بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد
Solat tasbih masyhur di kalangan umat Islam. Di bawah ini ialah perbincangan ulama tentang hadisnya, penjelasan kaifiat melakukannya serta beberapa isu yang berkaitan dengannya.
Perbincangan ini diambil daripada kitab Bughyat al-Mutathawwi' fi Shalat at-Tathawwu' (بغية المتطوع في صلاة التطوع) tulisan Dr. Muhammad bin 'Umar Bazmul, pensyarah di Universiti Umm al-Qura, Makkah, dengan tambahan ulasan daripada Abu Anas Madani.
Hadis Solat Tasbih
Di antara solat sunat yang disyariatkan ialah solat tasbih, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Ibn Abbas r.a.:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ لِلْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ: «يَا عَبَّاسُ، يَا عَمَّاهُ، أَلَا أُعْطِيكَ؟ أَلَا أَمْنَحُكَ؟ أَلَا أَحْبُوكَ؟ أَلَا أَفْعَلُ بِكَ عَشْرَ خِصَالٍ؟ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، قَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ، خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ، صَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ، سِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ، عَشْرَ خِصَالٍ: أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَسُورَةً، فَإِذَا فَرَغْتَ مِنَ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ وَأَنْتَ قَائِمٌ قُلْتَ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً، ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، فَذَلِكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ، تَفْعَلُ ذَلِكَ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ، إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً» رواه أبو داود وابن ماجه.
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas radhiyallahu 'anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada al-Abbas bin Abdul Muttalib: "Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku! Mahukah engkau aku berikan sesuatu kepadamu? Mahukah engkau aku anugerahkan kepadamu? Mahukah engkau aku hadiahkan kepadamu? Mahukah engkau aku ajarkan sepuluh perkara? Jika engkau melakukannya, Allah akan mengampunkan dosamu: yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tidak sengaja dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; itulah sepuluh perkara tersebut. Iaitu engkau solat empat rakaat; engkau baca dalam setiap rakaat al-Fatihah dan satu surah. Apabila engkau selesai membaca pada rakaat pertama dan engkau masih berdiri, ucapkanlah sebanyak 15 kali:
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
"Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah dan Allah Maha Besar."
Kemudian rukuklah dan bacalah zikir tersebut 10 kali ketika rukuk, kemudian angkatlah kepala dari rukuk dan bacalah 10 kali, kemudian sujudlah dan bacalah 10 kali ketika sujud, kemudian angkatlah kepala dari sujud dan bacalah 10 kali, kemudian sujudlah dan bacalah 10 kali, kemudian angkatlah kepala dan bacalah 10 kali. Itulah 75 kali dalam setiap rakaat dan lakukanlah hal tersebut dalam empat rakaat. Jika engkau mampu melakukannya sekali setiap hari, lakukanlah; jika tidak, sekali setiap Jumaat; jika tidak, sekali sebulan; jika tidak, sekali setahun; dan jika tidak, sekali seumur hidupmu." [HR Abu Dawud dan Ibn Majah]
Penerangan video: AAM 1434H: Solat Sunat Tasbih, Sahih atau Palsu? Bolehkah Dilakukan Secara Berjemaah?
Darjat Hadis
Para ulama dahulu dan sekarang berbeza pandangan tentang kedudukan hadis ini.
Pandangan yang menguatkan hadis
Kata Dr. Muhammad Bazmul: Hadis hasan li ghairihi. Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Kitab ash-Shalah, bab Shalat at-Tasabih, hadis no. 1297 dan lafaz hadis di atas adalah lafaznya. Diriwayatkan juga oleh Ibn Majah dalam Kitab Iqamat ash-Shalah wa as-Sunnah fiha, bab Ma Ja'a fi Shalat at-Tasbih, hadis no. 1386.
Hadis ini dinilai kuat oleh sekelompok ulama, di antaranya Abu Bakar al-Ajurri, Abu al-Hasan al-Maqdisi, al-Baihaqi, Ibn al-Mubarak (yang lebih awal daripada mereka), Ibn as-Sakan, an-Nawawi, Taj ad-Din as-Subki, al-Bulqini, Ibn Nasir ad-Din ad-Dimasyqi, Ibn Hajar, as-Suyuti, al-Laknawi, as-Sindi, az-Zabidi, al-Mubarakfuri (pengarang Tuhfat al-Ahwadzi), al-Mubarakfuri (pengarang Mir'at al-Mafatih), al-'Allamah Ahmad Syakir serta al-Albani dari kalangan ulama kontemporari.
Lihat juga kitab at-Tanqih lima Ja'a fi Shalat at-Tasbih, Jasim ad-Dausari, hlm. 64–70.
