TERBARU
Home / Artikel - Makalah / Syuraih Al-Qadhi

Syuraih Al-Qadhi

SYURAIH AL-QADHI

Contoh Keindahan dan Keadilan Penghakiman Islam.

 Allah SWT mencipta manusia untuk menyembahNya, mendirikan syariat-Nya di atas muka bumi, apabila manusia meninggalkan Syariat Islam bermakna mereka telah menyimpang jauh daripada fitrah yang Allah SWT jadikan.Islam telah membawa pengikutnya agar terus berada di atas landasan fitrah yang betul. Berlaku adil dan tidak menzalimi sesiapa pun, kerana dengan keadilan manusia akan hidup aman, hak seseorang akan terjamin dan kedaulatan undang-undang akan terpelihara.Sama-samalah kita perhatikan keadilan Islam dalam bidang penghakiman (Qadha’), adil dalam melaksanakan hukumnya keatas orang perseorangan atau jamaah, pemerintah atau rakyat, miskin atau kaya.

Mari  kita renung kembali kisah seorang hakim (qadhi) Islam yang telah mengindahkan bidang kehakiman Islam dengan cahaya yang bersinar dan contoh yang aneh, beliau ialah SYURAIH Al-Qadhi rahimahullah, diantara contoh penghakimannya ialah;

