Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Tazkirah

Ulama, Di Antara Peranan dan Cabaran

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 27 September 1999 · 10 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Persoalan mengenai peranan, tanggungjawab dan kewibawaan institusi ulama sering diperkatakan. Siapakah sebenarnya ulama yang dikatakan pewaris para nabi, apakah peranan mereka dalam masyarakat dan apakah usaha yang perlu dilakukan bagi mengangkat martabat ulama? Bagaimanakah para ulama menghadapi tohmahan yang dilemparkan kepada mereka dan apakah cabaran yang harus ditangani para ulama dalam menghadapi alaf baru?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Suara Madinah (SM), majalah terbitan Perpustakaan Pelajar Malaysia Madinah, berkesempatan menemu bual Ustaz Abdul Basit bin Abdul Rahman (kini Dato’ Dr. Abu Anas Madani), ketika itu pelajar Sarjana Syariah, Universiti Islam Madinah, pada 27 September 1999 bersamaan 17 Jamadilakhir 1420H.

Siapakah Ulama Pewaris Nabi?

Suara Madinah: Ramai yang kurang jelas mengenai ungkapan Ulama Pewaris Nabi. Ada yang mengatakan maksudnya ialah mereka yang dikurniakan Allah kelebihan dalam memahami ilmu-ilmu agama, beramal dengannya serta menyebarkannya semata-mata kerana Allah tanpa berasa takut kepada sesiapa. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa ulama ialah mereka yang mahir atau ahli dalam sesuatu bidang, sama ada bidang agama atau bidang-bidang lain. Jadi, bolehkah ustaz jelaskan siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ulama pewaris nabi?

Abdul Basit: Untuk menjelaskan takrif ulama, eloklah kita lihat hadis yang menyebut ulama pewaris nabi. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu ad-Darda’ radhiallahu ‘anhu, lafaznya:

((مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ))

[أخرجه أحمد 5/196، وأبو داود 3641، والترمذي 2682 وغيرهم. وهو حديث صحيح. انظر: صحيح سنن أبي داود رقم 3096]

Maksudnya: “Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah SWT akan memudahkan baginya salah satu jalan menuju syurga. Para malaikat merendahkan sayapnya kerana reda kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang alim itu dimintakan keampunan baginya oleh mereka yang berada di langit dan di bumi, juga oleh ikan di dalam air. Kelebihan orang alim ke atas orang abid (ahli ibadat yang tidak berilmu) seperti kelebihan bulan purnama ke atas segala bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham (harta), sebaliknya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil bahagian yang besar.”

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa yang dimaksudkan dengan ulama di sini ialah ulama syariah yang beramal dengan ilmunya. Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya adalah untuk diamalkan, bukan hanya sebagai teori untuk dipelajari atau dikaji semata-mata; kedua-duanya mesti selaras.

Tanggungjawab Ulama

Suara Madinah: Mengikut takrif yang ustaz kemukakan, jelas bahawa ulama menanggung amanah yang besar terhadap kefahaman dan kepakaran ilmu agama yang mereka miliki. Sehubungan itu, apakah tanggungjawab mereka terhadap persekitaran mereka: masyarakat, bangsa dan negara?

Abdul Basit: Memang ulama menanggung amanah besar yang dipikulkan ke atas mereka. Ulama wajib menyampaikan kebenaran berdasarkan ilmu yang mereka miliki dan menjalankan tugas al-amru bil-ma‘ruf wan-nahyu ‘anil-munkar, kerana inilah antara ciri umat ini menjadi umat terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:

{كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ...}

Maksudnya: {Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah…} [Ali ‘Imran: 110]

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

((مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ)) [أخرجه أحمد 2/263، وأبو داود 3658، والترمذي 2649 (حسن صحيح). انظر: صحيح سنن أبي داود 3106]

Maksudnya: “Sesiapa yang ditanya mengenai sesuatu ilmu (yang dimilikinya) lalu dia menyembunyikannya, Allah SWT akan mengekangnya dengan kekang daripada api neraka pada hari kiamat kelak.”

