Bahagian 1: Pendahuluan

Lawatan Kerja Ilmiah Ulama Madrasah Pondok Negeri Kelantan ke Negara China
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Abu Anas telah dapat menjejakkan kaki ke negara China yang bersejarah. Rombongan kami seramai 26 orang diketuai oleh YB Dato’ Mohd Amar Hj Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan. Urus setia lawatan ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK): YABrs Dato’ Pengarah dan al-Fadhil Ustaz Saibon serta saudara Muhammad Izani Yaacob, kakitangan Ain Medicare. Rombongan ini disertai oleh wakil 12 buah pondok di Kelantan serta wakil daripada MAIK, KIAS dan YIK. Lawatan bermula pada hari Sabtu, 2/4/2011, hingga hari Isnin, 11/4/2011.
Tujuan lawatan ini ialah untuk memperkenalkan kepada Sahibul Fadhilah tuan-tuan guru dan para pendakwah tentang kehidupan masyarakat Islam di China dan bagaimana mereka menguruskan masjid, pusat pengajian Islam, perubatan, makanan halal dan ekonomi dalam sebuah negara yang dikuasai oleh bukan Islam.
Ia juga untuk membuka minda kita bahawa terdapat begitu ramai saudara muslim kita di sana. Apabila disebut Cina, yang terbayang hanyalah orang bukan Islam, sedangkan Islam telah sampai kepada mereka lebih awal daripada kepada kita.
Majoriti masyarakat Islam di China berpegang dengan mazhab Hanafi; ada segelintir yang mengikut mazhab lain seperti Hanbali. Perbezaan mazhab fiqh ini tidak memecahkan kesatuan umat Islam di sana.
Kita juga sering mendengar kata-kata:
اطلبوا العلم ولو بالصين
“Tuntutlah ilmu walau ke negeri China.” Ia sering diwar-warkan sebagai hadis Nabi SAW, namun ramai ulama hadis tidak menerimanya sebagai hadis yang sahih.
Kata al-‘Iraqi dalam takhrij Ihya’ ‘Ulumiddin, hadis ini dikeluarkan oleh Ibn ‘Adi dan al-Baihaqi dalam kitab al-Madkhal dan Syu‘ab al-Iman daripada Anas. Kata al-Baihaqi: “Matannya masyhur, tetapi sanad-sanadnya daif.” Ibn al-Jauzi memasukkannya dalam al-Maudhu‘at dan al-Albani menilainya batil (Silsilah al-Ahadith ad-Dha‘ifah, no. 416).
Tempat-tempat yang dilawati ialah Bandaraya Beijing, Lanzhou, Linxia dan Xining.
Maklumat Tempat-Tempat yang Dilawati
Beijing
Beijing (bahasa Cina: 北京; pinyin: Běijīng; Wade-Giles: Pei-ching) bermaksud “ibu kota utara”. Dahulunya dipanggil Peking, ia ialah metropolis di utara China dan ibu negara Republik Rakyat China. Beijing bersempadan dengan Wilayah Hebei di utara, barat, selatan dan sebahagian kecil di timur, serta Wilayah Perbandaran Tianjin di tenggara. Ia merupakan salah satu daripada Empat Ibu Kota Kuno Agung China.
Beijing ialah bandar raya kedua terbesar di China selepas Shanghai, dengan lebih 17 juta penduduk dalam kawasan bidang kuasanya. Beijing juga pusat pengangkutan utama, dengan berpuluh-puluh landasan kereta api, jalan raya dan lebuh raya yang merentasi bandar raya ini.

Ia diiktiraf sebagai pusat politik, pendidikan dan budaya Republik Rakyat China, manakala Shanghai dan Hong Kong menguasai bidang ekonomi. Beijing terkenal dengan istananya yang mewah serta kuil, tembok batu dan gapuranya. Banyak bangunan utama di Beijing, tidak kira usianya, mempunyai kepentingan sejarah negara. Persatuan seni dan universitinya telah lama menjadikannya pusat budaya dan seni di China. Pada tahun 2008, Beijing menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
Tidak banyak bandar raya di dunia selain Beijing yang telah menjadi pusat politik dan budaya bagi kawasan sebesar China untuk tempoh yang begitu lama. Encyclopædia Britannica menyifatkannya sebagai “salah satu bandar raya yang terunggul di dunia”. (Sumber: Wikipedia, Beijing)
Wilayah Gansu (قانسو)
Gansu ialah sebuah wilayah di barat laut Republik Rakyat China, terletak di antara Qinghai, Mongolia Dalam dan Dataran Tinggi Loes (Huangtu). Ia bersempadan dengan negara Mongolia di utara dan Xinjiang di barat. Sungai Huang He melintasi bahagian selatan wilayah ini. Gansu mempunyai kira-kira 25 juta penduduk (tahun 1997), termasuk sekelompok besar orang Cina Hui (Islam).
Ibu wilayahnya ialah Lanzhou (لانجو) yang terletak di bahagian tenggara Gansu.
Gansu disingkatkan sebagai Gan atau Long (Cina Tradisional: 隴; Cina Ringkas: 陇), sempena Gunung Long di timur Gansu.
Linxia (لينشيا) ialah sebuah bandar kecil di pinggir wilayah Gansu, kira-kira 150 km dari Lanzhou, ibu wilayah Gansu. (Sumber: Wikipedia, Gansu)
Qinghai ialah sebuah wilayah Republik Rakyat China yang dinamakan sempena Tasik Qinghai yang besar. Qinghai bersempadan dengan Gansu di timur laut, Wilayah Autonomi Xinjiang di barat laut, Sichuan di tenggara dan Wilayah Autonomi Tibet di barat daya.
Qinghai merupakan tempat pertembungan pelbagai etnik yang mencampurkan pengaruh kebudayaan Han (Cina), Mongolia, Tibet dan Turkik. Qinghai menjadi medan pertempuran pada zaman Dinasti Tang dan dinasti-dinasti China seterusnya ketika menentang kerajaan Tibet.
Pada tahun 1928, Qinghai dijadikan sebuah wilayah Republik China. Seterusnya ia menjadi markas utama panglima tentera bernama Ma Bufang sebelum berada di bawah pentadbiran Republik Rakyat China pada tahun 1949.
