Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf, Kini Ijmak

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 September 2007 · 29 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah, pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: siri empat bahagian “Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf, Kini Ijmak”.

Muqaddimah

Sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak, bulan yang seluruhnya berkat, rahmat dan keampunan Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya yang bertakwa, jadikanlah bulan ini titik tolak perubahan untuk menghirup nafas baharu yang segar dan bersih daripada candu dan segala unsur yang berkaitan dengannya.

Untuk itu, ana paparkan tulisan seorang pensyarah KIAS, sahabat ana Ustaz Azhar Abdullah, berhubung isu ini dengan tajuk “Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf, Kini Ijmak” untuk perbincangan. Artikel ini terdiri daripada empat siri.

Siri 1: Fikrah Perokok Terumbang-ambing antara Mistik, Imperialisme dan Kapitalisme

SELAMA 16 KURUN lamanya umat Islam “buta tembakau”. Umat Islam tidak tahu langsung apa itu tembakau, bagaimana pokok, daun dan batangnya serta untuk apa tembakau itu boleh digunakan. Sepanjang tempoh itu umat Islam bersih daripada usaha penanaman tembakau dan pencemaran asapnya.

Sementara itu, walaupun mereka bebas daripada fenomena tembakau, mereka menghadapi zaman kemunduran. Rata-rata kedudukan politik, ekonomi dan sosial umat Islam pada waktu itu berada pada tahap yang sangat daif dan semakin merosot hari demi hari. Mereka hidup dalam kejumudan, kepompong taklid buta, kegelapan politik dan ketidakstabilan sosial. Malangnya, umat Islam terus lena diulit ilusi kegemilangan Islam silam.

Masyarakat Barat pula sebaliknya, mula menemui sentuhan ketamadunan moden. Selepas keperitan dan pengajaran Perang Salib yang berlanjutan hampir 200 tahun, mereka mengalihkan strategi 180 darjah ke arah pembangunan dalaman dan penguasaan ekonomi melalui penemuan-penemuan baharu. Mereka nekad menerobos sempadan sejarah gelap ke alam pencerahan dan masa depan yang gemilang walaupun terpaksa bermula dari bawah.

Rentetan penemuan demi penemuan yang membawa kepada penemuan tembakau pada akhir kurun ke-15 menjadikan gelombang penguasaan ekonomi global kian nyata. Sejak itu, dunia Eropah berkembang pesat dengan industri tembakau yang diterajui monopoli kapitalis. Masyarakat Barat telah diselubungi fenomena ini selama lebih seratus tahun sebelum ia merebak ke dunia umat Islam.

Catatan sejarah menunjukkan rokok berasal daripada amalan mistik orang asli benua Amerika. Orang Indian ini menghisap tembakau untuk mendapatkan asapnya bagi tujuan pemujaan roh baik dan menghindarkan roh jahat.

Menurut catatan Wikipedia, sewaktu Columbus dan anak-anak kapalnya tiba di Kepulauan Bahamas pada tahun 1492, mereka melihat orang-orang Indian memegang sesuatu yang bernyala dan berasap di hujungnya. Mereka menghisap benda itu dan menghembuskan asapnya dengan menggunakan alat seperti paip; tembakau diletakkan di dalam lubang paip lalu dinyalakan untuk mendapatkan asap.

Mereka berbuat demikian kerana berpegang kepada kepercayaan interaksi ghaib roh baik dan roh jahat. Mereka sentiasa melakukannya sebagai upacara suci untuk mendapatkan pertolongan roh agung dan dalam masa yang sama memohon dijauhkan daripada roh yang tidak baik.

Hakikatnya, roh jahat atau baik yang dimaksudkan oleh orang Indian itu ialah makhluk halus daripada jenis jin. Percaya atau tidak, makhluk halus di dunia ini hanya dua: malaikat yang diciptakan daripada cahaya (nur) dan jin yang dijadikan daripada unsur api.

Dr. Salah al-Khalidi dalam al-Qasas al-Qur’ani menyatakan bahawa malaikat dan jin ialah makhluk alam ghaib, iaitu ghaib daripada alam nyata manusia sahaja. Manusia tidak melihat mereka dengan mata kasar, tetapi mereka hidup dan wujud di sekeliling kita.

Tambah beliau lagi, asal-usul jin ialah as-samum sebagaimana penjelasan surah al-Hijr, ayat 27, yang bermaksud: “Dan jin pula, Kami ciptakan sebelum itu daripada api yang sangat panas (as-samum).” As-samum pula berkait dengan al-marij, iaitu gabungan dua juzuk api: pertama, juzuk terakhir daripada kepanasan api yang mengeluarkan nyalaan; kedua, juzuk asap hitam yang dijulang api yang marak. Daripada gabungan kedua-dua juzuk inilah jin diciptakan.

Menurut keterangan Ensiklopedia Islam, golongan malaikat semuanya baik, taat, beriman dan tidak sekali-kali mengganggu manusia, malah mendatangkan rahmat. Golongan jin pula terbahagi kepada dua: jin beriman dan jin kafir yang juga disebut syaitan dan iblis, yang tentunya membuat kacau dan memperdaya manusia daripada hidayah Allah. Justeru, amalan mistik orang Indian itu berkait rapat dengan anutan kuasa ghaib yang bertentangan dengan Islam.

