Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 5 Januari 2014 · 6 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz
Halaman Majalah Solusi ruangan Syiar: artikel “Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?” oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dengan ilustrasi kartun perselisihan
Maqalah ini asalnya disiarkan dalam Majalah Solusi isu 65, ruangan Syiar.

Pendahuluan

Khilaf dalam kalangan ulama pada asalnya adalah suatu keluasan syariat dan rahmat bagi umat ini. Ia akan menjadi sempit dan susah apabila dimasuki oleh hawa nafsu atau kepentingan diri atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh syariat. Pada ketika itu ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan ummah.

Perbincangan kali ini akan mengupas satu kaedah yang masyhur dalam kalangan para pendakwah, iaitu:

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf!”

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya satu kaedah dalam fiqh dan memasukkannya dalam karangan tentang Qawa‘id al-Fiqh. Tetapi sebahagian pendakwah atau ustaz memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya, asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka secara automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Inilah ungkapan yang kadangkala membantutkan sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan sesuatu pendapat, sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat, bahkan hujahnya semata-mata kerana ada khilaf.

Para ulama yang memperhalusi (muhaqqiq) masalah ini mengatakan bahawa mengambil kaedah ini secara umum adalah tidak tepat; bahkan sebenarnya ia ialah “Tidak boleh ingkar masalah IJTIHAD”, iaitu masalah yang tidak terdapat dalil atau nas yang sarih (jelas) mengenainya.

Dabit (kriteria) masalah ijtihadiyyah ialah: satu hukum yang dikeluarkan dengan cara ijtihad kerana tiada ijmak atau nas yang qat‘i dalam perkara tersebut. Jika ada nas sekalipun, ia bersifat zanni, ertinya boleh difahami dengan banyak kemungkinan dan ditakwil. (Ini kerana jika sudah ada nas yang jelas, tiada lagi ijtihad dalam perkara tersebut!)

Kita perlu memahami bahawa masalah khilaf terbahagi kepada dua kategori: khilaf yang harus diperselisihkan (masalah ijtihad) dan khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Pembahagian Khilaf

Khilaf yang muktabar ialah masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasarnya, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat, sama ada melalui pentarjihan dengan dalil atau bertaqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan ath-Thauri berkata: “Apa-apa yang diperselisihkan oleh para fuqaha, aku tidak melarang seorang pun daripada kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya.” (al-Faqih wal-Mutafaqqih, 2/69)

Ibnu Taimiyyah berkata: “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa yang beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari.” (Majmu‘ al-Fatawa, 20/207)

Para ulama membahagikan khilaf pula kepada tiga:

Pertama: Khilaf yang Pelbagai (Tanawwu‘)

Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan dalam pelbagai bentuk; ulama hanya berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan, seperti haji qiran, tamattu‘ dan ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan basmalah dan memperlahankannya: kedua-duanya harus dan diyakini tidak membatalkan solat, walaupun sebahagian ulama mengatakan sunat membacanya nyaring dan sebahagian ulama lain menganggapnya makruh.

Kedua: Khilaf yang Harus dan Dapat Diterima (Maqbul)

Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku dalam kalangan ulama mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah, iaitu masalah yang tiada nas qat‘i padanya, yakni yang tidak sabit padanya dalil atau nas syarak yang putus.

Ia dinamakan “masalah ijtihadi” kerana setiap ulama yang berbeza pandangan telah beramal atau mengeluarkan fatwa dengan kefahaman yang mereka ijtihadkan.

Maka dalam masalah ini tidak boleh mengingkari orang yang melakukan amalan mengikut ijtihadnya dan tidak boleh juga memaksa orang lain menerima pandangan kita, kerana setiap mujtahid tidak menyalahi nas syarak; mereka hanya menyalahi ijtihad mujtahid yang lain.

Namun demikian, khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:

  1. Hendaklah khilaf itu berlaku dalam kalangan ulama fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama.
  2. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far‘iyyah (cabang) yang tiada dalil-dalil qat‘i berhubung dengan hukumnya.
  3. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
  4. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya untuk mencapai kebenaran.

Khilaf seperti ini juga berlaku dalam kalangan para sahabat dan tabi‘in, namun tidak seorang pun daripada kalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu. Ini kerana masing-masing berusaha mencari kebenaran; kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu, mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan.

