Pendahuluan

Ramai yang bertanya tentang hukum membawa dan menyentuh anak-anak ketika solat. Apabila pergi ke masjid pula, orang masjid sibuk menegur kanak-kanak yang berada dalam saf orang dewasa; jika dibiarkan di belakang, mereka bising pula dengan gurauan atau diusik oleh kawan-kawan dan sebagainya. Semoga kuliah yang membincangkan lima tajuk ini ada jawapan yang anda cari.
Dalam kuliah ini dibincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan kanak-kanak:
- Air liur dan muntah.
- Air kencing.
- Khitan.
- Menyentuh anak kecil dalam solat.
- Saf kanak-kanak dalam solat.
Rakaman penuh kuliah ini boleh didapati di Dar Taibah. Ringkasan bertulis di bawah memberi tumpuan kepada hukum menyentuh anak ketika solat dan susunan saf kanak-kanak.
Hukum Menyentuh Anak Ketika Solat
Persoalan tentang menyentuh anak ketika solat merupakan isu yang sering ditimbulkan oleh para ibu dan wanita yang kehidupan seharian mereka tidak dapat dipisahkan daripada anak-anak. Untuk mengelakkannya adalah sangat sukar bagi sesetengah mereka. Oleh itu masalah ini memerlukan kajian dan perbincangan yang terbuka dan rasional, berdasarkan pandangan alim ulama muktabar dahulu dan sekarang.
Di sini akan dibincangkan dua keadaan iaitu:
Pertama: Anak yang Belum Berkhitan
Masyarakat kita sering memandang anak-anak kecil yang belum berkhitan sebagai menanggung najis dan boleh membatalkan solat orang yang tersentuh dengannya. Dia juga dikatakan boleh memutuskan saf solat jemaah.
Tetapi sekiranya kanak-kanak itu dikatakan menanggung najis dengan sebab tidak berkhitan, sudah pasti syariat akan menerangkannya kerana ia sangat penting dalam kehidupan kita, sepertimana syariat menerangkan cara membersihkan air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Perkara ini tidak pula disebutkan oleh para ulama dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar ketika membincangkan Bab al-Najasat (perkara-perkara yang najis) dan tiada satu bab khas tentang “najisnya kanak-kanak yang belum berkhitan”. Maka apakah ia hanya satu tanggapan masyarakat kita atau merupakan ijtihad sesetengah ulama yang terbuka kepada perbincangan?
Jika diteliti hadis-hadis yang dibawa di bawah, yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mendukung cucunya ketika solat serta al-Hasan dan al-Husain naik ke atas belakang Baginda ketika sujud, ini memberi maksud kanak-kanak yang belum baligh tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan solat.
Demikian juga hadis ini:
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-‘As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun daripada sujud Baginda mengangkatnya semula.” [HR al-Bukhari, no. 516 dan Muslim, no. 543].
Mungkin akan dibahaskan bahawa adat orang Arab mengkhitankan anak ketika masih bayi, tetapi di tempat kita anak-anak kebiasaannya berkhitan apabila habis sekolah rendah. Apakah anak itu menjadi kotor kerana kulup atau najis yang terdapat padanya?
Maka kalau dilihat kepada hukum istinjak menggunakan batu, kesannya tentu tidak hilang sepenuhnya dan ia dikira sebagai najis yang dimaafkan. Soalnya, apakah ia lebih suci daripada kulup? Sedangkan tiada nas atau hujah yang mengatakan orang yang beristinjak dengan batu mesti berdiri di saf yang berlainan.
Begitu juga ulama tidak merenggangkan antara orang yang berpenyakit kencing tidak berhenti (salis al-baul) dengan orang-orang lain. Ini menunjukkan kanak-kanak yang belum berkhitan juga tidak perlu direnggangkan. Wallahu a‘lam.
Maka logiknya kanak-kanak yang belum bersunat jika berada dalam satu saf, ia tetap tidak membatalkan solat seseorang. Namun, elok diasingkan saf kanak-kanak yang belum berkhitan daripada saf orang dewasa.
