Tulisan: Ustaz Abu Umair. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Ustaz Abu Umair, 7 September 2009.
Pengantar Abu Anas Madani
Satu tazkirah yang menarik untuk direnungi, iaitu betapa ramai orang yang berani mengeluarkan hukum walaupun mereka tidak mempunyai keahlian dalam bidang agama. Contohnya dalam kes tuntutan pihak Katolik yang menang di mahkamah pada hujung tahun 2009, belum pun ada ulama mengeluarkan pendapat, sudah ada orang yang mendahuluinya menyatakan sokongan. Ingatlah pesanan alim ulama: “Orang yang paling berani mengeluarkan fatwa ialah orang yang paling berani menghadapi neraka jahanam.” Ada sebahagian masyarakat yang tidak dapat membezakan antara kenyataan politik dengan mengeluarkan hukum. Semoga kita diselamatkan oleh Allah SWT daripada bala ini. Nas’alullaha as-salamah wal-‘afiyah.
Fenomena berani berfatwa
Sejak kebelakangan ini kelihatan satu gejala yang melanda sebahagian orang Islam, iaitu berani berfatwa. Setiap kali timbul isu yang melibatkan hukum-hakam agama, maka menjelmalah ramai “mujtahid” yang pantas mengutarakan pendapat mereka. Adakalanya “fatwa-fatwa” mereka kelihatan mendahului keputusan ahli-ahli fatwa yang lebih berautoriti.
Pernah satu ketika timbul isu yang agak menggemparkan negara, yang ada kaitan dengan hukum agama. Seperti biasa, ramailah penceramah berfatwa dalam pidatonya dan penulis pula berhukum melalui pena dan papan kekuncinya. Walhal dari sudut hukum, ia termasuk dalam hukum yang disepakati atau yang sudah ijmak dalam kalangan fuqaha. Lantaran jahil tentang ijmak atau jahil tentang wajibnya menuruti ijmak, golongan seperti ini berani menghebahkan pandangan peribadi yang menyalahi ijmak silam para ulama.
Lihatlah bagaimana permasalahan fiqh yang disepakati oleh fuqaha, apabila dibincangkan oleh orang yang bukan ulama, tiba-tiba menjadi masalah khilaf yang bercabang-cabang pendapatnya. Agaknya, kalau masalah fiqh yang sepatutnya khilaf kepada tiga pendapat dibiarkan golongan ini berhukum dan berfatwa, mungkin perselisihan akan menjadi 20 pendapat!
Berani dan pantasnya mereka berfatwa benar-benar menghairankan. Seakan-akan mereka tidak pernah menghayati firman Allah dalam Surah al-A‘raf:
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [Al-A‘raf: 33]
Jika kita menyedari mengapa dalam ayat di atas dosa berkata tentang Allah tanpa ilmu dirangkaikan bersama dosa syirik kepada Allah, pasti kita akan mengetahui betapa besarnya jenayah memberi fatwa tentang agama tanpa ilmu.
Malang apabila ada dalam kalangan orang Islam yang menganggap berfatwa sebagai satu hobi yang menarik. Sesiapa sahaja boleh menceburinya, asalkan mempunyai selonggok buku agama ataupun beberapa keping CD maktabah kitab. Walhal para salaf bertolak-tolak dan mengelak daripada memberi fatwa.
Ibn Abi Laila berkata: “Aku menemui 120 orang Ansar daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW. Apabila salah seorang daripada mereka ditanya sesuatu masalah, dia akan menolaknya supaya diajukan kepada orang lain. Orang lain itu pula menolaknya kepada yang lain, sehingga kembali kepada orang pertama.”
Golongan salaf merasakan urusan fatwa adalah satu amanah yang sangat besar. Bukan sekadar memberi jawapan segera kepada penyoal bahawa ini halal dan itu haram, tetapi ia berkait dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka.