Mereka adalah pembimbing kepada masyarakat dan penasihat kepada pemerintah. Sekiranya mereka tidak menjalankan tugas tersebut, siapa lagi yang diharapkan dapat melakukannya? Kelesuan atau kebisuan ulamalah yang menyebabkan banyaknya berlaku kerosakan dalam masyarakat dan juga pemerintahan. Yang lebih dahsyat lagi apabila mereka bukan setakat bisu daripada menyampaikan kebenaran, tetapi sebaliknya menjadi pengampu yang mengiakan semua perkara yang dibuat oleh pemerintah, termasuk maksiat yang terang dan nyata bercanggah dengan hukum Islam, semata-mata untuk menjaga kedudukan dan pangkat yang diberikan. Sudahlah mereka sendiri sesat, menyesatkan orang lain pula.

Untuk peringatan, dibawakan satu hadis yang selalu dibaca apabila membincangkan bab ini, iaitu sabda Rasulullah SAW:

((صِنْفَانِ مِنْ أُمَّتِي إِذَا صَلَحَا صَلَحَ النَّاسُ: الْأُمَرَاءُ وَالْفُقَهَاءُ)) وفي رواية: ((وَالْعُلَمَاءُ))

Maksudnya: “Dua golongan daripada umatku, apabila baik kedua-duanya maka baiklah seluruh manusia, iaitu golongan umara’ (pemerintah) dan fuqaha’ (atau ulama).” Mungkin dari segi maknanya betul, tetapi dari segi sanadnya hadis ini maudhu‘ (palsu). Lihat as-Silsilah adh-Dha‘ifah, 1/70, no. 16; Dha‘if al-Jami‘ ash-Saghir, hlm. 511, no. 3495.

Yang paling penting, ulama itu sendiri harus menjadi qudwah hasanah, iaitu contoh yang baik bagi orang lain: tidak sekadar menyeru atau mengajak orang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, sedangkan dia sendiri atau ahli keluarga di bawah tanggungjawabnya terbukti tidak mengamalkan apa yang diajar dan dituntut oleh syariat.

Tohmahan Terhadap Ulama

Suara Madinah: Hari ini ada pihak yang menohmah ulama dengan pelbagai tohmahan yang memperlekeh kewibawaan mereka. Suara-suara yang mengatakan ulama tidak layak menjadi pentadbir dan pemerintah, ulama tidak sepatutnya berpolitik dan ulama menggunakan agama untuk kepentingan diri dan politik sering kita dengar daripada pihak yang cuba mengenepikan peranan ulama dalam masyarakat. Persoalannya, apakah sebab dan punca tohmahan ini timbul dan bagaimanakah cara ulama menghadapinya?

Abdul Basit: Kalau kita melihat sejarah, tuduhan yang dilemparkan kepada ulama bukan perkara baharu. Ini kesinambungan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang dahulu. Tidak ada seorang nabi pun melainkan dituduh dengan pelbagai tuduhan; bahkan Rasulullah SAW telah dituduh sebagai tukang sihir, penyair, gila dan sebagainya.

Oleh kerana Nabi sudah tiada, tuduhan itu dilemparkan pula kepada ulama yang menyambung tugas nabi, sesuai dengan taraf seorang ulama sebagai pewaris nabi.

Tujuan tohmahan atau tuduhan ini ialah untuk menjauhkan masyarakat daripada ulama. Ini kerana, sebagaimana yang diketahui, masyarakat masih memandang tinggi dan menghormati alim ulama. Yang takut kepada ulama ialah mereka yang sayang kepada maksiat dan kemungkaran, kerana takut apabila masyarakat menyedari kemungkaran yang mereka lakukan, kepercayaan kepada mereka akan hilang dan seterusnya pangkat yang mereka miliki juga akan tercabut. Kesimpulannya, perkara ini timbul kerana hubb ad-dunya wal-jah (cintakan dunia dan kedudukan).

Para ulama pula mesti bersabar menyampaikan kebenaran walau apa pun yang terjadi, terus berdakwah dan menjelaskan kekeliruan yang timbul atau tohmahan yang dilemparkan dengan penuh hikmah dan mau‘izah hasanah. Sudah menjadi sunnatullah setiap pendakwah yang ingin menegakkan kebenaran akan diuji, mungkin untuk memantapkan lagi istiqamahnya. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita serta meneguhkan istiqamah dan komitmen kita kepada Islam.

Suara Madinah: Adakah masyarakat terkesan dengan tohmahan-tohmahan itu?

Abdul Basit: Setiap perkara yang ditimbulkan tentulah ada kesannya, sedikit atau banyak, lebih-lebih lagi kepada mereka yang ‘jauh’ daripada masjid, surau atau majlis-majlis ilmu seperti kuliah dan ceramah.

