Pendahuluan
Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita di kalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu utusan Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah, bulan Ramadan kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulang kaji berkenaan amalan-amalan dalam bulan Ramadan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan ganjaran sepenuhnya pada bulan yang mulia ini.
Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang solat tarawih dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah SAW menganjurkan qiyam pada malam Ramadan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
«مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ» [متفق عليه]
Maksudnya: "Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." [HR al-Bukhari, no. 37 dan Muslim, no. 759]
Takrif Solat Tarawih
Menurut bahasa: tarawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.
Menurut istilah: tarawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam dalam bulan Ramadan. Waktunya bermula selepas solat Isyak dan berakhir dengan masuknya waktu Subuh, tidak termasuk sunat rawatib Isyak dan solat witir.
Dinamakan tarawih kerana orang yang melakukannya berehat selepas setiap empat rakaat (dua salam).
Solat tarawih termasuk dalam solat tahajud atau shalat al-lail, dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.
Waktu Melakukan Solat Tarawih
Sebagaimana hadis Rasulullah SAW di atas: "Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan…". Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat tarawih ialah sesudah masuk waktu Isyak sehingga sebelum masuk waktu Subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.
Hukum Solat Tarawih
Solat tarawih hukumnya sunat muakkad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah SAW menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya sunat dan tidak wajib.
Sejarah Tarawih
Ummul Mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat malam di masjid beberapa malam dalam bulan Ramadan (ada yang mengatakan empat malam) bersama-sama para sahabat. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Pada malam berikutnya hingga ke akhir Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda SAW bimbang solat itu difardukan ke atas mereka dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.
Abu Dzar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bangun bersolat bersama mereka pada malam ke-23 sehingga satu pertiga malam dan pada malam ke-25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda SAW: "Alangkah baiknya jika tuan menyempurnakan baki malam ini dengan solat sunat bersama kami." Maka Nabi SAW bersabda:
«إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ»
Maksudnya: "Sesungguhnya sesiapa yang berdiri (bersolat) bersama imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya pahala qiyam semalaman." [HR at-Tirmizi, no. 806; kata at-Tirmizi: hasan sahih]
Imam Ahmad mengamalkan hadis ini; beliau bersolat bersama imam sehingga selesai dan tidak akan beredar sehingga imam beredar.
Berkata sebahagian ulama: "Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam, seumpama dia telah bangun solat sepanjang malam."
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban daripada Jabir r.a., Nabi Muhammad SAW melakukan solat malam Ramadan sebanyak lapan rakaat, kemudian diikuti solat witir.
Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. ialah orang pertama yang menghimpunkan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah di belakang seorang imam, iaitu Ubai bin Ka'ab r.a. [HR al-Bukhari, no. 2010]
Solat tarawih kemudiannya dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadan selepas solat Isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.
Cara Pelaksanaan Solat Tarawih
Solat tarawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian. Berjemaah adalah lebih afdal berdasarkan anjuran Rasulullah SAW seperti dalam hadis di atas.
Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjemaah, dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah SAW sendiri pada zaman Baginda adakalanya melaksanakannya secara berjemaah dan adakalanya secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan kepada umat sekiranya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, walaupun solat tarawih boleh dilaksanakan secara bersendirian, solat tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a., kerana sebahagian solat nawafil memang disyariatkan secara berjemaah.
Bilangan Rakaat Solat Tarawih
Solat tarawih boleh dilaksanakan sebanyak lapan atau dua puluh rakaat, diikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat tarawih yang sepatutnya dilaksanakan: lapan atau dua puluh rakaat?
Persoalan jumlah rakaat solat tarawih telah menjadi tumpuan para ilmuwan Islam sejak dahulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya, terdapat tiga pendapat. Pendapat pertama: jumlah rakaat solat tarawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat witir. Pendapat kedua: jumlahnya 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat witir. Pendapat ketiga: jumlahnya tidak ditentukan; seseorang itu bebas melaksanakan solat tarawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutup dengan solat witir.
