidak salah menghadiri majlis ilmu ketika beriktikaf melainkan jika ia berpanjangan dan menyebabkan hilang tumpuan kepada maksud utama iktikaf.

Hikmah Digalakkan Beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir

  1. Supaya seorang muslim lebih terpelihara daripada kelalaian dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid, peluang untuk melakukan maksiat terhad.
  2. Supaya mudah dan dekat dengan ibadah dan ketaatan.
  3. Mengharapkan bertemu Lailatulqadar, kerana ia hanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan sahaja.

Penutup

Sabda Rasulullah SAW ketika menaiki mimbar di Madinah:

رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ

Maksudnya: “Sungguh hina orang yang dimasuki bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya.” [Riwayat Ibn Khuzaimah, no. 1888 dan al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra; lihat juga at-Tirmizi, no. 3545]

Oleh itu, tidak sepatutnya seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia bukanlah masa yang panjang, hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. Boleh jadi pada malam-malam ini seorang muslim mendapat anugerah daripada Tuhannya, lalu dia termasuk dalam golongan yang berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya dikurniakan kekuatan, taufik dan hidayah agar kita semua dapat merebut peluang keemasan ini. Ia peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT.

Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, dalam keadaan melakukan amal soleh sepenuhnya.

Rujukan

  • Dr. Salman bin Fahd al-‘Audah, Majalis Ramadaniyyah.
  • Hal as-Salaf fi Ramadan, Dar al-Watan, Riyadh.
  • Risalah Syahr Ramadan al-Mubarak, Dar al-Watan, Riyadh.
  • Ust. Lokmanulhakim bin Hussain, Sepuluh Terakhir Ramadan: Satu Pesanan, PPM Madinah, 2005.

Akhukum, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, Kelantan. 15 Ramadan 1428H / 27 September 2007.

Bacaan berkaitan

Rujukan

18 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Qadr (97): 1–5.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah ad-Dukhan (44): 3–6.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah at-Tahrim (66): 6.

    Quran.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 1901; Sahih Muslim, no. 760.

    Sunnah.com
  6. Sahih al-Bukhari, no. 2020; Sahih Muslim, no. 1169.

    Sunnah.com
  7. Sahih al-Bukhari, no. 2017.

    Sunnah.com
  8. Sahih Muslim, no. 1175.

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 2024; Sahih Muslim, no. 1174.

    Sunnah.com
  10. Sahih Muslim, no. 746.

    Sunnah.com
  11. Sahih Muslim, no. 1165.

    Sunnah.com
  12. Sahih Muslim, no. 762.

    Sunnah.com
  13. Jami‘ at-Tirmizi, no. 3513; Sunan Ibn Majah, no. 3850.

    Sunnah.com
  14. IslamQA no. 260806: tambahan kalimah ‘karim’ dalam doa Lailatulqadar tidak tsabit.

    islamqa.info
  15. Sahih al-Bukhari, no. 2044.

    Sunnah.com
  16. Sahih al-Bukhari, no. 2025.

    Sunnah.com
  17. Sahih al-Bukhari, no. 2026; Sahih Muslim, no. 1172.

    Sunnah.com
  18. Sahih Ibn Khuzaimah, no. 1888; Jami‘ at-Tirmizi, no. 3545.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026