Seminar, TULISAN, Uncategorized

Seminar Sosiobudaya Antara Kaum – Kenali Sebahagian Adat Orang Cina

Pada 17 Ogos 2013, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kelantan telah mengadakan Seminar Sosiobudaya Antara Kaum peringkat Negeri di Dewan Balai Islam, Lundang yang dibentangkan oleh dua ahli panel dari kaum Cina iaitu Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong dan juga Dr. Hj. Ann Wan Seng.   

Untuk menyebarluaskan manfaat dari perbincangan ini, ana minta Akhi Ahmad Iqram Mohd Noor membuat catatan dan ulasan kepada seminar ini, jazahullahu khaira.”

Seminar ini sangat bertepatan dibincangkan dalam kerangka masyarakat yang berbilang kaum supaya dapat mewujudkan nilai toleransi yang tinggi dan menghapuskan sifat rasis perkauman dalam masyarakat. Sudut pandang Islam juga tidak berhenti setakat itu, Islam juga menganjurkan kepada umatnya untuk keluar berdakwah. Tugas utama yang perlu difahami adalah peranan kita untuk menyampaikan Islam kepada mereka bukan Islam. Maka dengan ini dapatlah kita fahami bahawa tanggunjawab kita sebagai seorang muslim adalah menjadi suatu kewajipan untuk menyampaikan dakwah dan seruan Islam kepada seluruh masyarakat di luar sana mengikut kemampuannya. Daripada Abdullah Ibnu Amru Al-Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan daripadaku walau satu ayat!” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Dengan kata lain seruan ini dinamakan sebagai dakwah. Pada asasnya pengertian umum dakwah bermaksud panggilan, seruan atau ajakan. Maksud ajakan di sini ialah menyeru manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Walaupun kewajipan dakwah sangat jelas untuk kita, namun terdapat segelintir dari umat Islam yang langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu di dalam pemikiran mereka sehingga menyebabkan mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi dakwah pula tidak wajib ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula benar-benar menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat secara tawadhu’ dan konsisten, tetapi tidak pernah berdakwah secara konsisten.

Mereka menganggap bahawa dakwah hanyalah aktiviti ‘part time’ yang hanya akan dilakukan bila perlu dan jika ada ruang kelapangan. Apabila sibuk dengan urusan dunia, maka dakwah akan ditinggalkan, walaupun mereka ini mungkin tidak pernah meninggalkan solat di dalam kesibukan mereka. Ada sebahagian yang lain memberikan alasan ‘tidak cukup ilmu’ untuk berdakwah. Anehnya, mereka ini dalam masa yang sama tidak pula berusaha untuk menuntut ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas-jelas diwajibkan oleh agama Islam. Apabila diajak untuk mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan diberikan, walhal dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf sepanjang hari, melancong dan sebagainya. Mereka boleh pula menuntut pelbagai ilmu lain dengan amat mendalam, tetapi tidak ilmu Islam. Malah sebahagian mereka sanggup menghabiskan umur bermati-matian untuk cemerlang mendalami ilmu ekonomi dan usahawan, berusaha untuk mencapai kegemilangan dalam mempelajari dan melaksanakan undang-undang kufur serta ingin menjadi terkenal dan terbilang di dalam menerapkan sistem pemerintahan yang diwarisi dari penjajah. Bagi mereka, dakwah merupakan satu ‘bebanan’, bukannya kewajipan! Hal ini yang perlu ditajdidkan kembali dalam kalangan masyarakat hari ini.

Di Negara Malaysia gerakkan dakwah perlu diutamakan kepada kaum Cina kerana mereka adalah golongan bukan Islam yang dominan di sini. Untuk melaksanakan urusan dakwah khusus kepada orang Cina hendaklah memiliki beberapa maklumat asas yang perlu diketahui.

Kaum Cina memiliki pelbagai kepercayaan dan pegangan, akan tetapi perlu dinilai kepercayaan mereka dalam rangka dasar yang paling authentic dan berautoriti yang diamalkan di Malaysia.

[Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong]

Mengenai kepercayaan dan juga pegangan Cina ini boleh dibahagikan kepada dua ketegori, yang pertama adalah kepercayaan dalam agama dan yang kedua pula kepercayaan dalam adat dan budaya. Antaranya dinyatakan di bawah:

a)   Kepercayaan dalam agama: Kepercayaan kepada dewa-dewi, roh nenek moyang (spiritisme), dan lain-lain spirituil. Antara kepercayaan ritual yang terkenal di Kelantan ialah Datuk Kong atau dikenali sebagai Tok Kong. Menurut sebutan orang Cina adalah merupakan ‘Local Deity’ atau ‘Dewa Kawasan’ bagi sesuatu tempat. Paling terkenal dengan panggilan ‘Earth Deity’ atau ‘Dewa Bumi’. Apa yang nyata, ia merujuk kepada personaliti yang sama, iaitu Datuk Kong atau dikenali juga Datuk Keramat. Datuk Kong merupakan dewa pangkat rendah di dalam hirierki dewa-dewi Cina. Kebanyakkan Datuk Kong yang disembah adalah orang Melayu yang telah meninggal malah patung di dalam rumah Datuk Kong juga merupakan patung berciri- cirikan orang Melayu dengan memakai songkok, berkain samping, berbaju Melayu dan memegang rantai tasbih. Ini kerana mereka mempercayai bahawa roh orang baik-baik dan alim ini bila disembah dan disajikan dapat memberikan pelindungan kepada penduduk kampung. Datuk Kong ini juga dikatakan dapat memberi kekayaan kepada sesiapa yang rajin membaca zikir atau mantranya berulang kali (seperti bertasbih) dan sesiapa yang rajin memuji-muji Datuk Kong akan diluaskan rezekinya, dilepaskan dari segala bentuk kesulitan dan lain-lainnya. Datuk Kong juga akan menunaikan hajat kepada sesiapa sahaja yang berdoa kepadanya. Dalam sesetengah upacara Datuk Kong akan dipanggil oleh bomoh Cina dengan cara menurun untuk berkomunikasi dengan penganut-penganutnya.           

b)      Kepercayaan adat: Kepercayaan kepada angka. Secara asasnya masyarakat Cina amat mengambil berat mengenai angka kerana bagi mereka angka memiliki eleman positif dan negatif. Hal ini tergolong dalam ketegori membawa tuah dan nasib. Mereka mempercayai bahawa setiap angka memiliki maksud tersendiri kecuali angka 1 yang tidak memiliki apa-apa penafsiran. Dalam banyak-banyak angka, angka yang dianggap negatif satu-satunya angka 4. Mereka mempercayai bahawa angka 4 adalah angka yang membawa sial danmemiliki eleman yang negatif. Ini kerana mereka mempercayai bahawa angka (sì)=4 ia mempunyai bunyi yang sama dengan  (  ) yang membawa maksud mati, nombor empat telah menjadi nombor malang bagi budaya orang Cina, Jepun, Korea dan Viatnam. Berlainan pula dengan angka (bā)= 8Mempunyai bunyi yang sama dengan (fā) yang membawa maksud kemewahan. Dalam dialek cantonese pulak, bunyi bā disebut sebagai ‘baat’ dan sama bunyinya dengan faat’ yang bermakna masa depan yang cerah. Tidak hairanlah sekiranya mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memiliki angka ini. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan juga ada sesetengah kaum Cina juga telah menolak kepercayaan ini dan mereka menganggapnya sebagai kepercayaan yang karut.  

[Dr. Hj. Ann Wan Seng]

 

 Menjelaskan Pantang Larang Kaum Cina:

Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal, kelahiran, perkahwinan dankematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya. 

a)      Sewaktu mengandung 

Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalamsetiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya. Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung.  Antaranya mereka tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi.

Di samping itu mereka juga digalakkan bekerja bagi memudahkan proses bersalin. Sewaktu mengandung sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. 

Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang “tajam” seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang di kandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.

b) Kelahiran:

Keluarga Cina mempunyai beberapa kepercayaan semasa ibu mengandung. Misalnya di dalam bilik ibu, perabot tidak boleh diubah, terutamanya katil, memaku dinding rumah tidak dibernarkan sama sekali. Ibu yang mengandung mesti berjaga-jaga supaya tidak terperanjat dengan benda-benda yang tidak baik. Pantang larang itu diamalkan selama kira-kira sebulan selepas bersalin. Orang Cina tidak suka bayi mereka itu dipuji “berat badannya”. Sebaliknya kata-kata pujian seperti “gemuk” atau “gemuk macam babi” dapat diterima. Kelahiran seseorang anak biasanya diraikan apabila ia berumur sebulan. Saudara mara dan sahabat handai memberi hadiah yang boleh digunakan bayi. Hadiah-hadiah itu dibungkus dengan kertas merah. Sesetengah keluarga meraikan bagi keduanya apabila anak itu berumur satu tahun.

c)      Perkahwinan

Perkahwinan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan kaum Cina mahupun keluarganya. Ia merupakan peralihan yang banyak mempengaruhi perubahan bagi seseorang lelaki. Pada umumnya, perkahwinan adalah cara yang sah untuk mendapatkan seseorang isteri. Institusi ini memberikan kebenaran untuk menyambung zuriat nenek moyangnya serta memulakan zuriat sendiri. Di samping itu, lelaki Cina akan menghadapi banyak tanggungjawab baru sebagai suami dan sebagai seorang bapa kemudiannya. Dalam masyarakat Cina, pada masa dahulu pertunangan boleh dilakukan apabila kanak-kanak itu berumur di antara 7 dan 14 tahun. Selanjutnya tidak terikat lagi dengan peraturan tradisional bagi seseorang perempuan Cina untuk berkahwin. Pada masa dahulu sesuatu perkahwinan adalah diatur oleh kedua ibu bapa. Tetapi keadaan itu telah berubah pada hari ini. Walaubagaimanapun ibu bapa masih mempunyai kuasa dalam mencampuri hal perkahwinan anak-anak mereka. Walaupun kini perkahwinan tidak diatur oleh ibu bapa tetapi peringkat ramalan nasib masih dijalankan dan ia merupakan peringkat yang sangat penting. Penetapan masa dan tarikh untuk perkahwinan juga penting.

Terdapat tiga upacara yang dijalankan oleh masyarakat Cina di Malaysia semasa sesuatu perkahwinan diadakan iaitu:

  1. Perkahwinan sivil dimana bakal perngantin itu perlu berdaftar dahulu sebagai suami isteri yang sah dari segi undang- undang.
  2. Upacara minum teh. Ia merupakan satu budaya tradisional Cina di mana pengantin baru memberi teh kepada ahli-ahli keluarga yang lebih tua untuk minum sebagai tanda pengenalan antara satu sama lain.
  3. Jamuan makan. Pada jamuan ini semua saudara mara dan kawan-kawan akan dijemput.

Pada kebiasaannya upacara perkahwinan sivil dan upacara minum teh adalah untuk dihadiri oleh saudara mara yang rapat sahaja. Perkara yang dianggap mustahak dalam perkahwinan kaum Cina ialah pengumuman perkahwinan itu kepada kawan-kawan dan dan saudara mara mereka dengan mengadakan jamuan. Besar kecilnya jamuan ini bergantung kepada kemampuan seseorang. Oleh kerana majlis ini penting maka tetamu-tetamu yang hadir eloklah memakai pakaian yang cantik dan berwarna merah. Sebaiknya-baiknya hendaklah dielakkan daripada memakai baju yang berwarna hitam, biru atau kelabu kerana warna-warna ini biasanya dikaitkan dengan peristiwa sedih dalam masyarakat Cina. Apabila tetamu berjumpa dengan kedua pengantin baru itu mereka haruslah mengucapkan tahniah kepada mereka. Tetamu janganlah menceritakan atau menyebut perkataan-perkataan yang sedih seperti kematian, sakit, bencana atau hantu apabila bertutur dengan kedua pengantin itu.

Warna merah dikalangan masyarakat Cina bererti tanda baik dan gembira. Oleh kerana itu, sekiranya tetamu memberi hadiah eloklah dibungkus dengan kertas berwarna merah.

d) Kematian

Upacara kematian yang melibatkan penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung dari tiga hingga tujuh hari. Ini untuk membolehkan sanak saudara dan rakan taulan memberi penghormatan terakhir, selain menghadiri upaca pengebumian. Sumbangan wang dalam sampul putih biasanya disampaikan kepada keluarga si mati oleh mereka yang datang menziarahi. Jumlahnya pula perlu berupa wang dalam bentuk angka yang ganjil.

Pelawat seharusnya tidak memakai pakaian yang berwarna-warni sewaktu pergi ke rumah orang mati. Sebaiknya-baiknya pelawat itu memakai baju berwarna muram seperti hitam atau kelabu dan sebagainya. Apabila seseorang itu memasuki rumah si mati dia hendaklah membawa sepasang lilin putih “duit kertas” dan lain-lain alat sembahyang untuk diberikan kepada keluarga si mati yang kurang berada. Sekarang lazimnya pelawat memberikan derma atau menghantar kalungan bunga kepada si mati. Kadang kala sekumpulan sahabat atau sesuatu persatuan menyediakan panji-panji yang ditulis dengan kata-kata pujian kepada si mati.

Dalam kebudayaan Cina, kematian selain melibatkan perbelanjaan wang yang besar jumlahnya, dianggap sebagai sesuatu yang “kotor/mencemarkan”, malah amat kotor dan mencemarkan sekali. Justeru itu, terdapat dua pihak yang terpaksa ‘bergelumang’ dengan kekotoran/ pencemaran yang membawa sial ini. Pertama ialah keluarga si mati, kedua ialah rakan taulan yang menziarah.

Sehubungan dengan kekotoran ini, mayat Cina diuruskan dengan penuh berhemat dan penuh teliti. Oleh itu, (orang Cina) mengambil langkah berhati-hati semasa berhadapan dengan hal kematian dan lebih-lebih lagi dengan mayat si mati. Untuk ini, ramai (orang Cina) yang berada pada jarak yang jauh daripada mayat dan sesetengahnya tidak pun mahu melihat mayat dalam keranda dari jarak yang dekat semasa memberi penghormatan terakhir takut-takut terlekat sial. Dalam hal ini, seboleh-bolehnya mayat dan keranda tidak boleh disentuh oleh mereka (orang Cina) yang mengziarahi. Ini kerana penyentuhan itu dianggap terlalu berbahaya, apatah lagi untuk diusung pada hari pengkebumian.

Ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat biasanya diberikan seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah sebagai tanda terima kasih. Warna merah itu warna yang membawa nasib baik dan menghalang hantu syaitan yang cuba mengacau. Gula-gula yang diberi itu boleh dimakan.

e)  Perayaan

Majlis riang ria yang paling dinantikan oleh kaum Cina adalah tahun baharu. Ia boleh dikatakan festival Cina yang paling penting dan yang paling meriah untuk diraikan selama 15 hari pada bulan pertama takwim Cina.

Perayaan tahun baru diadakan jamuan yang istimewa sempena menghimpunkan ahli keluarga untuk merayakannya di malam tahun baru. Perayaan ini diserikan dengan adat orang tua memberi angpau kepada kanak-kanak dan ahli keluarga yang belum mendirikan rumah tangga. Pemberian angpau adalah untuk melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam restu untuk kehidupan makmur serta untung nasib yang baik sepanjang tahun.

Tarian singa dipersembahkan sempena perayaan ini, adalah untuk menghalau kuasa jahat seperti syaitan dan iblis. Ia juga dilihat sebagai mengundang perkara yang baik-baik. Kadang kala tarian singa dipersembahkan untuk dikaitkan dengan cuaca sepanjang tahun dipenuhi rahmat dan hujan.

Mercun ikut dipasang untuk menghalau kuasa jahat selain menandakan kemeriahan perayaan tahun baru. Dan pada tahun baru juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina iaitu limau. Juga menjadi amalan baik untuk membawa dua atau empat biji limau Mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah oleh tetamu semasa menziarahi pada perayaan tahun baru. Pemberian limau itu diibaratkan sebagai pemberian emas. Ini kerasa dalam bahasa sukuan Cina kantonis, nama/sebutan untuk limau menyerupai nama/sebutan untuk emas.

f)  Pantang larang makan

Orang Cina amat mementingkan kesihatan dan makanan yang berkhasiat. Orang tua dilarang memakan kangkung kerana boleh menyebabkan sakit sendi. Mereka yang mempunyai luka pada badan tidak dibenarkan memakan udang dan ketam kerana mengakibatkan luka susah sembuh. Pada tahun baru Cina, ikan yang dimakan tidak boleh putus kerana membawa petunjuk yang tidak baik. Para nelayan yang makan di atas kapal dilarang membalikkan ikan yang mereka makan kerana boleh membawa bencana dan kemalangan. Orang Cina tidak digalakkan bercakap semasa makan. Mereka dilarang mengetuk mangkuk dan pinggan dengan penyepit.

Terdapat banyak kepercayaan Cina jika ingin disenaraikan. Ini kerana orang Cina akan mewarisi setiap kepercayaan daripada nenek moyang mereka. Jadi, tidak menjadi masalah untuk memahami kondisi mereka memandangkan ia adalah kepercayaan yang menyeluruh di dalam kalangan masyarakatnya. Hal ini boleh dirujuk mana-mana buku yang disenaraikan di akhir perbincangan masalah ini juga boleh dirujuk kepada orang Cina sendiri.  

Setelah mengenal pasti kepercayaan dan pegangan orang Cina maka bolehlah dikritiskan dengan memahami kepincangan dalam agama mereka. Sebelum itu hendaklah mengetahui bagaimana kronologi agama Cina terbentuk.

Mengenal Pasti Masalah Dalam Agama Yang Dianut Oleh Cina:[1]

a)      Majoriti Cina non-muslim di Malaysia adalah penganut agama Buddha (Mahayana). Dalam falsafah Buddha ini terdapat beberapa kepincangan dasar dan salah satunya falsafah Buddha tidak memiliki penjelasan mengenai konsep ketuhanan dan juga penciptaan. Sebelum itu perlulah mengenali konsep agama yang dianut oleh orang Cina. Hal ini boleh dilihat dalam sejarah China di mana kronologi pencantuman tiga agama Cina berlaku iaitu agama Confusios, Taoisme dan Buddha. Hal ini dinamakan sebagai sinkretisme (ia adalah hasil daripada gnosticisme dibawah pecahan pluralisme) atau dikenali penyatuan aliran yang berbeza-beza. Orang Cina menggangap ketiga agama itu saling isi mengisi antara satu sama lain, yang satu menyempurnakan kekurangan yang lain. Bagi mereka yang hendak mengatur alam realiti akan merujuk kepada Confusios. Mereka yang mencarikan kehidupan yang romantik dan perhubungan alam ghaib akan merujuk kepada Taoisme. Manakala bagi mereka yang menempuh jalan ke akhirat akan merujuk Buddha. Pada hakikatnya memang tidak ada pertentangan atau percanggahan benterokan ketiga agama ini, kerana masing-masingnya seolah-olah berjalan mengikut lajurnya sendiri dan tidak memasuki lajur yang lain. Bagi mereka tiga agama itu mempunyai satu tujuan juga, iaitu hendak memberi kebahagian kepada manusia.

b)      Kaum Cina sangat fleksibel dan juga memiliki pegangan yang kukuh terhadap falsafah mereka. Sekira diteliti kembali sejarah perkembangan agama Buddha yang mana kronologi awal pengasasnya adalah Siddhartha Guatama Buddha yang lahir dari Kapilavastu terletak di sebelah utara India Tengah berhampiran dengan Nepal. Guatama Buddha pada awalnya adalah seorang penganut agama Hindu yang membawa pembaharuan di dalam agamanya. Setelah itu dia dipulaukan oleh golongan Brahma kerana dia didakwa sebagai seorang ahli bid’ah. Jelas disini bahawa Guatama Buddha adalah orang India dan membawa ideologi Hinduisme. Persoalan mula timbul, bagaimanakah orang Cina menerima agama Buddha sedangkan sejarah awal Buddha tidak ada kaitan dengan Cina? Sejarah menyatakan bahawa falsafah Buddha mula memasuki ke Cina pada 399 SM oleh seorang sami yang bernama Fa Hsien. Ini jelas bahawa kaum Cina sangat fleksibel sehingga dapat mengaplikasikan Buddha pada awalnya adalah India kepada budaya Cina.

c)  Dalam agama Buddha memiliki kitab sucinya yang dinamakan Tri-Pitaka yang bermakna “tiga bakul”. Kitab ini ditulis dalam bahasa Pali, suatu bahasa yangmempunyai perkaitan rapat dengan bahasa Sanskrit. “Tripitaka” yang dalam bahasa Pali disebut Tipitaka adalah tiga gabungan tulisan penting yang terdiri  daripada: Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka, dan Abhi-dhamma Pitaka yang ditulis dalam bentuk persajakan, memuatkan ajaran-ajaran mengenai kepelbagaian cawangan doktrin Buddha. Kitab agama Buddha ini sukar untuk diperolehi, jadi tidak hairanlah sekiranya ramai dari penganut agama Buddha tidak memilikinya. Ada juga segelintir dikalangan penganut agama Buddha tidak mengenali langsung kitab-kitab ini. Penafsiran kandungan kitab ini juga tidak banyak dinyatakan di dalam buku-buku terbitan kuil. Ini jelas menunjukkan bahawa pengamalan kaum Cina Buddha tidak bergantung terus kepada kitab agama mereka. Mereka lebih terikat dengan budaya orang dulu-dulu.

d)     Mengenai agama anutan kaum Cina ini masih lagi diperdebatkan oleh ilmuan perbandingan agama dan juga ahli falsafah. Terdapat dua kes, pertama ramai ilmuan menyatakan bahawa Buddha itu bukanlah suatu agama tetapi ia sekadar falsafah. Manakala ada juga dakwaan menyatakan Confusios dan Taoisme tidak lebih daripada kepercayaan orang Cina dan ia bukan agama. Kedua, terdapat penafsiran menyatakan bahawa gabungan ketiga-ketiga agama Cina ini (sinkritisme Confusios, Taoisme dan Buddha) tidak sepatutnya dinamakan sebagai agama Buddha seperti dilabelkan oleh kebanyakkan ilmuan. Ini seolah-olah mengetepikan sistem agama Confusios dan Taoisme dalam kepercayaan Cina yang mana tidak kurang hebatnya pengaruh mereka di dalam masyarakat Cina. Ada usul cadangan supaya menamakan kembali fahaman sinkritis ketiga-tiga agama ini.

Kesimpulan

Pada bahagian akhir bab dinyatakan perbincangan ‘kepincangan’ itu bukanlah bermaksud untuk mengkritik agama Buddha tetapi untuk memberi ruang perbincangan secaraakedemik kepada mereka yang mengkaji agama Buddha dan budaya Cina. Sesungguhnya dapat disimpulkan bahawa orang Cina lebih mementingkan budaya daripada agama.

Sebab itulah kaedah untuk berdakwah kepada orang Cina adalah penting untuk mendalami budaya dan adat mereka lebih-lebih lagi boleh berbahasa mandarin. Mereka (orang Cina) bersifat fleksibel dan mudah untuk didekati dan antara kaedah yang paling mesra yang sering diamalkan oleh para pendakwah adalah menjemput mereka ke restoran untuk menikmati hidangan beserta mengadakan dialog dan beramah mesra. Pengetahuan dan pemahaman yang dijelaskan secara ringkas di atas ini sudah tentu banyak membantu kita melakukan penyesuaian budaya dengan lebih baik lagi, khususnya dalam bentuk empati budaya (yakni pemahaman sesuatu kaum) serta relativiti budaya (iaitu sesuatu budaya itu tidak sama dengan yang lain).

:: Intipati perbincangan ini diambil dari dua kertas kerja, pertama Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama Institut Tamaddun Melayu) UKM bertajuk SosiobudayaMasyarakat Cina Satu Analisis. Kedua kertas kerja Dr. Ann Wan Seng (Setiausaha Agung Kehormat MACMA Malaysia/ Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM) yang bertajuk Pantang Larang Masyarakat Cina.

Catatan, Ahmad Iqram Mohd Noor Penulis adalah seorang Pendakwah, Pengkaji Perbandinagn Agama, juga merupakan Siswa di KIAS). Boleh dihubungi melalui FB: https://www.facebook.com/ahmad.i.mohdnoor

Catatan Akhi Zulkifli (orang KB bertugas di Sandakan) yang menyertai seminar: Kebudayaan cina,

Setia pada negara, taat pada ibubapa-lindungi keluarga.

Kerajinan dan kesungguhan.

Pemujaan dewa dan nenek moyang.

Aspek di atas -humanisme – persoalan manusia dan masyarakat.

Aspek kelahiran.

Pantang larang sebulan untuk ibu bersalin berehat.

Anak lahir umur sebulan, jamuan makan + ang pau sampul merah atau hadiah-balut kertas merah, merah jambu atau kuning.

Sambut hari lahir genap 60 tahun. Kejayaan. Jamu mee yang panjang usia panjang. Angpau jumlah wang genap.

Merah warna berkat-darah kehidupan, tangkis kuasa jahat.

Perayaan.

Festival tahun baru cina selama 15 hari. Jamuan, bersosial. Jamuan kumpul semula ahli keluarga mlm ambang tahun baru.

Catatan Ustaz Abdul Qadir Alnali;

YB Dato’ Nik Mohd Ammar (TMB) dalam ucapan perasmian menyebut bahawa Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong. (Pembentang kertas: Budaya Cina Satu Analisis). Adalah Pejuang Bahasa Kebangsaan. Prof. Pernah tegur pengurus The Red Warrior kerana dok guna bahasa orang putih.. *Kata AAM: Ambo sokong teguran tu. Mace la org Kelate ni tak dak bahasa. Dibaca Oleh;
Abu Anas Madani.
PSD, 11 Syawal 1434H – 18 Ogos 2013.
Catatan Lawatan Abu Anas ke China boleh dibaca di sini; Siri 1: http://www.abuanasmadani.com/?p=856 Siri 2: http://www.abuanasmadani.com/?p=870 Siri 3: http://www.abuanasmadani.com/?p=884

 
[1] Dalam perbincangan mengenai kepercayaan Cina termasuk dalam hal-hal spiritual ini sangat luas. Antara rujukan yang boleh disemak lihat Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin (1993) Dakwah Al-Quran Kepada Orang Bukan Islam: Suatu Kajian Khusus Terhadap Dakwah Di Kalangan Masyarakat Cina Wilayah Persekutuan, Tesis Ph.D, UMKL, hlm 174-216/ lihat Frena Bloomfield (1989). Book of Chinese Beliefs, Ballatine Book, US / lihat Victor Purcell penterjemah Nik Hasnaa Nik Mahmood (1997). Orang-Orang Cina di Tanah Melayu, Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia, Johor / Lihat Ann Wan Seng (1996). Kepercayaan Orang Cina, Fajar Bakti, Shah Alam. Selangor / lihat Lillian Too penterjemah Clara Herlina Kardjo (1995). Feng Shui, PT Elex Media Komputindo, Jakarta. Indonesia / lihat E.T.C Werner diterjemah Johan Japardi (2008). Mitos dan Lagenda China, PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta. Indonesia.