Pendahuluan
Kitab “البدع المنكرة”, iaitu Bid‘ah yang Mungkar, ialah sebuah buku yang ditulis oleh penulis yang sangat masyhur, Prof. Dr. Wahbah Mustafa az-Zuhaili. Kitabnya “الفقه الإسلامي وأدلته” (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh) menjadi rujukan para fuqaha’ dan pelajar di seluruh dunia. Beliau merupakan Ketua Jabatan Fiqh Islam dan Mazhab-mazhabnya di Universiti Damsyik, Syria dan Tokoh Maal Hijrah Malaysia 1430H/2008M. Beliau menziarahi Malaysia pada 14 Mei 2011 dan menyampaikan syarahan tentang qazaf dan sumpah. (Syeikh Wahbah az-Zuhaili wafat pada 8 Ogos 2015, rahimahullah.)
Buku ini ialah cetakan pertama tahun 1429H/1999M, terbitan Dar al-Maktabi, Damsyik, Syria, setebal 72 halaman.
Saya nukilkan beberapa petikan daripada muqaddimah kitab yang ditulis oleh Syeikh untuk dikongsi bersama, sebagai satu perbincangan tentang bid‘ah dari sudut pandangan seorang tokoh dari Syria yang dikira beraliran sederhana, khususnya ketika pertembungan aliran pemikiran dalam masyarakat agak ketara dan isu ini pula sentiasa dibincangkan oleh sebahagian ikhwanina (saudara-saudara kita) para pendakwah. Semoga catatan ini ada manfaatnya untuk membuka ruang perbincangan bagi semua pihak, insya-Allah.
Ulasan Buku
Kata Syeikh hafizahullahu Ta‘ala:
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله المنشئ، والصلاة والسلام على رسول الله المصلح، وعلى آله وصحبه هداة الدين، وأتباع السنة وأعلام الملة، ومن تبعهم بإحسان، وبعد:
Ini adalah satu tulisan yang membincangkan bid‘ah yang mungkar, bertujuan menolak perkara-perkara baharu yang dimasukkan ke dalam Sunnah Nabi SAW yang bertentangan dengan usul akidah, ibadat dan muamalat yang dituntut oleh syarak; juga untuk mengekalkan amalan yang baik dan elok dalam merealisasikan maqasid syariah dalam segenap sudutnya dan memberi kebaikan kepada ummah.
Bukan semua perkara baharu yang tidak ada pada zaman Nabi SAW atau Khulafa’ ar-Rasyidin merupakan rekaan atau bid‘ah yang dicela. Mungkin seorang Muslim melakukan satu amalan yang bertepatan dengan usul syarak, berdasarkan ayat dan pimpinan Nabi SAW secara isyarat yang difahami tetapi tidak sarih (jelas). Maka perkara tersebut tidak boleh disifatkan sebagai bid‘ah yang mungkar, sesat atau dilaknat.
Apabila orang yang tidak luas pengetahuannya atau orang yang jahil dalam bidang agama bertindak mengingkari amalan seorang Islam lain, sedangkan hukum itu dianggap hukum yang diperselisihkan dalam kalangan ulama (iaitu tidak disepakati kemungkarannya), maka perbuatan itu adalah perbuatan fudhuli (di luar bidang tugasnya). Ia juga akan menjauhkan manusia dan menimbulkan perseteruan dan permusuhan dalam kalangan umat.
Kepincangan ini jelas banyak berlaku di negara bukan Islam, apabila ada rakyatnya yang baru memeluk Islam dan masih cetek pengetahuannya dalam hukum-hakam, tetapi telah bertindak menjatuhkan hukum: “Ini sesuatu yang syirik, bid‘ah, mungkar, sesat dan sebagainya…”, ungkapan-ungkapan yang boleh meliarkan dan menjauhkan orang daripada Islam, sedangkan perkara yang dibangkitkan itu bukanlah perkara usul dalam agama dan masih boleh dibincangkan lagi.