Pembakaran seperti colok dan kemenyan untuk mendapatkan asap sebenarnya mengandungi unsur penyeruan makhluk halus kerana asap sinonim dengan kejadian jin. Dikatakan bahawa jin bukan sahaja memakan sisa tulang dan makanan tetapi juga begitu teruja dengan asap.

Sehubungan itu, tidak jauh kebenarannya apabila Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam satu ceramahnya berseloroh bahawa orang yang menghisap rokok perlu berhati-hati kerana asap yang dihasilkan mampu menarik minat jin. Katanya, “Jin dijadikan daripada api dan makan daripada unsur asap, seperti manusia dijadikan daripada tanah dan makan daripada unsur kejadian tanah. Maka orang yang menghisap rokok sebenarnya kawan jin.” Kenyataan ini memberikan isyarat tersirat: adakah pengaruh asap yang menjadi “makanan” jin ini juga salah satu faktor yang menyukarkan usaha “menalak tiga” rokok? Keadaan ini menjadikan perokok begitu liat dan sukar memberikan keikhlasan untuk membuang jauh-jauh tabiat rokok.

Namun, saya yakin niat perokok bukan untuk mendampingi jin. Mereka menyalakan rokok semata-mata untuk mendapatkan kenikmatan candu dalam kandungan asap rokok. Dalam cita rasa perokok, asap itulah kemuncak kelazatan. Tiada rokok tanpa asap; banyak benda lain yang berasap tetapi tidak seindah rokok.

Sebab itu soal hubungan dengan jin, pembaziran wang dan kesan racun dalam rokok, yang disahkan pakar perubatan mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia termasuk racun yang membawa penyakit berbahaya dan maut sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 4.9 juta manusia mati setahun akibat rokok, dianggap perkara sampingan, malah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh perokok. Mereka sanggup apa sahaja demi rokok!

Satu perkara sampingan berkaitan asap yang perlu disentuh dalam kesempatan ini ialah fatwa Jabatan Mufti Melaka yang menegaskan bahawa asap yang dihasilkan sama ada daripada rokok, colok atau kemenyan dalam amalan perbomohan, penyeruan dan perubatan tradisional dengan tujuan mendampingi dan meminta bantuan makhluk ghaib adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Dalam sejarah Eropah, Rodrigo de Jerez, salah seorang anak kapal Columbus, dicatatkan antara orang Eropah pertama yang menghisap tembakau setelah melihatnya di Cuba, lalu membawa tabiat itu pulang ke Sepanyol. Pada tahun 1556–1558 tembakau mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebar ke seluruh dunia.

Dilaporkan bahawa selepas orang Sepanyol berjaya mempromosikan tembakau ke Eropah, terutamanya kepada golongan bangsawan British yang menghisap tembakau dengan paip pada waktu rehat, aktiviti penanaman tembakau melonjak sebagai komoditi ekonomi tanah jajahan British yang bermula di Amerika Utara.

Usaha kapitalis melalui selendang imperialis semakin berjaya. Pada tahun 1630-an hasil tembakau memberikan laba yang besar kepada Virginia. Akibatnya, fenomena tembakau tidak dapat disekat lagi dan kian pesat pada abad ke-17.

Serentak dengan itu, pedagang Eropah memperkenalkan tembakau ke seluruh Asia dan Afrika. Kemudian pada abad ke-19, orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke Asia melalui Filipina, kemudian ke Rusia dan Turki dan tidak terkecuali ke negeri-negeri Islam, terutamanya tanah jajahan mereka.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatawa Mu‘asirah dan mantan Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, dalam fatwanya mengatakan tembakau dan rokok masuk ke bumi umat Islam pada kurun ke-11 Hijrah, khususnya di Maghribi dan Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain. Ertinya, selama lebih 1000 tahun umat Islam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan tembakau, apatah lagi rokok.

Justeru, aneh sekali umat Islam di negara ini yang masih “koma” dengan hakikat rokok. Hingga kini masih ramai yang menyangka rokok berasal daripada sejarah Melayu silam. Mereka membuat kesimpulan demikian kerana tembakau dilihat begitu sinonim dengan kebudayaan Melayu sejak berzaman, bersama sirih, buah pinang dan daun nipah, seolah-olah ia tumbuhan asli tropika yang tumbuh di rantau ini.

Ini satu kekeliruan. En. Mohd Fakri bin Mohd Noor, Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Tembakau Negara, Kota Bharu, Kelantan, yang telah berkhidmat hampir 20 tahun berkata tembakau bukan tumbuhan asal rantau ini. Tumbuhan tembakau, seperti juga getah, dibawa masuk ke Tanah Melayu seiring dengan penjajahan Inggeris.

Sumber Lembaga Tembakau Negara melaporkan bahawa industri tembakau di Malaysia bermula dengan tembakau cerut yang ditanam secara meluas di Sabah sejak akhir abad kesembilan belas, setelah penanamannya didapati berjaya pada tahun 1883. Pada satu ketika ia menarik minat lebih lima puluh pengusaha dari Eropah dan mencapai nilai eksport sebanyak RM2 juta pada tahun 1902.

Selepas Perang Dunia Kedua, khususnya pada tahun 1959, usaha meningkatkan tanaman tembakau dilaksanakan secara serius. Pada pertengahan 1970-an pula penanaman tembakau berkembang maju di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang serta di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Fakta di atas menunjukkan industri tembakau dan rokok mempunyai hubungan yang erat dengan gerakan penjajahan Barat ke atas bumi umat Islam, khususnya melalui dasar kapitalisme yang didalangi Yahudi.

