Siri 01: Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar

AKHLAK ORANG YANG BERJIWA BESAR

Oleh: Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, Hafizahullah

Alih Bahasa: Team Dartaibah.com

http://youtu.be/dEGb6TTlbMA

Pembaca yang dihormati, disebabkan akhlak dan perangai terpuji begitu tinggi kedudukannya di sisi Allah Ta’ala dan umat secara umum, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mendokong misi dakwah Ahlu Sunnah wal Jama’ah, maka kami berusaha mengalih-bahasakan sebuah muhadharah (ceramah) ilmiah yang sangat bermanfaat, disampaikan oleh salah seorang ulama tafsir yang masyhur di Dammam, Arab Saudi. Fadhilatus Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt –hafizahullah, yang berjudul “Akhlaq al-Kibar”. http://www.khaledalsabt.com/cnt/lecture/298

Alhamdulillah dalam rehlah dakwah kami bersama sheikh ke Indonesia pada bulan Jun 2012, ana telah minta izin untuk menyebarkannya kepada para ikhwah di Malaysia. Jazahullahu khaira kepada sheikh dan tim penterjemah semuanya.

Perbahasan kita pada kali ini, berlegar sekitar akhlak Al-Kibar. Apa yang kami maksudkan dengan Al-Kibar adalah orang-orang yang berjiwa besar. Orang-orang yang penuh jiwa mereka dengan semangat yang tinggi, selalu menghindari perbuatan-perbuatan hina dan urusan yang remeh- temeh. Sehinggakan cita- cita dan keinginan mereka turut menolak untuk melakukan hal-hal yang sempit dan bersifat murahan. Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi, mereka tidak sibuk dengan hal dirinya sendiri. Mereka tidak marah dengan hanya satu perkataan (yang diucapkan kepada mereka) dan tidak pula merasa gembira (redha) hanya kerana satu perkataan (yang diucapkan). Iaitu bukan sifat orang yang sangat kagum terhadap pujian, bukan pula orang yang mudah marah terhadap satu celaan.

Ia bukan pemilik jiwa rendah yang redha jika jiwanya masuk dalam kehinaan, serta mengharamkan syurga dunia ke atas dirinya, sebelum syurga akhirat. Syurga dunia yang kami maksudkan adalah: ketenteraman hati, keramahan, serta kebahagiaan jiwa yang didapati hasil daripada meninggalkan hal-hal kecil dan remeh-temeh.

Mereka inilah orang-orang besar (hebat), yang kita akan bicarakan, iaitu para pemilik jiwa besar itu.

Mereka yang dimaksudkan dengan Al-Kibar (orang-orang besar), bukan orang-orang yang sudah lanjut usia. Juga bukan orang-orang yang telah berada di jawatan-jawatan yang tinggi, atau orang- orang yang memiliki status dan martabat yang tinggi di kalangan orang ramai.

Sesungguhnya kami hanya membicarakan orang-orang yang memiliki jiwa besar dan dada yang lapang. Mereka adalah orang-orang yang tidak sibuk hanya kepada diri mereka dan tidak hanya berdiri kepada kepentingan peribadinya. Tetapi yang saya maksudkan adalah orang-orang yang hanya mementingkan kemaslahatan yang besaruntuk Islam.

Orang-orang seperti itulah yang seharusnya kita perbincangkan akhlak dan sifat-sifat mereka. Kemudian perbincangan ini kita sampaikan kepada seluruh manusia.

Topik perbahasan ini kami bawakan, kerana keperluan kita terhadapnya sangat besar. Kita sangat perlu membahas masalah ini, kerana kita sangat sering melalaikan masalah- masalah penting tersebut.

Bayangkan, betapa banyak khitbah (lamaran) yang telah terputus sia-sia. Betapa banyak keluarga yang menjadi kucar-kacir. Betapa banyak kecintaan yang beralih menjadi permusuhan. Betapa banyak kerjasama dalam pekerjaan dunia atau dakwah yang menjadi kacau dan rosak. Juga betapa banyak hubungan yang telah terputus jalinannya. Semuanya gara-gara jiwa yang rendah.

Gara-gara sibuk dengan kepentingan-kepentingan peribadi, yang seseorang menjadi redha dan marah hanya kerana kepentingan itu.

Sehingga pada situasi dan keadaan apa pun, dia mencari kemenangan hanya untuk dirinya sendiri serta tidak menerima daripada sesiapa pun jika mengeluarkan kata-kata teguran, kesalahan atau kelemahan terhadapnya.

