TERBARU
Home / Artikel - Makalah / Seminar Siasah Syar’iyyah KIAS: Nota ucapan AAM dan Resolusi

Seminar Siasah Syar’iyyah KIAS: Nota ucapan AAM dan Resolusi

Seminar Pelaksanaan Siasah Syar’iyyah Dalam Konteks Semasa Peringkat Kebangsaan 2011 yang berlangsung pada 19 Syawwal, 1432 H bersamaan 17 September, 2011 bertempat di Dewan Besar Kompleks Balai Islam, Lundang anjuran Jabatan Al-Syariah, KIAS. Resousi ini telah dibaca oleh Al-Fadhil Ustaz Zulqarnain Hasan, Pengarah Seminar. 

Lihat: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/09/resolusi-seminar-siasah-syariyyah.html

Khulasah Pembentangan SPSS Abu Anas- 19 Syawal 1432H.

Tajuk: “Negara Berkebajikan; Dari Perspektif Siasah Syar’iyyah”.

1)       MUQADDIMAH:

بسم الله الرحمن الرحيم.

{الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ} [الحج: 41]

Maksudnya: {(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.} [Al-Haj: 41].

Lihat: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/09/khulasah-pembentangan-aam-di-seminar.html .

2)      KEPENTINGAN PELAKSANAAN SIASAH SYARIAH DALAM SEBUAH MASYARAKAT DAN NEGARA.

Perbincangan ini cuba menyentuh satu sudut penting berkenaan pelaksanaan Siasah Syar’iyyah di dalam sebuah masyarakat dan negara iaitu aspek jaminan kesejahteraan terhadap rakyat. Hal ini mustahak untuk diketengahkan ketika mana ramai di kalangan ahli sains politik, sains sosial mahupun pemimpin masyarakat mencari pelbagai pendekatan Barat untuk memelihara maruah umat dan martabat wanita daripada pelbagai bentuk penindasan dan diskriminasi.

Pendekatan yang berteraskan agama khususnya Islam seringkali diketepikan lantaran timbulnya sikap yang prejudis terhadap identiti masyarakat Islam.

3)      Pengertian Siasah Syariah;

Berasaskan kepada pengertian yang telah digunakan oleh masyarakat Arab, perkataan siasah telah digunakan oleh masyarakat Melayu dengan maksud politik, kebijaksanaan untuk mencapai sesuatu maksud, dan pengetahuan yang bersangkutan dengan hal-hal kenegaraan..

  Istilah: Pengertian Istilah Siasah Syariah:

َقَالَ ابْنُ عَقِيلٍ: السِّيَاسَةُ مَا كَانَ فِعْلا يَكُونُ مَعَهُ النَّاسُ أَقْرَبَ إلَى الصَّلاحِ، وَأَبْعَدَ عَنْ الْفَسَادِ، وَإِنْ لَمْ يَضَعْهُ الرَّسُولُ r، وَلا نَزَلَ بِهِ وَحْيٌ.

“Siasah Syar’iyyah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kemaslahatan (menurut neraca syariat Islam) dan terhindar jauh daripada kebinasaan meskipun tindakan tersebut tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu.”

4)       DEFINISI NEGARA KEBAJIKAN

i) Kebajikan menurut al-Quran: meliputi kemaslahatan dunia dan akhirat.

ii) Sebuah negara yang patuh kepada segala perintah Allah swt dan dalam masa yang sama mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama dalam pembangunan Negara.

Berpandukan Al-Quran, istilah kebajikan dibicarakan dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh, iaitu meliputi kemaslahatan dunia dan akhirat. Terdapat beberapa kalimah yang menunjukkan kepada makna ‘kebajikan’.

Kalimah tersebut ialah ‘al-khaiyr’, al-hasanah, al-birr dan al-thoiyyib. Dalam bahasa Melayu kalimah-kalimah ini diterjemahkan dengan makna ‘baik’.

Secara umumnya ia juga memberi makna ‘kebajikan’. Konsep al-khaiyr digunakan pada ayat dakwah supaya menyeru kepada kebajikan sebagaimana firman Allah:

{وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ} [آل عمران: 104] Í

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.  [Aal-Imran: 104].

{وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ} [البقرة: 201] 

Maksudnya: Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”[Al-Baqarah: 201].

 :Kesimpulannya, ‘Negara Berkebajikan’ bolehlah didefinisikan sebagai

“Sebuah negara yang patuh terhadap segala perintah Allah swt dan dalam masa yang sama mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama dalam pembangunan negara di samping tidak melupakan tugas amar makruf dan nahi mungkar.”

5)      CIRI-CIRI NEGARA BERKEBAJIKAN

  • ·Mencangkupi urusan hubungan manusia sesama manusia secara adil,
  • ·Hubungan manusia dengan tuhannya.
  • ·Melaksanakan amar ma’ruf, nahi munkar.
  • ·Iktibar & pengajaran  dalam al-quran,  as-sunnah dan sejarah islam.
  • ·Melaksanakan kebajikan – amal soleh, berakhlak, kekuatan, keupayaan mentadbir.
  • ·Rakyat dan pemerintah berlumba melakukan kebajikan
  • ·Memastikan keperluan asas rakyat dinikmati tanpa kecuali
  • ·Mengelak perebutan peluang di antara rakyat dan kerajaan
  • ·Mengutamakan pembangunan akhlak dan jati diri
  • ·Menjadikan kepelbagaian adat budaya dan agama sebagai pemangnkin keharmonian rakyat dan asas kekuatan negara
  • ·Memastikan imbangan kuasa pemerintah.

6)      PRINSIP SIASAH SYARIAH

Apa yang dimaksudkan sebagai prinsip Siasah Syar’iyyah ialah perkara yang benar-benar bersifat dasar dan pokok serta menonjolkan identiti wajib bagi Siasah Syar’iyyah, kerana prinsiplah yang dapat menonjolkan perbezaan antara Siasah Syar’iyyah dengan siasah yang lain. Para pengkaji politik Islam berbeza pandangan dalam menyenaraikan bilangan atau jumlah prinsip. 7

Prinsip Siasah Syar’iyyah yang ingin dikemukakan di sini ialah:

i. Prinsip hakimiyyah bagi Allah, yang membawa kepada kedaulatan Syariat Islam.

ii. Prinsip menunaikan amanah dan tanggungjawab (mas’uliyyah)

iii. Prinsip ketaatan, yang mewajibkan rakyat mentaati pemimpin dalam kerangka ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

iv. Prinsip mewujudkan dasar syura.

v. Prinsip mempertahankan keadilan dan menggarap persamaan yang akan memberikan jaminan dan perlindungan hak rakyat dalam segenap aspek.

7)      MAQASID (OBJEKTIF) SIASAH SYARIAH

Terdapat beberapa pandangan yang sering diketengahkan dalam menyenaraikan Maqasid Siasah Syar’iyyah atau matlamat kepimpinan politik dan pentadbiran negara mengikut acuan syariat Islam ini.

Antaranya ialah sebagaimana yang digariskan oleh Abd al-Wahhab Khallaf iaitu:

i. Memandu pentadbiran negara supaya selaras dengan kehendak Islam.

ii. Menjamin seluruh kepentingan dan kemaslahatan rakyat di sepanjang masa dan tempat.

iii. Menjadikan Islam sebagai sistem yang relevan dalam pentadbiran negara.

Seiring dengan maqasid syariah yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan kepada orang ramai dan menolak kemudharatan daripada mereka, maka Maqasid Siasah Syar’iyyah pula bertujuan untuk memastikan bahawa kemaslahatan itu benar-benar terjamin dan kemudharatan dapat dielakkan melalui kuasa politik dan pentadbiran, kehakiman dan undangundang.

Di dalam urusan pentadbiran negara dan ummah, setiap keputusan dan tindakan pemerintah yang berdasarkan Siasah Syar‘iyyah hendaklah sentiasa mengambil kira prinsip yang digariskan oleh kaedah fiqhiyyah yang menegaskan:

تَصُرُّفُ الإمَامِ عَلى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindak tanduk Imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah

didasarkan kepada maslahah”

  • Maka menjadi kewajipan kepada pemerintah menjadikan objektif umum syariah (المقاصد العامة للشريعة) sebagai asas dalam pentadbiran negara berkebajikan.
  • Pemerintahan yang berlawanan dengan prinsip islam pastilah tidak akan dapat menjaga dan memenuhi hajat serta kebajikan manusia untuk kesejahteraan dunia dan akhirat mereka.

 Berkata Ibn Al-Qayyim rh:

“Syariah Islam dibina atas asas hikmah kebijaksanaan, kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat. Syariat semuanya adil, maslahah, hikmah. Maka semua perkara yang keluar dari batasan keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada lawannya, dari maslahah kepada mafsadah, hikmah kepada pekerjaan sia-sia, maka ia bukanlah dari Syariat Islam walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwil”.

Syariah Islam dibina dengan asas untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan:

(Jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid) – (جلب المصالح ودرء المفاسد).

Di samping penekanan terhadap pemeliharaan agama sebagai asas, Ibn Hazm dalam kitabnya ‘Al-Muhalla’ juga manegaskan bahawa pihak kerajaan wajib menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan melakukan beberapa perkara. Antaranya:

  1. Memastikan rakyatnya mendapat makanan, pakaian dan minuman yang sempurna.
  2. Memastikan rakyat mendapat pendidikan yang sempurna.
  3. Menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat bila dituntut.
  4. Memelihara keselamatan nyawa, harta dan kehormatan rakyat.
  5. Menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat

KESIMPULAN/PENUTUP:

Hakikatnya, ‘Negara Berkebajikan’ telah wujud semenjak wujudnya negara Islam Madinah lagi, bahkan ianya telah dipraktikkan sendiri di zaman para Nabi sebelum Rasulullah s.a.w. Konsep mengenai ‘Negara Berkebajikan’ yang sukar dijelaskan oleh ahli-ahli ekonomi moden hingga kini sebenarnya telah jelas dalam Syariah Islam.

Konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang dibincangkan di atas sebenarnya selaras dengan konsep sebuah Negara Islam yang telah dilaksanakan di zaman kegemilangan Islam dahulu. Keadilan dan  kesaksamaan yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w, Khulafa’ al-Rasyidin, Khalifah Umar Abdul Aziz dan lainnya menjadi bukti sejarah bahawa Negara Islam adalah merupakan negara yang berlandaskan ‘Negara Berkebajikan’. WALLAHU A’LAM.

Akhukum,

Abu Anas Madani. PSD. 19 Syawwal 1432H -17 Sep 2011.

http://www.abuanasmadani.com/

http://abuanasmadani.blogspot.com/

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...