Kedua: Menyentuh Anak Kecil yang Memakai Lampin
Perbincangan tentang masalah ini juga sama seperti di atas, iaitu hadis Rasulullah SAW mendukung Umamah binti Abi al-‘As dan kisah al-Hasan dan al-Husain r.a. Kalau kita andaikan mereka berdua sudah berkhitan, apakah mereka juga sudah pandai menjaga kebersihan dan pergi ke tandas sendiri atau masih menggunakan lampin seperti kanak-kanak lain?
Kemudian, sama-sama kita teliti pula pandangan ulama tentang menyentuh najis secara berlapik atau menanggungnya.
Imam an-Nawawi dalam Raudah at-Talibin menyebut tiga pandangan (wajah) dalam mazhab tentang orang yang solat memegang hujung tali atau kain yang hujungnya yang lain bersambung dengan najis. Menurut salah satu pandangan itu, jika perantaraannya sesuatu yang suci, sedangkan yang suci itu pula bersentuh atau menanggung najis, maka tidak batal solatnya.1 [Rujuk Raudah at-Talibin, 1/274].
Alasan ia tidak membatalkan adalah kerana:
- Sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggung. Jika secara langsung, terbatal solat seseorang itu tetapi tidak wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, dia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih dan tidak perlu memperbaharui wuduknya.
- Bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis, seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, tidak membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis yang bergerak dan tubuhnya tidak pula bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali; ia hanya menanggung najis sahaja.
فرع: ما لبسه المصلي يجب أن يكون طاهرا وأن لا يلاقي شيئا تحرك بحركته في قيامه وقعوده أو لم يتحرك بعض أطرافه كذنابة العمامة، فلو أصاب طرف العمامة الذي لا يتحرك أرضا نجسة بطلت صلاته، ولو قبض طرف حبل أو ثوب أو شده في يده أو رجله أو وسطه وطرفه الآخر نجس أو متصل بالنجاسة فثلاثة أوجه: أصحها تبطل صلاته، والثاني لا تبطل، والثالث إن كان الطرف نجسا أو متصلا بعين النجاسة بأن كان في عنق كلب بطلت. وإن كان متصلا بطاهر، وذلك الطاهر متصلا بنجاسة، بأن شد في ساجور أو خرقة وهما في عنق كلب، أو شده في عنق حمار عليه حمل نجس، لم تبطل.
المجموع: واتفقت طرق جميع الأصحاب على أنه لو جعل طرف الحبل تحت رجله صحت صلاته في جميع الصور.
Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (disebut dalam mazhab Syafie sebagai hamil li muttasil bi najasah, iaitu menanggung sesuatu yang bersambung dengan najis), sama ada dengan mendukungnya atau dia memanjat belakang kita semasa sujud atau dia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. [Mughni al-Muhtaj, 1/264, cetakan Dar al-Fikr].
مغني المحتاج إلى معرفة ألفاظ المنهاج: «وَلَا قَابِضٍ طَرَفَ شَيْءٍ عَلَى نَجَسٍ إنْ تَحَرَّكَ، وَكَذَا إنْ لَمْ يَتَحَرَّكْ فِي الْأَصَحِّ».
