Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Puasa: Perkara yang Membatalkannya

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 September 2007 · 17 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: zaharuddin.net, 13 September 2007 (1 Ramadan 1428H), disiar semula 2 September 2008 dan dalam Majalah i, bil. 82, Ogos 2009.

Allah SWT telah memfardukan puasa Ramadan ke atas hamba-hamba-Nya. Allah juga mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain puasa fardu ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar yang menjadi idaman setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” [Muttafaq ‘alaih: al-Bukhari, no. 2840; Muslim, no. 1153]

Allah telah meletakkan garis panduan dalam melaksanakan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya dilanggar. Maka menjadi kewajipan setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini. Lihat juga Koleksi Risalah Ramadan & Syawal.

Ringkasan Kitab Mufattirat as-Siyam al-Mu‘asirah

Sebuah buku berjudul Mufattirat as-Siyam al-Mu‘asirah (Perkara-Perkara Semasa yang Membatalkan Puasa) ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi [Dar Ibn al-Jauzi, Arab Saudi, cetakan pertama, 1426H/2005M].

Beliau mengumpulkan dalam kitab ini perkara-perkara semasa yang berlaku pada zaman ini yang berkaitan dengan pembatalan puasa.

Perkara yang Membatalkan Puasa dengan Sepakat Ulama

Perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang disepakati (ittifaq) ulama berdasarkan nas al-Quran, hadis dan ijmak ialah empat perkara:

  1. Makan.
  2. Minum.
  3. Jimak (bersetubuh).

    Dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “…Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah bagimu dan makan minumlah hingga jelas bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga (datang) malam…” [al-Baqarah: 187]

  4. Haid dan nifas.

Dalilnya ialah hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA, sabda Rasulullah SAW: “Bukankah perempuan itu apabila haid, dia tidak bersolat dan tidak berpuasa?…” [al-Bukhari, no. 304; lihat juga Muslim, no. 79–80]

Ringkasan dan Kesimpulan Penulis Kitab

  1. Pendapat yang menyatakan al-jauf, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila dimasuki makanan, ialah ma‘idah (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain pada badan manusia.
  2. Ulama semasa berbeza pendapat tentang bakhkhakh ar-rabw (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) ialah tidak batal.
  3. Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang diserap terus dan tidak masuk ke dalam rongga, tidak membatalkan puasa.
  4. Alat yang dimasukkan ke dalam ma‘idah (perut) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa, kecuali jika alat itu disapu ubat atau minyak, maka ia boleh membatalkan puasa.
  5. Ulama semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) ialah tidak batal.
  6. Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah udara yang tidak mengandungi unsur lain.
  7. Begitu juga gas yang disedut melalui hidung; hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
  8. Bius setempat tidak membatalkan puasa. Bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa, tetapi jika pesakit tersedar ketika masih berbaki waktu puasa pada hari tersebut, puasanya tidak batal.
  9. Ubat titis ke dalam telinga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan al-jauf.
  10. Ubat titis mata, menurut majoriti ulama semasa, tidak membatalkan puasa.
  11. Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot, menurut majoriti ulama semasa, tidak membatalkan puasa.
  12. Memasukkan air dan bahan yang mengenyangkan seperti glukosa ke dalam urat, menurut majoriti ulama semasa, membatalkan puasa.
  13. Menyapu minyak, losyen dan sebagainya pada kulit tidak membatalkan puasa.
  14. Memasukkan alat seperti kamera ke dalam urat atau saluran jantung untuk mengesan penyakit tidak membatalkan puasa.
  15. Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit tidak membatalkan puasa, tetapi jika ia sampai ke ma‘idah (perut besar), ia boleh membatalkan puasa.
  16. Dialisis (mencuci darah) yang menggunakan cecair berzat yang mengenyangkan atau memberi tenaga boleh membatalkan puasa; sebaliknya jika sekadar membersihkan darah tanpa bahan tersebut, ia tidak membatalkan puasa.
  17. Menggunakan cecair atau sabun pencuci faraj wanita tidak membatalkan puasa.
  18. Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit buasir atau untuk menurunkan suhu badan tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai ke ma‘idah.
  19. Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui saluran zakar tidak membatalkan puasa.
  20. Menderma (mengambil) darah: terdapat khilaf yang besar dalam kalangan ulama, tetapi pendapat yang lebih kuat ialah tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
  21. Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.

Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau.

Para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas menilai pendapat manakah yang kuat berdasarkan dalil dan ta‘lil yang dikemukakan, wallahu a‘lam.

