Transkrip ringkas rancangan “Tanyalah Ustaz” bersama Dr. Abu Anas Madani, 17 dan 18 Ramadan 1433H.
Bahagian 1: Malam al-Qadr Menurut al-Quran
Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan untuk menjadi petunjuk kepada manusia, seperti yang dinyatakan dalam ayat 185 surah al-Baqarah. Allah yang mencipta kita, hanya Dia yang benar-benar mengetahui tentang diri kita, maka layaklah al-Quran itu dijadikan “manual” hidup kita. Ada tiga ayat al-Quran yang perlu dibaca serentak, iaitu:
Surah al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”
Surah al-Qadr, ayat 1:
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.”
Surah ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Penerangan
Ketiga-tiga ayat ini menerangkan waktu al-Quran diturunkan dan inilah tafsiran yang paling cantik kerana al-Quran ditafsirkan dengan al-Quran sendiri. Yang kedua terbaik ialah apabila al-Quran ditafsirkan dengan as-Sunnah dan yang ketiga ialah apabila al-Quran ditafsirkan oleh para sahabat. Saya ingin mencadangkan sebuah kitab tafsir bertajuk Adwa’ al-Bayan yang menjelaskan al-Quran dengan al-Quran juga.
Saya harap kita semua telah membaca al-Quran kerana kita sudah pun memasuki 17 Ramadan. Jika kita kata kita tidak pandai mengaji, beranikah kita menjawab kepada Allah dan malaikat bahawa kita tidak pandai, sedangkan pen pun sudah pandai membaca al-Quran hari ini? Kita kena ingat, semakin tinggi teknologi yang ada, semakin besar hujah Allah terhadap kita.
Kita akan mentadabbur surah al-Qadr; sebutannya al-Qadr (huruf dal bertanda mati), bukan al-Qadar. Al-Qadr mempunyai makna yang berbeza dengan al-Qadar yang bermaksud ketentuan takdir hidup manusia. Saya amat menggalakkan, di samping tilawah, kita juga mentadabbur al-Quran. Janganlah asyik menyalahkan masa yang menjadikan kita tidak sempat berbuat amal dan kebaikan.
Al-Qadr bermakna tinggi martabatnya di sisi Allah. Selain itu, ia juga bermakna “sempit”, iaitu Allah merahsiakan tarikh Lailatul Qadar. Ada juga pendapat yang mengatakan ia bermaksud sempit kerana Allah menurunkan begitu ramai malaikat sehingga bumi menjadi sempit. Al-Qadr juga bermaksud “takdir”, yang akan dibincangkan bersama surah ad-Dukhan.
Surah al-Qadr secara lengkap:
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Roh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
Dalam ayat 2 dan 3 surah al-Qadr, Allah bertanya dan memberi jawapan tentang kelebihan Lailatul Qadar. Dinyatakan bahawa Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Dalam ayat 4 dinyatakan bahawa malaikat akan turun dan malaikat Jibril disebut secara khusus untuk menunjukkan ketinggian kedudukannya. Ada riwayat yang menyebut Lailatul Qadar dianugerahkan kerana umur umat ini pendek berbanding umat nabi-nabi lain. Malaikat yang turun membawa rahmat. Sayangnya jika malaikat yang turun tidak dapat kita bawa pulang bersama ke rumah kerana rumah kita tidak memenuhi tuntutan syariah. Oleh itu, ubah suailah hiasan rumah dan buanglah patung-patung atau gambar-gambar yang tidak “mesra malaikat”.
Tanda-tanda Lailatul Qadar
Lailatul Qadar itu pasti ada, cuma ramai ulama mengharapkan ia berlaku pada malam 27. Oleh itu, lebihkan amalan pada malam 27. Tanda-tanda Lailatul Qadar seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW ada dua, iaitu:
- Pada pagi harinya, matahari terbit tidak bersinar terik (tidak memancarkan sinar yang kuat) dan kelihatan tenang (Sahih Muslim, no. 762).
- Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak sejuk (riwayat Ibn Khuzaimah, no. 2192 dan at-Tayalisi; disahihkan oleh al-Albani). Namun sekarang ini, kerana ada pendingin hawa, kita sentiasa berasa nyaman!