Kalaupun mereka tidak menerimanya seratus peratus atau sukar mempercayainya, kekeliruan tetap timbul: mana satukah yang betul atau benar? Untuk mendapat penjelasan tentang isu yang ditimbulkan, mereka tidak pula merujuk kepada sumber yang tepat, hanya melalui media massa arus perdana yang sememangnya menjadi alat propaganda pihak tertentu.

Mengangkat Martabat Institusi Ulama

Suara Madinah: Bagi mengembalikan kegemilangan dan mengangkat martabat institusi ulama, apakah usaha yang sepatutnya dijalankan oleh ulama sendiri, masyarakat dan pihak pemerintah?

Abdul Basit: Untuk mengembalikan kegemilangan institusi ulama yang semakin pudar sekarang ialah dengan kesatuan ulama. Ulama mesti bersatu dalam semua perkara berdasarkan al-Quran dan hadis, jauh daripada hawa nafsu dan kepentingan diri. Apabila timbul sesuatu isu, seluruh ulama mesti bermuzakarah mencari kata sepakat, tidak seperti sekarang: kalau ada ulama mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara hari ini, esok akan ada pula yang mengeluarkan pendapat yang bertentangan, kadang-kadang dalam perkara yang jelas bercanggah dengan syariat Islam. Contohnya pengharaman ‘ratu cantik’: apabila ada ulama cuba bertegas menentang perbuatan tersebut, ada pula yang mengatakan ‘tidak bijaksana’, tidak ada hikmah dan sebagainya.

Ana teringat peristiwa yang berlaku kepada ‘Izzuddin bin Abdul Salam (al-‘Izz), yang digelar Sultan Ulama, kerana ketegasan beliau mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan kehendak pemerintah Mesir ketika itu, Sultan as-Salih Najmuddin Ayyub. Al-‘Izz, yang ketika itu menjawat jawatan qadi Mesir, berfatwa bahawa para amir Mamluk masih berstatus hamba dari segi syarak dan tidak sah urusan mereka sebagai orang merdeka melainkan mereka dijual dan dimerdekakan. Fatwa itu ditolak dan ditentang, bahkan al-‘Izz dilayan dengan kasar. Memandangkan keadaan tersebut, al-‘Izz meletakkan jawatannya dan membuat keputusan meninggalkan Kaherah. Setelah berita keluarnya al-‘Izz dari Kaherah diketahui umum, rakyat dari segenap lapisan masyarakat, ulama dan semuanya, mengambil keputusan untuk keluar bersama-sama al-‘Izz sebagai tanda menyokong beliau. Akhirnya Sultan sendiri terpaksa datang menemui al-‘Izz dan memujuknya kembali semula ke Kaherah dan fatwa yang dikeluarkannya itu dilaksanakan: para amir itu dijual dan hasilnya dimasukkan ke Baitulmal.

Masalahnya sekarang, kalau seorang ulama di‘gam’ atau dipecat kerana ketegasannya membela kebenaran, akan timbul sepuluh orang lagi yang mahukan jawatan yang kosong itu walaupun terpaksa mengorbankan prinsip dan kebenaran.

Pihak masyarakat pula hendaklah sentiasa berdamping dengan ulama dan menimba ilmu daripada mereka. Sekiranya timbul sesuatu isu atau tuduhan, hendaklah terus bertemu atau menghadiri majlis penerangan tentang perkara sebenar yang berlaku, bukannya mencari sumber maklumat lain yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.

Pemerintah pula hendaklah memberi kebebasan kepada ulama untuk menyampaikan nasihat, teguran dan kritikan yang membina, serta sentiasa meminta pandangan dan tunjuk ajar mereka tentang perkara yang menyentuh hukum syariat, halal dan haram, bukannya pandai-pandai membuat tafsiran sendiri yang mengelirukan bahkan mungkin menyesatkan. Institusi ulama mesti diletakkan di tempat yang sepatutnya, bukan sekadar pembaca doa di akhir majlis, pemimpin majlis tahlil atau pembawa bendera dalam perarakan maulid sahaja.

Cabaran Ulama Alaf Baru

Suara Madinah: Dalam menghadapi alaf baru, pastinya ulama tidak terkecuali daripada cabaran yang harus ditangani. Bolehkah ustaz sebutkan cabaran tersebut dan bagaimanakah seharusnya ulama menanganinya?