Xining (شينينج), Ibu Wilayah Qinghai
Bandaraya Xining mempunyai beberapa tempat penting, termasuk Masjid Besar Xining (清真大寺, pinyin: qīngzhēn dà sì).
Tasik Qinghai (青海湖, qīnghǎi hú) ialah tarikan pelancong yang terletak lebih jauh dari Xining berbanding Kumbum. Tasik ini ialah tasik air masin terbesar di China dan terletak di “Bumbung Dunia”, iaitu Dataran Tinggi Qinghai-Tibet, pada ketinggian kira-kira 3,200 m dari paras laut. Kawasan sekelilingnya terdiri daripada padang rumput beralun yang didiami etnik Tibet. Kebanyakan rombongan berhenti di Pulau Burung (鸟岛, niǎo dǎo). Setiap tahun diadakan perlumbaan basikal antarabangsa dari Xining ke Tasik Qinghai. (Sumber: Wikipedia, Qinghai)
Terdapat beberapa lagi kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam seperti Ningxia, Xinjiang, Hunan, Shandong, Kunming, Canton (Guangzhou), Sanya dan sebagainya.
Terdapat sepuluh suku etnik yang menganut Islam; yang terbesar ialah Hui, diikuti Uighur, Kazakh, Kirghiz, Uzbek, Tajik, Tatar, Salar, Dongxiang dan Bao’an. Etnik Hui berasal daripada perkahwinan orang Arab dan Parsi dengan orang Cina.
Ada yang menyebut penduduk Islam di China berjumlah 30 juta orang, ada yang mengatakan sudah mencapai 70 juta, malah menurut sumber tidak rasmi angka sebenarnya mencecah 130 juta orang, berdasarkan keluasan negara itu!
[Nota penyunting: banci rasmi China tahun 2010 mencatatkan kira-kira 23 juta orang daripada sepuluh etnik yang majoritinya Muslim.]
Bilangan masjid di China hari ini lebih kurang 42,000 buah, sebahagiannya berusia lebih seribu tahun. Di Beijing sahaja terdapat 62 buah masjid. [Lihat Ann Wan Seng, Mencari Islam di China, hlm. 23, 64 dan 68.]
Islam di China
Islam mempunyai warisan yang kaya di China. Agama ini telah wujud di China sejak Dinasti Tang. Menurut catatan sejarah China, rombongan pertama dari Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA tiba pada tahun 651M, lebih kurang dua puluh tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Menurut riwayat tradisi masyarakat Hui, seorang sahabat, Sa‘ad bin Abi Waqqas RA, telah diutuskan sebagai perwakilan rasmi kepada Maharaja Gaozong. Maharaja itu dikatakan menyamakan agama Islam dengan ajaran Confucius dan memerintahkan pembinaan masjid pertama di China, iaitu sebuah masjid peringatan di Canton.
[Nota penyunting: kisah Sa‘ad bin Abi Waqqas di China ialah riwayat tradisi yang tidak disokong oleh sumber sejarah Islam yang muktabar; sumber sirah menyebut beliau wafat di al-‘Aqiq, berhampiran Madinah dan dikebumikan di Baqi‘.]
Zaman Dinasti Tang ialah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam.
Penduduk Islam pertama yang bermastautin di China terdiri daripada saudagar Arab dan Parsi. Di kawasan tersebut, kabilah Hui Chi menerima Islam dan nama tersebut menjadi asal panggilan Huihui atau Hui sebagaimana mereka dikenali hari ini.
Makanan di China
Terdapat sebuah pakej makanan beku yang masyhur dan bersijil halal, iaitu pau kubis kukus (steamed cabbage buns) dari wilayah Jiangsu.
Oleh sebab bilangan penduduk Muslim di China besar, banyak restoran Cina menghidangkan makanan kepada umat Islam atau kepada orang awam tetapi diusahakan oleh umat Islam. Di kebanyakan bandar raya utama di China terdapat restoran kecil atau gerai makanan yang biasanya diusahakan oleh pendatang dari China Barat (contohnya orang Uighur) yang menjual sup mi yang murah. Daging kambing dan biri-biri lebih mudah didapati di sana berbanding restoran Cina yang lain kerana daging ini biasa dalam masakan China barat. (Sumber: Wikipedia, Islam di China)
Bahagian 2: Catatan Perjalanan (2–5 April 2011)
Sabtu, 2/4/2011: Hari Pertama
Rombongan berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu untuk penerbangan MH1397 ke KLIA pada jam 4.45 petang, dengan semua bagasi ditimbang terus ke Beijing.
Dalam perjalanan KB–KL, ana duduk di sebelah al-Fadhil Tuan Guru Hj Husin Ibrahim (dikenali dengan panggilan “Abe Aji”) dari Pondok Lubuk Tapah. Beliau menceritakan bahawa gurunya menerima ijazah satu doa musafir di atas unta dalam perjalanan Madinah–Makkah, beliau pula menerimanya daripada gurunya di atas bas dalam perjalanan ke Madinah dan beliau mengijazahkan doa itu kepada Abu Anas Madani di atas kapal terbang ini. Demikianlah sifat para ulama yang suka nasihat-menasihati dan memberikan ilmu tanpa mengira tempat dan masa.
Setelah sampai di KLIA, ahli rombongan solat Asar, minum petang dan bersiap-siap. Pada jam 8.30 malam kami mendaftar masuk untuk penerbangan ke Beijing dengan Air China yang dijadualkan berlepas pada jam 10.40 malam. Tetapi kami menerima berita kurang baik: penerbangan ditangguhkan dan dijangka berlepas pada jam 12.10 tengah malam. Tunggu punya tunggu, kami diberi kupon makan malam dan berita terkini menyatakan penerbangan dijangka berlepas pada jam 5.00 pagi.
Ada antara kami yang mengeluh kerana tidak sempat solat Subuh dengan sempurna sebelum terbang. Mungkin berkat doa tuan-tuan guru yang ada, apabila kami bangun untuk bersiap pada jam 3.00 pagi, kami dikhabarkan bahawa penerbangan akan berlepas pada jam 8.00 pagi. Alhamdulillah, maka bersolat tahajudlah rombongan kami di musala lapangan terbang pagi itu.
