Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Al-Quran

Tarikh Nuzul al-Quran: Satu Perbincangan

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 Ogos 2011 · 8 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari (Dr. Abu Zaid), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: makalah penulis yang disunting semula olehnya pada Ramadan 1432H.

Pendahuluan

Nuzul al-Quran merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah al-Quran itu sendiri. Justeru, ia mendapat tempat khusus dalam karya-karya 'Ulum al-Quran (ilmu-ilmu berkaitan al-Quran). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap penurunan al-Quran.

Asy-Syeikh Muhammad 'Abd al-'Azim az-Zarqani menyatakan bahawa nuzul al-Quran adalah asas keimanan terhadap al-Quran itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi SAW. [1]

Nuzul al-Quran bermaksud penurunan al-Quran. Ia terbahagi kepada dua tahap utama:

Pertama: Penurunan al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-'Izzah secara sekali gus.

Kedua: Penurunan al-Quran dari Bait al-'Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

Berhubung isu nuzul al-Quran yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan (nuzul) di sini? Adakah ia bermaksud penurunan al-Quran pada tahap pertama atau pada tahap kedua?

Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama Islam dalam isu ini, kita akan memperoleh pelbagai pendapat dan huraian.

Pendapat Pertama: 17 Ramadan

Pendapat yang agak masyhur memilih tarikh 17 Ramadan sebagai tarikh nuzul al-Quran. Pendapat ini dipegang oleh sebahagian ulama sirah. Antara ulama sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syeikh al-Khudhari dalam karyanya Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah. [2] Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi melalui Abu Ja'far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan (dan dikatakan juga pada 24 Ramadan). Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah:

روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله ﷺ يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان، وقيل في الرابع والعشرين منه. [3]

Maksudnya: Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja'far al-Baqir bahawa beliau berkata: "Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin, 17 Ramadan dan dikatakan juga pada 24 Ramadan."

Ada suatu hal yang agak menarik dalam membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadan sebagai tarikh nuzul al-Quran. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk "Ibtida' Tanzil al-Quran" (Permulaan Penurunan al-Quran), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam membuat catatan berikut:

قال ابن إسحاق: فابتُدئ رسول الله ﷺ بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ﴿شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ﴾، وقال تعالى: ﴿إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ﴾... وقال تعالى: ﴿إِنْ كُنْتُمْ آمَنْتُمْ بِاللَّهِ وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ﴾، وذلك ملتقى رسول الله ﷺ والمشركين ببدر. قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين أن رسول الله ﷺ التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة صبيحة سبع عشرة من رمضان. [4]

Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: "Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadan. Allah 'Azza wa Jalla berfirman (maksudnya): Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, keterangan-keterangan daripada petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil). Dan Allah Ta'ala berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar… Dan Allah berfirman (maksudnya): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, iaitu hari bertemunya dua pasukan… Itulah pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badar." Berkata Ibn Ishaq: "Abu Ja'far Muhammad bin 'Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (berperang) dengan golongan musyrikin di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 Ramadan…"

Jika diperhatikan dan diperhalusi, kenyataan di atas seakan-akan mengaitkan unsur "al-furqan" dalam al-Quran (ayat 185 Surah al-Baqarah) dengan "yaum al-furqan" (hari al-Furqan, ayat 41 Surah al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk "Ibtida' Tanzil al-Quran", berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Quran juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat Kedua: 7 Ramadan

Nuzul al-Quran berlaku pada 7 Ramadan.

Pendapat Ketiga: 18 Ramadan

Nuzul al-Quran berlaku pada 18 Ramadan.

Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syeikh Shafiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.

Pendapat Keempat: 21 Ramadan

Syeikh Shafiyy ar-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama lain. Menurut beliau, nuzul al-Quran jatuh pada 21 Ramadan. Antara alasan yang dikemukakan ialah:

  1. Semua ulama sirah atau majoriti mereka, sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW dibangkitkan pada hari Isnin, berdasarkan hadis Abu Qatadah r.a. dalam Shahih Muslim dan lain-lain.
  2. Hari Isnin pada tahun Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada 7, 14, 21 atau 28 Ramadan. Hadis-hadis yang sahih menyebut bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam-malam ganjil sepuluh malam terakhir Ramadan.
  3. Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah ﴿إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ﴾ dengan riwayat Abu Qatadah tentang hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan, serta dipadankan dengan perhitungan takwim yang tepat tentang bilakah jatuhnya hari Isnin pada bulan Ramadan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa Baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadan. [5]

Pendapat Kelima: 24 Ramadan

Pendapat seterusnya, nuzul al-Quran jatuh pada 24 Ramadan. Pendapat ini berdasarkan hadis berikut:

قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام، عن قتادة، عن أبي المليح، عن واثلة بن الأسقع أن رسول الله ﷺ قال: «أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأَنْزَلَ اللَّهُ الْفُرْقَانَ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ». [6]

Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu Sa'id, maula Bani Hasyim, menceritakan kepada kami: 'Imran Abu al-'Awwam menceritakan kepada kami, daripada Qatadah, daripada Abu al-Malih, daripada Wathilah bin al-Asqa' bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Suhuf Nabi Ibrahim a.s. diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat diturunkan setelah berlalu enam hari Ramadan, Injil diturunkan setelah berlalu tiga belas hari Ramadan dan Allah menurunkan al-Furqan (al-Quran) setelah berlalu dua puluh empat hari Ramadan."

Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syeikh al-Albani, manakala Syeikh Ahmad Syakir menghukumkan sanadnya sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadis di atas bertepatan dengan firman Allah SWT (Surah al-Baqarah: 185):

﴿شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ﴾

dan firman-Nya (Surah al-Qadr: 1):

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ﴾

Kata beliau, berkemungkinan malam al-Qadar pada tahun kebangkitan Nabi SAW berlaku pada malam 24 Ramadan, di mana al-Quran diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadan) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT:

﴿اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ﴾ [7]

Ath-Thabari juga menyebut satu riwayat dengan sanadnya melalui Sa'id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a., katanya: "Al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadan, kemudian ia ditempatkan di Bait al-'Izzah." [8]

Al-Qurtubi pula menyebut hadis Wathilah bin al-Asqa' di atas dan menyatakan bahawa hadis tersebut merupakan dalil atau hujah bagi pendapat al-Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 24 Ramadan. [9]

Al-Hafiz Ibn Kathir juga membawa hadis Wathilah ini ketika mentafsirkan ayat 185 Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih meriwayatkan hadis daripada Jabir bin 'Abdullah r.a. seumpama hadis Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matannya. [10] Beliau juga menyebut hadis ini dalam al-Bidayah wa an-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis Wathilah ini, sebahagian ulama dari kalangan sahabat dan tabiin berpendapat bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 24 Ramadan. [11]

Turut menyebut hadis Wathilah ialah Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, yang menggunakan hadis ini bagi menjelaskan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada 24 Ramadan. [12]

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat di atas berhubung tarikh nuzul al-Quran adalah seperti berikut:

  1. Pendapat yang menyebut nuzul al-Quran jatuh pada 17 Ramadan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama al-jarh wa at-ta'dil, al-Waqidi (m. 207H), nama penuhnya Muhammad bin 'Umar bin Waqid al-Aslami, ialah seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya. [13] Pendapat ini juga ditolak oleh Syeikh az-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih. [14]
  2. Pendapat Syeikh Shafiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 21 Ramadan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata, berdasarkan penelitian beliau terhadap hadis Abu Qatadah dan perkiraan takwim yang dipegang beliau dengan mengambil kira malam ganjil sebagai malam al-Qadar. Sedangkan malam al-Qadar boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
  3. Pendapat yang menyebut bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 24 Ramadan adalah kuat. Ini berdasarkan perkara-perkara berikut:
    1. Pendapat ini bersandarkan hadis marfuk yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis. Sebagaimana yang dimaklumi, apa jua permasalahan dalam agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan hadis. Dalam hal ini, hadis Wathilah bin al-Asqa' adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul al-Quran.
    2. Matan hadis dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadan.
    3. Maksud atau mafhum hadis ini diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli hadis dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan 24 Ramadan sebagai tarikh tepat nuzul al-Quran. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Penutup

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam membincangkan tarikh nuzul al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap al-Quran al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegang. Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan umat.

