Tulisan: Syeikh Dr. Fahad bin Saad al-Majid (wawancara bersama akhbar al-Riyadh), terjemahan seorang penuntut ilmu di Madinah al-Munawwarah. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: akhbar al-Riyadh, Arab Saudi (2009).
Setiausaha Agung Lembaga Ulama Besar (Hai'ah Kibar al-'Ulama') Arab Saudi, Syeikh Dr. Fahad bin Saad al-Majid, menegaskan bahawa kepelbagaian mazhab anggota Lembaga Ulama Besar telah menyumbang ke arah perkongsian pengetahuan dan pengalaman, di samping selaras dengan konsep keluasan syariah. Beliau turut menyatakan: “Kami sebagai anggota lembaga menyokong dan berbangga dengan pendirian Khadim al-Haramain (Raja Arab Saudi) yang menyeru ke arah perpaduan di atas satu suara melalui dialog yang terurus dan membina, sama ada di peringkat tempatan atau global.”
Beliau memberitahu akhbar al-Riyadh, dalam penampilan sulungnya di media, bahawa resolusi dan keputusan Lembaga Ulama Besar diputuskan melalui suara terbanyak. Sekiranya bilangan suara seri, pengerusi akan menentukan pilihan terbaik tanpa mengabaikan pendapat yang tidak terpilih.
Beliau juga menjelaskan bahawa pihak lembaga akan menghubungi pihak-pihak berkenaan dalam bidang tertentu seperti perbankan, kewangan, sains, perubatan dan lain-lain. Pihak-pihak berkenaan juga akan dijemput menghadiri mesyuarat lembaga tanpa terlibat dalam pengundian. Beliau turut menerangkan rancangan mewujudkan unit khas untuk para penyelidik dan rancangan pengembangan lain yang sedang dikaji oleh lajnah-lajnah berkenaan. Berikut ialah wawancara beliau bersama wartawan akhbar al-Riyadh.
Lembaga Ulama Besar dan Lajnah Tetap Fatwa
Al-Riyadh: Sebagai permulaan, apakah fungsi dan peranan utama Lembaga Ulama Besar Arab Saudi? Apakah pula perbezaannya dengan Lajnah Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa?
Al-Majid: Pertamanya, elok saya ceritakan dahulu sejarah penubuhan Lembaga Ulama Besar supaya anda dapat meneliti susur galur kemunculan lembaga ini dan seterusnya memahami rangkuman ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam lembaga. Lembaga ini ditubuhkan dengan perintah diraja bernombor A/137 bertarikh 8 Rejab 1391H. Perintah tersebut menetapkan nama lembaga ini sebagai Lembaga Ulama Besar, di samping kenyataan bahawa lembaga ini dianggotai oleh para ulama besar syariah Islam yang dipilih melalui perintah diraja.
Tentang perbezaan antara lembaga ini dengan Lajnah Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa, lajnah tersebut merupakan salah satu lajnah di bawah Lembaga Ulama Besar. Ia lajnah sepenuh masa yang anggotanya dipilih dalam kalangan anggota lembaga. Peranannya ialah menyediakan kajian untuk dibahaskan oleh lembaga dan mengeluarkan fatwa dalam urusan individu. Lajnah tersebut menjawab soalan anggota masyarakat berkaitan akidah, ibadat dan muamalat. Ia dinamakan Lajnah Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa dan turut dianggotai oleh sekumpulan pembantu penyelidik seperti yang ditetapkan oleh perintah diraja yang disebutkan tadi.
Al-Riyadh: Adakah lembaga menerima semua persoalan yang dikemukakan oleh rakyat dan mengeluarkan fatwa atau keputusan berkenaannya atau lembaga hanya berperanan terhadap isu-isu besar yang dirujuk melalui perintah diraja sahaja?
Al-Majid: Soalan-soalan individu diuruskan oleh Lajnah Tetap Fatwa seperti yang saya sebutkan tadi. Adapun isu semasa dan perkara yang melibatkan rakyat umum, ia akan dikaji oleh Lembaga Ulama Besar secara menyeluruh melalui mekanisme tertentu.
