Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.

Sepatah Kata Penterjemah

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ, ahli keluarga dan semua sahabat serta tabi’in.

Syukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnianya buku “Perisai Muslim” Himpunan doa dan zikir dari Al-Quran dan As-Sunnah yang disusun oleh Sheikh Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf Al-Qahthani ini telah dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Semoga ia dapat dimanfaatkan oleh pembaca dalam menghayati amalan yang telah diamalkan oleh Rasulullah ﷺ sekaligus dapat menghidupkan kembali sunnah Rasulullah ﷺ yang telah banyak dilupakan.

Sesungguhnya beramal dengan amalan yang diajar oleh Rasulullah ﷺ sangat besar pahalanya. Nabi ﷺ pernah keluar pada suatu hari dari rumah isterinya Juwairiah r.anha untuk solat subuh dan Juwairiah sedang berada di tempat solatnya. Sewaktu Nabi ﷺ kembali, matahari sudah mula tinggi (dhuha) dan beliau masih berada di tempat itu. Apabila Nabi ﷺ melihatnya Baginda bersabda yang bermaksud: “Awak masih berada di tempat yang saya lihat sewaktu keluar tadi?”. “Ya”, jawab isterinya. Sabdanya lagi: “Sesungguhnya saya telah membaca selepas meninggalkan awak empat kalimah sebanyak tiga kali yang jika ditimbang dengan bacaan yang awak baca pada hari ini, timbangannya lebih berat lagi”. (lihat bacaan No. 94) [Sahih Muslim No. 2726].

Penyusun telah memilih bacaan doa atau zikir dari hadis-hadis yang sahih, hasan atau yang mempunyai sanad yang baik yang boleh beramal dengannya berdasarkan hukum yang diputuskan oleh ulama’ hadis.

Oleh kerana semua bacaan doa dan zikir tersebut dalam Bahasa Arab, maka disarankan kepada pembaca agar mempelajari bacaan teks doa atau zikir daripada orang yang boleh atau memahami bahasa arab agar setiap kalimat yang dibaca betul dari segi bacaan dan maknanya kerana apabila bacaan berubah, maka ertinya juga akan berubah. Kalimat bahasa arab juga adakalanya tidak dapat diterjemahkan ertinya dengan sepenuhnya kerana Nabi ﷺ telah diberi kelebihan oleh Allah dengan “Jawami’ Al-Kalim” iaitu ucapan yang ringkas tetapi mengandungi erti yang panjang dan mendalam. Adapun terjemahan setiap doa dan zikir hanyalah sebagai bantuan untuk memahami erti setiap bacaan agar menambahkan rasa khusyuk sewaktu membacanya.

Akhirnya saya mengucapkan ‘Jazakumullahu khairan kathira’ kepada penyusun asal dan kepada sahabat saya Ustaz Lokmanul Hakim Bin Husain, Salehuddin bin Abu Samah dan Khairil Husaini bin Jamil mahasiswa Universiti Islam Madinah, anakanda Anas bin Abdul Basit [semakan 2022] dan semua yang turut membantu menyemak terjemahan buku ini. Semoga semua amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah sebagai amal kebaikan pada hari akhirat nanti, Amin.

Penterjemah, Abu Anas Madani, Abdul Basit bin Abdul Rahman. Madinah, 27 Safar 1423H. Bersamaan 10 May 2002. www.abuanasmadani.com.

Muqaddimah Penyusun

إِنَّ الحَمْدَ ِللهِ، نَحْمَدُهُ، وَنَسْتَعِيْنُهُ، وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا، وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَسَلََّمَ تَسْلِيْماً كَثِيْراً، أَمَّا بَعْدُ.

Buku ini adalah ringkasan dari buku saya:

( الذِّكْرُ وَالدُّعَاءُ وَالعِلاَجُ بِالرُّقَى مِنَ الكِتَابِ وَالسُّنَّةِ )

Saya telah meringkaskan bahagian zikir supaya senang dibawa ketika bermusafir.

Saya hanya mengambil teks (matan) zikir dan saya hanya menyebut satu atau dua sumber rujukan daripada kitab asal. Sesiapa yang ingin mengetahui sahabat-sahabat Nabi yang meriwayatkan hadis-hadis ini dengan lebih terperinci atau tentang takhrij (sumber rujukan dan status) hadis bolehlah merujuk kepada kitab asal.