Jika ini terjadi, maka tidak ada ampun maaf lagi, dia juga tidak akan mengingati kebaikan-kebaikan lalu yang telah dilakukan oleh orang tersebut tanpa mengingati perasaan kasih sayang dan hubungan yang ada. Semua ikatan yang wujud antara mereka sebelum ini dilupakan.

Ia melupakan semua hal itu, serta bertukar perasaan dari sayang menjadi benci dan dianggap musuh yang telah menjatuhkan dan telah mengurangkan serta tidak memberikan haknya yang sepatutnya.

Kenapa sifat mementingkan diri seperti ini boleh terjadi?

Kenapa seseorang meletakkan dirinya pada kedudukan yang hina seperti ini?!

Ini tidak lain kerana ia sangat cenderung kepada asal kejadian penciptaan dirinya yang diciptakan daripada dua unsur: tanah dan tiupan roh.

Jika seseorang cenderung kepada zat asal ianya dicipta iaitu tanah, maka tanah tersebut menarik dan memaksanya menuju ke bawah. Sehingga akhlaknya menjadi hina dan buruk, serta muncul hal-hal yang tidak sepatutnya ada pada dirinya, bahkan seseorang yang berakal akan menjadi sangat malu setiap kali mengingati dan merenungkan hal itu.

Namun, jika seseorang manusia berjaya memutuskan rantai dan belenggu ini maka ia akan berada pada kedudukan yang tinggi. Ini kerana akhlaknya menjadi tulus dan mulia, serta membuang hal-hal yang buruk tadi ke belakangnya.

Dia tidak akan menjadi gembira atau kecil hati hanya kerana satu pujiaan atau kejian sahaja. Ia telah melepasi tahap yang rendah ini. Akhirnya ia bergaul dengan manusia lain dengan dada yang lapang dan jiwa yang besar. Ia sentiasa memaafkan setiap kekurangan, keburukan, kesalahan dan aib-aib yang muncul daripada mereka. Ia juga selalu memaafkan segala hal buruk yang keluar daripada mereka terhadap dirinya, terutama pada hak peribadinya.

Ketika membincangkan masalah ini, saya tidak mengarahkannya kepada orang lain, tetapi pertamanya saya tujukan kepada diri saya sendiri kemudian saya tujukan kepada anda semua.

Jangan ada orang yang merasa bahawa perbincangan topik seperti ini hanya ditujukan kepada orang lain sahaja. Tetapi hendaklah dia menghadirkan hati, memikirkan keadaannya, dan memasukkan dirinya dalam golongan orang yang mendengar untuk mengambil faedah dan perubahan yang lebih baik.

Maka, perbaharuilah hidup anda, sucikan akhlak anda, perbaiki sikap anda, dan pulanglah kepada keluarga anda mulai hari ini dengan wajah baru.

Pulanglah kepada teman-teman dan masyarakat anda dengan wajah baru, dengan jiwa lain yang tiada memperdulikan kepentingan-kepentingan peribadi dan keegoan yang menyebabkan anda menjadi kecil.

Topik perbahasan ini ditujukan kepada para ulama’, thullab al-‘ilm (penuntut ilmu), para pemerintah yang berkuasa, seperti raja, pemimpin, ketua dan setiap orang yang memiliki kekuasaan, besar atau kecil. Juga ditujukan kepada para ibubapa, murabbi, pengajar dan seluruh manusia amnya. Juga kepada setiap pencinta kemuliaan.

Tidak ada seorang pun yang akan senang hatinya, pada bila masa dan di mana sahaja jika dia dikatakan seorang yang memiliki sifat yang bersemangat rendah, berjiwa kecil dan tidak mempunyai cita-cita. Ataupun jika dikatakan dia adalah seseorang yang hidup dalam ruang lingkup yang sempit dan berjiwa kerdil.

Seandainya ciri-ciri seperti ini anda ucapkan kepada seseorang, nescaya dia akan marah, tidak dapat menahan diri dan menolak hal itu mentah-mentah. Ini bermaksud, seluruh manusia bersepakat bahawa sifat-sifat (yang akan kita bincangkan) ini adalah baik, dan sesungguhnya akhlak mulia memiliki kedudukan yang sangat tinggi di kalangan manusia.

Jadi, ini adalah perbahasan yang indah. Perbahasan yang dirindukan setiap jiwa. Juga perbahasan yang membuat semua orang menjadi terpikat hati (untuk mendengarnya).

Ketahuilah, seandainya dakwah para Rasul s.a.w. terfokus pada masalah akhlak sahaja, tanpa masalah-masalah besar yang lain, seperti masalah tauhid dan syirik, nescaya seluruh manusia berpusu-pusu menyokong dan mengikuti mereka kerana perbahasan tentang akhlak adalah masalah yang disepakati oleh semua orang.

