Khulasah pembentangan Abu Anas Madani dalam Seminar Pelaksanaan Siasah Syar’iyyah Dalam Konteks Semasa Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kompleks Balai Islam, Lundang, Kota Bharu pada 19 Syawal 1432H / 17 September 2011.
Muqaddimah
بسم الله الرحمن الرحيم
﴿الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ﴾
Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar; dan kepada Allah jualah kembali segala urusan." [Surah al-Hajj: 41]
Kepentingan Pelaksanaan Siasah Syar'iyyah dalam Masyarakat dan Negara
Perbincangan ini cuba menyentuh satu sudut penting berkenaan pelaksanaan Siasah Syar'iyyah dalam sebuah masyarakat dan negara, iaitu aspek jaminan kesejahteraan rakyat. Hal ini mustahak untuk diketengahkan ketika ramai di kalangan ahli sains politik, sains sosial mahupun pemimpin masyarakat mencari pelbagai pendekatan Barat untuk memelihara maruah umat dan martabat wanita daripada pelbagai bentuk penindasan dan diskriminasi.
Pendekatan yang berteraskan agama, khususnya Islam, sering kali diketepikan lantaran timbulnya sikap prejudis terhadap identiti masyarakat Islam.
Pengertian Siasah Syar'iyyah
Berasaskan pengertian yang digunakan oleh masyarakat Arab, perkataan siasah telah digunakan oleh masyarakat Melayu dengan maksud politik, kebijaksanaan untuk mencapai sesuatu maksud dan pengetahuan yang bersangkutan dengan hal-hal kenegaraan.
Pengertian dari sudut istilah:
قَالَ ابْنُ عَقِيلٍ: السِّيَاسَةُ مَا كَانَ فِعْلًا يَكُونُ مَعَهُ النَّاسُ أَقْرَبَ إِلَى الصَّلَاحِ وَأَبْعَدَ عَنِ الْفَسَادِ، وَإِنْ لَمْ يَضَعْهُ الرَّسُولُ ﷺ وَلَا نَزَلَ بِهِ وَحْيٌ.
Kata Ibn 'Aqil: "Siasah ialah suatu tindakan yang dengannya manusia menjadi lebih hampir kepada kemaslahatan (menurut neraca syariat Islam) dan lebih jauh daripada kerosakan, meskipun tindakan tersebut tidak pernah ditetapkan oleh Rasulullah SAW dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu." [Dinukil oleh Ibn al-Qayyim dalam ath-Thuruq al-Hukmiyyah]
Definisi Negara Berkebajikan
- Kebajikan menurut al-Quran meliputi kemaslahatan dunia dan akhirat.
- Sebuah negara yang patuh kepada segala perintah Allah SWT dan dalam masa yang sama mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.
Berpandukan al-Quran, istilah kebajikan dibicarakan dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh, iaitu meliputi kemaslahatan dunia dan akhirat. Terdapat beberapa kalimah yang menunjukkan makna "kebajikan", iaitu al-khair, al-hasanah, al-birr dan ath-thayyib. Dalam bahasa Melayu kalimah-kalimah ini diterjemahkan dengan makna "baik" dan secara umumnya ia juga memberi makna "kebajikan". Konsep al-khair digunakan pada ayat dakwah supaya menyeru kepada kebajikan, sebagaimana firman Allah:
﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾
Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." [Surah Ali 'Imran: 104]
﴿وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ﴾
Maksudnya: "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka." [Surah al-Baqarah: 201]
Kesimpulannya, "Negara Berkebajikan" bolehlah didefinisikan sebagai:
"Sebuah negara yang patuh terhadap segala perintah Allah SWT dan dalam masa yang sama mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama dalam pembangunan negara, di samping tidak melupakan tugas amar makruf dan nahi mungkar."
Ciri-ciri Negara Berkebajikan
- Merangkumi urusan hubungan manusia sesama manusia secara adil.
- Hubungan manusia dengan Tuhannya.
- Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
- Mengambil iktibar dan pengajaran daripada al-Quran, as-Sunnah dan sejarah Islam.
- Melaksanakan kebajikan: amal soleh, berakhlak, kekuatan dan keupayaan mentadbir.
- Rakyat dan pemerintah berlumba-lumba melakukan kebajikan.
- Memastikan keperluan asas rakyat dinikmati tanpa kecuali.
- Mengelakkan perebutan peluang antara rakyat dengan kerajaan.
- Mengutamakan pembangunan akhlak dan jati diri.
- Menjadikan kepelbagaian adat, budaya dan agama sebagai pemangkin keharmonian rakyat dan asas kekuatan negara.
- Memastikan imbangan kuasa pemerintah.
Prinsip Siasah Syar'iyyah
Prinsip Siasah Syar'iyyah ialah perkara yang benar-benar bersifat dasar dan pokok serta menonjolkan identiti wajib bagi Siasah Syar'iyyah, kerana prinsiplah yang membezakan Siasah Syar'iyyah dengan siasah yang lain. Para pengkaji politik Islam berbeza pandangan dalam menyenaraikan bilangan prinsip. Prinsip Siasah Syar'iyyah yang ingin dikemukakan di sini ialah:
- Prinsip hakimiyyah bagi Allah, yang membawa kepada kedaulatan syariat Islam.
- Prinsip menunaikan amanah dan tanggungjawab (mas'uliyyah).
- Prinsip ketaatan, yang mewajibkan rakyat mentaati pemimpin dalam kerangka ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
- Prinsip mewujudkan dasar syura.
- Prinsip mempertahankan keadilan dan menggarap persamaan, yang akan memberikan jaminan dan perlindungan hak rakyat dalam segenap aspek.
Maqasid (Objektif) Siasah Syar'iyyah
Terdapat beberapa pandangan yang sering diketengahkan dalam menyenaraikan maqasid Siasah Syar'iyyah atau matlamat kepimpinan politik dan pentadbiran negara mengikut acuan syariat Islam. Antaranya sebagaimana yang digariskan oleh 'Abd al-Wahhab Khallaf:
- Memandu pentadbiran negara supaya selaras dengan kehendak Islam.
- Menjamin seluruh kepentingan dan kemaslahatan rakyat sepanjang masa dan di semua tempat.
- Menjadikan Islam sebagai sistem yang relevan dalam pentadbiran negara.
Seiring dengan maqasid syariah yang bertujuan membawa kemaslahatan kepada orang ramai dan menolak kemudaratan daripada mereka, maqasid Siasah Syar'iyyah pula bertujuan memastikan kemaslahatan itu benar-benar terjamin dan kemudaratan dapat dielakkan melalui kuasa politik dan pentadbiran, kehakiman dan undang-undang.
Dalam urusan pentadbiran negara dan umat, setiap keputusan dan tindakan pemerintah yang berdasarkan Siasah Syar'iyyah hendaklah sentiasa mengambil kira prinsip yang digariskan oleh kaedah fiqhiyyah:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: "Tindakan imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah."
- Maka menjadi kewajipan pemerintah menjadikan objektif umum syariah (المقاصد العامة للشريعة) sebagai asas dalam pentadbiran negara berkebajikan.
- Pemerintahan yang berlawanan dengan prinsip Islam pastilah tidak akan dapat menjaga dan memenuhi hajat serta kebajikan manusia untuk kesejahteraan dunia dan akhirat mereka.
Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah:
"Syariat Islam dibina atas asas hikmah dan kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat. Syariat itu seluruhnya adil, rahmat, maslahah dan hikmah. Maka setiap perkara yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahah kepada mafsadah dan daripada hikmah kepada perbuatan sia-sia, maka ia bukanlah daripada syariat Islam walaupun dimasukkan ke dalamnya melalui takwil." [I'lam al-Muwaqqi'in]
Syariat Islam dibina atas asas membawa kebaikan dan menolak keburukan: jalb al-mashalih wa dar' al-mafasid (جلب المصالح ودرء المفاسد).
Di samping penekanan terhadap pemeliharaan agama sebagai asas, Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla juga menegaskan bahawa pihak kerajaan wajib menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan melakukan beberapa perkara. Antaranya:
- Memastikan rakyat mendapat makanan, pakaian dan minuman yang sempurna.
- Memastikan rakyat mendapat pendidikan yang sempurna.
- Menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat apabila dituntut.
- Memelihara keselamatan nyawa, harta dan kehormatan rakyat.
- Menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat.
Kesimpulan
Hakikatnya, "Negara Berkebajikan" telah wujud semenjak wujudnya negara Islam Madinah lagi, bahkan ia telah dipraktikkan sendiri pada zaman para nabi sebelum Rasulullah SAW. Konsep "Negara Berkebajikan" yang sukar dijelaskan oleh ahli-ahli ekonomi moden hingga kini sebenarnya telah jelas dalam syariat Islam.
Konsep "Negara Berkebajikan" yang dibincangkan di atas sebenarnya selaras dengan konsep negara Islam yang telah dilaksanakan pada zaman kegemilangan Islam dahulu. Keadilan dan kesaksamaan yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW, Khulafa' ar-Rasyidin, Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan lainnya menjadi bukti sejarah bahawa negara Islam ialah negara yang berlandaskan "Negara Berkebajikan". Wallahu a'lam.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 19 Syawal 1432H / 17 September 2011.
Rujukan
8 sumber-
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 41.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 104.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 201.
Quran.com -
Ibn al-Qayyim, ath-Thuruq al-Hukmiyyah fi as-Siyasah asy-Syar'iyyah (nukilan Ibn 'Aqil tentang takrif siasah).
-
Ibn al-Qayyim, I'lam al-Muwaqqi'in 'an Rabb al-'Alamin, j. 3 (fasal perubahan fatwa mengikut masa dan tempat).
-
As-Suyuti, al-Asybah wa an-Nazha'ir, kaedah «تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة».
-
Ibn Hazm, al-Muhalla, Kitab az-Zakat (masalah no. 725).
-
'Abd al-Wahhab Khallaf, as-Siyasah asy-Syar'iyyah.