Saya memohon kepada Allah ﷻ dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-sifat-Nya Yang Maha Tinggi agar menjadikan amalan ini ikhlas kerana-Nya, dan agar aku mendapat manfaat darinya semasa hidup saya dan selepas saya mati. Juga agar ia memberikan manfaat kepada mereka yang membaca, juga mereka yang mencetaknya atau menjadi penyebab kepada tersebarnya buku ini. Sesungguhnya Allah ﷻ yang memiliki segala manfaat lagi Maha berkuasa ke atasnya.

وَصَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

Penyusun.

Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf Al-Qahtani.

Safar 1409H.

Kelebihan Zikir

Allah Ta'ala berfirman:

﴿فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ ١٥٢ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ١٥٣﴾

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

(Al-Baqarah, ayat 152).

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ٤١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Al-Ahzab, ayat 41).

﴿وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ٣٥﴾

“Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab, ayat 35).

﴿وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ ٢٠٥﴾

“Dan sebutlah serta ingatlah akan tuhanmu di dalam hatimu dengan merendahkan diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai.”

(Al-A’raf, ayat 205).

Sabda Nabi ﷺ:

( مَثَلُ الذِّيْ يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالذِّيْ لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ )

“Perumpamaan orang yang menyebut (nama) Tuhannya dengan orang yang tidak menyebut (nama) Tuhannya umpama orang yang hidup dengan orang yang mati.”1

Sabda Nabi ﷺ:

( أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيْكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِيْ دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوْا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوْا أَعْنَاقَكُمْ ؟ قَالُوْا بَلَى. قَالَ: ذِكْرُ اللهِ تَعَالَى ).

“Mahukah aku khabarkan kepadamu sebaik-baik amalan kamu, yang paling suci di sisi Tuhan kamu, yang paling tinggi darjatnya bagimu, yang lebih baik bagimu dari menderma emas dan perak dan lebih baik bagimu dari bertemu dengan musuh maka kamu memenggal leher mereka dan mereka memenggal leher kamu?” Jawab sahabat: “Mahu!” Sabda Nabi ﷺ: “Menyebut dan mengingati Allah Ta'ala.”2

Sabda Nabi ﷺ:

( يَقُوْلُ اللهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِيْ بِيْ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِيْ، فَإِنْ ذَكَرَنِيْ فِيْ نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِيْ نَفْسِيْ، وَإِنْ ذَكَرَنِيْ فِيْ مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِيْ مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ شِبْراً تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعاً، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعاً تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعاً، وَإِنْ أَتَانِيْ يَمْشِيْ أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً ).

“Allah ﷻ berfirman (dalam hadis qudsi): “Aku mengikut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, Aku bersamanya (memberi rahmat dan membelanya) apabila dia mengingati-Ku. Jika dia (hamba-Ku) mengingati-Ku dalam dirinya nescaya Aku menyebutnya dalam diri-Ku. Apabila dia menyebut nama-Ku dalam kumpulan nescaya Aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika dia menghampiri-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika dia menghampiriku sehasta aku mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan,

Aku datang kepadanya berlari.”3

Dari Abdullah bin Busr رضي الله عنه menceritakan bahawa seorang lelaki telahberkata: “Wahai Rasulullah! (tuntutan) Syariat Islam telah banyak ke atas saya, maka khabarkanlah kepada saya sesuatu yang boleh saya berpegang dengannya. Sabda Nabi ﷺ:

( لاَ يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْباً مِنْ ذِكْرِ اللهِ )

“Sentiasalah basahi lidahmu dengan menyebut nama Allah.”4

Sabda Nabi ﷺ:

( مَنْ قَرَأَ حَرْفاً مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لاَ أَقُوْلُ: حَرْفٌ؛ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلاَمٌ حَرْفٌ، وَمِيْمٌ حَرْفٌ ).

“Sesiapa membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu pahalanya sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan 'Alif Lam Mim' itu satu huruf, tetapi 'Alif' satu huruf, 'Lam' satu huruf dan 'Mim' satu huruf”5.

Dari ‘Uqbah bin 'Amir رضي الله عنه berkata: “Rasulullah ﷺ keluar dari rumahnya ketika kami berada di Suffah (belakang masjid). Baginda bersabda:

( أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنْ يَغْدُوَ كُلَّ يَوْمٍ إِلَى بُطْحَانَ أَوْ إِلَىْ العَقِيْقِ فَيَأْتِيَ مِنْهُ بِنَاقَتَيْنِ كَوْمَاوَيْنِ فِيْ غَيْرِ إِثْمٍ وَلاَ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ ؟ فَقُلْنَا: يَا رَسُوْلَ اللهِ نُحِبُّ ذَلِكَ. قَالَ: أَفَلاَ يَغْدُو أَحَدُكُمْ إِلَى المَسْجِدِ فَيَعْلَمَ، أَوْ يَقْرَأَ آيَتَيْنِ مِنْ كِتَابِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرٌ لَهُ مِنْ نَاقَتَيْنِ، وَثَلاَثٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ ثَلاَثٍ، وَأَرْبَعٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَرْبَعٍ، وَمِنْ أَعْدَادِهِنَّ مِنَ الإِبِلِ ).