Syeikh Muhammad rahimahullah berkata: “Seandainya saya mengajak manusia kepada akhlak yang mulia dan meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk seperti zina dan mencuri, nescaya semua orang menyetujui saya dalam hal ini.”

Jadi sekali lagi, perbahasan tentang akhlak, adalah perbahasan yang dipersetujui oleh semua orang, baik kawan ataupun lawan. Semua orang menganggap baik hal ini. Semua sangat rindu (suka) mendengarnya. Tetapi pelaksanaannya adalah masalah lain. Pelaksanaan adalah suatu kriteria (ukuran) yang dengannya menzahirkan peribadi seseorang dan menjelaskan hakikat dirinya.

Pokok perbincangan ini bukan hanya untuk mendengar tentang akhlak baik seseorang. Tetapi ianya dilihat daripada segi amalan dan perlaksanan terhadap ahklak mulia itu.

Sifat penyantun pada seseorang tidak dapat diukur ketika ia suka dan redha. Sesungguhnya sifat peyantun itu dilihat ketika seseorang itu sedang marah.

Ertinya bukanlah ukuran kemuliaan akhlak itu, ketika anda mengukir senyuman pada masa redha terhadap kawan dan teman anda. Namun akhlak yang benar dan hakiki, iaitu ketika anda tetap berakhlak mulia pada setiap situasi dan keadaan. Juga dengan menjauhi segala perbuatan hina dan sia-sia. Inilah akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh setiap Muslim.

Allah s.w.t telah memberi nama dan menyifatkan diri-Nya dengan Al-‘Afwu (Yang Maha Pemaaf). ‘Afwu adalah salah satu sifat mulia Allah s.w.t. Sifat ini adalah sifat agung lagi mulia, yang bererti memaafkan dosa, memaafkan kesalahan, dan tidak membalas dosa itu. Selain itu, sifat ini juga bermaksud tidak segera mengambil tindakan untuk menghukumnya.

Jadi, Allah s.w.t adalah Maha Pemaaf, Maha Santun, Maha Pemurah dan suka memaafkan.

Oleh sebab itu, kita memohon kepada Allah s.w.t Yang Maha Tinggi dan Maha Agung agar menghiaskan diri kita semua dengan sifat pemaaf, sifat pemurah, sifat lemah lembut dan sifat santun-Nya.

Hendaklah setiap orang dari kita bertanya kepada dirinya setelah mengetahui sifat mulia ini, apakah kita tergolong dalam orang yang berjiwa besar?

Apakah kita benar-benar menghiaskan diri kita dengan sifat yang sedang kita bincangkan ini?

Adakah kita telah bersifat lalai dalam masalah ini, yang hal itu menyebabkan datangnya perkara-perkara buruk lain, seperti permusuhan, hasad-dengki, dan mencari-cari kesempatan untuk membalas dendam kepada si A atau si B?

Telah bayak bercampur-aduk dalam diri kita ini antara keinginan untuk membela agama dan keinginan untuk membela diri sendiri. Kadang-kadang seseorang keluar dengan sangat marah serta ingin menang dan membalas dendam, juga ingin menjatuhkan musuh, menjatuhkan orang yang menyalahinya, atau menjatuhkan orang yang tidak bersefahaman dengannya.

Dia keluar dengan wajah yang sangat menggerunkan dan pada ketika itu, dia juga keluar dengan berhujahkan agama, sambil berkata dengan hujahnya itu, bahawa dia ingin membela agama, membela akidah dan membela iman. Dia melakukan hal itu kerana terlalu ghairah ingin menjaga Syariat Islam dan sangat ingin membelanya sehingga perkara ini menjadi tidak jelas baginya lagi. Apakah dia keluar kerana hendak memenangkan kepentingan peribadi, atau kerana ingin memenangkan agama Allah s.w.t???

Hal ini sering terjadi pada diri kita. Terutama pada masalah ‘izzah (kemuliaan).

Kita sering mengatakan bahawa seorang mukmin adalah ‘aziz (mulia). Hal ini kerana Allah s.w.t menyatakan bahawa ‘izzah itu adalah milik Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w, dan seluruh kaum mukminin. Seringkali masalah ‘izzah ini menjadi tidak jelas di hadapan kita. Perkara yang dimaksudkan di sini ialah ‘izzatunnafs (kemuliaan diri) yang bercampur dengan keinginan untuk membalas dendam, atau keinginan untuk membalas terhadap seseorang yang telah berbuat salah kepada kita.