Abdul Basit: Cabaran untuk menghadapi alaf baru cukup banyak. Para ulama mesti mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa, serta mengkaji dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul agar dapat menanganinya dengan baik dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan yang selaras dengan zaman dan bertepatan dengan syariat Islam, sebagaimana yang disebut sekarang sebagai Fiqh an-Nawazil.

Contohnya perkara-perkara baharu yang tidak tercatat dalam kitab-kitab yang ditulis pada zaman dahulu, seperti masalah bayi tabung uji, pengklonan, pemindahan anggota dan lain-lain. Dalam bidang muamalat pula timbul bermacam-macam jenis perniagaan, saham, kad kredit dan lainnya. Dalam bidang akidah dan pemikiran pula timbul mazhab dan fahaman baharu seperti sekularisme, pragmatisme, sosialisme… dan sebagainya yang tidak ada perbincangannya dalam kitab-kitab akidah dahulu.

Oleh kerana sudah tidak ada lagi mujtahid mutlak pada zaman ini, perlulah diadakan ijtihad jama‘i (ijtihad kolektif) seperti Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang ditubuhkan oleh OIC di Jeddah, juga di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah, yang dianggotai oleh para alim ulama yang dipilih dari seluruh dunia. Semoga keputusan yang diambil atau fatwa yang dikeluarkan lebih mantap dan dapat diterima oleh seluruh umat Islam.

Nasihat Kepada Penuntut Ilmu

Suara Madinah: Bagi mengakhiri temu bual ini, apakah nasihat ustaz kepada mereka yang mendalami ilmu-ilmu agama dan bakal mewarisi tugas para nabi?

Abdul Basit: Jawapan kepada soalan ini menjadi tanggungjawab kita bersama, penyoal dan yang menjawab serta seluruh masyarakat penuntut ilmu (talib al-‘ilm) di mana sahaja berada.

Pertama: Ikhlaskan niat kepada Allah SWT. Kita belajar ilmu agama ini kerana Allah SWT, bukan untuk mendapat pangkat dan kedudukan, kerana sangat berat amaran Rasulullah SAW kepada mereka yang belajar bukan kerana Allah SWT, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

((مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ)) يعني ريحها. [أخرجه أحمد وأبو داود 3664 (صحيح). صحيح سنن أبي داود 3112]

Maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya dicari dengannya keredaan Allah SWT, (tetapi) dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat habuan dunia, dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat kelak.”

Kedua: Hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada menuntut ilmu (tahsil al-‘ilm). Gunakan sepenuhnya masa belajar ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, sama ada secara nizami (formal) di dewan kuliah atau melalui masyayikh (mengikuti kuliah syeikh-syeikh) di masjid atau di rumah mereka.

Untuk tidak memanjangkan jawapan ini, memadailah dengan wasiat yang disampaikan oleh guru kami, Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim rahimahullah, dalam kisahnya. Semoga kita semua mendapat ilmu yang berkat dan bermanfaat di dunia dan akhirat. (Teks wasiat tersebut tidak disertakan dalam simpanan asal temu bual ini.)

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، والسلام عليكم.

Bacaan berkaitan: Sultan Ulama’ al-‘Izz Ibn Abdul Salam

Rujukan

6 sumber
  1. Sunan Abi Daud, no. 3641; Sunan at-Tirmizi, no. 2682; Musnad Ahmad, 5/196 (riwayat Abu ad-Darda’ r.a.).

    Sunnah.com
  2. Al-Quran, Surah Ali ‘Imran (3): 110.

    Quran.com
  3. Sunan Abi Daud, no. 3658; Sunan at-Tirmizi, no. 2649 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Al-Albani, Silsilah al-Ahadith ad-Da‘ifah, no. 16.

  5. Sunan Abi Daud, no. 3664 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  6. Taj ad-Din as-Subki, Tabaqat asy-Syafi‘iyyah al-Kubra, biografi al-‘Izz bin ‘Abd as-Salam.

    Maktabah Syamilah

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Tazkirah Tawaduk Sesama Mukmin, Tegas Mempertahankan Islam & Melayani Semua Dengan Baik 8 Jun 2026 Tazkirah Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya: Hormati Hak Pemandu Lain 29 Mac 2026 Tazkirah Muhasabah KPI Amalan Akhir Ramadhan: Ceria Dengan Ibadat @ Terabai? 9 Mac 2026 Tazkirah BAZAR Ramadhan Atau BAZIR Ramadhan? 26 Feb 2026