Pengalaman, TULISAN, Uncategorized

Catatan Rehlah Haji 1433H (Siri 2)

Catatan Rehlah Haji 1433H (2)

بسم الله الرحمن الرحيم، وبه نستعين

Alhamdulillah, pada saat akhir ada beberapa orang jemaah lagi dapat visa haji dengan istilah “Visa Tabung Haji”. Visa dibuat dalam masa 2 jam sahaja, syaratnya semua maklumat dah lengkap, selepas itu timbul pula masalah nak dapatkan penerbangan ke Jeddah, ada yang sampai melalui Dubai, ada yang turun di Madinah dan naik bas ke Makkah, dan mereka ini tiba di Makkah ketika jemaah dah berangkat ke Mina pada hari Tarwiyah. Yang agak menyedihkan ialah ada beberapa orang yang dah dapat visa tapi tak dapat penerbangan, tak ada rezeki nak haji tahun ini.. panggilan haji hanya setakat KLIA sahaja, Allahulmusta’aan Yaum al-Tarwiyah (Rabu 8 Zulhijjah 1433H – 24/10/2012):

Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji. Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah dahulu sewaktu datang ke Makkah) maka hendaklah berihram (berniat) melakukan haji pada hari ini. Kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Baginda berada di Mina melakukan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan. Alhamdulillah, pada tahun 1433H ini, Jemaah Haji Ash-Har Travel yang berada di Maktab 99 telah dibenarkan pergi ke Mina pada Hari Tarwiyah, namun kami dihantar lebih awal lagi, iaitu pada malam Rabu 7 Zulhijjah 1433H jam 8:00pm ke Mina Mu’aisim, Jam 9:30 pm selamat sampai di khemah Maktab di Mina. Malam ni berehat di Mina dengan selesa kerana khemah masih kosong, dalam Maktab 99 hanya jemaah Ash-Har dan Yaskin Travel yang ke Mina menghidupkan sunnah hari Tarwiyah. Selepas solat Subuh mula ajar zikir pagi & petang juga zikir selepas solat, kemudian diikuti pula dengan Kuliah pagi hingga syuruq dan apabila selesai melakukan solat sunat dua rakaat baru bersurai. Ini untuk mengambil fadhilat kelebihan duduk berzikir selepas solat subuh sehingga naik matahari sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, Sabda Rasulullah saw:

((مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ، ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ. قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ “تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ”)) (رواه الترمذي، صحيح)

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan solat Subuh berjamaah, kemudian duduk berzikir menyebut nama Allah swt hingga naik matahari (melepasi waktu larangan solat sunat), kemudian melakukan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti Haji dan Umrah yang sempurna,  yang sempurna,  yang sempurna” [HR: Tirmizi].

 
Yaum Tarwiyah-Mina.
Selepas itu jemaah mula mengambil sarapan pagi yang disediakan oleh pihak Ash-Har (roti & beberapa jenis jem, majerin dan lain-lain pencicahnya). Ini adalah persediaan bagi jemaah yang datang hari Tarwiyah ke Mina, kadang-kadang makanan yang disediakan oleh pihak muassasah lambat tiba atau langsung tak ada, ini kerana mereka menumpukan kerja di Arafah untuk majoriti jemaah. Nak menghidupkan sunnah, adakalanya kena korbankan nafsu makan sedap!! Semoga dengan panduan dan ajaran ini para jemaah akan terbimbing dan selepas hari Mina mereka dapat berdikari dalam amalan yang mulia ini sepanjang hayat, Memenuhi awal hari dan mengakhiri akhir hari dengan zikir yang diambil dari Sunnah Nabi SAW atau amalan para sahabat, demikian juga setiap kali selepas solat fardhu mereka dapat berzikir yang ma’thur, tidak hanya terikat dengan apa yang dibaca oleh imam, atau terikut-ikut tidak berzikir apabila imam hendak cepat, insya’Allah. Kemudian setiap kali selepas solat fardhu, kuliah disambung lagi… Muqarrar Kuliah sepanjang hari-hari haji tahun ini ialah “Rehlah ke Alam Akhirat” melalui kitab “Al-‘Alam Al-Akhir”, tulisan Dr Muhammad Al-‘Arifi yang terbaru.
 
Al-‘Alam Al-Akhir
Antara yang menarik dalam kitab ini ialah; Perbincangan yang ringkas dengan hadis-hadis yang telah ditakhrij dan dibuat penilaian oleh ulama’ serta tajuknya tersusun mengikut perjalanan manusia ke Alam Akhirat. Untuk mengikuti kuliah ini, para pembaca boleh lihat siri-siri khutbah ana dengan tajuk yang sama “Rehlah Abadi ke Alam Akhirat” dalam beberapa siri di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1400

Isu “Orang Perempuan Ramai Masuk Neraka”: Antara isi perbincangan yang menarik juga ialah kata-kata yang masyhur: “Orang Perempuan Ramai Masuk Neraka”. Apakah kata-kata ini benar secara umumnya atau ada penjelasan yang sepatutnya difahami? “Menurut Hadis Nabi saw yang sahih, jelas bahawa orang perempuan lebih ramai masuk syurga dari kaum lelaki, dan begitu juga bilangan mereka yang masuk neraka…” Penjelasan dan jawapan yang tidak dapat dipertikaikan tentang keadaan ini kerana adalah sesuatu hakikat yang asal lagi bahawa bilangan wanita di dunia ini adalah lebih ramai daripada bilangan lelaki. Bahkan terdapat juga hadis Rasulullah saw yang menyatakan bahawa bilangan wanita pada akhir zaman ini ialah bagi setiap 50 orang wanita itu seorang lelaki. Bahkan fenomena ini telah terbukti secara realitinya pada zaman kita ini! Maka apabila kedua-dua golongan ini masuk syurga atau neraka (wal’iyazubillah) tentulah bilangan wanita yang lebih ramai daripada golongan lelaki!” Wallahu a’lam. Kesimpulannya, tidak sepatutnya golongan lelaki mempermainkan dan merendahkan golongan wanita dengan kata-kata tersebut. Juga adalah tidak benar untuk memahami daripada hadis ini bahawa wanita lebih ramai masuk neraka, kerana mereka lebih ramai yang tergelincir ke dalam perbuatan maksiat. Ini hanyalah kerana hakikat bilangan mereka itu sendiri semasa di dunia ini. Selain majlis kuliah, jemaah juga dianjurkan agar banyak membaca al-Quran, kalau boleh biarlah dapat sekali khatam sepanjang perjalanan haji di al-Masya’ir ini dan juga mengambil peluang untuk bersuai kenal sesama jemaah, inilah peluang terbaik untuk tujuan bertaaruf kerana sudah duduk di tempat yang sama dan terbuka… Yaum Arafah: Khamis 9 Zulhijjah 1433H – 25 Okt 2012. (Yaum Arafah): Wukuf. Hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada para malaikat dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?” [HR Muslim No. 1348] Setelah selesai bersarapan bas muassasah datang ambil jemaah Ash-Har untuk dibawa ke Arafah. Alhamdulillah pada jam 8:30 pagi selamat tiba di Bumi Arafah, khemah maktab 99 yang diperuntukkan kepada jemaah kami berada di hujung, bersempadan dengan Maktab 100. Maka seawal pagi lagi kedengaran suara kuliah dhuha, solat dhuha berjamaah dari jiran sebelah dengan suara yang terlalu kuat, menganggu ketenteraman jemaah lain yang ingin berzikir, membaca Quran atau nak mengambil rehat Qailulah.
 
Jiran khemah sebelah dalam maktab yang sama pun guna suara kuat juga… kami yang kecil jumlah bilangan ini tidak dapat buat kuliah, cuba nak buat jam sebelas pagi pun masih terganggu dengan laungan takbir atau talbiyah, Allahul musta’aan. Sudah puas berbincang dalam mensyuarat bimbingan di TH, tapi macam tak ada faedah… walaupun TH tidak mengambil tindakan kepada syarikat tetapi semangat kejiranan dan adab berjiran perlu dihidupkan. Baca quran kuat dalam masjid pun dilarang sekiranya menganggu orang sedang solat, apalagi zikir-zikir yang tidak diajar oleh Nabi saw. Rasulullah saw telah berdoa sepanjang hari Arafah setelah Baginda melakukan solat Zuhur & Asar jamak taqdim, namun tidak kedengaran apa yang dibaca oleh Rasulullah saw, ini menunjukkan bahawa Baginda menyuruh umatnya berdoa tetapi tidak dengan suara yang kuat sehingga menganggu orang lain. Jemaah kami agak kesunyian kerana berzikir & berdoa sendirian, masing-masing dengan hajat dan kehendak sendiri, kecuali pada akhir hari Arafah ana berdoa dan membenarkan jemaah mengaminkannya bagi sesiapa yang mahu… Isu Yang Mesti Diulang Setiap Tahun: Antara isu yang dibangkit oleh Nabi saw dalam khutbah Hajjatul Wada’ ialah; Kehormatan diri, Riba, pesanan agar berbuat baik kepada wanita & masalah membinkan anak angkat…dll. [Petikan Khutbah Arafah di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1256 ] Isu-isu ni sepatutnya diulang setiap tahun di Arafah, panel khutbah TH kena ambil berat poin yang Rasulullah saw sebut dalam wasiat itu…dan jadikan teks tetap di samping isu-isu semasa yang lain… khutbah biarlah berkait dengan realiti dan menyentuh isu kehidupan semasa. Ini berdasarkan kepada respon jemaah apbila ana sebut dalam khutbah atau kuliah di Masya’ir ramai jemaah yang datang minta penjelasan…sampai ke Makkah tajuk ini menjadi perbincangan yang hangat dan hidup untuk dibetulkan kesalahan yang mereka lakukan, bahkan siap dengan bawa buku wasiat bapa kepada anak-anak tentang harta, yang memang wasiat itu bermasalah… Cadangan ana kepada para asatizah di Makkah dan juga di Malaysia agar menjelaskan isu ni kepada masyarakat, kerana sangat ramai yang keliru dan masih melakukan kesalahan ini. Kami yang duduk di Maktab 99, khemah kami berada di tepi Maktab 100, khutbah Arafah disampaikan oleh Menteri Agama Datuk Seri Jamil Khir… dengan penuh semangat, khusyu’ dan siap dengan doa khas kepada Yang Dipertuan Agong Malaysia. Kami yang duduk di belakang ini menumpang dengar khutbah, kemudian melakukan solat bersama jemaah dalam khemah, nak ikut jemaah depan memang putus saf, suara sampai melalui pembesar suara yang bergema seluruh maktab…
Ke Muzdalifah: 
Bila azan maghrib sudah berkumandang, ada jemaah yang keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah menaiki bas atau berjalan kaki bagi jemaah yang datang sendiri, tahun ini giliran bas kami terjatuh kepada trip ke 8, jam 10:30pm baru sampai di Muzdalifah.
 
Muzdalifah
Sampai di sini ada jemaah yang melakukan solat jamak ta’khir sebagaimana amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw, kemudian bermabit sambil berzikir, kutip anak batu dan tidur… tidak ada amalan khusus yang dilakukan. Alhamdulillah trip yang ke 8 ini telah memberi kesempatan kepada kami untuk bermabit penuh dan sempat solat subuh di al-Masy’arilharam… selepas solat subuh tepat tiba giliran kami ke Mina.. Ke Mina: Jam 7 pagi selamat tiba di Mina, khemah di Mina agak padat, pihak muassasah beri tilam tak cukup bilangan orang, terpaksa berkongsi dan masih boleh menampung walaupun sedikit padat, anggaplah ini manifestasi berada di dalam kubur yang sempit. Antara keajaiban Mina ialah ia dianggap seperti rahim seorang ibu, kandung seorang pun boleh bahkan 8 orang pun boleh.. demikian juga Mina sebagaimana kata ulama’. Lokasi khemah kita tahun ini berada di tepi dapur tempat masak, dekat dengan pintu utama tapi agak jauh sedikit dari tandas.. Setelah sampai di Mina, jemaah ambil kesempatan berehat. Selepas solat Zuhur mula kuliah menceritakan amalan yang patut dilakukan pada hari ini. Jam 2:45 ptg kami keluar pergi melontar, ke Jamarat menggunakan terowong yang baru dibuat tahun ini, dua buah terowong dibina, panjangnya 1.7 km, jadi keseluruhan jarak dari Khemah Mu’aisim ke Jamrah tingkat 3 ialah 2km, Alhamdulillah lebih dekat dari jalan biasa 1km.
Setelah selesai melontar balik ke khemah solat Asar dan mula bercukur, Alhamdulillah hampir 100% jemaah kita licinkan kepala seperti hari mereka baru dilahirkan, kecuali seorang dua yang uzur. Tahniah kepada jemaah yang bercukur kerana menerima tawaran Rasulullah yang berdoa 3 kali rahmat kepada orang yang bercukur, “Muhalliqin”…
Di Mina kami menunaikan solat mengikut waktunya, tidak jamak, kerana beberapa sebab:
  • Pertamanya: Rasulullah tidak jamak solat semasa di Mina sepanjang mengerjakan haji.
  • Kedua: Setiap kali selepas solat kami adakan program kuliah atau membaca zikir pagi & petang.
  • Ketiga: Memandangkan jemaah lain majoritinya sudah jamak tamam kerana masyaqqah jadi tandas untuk wudhu’ pada waktu yang kedua sudah kurang jemnya…
Dalam rombongan kami ada seorang jemaah Hj Ismail Abbas, (Jemaah VIP Ash-Har 1433H) selalu berjalan tak lekat di khemah… nasib baik tak hilang, sekejap ada sekejap tak ada, kemudian ada orang hantar balik.. Peringatan buat anak-anak: Sebaik-baiknya pergilah menunaikan haji bersama ibu dan bapa, khasnya kalau mereka telah tua yang memerlukan bantuan dan penjagaan, jangan hanya berlepas diri bila dah hantar dengan pakej, kerana ianya akan membebankan rombongan yang pergi bersama. Pada hari 12 Zulhijjah ada beberapa orang jemaah kami buat “Nafar Awal” balik awal ke Makkah kerana faktor kesihatan dan emergency nak tawaf cepat, khas untuk para hajjah. Majoriti jemaah di Maktab 99 dan ada juga yang ikut maktab 100 iaitu jemaah yang dapat visa tambahan kemudian. Nasib mereka baik dapat duduk maktab berjiran, bila ada kuliah & ceramah mereka datang ke khemah 99 demikian juga bila nak keluar pergi melontar, ikut bersama. Pada hari 13 Zulhijjah (Nafar Thani) ada jemaah yang melontar selepas subuh dan ada juga yang melontar selepas solat zuhur, mengambil waktu yang afdhal dan terbaik, keluar dari khilaf ulama’. Demikian juga ada di kalangan jemaah yang masih muda diketuai oleh Ustaz Hasyimi balik ke Makkah berjalan kaki dari Mina, satu jam setengah. Penjelasan tentang waktu melontar pada hari nafar ini elok juga kita tengok perbincangan dalam kitab An-Nawazil fi al-Haj, – asalnya tesis Ph.D di Universiti Imam Muhammad bin Saud, Riyadh-, oleh Dr. Ali bin Nasir Asy-Syal’an.
 
An-Nawazil fi al-Haj
Hukum Melontar Jamrah Sebelum Zawal (Zuhur): Tahrir Mahal al-Niza’: 1-    Ittifaq para ulama’ harus melontar sebelum zawal pada hari raya dan itulah yang afdhal. 2-    Ittifaq para ulama’ bahawa melontar pada hari-hari Tashriq selepas zawal sebelum solat zuhur atau selepas solat adalah yang afdhal. Ia juga sunnah yang sabit dari Nabi saw. 3-    Ulama’ berbeza pendapat adakah melontar selepas terbit fajar (subuh) dan sebelum zawal harus atau tidak? Terdapat beberapa pendapat:

Pendapat Pertama: Tidak Harus Melontar Sebelum Zawal Pada Hari-Hari Tasyriq sama sekali, dan sesiapa yang melontar sebelum zawal kena melontar semula.

Inilah pendapat majoriti ulama’ salaf & Khalaf.
Penulis telah mengemukakan 5 dalil serta dengan munaqasyah dan jawapannya.

Pendapat Kedua: Harus Melontar Sebelum Zawal Pada Setiap Hari-Hari Tasyriq.

Ini pandangan yang diriwayat dari Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair radhiallahu ‘anhuma, dinukilkan dari ‘Ata’, Tawus, Ikrimah, Ibn Tawus, Abu Jaafar Al-Baqir. Ini merupakan pandangan Abu Hanifah yang tidak masyhur, pandangan Al-Juwaini, Ar-Rafie dan Al-Isnawi dari ulama’ Syafieyyah. Ibn Al-Jauzi, Ibn Az-Zaghuni dari ulama’ mazhab Hambali, pendapat ulama’ semasa seperti Sheikh Abdullah bin Zaid Al-Mahmud, Mustafha Az-Zarqa’ dan Sheikh Abdul Rahman As-Sa’di.

Penulis telah mengemukakan 20 Dalil bagi kumpulan ini serta munaqasyah dan jawapannya.

Pendapat Ketiga: Memisahkan Antara Hari Melontar; Sebelum Zawal Pada Hari-Hari Tertentu.

Satu: Harus pada hari 12 (nafar Awwal) bagi mereka yang nak buat nafar awal.
Ini diriwayatkan dari Ibn Abbas, dan lain-lain.
Dua: Harus pada hari 13 (Nafar Thani) sahaja.
  Tarjih (Pendapat yang terpilih) bagi Penulis Tesis ini: Dari perbincangan yang terperinci dari pandangan serta dalil yang dikemukakan jelas bagi saya –wallahu a’lam– bahawa masalah ini ialah termasuk dalam masalah khilafiah yang dalilnya saling bertentangan, bukanlah khilafnya dhaif atau pun syaz (berlawanan dengan yang lebih kuat). Sesiapa yang berpandangan sedemikian maka dia telah menyalahi pendapat yang kami kemukakan dalil bagi setiap pandangan, bahkan khilaf telah berlaku dalam perkara yang lebih besar kesannya dari masalah ini dan masalah lain, seperti waktu mula wuquf di Arafah, tidak tersembunyi lagi khilaf dalam masalah ini antara jumhur ulama’ dan ulama’ mazhab Hambali, sedangkan jumhur ulama’ membatalkan haji mereka yang wuquf sebelum Zawal, dan Hambali kata sah wukufnya. Demikian juga khilaf ulama’ pada hukum tawaf wada’ antara ulama’ yang mengatakan wajib dan sunat. Begitu juga khilaf pada permulaan dan akhir waktu tawaf ifadhah, dan semua khilaf tersebut diterima pada waktu lampau dan sekarang; kerana tidak ada dalil nas qat’ei as-thubut (kesabitan yang putus) dan dalil yang thabit. Masalah ini pun termasuk dalam kategori ini maka mesti kita terima khilaf dalam isu ini kerana sebab yang telah kami sebutkan di atas. Kemudian setelah tetap apa yang kami sebut itu maka kita mesti meneliti dalam beberapa perkara; Perkara Pertama: Bahawa pandangan yang mengatakan tidak harus melontar sebelum zawal adalah pandangan yang kuat dan baginya haknya dalam pandangan tersebut kerana beberapa perkara… (penulis telah menyebut 5 perkara). Perkara Kedua: Bahawa pandangan yang mengatakan harus melontar sebelum zawal adalah pandangan yang kuat, baginya haknya dalam pandangan tersebut. Ia samada sama taraf dengan pandangan jumhur dari sudut kekuatan dalil atau kurang sedikit, kekuatan dalil mereka terkandung dalam perkara berikut (penulis telah menyebut 4 perkara). Kesimpulan dari perbincangan di atas dalam tarjih (memilih pendapat yang kuat) bahawa pendapat yang mengatakan melontar selepas zawal ialah pendapat yang lebih utama diamalkan… Bagi mereka yang memilih pendapat yang mengharuskan melontar sebelum zawal hendaklah mengambil kira keperluan dan maslahah… Dan sekiranya tidak ada sebarang keperluan, maka mengambil pendapat pertama, keluar daripada khilaf ulama’ ialah yang terbaik… wallahu a’lam. [An-Nawazil fi al-Haj ms: 489-523]
Sekian.
Lihat Siri Pertama di: http://abuanasmadani.blogspot.com/2012/11/catatan-rehlah-haji-1433h-siri-1.html Akhukum, Abu Anas Madani, Makkah. 21 Zulhijjah 1433H, 6 Nov 2012. Catatan Rehlah Haji Tahun 1432H – 2011M Di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1204 Siri 1: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html Siri 2: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/abu-anas-madani-catatan-rehlah-haj.html Siri 3: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-3.html Siri 4: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-4.html Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M Siri 1: http://www.abuanasmadani.com/?p=742 Siri 2: http://www.abuanasmadani.com/?p=748 Siri 3: http://www.abuanasmadani.com/?p=760 Catatan Rehlah Haji 1430H: Siri 1: http://www.abuanasmadani.com/?p=491 Siri 2: http://www.abuanasmadani.com/?p=500

Siri 3: http://www.abuanasmadani.com/?p=514