Di bawah ini saya bawakan makalah yang ditulis oleh sahabat saya, Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (UZAR), yang membincangkan beberapa perkara yang membatalkan puasa.

Ramadan: Batalkah Puasa Anda Jika…

Oleh: Zaharuddin Abd Rahman

Ulama terbilang dunia, Dr. Yusuf al-Qaradawi (w. 2022), pernah meluahkan rasa kurang setuju dengan tindakan sebahagian ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih cenderung mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar mempunyai dalil yang tepat daripada al-Quran dan hadis serta disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya ulama mazhab Hanafi dan mazhab-mazhab lain yang menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa, adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga ada yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan, sedangkan adakalanya isu itu tidak memerlukan perhatian yang begitu mendalam.

Masalah ini semakin bertambah apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyukarkan orang kebanyakan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang, kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat bercabang (furu‘) dan terlampau banyak. Orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan tentang isu batal atau tidak batal puasa ini. Lebih dikesali, perbincangan ini juga menyebabkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadan terabai. (Taisir al-Fiqh: Fiqh as-Siyam, hlm. 86–87)

Isu yang Lebih Wajar Diberi Fokus pada Bulan Ramadan

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam pada bulan Ramadan ialah:

1) Meraih takwa

Firman Allah memerintahkan kita berusaha meraih takwa dalam bulan ini (al-Baqarah: 183). Perbincangan tentang kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai sasaran ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan mengingati fungsi al-Quran

Firman Allah menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk, bukti-bukti yang jelas tentang petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dengan yang batil (al-Baqarah: 185). Justeru perbincangan tentang kemestian umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertakwa serta selamat di dunia dan akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran terhadap perkara yang pasti mengikis pahala Ramadan

Sabda-sabda Nabi SAW berkenaan perbuatan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadan, seperti bercakap kotor, nista dan carut serta perbuatan jahat dan keji pada bulan ini, perlu ditekankan kerana ia disepakati merosakkan pahala puasa seseorang walaupun tidak sampai membatalkan puasanya secara zahir.

4) Kaedah yang pasti menambah pahala dan reda Allah pada bulan Ramadan

Sabda-sabda Nabi SAW yang mengandungi janji dan tawaran Allah pada bulan ini juga perlu disebarkan kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke syurga Allah, sekali gus melemahkan fungsi syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa mengajak kepada maksiat.

Larangan yang Disepakati

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.

Justeru, larangan yang disepakati ketika berpuasa ialah:

  1. Menahan nafsu syahwat.
  2. Menanggung lapar dan dahaga.
  3. Menahan diri daripada bersetubuh dengan isteri pada siang hari.

Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas beribadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan dosa-dosa anggota yang lain kerana Allah. Ia disebut dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh banyak hadis.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal disepakati ulama membatalkan puasa.

Adapun perkara yang tidak disepakati, ia boleh dibincangkan, cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada dalam bulan Ramadan.

Hukum Ringkas bagi Soalan yang Kerap Ditanya

Sebagai panduan, berikut beberapa hukum ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:

1) Berbekam, mengambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah keluar dari hidung, tangan dan lain-lain

Hukumnya: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan ialah sesuatu yang masuk ke dalam tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut, bukan sesuatu yang keluar dari tubuh. (As-Siyam: Muhdathatuhu wa Hawadithuhu, Dr. Muhammad ‘Uqlah, hlm. 215)

Pandangan yang menyatakan berbekam membatalkan puasa berdalilkan hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah (“Aftara al-hajim wal-mahjum”) yang sanadnya sahih menurut Imam an-Nawawi. Namun hadis itu telah dimansuhkan (nasakh) oleh hadis Ibn ‘Abbas RA yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa (riwayat al-Bukhari, no. 1938), kerana hadis Ibn ‘Abbas ini berlaku ketika Haji Wada‘, terkemudian daripada hadis yang menyebut batal kerana berbekam. (Taisir al-Fiqh, al-Qaradawi, hlm. 90) Ini juga pandangan majoriti mazhab kecuali Hanbali. (Bidayah al-Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka lalu dikeluarkan semula tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala

Contohnya memasukkan alat tertentu ke dalam faraj wanita atau dubur ketika proses perubatan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alat itu dibiarkan tinggal di dalam faraj tadi, kerana ‘illah (faktor penyebab) batal puasa ialah masuknya sesuatu yang berjisim ke dalam perut. Dikecualikan juga lelaki atau wanita yang memasukkan jari ke dalam dubur atau kemaluannya dengan tujuan syahwat, maka ia membatalkan puasa. Tetapi jika tujuannya untuk istinjak atau membasuh, pendapat yang lebih kuat menurut para ulama ialah tidak batal. (As-Siyam, Dr. Muhammad ‘Uqlah, hlm. 211)

Ini juga dipersetujui oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqr yang mengatakan bahawa sesuatu yang masuk ke telinga dan hidung tetapi tidak sampai ke perut atau bahagian otak tidak membatalkan puasa. (Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wal-Ahkam)

Tidak dinafikan ada fatwa yang mengatakan batal. Justeru, nasihat saya, lebih baik menjauhinya jika tiada keperluan yang agak mendesak, kerana keluar daripada khilaf itu lebih baik.

3) Pil menangguhkan haid untuk berpuasa penuh

Hukumnya: Harus dengan syarat tidak memudaratkan kitaran haidnya dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas (inhaler) untuk pesakit lelah

Hukumnya: Pada bulan Julai 2007, persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa (Majma‘ al-Fiqh al-Islami ad-Dauli) di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia isu yang amat kerap dibincangkan oleh ulama seluruh dunia dan mereka berbeza pandangan: sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lagi menolak.

Menurut kajian terperinci dengan bantuan para doktor, gas semburan itu mempunyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika disembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90% daripadanya akan terus masuk ke tekak, melekat di esofagus dan terus ke perut. Ini bermakna jisim-jisim gas itu masuk ke dalam perut setiap kali semburan, maka sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang pada Julai 2007, tetapi kemudiannya keputusan itu ditarik balik untuk dibincangkan dengan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada maklumat yang jelas daripada para doktor untuk memberikan fatwa yang tepat, kerana Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dan Syeikh Dr. Muhammad ‘Uqlah menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.

Manakala ubat lelah jenis hidu melalui hidung membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr. Muhammad ‘Uqlah, hlm. 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari bahawa walaupun serbuk daripada inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, ia adalah keperluan mendesak bagi pesakit asma, tidak dilakukan secara sengaja-sengaja dan bukan kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih ialah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan maklumat dan data dalam kalangan pakar perubatan tentang ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan. Justeru, hukum puasa kekal pada sifat asalnya, iaitu sah, selagi belum ada bukti nyata dan yakin bahawa ia terbatal, sebagaimana kaedah fiqh:

والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه

Ertinya: “Hukum asal ialah kekalnya sesuatu pada keadaan sebelumnya.”

Justeru, sekalipun ada jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan, tidak dilakukan secara suka-suka dan tergolong dalam ubat yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut itu tergolong dalam kategori yang DIMAAFKAN, sebagaimana sedikit air yang tertinggal di atas lidah dan di dalam hidung semasa berkumur dan berwuduk. Wallahu a‘lam.

[Nota penyunting: Majma‘ al-Fiqh al-Islami ad-Dauli dalam ketetapan no. 93 (1/10), 1997, menyenaraikan inhaler asma antara isu yang memerlukan kajian lanjut dan isu ini kemudiannya dibincangkan semula dalam ketetapan no. 219 (3/23).]

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan atau kaki, selain rongga terbuka yang asal

Hukumnya: Terdapat dua jenis: sama ada untuk berubat atau untuk menguatkan badan. Jika ia digunakan untuk menurunkan demam, bius, ubat tahan sakit dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa. (al-Qaradawi, hlm. 100; ‘Uqlah, hlm. 226) Demikian juga hukum suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, seperti cecair glukosa dan seumpamanya untuk tujuan perubatan, para ulama sekali lagi berbeza pandangan. Pandangan majoriti (menurut penulis) ialah tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka, tidak mengenyangkan dan tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia merupakan fatwa Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Muhammad Bakhit, Syeikh ‘Abd ar-Rahman Taj, Syeikh Ahmad asy-Syurbasyi dan keputusan Lajnah Fatwa al-Azhar tahun 1948. (Taisir al-Fiqh: Fiqh as-Siyam, hlm. 100; Fatawa Syar‘iyyah, hlm. 268; Yas’alunaka, 5/53 dan lain-lain)

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutamanya jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri daripada ujian keletihan, lapar dan dahaga ketika berpuasa.

