Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Al-Israa’ · Nota 17/25

Surah Al-Isra’: Ayat 70-72

Anak Adam Dimuliakan oleh Allah; Keadaan Manusia Bersama Ketua Masing-Masing dan Rekod Amalan di Akhirat.

Muqaddimah

  1. Sebelum ini Allah SWT telah ungkitkan nikmat-Nya ke atas manusia di mana mereka mampu mengharungi lautan sama ada dengan kapal yang besar atau kecil.
  2. Manusia itu apabila diuji dengan mara bahaya di lautan, mereka angkat tangan berdoa kepada Allah SWT, lupa kepada segala sembahan mereka yang lain.
  3. Allah SWT memberi ancaman kepada orang kafir, bahawa walaupun mereka telah selamat di laut, belum tentu akan selamat dari bencana lain di atas daratan pula, seperti gempa bumi, kemarau, banjir dan lain-lain.
  4. Allah SWT juga menerangkan bahawa manusia akan dimusnahkan dengan sebab mereka kufur nikmat.
  5. Hari ini pula kita akan membincangkan tentang kemuliaan anak Adam secara ringkas dan pendek, insya’ Allah.

Ayat 70 {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMULIAKAN ANAK-ANAK ADAM; DAN KAMI TELAH BERI MEREKA MENGGUNAKAN BERBAGAI-BAGAI KENDERAAN DI DARAT DAN DI LAUT; DAN KAMI TELAH MEMBERIKAN REZEKI KEPADA MEREKA DARI BENDA-BENDA YANG BAIK-BAIK SERTA KAMI TELAH LEBIHKAN MEREKA DENGAN SELEBIH-LEBIHNYA ATAS BANYAK MAKHLUK-MAKHLUK YANG TELAH KAMI CIPTAKAN.} (AL-ISRA’ 17:70)

  1. ANAK ADAM DIMULIAKAN OLEH ALLAH:
    Allah SWT telah memuliakan ((كرمنا anak Adam yakni manusia dengan kelebihan yang khas daripada makhluk lain, sama ada:
    Dari segi bentuk kejadian. أحسن التقويم
    1. Pandai berkata-kata.
    2. Berakal fikiran. Akal inilah yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain, bukan sekadar ada otak. Sehingga mampu menguasai dunia.
    3. Diberi kemudahan bergerak di darat, laut dan udara.
    4. Diberi pelbagai rezeki makan minum yang lazat dan pakaian yang baik dari bumi dan laut.
    5. Permudahkan haiwan dan makhluk lain untuk kita guna serta kuasai.
    6. Manusia makan dengan tangan, tangan kanan pula jika muslim.
    7. Allah SWT muliakan kaum lelaki dengan janggut. Maka jangan cukur kecuali darurat. Perempuan pula dengan ekor cicak (rambut depan telinga).
    8. Boleh menulis dan membaca.
    9. Bangkai manusia tidak najis.
      Allah SWT berikan kelebihan ini kepada manusia semuanya atas dunia ini sama ada yang beriman atau tidak. Maka sepatutnya manusia bersyukur akan segala nikmat ini dengan tauhid dan beribadat kepada-Nya.
  2. Allah SWT juga anugerahkan kepada manusia kenderaan di daratan, laut dan sekarang ini hatta di udara.
  3. Allah SWT juga rezekikan kepada manusia yang baik-baik, seperti makanan dan minuman yang baik, ada kata termasuk pakaian, pasangan, anak keturunan, tempat tinggal dan lain-lain.
  4. Akhirnya Allah sebut pula, Allah telah memberikan kelebihan(فضلنا) yang banyak kepada manusia berbanding dengan makhluk yang lain juga. Selebih-lebihnya; bererti terlalu banyak, tidak dapat dibilang.

