Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Sirah & Tokoh

Isra’ & Mi’raj: Panduan Memahami Isu Palestin

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 31 Julai 2007 · 8 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Ustaz Mohamad Fauzi Zakaria. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: catatan penulis di Jeddah, 16 Rejab 1428H (31 Julai 2007).

Dalil al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’: 1)

Penerangan

Ayat pertama Surah al-Isra’ ini ialah bukti yang jelas berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ke atas Rasulullah SAW. Peristiwa ini sangat penting dalam sejarah Islam dan ia benar-benar menguji iman umat Islam. Rasulullah SAW diperjalankan pada waktu malam dari Makkah ke Bait al-Maqdis, seterusnya Mi’raj ke langit menghadap Allah SWT dari “sebalik hijab” dan akhirnya kembali semula ke Makkah sebelum waktu fajar. Kejadian ini sungguh luar biasa dan sukar dipercayai kalaulah ia bukan mukjizat Rasulullah SAW. Musyrikin Quraisy sungguh gembira dengan cerita yang dibawa oleh Muhammad SAW mengenai Isra’ dan Mi’raj.

Mereka seolah-olah mahu berpesta dengannya. Betapa tidak, bagi mereka cerita sedemikian benar-benar membuktikan Muhammad seorang pembohong besar. Namun Allah SWT mempertahankan kebenaran kata-kata Rasul-Nya berkenaan peristiwa ini dalam ayat yang lain di dalam al-Quran. Maksudnya: “Demi bintang ketika ia menjunam, rakan kamu (Muhammad) tidak menyeleweng (dari jalan yang benar) dan dia pula tidak sesat. Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama) menurut kemahuan hawa nafsunya. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah an-Najm: 1–4)

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Quraisy mendustakan aku (berkenaan Isra’), aku berdiri di Hijr (Ismail), lalu Allah menampakkan Bait al-Maqdis kepadaku, maka aku mula menceritakan kepada mereka tentang tanda-tandanya sedang aku melihatnya.” (Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, Surah al-Isra’, no. 4710; Sahih Muslim, no. 170)

Menariknya, Surah al-Isra’ ini dinamakan juga Surah Bani Israil. Ini kerana sesudah ayat pertama yang menceritakan kisah Isra’ dan Mi’raj, ayat kedua dan seterusnya terus menceritakan kisah Nabi Musa a.s. dan karenah umatnya, Bani Israil. Dengan ini jelas sekali bahawa iktibar daripada kisah Isra’ dan Mi’raj mempunyai kaitan yang kuat dengan isu Bait al-Maqdis (Jerusalem) dan Palestin amnya.

Bagi sebahagian umat Islam, seperti di Malaysia, peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini disambut secara tradisi. Di samping mendapat “cuti sempena”, sambutan masih terus bertradisi dari dahulu hingga kini, daripada mendengar cerita hingga jamuan selera. Semuanya ialah tradisi menyambut Isra’ dan Mi’raj. Namun sekurang-kurangnya ia masih disambut dan diperingati walaupun hanya kerana tradisi. Berbanding dengan kebanyakan negara umat Islam, khasnya negara-negara yang “bersempadan” dengan Palestin, peristiwa Isra’ dan Mi’raj serta isu yang berkaitan dengannya hampir dilupakan langsung. Maka apa lagi yang tinggal selain sifar peringatan dan malang yang berpanjangan.

Sesungguhnya peristiwa yang melibatkan dua tanah suci ini ada rahsia besar di sebaliknya. Dengan Isra’nya Rasulullah SAW dari Makkah ke Bait al-Maqdis dan mengimamkan solat berjemaah bersama para anbiya’ di Masjid al-Aqsa, Allah SWT telah mengisyaratkan penganugerahan kepimpinan baharu umat manusia kepada Rasulullah SAW. Sebelum itu, telah berabad-abad lamanya amanah tersebut disia-siakan oleh Bani Israil. Melalui peristiwa Isra’ ini, Allah SWT menghimpunkan kepada umat Islam kedua-dua tanah suci yang pernah menjadi kiblat: Baitullah di Makkah dan Bait al-Maqdis di Palestin. Sebagai tanah suci para anbiya’ yang menjadi tanggungjawab umat Islam menjaganya, Bait al-Maqdis memiliki beberapa fadilat dan kelebihan.