الشَّرْحُ: (وَلَا) تَصِحُّ صَلَاةُ نَحْوِ (قَابِضٍ) كَشَادٍّ بِنَحْوِ يَدِهِ (طَرَفَ شَيْءٍ) كَحَبْلٍ طَرَفُهُ الْآخَرُ نَجَسٌ أَوْ مَوْضُوعٌ (عَلَى نَجَسٍ إنْ تَحَرَّكَ) مَا ذُكِرَ بِحَرَكَتِهِ (وَكَذَا إنْ لَمْ يَتَحَرَّكْ) بِهَا (فِي الْأَصَحِّ) لِأَنَّهُ حَامِلٌ لِمُتَّصِلٍ بِنَجَاسَةٍ فِي الْمَسَائِلِ الْمَذْكُورَةِ، فَكَأَنَّهُ حَامِلٌ لَهَا، وَالثَّانِي تَصِحُّ؛ لِأَنَّ الطَّرَفَ الْمُلَاقِيَ لِلنَّجَاسَةِ لَيْسَ مَحْمُولًا لَهُ، وَلَوْ كَانَ طَرَفُ الْحَبْلِ مُلْقًى عَلَى سَاجُورِ نَحْوِ كَلْبٍ، وَهُوَ مَا يُجْعَلُ فِي عُنُقِهِ أَوْ مَشْدُودًا بِدَابَّةٍ أَوْ بِسَفِينَةٍ صَغِيرَةٍ بِحَيْثُ تَنْجَرُّ بِجَرِّ الْحَبْلِ أَوْ قَابِضِهِ يَحْمِلَانِ نَجَسًا أَوْ مُتَّصِلًا بِهِ لَمْ تَصِحَّ صَلَاتُهُ عَلَى الْأَصَحِّ فِي الرَّوْضَةِ وَالْمَجْمُوعِ، بِخِلَافِ سَفِينَةٍ كَبِيرَةٍ لَا تَتَحَرَّكُ بِجَرِّهِ فَإِنَّهَا كَالدَّارِ، وَلَا فَرْقَ فِي السَّفِينَةِ بَيْنَ أَنْ تَكُونَ فِي الْبَرِّ أَوْ فِي الْبَحْرِ خِلَافًا لِمَا قَالَهُ الْإِسْنَوِيُّ مِنْ أَنَّهَا إذَا كَانَتْ فِي الْبَرِّ لَمْ تَبْطُلْ قَطْعًا صَغِيرَةً كَانَتْ أَوْ كَبِيرَةً.
Tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu membuangnya dengan segera, solat itu tetap sah. Ini merujuk kepada satu peristiwa:
Ketika para sahabat sedang bersolat bersama Nabi SAW dengan memakai selipar, tiba-tiba mereka melihat Baginda (semasa solat) menanggalkan seliparnya, maka semua sahabat menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia satu perbuatan yang mesti diikuti).
Setelah selesai solat, Nabi SAW bertanya kepada mereka: “Kenapakah kamu semua menanggalkan selipar kamu?” Para sahabat menjawab: “Kerana kami melihat tuan melakukannya.” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Telah datang kepadaku Jibril a.s. lalu memberitahu bahawa pada seliparku terdapat kekotoran (maka aku tanggalkan kerana itu).” [HR Abu Dawud, no. 650; sahih menurut al-Albani].
Maka jika anak kecil yang menanggung najis duduk di riba kita lalu dielakkan dengan segera, ia tidak membatalkan solat. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, Bab: Perkara yang Membatalkan Solat, 1/169] [Lihat: Uzar, Mutiara Akidah dan Ibadat, hlm. 175–176].
Pandangan Ulama Semasa
Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh [1/576] yang merujuk kepada kitab al-Muhazzab dan al-Majmu‘ karangan Imam an-Nawawi menyebut: “Tiada perselisihan dalam mazhab Syafie dan Hanafi bahawa tidak memudaratkan (tidak membatalkan solat) membawa kanak-kanak yang tidak zahir padanya najis. Maka sekiranya dia membawa haiwan yang suci dalam solatnya, sah solatnya kerana Nabi SAW membawa Umamah binti Abi al-‘As dalam solatnya; kerana najis yang ada pada haiwan itu berada pada tempatnya (tidak merebak keluar) dan ia sama dengan najis yang berada di dalam perut orang yang solat.”
Mafhum daripada kenyataan ini, tidak batal solat sekiranya kita tersentuh kanak-kanak yang belum berkhitan atau yang memakai lampin kecuali jika zahir najis pada pakaian atau tubuh badannya.
المجموع: قال المصنف رحمه الله: (وإن حمل حيوانا طاهرا في صلاته صحت صلاته؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم حمل أمامة بنت أبي العاص في صلاته، ولأن ما في الحيوان من النجاسة في معدن النجاسة فهو كالنجاسة التي في جوف المصلي. وإن حمل قارورة فيها نجاسة وقد سد رأسها ففيها وجهان: أحدهما يجوز لأن النجاسة لا تخرج منها فهو كما لو حمل حيوانا طاهرا، والمذهب أنه لا يجوز لأنه حمل نجاسة غير معفو عنها في غير معدنها فأشبه إذا حمل النجاسة في كمه). (الشرح) حديث أمامة رواه البخاري ومسلم، وهي أمامة بنت زينب بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم. واسم أبي العاص مِهْشَم بكسر الميم وإسكان الهاء وفتح الشين المعجمة، وقيل: لقيط، وقيل: ياسر، وقيل: القاسم بن الربيع بن عبد العزى بن عبد شمس القرشي. كان النبي صلى الله عليه وسلم يحبها، تزوجها علي بن أبي طالب بعد وفاة فاطمة، وكانت فاطمة أوصته بذلك رضي الله عنهم. (أما) حكم المسألة فإذا حمل حيوانا طاهرا لا نجاسة على ظاهره في صلاته صحت صلاته بلا خلاف. [المجموع 3/142]
Susunan Saf Kanak-Kanak dalam Solat Berjemaah
Dalil menunjukkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, kanak-kanak dibawa ke masjid. Satu hadis meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Aku berdiri untuk solat dan bercadang memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan kanak-kanak, lalu aku memendekkan solatku kerana bimbang menyusahkan ibunya.” [HR al-Bukhari, no. 707 dan Muslim, no. 470].
Apabila kanak-kanak turut sama solat, susunannya menurut riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a., Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، وَلَا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، وَإِيَّاكُمْ وَهَيْشَاتِ الْأَسْوَاقِ»
Maksudnya: “Hendaklah berdiri di belakangku orang yang sudah baligh dan berakal dalam kalangan kamu, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya. Janganlah kamu berselisih (dalam saf) nanti berselisih hati kamu dan jauhilah kamu hingar-bangar seperti di pasar.” [HR Muslim, no. 432 dan at-Tirmizi, no. 228].
Bagi menjelaskan hadis ini, lihat pula hadis berikut yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy‘ari r.a.:
عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ كَانَ يُسَوِّي بَيْنَ الْأَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي الْقِرَاءَةِ وَالْقِيَامِ، وَيَجْعَلُ الرَّكْعَةَ الْأُولَى هِيَ أَطْوَلُهُنَّ لِكَيْ يَثُوبَ النَّاسُ، وَيَجْعَلُ الرِّجَالَ قُدَّامَ الْغِلْمَانِ، وَالْغِلْمَانَ خَلْفَهُمْ، وَالنِّسَاءَ خَلْفَ الْغِلْمَانِ.
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, saf kanak-kanak di belakang lelaki dewasa dan saf perempuan di belakang kanak-kanak.” [HR Ahmad; diriwayatkan juga secara ringkas oleh Abu Dawud, no. 677. Sanadnya daif kerana perawi Syahr bin Hausyab].
Hadis di atas diambil sebagai hujah oleh para fuqaha bahawa hendaklah diletakkan kedudukan kanak-kanak dalam solat berjemaah di belakang lelaki dewasa dan di hadapan saf perempuan, walaupun sanadnya daif; asas yang sahih bagi susunan ini ialah hadis Ibnu Mas‘ud riwayat Muslim di atas.
Imam Ahmad dinukilkan memakruhkan kanak-kanak berdiri bersama orang ramai di belakang imam kecuali yang sudah baligh. [Nail al-Autar, 2/224].
Jumhur ulama fiqh berpendapat hendaklah didahulukan lelaki dewasa, kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa dan kemudian perempuan. Inilah yang utama dan afdal. [Lihat huraian dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/291–293]:
المجموع: إذا حضر إمام ومأمومان تقدم الإمام واصطفا خلفه، سواء كانا رجلين أو صبيين أو رجلا وصبيا، هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة. وإذا حضر كثيرون من الرجال والصبيان، يقدم الرجال ثم الصبيان، هذا هو المذهب وبه قطع الجمهور، وفيه وجه حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وصاحبا المستظهري والبيان وغيرهم: أنه يستحب أن يقف بين كل رجلين صبي ليتعلموا منهم أفعال الصلاة. والصحيح الأول؛ لقوله صلى الله عليه وسلم: «ليلني منكم أولو الأحلام والنهى ثم الذين يلونهم».
Namun, ada juga pandangan (satu wajah dalam mazhab) yang dinukilkan oleh beberapa ulama besar mazhab Syafie seperti Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, al-Qadhi Abu at-Tayyib, pengarang al-Mustazhiri dan al-‘Imrani (pengarang al-Bayan) dan lain-lain:
“Sunat meletakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu berselang-seli dengan orang dewasa supaya mereka belajar melakukan solat.”
Penjelasan daripada Mughni al-Muhtaj:
مغني المحتاج: «(وَيَقِفُ) إذَا اجْتَمَعَ الرِّجَالُ وَغَيْرُهُمْ (خَلْفَهُ الرِّجَالُ) أَيْ خَلْفَ الْإِمَامِ لِفَضْلِهِمْ (ثُمَّ الصِّبْيَانُ) لِأَنَّهُمْ مِنْ جِنْسِ الرِّجَالِ، ثُمَّ الْخَنَاثَى، كَمَا فِي التَّنْبِيهِ لِاحْتِمَالِ ذُكُورَتِهِمْ (ثُمَّ النِّسَاءُ) لِتَحَقُّقِ أُنُوثَتِهِمْ.
وَالْأَصْلُ فِي ذَلِكَ خَبَرُ: لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثَلَاثًا، رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
وَمَحَلُّ مَا ذَكَرَ مَا إذَا حَضَرَ الْجَمِيعُ دُفْعَةً وَاحِدَةً، فَلَوْ سَبَقَ الصِّبْيَانُ بِالْحُضُورِ لَمْ يُؤَخَّرُوا لِلرِّجَالِ اللَّاحِقِينَ، كَمَا لَوْ سَبَقُوا إلَى الصَّفِّ الْأَوَّلِ؛ فَإِنَّهُمْ أَحَقُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ، نَقَلَهُ فِي الْكِفَايَةِ عَنِ الْقَاضِي حُسَيْنٍ وَغَيْرِهِ وَأَقَرَّهُ؛ لِأَنَّهُمْ مِنْ جِنْسِهِمْ، بِخِلَافِ الْخَنَاثَى وَالنِّسَاءِ، وَإِنَّمَا تُؤَخَّرُ الصِّبْيَانُ عَنِ الرِّجَالِ كَمَا قَالَ الْأَذْرَعِيُّ إذَا لَمْ يَسَعْهُمْ صَفُّ الرِّجَالِ وَإِلَّا كُمِّلَ بِهِمْ.
وَقِيلَ: إنْ كَانَ الصِّبْيَانُ أَفْضَلَ مِنَ الرِّجَالِ كَأَنْ كَانُوا فَسَقَةً، وَالصِّبْيَانُ صُلَحَاءُ قُدِّمُوا عَلَيْهِمْ».
Maksudnya: “Perbincangan tentang susunan saf itu adalah apabila jemaah datang serentak. Tetapi sekiranya kanak-kanak datang awal, maka jangan diundurkan mereka untuk memberi tempat kepada orang dewasa yang baru datang. Seperti itu juga, kalau mereka lebih awal berada di saf pertama, maka mereka lebih berhak menduduki tempat tersebut menurut pendapat yang sahih…
Adapun kanak-kanak dibelakangkan daripada orang dewasa, seperti yang dikatakan oleh al-Azra‘i, ialah apabila saf orang dewasa telah penuh; tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa, maka ia diisi dengan kanak-kanak.”
Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam al-Khatib asy-Syarbini ini, sekiranya mereka datang awal maka tempat tersebut menjadi hak mereka. Demikian juga jika saf orang dewasa terdapat kekosongan, maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat saf yang dikhususkan untuk kanak-kanak.