[Nota penyunting: terdapat khilaf tentang suntikan berzat. Majma‘ al-Fiqh al-Islami ad-Dauli, ketetapan no. 93 (1/10), mengecualikan cecair dan suntikan berzat daripada suntikan yang tidak membatalkan puasa, iaitu ia membatalkan puasa. Ini selari dengan kesimpulan Dr. Ahmad al-Khalil (no. 12 di atas) bahawa majoriti ulama semasa menganggapnya membatalkan puasa.]

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa berwuduk

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan ketika berkumur, ulama Syafie mengatakannya batal (jika air termasuk ke dalam rongga). Justeru, menjauhi perbuatan berlebihan ketika berpuasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadis: “Sempurnakanlah wuduk, celah-celahilah jari-jemari dan bersungguh-sungguhlah ketika memasukkan air ke hidung kecuali ketika kamu berpuasa.” (Riwayat Abu Daud, no. 142; at-Tirmizi, no. 788; al-Hakim. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim, dipersetujui oleh az-Zahabi dan al-Albani)

7) Melakukan maksiat seperti tidak bersolat

Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu ditanggung secara berasingan mengikut jenisnya, malah mungkin bertambah besar kerana mencemarkan kehormatan Ramadan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga merosakkan tujuan keseluruhan berpuasa, iaitu melahirkan insan bertakwa yang jauh daripada maksiat. (al-Qaradawi, hlm. 104) Jibril AS berdoa dan diaminkan oleh Nabi SAW: “Sesiapa yang mendapati bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya lalu dia masuk neraka, maka Allah menjauhkannya (daripada rahmat-Nya).” (Riwayat Ibn Khuzaimah, no. 1888; Ibn Hibban, no. 409)

8) Mencium suami atau isteri ketika berpuasa

Hukumnya: Mencium isteri atau suami ketika berpuasa tidak membatalkan puasa menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil, antaranya:

كان رسول الله ﷺ يقبّل وهو صائم، ويباشر وهو صائم، ولكنه كان أملككم لإربه

Ertinya: “Nabi SAW mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan baginda berpuasa, tetapi baginda orang yang paling mampu menguasai keinginannya dalam kalangan kamu.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1927; Muslim, no. 1106; Abu Daud, no. 2382)

Diriwayatkan juga: “Kami bersama Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang pemuda lalu bertanya: ‘Bolehkah aku mencium isteriku ketika berpuasa?’ Jawab Nabi: ‘Jangan.’ Kemudian datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama; jawab Nabi: ‘Ya (boleh).’ Kami saling berpandangan, lalu Nabi bersabda: ‘Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan. Sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsunya).’” (Riwayat Ahmad dan at-Tabarani; dalam sanadnya terdapat Ibn Lahi‘ah yang dipertikaikan, maka hadis ini dinilai daif.)

Al-Qaradawi menambah: “Berapa ramai orang tua zaman sekarang yang tidak mampu mengawal nafsunya.” (Fiqh as-Siyam, hlm. 106)

Kesimpulannya, ciuman tidak membatalkan puasa, tetapi tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti membangkitkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan pada siang hari Ramadan.

9) Wanita yang suci daripada haid

Wanita yang suci daripada haid pada waktu malam dan sempat berniat pada malam itu sebelum terbit fajar, puasanya sah walaupun belum mandi hadas. Jika dia tidak sempat berniat sebelum terbit fajar, contohnya belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu kemudian haidnya kering pada jam 8 pagi, dia tidak boleh berpuasa (wajib) pada hari itu kerana niat puasa wajib tidak boleh dibuat selepas terbit fajar. Demikian ditegaskan oleh majoriti ulama. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/201)

Dalilnya ialah:

من لم يُجْمِعِ الصِّيامَ قبل الفجر فلا صيامَ له

Ertinya: “Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.” (Riwayat Abu Daud, no. 2454; at-Tirmizi, no. 730; an-Nasa’i, no. 2331; disahihkan oleh al-Albani)

10) Keluar air mazi

Air mazi ialah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan tentang keluarnya air mazi semasa berpuasa, sama ada ia membatalkan puasa atau tidak.

Zahir mazhab Hanbali menyatakan ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, al-Auza‘i, al-Hasan al-Basri, asy-Sya‘bi dan Imam Ahmad dalam satu riwayat berfatwa bahawa keluar air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung kepada pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa bersetubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluar mani dengan syahwat membatalkan puasa dan wajib qada; ini disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluar air mani hanya kerana berfikir lucah dan memandang dengan syahwat, ia tidak membatalkan puasa menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie dan Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga sama dengan keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi pada siang hari Ramadan atau kerana sakit tertentu disepakati ulama tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak

Hukumnya: Menelan air liur tidak membatalkan puasa kerana terlalu sukar untuk mengelakkannya. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/159) Manakala kahak, selagi belum sampai ke bahagian mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada di had tekak, tidak membatalkan puasa jika ditelan kerana ia belum keluar ke anggota zahir.

