Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Soal Jawab

Hukum Wanita Atau Isteri Mengiringi Jenazah Suami Ke Kubur

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 7 September 2025 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Persoalan

“Ustaz, bolehkah seorang wanita, khususnya isteri yang kematian suami, ikut mengiringi jenazah ke kubur? Saya lihat sekarang ramai anak perempuan, adik-beradik perempuan, bahkan isteri sendiri ikut sampai ke perkuburan.”

Larangan Umum Wanita Mengiringi Jenazah

Dalam hadis riwayat Ummu ‘Atiyyah RA., beliau berkata:

“Kami dilarang mengikuti jenazah, tetapi larangan itu tidaklah keras (bukan larangan mutlak).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada hadis ini, para ulama menjelaskan:

Pertama, larangan itu bukan bermaksud haram mutlak, tetapi lebih kepada makruh.

Kedua, wanita boleh hadir ke kubur, tetapi mesti menjaga adab dan batas syarak:

  • Duduk jauh daripada liang lahad.
  • Tidak bercampur gaul bebas dengan lelaki.
  • Berpakaian sopan, menutup aurat dengan sempurna.
  • Menjaga tingkah laku dan tidak meratap berlebihan.

Isteri Yang Kematian Suami

Berbeza dengan wanita umum, bagi isteri yang sedang dalam tempoh ‘iddah (berkabung), hukumnya lebih ketat.

Berdasarkan hukum ‘iddah dalam fiqh Mazhab Syafi‘i dan mazhab-mazhab lain:

  • Tidak harus bagi isteri yang kematian suami mengiringi jenazah ke kubur.
  • Sebabnya wanita dalam ‘iddah diwajibkan berada di rumah; dia hanya dibenarkan keluar pada siang hari bagi keperluan seperti membeli makanan dan seumpamanya (Mughni al-Muhtaj, 5/106).
  • Mengiringi jenazah ke kubur tidak termasuk dalam kategori keperluan tersebut, maka hukumnya tidak dibenarkan. Fuqaha mazhab Hanafi dan Hanbali turut menegaskan bahawa wanita dalam ‘iddah wafat tidak keluar kecuali untuk keperluan, bukan untuk ziarah dan seumpamanya (al-Bahr ar-Ra’iq; Daqa’iq Uli an-Nuha). Adapun bagi wanita lain, hukum asal mengiringi jenazah ialah makruh di sisi Mazhab Syafi‘i (al-Majmu‘, 5/277).

Fatwa Semasa di Malaysia

Pandangan jabatan mufti di Malaysia selari dengan fiqh Syafi‘i:

  • Wilayah Persekutuan: Disarankan isteri cukup tinggal di rumah dan menunaikan solat jenazah di rumah, tanpa mengiringi ke kubur; selepas tamat ‘iddah, bolehlah dia menziarahi kubur suaminya.
  • Perlis: Memadai isteri menunggu di rumah dan, jika mahu, menunaikan solat jenazah sebelum jenazah dibawa ke kubur, bagi menghormati hukum ihdad sehingga tamat ‘iddah (panduan hukum Jabatan Mufti Perlis, bukan keputusan rasmi fatwa negeri).

Selepas Tamat ‘Iddah

Selepas tamat tempoh berkabung (‘iddah), isteri boleh menziarahi kubur suami. Hal ini berdasarkan hadis Aisyah RA. yang bertanya apa yang patut diucapkan ketika menziarahi kubur, lalu Nabi ﷺ mengajarkan ucapan salam kepada ahli kubur (Riwayat Muslim).

Ini menunjukkan wanita boleh ziarah kubur dengan syarat menjaga aurat, adab dan tidak melakukan perkara yang dilarang syarak.

Kesimpulan

Pertama, wanita secara umum:

  • Tidak dilarang mutlak, tetapi makruh mengiringi jenazah ke kubur.
  • Jika hadir, mesti menjaga SOP syarak iaitu menjaga aurat, adab dan kedudukan.

Kedua, isteri yang kematian suami:

  • Tidak dibenarkan ikut mengiringi jenazah kerana dalam tempoh ‘iddah, iaitu berkabung di rumah.
  • Boleh menziarahi selepas tamat ‘iddah.

“Kubur bukan tempat berhimpun atau bersosial. Ia tempat peringatan mati dan doa. Maka wanita yang hadir, jagalah adab dan hormat kepada jenazah.”

Rujukan

6 sumber
  1. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jana'iz, Bab Ittiba' an-Nisa' al-Jana'iz, no. 1278; Sahih Muslim, Kitab al-Jana'iz, no. 938 (riwayat Ummu 'Atiyyah).

    Sunnah.com
  2. An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadhdhab (cet. al-Muniriyyah), j. 5, hlm. 277 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  3. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, al-Kafi li al-Fatawi, Soalan 208: Hukum Isteri Mengiringi Jenazah Suami pada Waktu Iddah (8 Mac 2016).

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  4. Jabatan Mufti Negeri Perlis, Irsyad Hukum Siri 27: Hukum Isteri Mengiringi Jenazah Suami ke Tanah Perkuburan (25 November 2022).

    Jabatan Mufti Perlis
  5. Sahih Muslim, Kitab al-Jana'iz, Bab ma Yuqalu 'inda Dukhul al-Qubur, no. 974b (riwayat Aisyah).

    Sunnah.com
  6. Al-Khatib asy-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Fasl fi Sukna al-Mu'taddah, j. 5, hlm. 106 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Soal Jawab Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid? 13 Apr 2026 Soal Jawab Apakah Hukum Dahulukan Qadha Atau Sunat & Isu Gabung Niat Puasa 6 Syawal? 30 Mac 2026 Soal Jawab Siapakah Maksud Orang Yang Muflis Di Akhirat? 25 Feb 2026 Soal Jawab Bolehkah Berdoa Dalam Bahasa Melayu Ketika Solat? 25 Feb 2026