Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Sirah & Tokoh

Sultan Muhammad al-Fatih Bebaskan Kota Istanbul

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 28 Mei 2009 · 10 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Dato’ Husam Musa. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: Harakahdaily, 28 Mei 2009; disiarkan semula dalam Risalah Masjid Ar-Rahman, Pondok Sungai Durian, 4 Jamadilakhir 1430H / 29 Mei 2009.

Lukisan Sultan Muhammad al-Fatih menunggang kuda di tepi laut ketika pengepungan Konstantinopel
Lukisan Sultan Muhammad al-Fatih semasa kempen pembebasan Konstantinopel.

Sultan Muhammad al-Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Kota Konstantinopel pada awal April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.

Pada tahun 1453, Muhammad bin Murad mengukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya, iaitu Konstantinopel.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhammad bin Murad, yang kemudiannya diberi gelaran Muhammad al-Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metode tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah caranya?

Peribadi dan Kepimpinan

Peribadi dan kepimpinan Muhammad al-Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat.
  2. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan.
  3. Kehendak yang kuat.
  4. Sabar dan ketahanan rohani yang kuat.
  5. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi melengkapkan kemahiran berkenaan.
  6. Ibadah dan pergantungan yang kuat kepada Pencipta.

Keistimewaan Kota Konstantinopel

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dahulu bentuk pertahanan Kota Konstantinopel itu sendiri yang sangat menakjubkan.

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua sisinya menghadap air, iaitu Tanduk Emas (Golden Horn) dan Laut Marmara, manakala bahagian daratan dilingkungi oleh benteng Theodosius yang sangat kukuh:

  1. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar, lebarnya lebih 20 meter dan dalamnya sehingga 10 meter.
  2. Ada dua lapis tembok, iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar setinggi kira-kira 8.5 hingga 9 meter.
  3. Tembok dalam pula setinggi kira-kira 12 meter dan setebal 4.5 hingga 6 meter.
  4. Terdapat menara kawalan di sepanjang tembok dalam (96 buah) dengan ketinggian 15 hingga 20 meter.
  5. Tembok ini dikawal oleh tentera pertahanan sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini ditembusi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat yang dipasang di muara Tanduk Emas untuk menghalang kapal-kapal daripada memasukinya.

Konstantinopel telah menjadi ibu kota Empayar Byzantine selama berkurun-kurun dan dikenali sebagai antara kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah serta antara Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik, baik dari segi perdagangan mahupun geopolitik.

Potret Sultan Muhammad al-Fatih II, Penakluk Konstantinopel
Potret Sultan Muhammad al-Fatih II, Penakluk Konstantinopel.

Kisah Penaklukan Kota Konstantinopel

Sejak Rasulullah SAW mengungkapkan bahawa kota penting ini akhirnya akan dibuka oleh seorang pemimpin yang terbaik yang memimpin tentera yang terbaik, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Para sahabat seperti Abu Ayyub al-Ansari r.a. turut menyertai ekspedisi ke kota ini dan beliau wafat serta dimakamkan berhampiran temboknya; namun kota itu masih gagal dibuka.

[Nota penyunting: Hadis yang dimaksudkan ialah «لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ» ("Konstantinopel pasti akan dibuka; sebaik-baik pemimpin ialah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera ialah tentera itu"), riwayat Ahmad dan al-Hakim. Al-Hakim menilainya sahih dan al-Haithami berkata para perawinya thiqah, tetapi sebahagian ulama hadis seperti al-Albani menilainya daif kerana perawi 'Abdullah bin Bisyr al-Khath'ami tidak dinilai thiqah kecuali oleh Ibn Hibban (lihat Silsilah al-Ahadith adh-Dha'ifah). Kenyataan bahawa Konstantinopel akan dibuka juga disebut dalam hadis sahih riwayat Muslim (no. 2920) dalam konteks peristiwa akhir zaman.]

Lebih 800 tahun selepas sabda Nabi yang mulia itu, khabar yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad, yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al-Fatih, telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinopel pada awal April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad al-Fatih, Sultan Murad, memilih guru-guru terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang pada waktu itu seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah menjalani pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapanya memberikan kebebasan kepada guru-gurunya untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad sengaja dirotan dengan teruk tanpa sebarang kesalahan yang dilakukannya.

Tujuan gurunya berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan serta sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal sultan ini, supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang diperlakukan dengan tidak adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Quran, dilatih untuk bersolat malam, dibentuk menjadi warak dan zuhud dan diasuh mencintai ilmu dan ulama. Baginda mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan kerohanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda menangis teresak-esak ketika akan dilantik secara rasmi menggantikan bapanya sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniyah.

Gurunyalah yang mengarahkan baginda menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang yang berkaliber seperti baginda wajib memikul amanah umat dan itu adalah jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan serta diplomatik, baginda dapat bertutur dalam beberapa bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar mata pelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepadanya.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinopel dimulakan, Muhammad al-Fatih telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekspedisi penawanan Konstantinopel sebelum itu.

Rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis dan cara untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Daripada perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti perkara-perkara berikut:

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad mengarahkan dicari teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Akhirnya baginda berjaya memperoleh meriam yang paling canggih pada zamannya dengan bantuan seorang pakar senjata berbangsa Hungary bernama Orban (Urban). Orban pada asalnya menawarkan khidmatnya kepada pihak Byzantine, tetapi mereka tidak mampu membayarnya, lalu dia beralih kepada Sultan Muhammad.