Akhirnya mungkin kita telah melakukan sesuatu yang tidak layak untuk diletakan di bawah alasan ‘izzah, yakni izzah seorang mukmin. Dengan alasan bahawa seorang mukmin tidak boleh dizalimi dan tidak meredhai adanya kezaliman serta untukmenyatakan bahawa sesungguhnya ia bukan orang yang lemah.

Lalu ia berusaha membela dirinya, sehinggakan dia menjadi sangat berlebihan dalam pembelaan ini. Ia melakukannya dengan berpayungkan ‘izzah, yakni ‘izzatu mukmin.

Dia berdalil dengan firman Allah s.w.t yang berbunyi (bermaksud):

{Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri.} [Asy- Syura: 39].

Ia tidak menyedari bahawa seluruh ayat Al-Quran, telah menyebutkan betapa besar keutamaan orang yang memaafkan, mengampuni dan menahan diri. Ia melupai bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

{Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang di antaramu dan di antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.} [Fussilat:34]

Tetapi siapakah yang boleh melakukan hal itu? Siapakah yang mampu menahan diri untuk untuk tetap berakhlak mulia?! Oleh sebab itu Allah s.w.t meneruskan firman-Nya:

{Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan
dunia dan akhirat.}
[Surah Fussilat:35].

Syaitan selalu datang menghasut agar seseorang mencari kemenangan untuk dirinya secara peribadi. Sambil berkeyakinan bahawa meninggalkan “mencari kemenangan” adalah tanda kelemahan dan pengecut serta manusia akan mencaci bahawa dia adalah orang yang lemah. Dia akan diejek bahawa dirinya penuh dengan kekurangan kerana tidak mampu mencari kemenangan. Padahal Allah s.w.t. telah berfirman:

{Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan Maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.} [Surah Al-A’raaf: 200].

Dalam ayat-ayat ini, Allah s.w.t menyuruh kita agar memperbaiki keperibadian kita dan memperbaiki pemahaman kita.

Apa yang menjadi kewajiban bagi seseorang? Apa erti sebuah keutamaan? Bagaimanakah seseorang menjadi tinggi dengan dirinya dan bagaimana dapat menggagalkan tipu daya syaitan, sehingga tidak berhasil merosakkan dirinya ketika ia berusaha memperbaiki hati dan amal perbuatan.

Saya akan menyebutkan banyak contoh yang membuktikan, bahawa telah banyak terjadi taqsir[1] (kelalaian) dan kesalahan yang jelas pada setiap peringkat manusia. Sama ada perkara tersebut berlaku di antara para daie yang mengajak kepada jalan Allah s.w.t, pada kebanyakan manusia, para suami atau isteri, pada tetangga, pada murabbi (pendidik), pada orang-orang yang mengerjakan solat atau pada setiap kelompok masyarakat, melainkan orang-orang yang dirahmati Allah s.w.t.

Benar! Ini adalah contoh-contoh yang menjelaskan tentang keadaan kita. Jika dibandingkan keadaan kita, dengan keadaan orang-orang yang telah mentarbiyah (mendidik) jiwa mereka dan tidak lagi memperdulikan kepentingan peribadinya.

Dalam perbahasan ini saya tidak menyebut keistimewaan-keistimewaan Rasulullah s.a.w yang berkaitan dengan masalah ini secara khusus. Seperti keistimewaan-keistimewaan dan akhlak mulia beliau yang termaktub dalam Hadith A’isyah r.a: “Akhlak Bagindaadalah al-Quran.” [HR. Ahmad].

Cuba anda bayangkan….

Apakah yang akan anda jangka pada seseorang yang akhlaknya seperti Al-Quran?!

Pasti yang anda akan dapati satu dada yang lapang, yang tidak memperdulikan kepentingan peribadi dan selalu menghindari akhlak buruk yang hina. Oleh sebaa itu, jika kita membincangkan akhlak mulia Rasulullah s.a.w, cacatan ringkas ini tidak cukup untuk membahasnya.

Kemudian, jika kita membincangkan akhlak Nabi s.a.w dalam masalah akhlak secara khusus, akan ada orangyang akan mengatakan, “Ini adalah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menghilangkan segala gangguan syaitan daripadanya ketika Baginda s.a.w masih kecil dan menyusu di Bani Saad. Allah s.w.t telah mengeluarkan segumpal darah daripada tubuhnya dalam peristiwa dada Baginda dibelah. Selepas peristiwa tersebut, dada Baginda dibelah lagi untuk kedua kalinya dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Jantung Baginda telah dicuci dengan Air Zam-Zam dalam bejana emas sehingga benar-benar disucikan. Oleh itu, seseorang yang darjatnya seperti ini, tidak diragukan bahawa dia menjadi manusia yang paling banyak sifat santunnya, dan paling baik hatinya.”