Kecuali di belakang imam, maka hendaklah ia diisi oleh orang yang baligh (uli al-ahlam) dan cerdik berilmu (an-nuha), bukan kanak-kanak dan bukan juga orang dewasa yang tidak berilmu, kerana orang yang berada di tempat tersebut ialah orang yang akan menegur atau mengganti imam apabila ada sesuatu yang tidak sempurna, sebagaimana kisah Qais bin ‘Ubad dengan Ubay bin Ka‘ab r.a.:
عَنْ قَيْسِ بْنِ عُبَادٍ قَالَ: بَيْنَا أَنَا فِي الْمَسْجِدِ فِي الصَّفِّ الْمُقَدَّمِ فَجَبَذَنِي رَجُلٌ مِنْ خَلْفِي جَبْذَةً فَنَحَّانِي وَقَامَ مَقَامِي، فَوَاللَّهِ مَا عَقَلْتُ صَلَاتِي، فَلَمَّا انْصَرَفَ فَإِذَا هُوَ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، فَقَالَ: يَا فَتَى لَا يَسُؤْكَ اللَّهُ، إِنَّ هَذَا عَهْدٌ مِنَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَيْنَا أَنْ نَلِيَهُ.
Maksudnya: “Ketika aku berada di saf hadapan dalam masjid, tiba-tiba seorang lelaki dari belakang menarikku dengan kuat, mengalihkan aku lalu berdiri di tempatku. Demi Allah, aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada solatku. Apabila selesai, rupa-rupanya dia ialah Ubay bin Ka‘ab. Dia berkata: Wahai anak muda, semoga Allah tidak menyusahkanmu. Sesungguhnya ini ialah pesanan Nabi SAW kepada kami supaya kamilah yang berada di belakang Baginda.” [HR an-Nasa’i, no. 808; sahih menurut al-Albani].
Perbincangan
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansari r.a., beliau berkata:
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أَعَادَهَا.
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami orang ramai sedang Umamah binti Abi al-‘As, iaitu anak perempuan Zainab binti Nabi SAW, berada di atas bahu Baginda. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun daripada sujud Baginda mengangkatnya semula.” [HR Muslim, no. 543].
Daripada hadis ini, beberapa pengajaran boleh didapati:
- Perbuatan Nabi SAW mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat (fardu) menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
- Hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang, berbeza dengan salah faham sebahagian pihak yang menyatakan bahawa jika kanak-kanak berada dalam satu saf dengan orang dewasa, ia akan menyebabkan satu saf terbatal.
- Pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat seseorang.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a., beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi SAW bersolat di rumah Ummu Sulaim. Aku (Anas) dan seorang anak yatim berdiri di belakang Baginda dan Ummu Sulaim di belakang kami.” [HR al-Bukhari, no. 727 dan Muslim, no. 658].
Ibnu ‘Abbas r.a. pula meriwayatkan:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عِنْدَهَا فِي لَيْلَتِهَا، فَصَلَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْعِشَاءَ ثُمَّ جَاءَ إِلَى مَنْزِلِهِ فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ ثُمَّ نَامَ ثُمَّ قَامَ ثُمَّ قَالَ: نَامَ الْغُلَيِّمُ، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا، ثُمَّ قَامَ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى خَمْسَ رَكَعَاتٍ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ نَامَ حَتَّى سَمِعْتُ غَطِيطَهُ أَوْ خَطِيطَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ.
Maksudnya: “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith (isteri Nabi SAW) dan pada malam itu Nabi SAW berada di sisinya. Nabi SAW solat Isyak kemudian pulang ke rumahnya lalu solat empat rakaat, kemudian tidur. Kemudian Baginda bangun lalu bersabda: Si budak kecil sudah tidur? (atau kalimah yang seumpamanya). Kemudian Baginda berdiri solat, lalu aku berdiri di sebelah kirinya, maka Baginda menjadikan aku di sebelah kanannya…” [HR al-Bukhari, no. 117; lihat juga no. 726 yang menyebut Baginda memegang kepalaku dari belakang lalu memindahkanku ke sebelah kanannya].
Kedua-dua hadis di atas menjadi dalil bahawa kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solat mereka.
Dalam hadis pertama, Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi SAW; sudah tentu anak yatim tersebut belum baligh kerana sekiranya sudah baligh dia tidak dipanggil anak yatim lagi. Sementara dalam hadis kedua, Ibnu ‘Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat di sebelah Nabi SAW.
Maka ini juga menunjukkan tidak ada saf yang khas untuk kanak-kanak.
Jika tiada dalil khusus yang menyuruh supaya kanak-kanak yang belum berkhitan direnggangkan daripada orang dewasa, maka kita berpegang kepada hadis Anas r.a. yang membenarkan solat bersama kanak-kanak tanpa direnggangkan.
Kanak-Kanak ke Masjid
Imam asy-Syaukani dalam Nail al-Autar menyebut:
(وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم الْعِشَاءَ، فَإِذَا سَجَدَ وَثَبَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ عَلَى ظَهْرِهِ، فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ أَخَذَهُمَا مِنْ خَلْفِهِ أَخْذًا رَفِيقًا وَوَضَعَهُمَا عَلَى الْأَرْضِ، فَإِذَا عَادَ عَادَا حَتَّى قَضَى صَلَاتَهُ، ثُمَّ أَقْعَدَ أَحَدَهُمَا عَلَى فَخِذَيْهِ، قَالَ: فَقُمْتُ إلَيْهِ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرُدُّهُمَا؟ فَبَرَقَتْ بَرْقَةٌ، فَقَالَ لَهُمَا: الْحَقَا بِأُمِّكُمَا، فَمَكَثَ ضَوْؤُهَا حَتَّى دَخَلَا. رَوَاهُ أَحْمَدُ)
وَهُوَ يَدُلُّ عَلَى أَنَّ مِثْلَ هَذَا الْفِعْلِ الَّذِي وَقَعَ مِنْهُ صلى الله عليه وسلم غَيْرُ مُفْسِدٍ لِلصَّلَاةِ، وَفِيهِ التَّصْرِيحُ بِأَنَّ ذَلِكَ كَانَ فِي الْفَرِيضَةِ، وَقَدْ تَقَدَّمَ الْكَلَامُ فِي شَرْحِ الْحَدِيثِ الَّذِي قَبْلَ هَذَا. وَفِيهِ جَوَازُ إدْخَالِ الصِّبْيَانِ الْمَسَاجِدَ.
وَقَدْ أَخْرَجَ الطَّبَرَانِيُّ مِنْ حَدِيثِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ وَخُصُومَاتِكُمْ وَحُدُودَكُمْ وَشِرَاءَكُمْ وَبَيْعَكُمْ، وَجَمِّرُوهَا يَوْمَ جُمَعِكُمْ، وَاجْعَلُوا عَلَى أَبْوَابِهَا مَطَاهِرَكُمْ» وَلَكِنَّ الرَّاوِيَ لَهُ عَنْ مُعَاذٍ مَكْحُولٌ وَهُوَ لَمْ يَسْمَعْ مِنْهُ. وَأَخْرَجَ ابْنُ مَاجَهْ مِنْ حَدِيثِ وَاثِلَةَ بْنِ الْأَسْقَعِ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ وَمَجَانِينَكُمْ» وَفِي إسْنَادِهِ الْحَارِثُ بْنُ شِهَابٍ وَهُوَ ضَعِيفٌ. وَقَدْ عَارَضَ هَذَيْنِ الْحَدِيثَيْنِ الضَّعِيفَيْنِ حَدِيثُ أُمَامَةَ الْمُتَقَدِّمُ وَهُوَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ، وَحَدِيثُ الْبَابِ، وَحَدِيثُ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «إنِّي لَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ فَأُخَفِّفُ، مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَتَنَ أُمُّهُ» وَهُوَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ، فَيُجْمَعُ بَيْنَ الْأَحَادِيثِ بِحَمْلِ الْأَمْرِ بِالتَّجْنِيبِ عَلَى النَّدْبِ، كَمَا قَالَ الْعِرَاقِيُّ فِي شَرْحِ التِّرْمِذِيِّ، أَوْ بِأَنَّهَا تُنَزَّهُ الْمَسَاجِدُ عَمَّنْ لَا يُؤْمَنُ حَدَثُهُ فِيهَا. اهـ
Ringkasnya: hadis Abu Hurairah r.a. (riwayat Ahmad, no. 10659) menceritakan al-Hasan dan al-Husain melompat ke atas belakang Nabi SAW ketika Baginda sujud dalam solat Isyak, lalu Baginda meletakkan mereka dengan lembut. Menurut asy-Syaukani, hadis ini menunjukkan perbuatan seperti itu tidak merosakkan solat, ia berlaku dalam solat fardu dan harus membawa kanak-kanak ke masjid. Adapun hadis “Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada kanak-kanak kamu…” riwayat at-Tabarani dan Ibnu Majah, kedua-duanya daif dan bercanggah dengan hadis-hadis sahih di atas. Maka ia difahami sebagai galakan sahaja (bukan larangan) atau khusus bagi kanak-kanak yang tidak terjamin kebersihannya di dalam masjid.
