Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Maryam · Nota 4/13

Surah Maryam: Ayat 16-21

Kenali Keluarga Ali-‘Imran, Maryam Didatangi Malaikat, Minta Perlindungan & Menerima Berita akan Dapat Anak.

Muqaddimah

  1. Hari ini kita akan masuk ke dalam kisah tentang Maryam ibu Nabi Isa a. dan tentang Ali-‘Imran atau keluarga Imran ini.
  2. Nama Imran ini ada disebut sebanyak 3 kali dalam al-Quran.
    إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ
    Maksudnya: {Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).} (Ali-‘Imran 3:33).
  3. Siapakah mereka ini? Siapakah Ali-‘Imran yang disebut dalam Quran ini? Sebenarnya terdapat dua keluarga Imran yang berbeza dalam al-Quran:
    1. Keluarga Imran yang pertama adalah keluarga Nabi Musa yang hidup pada zaman Firaun di Mesir. Imran ini bapa kepada Nabi Musa dan Harun AS.
      Mereka terdiri daripada 5 orang yang diketahui dan disebut dalam al-Quran, iaitu ibu & bapa (Imran), seorang kakak, Musa dan Harun AS, dua orang rasul dan nabi.
    2. Manakala keluarga Imran yang kedua ini hidup di Palestin. Jaraknya beberapa kurun yang jauh jaraknya. Dia adalah bapa Maryam, ibu Nabi Isa AS. Bilangan mereka yang diketahui sebagaimana yang disebut dalam Quran juga adalah 5 orang, iaitu: ibu bapa (Imran), Maryam, kakaknya (isteri Nabi Zakaria dan ibu kepada Yahya) seorang abang yang bernama Harun.
      Keluarga Imran inilah yang diambil nama sempena surah ke-3 dalam al-Quran iaitu Surah Ali-‘Imran.
      Kisah keturunan mereka juga terhenti setakat dua orang cucunya yang menjadi Rasul, iaitu Isa dan Yahya yang keduanya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak.
      Kita akan lihat kisah bagaimana Maryam diwahyukan akan mendapat Isa AS.

Ayat 16 {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB AL-QURAN INI PERIHAL MARYAM, KETIKA DIA MEMENCILKAN DIRI DARI KELUARGANYA DI SEBUAH TEMPAT SEBELAH TIMUR.} (MARYAM 19:16)

  1. Kisah ajaib Maryam, yang menjadi abid, penghuni masjid akibat nazar ibu bapanya yang mahu meletakkan anak mereka sebagai khadam masjid jika dapat anak. Jadi walaupun dapat anak perempuan terpaksa letak juga kerana sudah bernazar dan tidak tentukan jenis anak yang ingin diletak. Ujian Allah SWT.
  2. Dia dijaga oleh Nabi Zakaria, abang iparnya yang juga salah seorang ahli ibadat di situ.
  3. Sepanjang masa menjaga Maryam, Nabi Zakaria melihat banyak keajaiban dan kelebihan yang diberikan kepada Maryam. Sentiasa ada makanan dan buah-buahan yang di luar musim.
  4. Apabila ditanya, Maryam menjawab itu semua adalah rezeki dari Allah SWT. Ini yang membuatkan Zakaria berani berdoa meminta dikurniakan anak walaupun dia sudah tua.
  1. Persoalan tempat dia; {…memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.}
    Ulama’ kata kemungkinan ia adalah:
    1. Kawasan khasnya di masjid itu sebagai tempat untuk dia beribadat.
    2. Ada kata ia adalah tempat dia duduk apabila datang haidh, yakni keluar dari masjid.

Ayat 17 {KEMUDIAN MARYAM MEMBUAT DINDING UNTUK MELINDUNGI DIRINYA DARI MEREKA MAKA KAMI HANTARKAN KEPADANYA: ROH DARI KAMI LALU IA MENYAMAR DIRI KEPADANYA SEBAGAI SEORANG LELAKI YANG SEMPURNA BENTUK KEJADIANNYA.} (MARYAM 19:17)

  1. Seperti di atas tadi, Kawasan khas baginya di masjid itu sebagai tempat untuk dia beribadat. Sebagai perempuan ia pastilah terpencil tidak bercampur dengan orang lain.
  2. Kemudian Allah SWT hantar malaikat Jibril kepadanya dengan berupa sebagai seorang lelaki yang sempurna sifatnya.