“Siapa daripada kalangan kamu yang suka untuk keluar pada setiap hari pergi ke Buthhan atau Al-‘Aqiq, kemudian membawa pulang dua ekor unta yang besar dengan tidak melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim?” Kami menjawab: “Wahai Rasulullah, kami suka untuk melakukannya.” Sabdanya: “Apabila seseorang daripada kamu pergi ke masjid untuk belajar atau membaca dua ayat dari kitab Allah, itu lebih baik baginya daripada dua ekor unta, (belajar atau membaca) tiga ayat lebih baik daripada tiga ekor unta, empat ayat lebih baik daripada empat ekor, dan sebanyak mana bilangan ayat yang kamu baca itu lebih baik daripada bilangan yang seumpamanya daripada unta”6.

Sabda Nabi ﷺ:

( مَنْ قَعَدَ مَقْعَداً لَمْ يَذْكُرِ اللهَ فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ، وَمَنِ اضْطَجَعَ مَضْجَعاً لَمْ يَذْكُرِ اللهَ فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ ).

“Sesiapa yang duduk di suatu tempat dengan tidak menyebut nama Allah ﷻ di tempat tersebut, dia akan ditimpakan oleh Allah dengan sesuatu yang merugikan, dan sesiapa yang berbaring di suatu tempat dengan tidak menyebut nama Allah di tempat tersebut, dia akan ditimpakan oleh Allah ﷻ dengan sesuatu yang merugikan”7.

Sabda Nabi ﷺ:

( مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِساً لَمْ يَذْكُرُوا اللهَ فِيْهِ، وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلاَّ كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةٌ، فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ ).

“Tidak duduk suatu kaum dalam satu majlis dalam keadaan tidak menyebut nama Allah ﷻ padanya dan tidak berselawat ke atas Nabi ﷺ melainkan mereka akan ditimpa kerugian. Jika Allah ﷻ menghendaki, Dia akan menimpakan azab ke atas mereka, dan jika Allah ﷻ menghendaki, Dia akan mengampuni mereka.”8

Sabda Nabi ﷺ:

( مَا مِنْ قَوْمٍ يَقُوْمُوْنَ مِنْ مَجْلِسٍ لاَ يَذْكُرُونَ اللهَ فِيْهِ إِلاَّ قَامُوْا عَنْ مِثْلِ جِيْفَةِ حِمَارٍ وَكَانَ لَهُمْ حَسْرَةً).

“Suatu kaum yang bangun bersurai dari majlis yang tidak disebut nama Allah padanya adalah umpama mereka yang bangun dari melingkungi (hidangan) bangkai himar (keldai), dan mereka mendapat kerugian.”9

  1. Sahih al-Bukhari. Fathul Bari (11/208). Sahih Muslim dengan lafaz: 'Perumpamaan rumah yang disebut nama Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebut (nama) Allah di dalamnya, umpama orang hidup dengan orang mati'. (1/539).
  2. At-Tirmizi (5/459), Ibnu Majah (2/1245). Lihat: Sahih Ibnu Majah (2/316), Sahih At-Tirmizi (3/139).
  3. Al-Bukhari (8/171), Muslim (4/2061). Lafaz hadis menurut riwayat Al-Bukhari.
  4. At-Tirmizi (5/458), Ibnu Majah (2/1246). Lihat: Sahih At-Tirmizi (3/139), Sahih Ibnu Majah (2/317).
  5. At-Tirmizi (5/175). Lihat: Sahih At-Tirmizi (3/9), Sahih al-Jami’ as-saghir (5/340).
  6. Muslim (1/553).
  7. Abu Daud (4/264), Ahmad (2/389). Lihat: Sahih al-Jami'. (5/342).
  8. H.R At-Tirmizi; Lihat Sahih At-Tirmizi (3/140).
  9. Abu Daud (4/264), Musnad Ahmad (2/389). Lihat: Sahih al-Jami'. (5/176).
Mula membaca doa & zikir →