Ditulis oleh: Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Nota Kaki

  1. Lihat Manahil al-'Irfan, 1/40.
  2. Lihat al-Mubarakfuri, Syeikh Shafiyy ar-Rahman, ar-Rahiq al-Makhtum, Beirut: al-Maktabah ath-Thaqafiyyah, hlm. 77.
  3. Ibn Kathir ad-Dimasyqi, al-Bidayah wa an-Nihayah, Beirut: Dar al-Fikr, 3/6.
  4. Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, 1/239–240.
  5. Lihat ar-Rahiq al-Makhtum, hlm. 77.
  6. Imam Ahmad, al-Musnad, Beirut: al-Maktab al-Islami, 4/107; al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra, 9/188; ath-Thabarani, al-Mu'jam al-Kabir, no. 185; ath-Thabari, Ibn Jarir, Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Quran (tahqiq Ahmad Syakir), Kaherah: Dar al-Ma'arif, 3/446; al-Albani, Silsilah al-Ahadith ash-Shahihah, no. 1575. Lihat Dr. Hikmat Basyir Yasin (1994), Marwiyyat al-Imam Ahmad bin Hanbal fi at-Tafsir, Riyadh: Maktabah al-Mu'ayyad, 1/128.
  7. Ibn Hajar al-'Asqalani (1988), Fath al-Bari, Kaherah: Dar ar-Rayyan li at-Turath, 8/621.
  8. Ath-Thabari, Jami' al-Bayan, 3/445.
  9. Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad al-Ansari, al-Jami' li Ahkam al-Quran, Beirut: Mu'assasah Manahil al-'Irfan, 2/198.
  10. Ibn Kathir ad-Dimasyqi (2004), Tafsir al-Quran al-'Azim, Riyadh: Dar 'Alam al-Kutub, 2/180; lihat juga 14/411.
  11. Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/6.
  12. Al-Albani, Muhammad Nasiruddin (1421H), Shahih as-Sirah an-Nabawiyyah, Amman: al-Maktabah al-Islamiyyah, hlm. 90.
  13. Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 3/31; adz-Dzahabi, Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman (1992), Siyar A'lam an-Nubala', Beirut: Mu'assasah ar-Risalah, 9/454, 469; Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa at-Ta'dil, 8/20.
  14. Lihat Manahil al-'Irfan, 1/52.

Catatan Abu Anas Madani: Makalah ini telah disunting semula oleh penulisnya (Dr. Abu Zaid) pada bulan Ramadan 1432H, jazahullahu khairan. Pondok Sungai Durian, 13 Ramadan 1432H.

Bacaan berkaitan: Tarikh Israk dan Mikraj

Rujukan

8 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Qadr (97): 1.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Anfal (8): 41.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-'Alaq (96): 1.

    Quran.com
  5. Sahih Muslim, no. 1162.

    Sunnah.com
  6. Musnad Ahmad (4/107): hadis Wathilah bin al-Asqa' — al-Furqan diturunkan pada 24 Ramadan; hasan menurut al-Albani (Silsilah ash-Shahihah no. 1575).

    ad-Durar as-Saniyyah
  7. Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab Fadha'il al-Quran, bab Kaifa Nuzul al-Wahy (8/621, cet. Dar ar-Rayyan).

  8. Ibn Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/6.

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Al-Quran Berilah Masa Untuk Al-Quran, Jangan Tunggu Ada Masa 13 Ogs 2025 Al-Quran Mukjizat Al-Quran – Prof Gary Miller & Fakta 6236 Ayat 1 Ogs 2025 Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026 Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026