Apabila terpaksa “berkubu” hampir 12 jam di KLIA, memang menguji kesabaran. Sesiapa yang menghadapi situasi ini, banyakkanlah berdoa kerana doa musafir antara doa yang mustajab.
Ahad, 3/4/2011: Beijing
Alhamdulillah, pada jam 9.00 pagi Ahad, 3/4/2011, kami selamat berlepas ke Beijing dengan penerbangan Air China CA972. Penerbangan ini memakan masa 6 jam. Tiada perbezaan waktu antara Malaysia dan China.
Kami selamat sampai di Beijing pada jam 3.02 petang. Turun dari kapal terbang, kami mendapati orang ramai beratur panjang. Kami pun turut beratur; rupa-rupanya syarikat Air China memberi pampasan kepada penumpang kerana kelewatan penerbangan semalam. Setiap orang mendapat 1000 yuan (lebih kurang RM500). Ini rezeki yang tidak disangka, tetapi kami terlepas beberapa program yang telah diatur pada hari itu.
Setelah selesai mengambil beg, kami terus menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak dan berjemaah di tengah-tengah dewan lapangan terbang tersebut dan mendapat perhatian ramai.

Kami disambut oleh wakil Halal Tour (agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan kami di Beijing), seorang wanita Cina bernama Lina Fan. Beliau boleh berbahasa Melayu setelah mempelajarinya selama 8 bulan di Universiti Beijing. Kami dapati beliau lebih fasih berbahasa Melayu daripada sebahagian orang Cina yang lahir di Malaysia.
Dengan menaiki bas, kami dibawa makan tengah hari di sebuah restoran halal.
Untuk makluman pembaca, restoran halal di sana bercampur antara yang halal dan yang haram; cuma tempat makan diasingkan. Bagi muslim, ia boleh dicam dengan tulisan “Halal” dan ayat-ayat al-Quran.
Maka tidak peliklah kelihatan almari yang dipenuhi botol arak. Apabila ditanya mengapa, pengusahanya mengatakan jika tiada alkohol, orang bukan Islam tidak akan mengunjungi restoran mereka; mengharapkan pelanggan Islam sahaja tidak mencukupi untuk perniagaan mereka. Begitu juga pakaian para pelayannya, tidak dapat dicam sama ada Islam atau tidak, lebih kurang sama dengan sebahagian restoran orang Islam di Malaysia.
Kemudian kami dibawa melawat Taman Olimpik Beijing (Olympic Park). Sukan Olimpik diadakan di China pada tahun 2008 dan sebuah stadium yang terkenal dengan gelaran “Stadium Sarang Burung” kerana keunikan bentuknya telah dibina dan menjadi perhatian dunia. Ramai orang berjalan kaki sambil mengambil gambar; cuaca pula sangat sejuk dengan angin yang agak kuat.
Hampir jam 10.00 malam kami mendaftar masuk di Beijing Chang-Feng Hotel. Ana ditempatkan di bilik 1213 bersama seorang tokoh ulama yang masyhur di Kelantan, iaitu Ustaz Haji Abdul Halim bin Derani dari Pondok Pasir Tumbuh. Teman sebilik ini akan bersama sepanjang rehlah ini sehingga pulang nanti. Kami hanya dapat solat berjemaah di celah lorong antara bilik hotel kerana tiada kemudahan musala disediakan.
Isnin, 4/4/2011
Selepas solat Subuh dan tazkirah oleh Ustaz Haji Husin berserta ijazah tiga buah doa pula (masih di celah lorong bilik), kami dibawa keluar bersarapan (futur) di sebuah restoran halal.
Kemudian kami ke Dataran Tiananmen dan seterusnya melawat Kota Larangan (Forbidden City). Kami dimaklumkan bahawa lawatan akan dilakukan secara berjalan kaki dan memakan masa lebih kurang 2.5 hingga 3 jam!

Dataran Tiananmen terkenal sebagai “Medan Berdarah” kerana demonstrasi pelajar menentang rejim Komunis pada tahun 1989 yang mendapat liputan seluruh dunia. Para pelajar yang terbunuh dalam peristiwa itu dikenang dunia, walaupun rejim Komunis tetap berkuasa hingga hari ini.
Ia sebuah medan yang sangat luas, kira-kira 44 hektar. Di hujung medan ini terdapat Dewan Peringatan Pengerusi Mao Zedong yang dibina pada tahun 1976–1977. Di dalamnya terdapat keranda kristal yang menempatkan mayat mendiang. (Kami tidak masuk ke dalam dewan ini, sekadar bergambar di luar bangunannya.)
Kami terus berjalan melepasi dewan itu dan tiba di pintu pagar utama Kota Larangan. Untuk memasukinya, tiket berbayar dikenakan; kami terlupa pula bertanya kepada pemandu kami siapa yang membayar kesemua tiket tersebut.
Kota yang sangat luas dan kompleks ini dibina pada tahun 1406M dan siap pada tahun 1420M, pada zaman Dinasti Ming. Seramai 24 orang maharaja mendiaminya: 14 orang dari Dinasti Ming dan 10 orang dari Dinasti Qing selepasnya. Keluasannya kira-kira 70 hektar (dapat memuatkan lebih kurang 100 buah padang bola, menurut pemandu pelancong kami). Terdapat kira-kira 9000 buah bilik; diandaikan jika seorang bayi yang baru lahir tidur di bilik yang berlainan setiap malam, biliknya hanya akan habis apabila dia berumur hampir 25 tahun!
Kota Larangan ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ini lambang keangkuhan manusia yang memerintah. Walaupun semewah dan sekuat mana pun mereka, di manakah mereka sekarang? Tiada yang kekal kecuali Allah SWT. Sebagai orang yang beriman, inilah pengajaran yang harus kita ingat dan pegang. Hanya iman dan takwa sahaja bekal yang dapat membantu kita di akhirat nanti.
Selesai lawatan yang memenatkan kaki ini, kami dibawa makan tengah hari di restoran halal, kemudian ke Masjid Niujie.
Masjid Niujie (مسجد نيوجيه) ialah masjid tertua di Beijing. Ia mula dibina pada tahun 996M, kemudian dibina semula dan dibesarkan pada zaman Maharaja Kangxi dari Dinasti Qing (memerintah 1661–1722M).