Penutup
Alhamdulillah, Islam ialah agama yang sempurna; hukumnya didatangkan atas asas keringanan dan kemudahan. Perundangannya lengkap dan syumul untuk semua peringkat manusia: lelaki dan wanita, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak, sihat dan sakit serta yang hidup dan yang mati.
Bagi penuntut ilmu, mestilah sentiasa dahagakan ilmu, mencari dan menambah ilmu pengetahuan dengan menggali serta mengkaji pandangan ulama dahulu dan sekarang, serta menerimanya dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka.
اللهم انفعني بما علمتني، وعلمني ما ينفعني، وزدني علمًا، الحمد لله على كل حال، وأعوذ بالله من حال أهل النار.
Akhirnya, apa yang baik itu daripada Allah SWT dan apa yang tidak baik itu daripada kelemahan diri saya sendiri.
Akhukum, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian. Jumaat, 16 Julai 2010 / 4 Syaaban 1431H.
Nota kaki
- Teks Raudah at-Talibin yang dinukil di bawah menyebut tiga wajah: yang paling sahih (asah) dalam mazhab Syafie ialah batal solat orang yang memegang atau mengikat hujung tali atau kain yang hujungnya yang lain bersambung dengan najis walaupun ia tidak bergerak (lihat juga Mughni al-Muhtaj di bawah); wajah kedua tidak batal; manakala wajah ketiga membezakan: batal jika bersambung terus dengan najis dan tidak batal jika melalui perantaraan yang suci. Maka sekadar bersentuh dengan kanak-kanak yang suci tubuh luarnya tidak membatalkan solat, tetapi memegang atau menanggung kanak-kanak yang zahir najis padanya membatalkan solat menurut pendapat asah mazhab Syafie. Pandangan penulis tentang memegang tangan kanak-kanak (perkara b di atas) selari dengan wajah yang tidak membatalkan; bagi yang ingin berhati-hati, elakkan memegang kanak-kanak yang diketahui menanggung najis ketika solat.
Rujukan
13 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab as-Salah, no. 516; Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, no. 543 (riwayat Abu Qatadah al-Ansari r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, Kitab as-Salah, no. 650 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.); sahih menurut al-Albani.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhan, no. 707 (Abu Qatadah); Sahih Muslim, no. 470 (Anas).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Salah, no. 432; Sunan at-Tirmizi, no. 228 (riwayat Ibnu Mas'ud r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 677; Musnad Ahmad (riwayat Abu Malik al-Asy'ari r.a.) — sanad daif (Syahr bin Hausyab).
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, Kitab al-Imamah, no. 808 (kisah Qais bin 'Ubad dan Ubay bin Ka'ab); sahih menurut al-Albani.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 727 (juga 380); Sahih Muslim, no. 658 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Ilm, no. 117; lihat juga no. 726 (riwayat Ibnu 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Musnad Ahmad, no. 10659; al-Mustadrak al-Hakim, no. 4782 (riwayat Abu Hurairah r.a.); dinukil dalam asy-Syaukani, Nail al-Autar.
ad-Durar as-Saniyyah -
Sunan Ibn Majah, no. 750 (riwayat Wathilah bin al-Asqa') — daif (al-Harith bin Syihab).
Sunnah.com -
An-Nawawi, Raudah at-Talibin, Kitab as-Salah (syarat suci pakaian), 1/274 (menurut penulis).
-
Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, 1/264 dan bab mauqif al-ma'mum (Dar al-Fikr).
-
An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 3/142 dan 4/291–293.