Imam Malik kadang-kadang ditanya tentang 50 masalah, tetapi beliau tidak menjawab walau satu pun. Imam Malik berkata: “Sesiapa yang hendak menjawab sesuatu masalah, sebelum menjawabnya hendaklah dia membentangkan dirinya di atas syurga dan neraka serta memikirkan bagaimana kesudahannya di akhirat, barulah dia menjawab.”
Kita juga hairan mengapa para ulama yang muktabar cukup berhati-hati dan kerap mengambil jalan tawaqquf (berdiam diri) apabila berdepan dengan hukum Allah, tetapi orang yang tidak pernah diiktiraf sebagai ulama, apatah lagi mujtahid, begitu berani dan boros berfatwa.
Imam Sahnun pernah ditanya satu masalah oleh seorang lelaki. Selama tiga hari lelaki itu berulang-alik kepada Sahnun dan mendesaknya: “Soalan aku, semoga Allah memperelok urusanmu.”
Sahnun berkata: “Wahai sahabatku, apa yang boleh aku lakukan dengan soalanmu? Ia rumit, padanya ada banyak pendapat dan aku kebingungan tentangnya.”
Lelaki itu berkata: “Engkaulah (orang yang layak menjawab) setiap soalan yang rumit.”
Sahnun berkata: “Jauh sekali, wahai anak saudaraku. Bukanlah kerana kata-katamu itu aku akan menyerahkan daging dan darahku kepada api neraka. Alangkah banyaknya perkara yang aku tidak tahu.”
Sahnun berkata lagi: “Kalau engkau bersabar, aku harap engkau akan kembali dengan jawapan bagi persoalanmu ini. Kalau engkau mahu bertanya kepada orang lain selain aku, pergilah dan masalahmu itu mungkin dijawab segera dalam sekelip mata.”
Demikian cermat dan waraknya para mujtahid dalam memberi fatwa. Mereka menangguh-nangguhkan jawapan bukan kerana mereka jahil, tetapi kerana takut kepada Allah. Ibn as-Salah berkata: “Dalam kalangan mereka ada yang melambat-lambatkan jawapan bagi soalan yang dia tidak ragu padanya (yakni tahu jawapannya) dan mereka bertawaqquf dalam masalah yang mudah yang mampu mereka jawab.”
Sebaliknya, orang yang tidak berilmu pula yang malu untuk bertawaqquf dan malu untuk menyebut “aku tidak tahu”, tetapi tidak pula merasa malu dan segan kepada Allah untuk bercakap tentang hukum-hakam-Nya tanpa ilmu.
Pantas berfatwa tanpa usul periksa adalah tanda bahawa seseorang itu tidak diberi taufik oleh Allah. Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Sedikit sekali orang yang gemar memberi fatwa, berlumba-lumba memberi fatwa dan sentiasa memberi fatwa, melainkan sedikitlah taufik Allah kepadanya.”
Ia juga tanda kurangnya ilmu seseorang walaupun lagaknya seperti ilmuwan. Ayyub as-Sakhtiyani berkata: “Orang yang paling berani memberi fatwa ialah orang yang paling sedikit ilmunya tentang khilaf ulama.”
Maka berhati-hatilah dalam berbicara tentang hukum-hakam. Tidak ada keaiban bagi orang yang enggan menjawab soalan atau menjawab dengan kalimah “Allahu a‘lam”. Tetapi aib yang besar bagi sesiapa yang menjawab segala persoalan dengan kejahilan atau kelalaian. Ibn Mas‘ud berkata: “Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya ialah orang gila.”
Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk menuruti jalan para salaf, iaitu jalan orang yang warak dalam berbicara tentang hukum-hakam Allah. Hendaklah kita merasa malu dan takut kepada Allah melebihi malu kita sesama manusia.
Rujukan
3 sumber-
Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 33.
Quran.com -
An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, Muqaddimah: Bab Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti.
Maktabah Syamilah -
Ibn 'Abd al-Barr, Jami' Bayan al-'Ilm wa Fadhlih, bab tentang fatwa dan khilaf.