Kepelbagaian mazhab
Al-Riyadh: Adakah keputusan-keputusan lembaga yang terdahulu dibina berdasarkan satu mazhab sahaja, iaitu mazhab Hanbali atau semua mazhab diambil kira? Apakah keistimewaan pembentukan terkini Lembaga Ulama Besar sekarang?
Al-Majid: Perkara 1 Undang-undang Dasar Pemerintahan negara menyatakan bahawa perlembagaan negara ialah Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya SAW. Ini bermaksud nas-nas al-Quran dan as-Sunnah mengatasi sebarang teks yang lain. Inilah juga yang ditegaskan oleh Perkara 7. Perkara 45 dalam undang-undang yang sama juga menyatakan bahawa sumber fatwa di dalam negara ialah Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya SAW.
Keistimewaan pembentukan terkini Lembaga Ulama Besar, yang mengandungi jumlah yang besar iaitu dua puluh satu orang anggota yang berlainan pengkhususan dalam pelbagai bidang syariah, berlainan pegangan mazhab fikah dan datang dari pelbagai wilayah, ialah ia akan membantu ke arah perkongsian pengetahuan dan pengalaman. Ini juga selaras dengan keluasan syariah, seperti yang diceritakan tentang Ishaq bin Buhlul al-Anbari, salah seorang murid Imam Ahmad bin Hanbal. Apabila Ishaq mengarang sebuah kitab dan menamakannya Kitab al-Ikhtilaf (Kitab Perselisihan), Imam Ahmad berkata kepadanya: “Namakan ia Kitab as-Sa'ah (Kitab Keluasan).”
Apatah lagi mazhab yang empat, iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, kaya dengan pandangan dan pendapat fikah yang diambil daripada sumber syariah dan mampu, dengan izin Allah, menyelesaikan kesukaran dan permasalahan. Dalam hal ini Imam az-Zahabi, semoga Allah merahmatinya, berkata: “Hampir-hampir tidak ditemui kebenaran pada pendapat yang menyalahi kesepakatan imam ijtihad yang empat.” Walaupun begitu, kita mengakui bahawa persamaan pendapat imam yang empat dalam sesuatu persoalan bukanlah ijmak (kesepakatan) umat. Kita juga menjauhkan diri daripada menghukum bahawa kebenaran dalam sesuatu persoalan yang telah dipersetujui oleh imam yang empat berada di pihak yang sebaliknya.
Antara perkara yang membuktikan bahawa mazhab fikah yang empat selaras dengan keluasan syariah ialah mazhab para mujtahid yang lain telah dirangkumi oleh mazhab yang empat atau mempunyai persamaan dengan pendapat-pendapat dalam mazhab yang empat. Tentang hal ini, Ibn Taimiyah menyatakan bahawa mazhab Ibn 'Uyainah telah termasuk dalam mazhab murid-muridnya, iaitu asy-Syafie, Ahmad bin Hanbal dan Ishaq. Mazhab al-Laith bin Sa'd yang telah luput dalam sejarah pula mempunyai persamaan dalam banyak persoalan dengan mazhab Malik atau ath-Thauri. Kebanyakan pendapat pilihan Imam al-Auza'i pula menyamai pendapat Malik atau asy-Syafie. Demikianlah seterusnya.
Hakikatnya, kepelbagaian yang diperlukan untuk melengkapkan pandangan dan menjana buah fikiran tidak terhad kepada kepelbagaian mazhab fikah semata-mata, bahkan turut melibatkan kepelbagaian iklim dan tempat tinggal. Antara perkara yang dibuktikan oleh ilmu kemanusiaan sekarang ialah aktiviti fisiologi dan minda manusia yang dicipta daripada tanah ini sangat dipengaruhi oleh suasana geografi sekelilingnya serta tabiat haiwan dan tumbuhan yang biasa dimakannya.
Oleh itu, kami semua menyokong dan berbesar hati dengan pandangan Khadim al-Haramain asy-Syarifain (Raja Arab Saudi), semoga Allah memeliharanya, yang menyeru ke arah perpaduan di atas satu suara melalui dialog yang terurus dan membina, sama ada di peringkat tempatan atau global.
Keputusan suara terbanyak dilaksanakan
Al-Riyadh: Bagaimanakah keputusan dibuat di dalam lembaga? Adakah berdasarkan undian suara terbanyak atau kesepakatan?
Al-Majid: Perkara 3 dalam Peraturan Kerja Lembaga Ulama Besar menyatakan bahawa lembaga mengeluarkan keputusan dan resolusinya berdasarkan suara terbanyak. Apabila bilangan suara seri, suara pengerusi menjadi penentu. Antara yang menarik dalam peraturan ini ialah ia turut menjaga hak pendapat yang tidak mendapat suara terbanyak. Peraturan ini menyatakan bahawa anggota yang tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat digalakkan menulis penolakan, alasan, hujah dan alternatif lain terhadap pendapat yang tidak diterimanya.
Al-Riyadh: Berapa kali lembaga bersidang setiap tahun? Berapa bilangan anggotanya?
Al-Majid: Peraturan Kerja menegaskan dan demikian juga amalan biasanya, bahawa lembaga bersidang dua kali setahun. Namun, ini tidak bermakna persidangan tambahan tidak boleh diadakan, khususnya untuk membincangkan isu-isu penting yang tidak boleh ditangguhkan.
Isu-isu yang telah diteliti
Al-Riyadh: Berapakah usia lembaga dan berapakah jumlah kes dan topik yang telah diteliti setakat ini?
Al-Majid: Seperti yang telah saya nyatakan di awal wawancara, lembaga ditubuhkan pada tahun 1391H. Ini menjelaskan usia lembaga. Tentang keputusan pula, lembaga telah mengeluarkan sebanyak 243 keputusan. Jumlah ini besar jika dilihat dari sudut topiknya yang berkenaan dengan kes-kes umum dan isu-isu fikah kontemporari. Keputusan-keputusan ini telah disebarkan melalui Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah dan media lain, seperti keputusan terkini berkaitan bayi tidak cukup bulan yang dilaporkan dalam akhbar dan majalah tertentu. Adapun fatwa dan nasihat untuk individu, ia merupakan tanggungjawab Lajnah Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa yang merupakan cabang Lembaga Ulama Besar. Lajnah tersebut telah mengeluarkan fatwa yang sangat banyak dan dicetak dalam puluhan jilid.
Al-Riyadh: Adakah topik-topik yang dikemukakan dalam persidangan diberi penerangan terlebih dahulu kepada anggota melalui edaran kajian dan penelitian yang berkaitan?
Al-Majid: Berdasarkan keperluan, kajian sekitar topik yang bakal dikemukakan akan disediakan, sama ada diusahakan oleh anggota Lajnah Tetap Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa, oleh penyelidik di Lembaga Ulama Besar sendiri atau diminta daripada pihak tertentu yang berkaitan dengan penyelidikan akademik.
Perubahan ke arah yang lebih baik
Al-Riyadh: Adakah mekanisme kerja lembaga akan mengalami perubahan besar berbanding sebelumnya?
Al-Majid: Lembaga bergerak mengikut rancangan yang telah dikaji dan diteliti menuju ke arah yang lebih baik dan lebih elok, dengan izin Allah. Sesiapa yang menyerah kepada keadaan semata-mata pasti akan mundur. Di dunia ini tidak ada perkara yang tetap dan tidak berubah dari tempatnya. Sesiapa yang tidak bergerak ke hadapan akan ditarik ke belakang. Lantaran itu, apa yang dilakukan oleh lembaga ialah apa yang digerakkan dengan penuh aktif oleh Samahah Ayahanda Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah Al asy-Syeikh, iaitu menggunakan semua faktor yang ada untuk meningkatkan tahap kerja dan menambah hasilnya. Antara yang telah disempurnakan kini ialah penubuhan jabatan khas untuk para penyelidik dan pelantikan salah seorang penyelidik kanan untuk mengetuainya. Di samping itu, dipilih tenaga kerja yang mahir untuk menguruskan pentadbiran hal ehwal pejabat di bangunan lembaga. Terdapat beberapa cadangan dan idea lain yang sedang diteliti oleh lajnah-lajnah tertentu yang dibentuk oleh Samahah Mufti. Mereka akan menelitinya dan mengemukakan kertas resolusi berkenaannya.
Al-Riyadh: Sering diperhatikan bahawa lembaga seperti hilang daripada media dan masyarakat umum, sedangkan lembaga menghimpunkan ilmuwan umat yang hebat dan anggota terbaik masyarakat. Orang ramai sangat perlu merujuk hukum dan fatwa daripada mereka. Adakah cara kerja lembaga akan berubah dan keputusan serta fatwa akan disebarkan melalui media massa setelah disediakan mengikut kesesuaian masyarakat awam?
Al-Majid: Apa yang anda nyatakan mungkin ada kebenarannya. Namun, pada pandangan saya, yang lebih tepat ialah individu yang merasakan kehilangan lembaga ini mungkin tidak mengikuti perkembangan penerbitan yang diedarkan oleh lembaga atau lajnah di bawahnya. Hal ini kerana keputusan-keputusan lembaga diedarkan dari semasa ke semasa melalui Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah. Ia juga disebarkan pada waktunya secara ringkas melalui sesetengah akhbar dan majalah, seperti contoh tadi, iaitu keputusan terkini berkaitan bayi tidak cukup bulan. Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah dianggap saluran media yang pertama dan terpenting bagi Lembaga Ulama Besar. Perkara 11 dalam Peraturan Kerja Lembaga Ulama Besar menyatakan bahawa pihak pentadbiran bertanggungjawab menyelia penerbitan majalah berkala untuk mengedarkan kajian-kajian akademik dan kajian yang dipersetujui oleh lembaga untuk diedarkan. Demikian juga akan dimuatkan kajian sesetengah penyelidik luar setelah dipersetujui oleh Setiausaha Agung.
Bantuan penyelidik luar
Al-Riyadh: Adakah lembaga menggunakan khidmat individu atau pihak luar dalam menjalankan penyelidikan?
Al-Majid: Lembaga mengambil manfaat daripada kajian yang telah ditulis dan diterbitkan dalam topik yang bakal dikemukakan. Lembaga juga meminta pandangan institut atau badan majma' fikah. Apabila keadaan memerlukan, seperti kajian dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan dan undang-undang am yang melibatkan isu perbankan, perdagangan dan kewangan, lembaga akan menjemput golongan pakar dalam bidang terbabit untuk menyertai persidangan tanpa hak mengundi.
Al-Riyadh: Adakah setiap anggota mempunyai pembantu rasmi untuk kajian, penelitian, penulisan dan penyediaan teks, serta pejabat peribadi sama ada di bangunan lembaga atau di bandar tempat kediamannya?
Al-Majid: Mereka yang bekerja sepenuh masa, iaitu anggota Lajnah Tetap Fatwa, mempunyai pejabat yang lengkap dengan pekerja. Adapun anggota bukan sepenuh masa, mereka tidak bertugas di Pentadbiran Am Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa memandangkan mereka terikat dengan pihak lain juga.
Nasihat untuk penanya fatwa dan para pelajar
Al-Riyadh: Di akhir wawancara ini, apakah nasihat anda kepada penanya fatwa dan golongan pelajar?
Al-Majid: Saya berharap para penanya fatwa berhati-hati dan jelas apabila bertanya tentang urusan agama. Sesungguhnya ini persoalan agama dan kita tidak boleh bermudah-mudah dalam hal ini. Penanya ialah titik permulaan proses fatwa. Apa yang diperhatikan, banyak buku membicarakan tentang mufti, adab dan syaratnya, sedangkan penanya merupakan penggerak pertama dalam proses fatwa. Sudah tentu topik berkaitan penanya fatwa sangat perlu dibicarakan dan ditulis seperti topik tentang mufti, bahkan perlu diberi lebih perhatian. Saya mahu menyatakan di sini bahawa antara kesilapan yang menyebabkan kecelaruan fatwa ialah kekeliruan masyarakat awam antara jawatan-jawatan berkaitan fatwa, kehakiman, pengajaran, imam dan khatib. Tidak semestinya individu yang menjawat mana-mana jawatan tersebut layak memberi fatwa. Kekeliruan ini salah satu faktor yang menyebabkan tersebarnya maklumat yang salah, kerana orang awam mengambil maklumat agama daripada individu yang bukan ahlinya. Ada antara maklumat tersebut yang berkaitan dengan pemikiran dan menyebabkan munculnya sikap ekstrem, perpecahan, melampau dalam beragama atau bermudah-mudah dalam tuntutan agama.
