
Seorang mukmin, apabila berada dalam bulan Ramadan, akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya: pertama, jihad pada siang hari dengan berpuasa; kedua, jihad pada malam hari dengan qiyamullail.
Sesiapa yang berjaya melaksanakan dua jihad ini dengan menunaikan hak-haknya secara sabar dan sempurna, maka ganjarannya amat besar dan tidak terhingga.
Rasulullah SAW telah memberikan galakan untuk melakukan solat tarawih (qiyam Ramadan) dengan sabda Baginda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat malam) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala), diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Memadailah bagi kita fadilat tarawih yang bersumberkan hadis yang sahih dan berautoriti ini untuk kita beribadat dan menggalakkan umat Islam beribadat.
Malangnya, masih ada sebahagian pendakwah yang menyebarkan hadis rekaan ini kepada masyarakat dan orang awam pun turut menyebarkannya melalui pelbagai media dengan kemudahan alat yang ada pada hari ini.
Oleh itu, kami berharap masyarakat memahami:
Jangan dibaca dan disebarkan hadis palsu fadilat solat tarawih setiap malam, nanti kita termasuk dalam golongan yang berdusta atas Nabi SAW sebagaimana yang dilarang keras oleh Baginda.
Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat tarawih bersama imam sehingga selesai supaya namanya tertulis dalam kalangan orang yang qiyam (berdiri solat malam). Nabi SAW bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang berdiri (solat) bersama imam sehingga imam beredar, ditulis baginya (pahala) qiyam semalaman.” (Riwayat at-Tirmizi no. 806 daripada Abu Zar r.a.; kata at-Tirmizi: hasan sahih. Juga diriwayatkan oleh Abu Dawud, an-Nasa'i dan Ibn Majah.)
Sila lihat juga kuliah video: Dosa Besar 14: Berdusta atas Allah dan Rasul.
Fatwa jabatan mufti
Di bawah ini petikan kajian jabatan mufti.
Pertama: Fatwa Brunei — Fadilat Sembahyang Tarawih
Soalan
Unit Kajian dan Penyelidikan, Bahagian Kajian dan Penerbitan, Pusat Da'wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai hadis fadilat sembahyang tarawih dalam kitab Durratun Nasihin (terbitan Mesir tahun 1949), yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib.
Hadis tersebut sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah diterbitkan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghib masyarakat supaya mendirikan sembahyang tarawih dengan teratur. Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pernah mempersoalkan sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31 Disember 1998, 1 Januari 1999 dan 16 Januari 1999 telah mempersoalkan kesahihan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut ialah hadis maudhu'.
Sukacita kami mengemukakan isu mengenai hadis ini kepada Pehin untuk mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan supaya dijadikan pegangan dan menghindari keraguan dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Jawapan
الحمد لله الفتاح الوهاب، الهادي إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Hadis mengenai fadilat sembahyang tarawih yang disebutkan dalam kitab Durratun Nasihin bermaksud: “Daripada Ali bin Abi Talib r.a. bahawa Rasulullah SAW telah ditanya tentang keutamaan tarawih pada bulan Ramadan. Baginda bersabda: Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:
- Malam pertama: seperti saat dia dilahirkan ibunya.
- Malam kedua: dia diampuni, juga kedua-dua ibu bapanya jika kedua-duanya mukmin.
- Malam ketiga: malaikat berseru dari bawah Arasy: Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.
- Malam keempat: dia memperoleh pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan.
- Malam kelima: Allah Taala memberinya pahala seperti pahala orang yang bersembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
- Malam keenam: Allah Taala memberinya pahala orang yang bertawaf di Baitul Makmur dan dia dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas (lapisan tanah yang keras).
- Malam ketujuh: seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa a.s. dan kemenangannya atas Firaun dan Haman.
- Malam kelapan: Allah Taala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim a.s.
- Malam kesembilan: seolah-olah dia menyembah Allah Taala sebagaimana ibadat Nabi SAW.
- Malam kesepuluh: Allah Taala mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
- Malam kesebelas: dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya.
- Malam kedua belas: dia datang pada hari kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan pada malam purnama.
- Malam ketiga belas: dia datang pada hari kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan.
