Pendahuluan
Ibadah puasa ialah amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardu Ramadan, umat Islam juga boleh melakukan puasa sunat di luar bulan Ramadan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan tahunan (hari Arafah, 'Asyura' dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa ialah ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah subhanahu wa ta'ala berfirman (dalam hadis qudsi):
«كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ»
Maksudnya: "Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa; sesungguhnya ia untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya." (Rasulullah menjelaskan): "Demi (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi." (Sahih Muslim, no. 1151)
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Abu Sa'id al-Khudri r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا»
Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh perjalanan 70 tahun." (Sahih al-Bukhari, no. 2840; Sahih Muslim, no. 1153)
Antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Artikel ini membincangkan puasa sunat tersebut dan beberapa persoalan mengenainya.
Dalil puasa sunat enam Syawal
Abu Ayyub al-Ansari r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ»
Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun." (Sahih Muslim, no. 1164)
Dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan dalil bahawa setiap amalan kebaikan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa sebulan Ramadan diganjari seperti sepuluh bulan, manakala puasa enam hari Syawal diganjari seperti 60 hari (dua bulan). Jumlahnya genap dua belas bulan, iaitu setahun. Ini dinyatakan sendiri oleh Nabi SAW dalam hadis Thauban r.a.: "Puasa bulan Ramadan (menyamai) sepuluh bulan dan puasa enam hari (menyamai) dua bulan; maka itulah puasa setahun." (Riwayat an-Nasa'i dalam as-Sunan al-Kubra, Ahmad dan Ibn Khuzaimah; sahih. Lafaz yang semakna dalam Sunan Ibn Majah, no. 1715.) Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah puasa sunat enam Syawal
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa sebulan penuh pada bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan berehat seketika pada waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula seolah-olah memberikan kejutan kepadanya dengan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh itu, puasa enam memberikan ruang kepada sistem pencernaan untuk berehat dan kembali bertugas secara beransur-ansur demi kebaikan jasmani manusia.
Selain itu, sebagai hamba Allah SWT, alangkah baiknya jika amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan diteruskan juga pada bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini menunjukkan bahawa kita tidak berpuasa semata-mata kerana ia satu kewajipan, tetapi kerana kita benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhan. Kerana itulah kata ulama: "Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupakan."
Hukum puasa sunat enam Syawal
Hukumnya sunat. Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: "Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam asy-Syafi'i, Imam Ahmad, Dawud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal). Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggapnya makruh kerana bimbang orang ramai menyangka ia sebahagian daripada puasa Ramadan (yang wajib), padahal ia bukan daripada puasa Ramadan." (Syarh Sahih Muslim, 8/56)
Bilakah puasa sunat enam Syawal dimulakan?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal, kerana 1 Syawal ialah Hari Raya Aidilfitri dan kita dilarang berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ
Maksudnya: "Bahawa Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari: Hari (Raya) Adha dan Hari (Raya) Fitri." (Sahih Muslim, no. 1138; hadis yang semakna daripada Abu Sa'id al-Khudri dalam Sahih al-Bukhari, no. 1991)
Bagaimana melaksanakan puasa sunat enam Syawal?
Syarat dan adab puasa sunat enam Syawal sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan.
Persoalan-persoalan
Berikut beberapa persoalan yang dibincangkan oleh para ulama.
Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau terputus?
Pandangan yang lebih tepat ialah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan cukup enam hari sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya. Maka puasa enam boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal, asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan selepas berakhirnya bulan Syawal.
Namun lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT:
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imran, ayat 133)
Melaksanakan puasa sunat enam Syawal sebelum mengqada puasa Ramadan
Para ulama membincangkan sama ada dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang masih mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqada. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.
Pendapat pertama: boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah menangguhkan qada puasa Ramadannya hingga ke bulan Syaaban berikutnya. Aisyah r.a. berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنَ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: "Aku mempunyai hutang puasa bulan Ramadan dan aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban." (Kata Yahya: kerana sibuk melayani Nabi SAW.) (Sahih al-Bukhari, no. 1950; Sahih Muslim, no. 1146. Penjelasan "kerana sibuk melayani Nabi SAW" ialah kata-kata salah seorang perawi hadis, Yahya bin Sa'id.)
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah r.a., tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bolehnya berpuasa sunat enam Syawal walaupun seseorang masih mempunyai hutang puasa Ramadan.
Pendapat kedua: tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri sebagaimana dikemukakan di awal tulisan ini: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun."
Rasulullah SAW mensyaratkan "berpuasa Ramadan" terlebih dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal". Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang menggenapkan puasa Ramadannya. Jika ada puasa Ramadan yang ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dahulu, kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Jika diperhatikan dengan teliti, pendapat kedua lebih rajih (kuat) kerana ia lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat. Ini disokong oleh ayat 133 Surah Ali 'Imran tadi yang menganjurkan kita menyegerakan amal kebajikan; sudah tentu amalan wajib lebih perlu disegerakan daripada amalan sunat.
Namun, sekiranya seseorang tidak berkesempatan (kerana keuzuran) untuk mengqada dahulu kemudian berpuasa enam dan dia yakin akan sempat mengqadanya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat pertama boleh diterima berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah r.a.
Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah, mazhab Malik, Abu Hanifah, asy-Syafi'i, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf ialah: "Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti haid dan musafir wajib secara bertangguh ('ala at-tarakhi) dan tidak disyaratkan menyegerakannya pada awal kesempatan." (Syarh Sahih Muslim, 8/22)
قال النووي في شرح مسلم: «وَمَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَالشَّافِعِيِّ وَأَحْمَدَ وَجَمَاهِيرِ السَّلَفِ وَالْخَلَفِ: أَنَّ قَضَاءَ رَمَضَانَ فِي حَقِّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِبُ عَلَى التَّرَاخِي، وَلَا يُشْتَرَطُ الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّلِ الْإِمْكَانِ»
Menurut al-Khatib asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, disunatkan dia mengqadanya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang mempunyai qada Ramadan melakukan puasa sunat." (Mughni al-Muhtaj, 2/181, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)
Menggabungkan puasa qada dan puasa enam
Antara persoalan yang sering timbul tentang puasa enam ialah: adakah harus menggabungkan dua puasa, iaitu puasa qada dan puasa enam hari Syawal dan adakah seseorang diganjari dengan kedua-dua pahala itu melalui satu puasa?
Persoalan ini diperselisihkan oleh ulama. Sebahagian mereka berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu atau dengan puasa sunat yang lain; jika dilakukan, puasanya tidak sah, sama ada bagi yang fardu mahupun yang sunat.
Sebahagian ulama Syafi'iyyah pula berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap diperoleh apabila seseorang berpuasa qada (pada bulan Syawal) walaupun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahalanya kurang berbanding orang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfah at-Tullab, 1/428, cetakan Dar al-Ma'rifah; Fatawa al-Azhar, 9/261, al-Maktabah asy-Syamilah)
Al-Khatib asy-Syarbini berkata: "Jika seseorang berpuasa qada, nazar atau puasa sunat yang lain pada bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Aku tidak mendapati ulama yang menyebut tentangnya dan yang zahirnya dia mendapat pahala tersebut. Namun dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut dalam hadis tentang kelebihan puasa enam itu, khususnya mereka yang tertinggal puasa Ramadan kemudian berpuasa pada bulan Syawal, kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa enam)." (Mughni al-Muhtaj, 2/184, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)
Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa "dua dalam satu" ini tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan as-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada dalam bulan Syawal, sama seperti mendapat pahala solat sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus melakukan solat fardu apabila masuk ke masjid turut mendapat pahala tahiyyatul masjid). Wallahu a'lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadah puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan. Sebagai hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dan yang sunat tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai hamba yang mencari keredaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadah dan melakukan ibadah dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama yang mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu atau dengan puasa sunat yang lain.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW.
Sebagaimana yang diketahui, amalan sunat menjadi penampal kepada kekurangan dalam amalan fardu. Puasa enam hari pada bulan Syawal pula sabit daripada sunnah Rasulullah SAW. Sepatutnya kita merebut peluang untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu sama ada hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya pada masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah SWT memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya, sebagaimana sabda Nabi SAW:
«إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا»
Maksudnya: "Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir (sehingga tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya), dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya ketika bermukim dan sihat." (Sahih al-Bukhari, no. 2996)
Semoga kita semua diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredai-Nya, dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari pada bulan Syawal dengan sempurna dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Amin.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 4 Syawal 1429H (4 Oktober 2008).
Bacaan berkaitan
Rujukan
9 sumber-
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1151 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad, no. 2840; Sahih Muslim, no. 1153 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1164 (riwayat Abu Ayyub al-Ansari r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam, no. 1715 (riwayat Thauban r.a.); lafaz 'Ramadan menyamai sepuluh bulan, enam hari dua bulan' dalam an-Nasa'i, as-Sunan al-Kubra, Ahmad dan Ibn Khuzaimah.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1138 (riwayat Abu Hurairah r.a.); Sahih al-Bukhari, no. 1991 (riwayat Abu Sa'id r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 133.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab as-Saum, no. 1950; Sahih Muslim, no. 1146 (riwayat Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad, no. 2996 (riwayat Abu Musa al-Asy'ari r.a.).
Sunnah.com -
An-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/56 dan 8/22.
Maktabah Syamilah