Antaranya beberapa hadis Rasulullah SAW:

  • “Tidak digalakkan bersusah payah melakukan perjalanan (untuk beribadat) melainkan ke tiga masjid: Masjid al-Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1189 dan Muslim, no. 1397)
  • “Solat di Masjid al-Haram menyamai seratus ribu solat, solat di masjidku (Masjid Nabawi) menyamai seribu solat dan solat di Bait al-Maqdis menyamai lima ratus solat.” (Riwayat at-Tabarani dan al-Bazzar daripada Abu ad-Darda’ r.a.; sanadnya dipertikaikan oleh ulama hadis. Yang sabit dalam Sahih al-Bukhari, no. 1190 dan Sahih Muslim, no. 1394 ialah: “Solat di masjidku ini lebih baik daripada seribu solat di tempat lain kecuali Masjid al-Haram.”)

Berdasarkan hakikat inilah Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, sebagai khalifah (pewaris pemerintahan) Rasulullah SAW, melakukan pembukaan (al-fath) ke atas Bait al-Maqdis dan memasukkannya ke dalam wilayah kekuasaan Islam pada zamannya. Bagaimanapun, bangsa Yahudi tetap mendakwa bahawa Bait al-Maqdis (Jerusalem) dan Palestin amnya ialah kota suci dan bumi milik mutlak mereka. Ini kerana menurut mereka, Yahudi ialah bangsa pewaris mutlak daripada Abram (Ibrahim a.s.) yang telah dijanjikan Tuhan di dalam kitab Kejadian (Genesis) penempatan untuknya dan zuriatnya di Palestin.

Seterusnya mereka mendakwa di dalam kitab Keluaran (Exodus) bahawa sekali lagi Jerusalem di Palestin dijanjikan sebagai penempatan mereka melalui Nabi Musa a.s. setelah keluar dari Mesir. Namun apabila kenyataan-kenyataan sejarah ini dirujuk kepada al-Quran sebagai kitab wahyu terakhir, ternyata ia sangat bercanggah. Memang benar bangsa Yahudi (Bani Israil) ialah keturunan Israil (Ya’qub) bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Bagaimanapun, Ibrahim a.s. berasal dari Iraq dan diperintahkan Allah SWT berhijrah ke Palestin yang dipanggil bumi Kan’an. Ini kerana pada masa itu kaum Kan’an (Canaan), bangsa Semitik yang serumpun dengan Ibrahim a.s., ialah peribumi Palestin.

Menurut al-Quran (Surah al-Anbiya’: 69–72), Allah SWT hanya menjanjikan Ibrahim a.s. di bumi Palestin dengan zuriat yang soleh yang juga akan dilantik menjadi nabi, iaitu Ishaq dan puteranya Ya’qub a.s. Tidak ada rujukan terhadap sebarang negara-bangsa. Begitu juga, sebelum kelahiran Ishaq, Ibrahim terlebih dahulu beroleh seorang putera (Ismail) yang bersama ibunya, Hajar, diperintahkan Allah supaya ditempatkan di Makkah. Daripada Ismail a.s. lahirnya bangsa Arab dan penutup risalah para anbiya’, Muhammad SAW. Ibrahim a.s. yang bergelar Abu al-Anbiya’ (bapa para nabi), bukannya bapa Bani Israil, pada akhir hayatnya menetap di selatan Palestin dan dimakamkan di al-Khalil (Hebron), bukan di Jerusalem.

Begitu juga Ishaq dan Ya’qub a.s. Sementara itu Ya’qub a.s. pula hanya menetap sementara sahaja di sana bersama anak-anaknya sebelum berhijrah dan wafat di Mesir. Bani Israil hanya berkembang sebagai satu suku kaum sewaktu berada di Mesir, bukan di Palestin. Kali pertama Bani Israil berhijrah menuju Palestin ialah bersama Musa a.s. dalam misi membebaskan diri daripada perhambaan Firaun. Mengenai janji Tuhan untuk Bani Israil melalui Musa a.s. ke atas Palestin, al-Quran menjelaskan bahawa Allah memerintahkan mereka supaya masuk ke tanah suci Bait al-Maqdis (Jerusalem), bukannya perintah supaya kembali ke tanah air (Surah al-Ma’idah: 21).

Al-Quran sebaliknya menceritakan Bani Israil mengingkari perintah itu, malah mereka dengan biadab mencabar Musa a.s. supaya memasuki tanah suci itu bersama Tuhannya tanpa membabitkan mereka. Akibat keingkaran itu dan keingkaran-keingkaran lain sesudahnya, Allah SWT melaknat mereka, lalu jadilah kaum Yahudi sebagai kaum yang terlaknat. Akhirnya mereka hidup terdampar dan bertaburan terbuang di seluruh muka bumi (Surah al-Ma’idah: 13 dan 24–26; Surah al-Baqarah: 88–89; Surah al-A’raf: 168). Demikian penjelasan Allah melalui al-Quran mengenai sikap dan jati diri kaum Yahudi.

Mereka telah diberikan anugerah kepimpinan bersama para rasul dan amanah menegakkan syariat Allah, namun mereka telah mensia-siakannya. Apabila tiba masanya, Allah SWT menarik kembali anugerah dan amanah tersebut daripada mereka dan menyerahkannya kepada umat Islam. Hal ini terlambang dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, terutama solat Rasulullah SAW di Masjid al-Aqsa mengimami jemaah para anbiya’. Sememangnya mesej utama daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj ialah persoalan hak dan amanah ke atas kota suci Bait al-Maqdis dan bumi Palestin.

Ia berasaskan akidah dan syariat Rabbaniyyah, bukannya berasaskan hak keturunan atau bangsa. Allah SWT memerintahkan Bani Israil pada zaman Musa a.s. memasuki Bait al-Maqdis kerana mereka pemegang amanah akidah dan syariat Allah pada masa itu. Apabila mereka ingkar dan enggan menjunjung syariat Allah, hak dan amanah mereka ke atas al-Quds telah dilucutkan. Mereka bukan sahaja dinafikan daripada pertolongan Allah, malah terhina di mata umat manusia.

Demikianlah mana-mana pihak di sepanjang zaman yang berjuang untuk mendapatkan hak dan amanah ke atas Bait al-Maqdis dan Palestin amnya mesti menerima hakikat bahawa Bait al-Maqdis ialah tanah suci kepunyaan Allah SWT, bukan milik mutlak mana-mana bangsa sama ada Yahudi, Arab ataupun Palestin. Allah SWT telah menjelaskan hal ini dengan terang dan jelas. Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab Zabur sesudah peringatan (az-Zikr), bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Surah al-Anbiya’: 105)

Oleh itu, mana-mana kaum yang berjuang untuk mendapatkan hak penguasaan ke atasnya kerana Allah SWT, demi menegakkan akidah dan syariat-Nya, akan ditolong Allah. Sebaliknya jika tidak, tetapi hanya berasaskan perkiraan dunia semasa, contohnya semangat kebangsaan sekular, ia bukan sahaja tidak memiliki status “sah”, malah tidak akan mendapat pertolongan Allah dan terserahlah kepada perkiraan dunia semasa: siapa kuat dia dapat.

Ustaz Mohamad Fauzi Zakaria, Jeddah, 16 Rejab 1428H.

Bacaan berkaitan

Rujukan

10 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Isra’ (17): 1.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah an-Najm (53): 1–4.

    Quran.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, no. 4710; Sahih Muslim, no. 170 (riwayat Jabir bin Abdullah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 1189; Sahih Muslim, no. 1397 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 1190; Sahih Muslim, no. 1394 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  6. Al-Quran, Surah al-Anbiya’ (21): 69–72.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah al-Ma’idah (5): 21–26.

    Quran.com
  8. Al-Quran, Surah al-Ma’idah (5): 13; Surah al-Baqarah (2): 88–89; Surah al-A’raf (7): 168.

    Quran.com
  9. Al-Quran, Surah al-Anbiya’ (21): 105.

    Quran.com
  10. Cave of the Patriarchs (al-Haram al-Ibrahimi), al-Khalil/Hebron.

    en.wikipedia.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Sirah & Tokoh Kenali Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Kenali Imam Ad-Darimi Rahimahullah – Pengumpul Sunnah Nabi ﷺ 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Keislaman ‘Umar RA: Doa Nabi, Dentuman Hidayah & Gelaran al-Fārūq 26 Okt 2025 Sirah & Tokoh Kisah Taubat Ikrimah bin Abu Jahal RA 29 Sep 2025