Pandangan yang mempertikaikan hadis (tambahan Abu Anas Madani)
Namun terdapat pandangan lain, iaitu para ulama yang mempertikaikan hadis ini. Di bawah ini antara kata-kata para imam huffaz hadis generasi awal (al-mutaqaddimin) tentang hadis solat sunat tasbih:
- Imam Ali bin al-Madini: "Ia adalah hadis mungkar." [al-'Ilal, Ali bin al-Madini]
- Imam al-'Uqaili: "Tiada hadis yang sabit tentang solat tasbih." [adh-Dhu'afa']
- Imam Ibn Khuzaimah meragui hadis ini dengan katanya: "Jika khabar ini sahih (in shahha al-khabar), kerana sesungguhnya dalam hati ini terdapat sesuatu (keraguan) tentang sanad ini." [Shahih Ibn Khuzaimah]
- Imam at-Tirmizi berkata: "Telah diriwayatkan daripada Nabi SAW lebih daripada satu hadis tentang solat tasbih, tetapi tidak banyak yang sahih daripadanya." [Sunan at-Tirmizi, selepas hadis no. 481]
Imam Ahmad: Ibn Qudamah menukilkan bahawa Imam Ahmad ditanya, adakah beliau melakukan solat tasbih? Beliau menjawab: "Tidak." Apabila ditanya kenapa, beliau menjawab: "Tiada satu pun dalam bab ini yang sahih," lalu beliau mengibaskan tangannya, tanda menganggapnya mungkar. [al-Mughni]
Lihat juga: al-Majmu', 3/474–475, cet. al-Maktabah at-Taufiqiyyah.
- Dalam fatwa Lajnah Da'imah Arab Saudi bernombor 776 dinyatakan bahawa hadis ini tidak sabit daripada Nabi SAW, bahkan ia hadis mungkar dan imam-imam besar tidak menganggap solat tasbih disunatkan. Kata Ibn 'Uthaimin: "Sesiapa yang memerhatikan usul ilmu hadis akan mendapati hadis ini maudhu'."
Komentar
Terdapat beberapa faedah (komentar) tentang hadis solat tasbih di atas:
Pertama: Meskipun khitab (sabda Nabi SAW) dalam hadis ini ditujukan kepada al-Abbas r.a., hukumnya berlaku umum bagi setiap Muslim, kerana pada asalnya khitab Rasulullah SAW bersifat umum, tidak khusus.
Kedua: Tentang sabda Baginda SAW dalam hadis di atas: "…Allah akan mengampunkan dosamu: yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tidak sengaja dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan…"
Jika ada yang berkata bahawa perbuatan tidak sengaja (الخطأ) tidak dianggap berdosa, berdasarkan firman Allah SWT:
﴿رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا﴾
"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau tersalah." [Surah al-Baqarah: 286]
Lalu bagaimana mungkin ia dikategorikan sebagai dosa?
Jawapannya: dalam konteks "tidak sengaja" (الخطأ) terkandung makna kekurangan atau ketidaksempurnaan, sekalipun ia tidak mengandungi dosa dan solat ini dapat menampungnya.
Ketiga: Di dalam kitab at-Tanqih lima Ja'a fi Shalat at-Tasbih disebutkan: "Ketahuilah, semoga Allah merahmatimu, bahawa seorang hamba tidak boleh bersandar kepada hadis-hadis yang menganjurkan amalan-amalan yang menjanjikan pengampunan dosa seperti ini, lalu membiarkan dirinya melakukan dosa dan mengira bahawa dia telah melakukan amalan yang akan menghapuskan kesemua dosanya. Ini benar-benar suatu kebodohan dan kejahilan. Apa yang membuatkan kamu yakin, wahai orang yang tertipu, bahawa Allah akan menerima amalanmu itu lalu mengampunkan dosa-dosamu? Padahal Allah SWT berfirman:
﴿إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ﴾
"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang-orang yang bertakwa." [Surah al-Ma'idah: 27]
Perhatikan dan camkanlah hal tersebut, serta ketahuilah bahawa pintu masuk syaitan ke dalam diri manusia itu cukup banyak. Berhati-hatilah, jangan sampai syaitan memasuki dirimu melalui pintu tersebut.
Allah SWT telah menyifatkan hamba-hamba-Nya yang beriman sebagai orang yang mengerjakan amal soleh serta sentiasa berusaha untuk taat kepada-Nya. Meskipun demikian, hati mereka masih gementar dan khuatir jika amal mereka tidak diterima sehingga mereka ditimpakan seksaan. Allah SWT berfirman:
﴿وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ﴾
"Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu) bahawa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka; mereka itulah orang-orang yang bersegera dalam kebaikan-kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahuluinya." [Surah al-Mu'minun: 60–61]
Tafsiran yang kami sampaikan terhadap ayat ini ialah pendapat majoriti ulama tafsir.
Di dalam kitab al-Jami' li Ahkam al-Quran (12/132), al-Qurtubi menyebutkan daripada al-Hasan al-Basri bahawa beliau berkata: "Kami pernah mengenali beberapa orang yang lebih takut kebaikan mereka ditolak berbanding ketakutan kamu terhadap azab atas perbuatan dosa kamu."
Ketahuilah bahawa dosa-dosa yang berkaitan dengan hak-hak orang lain tidak termasuk dalam hadis di atas. Untuk dosa-dosa yang berhubung dengan hak orang lain, wajib dikembalikan hak itu kepada pemiliknya dan bertaubat daripadanya dengan taubat nasuha (bersungguh-sungguh)." [at-Tanqih, hlm. 101–102]
Keempat: Tidak ada riwayat yang menjelaskan tentang surah-surah tertentu yang dibaca pada setiap rakaat solat tasbih, mahupun waktu pelaksanaannya.
Kelima: Zahir hadis di atas menunjukkan bahawa solat tasbih dikerjakan dengan satu salam, sama ada pada waktu malam mahupun siang, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qari dalam kitab al-Mirqat dan al-Mubarakfuri dalam kitab at-Tuhfah (1/349).
Keenam: Zahir hadis di atas juga menunjukkan bahawa zikir yang diucapkan sepuluh kali itu dibaca setelah zikir yang telah ditetapkan pada setiap bahagian solat. Ertinya, ketika rukuk, zikir solat tasbih ini dibaca sepuluh kali setelah selesai membaca zikir rukuk. Begitu pula ia dibaca sepuluh kali setelah ucapan Sami'allahu liman hamidah, Rabbana wa lakal-hamd ketika bangkit dari rukuk. Begitulah seterusnya pada setiap bahagian solat.
Ketujuh: Jika seseorang terlupa dalam solat ini lalu dia mengerjakan dua sujud sahwi, dia tidak perlu mengucapkan tasbih sebanyak sepuluh kali seperti yang dilakukan pada sujud-sujud lain dalam solat ini.
At-Tirmizi (2/350) meriwayatkan daripada Abdul Aziz bin Abi Rizmah, katanya: "Aku bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak: Jika seseorang terlupa dalam solat itu, adakah dia perlu bertasbih sepuluh kali dalam setiap sujud sahwi? Beliau menjawab: Tidak, tasbih dalam solat ini hanya tiga ratus kali." [Seluruh keterangan di atas, selain yang pertama, diambil daripada kitab at-Tanqih, Jasim ad-Dausari, hlm. 100–107. Tamat petikan daripada Bughyat al-Mutathawwi'.]
Bolehkah Solat Ini Dilakukan Secara Berjemaah?
Timbul persoalan: bolehkah solat ini dilakukan secara berjemaah sebagaimana amalan di sebahagian tempat?
Dalam kitab al-Majmu' (3/476): "Solat sunat tidak disunatkan berjemaah kecuali solat dua hari raya, dua gerhana, solat istisqa' (minta hujan) dan tarawih serta witir selepasnya. Adapun solat-solat sunat yang lain seperti sunat rawatib, duha dan sunat mutlak (tidak berkait dengan masa), tidak disunatkan berjemaah. Namun sekiranya dilakukan secara berjemaah (sekali-sekala, misalnya untuk mengajar), maka ia harus…"
Oleh itu, amalan yang menjadikan solat tasbih berjemaah sebagai agenda tetap mingguan atau bulanan patut ditukarkan kepada amalan individu, kerana tidak ada riwayat bahawa Nabi SAW dan para sahabat radhiallahu 'anhum melakukan solat-solat sunat tersebut secara berjemaah secara berterusan atau berulang-ulang.
Begitu juga, jangan dijadikan solat sunat ini agenda tetap pada setiap malam raya, pagi atau malam Jumaat dan sebagainya, kerana ia tidak mempunyai waktu yang ditetapkan oleh syarak. Menetapkan sesuatu yang tidak ditetapkan oleh syarak adalah satu kesalahan. Wallahu a'lam.
Akhukum, Abu Anas Madani. 28 Ramadan 1434H.
Rujukan
10 sumber-
Sunan Abi Dawud, no. 1297.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 1386.
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 481.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 286.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 27.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Mu'minun (23): 60.
Quran.com -
Ibn Qudamah, al-Mughni, bab solat tathawwu' (solat tasbih).
-
Ibn Khuzaimah, Shahih Ibn Khuzaimah, bab Shalat at-Tasbih.
-
Dr. Muhammad bin 'Umar Bazmul, Bughyat al-Mutathawwi' fi Shalat at-Tathawwu'.
-
An-Nawawi, al-Majmu', 3/476 (cet. al-Maktabah at-Taufiqiyyah).