Kahak yang sudah sampai ke mulut inilah yang menjadi khilaf sama ada membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih: kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa, manakala yang berada di pangkal lidah dan tekak tidak membatalkan puasa jika ditelan.

13) Mandi

Tiada masalah bagi orang yang berpuasa untuk mandi; ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya ialah hadis yang menunjukkan Nabi SAW pernah berada dalam keadaan junub ketika masuk waktu Subuh, lalu baginda mandi dan berpuasa (riwayat al-Bukhari, no. 1926; Muslim, no. 1109). Ibn ‘Abbas RA juga disebut pernah mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik RA pula mempunyai sebuah kolam batu berisi air yang beliau masuk berendam ketika berpuasa. (Rujuk Fath al-Bari, Kitab as-Saum) Cuma puasa boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum, sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh remaja dan lainnya; maka ia batal kerana minum, bukan kerana mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktunya

Perbuatan ini membatalkan puasa menurut mazhab Hanbali dan satu pendapat dalam mazhab Syafie. Cuma jika seseorang segera kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasanya tidak terbatal.

Justeru, setiap orang yang berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu berdasarkan niat, seperti solat yang terbatal jika diniatkan untuk membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175) Sekian.

[Nota penyunting: mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat niat berbuka semata-mata tanpa melakukan perkara yang membatalkan tidak membatalkan puasa, manakala dalam mazhab Syafie terdapat dua pendapat. Ini juga pilihan Dar al-Ifta’ Mesir (fatwa no. 20070). Penulis memilih pendapat yang membatalkan.]

Soal Jawab

Soalan: Jika suami berbuka puasa dahulu sebelum bersetubuh dengan isterinya, adakah dia tidak perlu membayar kafarah dan memadai dengan menggantikan puasa sahaja?

UZAR: Memang ada pandangan yang menyebut tiada kafarah jika sudah membatalkan puasa sebelum bersetubuh, namun saya bersama majoriti ulama yang tetap berpandangan wajib kafarah, kerana membatalkan puasa untuk bersetubuh dan mengelak kafarah itu adalah helah yang keji dan cuba menipu Allah SWT.

Zaharuddin Abd Rahman, 13 September 2007 (1 Ramadan 1428H). Ulang siar: 2 September 2008; Majalah i, bil. 82, Ogos 2009.

Bacaan berkaitan

Rujukan

13 sumber
  1. Sahih al-Bukhari, no. 2840; Sahih Muslim, no. 1153 (riwayat Abu Sa‘id al-Khudri RA).

    Sunnah.com
  2. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 187.

    Quran.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 304 (riwayat Abu Sa‘id al-Khudri RA).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 1938 (riwayat Ibn ‘Abbas RA).

    Sunnah.com
  5. Sunan Abi Daud, no. 2367 dan 2369; Sunan Ibn Majah, no. 1680–1681.

    Sunnah.com
  6. Sunan Abi Daud, no. 142; Jami‘ at-Tirmizi, no. 788 (riwayat Laqit bin Sabirah RA).

    Sunnah.com
  7. Sahih Ibn Khuzaimah, no. 1888; Sahih Ibn Hibban, no. 409.

    ad-Durar as-Saniyyah
  8. Sahih al-Bukhari, no. 1927; Sahih Muslim, no. 1106; Sunan Abi Daud, no. 2382 (riwayat Aisyah RA).

    Sunnah.com
  9. Musnad Ahmad, no. 6739 (riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr RA) — sanad daif kerana Ibn Lahi‘ah.

    ad-Durar as-Saniyyah
  10. Sunan Abi Daud, no. 2454; Jami‘ at-Tirmizi, no. 730; Sunan an-Nasa’i, no. 2331 (riwayat Hafsah RA).

    Sunnah.com
  11. Sahih al-Bukhari, no. 1926; Sahih Muslim, no. 1109.

    Sunnah.com
  12. Majma‘ al-Fiqh al-Islami ad-Dauli, ketetapan no. 93 (1/10), 1997: Mufattirat as-Siyam fi Majal at-Tadawi.

    iifa-aifi.org
  13. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, fatwa no. 20070.

    dar-alifta.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026