Ayat 18 {MARYAM BERKATA: SESUNGGUHNYA AKU BERLINDUNG KEPADA (ALLAH) AR-RAHMAN DARIPADA (GANGGUAN) MU KALAULAH ENGKAU SEORANG YANG BERTAQWA.} (MARYAM 19:18)

  1. Maryam tidak panik, sebagai seorang perempuan yang mantap iman terus meminta perlindungan daripada Allah SWT agar menjaganya daripada apa-apa gangguan.
  2. Serta memberi peringatan dan tazkirah kepada tetamunya itu supaya tidak mengganggunya.

Ayat 19 {IA BERKATA: “SESUNGGUHNYA AKU PESURUH TUHANMU UNTUK MENYEBABKANMU DIKURNIAKAN SEORANG ANAK YANG SUCI”.} (MARYAM 19:19)

  1. Malaikat itu juga beradab dan tidak mahu Maryam terus berada dalam ketakutan dan cemas, terus memperkenalkan dirinya.
  2. Jangan takut, bahawa dia adalah utusan dari Allah SWT, datang untuk memberitahu khabar bahawa Maryam akan dikurniakan seorang anak yang suci.
  3. Caranya hanya dengan meniup roh tanpa perlu menyentuhnya.

Ayat 20 {MARYAM BERTANYA (DENGAN CEMAS): BAGAIMANAKAH AKU AKAN BEROLEH SEORANG ANAK LELAKI, PADAHAL AKU TIDAK PERNAH DISENTUH OLEH SEORANG LELAKI PUN DAN AKU PULA BUKAN PEREMPUAN JAHAT?”} (MARYAM 19:20)

  1. Maryam sangat terkejut mendengarnya. Bagaimana dia akan mendapat seorang anak lelaki sedangkan dia tidak mempunyai suami dan dia bukan seorang perempuan jahat, yakni tidak pernah disentuh oleh lelaki.
  2. Maryam bukan tidak mahu menerima takdir Allah itu, cuma terkejut dan hairan, seperti kisah Nabi Zakaria sebelum ini, bertanya kerana cuba memahami bagaimana hal yang ajaib ini akan berlaku.

Ayat 21 {IA MENJAWAB: “DEMIKIANLAH KEADAANNYA TAK USAHLAH DIHAIRANKAN; TUHANMU BERFIRMAN: HAL ITU MUDAH BAGIKU; DAN KAMI HENDAK MENJADIKAN PEMBERIAN ANAK ITU SEBAGAI SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN KAMI) UNTUK UMAT MANUSIA DAN SEBAGAI SATU RAHMAT DARI KAMI; DAN HAL ITU ADALAH SATU PERKARA YANG TELAH DITETAPKAN BERLAKUNYA.} (MARYAM 19:21)

  1. Allah SWT berfirman bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mudah baginya. Jadi jangan pelik dan hairan. Pemberian anak itu adalah sebagai satu tanda.
  2. Yakni kejadian Nabi isa AS tanpa bapa itu untuk menunjukkan:
    1. Suatu bukti tanda kekuasaan Allah SWT.
    2. Ia juga sebagai satu rahmat dari Allah SWT yang melantiknya sebagai Nabi dan rasul yang menyeru ke arah kebaikan.
    3. Ia adalah satu perkara yang telah ditetapkan untuk berlaku. Allah telah tetapkan untuk Maryam melahirkan Isa tanpa seorang bapa.

Beberapa Faedah Ringkas

  1. Bagaimana dibawa dulu kisah Nabi Zakaria yang sudah pelik, dapat anak di usia lanjut, kemudiannya dibawa pula kisah Maryam yang lebih pelik dan berat, dapat anak tanpa seorang bapa. Jadi penerimaan manusia sudah agak terbuka mindanya.
    Begitu juga jika mahu mengajar dan melatih anak-anak, kena berperingkat dan mula yang ringan dulu.

Wallahu a’lam.

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas