Your message has been sent, you will be contacted soon

Call Me Now!

Tutup

ULASAN BUKU البدع المنكرة “BID’AH MUNKAR” Dr. Wahbah Az-Zuhaili

 

Kitab ini “البِِدَع المنكرة” iaitu Bid’ah Yang Mungkar adalah sebuah buku yang ditulis oleh penulis yang sangat masyhur, Prof Dr Wahbah Mustafha al-Zuhaili. Kitabnya “ الفقه الإسلامي وأدلته” menjadi rujukan para fuqaha’ dan pelajar di seluruh dunia. Beliau merupakan Ketua Jabatan Fiqh Islam dan Mazhab-Mazhabnya di Universiti Damsyik, Syria. Tokoh Ma’al Hijrah Malaysia Tahun 1430H – 2008M. Beliau baru sahaja menziarahi Malaysia pada bulan 14 Mei 2011 dan menyampaikan ucapan tentang Qazaf dan Sumpah.

Buku ini adalah cetakan pertama pada tahun 1429H/ 1999M, oleh Dar al-Maktabi, Damsyik, Syria setebal 72 muka surat.

Saya nukilkan beberapa petikan dari Muqaddimah kitab yang ditulis oleh Syeikh untuk dikongsi bersama, sebagai suatu perbincangan tentang Bid’ah dari sudut pandangan seorang tokoh dari Syiria, yang dikira beraliran sederhana. Khasnya disaat pertembungan aliran pemikiran dikalangan masyarakat yang agak ketara sekarang, dan isu ini pula sentiasa diperbincangkan oleh sebahagian ikhwanina para pendakwah. Semoga catatan ini ada manfaatnya untuk membuka ruang perbincangan bagi semua pihak, insya’Allah.

Kata Syeikh –hafizahullahu Ta’ala-:

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله المنشئ، والصلاة والسلام على رسول الله المصلح؛

وعلى آله وصحبه هداة الدين، وأتباع السنة وأعلام الملة، ومن تبعهم بإحسان، وبعد:

Ini adalah satu tulisan yang membincangkan tentang bid’ah yang mungkar, bertujuan untuk menolak perkara-perkara baru yang dimasukkan ke atas Sunnah Nabi saw yang bertentangan dengan usul aqidah, ibadat dan  mua’malat yang dituntut oleh Syara’. Juga untuk mengekalkan amalan yang baik dan elok dalam  merealisasikan maqasid Syariah dalam segenap sudutnya dan memberi kebaikan kepada ummah.

Bukan semua perkara baru yang tidak ada di zaman Nabi saw atau Khulafa’ al-Rasyidin satu rekaan atau bid’ah yang dicela. Mungkin seorang muslim melakukan satu amalan yang bertepatan dengan usul Syara’, berdasarkan kepada ayat dan pimpinan Nabi saw secara isyarat yang difahami tetapi tidak sorih (jelas). Maka perkara tersebut tidak boleh disifatkan dengan bid’ah yang mungkar, sesat atau dilaknat.

Ketika orang-orang yang tidak luas maklumat pengetahuannya ataupun orang yang jahil dalam bidang agama, bertindak mengingkari perbuatan/amalan seorang Islam lain; sedangkan hukum itu dianggap sebagai hukum yang ikhtilaf dikalangan ulama’ (iaitu masih tidak disepakati kemungkarannya) maka perbuatan itu adalah satu perbuatan yang fudhuli (iaitu diluar bidang tugasnya). Ia juga akan menjauhkan manusia dan menimbulkan perseteruan dan permusuhan di kalangan ummat.

Apa yang jelas kepincangan ini banyak berlaku di negara ajnabi (non-muslim) apabila ada rakyatnya yang baru masuk Islam dan masih cetek pengetahuannya dalam hukum-hakam, tapi telah bertindak menjatuhkan hukum; “Bahawa ini adalah sesuatu yang syirik, bid’ah, mungkar, sesat, dan sebagainya..” ibarat-ibarat yang boleh meliar dan menjauhkan orang daripada Islam. Sedangkan perkara yang dibangkitkan iu bukanlah satu perkara yang usul dalam agama dan masih boleh dibincangkan lagi.

Perbuatan ini telah menimbulkan masalah di kalangan umat Islam yang masih baru di sana, sehingga ada di antara mereka yang meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal mereka. Ini adalah satu tindakan yang amat buruk kesannya dan amat merugikan!

Dalam mengingkari perkara bid’ah, wajib kita menggunakan pendekatan hikmah dan mau’izatul hasanah. Gunakanlah gaya bahasa yang lunak dan lembut, bukan yang keras dan menakutkan orang. Menumpukan terhadap perkara asas dalam aqidah dan ibadat, serta berlapang dada dalam masalah khilaf yang lain.

Menjaga kesatuan Islam (Wehdah al-Muslimin) merupakan satu objektif Syariah. Sebaliknya buruk sangka terhadap orang lain, cepat mengeluarkan tuduhan dan tohmahan (seperti kafir, sesat, zindik dan seumpamanya) terhadap orang lain merupakan satu kerugian dan kesesatan. Husnuz-Zhan itu daripada iman manakala Su’uz-Zhan itu bukan daripada iman.

Bukan semua ketaatan atau ibadat yang tidak di Syariatkan secara shorih itu satu perkara bid’ah. Bahkan dibenarkan jika ianya bertepatan dengan ruh Syara’, seperti doa jama’i atau zikir secara kuat dengan tujuan untuk mengajar dan membimbing orang ramai… (yang bukan dijadikan amalan tetap)…

Adalah menjadi tanggung-jawab para pendakwah mengambil berat yang asas (jauhar) dan mengingkari perkara yang haram qat’i.

Pendakwah juga hendaklah menumpukan tugas melarang manusia dari melakukan maksiat dan kemungkaran secara terang, juga menumpukan usaha untuk menyatukan saf umat Islam dan mengumpulkan tenaga yang ada untuk berhadapan dengan musuh Islam yang hakiki. Semuanya demi untuk menjaga kesucian agama, kemurnian Syariah, menjauhkan pengaruh asing yang merosakkan aqidah umat Islam serta menyekat dari pengaruh yang berlawanan dengan seruan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw.

Kerana inilah saya mengambil kesempatan untuk menulis buku ini, untuk menjelaskan makna bid’ah, dalil untuk membatalkannya serta menjelaskan setiap jenis dan hukumnya. Betapa banyaknya bid’ah-bid’ah yang mungkar yang telah diittifaq oleh para ulama’ samada dalam aqidah, ibadat dan adat istiadat yang telah tersebar dan berleluasa dalam masyarakat…

Saya sekali-kali tidak akan membenarkan berlakunya bid’ah mungkar yang telah diittifaq oleh para ulama’, yang dilakukan dengan sengaja iaitu secara ilmu dan qasad (ada ilmu dan niat). Bukan kerana kejahilan atau tersalah dalam melakukannya.

Saya bukanlah dari kalangan yang memecahkan umat Islam dan menimbulkan fitnah dalam saf mereka. Maka menjadi kewajipan alim-ulama’ memperbetulkan, mengajar dan membimbing umat sekadar yang termampu, bukan cepat su’uz-zhan dengan menjatuhkan hukuman dan menuduh orang lain sesat dan kufur.

Penjelasan saya dalam kitab ini adalah berdasarkan method ahli ilmu, ikutan saya adalah Kitab Allah dan Sunnah Nabi saw dan kata-kata al-Muslih al-Iijtima’ie (reformis masyarakat), dari  kalangan anbiya’ as dalam firman Allah swt:

إِنْ أُرِيدُ إِلا الإِصْلاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلا بِاللهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

{Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan Islah) kebaikan selama aku masih berkemampuan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.} [Hud: 88].

Saya dari permulaan berkecimpung dalam bidang dakwah ini bersama hala-tuju yang dibawa oleh ahli sunnah seperti Imam an-Nawawi rh dan lain-lain, antaranya Refomist, al-Muslih as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rhm.

Semuanya untuk menyekat penyelewengan yang berlaku di kalangan orang awam yang mengambil acara ibadat yang ganjil (syaz) atau keluar dari mulut mereka ibarat/kata-kata yang tidak layak bagi agama ini seperti;

i)     Memohon daripada orang-orang soleh atau wali-wali yang telah mati untuk memberi mereka sesuatu hajat atau menolak kemudharatan, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk memberi manfaat atau menolak kemudhratan selain daripada Allah Azza wa Jalla!

ii)    Mempersembahkan nazar atau sembelihan untuk wali-wali di kubur-kubur mereka.

iii)   Bersumpah dengan yang selain daripada Allah swt.

iv)   Mencampur-adukkan di antara zikir dan nyayian, serta mendengarnya dengan iringan muzik.

v)    Atau berzikir dengan gerakan yang pelik-pelik seperti menggoyangkan badan sehingga menyerupai gerakan tarian dan seumpamanya.

Saya juga bersama dengan golongan as-Salafiyyah dalam tanzih (membersihkan) Allah swt. Tetapi saya tidak bersama dengan golongan yang suka menggunakan uslub yang boleh meliar dan menjauhkan seseorang daripada agama, dengan membuat tuduhan kufur dan sesat, atau menyifatkan seseorang itu sebagai Quburi (penyembah kubur) semata-mata kerana dia menziarahi kubur….

Saya juga menjelaskan bahawa tidak ada mazhab Wahabi dalam aqidah juga hukum Syara’. Yang ada ialah kumpulan islahaat (reformasi), iaitu mereka yang membaik-pulihkan keadaan masyarakat pada tempatnya. Mereka dalam aqidah adalah mengikut mazhab as-Salafus-Soleh, manakala dalam hukum-hakam mengikut mazhab Imam Ahmad Hanbali rh.

Mereka adalah bermazhab Hanbali dalam fiqh dan Salafi dalam aqidah. Di antara ulama’ Salaf ialah Imam Mazhab itu sendiri. Maka kami pengikut mereka dan kebanyakan ahlus-Sunnah beriktikad “Al-Aslam Salafiyyun.-الأسلم سلفيون ”

Syeikh memulakan kitab selepas muqaddimah dengan menjelaskan takrif bid’ah dan dalil-dalil yang mengingkari bid’ah secara Syara’.

Kemudian menyatakan jenis-jenis bid’ah dan hukum setiapnya;

Saya tidak bersama dengan golongan yang membahagikan bid’ah itu kepada lima jenis, tetapi bid’ah itu satu jenis sahaja, iaitu bid’ah yang mungkar dan mazmum. Iaitu semua amalan yang bertentangan dengan usul aqidah atau ibadat, atau adat-adat Islam yang asli, serta ia juga menafikan hukum Syara’.

Contoh dan Jenis Bid’ah:

Maka dibawanya contoh-contoh bid’ah (ada yang  telah disepakati ulama’ sebagai bid’ah yang mungkar dan ada juga contoh yang dibawa masih dalam perbincangan (khilaf ulama’). Syeikh kemudian akan menyatakan pandangan dan pendapatnya dalam contoh itu.)

1) Bid’ah dalam Aqidah.

a)      Bid’ah mengatakan al-Quran itu makhluk.

b)      Menakwil sifat Allah Taala.

c)      Al-Firaq (kumpulan) Islamiyah.

d)     Bersumpah dengan selain daripada Allah swt.

e)      Mempersembahkan nazar atau sembelihan untuk wali-wali di kubur-kubur mereka.

f)       Beberapa amalan tasawuf.

g)      Istighaasah (minta bantuan) kepada yang selain daripada Allah.

h)      Tabaruk iaitu mengambil berkat dengan orang-orang soleh semasa hayat mereka.

i)        Membesarkan dan mensucikan (taqdis) makhluk.

j)        Menggantung tangkal/azimat.

2) Bid’ah dalam Ibadat.

a)      Menyaringkan bacaan Bismillah dalam al-Fatihah ketika solat [Khilaf].

b)      Qunut subuh. [Khilaf]

c)      Sampai pahala kepada orang mati. [Khilaf]

d)     Berdiri ketika menyambut ketibaan seseorang. [Khilaf]

e)      Tawasul dengan Nabi saw. [Khilaf]

f)       Ziarah kubur Nabi saw. [Khilaf]

g)      Berdoa berama-ramai dan majlis zikir. [Khilaf]

h)      Berzikir dengan kuat. [Khilaf]

i)        Haflah (majlis) Maulud Nabi dan munasabah lain. [Khilaf]

j)        Mencium tangan. [Khilaf]

k)      Beberapa jenis selawat dan sujud; Bid’ah Solat Raghaib, Solat khas mlm nisfu Sya’ban, Sujud selepas solat.

l)        Mengucapkan “TaqabbalaLlah” selepas solat. [Khilaf]

m)    Mengucap Sayyidina Muhammad. Dalam solat bid’ah dan diluar solat boleh.

3) Bid’ah dalam Adat-istiadat:

a)      Bid’ah masjid. Menghiasi masjid, berhias, masuk ke masjid dengan busuk (pakaian dan tubuh badan), bising, iklan jualan dalam masjid dan lain-lain.

b)      Bid’ah jenazah dan kubur. Seperti membuat langsir di kubur, menghiasi kubur dengan binaan, membuat jamuan pada hari-hari tertentu, 3 hari, 7 hari dan lain-lain.

c)      Menggunakan biji tasbih. [Khilaf]

4) Bid’ah dalam rumah-tangga dan masyarakat.

a)      Memberi nama anak dengan nama kafir dan buruk.

b)      Pergaulan bebas, pakaian tidak ikut Syariah, bersalam lelaki perempuan.

c)      Meninggalkan solat jemaah.

d)     Pawagam dalam rumah, parabola, berjaga malam dengan hiburan.

e)      Majlis kahwin yang melanggar hukum Syariah.

f)       Berlagu yang melampau dengan al-Quran.

5) Bid’ah dalam Mua’malat:

a)      Ba’i al-Inah. (sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar Bank-bank yang menjalankan perbankan Islam di Malaysia).

b)      Jual-beli barang kemas; emas dan perak secara berhutang.

c)      Memajak buah di kebun yang belum masak.

d)     Khianat amanah dalam syarikat.

Kemudian diakhiri dengan perbezaan di antara Bid’ah, Maslahah Mursalah dan Istihsan.

Contoh-contoh yang dibawa oleh Syeikh di atas ini, patut sekali dibincangkan oleh mereka yang berpendapat bahawa bid’ah itu terbahagi kepada “Dholalah” dan “Hasanah”. Manakala bagi mereka yang hanya mengatakan bid’ah itu hanya satu jenis sahaja (Dholalah), juga patut membacanya untuk memahami dan meneliti pendapat orang lain.

Buku ini patut dibaca bersama dengan buku “حكم التبديع في مسائل الاجتهاد” (HUKUM MENGATAKAN BID’AH DALAM MASALAH IJTIHAD).

Semoga Allah swt memberi kita kefahaman yang betul dalam memahami Kitab-Nya dan sunnah Nabi-Nya saw, serta kefahaman para ulama’ Salafus-Soleh dalam beragama.

Wallahu a’lam.

Abu Anas Madani, 13 J.Thani 1432H – 17 Mei 2011.

 

Leave a Comment

You must be logged in to post a comment.