1-             Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a telah membeli seekor kuda dari seorang badwi, setelah membayar harganya khalifah pun membawa kuda itu pergi, tetapi setelah berjalan tidak berapa lama, khalifah mendapati bahawa kuda itu cacat dan tidak mampu berlari jauh, beliau pun berpatah balik ke tempat lelaki badwi tadi, dan mengatakan kepadanya: “Ambil kembali kuda kamu yang cacat ini”. Lelaki itu menjawab: “Saya tidak akan mengambilnya wahai Amirul-Mukminin, saya telah menjualnya dalam keadaan baik, tidak cacat”. Kata Umar r.a: “Biarlah seorang pengadil memutuskan hukuman ini di antara kita”. Jawab lelaki itu: “Baiklah, yang akan menghukum di antara kita ialah Syuraih bin Al-Harith Al-Kindi”. Jawab Umar: “Saya bersetuju”.             Mereka berdua pun pergi berjumpa Syuraih. Dan setelah mendengar aduan badwi itu Syuraih pun berpaling mengadap Khalifah Umar seraya bertanya: “Tuan telah mengambil kuda itu dalam keadaan baik”? Jawab Umar r.a : “Ya”.             Kata Syuraih: “Simpanlah apa yang tuan telah beli wahai Amirul Mukminin, atau kembalikannya seperti mana yang tuan ambil”.            Umar r.a memandang dengan kagum kepada Syuraih dan berkata: “Inilah sebuah penghakiman! Suatu ucapan yang memisahkan diantara hak dan batil, hukuman yang adil, pergilah ke Kufah, saya melantik kamu sebagai hakimnya”.            Demikianlah keadilan Islam, seorang lelaki biasa (si badwi) yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan, berani mendakwa seorang pemimpin yang memerintah sebuah negara yang kuat, tidak mahu mudah2 menerima kembali apa yang telah dijualnya beberapa minit sebelum itu. Kemudian beliau juga yang menentukan siapakah yang akan menjadi hakim bagi membicarakan kesnya. Sebaliknya seorang khalifah menerima dengan baik semua permintaan badwi itu, bukan dengan ugutan atau menakutkannya dengan berbagai akta.             Hakim pula bebas dan berani mengeluarkan hukum yang hak walau pun ke atas pemerintah yang berkuasa, pihak khalifah pula menerimanya dengan tenang bahkan melahirkan kekaguman di atas keberanian dan keadilan hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya. Keberaniannya mendapat kepercayaan Khalifah, dan dibalasnya dengan hadiah suatu jawatan tetap iaitu sebagai hakim Kufah, bukan dengan menghantar tentera khas pada waktu malam dan membawanya ke suatu tempat yang tidak diketahui untuk mendiamkannya.            2) Satu lagi contoh keadilan sistem kehakiman Islam yang ditunjukkan oleh hakim yang dipilih oleh Khalifah Umar r.a ini, ialah semasa pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib r.a.Ali r.a kehilangan baju besi kesayangannya, hadiah perkahwinannya dengan Fatimah r.a dari Sayidina Uthman r.a. Tidak lama kemudian beliau mendapati baju besinya berada di tangan seorang kafir zimmi yang cuba menjualnya di pasar Kufah. Apabila melihatnya Khalifah Ali r.a mengenali bajunya dan berkata kepada zimmi itu: “Ini baju besi saya yang terjatuh dari unta pada suatu malam, di suatu tempat….”Jawab zimmi: “Tidak, baju ini kepunyaan saya dan berada di tangan saya”.Kata Ali r.a : “Ini baju saya, saya tidak pernah menjualnya atau memberinya kepada sesiapa, bagaimana ia boleh berada di tangan awak?”Jawab zimmi: “Yang akan memutuskan di antara kita dalam kes ini ialah hakim muslimin’. Ali r.a terus bersetuju, lantas mereka berdua pun pergi mengadap Syuraih al-Qadhi .Setelah berada di hadapan hakim, Syuraih bertanya kepada Ali r.a : “Apakah dakwaan Tuan Amirul Mukminin?”Kata Ali r.a : “Saya dapati baju besi saya berada ditangan lelaki ini, baju ini terjatuh dari unta saya pada suatu malam, di suatu tempat …(yang disebutkan)”.Kata Syuraih: “Apa kata kamu wahai zimmi?”Jawab zimmi: “Baju ini kepunyaan saya, berada di tangan saya, tapi saya tidak menuduh Amirul Mukminin sebagai pendusta”.Syuraih berpaling kepada Ali r.a dan berkata: “Saya tidak syak bahawa Tuan benar dalam dakwaan ini, dan baju ini kepunyaan tuan, tetapi tuan mesti membawa dua orang saksi yang menyokong dakwaan ini”.Jawab Ali r.a : “Ya ,anak saya Al-Hasan dan hamba saya Qunbur sebagai saksi kes ini”.Kata Syuraih: “Anak tidak boleh menjadi saksi bapanya wahai Amirul Mukminin”.Jawab Ali r.a: “Subhanallah! Lelaki ahli syurga tidak boleh menjadi saksi, tidakkah kamu dengar RasululLah SAW telah bersabda yang bermaksud: (( Al-Hasan dan  Al-Husin dua orang penghulu pemuda ahli syurga))? ”“Ya”, jawab Syuraih, “tetapi saya tidak menerima persaksian anak kepada bapanya”. Ali r.a terdiam seketika dan akhirnya berkata: “Ambillah baju besi itu, saya tidak ada saksi selain daripada mereka berdua”.Zimmi tadi dengan penuh kesedaran mencelah: “Tetapi saya yang akan bersaksi bahawa baju itu kepunyaan tuan”. Kemudian zimmi itu berkata: “Ya Allah, Amirul Mukminin didakwa di hadapan hakimnya! Hakimnya pula menjatuhkan hukuman yang berpihak kepada saya! Saya naik saksi bahawa agama yang mengajar keadilan adalah agama yang hak”, lantas memeluk Islam dengan mengucap kalimah syahadah.Katanya lagi: “Ketahuilah wahai tuan hakim, bahawa baju ini kepunyaan Amirul Mukminin. Saya mengikuti tentera yang keluar menuju ke Siffin, tiba-tiba baju besi ini terjatuh dari unta baginda dan saya mengambilnya”.Kata Ali r.a : “Oleh kerana engkau telah Islam saya hadiahkan baju besi dan kuda ini kepada engkau”. Lelaki itu pun pergi bersama agama yang benar. Tidak lama selepas peristiwa itu mereka bertemu kembali pada hari Nahrawan, dalam peperangan menetang Khawarij yang membawa kepada syahidnya, rahimahulLah.            Demikianlah Qadhi Syuraih menghabiskan masanya  lebih 60 tahun sebagai seorang hakim. Qadhi yang melaksanakan hukuman Islam dengan penuh keadilan dan kebenaaran tanpa mengira sesiapa. Tidak takut kecuali kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil.Beliau berada di Kufah sebagai hakim lebih daripada 60 tahun, bermula dari zaman pemerintahan  Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a sehingga zaman pemerintahan Muawiyah r.a. Beliau bersara sewaktu  berumur 107 tahun di zaman Hajjaj menguasai wilayah Iraq. Begitulah contoh kewibawaan seorang tokoh dalam bidang kehakiman Islam menjadikan perundangan dan penghakiman Islam didaulatkan dan dipercayai  oleh semua golongan hatta kuffar.            [Lihat: Masyahir Al-Qudhat oleh: Abdul Mun’im Al-Hashimi m/s 35-49].  

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...