Ini jelas daripada sabda Rasulullah SAW:

“Apabila seorang hakim menjatuhkan hukuman lalu dia berijtihad dan betul ijtihadnya, dia mendapat dua pahala. Apabila dia menjatuhkan hukuman lalu berijtihad dan tersalah, dia mendapat satu pahala.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Ketiga: Khilaf yang Mardud (Tidak Diterima)

Iaitu masalah khilafiyah yang sabit padanya dalil atau nas-nas daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menunjukkan kesahihan salah satu daripada dua pandangan (qaul). Maka wajib ketika itu kita mengikut nas dan mengingkari pihak yang menyalahinya, di samping memberikan keuzuran kepada mereka yang tersalah dalam ijtihad, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW.

Penjelasan bagi jenis khilaf ini: khilaf yang tidak muktabar, iaitu khilaf yang keji lagi dicela. Ia berpunca daripada empat sebab:

  1. Kejahilan.
  2. Kezaliman dan penderhakaan.
  3. Mengikut hawa nafsu.
  4. Menyalahi manhaj Nabawi dalam penerimaan hukum syarak dan cara mengamalkannya.

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata, lalu kita putuskan bahawa ia pendapat yang silap tanpa sebarang keraguan.

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan dijelaskan kelemahan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Pandangan Ulama

Untuk lebih jelas, kita nukilkan pandangan Imam al-‘Izz bin ‘Abd as-Salam rahimahullah yang menjelaskan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Katanya:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan berada dalam dua keadaan. Pertama: masalah khilaf itu ialah masalah yang hukumnya mesti dibatalkan (jika diputuskan oleh hakim). Dalam permasalahan ini tiada jalan untuk bertaqlid padanya kerana ia adalah satu kesilapan semata-mata. Kedua: masalah khilaf itu ialah masalah yang hukumnya tidak dibatalkan. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid kepada sebahagian ulama.” (Qawa‘id al-Ahkam, 2/371)

Maka sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita mestilah berilmu dan dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Selepas itu barulah kita dapat memasukkannya dalam kaedah ini.

Berkata Syeikh asy-Syaukani rahimahullah:

“Kata-kata ini, iaitu ‘Tidak boleh ingkar masalah khilaf’, mungkin menjadi penghalang yang besar yang menyekat urusan amar makruf dan nahi mungkar. Dua urusan ini telah kami perkenalkan dan kedudukannya telah kami nyatakan. Ia telah diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW ke atas umat ini.”

Kesimpulan

Kesimpulannya, bukan semua masalah khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh, malahan mesti, diingkari; dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah yang disebut di atas tadi.

Demikian sedikit penjelasan tentang kepentingan memahami masalah yang penting ini, agar masyarakat dapat memahami jenis-jenis khilaf dan tidak tersalah, sama ada terlalu tegas menghalang sesuatu yang khilafnya muktabar atau terlalu berlembut sehingga tidak ada lagi amar makruf dan nahi mungkar. Ini kerana “tidak boleh ingkar” bukan bermakna tidak boleh memberi nasihat untuk menerima yang terbaik dan mengikut kata ulama: “Keluar daripada khilaf itu lebih baik (mustahab).” Wallahu a’lam.

Akhukum, Abu Anas Madani, 3 Rabiulawal 1435H – 5 Januari 2014, Pondok Sungai Durian.

Bacaan berkaitan: Ulasan Buku: Hukum Membid‘ahkan Dalam Masalah Ijtihad · Ulasan Buku: Al-Bida‘ al-Munkarah (Dr. Wahbah az-Zuhaili) · Sejarah Kemunculan Mazhab Fiqh & Adab Berbeza Pandangan

Rujukan

5 sumber
  1. Al-Khatib al-Baghdadi, al-Faqih wal-Mutafaqqih, 2/69.

  2. Ibn Taimiyyah, Majmu‘ al-Fatawa, 20/207.

  3. Sahih al-Bukhari, no. 7352; Sahih Muslim, no. 1716 (riwayat ‘Amr bin al-‘As r.a.).

    Sunnah.com
  4. Al-‘Izz bin ‘Abd as-Salam, Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2/371.

  5. Asy-Syaukani, as-Sail al-Jarrar.

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026