Perbuatan ini telah menimbulkan masalah dalam kalangan umat Islam yang masih baharu di sana, sehingga ada antara mereka yang meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal mereka. Ini satu tindakan yang amat buruk kesannya dan amat merugikan!
Dalam mengingkari perkara bid‘ah, wajib kita menggunakan pendekatan hikmah dan mau‘izah hasanah. Gunakanlah gaya bahasa yang lunak dan lembut, bukan yang keras dan menakutkan orang. Tumpukan kepada perkara asas dalam akidah dan ibadat, serta berlapang dada dalam masalah khilaf yang lain.
Menjaga kesatuan umat Islam (wahdah al-Muslimin) merupakan satu objektif syariat. Sebaliknya, buruk sangka terhadap orang lain dan cepat mengeluarkan tuduhan dan tohmahan (seperti kafir, sesat, zindik dan seumpamanya) terhadap orang lain merupakan satu kerugian dan kesesatan. Husnuz-zan itu sebahagian daripada iman, manakala su’uz-zan itu bukan daripada iman.
Bukan semua ketaatan atau ibadat yang tidak disyariatkan secara sarih itu perkara bid‘ah. Bahkan ia dibenarkan jika bertepatan dengan roh syarak, seperti doa jama‘i atau zikir secara kuat dengan tujuan mengajar dan membimbing orang ramai… (yang tidak dijadikan amalan tetap)…
Menjadi tanggungjawab para pendakwah mengambil berat perkara yang asas (jauhar) dan mengingkari perkara yang haram secara qat‘i.
Pendakwah juga hendaklah menumpukan tugas melarang manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran secara terang, serta menumpukan usaha untuk menyatukan saf umat Islam dan menghimpunkan tenaga yang ada untuk berhadapan dengan musuh Islam yang hakiki. Semuanya demi menjaga kesucian agama dan kemurnian syariat, menjauhkan pengaruh asing yang merosakkan akidah umat Islam serta menyekat pengaruh yang berlawanan dengan seruan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Kerana inilah saya mengambil kesempatan menulis buku ini untuk menjelaskan makna bid‘ah dan dalil untuk membatalkannya serta menjelaskan setiap jenis dan hukumnya. Betapa banyaknya bid‘ah mungkar yang telah disepakati oleh para ulama, sama ada dalam akidah, ibadat atau adat istiadat, yang telah tersebar dan berleluasa dalam masyarakat…
Saya sekali-kali tidak akan membenarkan berlakunya bid‘ah mungkar yang telah disepakati oleh para ulama, yang dilakukan dengan sengaja, iaitu dengan ilmu dan qasad (ada ilmu dan niat), bukan kerana kejahilan atau tersalah dalam melakukannya.
Saya bukanlah daripada kalangan yang memecahkan umat Islam dan menimbulkan fitnah dalam saf mereka. Maka menjadi kewajipan alim ulama membetulkan, mengajar dan membimbing umat sekadar yang termampu, bukan cepat su’uz-zan dengan menjatuhkan hukuman dan menuduh orang lain sesat dan kufur.
Penjelasan saya dalam kitab ini berdasarkan metode ahli ilmu. Ikutan saya ialah Kitab Allah, Sunnah Nabi SAW dan kata-kata al-Muslih al-Ijtima‘i (reformis masyarakat) daripada kalangan anbiya’ AS dalam firman Allah SWT:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
{Aku tidak bermaksud melainkan mendatangkan islah (kebaikan) selama aku masih berkemampuan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku kembali.} [Hud: 88]
Sejak awal berkecimpung dalam bidang dakwah ini, saya bersama hala tuju yang dibawa oleh Ahli Sunnah seperti Imam an-Nawawi rahimahullah dan lain-lain, antaranya reformis (al-Muslih) asy-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah.