Ketiga-tiga pendapat di atas mempunyai dalil dan hujah dan kita boleh memilih mana-mana pendapat tersebut. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain sekiranya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Ibn Umar r.a. menceritakan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat malam. Sabda Nabi SAW:
«صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى»
Maksudnya: "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat. Apabila seseorang daripada kamu bimbang masuk waktu Subuh, hendaklah dia solat satu rakaat yang menjadikan witir (ganjil) bagi rakaat-rakaat yang telah dia solatkan." [HR al-Bukhari, no. 990 dan Muslim, no. 749]
Rasulullah SAW tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, sedangkan malam itu panjang dan boleh dilakukan banyak solat. Ini menunjukkan bahawa bilangannya tidak dihadkan kepada 8 atau 20 rakaat sahaja.
Berkata Imam asy-Syafie: "Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat (tarawih) di Madinah 39 rakaat dan di Makkah 23 rakaat. Tiada kesempitan sedikit pun dalam hal itu."
Katanya lagi: "Jika mereka memanjangkan berdiri (dengan bacaan al-Quran) dan mengurangkan sujud (rakaat), itu baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan bacaan, itu juga baik. Tetapi yang pertama lebih aku sukai."
Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang menunaikan lapan rakaat sahaja. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri terhadap Penciptanya. Yang penting ialah selesaikan solat bersama imam, bukan hanya setakat separuh jalan.
Antara Kualiti dan Kuantiti
Persoalan yang lebih penting dalam solat tarawih ialah cara melaksanakannya. Sama ada 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca dalam satu nafas dan jangan dibaca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan tama'ninah dalam solat. Yang penting ialah kualiti, bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan dengan baik (kualiti), bukan sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:
- Meninggalkan bacaan al-Quran secara tartil, iaitu menyebut kalimah-kalimah al-Quran dengan jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah SWT memerintahkan kita: "Dan bacalah al-Quran dengan tartil." [Surah al-Muzzammil: 4]
- Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
- Mengabaikan tama'ninah, iaitu kekal tenang dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Tempoh kekal dalam sesuatu posisi itu ialah sehingga bacaan dalam posisi tersebut dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna.
Pernah seorang lelaki bersolat tanpa tama'ninah pada zaman Rasulullah SAW. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah SAW memerintahkannya mengulangi solatnya [HR al-Bukhari, no. 757 dan Muslim, no. 397]. Tindakan Baginda itu menunjukkan tama'ninah ialah rukun yang menentukan sahnya solat. Sesiapa yang meninggalkannya, solatnya, sama ada solat tarawih atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak mengambil berat tentang meluruskan dan memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah SAW telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
«لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ»
Maksudnya: "Hendaklah kamu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan memperselisihkan antara wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu)." [HR al-Bukhari, no. 717 dan Muslim, no. 436]
Sabda Baginda SAW lagi:
«سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ»
Maksudnya: "Luruskanlah saf-saf kamu, kerana meluruskan saf itu sebahagian daripada mendirikan solat (dengan sempurna)." [HR al-Bukhari, no. 723]
Berdasarkan perbincangan di atas, sama-samalah kita laksanakan solat tarawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang berdasarkan kualiti, bukannya kuantiti.
Semoga semua amalan baik kita diterima oleh Allah SWT. Sekian.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 4 Ramadan 1430H.
Rujukan
Bacaan berkaitan
Rujukan
16 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 37.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 759.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 2012.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 761.
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 806.
Sunnah.com -
Shahih Ibn Khuzaimah dan Shahih Ibn Hibban: riwayat Jabir r.a., Nabi SAW solat lapan rakaat dan witir pada malam Ramadan (sanad melalui 'Isa bin Jariyah; diperselisihkan).
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, no. 2010.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 990.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 749.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Muzzammil (73): 4.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 757.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 397.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 717.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 436.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 723.
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, selepas hadis no. 806 (kata asy-Syafie tentang 39 rakaat di Madinah dan 23 di Makkah); Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab Shalat at-Tarawih.