Masjid ini terletak di Niujie, Daerah Xuanwu, Beijing dan menjadi pusat ibadat bagi 10,000 umat Islam yang menetap di kawasan itu. Ia masjid yang terbesar dan tertua di Beijing dan Niujie merupakan kawasan penempatan umat Islam terbesar di Beijing.
Masjid Niujie meliputi kawasan lebih kurang 6000 meter persegi. Masjid ini merupakan gabungan budaya Islam dan Cina: dari luar, seni binanya menunjukkan pengaruh Cina, sementara bahagian dalamnya kebanyakannya berhias corak Islam. Masjid yang dibina daripada kayu balak ini juga menyimpan beberapa relik dan batu bersurat yang penting, seperti batu bersurat bertulis titah maharaja pada tahun 1694M zaman Dinasti Qing. (Sumber: Wikipedia, Masjid Niujie)
Waktu solat di masjid ini telah ditetapkan. Pada hari kami bersolat di situ, menurut takwim, waktu Zuhur masuk pada jam 12.18 tengah hari, tetapi solat didirikan pada jam 1.30 tengah hari. Imam-imamnya masuk serentak dan tertib, lalu duduk di saf hadapan. Azan pula hanya dilaungkan di tepi tangga tanpa alat pembesar suara. Para makmum juga amat berdisiplin dan memenuhi saf di hadapan.
Masjid ini juga menyediakan kerusi dan meja (seperti meja dan bangku sekolah) untuk orang tua yang tidak berupaya. Mereka solat sambil duduk di atas kerusi; apabila hendak sujud, mereka bangun lalu sujud di atas meja! Hanya di masjid ini kami menemui fenomena sebegini sepanjang lawatan ke masjid-masjid di sana.
Di belakang masjid terdapat dua buah makam ulama yang mengajar di masjid ini sekitar tahun 1270-an hingga 1280-an Masihi; seorang dari Bukhara dan seorang lagi dari Qazwin, Parsi.
Selepas solat kami dibawa ke kedai cenderamata, tempat yang “wajib” dilawati oleh agensi pelancongan di sini.
Terdapat lima atau enam tempat yang “dipaksa” untuk dikunjungi, iaitu dua buah kedai jed, dua buah kedai ubat tradisional Cina, sebuah kedai sutera dan sebuah kedai pasu, buyung dan tempayan. Ana rasa semua orang Malaysia yang datang melalui agensi pelancongan akan “melalui” kedai-kedai yang sama ini. Menurut statistik yang dikeluarkan, sektor pelancongan di Beijing memungut pendapatan lebih kurang 5 bilion pada tahun lepas (2010M).
Pada hari ini kami dibawa ke:
- Kedai kain sutera. Kami dapat melihat proses membuat sutera, bermula daripada kepompong dan ulatnya. Kepompong dijadikan benang sutera lalu ditenun menjadi kain, manakala tahi ulat dijadikan isi bantal. Menurut penjual yang berkempen supaya kami membeli cadar sutera, ramai orang Malaysia yang membelinya. Ingatan saya kepada semua muslimin: kaum lelaki haram menggunakan sutera walaupun sebagai alas, cadar atau selimut, apatah lagi dijadikan pakaian. Bagi kaum perempuan tiada masalah. Maka beringatlah dalam hal cadar ini kerana penggunanya biasanya lelaki dan perempuan.
- Kedai ubat tradisional. Di sini kami disuruh merendam kaki dalam air ubat sambil diurut. Mereka ketawa apabila kami meminta supaya semua tukang urut kami lelaki; alhamdulillah, permintaan ini dipenuhi. Proses ini percuma. Tetapi ketika inilah datang tabibnya membaca tapak tangan untuk melihat penyakit yang dihidapi, kemudian menyenaraikan ubat yang harus dibeli daripadanya. Semuanya banyak dan bernilai beribu-ribu yuan; ana sendiri dicadangkan membeli ubat sehingga 2400 yuan, malah ada yang sampai 8000 yuan. Ada juga ahli rombongan kami yang membeli sebahagian ubat yang dijual. Jadi berhati-hatilah jika anda dibawa ke kedai sebegini.
- Pusat jed (1). Kami kemudian dibawa ke sebuah kedai jed. Salah seorang penjualnya ialah orang Cina yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau menceritakan kepada kami proses dan cara membuat jed. Setibanya kami di kedai, penyambut tetamunya ketawa apabila melihat ahli rombongan kami semuanya lelaki; ini bererti “perangkap” mereka tidak berapa mengena hari ini. Namun ada juga ahli rombongan yang membeli serba sedikit.
Kami kemudian dibawa ke bazar biasa (yang memang sesuai untuk membeli cenderamata). Barang yang dijual sebenarnya murah, tetapi harga yang dibuka terlalu tinggi; contohnya jika diletakkan 500 yuan, kita perlu menawar sehingga 50 yuan sahaja, kemudian naik sedikit demi sedikit hingga harga yang dipersetujui. Penjual-penjual ini boleh berbahasa Inggeris, malah kebanyakan penjaja di tepi jalan boleh membilang dalam bahasa Melayu, lebih kurang seperti penjual Bangla dan Takarni di Makkah dan Madinah.
Daripada pengalaman ana, jika berjumpa penjaja ini, elok membeli cenderamata seperti beg dan lain-lain kerana harganya murah dan apabila keluar dari Beijing, tiada lagi penjaja jalanan sebegini.
Selesai membeli-belah, kami dibawa ke restoran halal yang lain pula. Selepas makan malam kami pulang berehat ke hotel.
Kedai Ditutup Jam 6 Petang
Untuk makluman, kebanyakan kedai di China ditutup pada jam 6 petang, kecuali kedai besar seperti pasar raya yang dibuka sehingga jam 9 malam. Tidak kelihatan pula pasar malam atau perniagaan yang beroperasi pada waktu malam.
Alangkah baiknya jika di tempat kita juga kedai beroperasi setakat jam 6 petang dan tiada lagi pasar malam. Waktu yang ada kita imarahkan rumah-rumah Allah dengan ibadat dan pengisian ilmu. Kalau mereka boleh, mengapa kita tidak boleh? Pada pengamatan ana secara peribadi, adanya pasar malam di kampung dan bandar banyak mengganggu ketenangan malam untuk beribadat dan mencari ilmu. Anak-anak muda pula mengambil kesempatan keluar rumah kononnya untuk membeli keperluan. Semoga seruan ini ada telinga yang mendengarnya!
