Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Soal Jawab

Apakah Hukum Solat Jama’ Jumaat Dengan Asar?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 11 November 2025 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Persoalan

“Ustaz, kalau kita sedang bermusafir pada hari Jumaat, bolehkah kita solat jama’ antara solat Jumaat dan Asar?”

Hukum Bermusafir Pada Hari Jumaat

Dalam mazhab Syafi‘i, seseorang yang ingin bermusafir pada hari Jumaat hanya dibenarkan keluar dari rumah sebelum waktu subuh. Jika keluar selepas fajar atau selepas terbit matahari, maka kewajipan solat Jumaat tetap kekal ke atasnya dan dia tidak boleh bermusafir, kecuali jika dia dapat menunaikan Jumaat di tempat tujuan atau dalam perjalanan atau dia akan mendapat mudarat jika tertinggal daripada rombongannya (Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 539–540).

Namun, jika sudah keluar sebelum subuh, maka gugurlah kewajipan Jumaat pada hari tersebut.

Contohnya:

  • Jika seseorang bertolak pukul 8 pagi, maka dia masih wajib solat Jumaat di mana-mana masjid yang ditemui di sepanjang perjalanan.
  • Tetapi jika dia berlepas sebelum subuh, maka dia tidak lagi wajib menunaikan solat Jumaat.

Pandangan Mazhab Lain

Dalam mazhab Hanbali, hukum ini lebih luas dan fleksibel. Menurut mereka, seseorang boleh keluar musafir selagi belum masuk waktu solat Jumaat, iaitu sebelum azan Jumaat dilaungkan di kariahnya.

Dalilnya, berdasarkan peristiwa ketika Sayyidina Umar r.a. bertanya kepada seorang sahabat:

“Mengapa kamu belum berangkat?”
Sahabat menjawab, “Hari ini hari Jumaat.”
Sayyidina Umar berkata, “Jumaat tidak menghalang seseorang untuk bermusafir.”

Maka, menurut pandangan ini, jika seseorang keluar sebelum azan Jumaat, dia boleh meneruskan perjalanan dan tidak wajib solat Jumaat.

Isu Solat Jama’ Antara Jumaat & Asar

Inilah persoalan yang sering timbul, bolehkah solat Asar dijamak bersama solat Jumaat bagi musafir?

Pandangan pertama: Tidak boleh jama’.

Mazhab Hanbali berpendapat:

  • Tidak boleh jamak antara solat Jumaat dan Asar.
  • Alasannya: Solat Jumaat ialah solat yang berdiri sendiri (salat mustaqillah), bukan ganti bagi Zuhur.
  • Oleh itu, hukumnya seperti solat Subuh, tidak boleh dijamak dengan solat lain.

Pandangan kedua: Boleh jama’.

Dalam mazhab Syafi‘i, disebut oleh para fuqaha:

“Al-jumu‘atu ka aẓ-ẓuhri (fī jam‘ at-taqdīm)”
“Solat Jumaat itu sama seperti solat Zuhur (dalam jamak taqdim).”

Maka, menurut pandangan ini:

  • Solat Jumaat dianggap menggantikan Zuhur, bukan ibadah yang terpisah.
  • Oleh itu, dibolehkan untuk menjama’ Asar bersama solat Jumaat, sama seperti jamak Zuhur dan Asar, tetapi secara jamak taqdim sahaja; jamak ta’khir tidak boleh kerana solat Jumaat tidak dapat dilewatkan dari waktunya (Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 529).

Amalan Di Lapangan

Sebahagian ulama dan jemaah yang bermusafir memilih pandangan kedua kerana lebih praktikal:

  • Mereka solat Jumaat bersama imam, kemudian menjama’ Asar selepas itu.
  • Jika ada yang tidak setuju, maka tidak perlu berbahas panjang; kedua-dua pendapat ada sandaran ulama.

Prinsipnya: Ikut pandangan yang diyakini dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam jemaah.

Kesimpulan

  • Mazhab Syafi‘i: Boleh jama’ taqdim Asar selepas Jumaat, kerana Jumaat seperti Zuhur dalam jamak taqdim; jamak ta’khir tidak boleh.
  • Mazhab Hanbali: Tidak boleh jama’, kerana Jumaat solat tersendiri.
  • Musafir pada hari Jumaat:
    • Keluar sebelum subuh (Syafi‘i) – gugur Jumaat.
    • Keluar sebelum azan Jumaat (Hanbali) – masih dibolehkan.

Islam memberi ruang dalam khilaf. Pilihlah pendapat yang memudahkan tanpa menyalahi batas syarak.

Wallāhu a‘lam.

Rujukan

3 sumber
  1. Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 529 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  2. Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 539–540 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  3. Athar 'Umar RA: 'Sesungguhnya Jumaat tidak menghalang daripada musafir' — riwayat asy-Syafi'i (al-Umm 1/218), al-Baihaqi (no. 5720) dan 'Abd ar-Razzaq (no. 5537); isnad qawi menurut Syu'aib al-Arna'ut (Takhrij Syarh as-Sunnah 4/228); al-Albani: sahih daripada 'Umar (ad-Durar as-Saniyyah).

    ad-Durar as-Saniyyah

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Soal Jawab Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid? 13 Apr 2026 Soal Jawab Apakah Hukum Dahulukan Qadha Atau Sunat & Isu Gabung Niat Puasa 6 Syawal? 30 Mac 2026 Soal Jawab Siapakah Maksud Orang Yang Muflis Di Akhirat? 25 Feb 2026 Soal Jawab Bolehkah Berdoa Dalam Bahasa Melayu Ketika Solat? 25 Feb 2026