Kegilaan kapitalis yang didalangi golongan elit Yahudi yang mementingkan kekayaan semata-mata mengetepikan soal moral sama sekali. Mereka tidak mempersoalkan langsung keburukan rokok, malah mengeksploitasi unsur ketagihan rokok sebagai aset untuk melariskan perniagaan. Penjajahan tidak lebih daripada wasilah untuk merealisasikan matlamat itu.

Kemunculan rokok hakikatnya membawa malapetaka dan kemusnahan besar kepada dunia, baik di Barat mahupun di Timur. Namun kapitalis tidak mempedulikan kesannya kepada manusia walaupun pemerintah menjalankan usaha mengharamkan penanaman tembakau dan rokok. Mereka sentiasa melancarkan propaganda tentang keistimewaan rokok yang didakwa mampu melancarkan aliran darah, menenangkan tekanan darah, baik untuk usus dan sebagainya.

Menurut buku Rokok Haram atau Makruh dan Penawar atau Pembunuh tulisan Muhammad Abu Farooq al-Athari, Raja Inggeris James I mengambil langkah drastik menentang rokok. Pada tahun 1604, baginda menulis risalah A Counterblaste to Tobacco yang mencela tabiat merokok dan menaikkan cukai tembakau dengan sangat tinggi.

Kemudaratan rokok jelas menghancurkan generasi manusia sehingga pada tahun 1634M kerajaan Rusia meluluskan undang-undang berat: sesiapa yang membeli, menjual, mengedar dan menghisap tembakau akan dihukum, antaranya dengan sebatan, dipotong hidung dan dibuang negeri ke Siberia, malah kemudiannya hukuman mati.

Siri 2: Kemudaratan Rokok yang Terselindung, Ulama dalam Dilema

REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Ghurbal dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-Muyassarah menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada akhir tahun 1000 Hijrah dipelopori oleh orang-orang Kristian.

Manakala al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengenali tembakau, apatah lagi rokok. Ia menggambarkan bahawa yang mula-mula membawa tembakau ke Turki Uthmaniyah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghribi ialah Yahudi, kemudian ia dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India dan banyak negeri Islam yang lain.

Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq, melaporkan bahawa rokok mula merebak di negara Arab, khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tidak dinafikan juga pada waktu itu bermulanya penjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.

Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak dan mempengaruhi umat Islam. Pertama, kejayaan Barat pada kurun ke-17 menerobos pemodenan hidup yang luar biasa. Kemodenan itu memberikan gaya hidup baharu kepada dunia sehingga kiblat sistem nilai hidup berpusing ke arah Barat. Dalam pada itu, umat Islam mundur dan hilang kepimpinan dunia. Kemajuan diukur berdasarkan apa yang dicapai oleh Barat. Seseorang dianggap maju jika berparti, makan dengan garpu, berkot, bermain tenis, menghisap cerut dan berseluar pendek.

Kedua, gelombang imperialisme Barat, khususnya ke atas bumi umat Islam, bertujuan menjayakan cita-cita kapitalis dan projek melonggarkan penghayatan agama Islam. Golongan yang menaja dan mendokong penjajahan global ini ialah golongan elit yang memperkudakan kuasa politik. Golongan ini sangat berpengaruh, berkuasa dan berpegang kepada prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Mereka mencurahkan modal yang banyak dalam pelaburan industri tembakau.

Walaupun saya tidak mempunyai fakta sejarah untuk memperkukuh keterangan itu, kenyataan Mike Muller dalam Tobacco and the Third World yang dinukil oleh Muhammad Abu Farooq al-Athari boleh dijadikan penunjuk. Mike Muller menyebut: “Kesihatan rakyat di negara-negara miskin terpaksa dikorbankan demi menambah kekayaan syarikat-syarikat tembakau. Orang-orang miskin menjadi ‘tikus makmal’ (guinea pig) kepada tujuh buah syarikat tembakau yang menguasai perniagaan tembakau dunia.”

Kita dapat melihat bagaimana pada peringkat awal, rokok diperkenalkan dengan hanya mengaitkannya dengan kebaikan, manfaat dan gaya santai golongan bangsawan. Jika ada pun kelemahan rokok, hanyalah baunya yang kurang segar. Dunia tidak dapat mengesan apa-apa keburukan rokok dalam tempoh kurang daripada 50 tahun selepas itu.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menyatakan bahawa dalam bahasa Inggeris tembakau dikenali sebagai “tobacco”, manakala nama Latinnya Nicotiana tabacum. Nama Nicotiana diambil sempena Jean Nicot, duta Perancis ke Portugal, yang menghantar tembakau kepada Permaisuri Perancis (Catherine de’ Medici) kerana dikatakan berkhasiat sebagai ubat.

Di samping itu, pengusaha rokok melancarkan promosi hebat yang disokong oleh kajian-kajian yang menonjolkan keistimewaan rokok. Mereka hanya menonjolkan kebaikannya dan menyembunyikan kemudaratannya yang besar. Contohnya, mereka memanipulasi nikotin dengan menggembar-gemburkannya sebagai bahan organik semula jadi dalam batang dan daun tembakau yang sangat bermanfaat untuk kesihatan manusia, kononnya boleh bertindak sebagai perangsang serta meningkatkan kecergasan, refleks, kecerdasan dan daya ingatan.

Walaupun ada fakta daripada pakar perubatan yang membuktikan kemudaratan rokok serta kesan negatifnya terhadap sosial dan ekonomi, sehingga pada tahun 1604 Raja Inggeris mencela rokok dan mengenakan cukai yang tinggi dan kerajaan Rusia mengenakan hukuman buang negeri ke Siberia, malah hukuman mati, perniagaan rokok tetap diteruskan. Malah mereka melancarkan propaganda untuk meragukan kebenaran fakta perubatan tentang bahaya rokok sebagai tidak muktamad dan memerlukan kajian mendalam.

Maka apabila ia berkembang di negeri-negeri Islam, ada golongan yang berpendapat rokok mempunyai banyak faedah, sehingga ada yang menyatakan rokok menghadamkan makanan, menghilangkan toksin dalam badan, membunuh cacing dalam usus, memudahkan keluar lendir, memanaskan kepala dan badan, meringankan selesema, menguatkan tumpuan fikiran dan cita-cita serta melancarkan buang air besar.

Malah Muhammad Abu Farooq al-Athari mengatakan ada yang mendakwa rokok boleh mendatangkan ilham dan inspirasi, menenteramkan perasaan, menenangkan jiwa, mengurangkan kebosanan akal fikiran dan menjadi ubat.

Mantan Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, menyebut bahawa kesan kekeliruan itu, ada golongan yang mengambil pandangan ahli perubatan dan pemikir zamannya bahawa menghisap rokok pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah kepada badan, sehingga ada yang terus-menerus menghisap rokok sehingga timbul selaput pada matanya, anggota badan menjadi berat dan penghadaman terganggu. Ada pendapat yang menyatakan menghisap rokok itu panas, mengeringkan badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan jantung dan otak, menimbulkan debaran jantung dan memekatkan darah.

Hakikat yang perlu diketahui ialah pencapaian sains, teknologi dan penyelidikan umat Islam pada abad itu sangat naif, belum lagi dikira kebergantungan kita kepada kemajuan sains dan kepakaran Barat untuk mendapatkan maklumat baharu. Kesimpulannya, umat Islam pada zaman itu tidak memiliki kecanggihan sains kecuali mengambil sumber dan pandangan sains daripada Barat. Dalam kedaifan itulah ulama Islam terpaksa berijtihad mengeluarkan hukum rokok berdasarkan sumber umum sahaja tanpa sokongan penelitian sains yang meyakinkan.

Seperti yang dimaklumi, kesan bahaya rokok tidak dapat dilihat dengan cepat atau segera. Kesan bahan beracun dalam asap rokok amat bergantung kepada kekerapan merokok. Tetapi unsur ketagihan yang dihasilkan nikotin menjadikan rokok tabiat yang melazimkan perokok sentiasa menghisapnya. Secara beransur-ansur, rokok menjadi “pembunuh senyap”.

Kesan-kesan rokok ini mula dapat dikesan oleh manusia lebih kurang 100 tahun selepas perniagaan rokok didirikan. Hal ini dibuktikan oleh catatan penemuan tembakau yang dilaporkan pada tahun 1492, yang kemudiannya berkembang sekitar tahun 1556–1558 apabila tembakau mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebar ke seluruh dunia. Selepas kira-kira 50 tahun rokok diperkenalkan, barulah kesan buruknya dapat dilihat sehingga Inggeris, Rusia, Sweden, Denmark, Slovakia, Austria (Nimsa) dan Hungary (Majar) mewujudkan undang-undang menentang rokok.

Tiada bangkangan dalam mana-mana tulisan ilmuwan Islam yang sempat saya periksa terhadap fakta bahawa hukum rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanya selepas tahun 1000 Hijrah. Pada tahap itu ulama mula membincangkan hukumnya di bawah subjek ad-dukhan, at-tutun, at-tunbak dan at-tabgh.

Suka saya bentangkan secara terperinci pandangan Dr. ‘Abd al-Jalil Syalabi, ahli Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah untuk rujukan kita bersama dalam perbincangan ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak wujud pada zaman Nabi SAW, juga pada zaman penyusunan teks fiqh oleh para imam terawal dan ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang pada kurun ke-16 Masihi.

Justeru, fuqaha melihat hukumnya mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka. Pada zaman mereka, dengan tahap teknologi yang seadanya, bahaya merokok kepada kehidupan manusia tidak kelihatan dengan jelas.

Sehubungan itu, tumpuan ulama ketika meneliti hukum rokok lebih banyak tertumpu kepada orang yang menghisapnya, bukan kepada bahan yang dihisap dan persekitarannya. Apabila terdapat fakta, walaupun belum boleh dipertanggungjawabkan, yang menyatakan rokok tidak berbahaya, ia sudah dipakai untuk memahami hakikat rokok.

Dr. ‘Abd al-Jalil Syalabi menambah, sebab itulah pada zaman itu ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbahkan kepada orang yang menghisapnya. Secara terperinci, mereka tidak bersepakat dan hukumnya berbeza mengikut lima hukum taklifi berikut:

  1. Harus bagi orang yang tidak terjejas harta dan kesihatannya, seperti kopi dan teh yang diminum.
  2. Makruh bagi orang yang sedikit hartanya, jika harga rokok itu tidak menjejaskan hartanya untuk keperluan diri, keluarga dan orang di bawah tanggungannya serta tidak memudaratkan kesihatannya.
  3. Haram bagi orang fakir yang memerlukan wang rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram baginya jika rokok memudaratkan kesihatannya.
  4. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok untuk sebahagian kerjanya, sama seperti kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk.
  5. Wajib apabila sabit bahawa merokok dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapinya, sama seperti ubat yang wajib digunakan untuk memulihkan kesihatan.

Inilah beberapa gambaran ijtihad sekitar tahun 1600 dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya, perbezaan hukum di atas bukan khilaf semata-mata tetapi gambaran kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq, menegaskan bahawa ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya mereka hanya melihat zahir perbuatan merokok daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mengetahui kandungan tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Ulama memang pakar dalam ilmu agama, tetapi mereka tidak memiliki pengetahuan dalam bidang sains.

Sebelum menoktahkan perbincangan dalam siri ini, saya menegaskan bahawa isi kandungan siri ini hanyalah usaha untuk memahamkan kita akan realiti hukum rokok yang difatwakan pada zaman terawal tanpa disokong fakta sains. Maka hukum tersebut bukan muktamad dan tidak lagi menjadi hujah apabila ada fakta baharu yang ditemui dan diperakukan. Saya harap sidang pembaca menantikan siri berikutnya yang insya-Allah akan membentangkan hujah ulama silam dan kontemporari.

Siri 3: Perkembangan Fatwa dan Ijtihad Hukum Rokok dalam Islam: Daripada Khilaf kepada Ijmak

PADA suatu ketika dahulu dunia umat Islam pernah gawat dengan perdebatan hukum rokok. Perdebatan yang berpanjangan itu tidak menghasilkan resolusi muktamad, sehingga timbul persoalan dalam fikiran saya: sesuaikah perdebatan rokok zaman dahulu diistilahkan sebagai “kontroversi hukum rokok”? Namun saya yakin perdebatan ulama didasari ketakwaan dan dilatari etika, bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu yang gemilang; semoga Allah SWT merahmati roh mereka, amin.

Kehangatan itu dapat saya hayati ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang membahaskan hukum rokok. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai juga. Umat Islam terus dalam dilema; asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian.

Namun, adakah pada zaman yang begitu canggih dengan penemuan atom, kanser dan teknologi pembedahan ini kita masih berada dalam kegelapan mencari keputusan muktamad hukum rokok seperti saudara-saudara kita yang hidup pada zaman kapal layar? Sungguh malang! Oleh kerana Rasulullah SAW telah wafat, barangkali umat Islam menunggu turunnya Nabi Isa AS untuk memutuskan hukum rokok. Waktu itu barulah kita berpuas hati dan meyakini bahawa rokok itu haram dan barulah segala usaha pembasmian dilaksanakan dengan ikhlas.

Saya pernah berhadapan dengan golongan yang tegar mempertahankan hukum rokok sebagai harus atau paling keras makruh sahaja, kerana dikiaskan dengan bau yang kurang menyenangkan. Malah dalam situasi terganggunya konsentrasi dan terputusnya ilham, menghisap rokok dikatakan menjadi wajib. Saya percaya mereka juga keliru. Saya juga yakin, jika mereka diberi peluang melihat kesan rokok secara praktikal dan ditunjukkan data kajian ilmiah, nescaya mereka akan bersikap lebih bijaksana, profesional dan matang. Saya tetap bersabar menunggu detik-detik nur hidayah kebenaran Allah SWT dimasukkan ke dalam jiwa manusia.

Saudaraku yang budiman! Sebelum anda menanam tembakau, membuka kilang tembakau, menjual rokok atau menghisap rokok, pernahkah anda membuat kajian bersungguh-sungguh untuk mengetahui hukum rokok? Jika kajian hukum telah anda buat, sudahkah anda pastikan kitab zaman bila yang anda rujuk dan sudahkah anda membuat perbandingan secara komprehensif? Jika belum membuat rujukan, bererti anda hanya bertanya ulama, tetapi kitab manakah yang menjadi sandaran ulama itu? Ulama itu menghisap rokok atau tidak? Jika semua di atas tidak anda lakukan, maka anda terlibat dalam fenomena rokok kerana ikut-ikutan atau terpengaruh dengan budaya yang membingungkan.

Sebelum saya membuka forum ini dengan lebih jauh, izinkan saya menyingkap fatwa rokok negeri Kelantan zaman Tok Kenali. Alhamdulillah, penglibatan langsung saya dalam penyuntingan khazanah fatwa negeri Kelantan yang tidak ternilai di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya dengan fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi: “Tembakau Jawa yang lazim dimakan (dihisap) oleh orang Melayu, seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu, adakah sekalian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?”

Jawapan: “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti‘malkan (digunakan), bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak, jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengannya pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengannya, maka haram diisti‘malkan (digunakan).”

Jika kita mengkaji secara jujur, nescaya kita akan menemui pangkal masalah yang kita perdebatkan ini. Hukum tembakau dan penggunaannya sebagai rokok bergantung kepada sejauh mana kemudaratannya pada akal dan badan manusia. Jika terbukti rokok mengancam kemaslahatan hidup, maka hukumnya haram. Dengan itu saya ingin menegaskan bahawa ulama silam tidak menghalalkan rokok secara mutlak, tetapi bersyarat dengan tidak memudaratkan kemaslahatan hidup manusia. Maka sesiapa yang menghukumkan harus atau makruh merokok dengan bersandarkan pandangan ulama silam berada dalam kekeliruan yang nyata.

Persoalannya, wajarkah seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi bersungguh-sungguh mencari kebenaran? Tidakkah perasaan kita dihambat, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian? Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak tumbuh daging daripada sumber yang haram melainkan neraka lebih layak baginya.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 614, daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah RA; disahihkan oleh al-Albani) Dalam keadaan lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah SWT. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya, tetapi tergantung-gantung, tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi.

Saudaraku! Perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanya selepas tahun 1000 Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya di bawah subjek ad-dukhan, at-tutun, at-tunbak dan at-tabgh, manakala perbuatan merokok sering diistilahkan sebagai at-tadkhin.

Untuk rujukan saudara, sila rujuk Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65–70. Karya ini mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta intipati pendalilannya. Ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara terperinci, maka izinkan saya membincangkannya secara semi-ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperoleh.

Sebelum seseorang berpegang kepada sesuatu hukum rokok, dia perlu memahami dengan jelas tiga senario kematangan ijtihad rokok. Pertama, Dr. ‘Abd al-Jalil Syalabi, ahli Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah, menyatakan bahawa menghisap rokok tidak wujud pada zaman Nabi SAW, juga pada zaman penyusunan teks fiqh oleh para imam terawal dan ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang pada kurun ke-16 Masihi.

Senario kedua: keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Fakta saintifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperoleh kecuali daripada pemerhatian umum, bukan pengkajian. Pada zaman mereka, dengan tahap teknologi yang seadanya, bahaya merokok kepada kehidupan manusia tidak kelihatan dengan jelas.

Senario ketiga: fokus ulama ketika meneliti hukum rokok lebih tertumpu kepada orang yang menghisapnya, bukan kepada bahan yang terkandung dalam rokok yang dihisap serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh.

Berdasarkan senario di atas, hukum rokok mengalami reformasi ijtihad melalui tiga peringkat perkembangan. Peringkat pertama ialah zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam sekitar tahun 1600M, peringkat kedua zaman pertengahan dan peringkat ketiga zaman moden apabila alat-alat sains mula dicipta.

Sebagai pengetahuan, Dr. ‘Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan bahawa pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbahkan kepada orang yang menghisapnya. Secara terperinci, ulama tidak bersepakat dan hukumnya berbeza mengikut lima hukum taklifi: harus bagi orang yang tidak terjejas harta dan kesihatannya, seperti kopi dan teh yang diminum; makruh bagi orang yang sedikit hartanya jika harga rokok itu tidak menjejaskan hartanya untuk keperluan diri, keluarga dan orang di bawah tanggungannya serta tidak memudaratkan kesihatannya.

Haram bagi orang fakir yang memerlukan wang rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram baginya jika rokok memudaratkan kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok untuk sebahagian kerjanya, sama seperti kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit bahawa merokok dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapinya, sama seperti ubat yang wajib digunakan untuk memulihkan kesihatan.

Inilah beberapa senario ijtihad sekitar tahun 1600 dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya, perbezaan hukum di atas bukan berpunca daripada khilaf dalam memahami nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq, menegaskan bahawa ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat zahir perbuatan merokok daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat tentang kandungan tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia.

Pada peringkat pertengahan, senario ijtihad mula menampakkan kematangan dengan sokongan dalil saintifik. Namun secara umumnya, metodologi penyimpulan hukum syarak masih bergerak secara peribadi. Seorang alim berijtihad bersendirian mengikut keupayaan alat ijtihadnya tanpa khidmat nasihat khusus daripada pakar sains yang berkaitan. Contohnya, mantan Syeikh al-Azhar, Mahmud Syaltut (1893–1963M), menghukumkan rokok sama ada haram atau makruh. Beliau mengingatkan bahawa ijtihad tentang rokok pada zaman awal kemunculannya tidak jelas dan tidak muktamad; adapun hukum yang rajih pada zaman ini ialah sama ada haram atau makruh.

Kesedaran terhadap keterbatasan dan kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah kemudaratan rokok dibuktikan secara saintifik, bukti demi bukti. Mufti Mesir ketika itu, Dr. Syeikh Ahmad at-Tayyib, menyebut bahawa perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi daripada hukum haram, harus dan makruh bergantung kepada sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan keburukan baunya. Namun mutakhir ini, kajian ilmiah membuktikan kesan buruk, bahaya dan ancamannya terhadap kesihatan dalam apa jua keadaan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pertubuhan kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada majlis fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok ke atas kesihatan dan kehidupan, maka hukum rokok adalah haram di sisi syarak.

Siri 4: Kini, Islam Tiada Pilihan Kecuali Mengharamkan Rokok!

SEBELUM saya membentangkan senario reformasi fatwa semasa, setelah ulama dan umat Islam merentasi beberapa dekad yang mengelirukan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian anda berdialog dengan tenang di sini dan memberikan ruang kepada saya mengupas konflik rokok yang entah bila akan selesai, walaupun hukumnya telah diijmakkan. Namun, sebagai orang beriman, janganlah kita berputus asa atau buntu mencari titik persefahaman dan kebaikan sesama kita. Semoga kita semua sentiasa mendapat hidayah dan taufik-Nya.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Kajian saya mendapati bahawa penemuan bahan racun dalam rokok serta kesannya kepada kesihatan manusia melalui tiga tahap kematangan: tahap permulaan, pertengahan dan pascamoden. Inilah faktor utama yang secara langsung mempengaruhi reformasi hukum rokok daripada kedudukan yang dahulunya khilaf kepada muktamad atau ijmak.

Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku Ensiklopedia Dunia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18, halaman 347, boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok mula ditemui secara saintifik oleh ahli sains pada pertengahan abad ke-20.

Catatan buku ini menyebut: “Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta pada tahun 1880-an; sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotin yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak itu banyak negara meluluskan undang-undang yang mewajibkan pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan.”

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pula menukil daripada Mahmud Nazim, at-Tibb an-Nabawi wal-‘Ilm al-Hadith, bahawa pada tahun 1962 Royal College of Physicians di Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan dan pada tahun 1964 laporan Surgeon General Amerika Syarikat setebal 387 halaman diterbitkan dan kandungannya disiarkan dalam akhbar, menyebut: “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti,” dan “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit yang membunuh”.

Rentetan itu, beberapa usaha mengurangkan kesan bahaya rokok diperkenalkan. Pada tahun 1970-an, rokok rendah tar dan nikotin menjadi semakin popular. Pembuat rokok mengurangkan tar dan nikotin melalui perubahan reka bentuk rokok, termasuk penapis, penggunaan tembakau campuran, penggantian tembakau dan pengudaraan yang mencairkan asap rokok.

Hari ini, pakar-pakar kesihatan dunia berjaya membuktikan secara ilmiah bahawa rokok mengandungi lebih 4000 jenis bahan kimia, termasuk racun yang mengancam nyawa manusia. Antara racun paling berbahaya ialah hidrogen sianida (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidina, ammonia (pembersih lantai), uretana, toluena (bahan pelarut), arsenik (racun anai-anai), nikel, fenol (pembasmi kuman), butana (cecair pemetik api), polonium-210, DDT (racun serangga), aseton (penanggal cat), tar (minyak tar jalan), naftalena (ubat gegat), kadmium (digunakan dalam bateri), karbon monoksida (gas beracun daripada ekzos kereta), benzopirena dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC).

Paling menyedihkan, sebelum itu pengeluar rokok menyembunyikan dan memalsukan hakikat kesan rokok daripada orang awam. Di Amerika Syarikat, sebuah syarikat rokok terkenal, Liggett Group Inc., telah membuat pengakuan dan akhirnya bersetuju menyerahkan beberapa dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam antimerokok. Dokumen ini sangat penting kerana dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut hampir 30 tahun lamanya. Dokumen itu bukan sahaja menjelaskan kandungan racun yang membunuh, malah mengakui bahawa nikotin dalam tembakau ialah sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Hakikatnya, dalam setiap sedutan, perokok memasukkan ke dalam tubuhnya beribu-ribu bahan kimia yang dinyatakan di atas secara senyap. Racun itu terbukti membinasakan manusia secara global dan beransur-ansur. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Hiroshi Nakajima, lebih kurang 10 juta manusia dijangka mati setiap tahun akibat merokok dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun.

Dalam suasana sedemikian, umat Islam sepatutnya bertanya secara jujur apakah sikap dan pendirian Islam dalam isu rokok. Masyarakat bukan Islam di seluruh dunia telah berusaha bersungguh-sungguh dan bertegas menyatakan keburukan rokok kepada diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Apakah manusia yang tidak mentauhidkan Allah SWT begitu menonjol menunjukkan sikap antirokok, sedangkan umat Muhammad SAW masih ragu-ragu, berpeluk tubuh dan memandang sepi hal-hal kemaslahatan hidup?

Apa pun, senario di atas begitu kuat mempengaruhi reformasi fatwa rokok. Para ulama zaman ini tidak dapat menafikan lagi kemudaratan rokok setelah mendapat nasihat langsung daripada pakar perubatan yang dipercayai.

Dalam pada itu, kecenderungan fatwa setelah memasuki era pascamoden amat berbeza. Kaedah mengeluarkan hukum, terutamanya isu kontemporari, ditangani secara lebih profesional. Kecenderungan berhukum secara kolektif oleh jemaah ulama diinstitusikan sehingga tertubuhnya majlis fatwa di peringkat negeri dan kebangsaan. Paling membanggakan ialah penubuhan Akademi Fiqh Islam (Majma‘ al-Fiqh al-Islami ad-Dauli) pada tahun 1981, berpusat di Jeddah dan dianggotai oleh negara-negara umat Islam (OIC). Akademi fatwa ini boleh disifatkan bertaraf antarabangsa yang paling tinggi berasaskan penglibatan pelbagai kepakaran.

Penglibatan pelbagai kepakaran menjadikan institusi fatwa lebih mantap, matang dan komprehensif, sekali gus berjaya menyelesaikan dilema umat Islam semasa. Sehubungan itu, Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan fatwa secara berjemaah atau berorganisasi lebih utama untuk diterima pakai oleh umat Islam zaman ini, terutamanya berkaitan isu-isu semasa, kerana kemungkinan berlakunya kesilapan amat rendah. Beliau juga menyeru umat Islam menjadikan institusi fatwa sebagai rujukan utama hukum semasa.

Setakat maklumat yang ada pada saya, tidak ada lagi negara umat Islam yang tidak mengharamkan rokok. Institusi kefatwaan terbesar, Akademi Fiqh Islam yang berpangkalan di Jeddah, secara rasmi mengharamkan rokok. Fatwa Arab Saudi melalui al-Lajnah ad-Da’imah lil-Buhuth al-‘Ilmiyyah wal-Ifta’ bernombor 15143 memfatwakan: “Semua jenis rokok adalah haram, maka segala urus niaganya juga haram kerana kemudaratan yang besar ke atas agama, badan dan harta. Wajib bagi sesiapa yang terlibat dengan perkara ini bertaubat segera.” Di Malaysia, pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram.

Begitu juga Mesir, Kuwait, Syria, Sudan, Qatar, Brunei, Singapura dan lain-lain telah mengharamkan rokok secara rasmi. Resolusi pengharaman dan kaedah menanganinya juga telah diputuskan secara muktamad dan meyakinkan. Sama ada pihak pemerintah mahu menerima dan menguatkuasakan hukum itu atau tidak, hukum rokok tetap haram. Pada asasnya, para ulama melalui institusi fatwa telah menunaikan tanggungjawab mereka di sisi Allah SWT.

Justeru, berdasarkan pengkajian terhadap pendirian ulama kontemporari mengenai rokok, saya berani menegaskan bahawa hukum pengharaman rokok pada zaman ini bersifat ijmak. Tidak ada lagi keraguan mahupun khilaf. Tidak ada satu negara umat Islam pun yang mengharuskan rokok pada waktu ini.

Begitu juga pengharaman rokok oleh ulama secara individu. Saya mendapati ulama muktabar zaman ini telah sepakat mengharamkan rokok kecuali Syeikh ‘Atiyyah Saqr. Beliau, salah seorang ulama terbilang dunia dari Mesir, masih berpegang kepada “makruh tahrim” dengan tiga syarat: semata-mata menghisap rokok (terutamanya dalam keadaan terkawal), tidak menjejaskan kesihatan secara nyata dan berkemampuan dari segi kewangan setelah memenuhi perbelanjaan saraan dan tanggungan.

Saudaraku! Kita perlu faham bahawa “makruh tahrim” termasuk dalam kumpulan haram juga, cuma dalil pensabitannya bersifat zanni, iaitu tidak putus. Makruh tahrim tidak sama dengan hukum makruh dalam mazhab Syafie yang bermaksud sewajarnya ditinggalkan tetapi tidak berdosa jika dilakukan. Bukan dan tidak! Makruh tahrim termasuk kumpulan haram, cuma dalilnya zanni, bukan qat‘i. Maka hukum rokok tetap haram dan berdosa. Sebab itu ‘Atiyyah Saqr bertegas menolak salah faham terhadap kenyataannya dengan menyebut: “Makruh tahrim di sisiku dalam soal ini (rokok) adalah haram, tetapi dosa dan hukumannya tidak seberat dan sebesar haram mutlak.”

Penegasan Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan fakta muktamad yang menjawab segala kekeliruan ijtihad dan mengakhiri perdebatan ini. Beliau menyebut: “Khilaf yang berlaku dalam kalangan fuqaha sewaktu kemunculan rokok bukanlah khilaf pada dalil-dalil hukum, tetapi khilaf tentang sabit atau tidaknya kemudaratan. Mengesahkan kemudaratan rokok bukan bidang kepakaran fuqaha, tetapi urusan ahli sains. Kini ahli sains telah mengesahkan kemudaratan rokok. Sehubungan itu, khilaf hukum rokok tidak wujud lagi dan sabitlah hukum rokok itu haram.”

Sejak awal lagi Islam menggariskan prinsip pemakanan yang khusus, umum dan terbuka kerana ia berkaitan keperluan duniawi yang sangat asasi. Al-Bujairimi dalam kitabnya Bujairimi ‘ala al-Khatib mengemukakan firman Allah SWT yang bermaksud: “…Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan ke atas mereka segala yang keji…” (al-A‘raf: 157). Rasulullah SAW pula menegaskan: “Tidak boleh memudaratkan (diri) dan tidak boleh memudaratkan (orang lain).” (Riwayat Ibn Majah, no. 2340–2341; dinilai hasan oleh an-Nawawi) Sehubungan itu ulama menetapkan kaedah pemakanan: “Setiap yang memudaratkan adalah haram.”

Oleh itu, tiada syak lagi bidang pemakanan bukan autoriti ulama semata-mata dalam semua keadaan. Fungsi ulama hanya dimandatkan dalam skop nas-nas syarak. Autoriti mengenal pasti zat, racun, toksin dan sebagainya dalam sesuatu makanan ialah bidang kepakaran ahli sains. Malah ulama yang merumuskan hukum dalam hal pemakanan tanpa merujuk kepada ahli sains telah melanggar etika hukum dan hukumnya tidak sah. Ulama wajib bertanya kepada pakar, menjunjung perintah Allah SWT yang bermaksud: “…Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir (orang yang berpengetahuan) jika kamu tidak mengetahui.” (an-Nahl: 43)

Akhukum, Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah, Pensyarah KIAS, Nilam Puri, Kelantan.

Bacaan berkaitan

Rujukan

8 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Hijr (15): 27.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-A‘raf (7): 157.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah an-Nahl (16): 43.

    Quran.com
  4. Jami‘ at-Tirmizi, no. 614 (riwayat Ka‘ab bin ‘Ujrah RA); sahih li ghairih menurut al-Albani.

    Sunnah.com
  5. Sunan Ibn Majah, no. 2340–2341; dinilai hasan oleh an-Nawawi (al-Arba‘in, hadis 32).

    Sunnah.com
  6. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-37, 23 Mac 1995: merokok haram (laporan Sinar Harian).

    sinarharian.com.my
  7. Wikipedia: Smoking in Russia — larangan Tsar Mikhail pada 1634.

    en.wikipedia.org
  8. James I, A Counterblaste to Tobacco (1604).

    en.wikipedia.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026