Selasa, 5/4/2011
Keluar dari hotel, kami dibawa bersarapan di sebuah restoran halal. Dalam perjalanan ke Tembok Besar, kami dibawa singgah pula ke dua buah lagi kedai yang “diwajibkan”:
- Pusat jed yang lebih besar daripada semalam. Di dalamnya terdapat juga kedai kain dan cadar yang lengkap dengan iklan dalam bahasa Melayu. Menurut maklumat, pada tahun lepas lebih 10,000 pelancong Malaysia melawat Beijing.
- Pusat rawatan tradisional (2). Dimulai dengan syarahan tentang enam jenis ubat hampir satu jam (dalam bahasa Melayu Indonesia). Penceramahnya sampai membakar tangan dengan besi panas untuk menunjukkan ubatnya mujarab. Malangnya tiada seorang pun yang membeli ubatnya kerana jelas dia keterlaluan dan tidak logik. Syarahannya pula terlalu panjang dan meleret, sedangkan hati kami sudah tidak sabar untuk ke Tembok Besar.

Akhirnya, hampir tengah hari barulah kami dapat melawat Tembok Besar China, iaitu pada jam 11.30 pagi, sedangkan pada jam 1.00 tengah hari kami sudah diarahkan turun. Kami mendaki mengikut kemampuan masing-masing; ada yang sampai ke stesen pertama, ada yang mencuba hingga stesen kedua tetapi menjadi mabuk dan pening. Dinasihatkan sesiapa yang tidak bersedia dari segi stamina dan fizikal, cukuplah sekadar di kakinya atau stesen pertama dan bergambar di sekitarnya sahaja.
Di kaki Tembok Besar ini juga ana menemui satu perkara pelik, iaitu beribu-ribu ibu kunci (mangga) dikunci pada satu tali khas di situ. Rupa-rupanya ini tanda cinta: biasanya sepasang kekasih datang bersama dan selepas mengunci mangga pada tali itu, mereka mencampakkan anak kunci ke bawah. Apabila ana bertanya, mereka berkata: “Love… love!”
Inilah bid‘ah di kaki Tembok Besar…
Setelah penat meronda dan mendaki setakat yang mampu serta bergambar di setiap sudut, pada jam 1.30 petang kami menaiki bas turun dari Tembok Besar dan dibawa makan tengah hari (ghada’) di sebuah restoran yang terletak di kilang membuat pasu, gogok dan tempayan besar.
Di tingkat atasnya terdapat restoran umum dan restoran halal, serta musala khas. Alhamdulillah, selepas makan kami terus menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak dan berjemaah.
Jam 3.30 petang bertolak ke Lapangan Terbang Beijing.
Alhamdulillah lagi, di lapangan terbang ada sebuah restoran halal, jadi dapatlah kami makan malam di situ dengan hidangan “mi mangkuk besar”. Kemudian pada jam 8.10 malam kami berlepas dengan Air China CA1277 ke Lanzhou; penerbangan dari Beijing mengambil masa 2.5 jam. Entah apa nama lapangan terbang tempat kami tiba itu kerana semuanya ditulis dalam tulisan Cina. Nampak gah juga negara ini; tempat yang begitu penting pun tidak menggunakan bahasa Inggeris.
Setibanya di bandar Lanzhou, ibu wilayah Gansu, kami disambut oleh dua orang saudara Muslim Cina tempatan, iaitu saudara Daud, seorang usahawan Islam yang berjaya di sana dan Prof. Osman, seorang pensyarah universiti. Kami dibawa dengan bas ke Gansu Nongken Hotel. Perjalanan dari lapangan terbang ke hotel di bandar agak jauh, iaitu selama sejam. Setibanya, kami terus mendaftar masuk. Udaranya sangat sejuk, lalu kami yang kepenatan seharian berjalan terus berehat, alhamdulillah.
Bahagian 3: Lanzhou, Linxia dan Xining (6–11 April 2011)
Rabu, 6/4/2011: Lanzhou
Pada jam 8.00 pagi kami keluar dari hotel sambil mendaftar keluar, bersarapan dan meronda bandar Lanzhou. Kemudian kami ke Masjid Xiguan, Lanzhou (مسجد جامع شيقوان لانجو). Kami disambut oleh Amin (pengerusi) dan imam masjid, lalu dibawa melawat kelas pengajian agama untuk semua peringkat: taman asuhan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Kelihatan kesungguhan mereka mempelajari al-Quran di bilik-bilik darjah yang disediakan.

Imam masjid boleh bercakap Melayu sedikit kerana beliau pernah belajar di KUSZA, Terengganu.
Setelah itu kami ke Northwest University for Nationalities (NUN) dan disambut pula oleh Prof. Osman (yang menyambut kami di lapangan terbang semalam), seorang muslim yang menjadi pensyarah dan penyelidik dalam bidang pengeluaran vaksin, masya-Allah.

Kemudian kami ke muzium etnik universiti tersebut yang memaparkan sejarah suku etnik di China dan penjelasan tentang Islam. Prof. Dr. Ahmad Latif menjadi penterjemah kami. Beliau pensyarah di Jabatan Bahasa Arab universiti itu, lulusan Universiti Islam Madinah. Menurut beliau, terdapat kira-kira 2000 orang pelajar Cina Muslim yang mengikuti kursus bahasa Arab.

Untuk pengetahuan pembaca, ana berasa sangat kagum dengan orang Cina Muslim ini. Mereka boleh berbahasa Arab dengan baik dan nampaknya lebih ramai yang boleh bercakap Arab berbanding orang Islam di Malaysia. Adakah kerana sistem pengajian mereka yang baik atau suasana hidup mereka sebagai golongan minoriti dalam kalangan majoriti bukan Islam? Perlu dibuat satu kajian untuk menaikkan taraf bahasa Arab dalam kalangan umat Melayu yang serba boleh ini!