- Malam keempat belas: para malaikat datang memberi kesaksian untuknya bahawa dia telah melakukan sembahyang tarawih, maka Allah tidak menghisabnya pada hari kiamat.
- Malam kelima belas: dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung Arasy dan Kursi.
- Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat daripada neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga.
- Malam ketujuh belas: dia diberi pahala seperti pahala para nabi.
- Malam kelapan belas: malaikat menyeru: Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah reda kepadamu dan kepada ibu bapamu.
- Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.
- Malam kedua puluh: Allah memberinya pahala para syuhada dan solihin.
- Malam kedua puluh satu: Allah membina untuknya sebuah gedung daripada cahaya.
- Malam kedua puluh dua: dia datang pada hari kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.
- Malam kedua puluh tiga: Allah membina untuknya sebuah kota dalam syurga.
- Malam kedua puluh empat: dia memperoleh dua puluh empat doa yang dikabulkan.
- Malam kedua puluh lima: Allah Taala menghapuskan daripadanya azab kubur.
- Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.
- Malam kedua puluh tujuh: dia dapat melintasi Sirat pada hari kiamat bagaikan kilat yang menyambar.
- Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga.
- Malam kedua puluh sembilan: Allah memberinya pahala seribu haji yang diterima.
- Malam ketiga puluh: Allah berfirman: Wahai hamba-Ku, makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabil dan minumlah daripada Kauthar. Akulah Tuhanmu dan engkau hamba-Ku.” (Majalis)
Setelah merujuk kitab-kitab hadis yang muktabar dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis yang khusus menyebutkan kelebihan sembahyang tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperoleh pada setiap malam Ramadan sebagaimana yang dinyatakan.
Apa yang ditemui setakat ini hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib, iaitu dalam kitab Bihar al-Anwar karangan al-Majlisi (bab solat Ramadan) dan kitab Wasa'il asy-Syi'ah karangan asy-Syeikh Muhammad bin al-Hasan al-Hurr al-'Amili dalam bab Istihbab as-Salah al-Makhsusah Kulla Lailah min Syahr Ramadan wa Awwal Yaum Minhu. Sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii'timad (dipegang), maka ia mestilah dihentikan daripada dipromosikan melalui radio ataupun televisyen.
Sekiranya Pusat Da'wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromosikan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar. Fadilat sembahyang tarawih yang disebut dalam hadis-hadis di dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadilat 30 malam Ramadan itu.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah SAW:
من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan (pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.” Hadis seumpama ini turut diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi, Abu Dawud, Imam Ahmad dan lain-lain…
Negara asal: Brunei Darussalam
Badan yang mengeluarkan fatwa: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/ulama: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Mufti Kerajaan)
Tarikh dikeluarkan: 1999
Sumber: Portal fatwa INFAD, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), “Fatwa Brunei — Hadis Palsu”; juga disiarkan oleh laman al-ahkam.net.

Kedua: Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih — Jabatan Mufti Negeri Terengganu
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan begitu meluas. Media elektronik dan media cetak turut sama memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, diari Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang yang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a., yang sebahagiannya seperti berikut: “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah SAW telah bersabda berkenaan fadilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadan, antaranya:
- Malam pertama: keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti dia baru dilahirkan (mendapat keampunan daripada Allah Taala).
- Malam keempat: mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.
- Malam keenam: Allah kurniakan kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
- Malam ketujuh: seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa a.s. menentang musuh ketatnya, Firaun dan Haman.
- Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala kepada orang yang bersembahyang tarawih sebagaimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
- Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.
- Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga malam yang ketiga puluh.”
Namun begitu, setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air tentang kedudukan hadis ini dan dari mana ia diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Setelah diteliti dalam kitab-kitab induk hadis seperti Kutub as-Sittah dan kitab-kitab hadis yang lain, ia tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (al-maudhu'at) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu' pun tidak mengetahui kewujudannya.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya di dalam sunnah. Namun begitu, kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan pelbagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehnya. Tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah SAW yang telah dipelihara dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah SAW telah memberikan amaran terhadap orang yang mengadakan pendustaan atas nama Baginda dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: “Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia menyediakan tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini diriwayatkan melalui banyak jalan sehingga sampai ke peringkat mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan atas Nabi SAW, sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah, selepas membawakan lebih daripada seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad SAW, menukilkan kata-kata Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim. Kata Imam an-Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu') bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu' atau dia kuat menyangka hadis itu maudhu'. Sesiapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka maudhu' dan tidak menerangkan keadaannya, maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman berdusta atas Nabi Muhammad SAW antara hadis tentang hukum-hakam dan hadis yang bukan berkenaan hukum, seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram, termasuk dalam sebesar-besar dosa dan seburuk-buruk perkara dengan ijmak ulama Islam… Seterusnya beliau berkata: Ulama telah sepakat tentang haramnya berdusta atas nama orang biasa; maka bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya ialah syariat, kalamnya ialah wahyu dan berdusta atasnya ialah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah: “Dan dia tidak mengucapkan sesuatu menurut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.” (Surah an-Najm: 3–4)
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin melakukan amalan tarawih dalam bulan Ramadan, sebagaimana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang, yang sebenarnya juga telah direka atas nama Nabi Muhammad SAW. Contohnya satu hadis yang sebahagiannya berbunyi: Jika seseorang meninggalkan sembahyang Zuhur, dosanya seperti dia berzina dengan ibunya sendiri; jika dia meninggalkan sembahyang Asar, dosanya seperti meruntuhkan Kaabah…
Tidakkah cukup janji ganjaran daripada Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis sahih? Contohnya hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari)
Tidakkah cukup ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran? Antaranya firman Allah: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu tidak termasuk dalam golongan orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddaththir: 42–43)
Sebenarnya, mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak memerlukan hadis rekaan seperti ini untuk bersungguh-sungguh menghidupkan amalan tarawih. Orang yang malas bersembahyang pula, bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Ciri-ciri hadis palsu
Antara ciri-ciri hadis maudhu' (rekaan) dari segi zahirnya, selain meneliti sanad perawinya, ialah:
- Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan para sahabat Nabi kita Muhammad SAW atau orang yang berjuang bersama nabi-nabi yang lain, apatah lagi menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi. Umat yang datang kemudian, walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun, tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat, apatah lagi menyamai kedudukan seorang nabi.
- Kelebihan yang terdapat di dalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sehingga menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih.
- Kandungan dan maknanya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad SAW dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
- Di dalam sesetengah risalah yang memuatkan hadis ini, ia dimulai dengan “Ya Ali”, sedangkan ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih; yang lainnya palsu.
Oleh itu, umat Islam sekalian, terutamanya pihak berkenaan seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahli Sunnah wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ia tidak mempunyai hubungan langsung dengan Rasulullah SAW. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan mendapat pahala, sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperoleh kerana menyebarkan dan beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
Selamat berpuasa dan beribadat mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Sumber: laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Terengganu (mufti.islam.gov.my/terengganu).
Bacaan berkaitan
- Jangan Kaya Dunia tetapi Fakir Amalan di Bulan Ramadhan
- Muhasabah KPI Amalan Akhir Ramadhan
- Solat Tarawih: Sejarah, Hukum dan Kaifiat
- Status Hadis Ramadan: Rahmat, Keampunan dan Bebas Neraka
- Solat Qadha’ Kaffarah Hari Jumaat Akhir Ramadan
Akhukum,
Abu Anas Madani,
1 Ramadan 1434H / 10 Julai 2013M
(Diterbitkan pada 11 Ogos 2011 dan dikemas kini pada 10 Julai 2013.)
Rujukan
6 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 37; Sahih Muslim, Kitab Salat al-Musafirin, no. 759 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Saum, no. 806 (riwayat Abu Zar r.a.); kata at-Tirmizi: hasan sahih. Juga Abu Dawud no. 1375, an-Nasa'i no. 1364, Ibn Majah no. 1327.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Ilm, no. 110; Sahih Muslim, Muqaddimah, no. 3 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Muqaddimah, bab Taghliz al-Kadhib 'ala Rasulillah SAW.
Maktabah Syamilah -
Al-Quran, Surah an-Najm (53): 3–4.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Muddaththir (74): 42–43.
Quran.com