Semuanya untuk menyekat penyelewengan yang berlaku dalam kalangan orang awam yang mengambil cara ibadat yang ganjil (syaz) atau mengeluarkan ungkapan yang tidak layak bagi agama ini, seperti:
- Memohon daripada orang-orang soleh atau wali-wali yang telah mati untuk memberi sesuatu hajat atau menolak kemudaratan, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk memberi manfaat atau menolak kemudaratan; yang berkuasa hanyalah Allah ‘Azza wa Jalla!
- Mempersembahkan nazar atau sembelihan untuk wali-wali di kubur mereka.
- Bersumpah dengan selain Allah SWT.
- Mencampuradukkan zikir dan nyanyian, serta mendengarnya dengan iringan muzik.
- Berzikir dengan gerakan yang pelik-pelik, seperti menggoyangkan badan sehingga menyerupai gerakan tarian dan seumpamanya.
Saya juga bersama golongan as-Salafiyyah dalam tanzih (menyucikan) Allah SWT. Tetapi saya tidak bersama golongan yang suka menggunakan uslub yang boleh meliarkan dan menjauhkan seseorang daripada agama dengan membuat tuduhan kufur dan sesat atau menyifatkan seseorang sebagai quburi (penyembah kubur) semata-mata kerana dia menziarahi kubur.
Saya juga menjelaskan bahawa tidak ada mazhab Wahabi dalam akidah mahupun hukum syarak. Yang ada ialah golongan islahat (reformasi), iaitu mereka yang membaik pulih keadaan masyarakat di tempatnya. Mereka dalam akidah mengikut mazhab as-Salaf as-Soleh, manakala dalam hukum-hakam mengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.
Mereka bermazhab Hanbali dalam fiqh dan Salafi dalam akidah. Antara ulama Salaf ialah Imam mazhab itu sendiri. Maka kami pengikut mereka dan kebanyakan Ahli Sunnah beriktikad “al-aslam salafiyyun” (الأسلم سلفيون: yang paling selamat ialah mengikut Salaf).
Syeikh memulakan kitab selepas muqaddimah dengan menjelaskan takrif bid‘ah dan dalil-dalil syarak yang mengingkari bid‘ah.
Jenis-jenis Bid‘ah dan Hukumnya
Kemudian beliau menyatakan jenis-jenis bid‘ah dan hukum setiapnya:
“Saya tidak bersama golongan yang membahagikan bid‘ah kepada lima jenis. Bid‘ah itu satu jenis sahaja, iaitu bid‘ah yang mungkar dan tercela (mazmumah), iaitu semua amalan yang bertentangan dengan usul akidah atau ibadat atau adat-adat Islam yang asli, serta menafikan hukum syarak.”
Contoh-contoh Bid‘ah
Maka dibawakan contoh-contoh bid‘ah. Ada yang telah disepakati ulama sebagai bid‘ah yang mungkar dan ada juga contoh yang masih dalam perbincangan (khilaf ulama); Syeikh kemudian menyatakan pandangan dan pendapatnya dalam setiap contoh itu.
1) Bid‘ah dalam Akidah
- Bid‘ah mengatakan al-Quran itu makhluk.
- Menakwil sifat Allah Ta‘ala.
- Al-firaq (kumpulan-kumpulan) Islamiyah.
- Bersumpah dengan selain Allah SWT.
- Mempersembahkan nazar atau sembelihan untuk wali-wali di kubur mereka.
- Beberapa amalan tasawuf.
- Istighathah (meminta bantuan) kepada selain Allah.
- Tabarruk, iaitu mengambil berkat dengan orang-orang soleh semasa hayat mereka.
- Membesarkan dan menyucikan (taqdis) makhluk.
- Menggantung tangkal/azimat.
2) Bid‘ah dalam Ibadat
- Menyaringkan bacaan basmalah dalam al-Fatihah ketika solat. [Khilaf]
- Qunut Subuh. [Khilaf]
- Sampai pahala kepada orang mati. [Khilaf]
- Berdiri ketika menyambut ketibaan seseorang. [Khilaf]
- Tawassul dengan Nabi SAW. [Khilaf]
- Ziarah kubur Nabi SAW. [Khilaf]
- Berdoa beramai-ramai dan majlis zikir. [Khilaf]
- Berzikir dengan kuat. [Khilaf]
- Haflah (majlis) Maulid Nabi dan sambutan-sambutan lain. [Khilaf]
- Mencium tangan. [Khilaf]
- Beberapa jenis solat dan sujud: bid‘ah Solat Raghaib, solat khas malam Nisfu Syaaban dan sujud selepas solat.
- Mengucapkan “Taqabbalallah” selepas solat. [Khilaf]
- Menyebut Sayyidina Muhammad: dalam solat bid‘ah, di luar solat boleh.
3) Bid‘ah dalam Adat Istiadat
- Bid‘ah masjid: menghiasi masjid, berhias (berlebihan), masuk ke masjid dalam keadaan berbau busuk (pakaian dan tubuh badan), bising, iklan jualan dalam masjid dan lain-lain.
- Bid‘ah jenazah dan kubur: seperti memasang langsir di kubur, menghiasi kubur dengan binaan dan mengadakan jamuan pada hari-hari tertentu (3 hari, 7 hari dan lain-lain).
- Menggunakan biji tasbih. [Khilaf]
4) Bid‘ah dalam Rumah Tangga dan Masyarakat
- Menamakan anak dengan nama kafir dan nama yang buruk.
- Pergaulan bebas, pakaian yang tidak mengikut syariat dan bersalaman lelaki dengan perempuan (bukan mahram).
- Meninggalkan solat berjemaah.
- Pawagam di rumah, parabola dan berjaga malam dengan hiburan.
- Majlis perkahwinan yang melanggar hukum syariat.
- Berlagu secara melampau dalam membaca al-Quran.
5) Bid‘ah dalam Muamalat
- Bai‘ al-‘inah (sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar bank yang menjalankan perbankan Islam di Malaysia ketika ulasan ini ditulis).
- Jual beli barang kemas, emas dan perak secara berhutang.
- Memajak buah di kebun yang belum masak.
- Khianat amanah dalam syarikat.
Kitab ini kemudiannya diakhiri dengan perbezaan antara bid‘ah, maslahah mursalah dan istihsan.
Contoh-contoh yang dibawa oleh Syeikh di atas patut sekali dibincangkan oleh mereka yang berpendapat bahawa bid‘ah itu terbahagi kepada “dhalalah” dan “hasanah”. Manakala bagi mereka yang mengatakan bid‘ah itu hanya satu jenis (dhalalah), mereka juga patut membacanya untuk memahami dan meneliti pendapat orang lain.
Buku ini patut dibaca bersama buku “حكم التبديع في مسائل الاجتهاد” (Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad).
Penutup
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman yang betul dalam memahami Kitab-Nya dan Sunnah Nabi-Nya SAW, serta kefahaman para ulama Salafus Soleh dalam beragama.
Wallahu a’lam.
Abu Anas Madani, 13 Jamadilakhir 1432H – 17 Mei 2011.
Bacaan berkaitan: Ujian, Sumpah, Qazaf & Mubahalah: Syarahan Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili · Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?
Siri ini: Siri 1: Terima Kasih Wahai Para Musuh · Siri 2: Al-Bida‘ al-Munkarah · Siri 3: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad · Siri 4: Bidayah as-Sul
Sebelum: ← Ulasan Buku: Terima Kasih Wahai Para Musuh (Siri 1)
Seterusnya: Ulasan Buku: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad (Siri 3) →
Rujukan
2 sumber-
Wahbah az-Zuhaili, al-Bida‘ al-Munkarah (Damsyik: Dar al-Maktabi).
-
Al-Quran, Surah Hud (11): 88.
Quran.com