Selesai lawatan di muzium, kami dibawa pula ke Lanzhou National Hyclone Bio-Engineering Co. (syarikat Prof. Osman), tempat pengeluaran vaksin. Menurut Prof. Osman, mereka sedang berusaha mengeluarkan vaksin halal untuk kegunaan umat Islam. Kita doakan semoga usaha murni beliau bersama sahabat-sahabatnya berjaya dan diberkati Allah dalam menyelesaikan tuntutan fardu kifayah ini.
Akhirnya kami ke sebuah restoran halal yang agak mewah untuk menikmati hidangan tengah hari yang dibiayai oleh beliau, jazahullahu khairan.
Ke Linxia
Kemudian kami bertolak dengan bas ke Linxia, diiringi Prof. Osman yang memandu keretanya sendiri. Perjalanan mengambil masa 1.5 jam melalui lebuh raya; nampaknya tol juga ada di sini.
Alhamdulillah, jam 5.30 petang kami selamat tiba di Linxia, sebuah kawasan Islam dan bandar pertanian dalam wilayah Gansu. Masjid dapat dilihat di sepanjang jalan (dikatakan terdapat lebih 200 buah masjid di kawasan ini, masya-Allah). Sawah dan ladang yang subur dan indah menghiasi kiri kanan jalan. Sepanjang perjalanan kelihatan pasangan pak cik dan mak cik (berpakaian Islam, berkopiah dan bertudung) mengusahakan sawah dan ladang mereka.
Masjid pula kelihatan dibina dua buah berdekatan, dengan reka bentuk yang sedikit berbeza. Apabila kami bertanya, saudara Daud menerangkan bahawa sebuah masjid untuk pengikut mazhab Hanafi dan sebuah lagi untuk mazhab Hanbali, namun perbezaan mazhab ini tidak menimbulkan masalah. Demikian juga ulasan beberapa orang ustaz yang sempat ana temu ramah; alhamdulillah, nampaknya mereka bertoleransi dan mengekalkan ukhuwah sesama umat Islam. Pada pengamatan ana, sebab masjid lain perlu dibina ialah perbezaan waktu mendirikan solat, sebagaimana yang kami lihat di Masjid Niujie dan lain-lain, khususnya waktu solat Subuh dan Maghrib, wallahu a‘lam.
Rabu, 6/4/2011, 5.30 petang, Linxia, Gansu: Salji!

Ketibaan kami di Linxia disambut oleh cuaca dingin dan gerimis bunga salji yang mula turun. Setelah mendaftar masuk dan menyimpan bagasi, pada jam 6.30 petang kami terus ke Masjid Xin Hua.
Kami solat Maghrib dan Isyak secara jamak takdim. Jemaah yang datang begitu ramai memenuhi ruang solat masjid walaupun cuaca dingin musim sejuk mencucuk kulit.
Penggunaan Air
Ana juga ingin memberi peringatan kepada bakal pelawat ke China: negara ini sangat menjaga penggunaan air dan mengelakkan pembaziran. Air tidak disediakan di dalam tandas, sama ada di lapangan terbang, hotel, rumah perseorangan, malah di masjid sekalipun! Jadi waktu inilah kita harus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari selama ini, iaitu bab istinjak. Jika tidak, kita terpaksa membawa botol air sendiri ke mana-mana sahaja untuk membasuh najis. Air hanya ada untuk pam tandas dan berwuduk sahaja. Bagi yang hendak buang air besar, perlu mengambil air dengan bekas yang disediakan kemudian membawanya ke dalam tandas.
Selepas solat kami dibawa melawat sekolah Islam dan kelas al-Quran untuk orang dewasa di situ. Menurut syeikh yang menyambut kami, sistem belajar membaca al-Quran yang mereka gunakan ialah cara tradisional, iaitu dengan laungan suara yang agak kuat. Setiap kursus berlangsung selama 20 jam dan insya-Allah peserta boleh mengenal dan membaca al-Quran, katanya.
Walaupun caranya lama, alat bantu mengajarnya amat canggih: al-Quran bercetak saiz besar dipasang dengan alat kawalan jauh untuk menukar halaman. Sesuai benar jika dibawa pulang ke tempat kita untuk solat Tarawih bagi imam yang tidak menghafal al-Quran.
Selesai melawat kelas al-Quran, kami ke rumah Dr. Ahmad dan akhi Ismail untuk makan malam (‘asya’), iaitu keluarga saudara Daud yang menyambut kami di lapangan terbang. Kami meminta mereka melayan kami mengikut adat istiadat orang Cina untuk mengenali budaya mereka.
Fatimah, anak Dr. Ahmad yang sedang belajar di universiti di Yala, Thailand, boleh bercakap Arab sedikit. Kebetulan beliau pulang bercuti ke kampungnya, maka dapatlah beliau menjadi penterjemah kami.
Sesudah itu kami kembali ke hotel dan berehat untuk program seterusnya. Masya-Allah, salji yang turun petang tadi semakin lebat dan memutih pada malam ini.
Khamis, 7/4/2011
Kami keluar seawal jam 5.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Shan Jiang Zhuan. Waktu Subuh di Linxia, Gansu, ialah pada jam 5.20 pagi. Di masjid ini terdapat sebuah madrasah kecil; lebih kurang 40 orang pelajar menginap di sini dan mengikuti pengajian tahfiz sepenuh masa. Dalam bahasa Arab, ia digelar Qaryah Atar.
Perjalanan dari hotel ke masjid dengan bas hanya mengambil masa kira-kira lima minit. Kelihatan di jalanan orang ramai mula keluar menuju ke masjid untuk solat Subuh walaupun cuaca begitu sejuk di tengah-tengah salji yang semakin lebat. Nampaknya solat berjemaah di masjid tetap menjadi keutamaan. Para jemaah terdiri daripada pelbagai lapisan umur: orang tua, anak muda dan pelajar.
Suasana seperti ini rasanya amat sukar dilihat di Malaysia, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh yang dingin dalam hujan lebat! Memang terasa penghayatan Islam di negara kita amat lemah berbanding masyarakat Islam Cina di Linxia.
Di masjid ini mereka mengamalkan Tarekat Naqsyabandiah dan mazhab fiqhnya ialah mazhab Hanafi. Wirid tarekat dialunkan selepas solat Subuh dan selepas doa diaminkan. Dengan serban berwarna keemasan melilit kemas di kepala, jelas ketara perbezaan antara jemaah biasa dengan pengamal tarekat. Wirid yang dialunkan agak sukar difahami kerana dialunkan mengikut lagu dan irama tertentu.