Ayat 71 {(INGATLAH) HARI KAMI MENYERU TIAP-TIAP KUMPULAN MANUSIA DENGAN NAMA IMAMNYA; KEMUDIAN SESIAPA DIBERIKAN KITABNYA DI TANGAN KANANNYA, MAKA MEREKA ITU AKAN MEMBACANYA (DENGAN SUKACITA) DAN MEREKA TIDAK DIKURANGKAN (PAHALA AMAL-AMALNYA YANG BAIK) SEDIKITPUN.} (AL-ISRA’ 17:71)

  1. Setelah sebut keistimewaan manusia di dunia, Allah SWT sebut pula kebaikan mereka di akhirat.
  2. Allah SWT berfirman: {Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya…};
    Ulama’ kata imam itu maksudnya:
    1. Apa yang kita ikut semasa di atas dunia ini. Seperti jika nabi dan guru mana yang diikuti.
    2. Pembimbing yang membawanya kepada kebaikan seperti para rasul dan guru-guru.
    3. Bermaksud anak keturunannya.
    4. Kitab amalan.
    5. Kitab yang diturunkan kepada umat masing-masing semasa di dunia, seperti Taurat, Injil dan lain-lain.
    6. Dengan nama imamnya yang bermaksud ketua atau bossnya yang diikuti selama ini di atas dunia.

    Dalil bahawa setiap orang akan dipanggil dengan nama dia dan bin bapanya bukan ibunya. Sabda Rasulullah SAW:
    إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ
    Maksudnya: “Sesungguhnya pengkhianat itu akan dipancang baginya bendera (sebagai balasan dihadapan orang ramai) pada hari kiamat. Lalu, diseru ke atasnya “Ini adalah pengkhianatan si fulan bin si fulan” [HR al-Bukhari].

  3. Ada ulama’ berkata: Alangkah mulianya para ulama’ hadis kerana imam mereka adalah Rasulullah SAW sendiri.
  4. Ayat ini menunjukkan semua akan ikut dipanggil bersama imam mereka walaupun tidak/kurang beramal. Kurang sikit keaiban. Maka carilah dan ikut orang yang boleh memberi kita ilmu yang benar dan menyelamatkan dari keaiban di akhirat nanti.
  5. Sesiapa yang mendapat surat catatan dengan tangan kanan, mereka akan membacanya dengan gembira. Inilah orang-orang yang beramal soleh.
  1. Manakala orang yang jahat dan tidak beramal soleh pastilah sebaliknya, terima surat amalan dengan tangan kiri dan menakutkan. Sesal pun tiada guna lagi.

Ayat 72 {DAN (SEBALIKNYA) SESIAPA YANG BERADA DI DUNIA INI (DALAM KEADAAN) BUTA (MATAHATINYA), MAKA IA JUGA BUTA DI AKHIRAT DAN LEBIH SESAT LAGI JALANNYA.} (AL-ISRA’ 17:72)

  1. Sesiapa yang di atas dunia ini buta mata hatinya, tidak mahu melihat kebenaran, maka dia juga akan buta di akhirat nanti dan lebih sesat lagi keadaannya.
  2. Buta mata hati yakni ada mata, telinga dan akal tetapi tidak memikirkan kekuasaan Allah SWT dan jalan-jalan yang membawa kepada iman dan amal soleh.
    Maksud akan buta juga di akhirat kelak, yaknilah pastilah balasan yang gelap dan menakutkan juga bagi mereka nanti.

Penutup & Faedah

  1. Takrim: Kemuliaan yang Allah SWT anugerahkan kepada kita begitu besar, maka wajib kita bersyukur dengan tauhid kepada Allah SWT dan beramal soleh.
  2. Tafdhil: Kelebihan akal ke atas makhluk lain juga adalah anugerah Allah SWT, maka hendaklah kita beriman dan melihat kepada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT.
  3. Pahala dan dosa adalah ikut amalan yang kita buat. Maka sesiapa yang buta atas dunia dulu maka begitulah keadaannya di akhirat. Sesiapa yang celik semasa di dunia, cahaya dan kecerahan jugalah baginya di akhirat nanti, insya’ Allah.

Wallahu a’lam.

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas