Pengalaman, TULISAN, Uncategorized

Catatan Rehlah Haji 1433H (Siri 1)

Catatan Rehlah Haji 1433H.

بسم الله الرحمن الرحيم، وبه نستعين على أمور الدنيا والدين، وبعد.

Nikmat Allah swt swt ke atas hamba-hamba-Nya tidak terhingga, sebagaimana firman-Nya:

{ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا } [إبراهيم: 34]

Maksudnya: {Sekiranya kamu hitung nikmat Allah swt, kamu tidak akan dapat menghitungnya} [Surah Ibrahim: 34 ]

Antara nikmat itu ialah apabila Allah swt mengizinkan hamba-Nya menuju ke Baitullah al-Haram pada musim haji sebagai tetamu-Nya, yang disediakan bagi mereka yang melakukannya dengan ikhlas serta mengikut Sunnah Rasulullah saw ialah al-Jannah, Syurga yang tak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengari oleh telinga serta tidak pernah terkhayal oleh hati manusia. Kesyukuran itu lebih besar lagi bagi jemaah haji yang dapat pergi pada tahun ini, memandangkan tahun ini tidak ada kuota tambahan dari Kerajaan Arab Saudi sebagaimana yang diminta oleh kerajaan Malaysia seramai 10 ribu jemaah. Ini dengan alasan keadaan di Makkah yang sedang dalam proses pembinaan dan perluasan Masjidil Haram. Penolakan kuota tambahan ini tidak ada kena mengena dengan desas desus kononnya disebabkan tahun ini dijangka HAJI AKBAR (menurut istilah sebahagian orang;  iaitu apabila wukuf terkena pada hari Jumaat). Atau dengan kaitan isu yang lain. Insya Allah swt. Antara dhuyuf ar-Rahman tahun ini ialah al-‘Abdul Faqir Abu Anas Madani…(semoga Allah swt qabulkan amalan dhaifnya ini). Tiba saat yang ditentukan, pada petang hari Selasa 30 ZulQa’dah 1433H bersamaan 16 Oktober 2012, jam 7:50pm (jadual asal – tapi jadi 8:20pm) MH1405 bergerak dari landasan KB menuju ke KLIA. Cuaca kurang baik, kuat juga bergoyang kapal terbang ni, tambahan pula hujan turun dekat dengan KLIA, namun dengan pertolongan-Nya,  alhamdulillah semua selamat. Dari KLIA naik kereta Team Dokumentari Kuliah ke Kelana Jaya, disambut oleh Ustaz Abu Fatih, lalu dibawa ke restoran Tom Yam, pekena sup sayur dan kemudian ke Kompleks Haji Kelana Jaya (KHKJ). Mendaftarkan diri di asrama KHKJ, rezeki kali ini dapat bilik bernombor 206 di asrama (biasa kena duduk di Dewan Jugra), bersama 4 orang jemaah lain. Suasana di KHKJ ini mereka dah mula ikut gaya Makkah, ada azan awal pada jam 4:45 pagi, jemaah bergegas bangun ingatkan dah Subuh, untuk bersiap awal ke masjid. Baguslah dapat pergi awal ke masjid tu…tidak lama baru azan fajar sodiq dilaungkan. Bagi kami jemaah yang mengikuti rombongan Ash-Har Travel, kaunter sudah dibuka seawal jam 5 pagi lagi, untuk menyambut ketibaan jemaah KT102 di KHKJ. Pada jam 8 pagi proses check in bermula, ambil passport,  x-ray dan timbang barang bermula. Selepas itu jemaah akan naik ke dewan pelepasan, berkumpul dan mendengar taklimat.

Sedikit kelainan pada tahun ini ialah pihak TH telah melantik seorang ustaz yang akan mengepalai zikir taubat (doa iktiraf) dan doa dengan bahasa Melayu, memohon keselamatan dan haji mabrur, kemudian diakhiri dengan laungan azan, macam biasa juga. [Tengok catatan haji ana tahun-tahun yang lepas]. Setelah itu semua jemaah menaiki bas, lalu berkonvoi dengan iringan polis trafik ke KLIA, terus ke terminal domestik, dihantar terus ke bilik pelepasan. Mula-mula tiba di terminal, para jemaah akan serbu kamar kecil dulu. Untuk maklumat bakal jemaah, tidak perlu berebut kerana apabila naik ke tingkat atas banyak lagi tandasnya. Penerbangan kami dengan MAS, MH8086 bersamaan KT102. Yang dijadualkan pada jam 12:10pm namun terlewat setengah jam. Masuk KT ikut zon; A, B sehingga E, AAM kena zon E, masuk dulu ke belakang KT, nombor tempat duduk pula 55H betul-betul depan dapur tempat hidangan, bau makanan dari mula awal naik, waktu dah hampir zuhur.. apabila dah tiba waktu hidangan diedarkan, kami hanya dapat lihat makanan dibawa depan mata ke tempat lain dahulu dan akhir sekali baru diberi…Masya’Allah swt ujian sepanjang jalan, hidu bau dari awal naik dan orang terakhir dapat menikmatinya… Dalam penerbangan chartered ini, semua pramugari berpakaian sopan dan bertudung kepala. Alangkah moleknya jika kerajaan Malaysia yang telah diisytiharkan beramal dengan ISLAM hadhari dan wasathi ini membenarkan (jikalaupun tidak mahu memaksa) anak kapal yang muslimah boleh pakai macam ni dalam semua penerbangan! Ana sempat tanya seorang pramugari tentang isu pakaian ni, mereka sangat suka sekiranya dibenarkan. Semoga Allah swt memberi hidayah kepada pemimpin negara ini kembali melaksanakan Syariah Allah subhanahu wa ta’ala!

Mengikut jadual, flight ini akan tiba di Jeddah pada jam 4:30pm, kira-kira sempat untuk solat zuhur dan asar secara jamak ta’khir dengan sempurna dan selesa. Tetapi apabila sudah masuk waktu zuhur, ramai yang sudah melakukan solat zuhur “hormat waktu” tanpa wudhu’, kiblat dan lain-lain rukun. Anak kapal pula menambahkan tanah menjadi selut apabila membuat pengumuman menyuruh para jemaah solat HW itu…… Pihak TH kena ambil cakna tentang hukum solat HW ini, haram solat tanpa wudhu’ sedangkan kita ada waktu untuk melakukannya di atas bumi Jeddah nanti Insya’Allah swt. Atau kalau memang tak sempat pun keputusan pihak bimbingan TH menyatakan boleh solat HW dalam jamak ta’khir setelah tiada lagi harapan nak sampai di bumi sebelum tamat waktu jamak itu. Allahul musta’aan. Apabila perjalanan setengah jam lagi nak sampai di udara MIQAT pihak penerbangan (Kapten yang bawa kami hari tu ialah Dato’ Zul) telah membuat pengumuman, dan lagi 5 minit nak sampai miqat diumumkan sekali lagi, ketika itu jemaah diminta supaya mula berniat ihram (ikut pilihan jenis haji yang hendak dilakukan, bagi haji Ifrad, berniat mengerjakan haji, Tamattu’ berniat umrah dan Qiran berniat dua ibadat serentak). Sampai di Jeddah, KT kami terus dibawa ke balai terminal (amat jarang nak dapat macam ni) biasanya kita kena turun tangga dan naik bas ke terminal, Alhamdulillah. Sejurus masuk ke dalam bangunan terminal, ana bertindak mengarahkan jemaah Ash-Har agar melakukan solat Zuhur & Asar secara jamak taakhir, ramai jemaah macam terkejut, solat apa pula ni! Setelah dijelaskan solat HW atas KT tadi tidak sah, sebab kita sudah berada di atas bumi ketika masih lagi dalam waktu solat! Setelah itu barulah ada yang mula nak join solat itu. Pada jam 5:50pm, sudah masuk waktu Maghrib, sempat pula kami melakukan solat jamak taqdim pula. Di akhir solat itu, kedengaran bunyi pengumuman oleh staf TH mengarahkan jemaah yang sudah siap, boleh turun ke ke tempat imigresen. Selepas solat kami mula beratur untuk cop passport…kemudian ambil barang, scan depan kastam, seterusnya keluar dari bilik kastam. Barang-barang diambil oleh petugas untuk dibawa ke tempat perhimpunan jemaah Malaysia. Setiap jemaah pula kena bawa passport, beratur untuk dapatkan tiket bas, dilekatkan dalam passport, kemudian keluar ke tempat berkumpul, menunggu semua jemaah berkumpul, rehat dan solat bagi yang belum sempat di terminal tadi, kira-kira dari mula turun sampai ke tempat berkumpul mengamambil masa 4 jam. Setelah semua berkumpul, jemaah dibawa menaiki bas, jemaah Ash-Har bas nombor tiga, nasib baik malam ni dapat bas SAPTCO yang agak selesa, barang-barang tak perlu diangkat ke atas atap bas, cukup di ruang bawah saja. Sampai di Makkah sudah jam sebelas lebih, jemaah diturunkan di Hotel As-Safwah Towers, Hotel Fal Al-Saha dan Hotel Zuwar Al-Haramain (HZH). Abu Anas ditempatkan di HZH bilik 1005 bersama Ustaz Ahmad Hashimi Che Pa, pembimbing jemaah haji Ash-Har, tahun 1433H ini. Jam 1.00am jemaah dibawa ke Masjidil Haram, melakukan tawaf dan saei untuk menyempurnakan umrah mereka. Kecuali beberapa orang jemaah yang uzur tidak pergi lagi. Setelah solat subuh, majoriti jemaah telah selesai melakukan umrah, Alhamdulillah. Aktiviti kami bersama jemaah seperti biasa, menyampaikan kuliah, tazkirah & nasihat agar menumpukan kepada beribadat di Tanah Haram, pada awal bulan Zulhijjah yang mempunyai kelebihan yang besar ini:

[وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ} [سورة الحج: 28}

Maksudnya: {Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.} [Surah Al-Haj: 28].

Kata Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu. Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah saw telah bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ  –يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)). [رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].

Daripada Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah saw bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ)) [رواه أحمد 5446-صحيح]

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah I dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

Maka jagalah akhlak dan penampilan, tinggalkan tabiat buruk seperti; merokok, megumpat, percakapan yang tidak berfaedah dan sebagainya. Isu selipar:

Tahun ini menjadi sedikit perbincangan hangat  ialah selipar yang dibekalkan oleh pihak Bank Islam kepada jemaah haji, pihak bimbingan haji telah mengatakan ianya, tidak boleh dipakai ketika berihram bagi jemaah lelaki, dengan alasan tidak keluar kesemua 5 anak jari kaki. Patutla semasa di KLIA, ana tengok dah bertimbun selipar tu ditinggalkan kat surau, tetapi tidak tahu lagi kenapa. Apabila tengok arahan kepada pihak bimbingan agar menasihatkan jemaah jangan pakai selipar tu ketika ihram baru perasan! Begitu halus & teliti pihak bimbingan dalam soal selipar ini, tetapi dalam isu solat hormat waktu atas kapal terbang nampak belum update lagi, masuk saja waktu solat zuhur terus iklan…. jemaah pun terhangguk-hangguklah dengan penuh warak menjaga solat hormat waktu… Penjelasan bagi isu selipar ini boleh baca petikan dari beberapa buah kitab Fiqh Syafie di bawah ini; Dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj Karangan Ibn Hajar Al-Haitami al-Makki:

1-    تحفة المحتاج في شرح المنهاج – (ج 15 / ص 456 الشاملة): “وَالْمُرَادُ بِالنَّعْلِ هُنَا: مَا يَجُوزُ لُبْسُهُ لِلْمُحْرِمِ مِنْ غَيْرِ الْمُحِيطِ، كَالْمَدَاسِ الْمَعْرُوفِ الْيَوْمَ، وَالتَّاسُومَةِ، وَالْقَبْقَابِ، بِشَرْطِ أَنْ لَا يَسْتُرَا جَمِيعَ أَصَابِعِ الرِّجْلِ، وَإِلَّا حَرُمَا”.

1-“Maksud Al-Na’li ialah apa yang harus dipakai bagi orang berihram tanpa melingkungi seluruh kaki, seperti selipar yang dikenali sekarang, dan tasumah (seperti na’li) juga terompah, dengan syarat tidak menutup kedua-dua selipar itu semua anak-anak jari kaki, kalau tidak haram dipakainya.”

2-    تحفة المحتاج في شرح المنهاج – (ج 15 / ص 460): “( قَوْلُهُ : بِشَرْطِ أَنْ لَا يَسْتُرَا جَمِيعَ أَصَابِعِ الرِّجْلِ ) يُفِيدُ الْحِلَّ إذَا سَتَرَ بَعْضَ الْأَصَابِعِ فَقَطْ”.

2-“(Dengan syarat tidak menutup kedua-dua selipar itu semua anak-anak jari kaki) membawa makna bahawa halal pakai jika menutup sebahagian anak jari sahaja”. 

3-    نهاية الزين – (ج 1 / ص 214): “ويجوز لبس النعل والقبقاب بشرط أن لا يسترا جميع الأصابع وإلا حرما”.

 

4-    حواشي الشرواني والعبادي – (ج 4 / ص 163): قوله: (بشرط أن لا يسترا جميع أصابع الرجل) يفيد الحل إذا ستر بعض الاصابع فقط وقد يشكل بتحريم كيس الاصبع وقد يفرق بأن كيس الاصبع مختص به بخلاف ما هنا فإنه محيط للجميع فلا يعد سترا لها الستر الممتنع إلا إن ستر جميعها والظاهر أن المراد بستر جميعها أن لا يزيد شئ من الاصابع على سير القبقاب أو التاسومة فلا يضر إمكان رؤية رؤوس الاصابع من قدام فليتأمل سم وقوله إمكان رؤية رؤوس الاصابع الخ أي ولو بعض رأس أصبع كما مر عن الرئيس آنفا”.

  Akhukum, Abu Anas Madani, Makkah al-Mukarramah. 5 Zulhijjah 1433H. Lihat Siri-siri “Catatan Rehlah Haji” Tahun-tahun yang lepas di: www.abuanasmadani.com