Kami diberikan sebuah buku wirid tersebut, tetapi walaupun ana berkali-kali membelek halamannya untuk mencari baris dan perenggan yang sedang dibaca, sukar sekali untuk mengikutinya.
Selesai solat, kami pulang ke hotel sambil menjejak salji yang semakin tebal dan dapatlah bermain salji yang memutih di halaman hotel tempat kami menginap. (Lihat juga catatan rakan serombongan, Ahmad Fadhli, “Sedingin Salju di Lin Xia”, April 2011.)
Lawatan ke Kolej Islam

Selesai bersarapan kira-kira jam 9.00 pagi, kami mendaftar keluar dari hotel dan meneruskan program lawatan, kali ini ke Maahad Dirasat Islamiah, Linxia, Gansu, sebuah institut pengajian Islam bertaraf kolej yang lengkap. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan di bangunan yang berlainan, satu sistem yang Islamik. Terdapat 600 orang pelajar lelaki dan 600 orang pelajar perempuan. Sepuluh orang tenaga pengajarnya lulusan Universiti Islam Madinah dan beberapa orang lagi lulusan Kolej Insaniah, Kedah. Cemburu pula rasanya kerana belum terjumpa graduan KIAS, tempat ana bertugas. Dato’ Dr. Johari Mat, KE KIAS, diberi penghormatan menyampaikan ceramah ringkas kepada pelajar lelaki dan perempuan di maahad ini.

Selepas makan tengah hari, kami dibawa melawat Hospital Islam (swasta) milik Dr. Ahmad. Pelbagai jenis rawatan disediakan di sini: moden, tradisional, alternatif dan sebagainya. Ahli rombongan diberi peluang mencuba beberapa jenis rawatan seperti urutan mesin, jarum panas, mandi wap dan lain-lain. Terima kasih, Dr. Ahmad.
Petangnya sekitar jam 4.00, kami meneruskan perjalanan ke ibu wilayah Qinghai, iaitu Xining. Jaraknya dari Linxia ialah 350 km dan perlu melalui Lanzhou semula. Dalam perjalanan, kami singgah melawat kilang gelatin halal bernilai 200 juta yuan milik saudara Daud yang turut mengiringi kami. Gelatin ini berasal daripada tulang, maka begitu banyak tulang lembu yang disembelih secara halal di seluruh China dikumpulkan di situ untuk diproses. Pasaran utamanya ialah China sendiri dan Indonesia.
Semoga ada juga pakar dari negara kita yang dapat menyelesaikan masalah fardu kifayah ini untuk umat Islam di Malaysia.
Kami makan malam di situ dengan roti ban yang baru dibakar serta mi goreng yang disediakan di dapur kilang tersebut.
Pada jam 11.30 malam, alhamdulillah, kami selamat sampai di Qinghai-Tibet Holiday Hotel, Xining. Inilah hotel Islam pertama yang kami jumpa; semua kakitangan perempuannya lengkap bertudung, malah berjubah. Hotelnya seakan-akan Hotel De Palma, Ampang, lengkap dengan surau dan restoran halal.
Jumaat, 8/4/2011
Di Xining, suhu pada hari ini 5°C, tetapi tiada salji seperti di Linxia. Kami solat Subuh di surau hotel dan tazkirah Subuh disampaikan oleh Abu Anas.
Selepas bersarapan di hotel, kami dibawa melawat kediaman rasmi Ma Bufang (Ma Bufang’s Official Residence) yang kini dijadikan muzium dan dibuka kepada orang ramai.
Menurut catatan sejarah, beliau lahir pada tahun 1903 dan merupakan anak lelaki Ma Qi, seorang jeneral dari kelompok panglima keluarga Ma yang terkenal di China pada awal abad ke-20. Ma Qi membentuk Tentera Ninghai di Qinghai pada tahun 1915 dan menjadi wakil kerajaan Beijing yang mengesahkan kekuasaannya di wilayah Qinghai. Walaupun beliau seorang muslim, beliau tetap diiktiraf sebagai wakil sah kerajaan pusat ketika itu kerana pengaruh yang dimilikinya.
Ma Qi mendidik anaknya Ma Bufang dengan pendidikan Islam sepenuhnya. Berbeza dengan seorang lagi anaknya, Ma Buqing, yang diasuh dengan pendidikan tentera, Ma Bufang lebih disediakan untuk menjadi imam. Namun tuntutan mempertahankan wilayah Qinghai pada masa itu memaksa Ma Bufang menyertai tentera ketika berumur 19 tahun. Beliau kemudiannya menyatakan sokongan kepada Chiang Kai-shek yang telah memenangi peperangan pada masa itu.
Usaha Ma Bufang mempertahankan Qinghai daripada dicerobohi komunis melalui saat-saat getir dan mencemaskan. Beliau menghadapi serangan tentera Tibet di bawah Dalai Lama dan juga ancaman Parti Komunis China (CCP). Walaupun beliau berpihak kepada kerajaan kebangsaan China di bawah pimpinan Kuomintang, beliau tegas melaksanakan syariat Islam di wilayah Qinghai yang ditadbirnya.
Ma Bufang memenangi pertempuran dengan tentera Tibet dalam beberapa siri peperangan. Berbeza dengan komunis yang kemudiannya memusnahkan masjid-masjid di Xining, Ma Bufang melaksanakan dasar yang berlainan. Pada tahun 1949, serentak dengan kemenangan Parti Komunis China yang menguasai seluruh negara, Ma Bufang tewas di Xining dan terpaksa menyelamatkan diri melalui Hong Kong ke Mesir. Beliau kemudiannya menjadi duta Republik China (Taiwan) ke Arab Saudi dan menetap di sana sehingga meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1975. (Lihat juga catatan Ahmad Fadhli, “Menyelami Perjuangan Ma Bufang di Xining, China”, April 2011.)
Selepas itu kami kembali ke hotel dan bersiap untuk solat Jumaat di Masjid Dongguan. Dianggarkan 40 ribu jemaah menghadiri solat Jumaat pada hari itu. Yang menariknya, sejam sebelum azan masjid sudah mula penuh dengan jemaah yang memenuhi saf dengan rapat dan tersusun.