Seseorang itu akan berdalih dengan hal ini lalu mengatakan lagi: “Itu adalah Rasulullah s.a.w., seseorang yang telah disucikan oleh Allah s.w.t. sedemikian rupa. Jadi, siapakah kita kalau mahu dibandingkan dengan Baginda s.a.w?”

Oleh kerana itu, saya juga membawa contoh daripada kehidupan manusia biasa, iaitu para ulama’ kita yang soleh (salafus soleh), – semoga Allah s.w.t meredhai mereka – dalam beberapa bidang kehidupan. Ini agar seseorang tidak boleh lagi menyangkal dengan apa-apa hujjah pun.

Maksud daripada perbincangan ini adalah untuk mengubati dan memperbaiki jiwa kita serta memutuskan tipu daya syaitan terhadap diri kita. Tetapi saya juga membawa beberapa contoh daripada kehidupan Rasulullah s.a.w pada beberapa keadaan tertentu.

KENAPA DEMIKIAN?!

Ini kerana jika contoh ini terjadi kepada orang lain, bukan Rasulullah s.a.w, pasti akan ada orang yang jiwanya masih terkesan dengan perangai jahiliyah akan membantahnya. Atau jika contoh yang diberi itu bukan Rasulullah pula, dia akan berani mengejek dan mencelanya pula, seperti yang akan dapat dilihat pada contoh-contoh dalam perbahasan ini.

Cuba uji diri anda ketika anda berbeza pendapat dengan sesuatu kaum pada suatu masalah ilmiah dalam hal akidah di mana mereka orang-orang yang suka menurut hawa nafsu, sering melakukan perkara bid’ah dan kesesatan.

Mengikut akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, jika seseorang telah hilang iman dari hatinya, maka kita tidak perlu berwala’ (memberikan kesetiaan) kepada mereka lagi. Sebagaiman firman Allah s.w.t yang berbunyi:

{Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.} [Surah Al-Mujaadilah: 22]

Maka, orang kafir itu tidak perlu diberi wala’. Adapun seseorang yang menggabungkan antara amal baik dan buruk maka perkara itu termasuk dalam kategori syubhat seperti perbuatan bid’ah dan kesesatan atau pada masalah syahwat seperti maksiat, maka Al-Wala’ [2] dan Al-Bara’ [3] menjadi terpecah terhadap dirinya.

Oleh itu, akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam hal ini sangat jelas. Iaitu kita mencintai seseorang sesuai mengikut ukuran keimanan dan sejauh mana ia mengikuti As-Sunnah. Kita membenci seseorang juga adalah berdasarkan kepada tahap penyimpangan, kesesatan, serta seberapa jauh ketaatannya daripada Allah s.w.t.

Kadang-kadang kita mencampur-aduk hal ini menjadi satu tanpa membezakannya sedikitpun.

Tetapi perkara ini menjadi tidak jelas apabila kita bersemuka dengan seseorang yang kita ingkari kerana telah bersikap meremehkan Allah s.w.t, baik kerana syubhat atau syahwat. Maka kita menduga bahawa kita berhak melakukan suatu tindakan syar’ie dengan alasan membela agama. Hakikatnya, kita membela diri sendiri. Barangkali sebahagian kita pernah menceroboh hak seseorang samada dengan suatu ucapan yang tidak sepatutnya atau boleh jadi kita menyakiti dan menghina maruahnya.

Apabila dia mengetahui hal ini, dia terus naik angin dan menyingsingkan lengan baju demi membela agama serta mengerahkan segala tenaga sambil meyakini bahawa ini adalah pembelaan terhadap agama, tauhid, akidah dan iman. Padahal perkara ini mungkin bukan seperti itu. Hal ini berlaku kerana dia hanya membela kepentingan peribadi, syahwat dan
dirinya.

Bersambung ke siri 2: ANTARA TOKOH-TOKOH YANG BERJIWA BESAR.


[1] Taqsir adalah melakukan sesuatu secara tidak sempurna atau banyak kekurangan.

[2] Al-Wala’ adalah kecintaan dan kesetiaan kita kepada seseorang sesuai ketaatannya kepada Allah s.w.t.

[3] Al-Bara’ adalah kebencian kita kepada seseorang yang jauh dari Allah s.w.t sesuai ukuran kejauhan itu.