Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 21 Januari 2026 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Kisah Menarik

Ada satu kisah yang sangat “hidup” dalam sunnah Nabi ﷺ, kisah yang nampak ringkas, tetapi sebenarnya mengajar adab sosial, adab berkeluarga dan kehalusan akhlak dalam hubungan sesama manusia. Kisah ini diriwayatkan oleh Anas bin Mālik RA dan disebut dalam Ṣaḥīḥ Muslim dalam Kitāb al-Ashribah.

Anas menceritakan bahawa jiran Rasulullah ﷺ adalah seorang lelaki daripada keturunan Parsi, seorang yang terkenal pandai memasak. Riwayat ini menggambarkan bahawa jiran tersebut sering menyediakan kuah yang enak, sehingga menjadi sebutan.

Matan hadisnya (ringkas) sebagaimana yang masyhur:

أَنَّ جَارًا لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَارِسِيًّا كَانَ طَيِّبَ الْمَرَقَةِ، فَصَنَعَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ ثُمَّ جَاءَ يَدْعُوهُ، فَقَالَ: وَهَذِهِ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَلَا. فَدَعَاهُ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: وَهَذِهِ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَلَا. فَدَعَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: وَهَذِهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. فَقَامَا يَتَدَافَعَانِ حَتَّى أَتَيَا مَنْزِلَهُ

Secara mudahnya, jiran itu menjemput Nabi ﷺ datang makan di rumahnya. Ketika itu Nabi ﷺ sedang bersama isterinya, ʿĀ’ishah رضي الله عنها. Nabi ﷺ bertanya satu soalan yang sangat pendek, tetapi penuh makna:

“وَهَذِهِ؟” (Wa hādhihi?)
“Dan dia ini (ʿĀ’ishah) juga?” / “Boleh dia ikut sekali?”

Tuan rumah menjawab “لَا” (Lā)— tidak. Maka Nabi ﷺ terus menjawab dengan keputusan yang jelas:

“فَلَا” (Falā)
“Kalau begitu, aku pun tidak.”

Bayangkan bukan sekali, tetapi berlaku hingga beberapa kali. Jiran itu menjemput, Nabi ﷺ ulang pertanyaan yang sama: “وَهَذِهِ؟” dan apabila jawapan masih “tidak”, Nabi ﷺ tetap tidak mahu pergi sendirian. Sehinggalah kali ketiga, jiran itu akhirnya bersetuju: “نَعَمْ” (Naʿam)— ya, boleh. Barulah Nabi ﷺ bangun bersama ʿĀ’ishah RA dan mereka berjalan beriringan menuju rumah jiran tersebut.

Kisah ini nampak kecil, tetapi sebenarnya menyampaikan beberapa nilai besar.

Jemputan Hendaklah Meraikan Orang Bersama Yang Dijemput

Dalam budaya kita pun, bila seseorang menjemput, lebih-lebih lagi menjemput “secara tiba-tiba”, maka adabnya ialah mengambil kira situasi orang yang dijemput. Nabi ﷺ ketika itu bersama isterinya. Menjemput seorang sahaja dan “meninggalkan” yang seorang lagi dalam suasana itu, memang mudah melukakan perasaan.

Sunnah ini mengajar supaya jemputan yang baik bukan sekadar “makanan sedap”, tetapi juga “cara kita menjaga maruah dan hati orang.”

Hak Orang Yang Dijemput Untuk Meletakkan Syarat

Imam al-Nawawī rahimahullah menjelaskan bahawa ketika itu ada keuzuran yang menggugurkan kewajipan memenuhi jemputan, maka:

فَكَانَ النَّبِيُّ ﷺ مُخَيَّرًا بَيْنَ إِجَابَتِهِ وَتَرْكِهَا

“Maka Nabi ﷺ bebas memilih antara memenuhi jemputan itu atau meninggalkannya.”

Maksudnya: orang yang dijemput boleh menyatakan syarat yang munasabah. Contohnya: “Saya datang, tapi boleh saya bawa isteri?” atau “Saya ada pantang, boleh elakkan makanan tertentu?”, ini dibenarkan selagi tidak melampau dan tidak membebankan tuan rumah.

Bezanya di sini ialah syarat yang beradab vs syarat yang menyusahkan. Islam meraikan keperluan, tetapi tidak menggalakkan sikap “memayahkan” orang.

Gambaran “al-ḥayāh al-ṭayyibah” Dalam Rumah Tangga

Ulama seperti Imam al-Nawawī rahimahullah menyebut nilai yang besar dalam kisah ini: Nabi ﷺ menunjukkan kehidupan rumahtangga yang sihat—bukan sekadar tinggal serumah, tetapi ada “kebersamaan” yang dijaga.

وَهَذَا مِنْ جَمِيلِ الْمُعَاشَرَةِ وَحُقُوقِ الْمُصَاحَبَةِ وَآدَابِ الْمُجَالَسَةِ الْمُؤَكَّدَةِ

“Ini termasuk keindahan pergaulan, hak-hak persahabatan dan adab-adab bermajlis yang sangat dituntut.”

Nabi ﷺ tidak selesa apabila dirinya diraikan, tetapi isterinya diketepikan, sedangkan isterinya berada bersama baginda pada saat itu dan mungkin juga dalam keadaan lapar sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawī. Ini bukan soal “manja”, tetapi soal adab memuliakan pasangan dan menjaga hati ahli rumah.

Tawāḍuʿ Nabi ﷺ Menerima Jemputan Walaupun Hidangan Ringkas

Nabi ﷺ menerima jemputan orang ramai walaupun makanan sedikit:

لَوْ دُعِيتُ إِلَى ذِرَاعٍ أَوْ كُرَاعٍ لَأَجَبْتُ

“Sekiranya aku dijemput kepada (hidangan) lengan atau kaki kambing sekalipun, nescaya aku akan memenuhinya.”

Riwayat al-Bukhari

Ini adalah adab besar dalam masyarakat supaya tidak memandang jemputan berdasarkan “menu”, tetapi berdasarkan hubungan dan memuliakan orang yang menjemput.

Islam Tidak Mengharamkan Yang Baik

Kisah ini juga menarik kerana jiran tersebut terkenal dengan masakan yang sedap dan Nabi ﷺ tidak menolak semata-mata kerana ingin “zuhud”. Allah berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

“Katakalah: Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia keluarkan untuk hamba-hamba-Nya dan rezeki yang baik?”

Surah al-A‘rāf: 32

Maksudnya, menikmati makanan sedap yang halal, pakaian kemas dan rezeki yang baik, itu dibenarkan. Yang ditegah ialah berlebihan, sombong atau melanggar batas syarak.

Kesimpulan

Kisah “Wa Hādhihi?” mengajar bahawa sunnah bukan sekadar ibadah khusus, tetapi juga adab yang membina keluarga dan masyarakat. Cara Nabi ﷺ menjaga hati isteri, cara baginda bertegas dengan penuh adab dan cara baginda memuliakan jemputan, semuanya membentuk model hubungan yang harmoni.

Rujukan

5 sumber
  1. Sahih Muslim, Kitab al-Asyribah, no. 2037 (daripada Anas bin Malik).

    Sunnah.com
  2. An-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, j. 13, hlm. 208–209 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  3. Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 32.

    Quran.com
  4. An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, j. 13, hlm. 208 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  5. Sahih al-Bukhari, no. 2568.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab 8 Adab Bila Berada Di Tepi Jalan Menurut Hadis Nabi SAW 2 Sep 2025