Demikian juga saya berharap para penanya fatwa dan pelajar ilmu syariah khususnya dapat membezakan antara isu yang berulang dengan isu baharu, serta antara mufti bagi isu yang berulang dengan mufti bagi isu yang baharu berlaku. Hal ini kerana sebahagian pelajar mungkin bertanya atau memohon penjelasan tentang isu-isu baharu tertentu daripada penuntut ilmu peringkat pertengahan, lalu mereka memberi jawapan yang menimbulkan salah faham dan salah gambaran. Akibatnya, kita melihat wujudnya kecacatan cara berfikir dalam kalangan sesetengah individu. Golongan tersebut belum sampai ke tahap penelitian yang mendalam dalam sesuatu persoalan dan penilaian yang benar terhadap individu. Lembaga Ulama Besar ialah pihak yang sebenarnya dipertanggungjawabkan oleh pemerintah untuk memberi fatwa berkenaan isu baharu dan kes-kes umum. Allah berfirman:
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita tentang keamanan atau ketakutan, mereka terus menyebarkannya. Padahal kalau mereka mengembalikannya kepada Rasul dan kepada ulil amri (pihak yang berwenang) dalam kalangan mereka, tentulah orang-orang yang mampu menyelidiki (mengistinbatkan) hakikatnya dalam kalangan mereka akan mengetahuinya. Dan kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, tentulah kamu telah mengikut syaitan kecuali sedikit sahaja.” (Surah an-Nisa': 83)
Akhirnya, saya merakamkan penghargaan kepada Khadim al-Haramain asy-Syarifain, Timbalan Pertama dan Timbalan Kedua atas sokongan dan dukungan, sama ada dalam bentuk material atau maknawi, kepada bahagian fatwa, anggota, pekerja dan warganya. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Samahah Ayahanda Mufti Besar atas segala usaha dan tindakannya untuk meningkatkan kemajuan fatwa.
Anggota Lembaga Ulama Besar Arab Saudi (2009)
Pengerusi: Samahah Mufti Besar, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Muhammad Al asy-Syeikh
Anggota:
- Syeikh Soleh bin Muhammad al-Luhaidan
- Syeikh Soleh bin Abdul Rahman al-Husayyin
- Syeikh Dr. Soleh bin Abdullah bin Humaid
- Syeikh Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at-Turki
- Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Ghudayyan
- Syeikh Abdullah bin Sulaiman bin Mani'
- Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan
- Syeikh Dr. Abdul Wahhab bin Ibrahim Abu Sulaiman
- Syeikh Dr. Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim Al asy-Syeikh
- Syeikh Dr. Ahmad bin Sir al-Mubaraki
- Syeikh Dr. Abdullah bin Muhammad al-Mutlaq
- Syeikh Dr. Ya'qub bin Abdul Wahhab bin Yusuf al-Bahusain
- Syeikh Dr. Abdul Karim bin Abdullah bin Abdul Rahman al-Khudair
- Syeikh Dr. Ali bin Abbas bin Uthman Hakami
- Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Sa'd al-Khunain
- Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar asy-Syinqiti
- Syeikh Muhammad bin Hasan bin Abdul Rahman bin Abdul Latif Al asy-Syeikh
- Syeikh Dr. Sa'd bin Nasir bin Abdul Aziz asy-Syathri
- Syeikh Dr. Qais bin Muhammad bin Abdul Latif Al asy-Syeikh Mubarak
- Syeikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim bin Abdul Aziz al-'Isa
Terjemahan segera: seorang penuntut ilmu, Madinah al-Munawwarah.
Abu Anas: Syukran kepada penterjemah, barakallahu fik.
Bacaan berkaitan
Rujukan
3 sumber-
Az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala', j. 7, hlm. 117 (dinukil oleh IslamQA no. 266489).
islamqa.info -
Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 83.
Quran.com -
Laporan pembentukan semula Hai'ah Kibar al-'Ulama' (21 anggota, pelbagai mazhab), al-Eqtisadiah, 15 Februari 2009.
aleqt.com