Sebelum masuk waktu, ceramah dalam bahasa mereka (Cina) disampaikan kepada para jemaah yang setia menunggu.
Sebelum solat Jumaat, mereka melakukan solat jenazah. Kami yang tidak faham bahasa Cina ini terus berniat solat Jumaat, sedangkan yang didirikan ialah solat jenazah; kami sangka sudah solat Jumaat… Solat jenazah itu pula dilakukan dua kali, sekali untuk jenazah lelaki dan sekali lagi untuk jenazah perempuan.
Akhirnya azan dikumandangkan, diikuti khutbah ringkas dalam bahasa Arab, barulah solat Jumaat didirikan.
Pada petangnya acara santai melawat sekitar bandar Xining dan kedai-kedainya. Kali ini kami dibawa oleh saudara Lut, abang kepada saudara Daud. Malamnya kami berehat di hotel sambil berbincang sesama ahli rombongan.
Sabtu, 9/4/2011

Pada jam 9.00 pagi, kami membuat lawatan rasmi ke Masjid Dongguan (جامع دونغقوان), tempat solat Jumaat semalam. Di sini terdapat pusat latihan imam; setiap kumpulan dilatih selama tiga tahun. Kompleks masjid ini dikenali sebagai Little Mecca kerana jemaahnya yang begitu ramai seolah-olah di Makkah.
Solat Jumaat semalam baru 40 ribu orang; imamnya menceritakan bahawa pada solat hari raya, jemaahnya boleh mencecah 200 ribu orang! Jalan-jalan raya di bandar itu akan dipenuhi jemaah yang datang dari segenap pelosok bandar dan kampung sekitarnya.
Indahnya jika diikuti sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW, iaitu solat sunat hari raya dihimpunkan di satu tempat sahaja. Sedangkan di tempat kita, surau-surau di kampung yang kecil pun mahu mengerjakan solat hari raya sendiri, maka hilanglah sunnah dan kemeriahan yang sepatutnya!
Sebab kedua ia dinamakan Little Mecca ialah kursus haji yang lengkap diadakan di kompleks ini, dengan replika besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta tempat-tempat manasik haji seperti Arafah, Mina, tempat melontar dan sebagainya.
Kemudian kami ke Masjid Ninaguan yang sedang dalam proses pembesaran. Kami disambut oleh imamnya, Ustaz Ismail Biao, lulusan al-Azhar. Beliau nampaknya penceramah yang masyhur di sana kerana terdapat banyak CD kuliahnya dijual di sekitar bandar itu.
Kami dibawa makan tengah hari di Baick Chicken; rupa-rupanya ia seakan-akan francais restoran al-Baik dari Arab Saudi.
Petangnya acara bebas, membeli-belah di sekitar Masjid Dongguan. Suasana kedai-kedainya seperti di sekitar Dataran Ilmu di Kota Bharu dengan kedai Ja’afar Rawas dan seumpamanya.
Selepas makan malam, kami wakil-wakil pondok berbincang tentang masa depan pendidikan pondok di negeri Kelantan, akhirnya bersiap mengemas barang untuk pulang.
Ahad, 10/4/2011: Hari Terakhir
Selepas solat Subuh, ucapan penutup disampaikan oleh YB Dato’ Mohd Amar. Selepas bersarapan, pada jam 8.30 pagi kami bertolak ke Lapangan Terbang Xining untuk ke Beijing dengan penerbangan CA1208 jam 10.40 pagi. Kami menyiapkan bekalan makanan seperti roti untuk dimakan di lapangan terbang nanti kerana kami tidak boleh keluar lagi ke restoran halal.
Selamat tiba di Beijing, kami solat Zuhur dan Asar secara jamak dan berjemaah di dewan berlepas antarabangsa dan sempat “berkelah” dengan bekalan roti dan serunding yang dibawa.
Penerbangan dari Beijing ke KL sepatutnya pada jam 4.25 petang tetapi ditunda selama sejam. Memandangkan ramai penumpang Islam menaiki penerbangan ini, disediakan makanan halal untuk orang Islam, siap dengan pelekat khas. Alhamdulillah, kami menyangka roti tadi sebagai makan malam terakhir kami; rupa-rupanya ada lagi rezeki untuk malam ini.
Penerbangan mengambil masa 6.5 jam. Alhamdulillah, kami selamat tiba di KLIA sekitar jam 12.00 tengah malam. Selepas mengambil bagasi, kami meneruskan perjalanan ke Kelantan dengan bas Mutiara sewa khas (DBT 1155) dan selamat tiba di PSD pada jam 9.30 pagi, Isnin, 11/4/2011, alhamdulillah.
Penutup
Terima kasih, جزاكم الله خيرا كثيرا, kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program rehlah ini: Kerajaan Negeri Kelantan, YB Exco, JAHEAIK, Ustaz Saibon dan semua yang bersama dalam safar yang menarik ini. Semoga bertemu lagi dalam rehlah yang akan datang.
Akhukum, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 14 April 2011.
Bacaan berkaitan
Rujukan
6 sumber-
Al-‘Iraqi, al-Mughni ‘an Haml al-Asfar (takhrij Ihya’ ‘Ulumiddin); al-Baihaqi, al-Madkhal dan Syu‘ab al-Iman — ‘matannya masyhur, sanad-sanadnya daif’.
ad-Durar as-Saniyyah -
Al-Albani, Silsilah al-Ahadith ad-Dha‘ifah wal-Maudhu‘ah, no. 416 (batil); Ibn al-Jauzi, al-Maudhu‘at.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, no. 5837 (riwayat Huzaifah RA).
Sunnah.com -
Wikipedia (Bahasa Melayu): Islam di China (juga Beijing, Gansu, Qinghai, Masjid Niujie).
ms.wikipedia.org -
Wikipedia: Ma Bufang (lahir 1903, wafat 31 Julai 1975 di Jeddah; duta Republik China ke Arab Saudi 1957–1961).
en.wikipedia.org -
Al Jazeera Centre for Studies, ‘Muslims in China and their Relations with the State’ (2015).
studies.aljazeera.net