Meriam gergasi ciptaan baharu ini panjangnya kira-kira 27 kaki dan mampu melontarkan peluru batu seberat kira-kira 600 paun sejauh lebih satu batu. Ia perlu ditarik oleh 60 ekor lembu dan lebih 400 orang. Tembakannya mampu merobohkan bahagian tembok yang kuat. Nah! Benteng besar itu kini telah menemui tandingannya.

b. Rantai besi yang kuat yang direntangkan menghalang laluan kapal, sekali gus menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu rancangan luar biasa untuk mengatasi halangan ini. Ia antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan kehendak seorang pemimpin. Baginda mengarahkan supaya kapal-kapal diangkut melalui daratan. Kerja ini dilakukan pada waktu malam supaya tidak disedari oleh musuh dan mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Pada 22 April 1453, puluhan buah kapal ditarik melalui bukit di belakang Galata di atas batang-batang kayu yang telah disusun dan diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini muncul di dalam Tanduk Emas di hadapan Kota Konstantinopel, setelah melepasi rantai besi yang terpasang! Ia sangat memeranjatkan tentera musuh dan serangan dari arah laut dapat berjalan serentak dengan pengepungan di sebelah daratan.

c. Penguasaan Selat Bosphorus. Sultan Muhammad telah mengarahkan supaya sebuah benteng dibina dalam masa yang singkat (kira-kira empat bulan pada tahun 1452) dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hisari dibina di tebing sebelah Eropah, di utara Kota Konstantinopel, di tempat Selat Bosphorus paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisari di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim sebelum itu. Dengan dua benteng ini, laluan kapal di Selat Bosphorus dapat dikawal dan bantuan dari Laut Hitam kepada Konstantinopel dapat disekat.

Ia memang berjaya disiapkan seperti yang dirancang.

Dari mana kekuatan kehendak pemimpin ini diperoleh oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan rohani kepada bakal sultan ini, tetapi juga menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baharu yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis permasalahan dengan tepat dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan bahawa dirinyalah pemimpin yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai pemimpin terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan membebaskan Konstantinopel.

Sasaran, visi dan misi yang jelas yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Sejak kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bahawa bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak berumur 12 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan bapanya ingin menumpukan diri kepada ibadah.

Namun, dalam keadaan-keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniyah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberi peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah lagi, sepanjang hayat baginda, guru-guru yang menjadi rujukan kerohanian dan kebijaksanaan sentiasa bersama baginda. Malah ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimami solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat puluhan ribu tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu sudah cukup untuk menggerunkan musuh yang sedang berkawal di dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Konstantinopel yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinopel akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Diceritakan bahawa ketika solat Jumaat pertama hendak didirikan di dalam Kota Konstantinopel yang baru sahaja dibebaskan, timbul persoalan siapakah yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri, lalu bertanya: "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali, sila duduk!"

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardu.

Pertanyaan seterusnya: "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertitah: "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga saat ini pernah meninggalkan solat tahajud walaupun satu malam, sila duduk!"

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri yang tetap berdiri! Subhanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah SAW dan kota ini kemudiannya dikenali dengan nama Istanbul.

[Nota penyunting: Kisah imam solat Jumaat pertama ini masyhur dalam penulisan popular, tetapi tidak ditemui dalam sumber sejarah Uthmaniyah yang awal; sewajarnya ia disampaikan sebagai cerita yang masyhur, bukan fakta yang pasti.]

Guru-guru Sultan Muhammad

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Syeikh Ahmad bin Ismail al-Kurani.

Guru istimewa ini menunjukkan contoh teladan kepada Sultan Muhammad. Beliau seorang yang warak, tidak tunduk menyembah sultan seperti yang dilakukan oleh orang lain, memanggil sultan dan kerabatnya dengan nama mereka sendiri tanpa sebarang gelaran dan bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka.

Sepanjang Ramadan, Sultan Muhammad menghadiri kelas tafsir al-Quran yang diadakan di istana selepas solat Zohor, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad bin Ismail inilah yang mengajarkan al-Quran, hukum-hakam agama dan kepatuhan kepadanya. Beliau juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan pelbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua, Syeikh Muhammad bin Hamzah ad-Dimasyqi ar-Rumi, lebih dikenali sebagai Aq Syamsuddin (Akşemseddin). Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah memberi inspirasi kepada Sultan Muhammad untuk meningkatkan aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Uthmaniyah sebagai satu cara memperkukuh empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa baginda ialah pemimpin terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Syamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang merotan Muhammad pada masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang menenteramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliau jugalah yang ditanya oleh Sultan Muhammad sama ada baginda boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan diri kepada ibadah, lalu dijawab bahawa ibadah sebagai sultan yang adil adalah lebih berharga.

Syamsuddin meletakkan inspirasi dalam dada sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerintahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itulah beliau dikenali sebagai Penakluk Rohani Konstantinopel: guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah, insan di sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Oleh: Dato' Husam Musa.

Bacaan berkaitan

Rujukan

5 sumber
  1. Musnad Ahmad dan al-Mustadrak al-Hakim: «لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش».

    ad-Durar as-Saniyyah
  2. Sahih Muslim, no. 2920.

    Sunnah.com
  3. Wikipedia, 'Walls of Constantinople'.

    en.wikipedia.org
  4. Wikipedia, 'Fall of Constantinople'.

    en.wikipedia.org
  5. Encyclopaedia Britannica, 'Mehmed II'.

    britannica.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Sirah & Tokoh Kenali Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Kenali Imam Ad-Darimi Rahimahullah – Pengumpul Sunnah Nabi ﷺ 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Keislaman ‘Umar RA: Doa Nabi, Dentuman Hidayah & Gelaran al-Fārūq 26 Okt 2025 Sirah & Tokoh Kisah Taubat Ikrimah bin Abu Jahal RA 29 Sep 2025