Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

8 Adab Bila Berada Di Tepi Jalan Menurut Hadis Nabi SAW

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 2 September 2025 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Hadis Nabi SAW

Sahabat bernama Abu Talhah RA. menceritakan suatu hari, beberapa orang sahabat duduk berbual di halaman rumah yang berdekatan dengan jalan.

Ketika Rasulullah SAW lalu, Baginda bertanya:

“Apa urusan kamu dengan majlis-majlis di tepi jalan? Jauhilah majlis-majlis di tepi jalan.”

Para sahabat menjawab:

“Wahai Rasulullah, kami duduk bukan kerana perkara yang salah; kami duduk untuk berbincang dan berbual dan kami tidak dapat mengelak daripada majlis kami ini.”

Lalu Nabi SAW bersabda:

“Jika kamu enggan melainkan mesti duduk di tepi jalan, maka berikanlah hak jalan.”

Para sahabat pun bertanya:

“Apakah hak jalan itu, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab:

“Menundukkan pandangan, tidak menyakiti, menjawab salam, berkata baik, menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran, menunjukkan jalan dan membantu orang yang memerlukan.” (Himpunan riwayat Muslim, no. 2121 dan 2161; serta Abu Daud, no. 4816 dan 4817)

Pertama, Menundukkan Pandangan (Ghadul Basar)

Maksudnya: Jangan memandang orang lalu-lalang dengan pandangan tajam atau penuh syahwat.

Contohnya:

  • Jangan menjeling atau memerhati orang berpakaian singkat.
  • Elakkan pandangan sinis kepada orang yang berlainan bangsa atau status.
  • Kalau di kedai kopi tepi jalan, jangan asyik “skodeng” orang lalu.

Mengelak fitnah, menjaga maruah dan mendidik hati supaya bersih.

Kedua, Tidak Menyakiti (Kaf al-Adza)

Maksudnya: Jangan menyusahkan atau mengganggu orang di jalan.

Contohnya:

  • Duduk melepak jangan halang laluan motosikal atau pejalan kaki.
  • Jangan buang sampah di jalan.
  • Jangan sindir orang yang lalu depan kita.

Jalan adalah hak bersama, maka jangan jadi punca kesusahan orang lain.

Ketiga, Menjawab Salam (Raddu as-Salam)

Maksudnya: Jika seseorang memberi salam, wajib dijawab dengan lebih baik atau setara.

Contohnya:

  • Kalau ada jiran lalu beri salam, jawab dengan senyuman & suara jelas.
  • Jangan buat-buat tak dengar kerana sibuk dengan telefon.

Salam adalah doa dan tanda kasih sesama Muslim.

Keempat, Bertutur Dengan Baik (Husnul Kalam)

Maksudnya: Gunakan kata-kata sopan, bukan cacian atau kata kesat.

Contohnya:

  • Kalau jumpa kawan lalu, tegur dengan ramah, bukan jerit kasar.
  • Elakkan gelak besar-besar hingga mengganggu orang lain.

Pertuturan yang baik menyejukkan hati dan mendekatkan persaudaraan.

Kelima, Amar Makruf

Maksudnya: Ajak kepada perkara baik jika ada kesempatan.

Contohnya:

  • Ingatkan kawan solat bila masuk waktu.
  • Ajak anak muda yang melepak lama-lama ke surau atau aktiviti bermanfaat.

Kita menjadi agen kebaikan walau dalam perkara kecil.

Keenam, Nahi Munkar

Maksudnya: Tegur dengan hikmah jika nampak kemungkaran.

Contohnya:

  • Jika ada rakan hisap rokok atau vape di tempat awam, nasihatkan perlahan.
  • Jika terdengar kata-kata makian, ingatkan dengan lembut.

Mengelak dosa berleluasa dan mendidik masyarakat dengan akhlak.

Ketujuh, Menunjukkan Jalan (Irsyad as-Sabil)

Maksudnya: Membantu orang yang tersesat atau tidak tahu arah.

Contohnya:

  • Kalau orang tanya lokasi masjid, jangan buat endah tak endah.
  • Tunjuk arah dengan jelas atau guna telefon untuk bantu.

Pahala sedekah ilmu dan memudahkan urusan orang lain.

Kelapan, Membantu Orang Susah (Ighathatul Malhuf)

Maksudnya: Menolong orang yang uzur, lemah atau terbeban.

Contohnya:

  • Bantu orang tua menyeberang jalan.
  • Tolong angkat barang jiran yang berat.
  • Kalau nampak tayar motor bocor, tolong tunjuk bengkel berdekatan.

Meningkatkan rasa empati dan kasih sayang dalam masyarakat.

Kesimpulan

Hadis ini mengajar bahawa walaupun sekadar duduk di tepi jalan, Islam menggariskan adab yang mendidik jiwa dan menjaga masyarakat.

  • Jaga mata dan kata-kata.
  • Hormati hak orang lalu-lalang.
  • Jadi asbab kebaikan, bukan kesusahan.

Adab kecil, tetapi impaknya besar. Inilah cara Islam mendidik umatnya berakhlak walau dalam perkara seharian.

Rujukan

4 sumber
  1. Sahih Muslim, Kitab as-Salam, Bab min Haqq al-Julus 'ala at-Tariq Radd as-Salam, no. 2161 (riwayat Abu Talhah).

    Sunnah.com
  2. Sahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah, Bab an-Nahy 'an al-Julus fi at-Turuqat, no. 2121 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri).

    Sunnah.com
  3. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Adab, Bab fi al-Julus fi at-Turuqat, no. 4816 (riwayat Abu Hurairah) — dinilai hasan sahih oleh al-Albani.

    Sunnah.com
  4. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Adab, Bab fi al-Julus fi at-Turuqat, no. 4817 (riwayat Umar bin al-Khattab) — dinilai sahih oleh al-Albani.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026