Tanda yang tidak betul pula ialah pokok sujud, air tawar menjadi masin, anjing tidak menyalak dan sebagainya. Walaupun ulama memberatkan malam 27, lebih baik kita ambil satu pakej sekali gus selama sepuluh malam yang terakhir. Tetapi jangan pula setelah mendapat Lailatul Qadar, kita membuat maksiat lagi selepas itu.
Soal Jawab
Soalan 1: Jika saya beribadat bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan dan meneruskannya di luar Ramadan, adakah itu tanda saya mendapat Lailatul Qadar? Jika saya beribadat hanya pada bulan Ramadan dan meninggalkannya selepas itu, adakah itu tanda saya tidak mendapat Lailatul Qadar?
Jawapan: Jika selepas Ramadan kita dapat istiqamah dengan amalan dan ibadat yang baik, itu maknanya kita telah mendapat kelebihan Ramadan dan juga Lailatul Qadar. Jika kita gagal meneruskan kebaikan selepas Ramadan, itu maknanya kita gagal memperbaiki diri setelah memasuki kem Ramadan. Istiqamah itu penting; teruskanlah segala kebaikan selepas Ramadan juga.
Soalan 2: Apakah amalan, zikir atau doa tertentu yang perlu dilakukan pada Lailatul Qadar?
Jawapan: Amalannya sama seperti amalan-amalan pada malam lain, seperti solat tarawih, qiamullail dan tadarus. Cuma ada tambahan satu doa seperti yang diajarkan kepada ‘Aisyah r.a.:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 3513 dan Ibn Majah, no. 3850)
Inilah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Kita boleh juga menambah doa apa yang kita hajati. Berdoa lebih baik daripada sekadar membaca doa, kerana berdoa itu datang daripada hati, sedangkan membaca hanyalah sekadar membaca teks.
Soalan 3: Adakah Lailatul Qadar ini hilang sehingga kita perlu mencarinya?
Jawapan: Lailatul Qadar itu tidak hilang, cuma kita tidak berjumpa kerana tidak mencarinya. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada ‘Ubadah bin as-Samit r.a., pada suatu malam Nabi SAW keluar untuk memberitahu para sahabat bilakah tarikh Lailatul Qadar. Apabila sampai, didapati ada dua orang sedang bertengkar. Lalu Nabi SAW bersabda: “Aku keluar untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadar, tetapi si fulan dan si fulan bertengkar, lalu ia diangkat (pengetahuan tentang tarikhnya). Semoga yang demikian itu lebih baik bagi kamu.” Maksud diangkat di sini ialah ia tetap ada, cuma tidak boleh diberitahu. Jika diberitahu, ada kemungkinan kita akan jadi seperti kaum Nabi Musa yang terlalu banyak bertanya tentang lembu yang Allah perintahkan mereka sembelih. Nabi SAW cuma memberi petunjuk untuk mencarinya pada sepuluh malam terakhir.
Soalan 4: Apakah petua untuk mendapatkan Lailatul Qadar?
Jawapan: Jangan bayangkan Lailatul Qadar itu satu malam ajaib yang berlaku benda-benda pelik. Pada Lailatul Qadar, malaikat akan turun. Petuanya mudah, iaitu seperti yang Nabi SAW lakukan: meningkatkan ibadat pada sepuluh malam terakhir. Buatlah amalan-amalan seperti malam Ramadan yang lain juga. Tunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah. Jangan lari selepas lapan rakaat tarawih, melainkan saudara adalah “OKU” dalam ibadat! Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang solat (qiam) bersama imam sehingga imam selesai, ditulis baginya pahala qiam semalaman.” (Riwayat Abu Dawud, no. 1375 dan at-Tirmizi, no. 806; kata at-Tirmizi: hasan sahih.) Jangan keluar saf untuk berwitir sendiri di rumah; habiskan bersama imam. Saya syorkan imam-imam masjid dan surau menangguhkan witir hingga jam 4.30 pagi, kerana daripada pemerhatian, orang akan lebih mudah terpanggil untuk pergi ke masjid kerana merasakan solat pada awal malam belum sempurna. Selain itu, tambahlah dengan solat tahajud, tadarus dan amalan baik seperti biasa. Sebagai tambahan, amalkan kaedah Abu Anas: “Kalau tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat.” Jika penat, lebih baik tidur sahaja. Paling kurang, jika malaikat turun pada Lailatul Qadar, tidaklah tercatat kita sedang berbuat maksiat.
Soalan 5: Apakah syarat minimum untuk mendapat Lailatul Qadar?
Jawapan: Syarat minimumnya ialah solat Isyak berjemaah, solat tarawih bersama imam sehingga selesai dan meninggalkan maksiat. Namun, jika sedikit sahaja yang kita buat, maka sedikitlah ganjarannya. Oleh itu, persiapkan segala urusan sebelum malam ke-20 agar kita dapat menambah ibadat dan fokus pada sepuluh malam terakhir.
Soalan 6: Bagaimana pula jika wanita uzur (haid) ketika sepuluh malam terakhir?
Jawapan: Ketika uzur, wanita boleh melakukan semua amalan kecuali solat. Petua tambahan: teruskan berbuat amalan-amalan baik sebelum waktu uzur datang. Dengan cara itu, apabila uzur, akan tetap ditulis pahala seperti amalan-amalan yang biasa dilakukannya.
Bahagian 2: Surah ad-Dukhan dan Penutup Surah al-Qadr
Surah ad-Dukhan, ayat 1–4:
حمٓ وَٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
“Haa, Miim. Demi al-Quran, Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku.”
Penerangan
Ayat 2 menyatakan bahawa al-Quran bersifat menerangkan yang hak dan yang batil.
Ayat 3 menunjukkan bahawa al-Quran membawa cara targhib (galakan untuk mendapatkan pahala) dan tarhib (amaran tentang balasan dosa). Inilah antara ciri keindahan Islam. Saya ada menulis sebuah buku ringkas bertajuk Keindahan Islam.
Ayat 4 menyatakan bahawa segala takdir kehidupan kita telah pun ditulis dan disimpan di Lauh Mahfuz, juga ditulis semasa kita masih dalam kandungan ibu. Pada malam Lailatul Qadar, takdir kita untuk setahun diperincikan kepada para malaikat. Dalam masyarakat kita, ini juga dikenali sebagai malam “tukar buku” yang biasanya dikatakan berlaku pada malam Nisfu Syaaban. Menurut Imam Ibnu Kathir, ia berlaku pada malam Lailatul Qadar dan sesiapa yang mengatakan ia berlaku pada malam Nisfu Syaaban telah jauh tersasar.
Ada pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar sudah tiada lagi. Namun, janganlah kita sempitkan fikiran; rebutlah peluang untuk menambah ibadat.
Sambungan perbincangan: dalam Bahagian 1 telah disebut bahawa Lailatul Qadar bermaksud sempit kerana ramainya malaikat yang turun.
Surah al-Qadr, ayat 5
سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ
“Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
“Salam” di sini bermaksud tiada lagi gangguan syaitan. Jadi, jika masih berlaku maksiat atau kejahatan, itu perbuatan “khalifah-khalifah syaitan”. Ada juga ulama yang mengatakan “salam” bermaksud tiada penyakit yang turun pada malam itu. Nabi SAW mengajar kita agar menutup bekas-bekas makanan dan minuman pada waktu malam, kerana menurut hadis, ada satu malam dalam setahun yang padanya turun wabak (Sahih Muslim, no. 2014). Makna ketiga pula ialah “yang penuh kebaikan”. Oleh sebab itu, kita berharap agar kita sedang berbuat kebaikan ketika berlakunya Lailatul Qadar.
Tanda Lailatul Qadar hanya boleh dilihat pada waktu paginya. Jadi, tidak perlulah kita terlalu mencari-cari tandanya dan jika terjumpa pun tidak perlu dihebohkan. Jika Allah kehendaki, pasti akan dibukakan kepada orang yang terpilih.
Soal Jawab
Soalan 1: Adakah wanita yang uzur berpeluang mendapat Lailatul Qadar?
Jawapan: Memang soalan ini banyak berlegar dalam fikiran muslimat sehingga ada yang sanggup mengambil pil tahan haid. Namun, Nabi SAW tidak pernah mengajar isteri-isteri Baginda berbuat begitu. Nabi SAW menyuruh kita meneruskan ibadat sepanjang masa. Ada banyak bentuk ibadat yang boleh dilakukan: jika tidak boleh membaca al-Quran, boleh mendengarnya, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Niat yang baik pun insya-Allah akan mendapat pahala apabila terhalang oleh syarak untuk menunaikannya.
Soalan 2: Ramai orang Islam menambah ibadat pada bulan Ramadan, namun masih mengata dan mencaci antara satu sama lain. Mohon pandangan ustaz.
Jawapan: Puasa itu bukan sekadar tidak makan dan minum. Kita perlu juga menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala puasa.
Soalan 3: Lailatul Qadar ini umpama memburu pingat emas, bukan sesuatu yang mudah diraih. Mohon pendapat ustaz.
Jawapan: Hendak mendapat Lailatul Qadar tidaklah sesusah mendapat pingat emas Olimpik! Lailatul Qadar pasti akan berlaku; persoalannya, adakah ketika itu kita sedang beribadah atau berbuat maksiat? Paling kurang, amalkanlah seperti yang telah disebut dalam Bahagian 1: solat fardu berjemaah, solat tarawih bersama imam sehingga selesai dan sambung dengan tadarus serta amalan baik yang lain. Jika tidak mampu ke masjid atas halangan tertentu, boleh juga beramal di rumah. Dan jangan lupa kaedah Abu Anas: “Kalau tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat.”
Soalan 4: Kenapa kita sering mengantuk ketika hendak beribadat pada malam-malam Lailatul Qadar?
Jawapan: Jika mengantuk, tidurlah. Jangan pula menonton TV atau menelefon orang lalu mengumpat. Boleh juga amalkan zikir: Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu akbar. Dalam Islam ada banyak bentuk ibadat; terpulang kepada kita untuk melakukannya atau tidak.
Soalan 5: Ibu bapa ada kalanya dimarahi jemaah kerana membawa anak kecil ke masjid. Mohon pandangan ustaz.
Jawapan: Para jemaah perlu lebih mesra kanak-kanak. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa perlu meletakkan anak di sebelah mereka agar tidak merayau-rayau. Hukumnya dibolehkan dan saya ada membincangkannya dengan lanjut di laman abuanasmadani.com. Kefahaman lama bahawa anak kecil memutuskan saf perlu kita perbetulkan. Orang ramai pula, jika berjumpa anak kecil yang merayau, pulangkanlah kepada ibu bapanya. Jangan ambil tempat yang telah diambil anak kecil; jika datang lambat, duduklah di belakang.
Soalan 6: Apakah erti Lailatul Qadar bagi kanak-kanak?
Jawapan: Sama seperti orang dewasa dan mereka boleh juga beribadat, cuma pahalanya diperoleh oleh ibu bapanya. (Nota: menurut jumhur ulama, kanak-kanak itu sendiri juga diberi pahala atas ibadatnya, berdasarkan hadis Sahih Muslim, no. 1336 tentang kanak-kanak yang dibawa berhaji: “Ya dan bagimu (ibunya) pahala.”)
Soalan 7: Adakah tanda-tanda pada diri seseorang yang berjumpa Lailatul Qadar, seperti berdebar, sayu dan sebagainya?
Jawapan: Semua ini rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Saya tidak menggalakkan orang yang berjumpa menceritakannya kepada orang lain. Jangan sekali-kali mencanangkan pengalaman Lailatul Qadar di Facebook.
Kesimpulan
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berdiri (solat dan beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1901 dan Muslim, no. 760)
Bacaan berkaitan
Rujukan
12 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Qadr (97): 1–5.
Quran.com -
Al-Quran, Surah ad-Dukhan (44): 1–4.
Quran.com -
Sahih Muslim, no. 762 (Ubay bin Ka'b r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Ibn Khuzaimah, no. 2192; Musnad at-Tayalisi, no. 2802 (Ibn 'Abbas r.a.): «ليلة طلقة لا حارة ولا باردة»; al-Albani: sahih li ghairih.
surahquran.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 3513; Sunan Ibn Majah, no. 3850 ('Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 2023 (juga no. 49) ('Ubadah bin as-Samit r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 1375; Jami' at-Tirmizi, no. 806 (Abu Dzar r.a.); hasan sahih.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 2014 (Jabir r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 1336 (Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 1901; Sahih Muslim, no. 760 (Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, tafsir ad-Dukhan: 3–4.
quran.ksu.edu.sa
