SUNNAH PERKAHWINAN

  SALAH FAHAM TERHADAP SUNNAH PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim

      Perkahwinan adalah suatu sebutan yang manis di kalangan para “Syabab dan Akhawat” kerana ini adalah “ Sunnatul Hayah” yang telah di tentukan oleh Allah swt kepada Bani Adam dan Banat Hawwa. Ianya menjadi impian setiap Syabab dan Akhawat bahkan mereka yang telahpun merasai nikmat perkahwinan juga tidak ketinggalan. Tetapi mengapa kita merasa takut dan gerun apabila berbincang tentang perkahwinan atau ‘Az-Zawaj’ secara serius sama ada dengan keluarga atau kawan.  Bahkan kita cuba berdolak dalih dengan berbagai alasan yang dibuat-buat untuk mengelakkan diri dari ‘alam perkahwinan’, sunnah yang di ajar oleh penghulu anak Adam alaihissolatu wassalam. Sedangkan kitalah orang yang paling lantang apabila berbual dengan kawan-kawan tentang perkahwinan.

     Para pelajar samada siswa atau siswi dan golongan muda-mudi yang hidup dalam masyarakat yang terbuka, terdedah kepada maksiat yang boleh didapati dengan mudah dan senang – kecuali mereka yang di pelihara oleh Allah – adalah golongan yang suka beralasan dan berdolak dalih untuk melarikan diri dari sunnah ini.

     Antara alasan atau hujjah yang mereka berikan ialah takut mengganggu pelajaran,  mahu enjoy dulu masa muda, buat menyusahkan diri dengan tanggungjawab dan ‘mas-uliah’ rumah tangga, takut terikat lalu tidak boleh lagi melakukan apa yang dihajat oleh orang-orang muda dan berbagai alasan lagi dicipta untuk melepaskan diri mereka dari sunnatul hayah yang menjadi tuntutan naluri atau fitrah insaniah  manusia yang sejahtera dan bersumberkan wahyu serta tidak di nodai oleh nafsu syaitan.

Beberapa tahun dahulu, satu muktamar antarabangsa telah diadakan di Kaherah, Mesir, iaitu ‘Muktamar al-Iskan  wa at-Tamiah’ (Muktamar Populasi dan Kemajuan) secara terang telah menolak ‘Fitrah Insaniah as-Salimah’. Antara resolusi muktamar itu ialah menggalakkan pengguguran dan membuka peluang seluas-seluasnya untuk zina, homoseks dan lain-lain. Sebaliknya pula mereka mengecam perkahwinan awal atau perkahwinan di usia muda, sedangkan pada waktu itulah tuntutan nafsu begitu tinggi sekali dan godaan pula terlalu banyak lebih-lebih lagi golongan muda mudi yang berada di dalam masyarakat yang terbuka dari segenap sudut serta pergaulan bebas yang tiada batas.

     Amat tepat sekali anggapan beberapa orang ulama’ yang mengatakan muktamar itu sebenarnya muktamar ‘Hayawani’ bukan insani apalagi Islami kerana ia secara jelas telah melanggar fitrah manusia yang telah tentukan oleh Allah swt.  Begitu juga dengan pergerakan pembebasan wanita, ‘Women Lib’s’ yang berusaha untuk membebaskan wanita dari fitrah mereka yang dijadikan oleh Allah swt. Bermula dengan merubah pakaian kaum wanita dari pakaian menutup aurat yang sempurna dan penuh sopan kepada yang mededahkan aurat yang diharamkan oleh Allah swt. Seterusnya menggalakkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah swt sehinggakan pada zaman mutakhir ini, di negara ini sendiri, kita tidak lagi dapat membezakan di antara muslimat dan non-muslimat, semuanya terbuka dan terdedah, kecuali apabila merujuk kad pengenalan mereka, tetapi golongan lelaki pula sebaliknya diajar supaya berpakaian kemas dan lengkap!!! Golongan ini juga berusaha untuk menyamakan wanita dan  lelaki dengan pelbagai alasan.

    Tentunya sebagai pemuda pemudi Islam yang beriman dengan Allah dan berasulkan Nabi Muhammad saw, marilah kita kembali kepada fitrah yang diwahyukan kepada Nabi  saw  kerana inilah sahaja jalan yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat kerana “Al-maasi barlidul Kufr” iaitu maksiat ialah jalan yang membawa kepada kekufuran. Sesungguhnya perkahwinan merupakan ‘hasonah’ atau benteng yang kukuh untuk menyelamatkan kita dari maksiat, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

Wahai golongan pemuda sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu hendaklah ia berkahwin kerana ianya boleh menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan hendaklah ia berpuasa kerana puasa memjadi pelindung kepadanya”. [HR Al-Bukhari]

  Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

 Apabila seorang hamba telah berkahwin ia telah menyempurnakan setengah dari agamanya maka hendaklah ia bertakwa untuk yang setengah lagi[HR Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab, dinilai “Hasan” dalam Sahih Al-Jami’]

    Terdapat banyak lagi hadis-hadis serta taujihaad-taujihaad dan irsyadaat-irsyadaat (bimbingan) dari Rasullulah saw kepada umatnya tentang kelebihan berkahwin. 

            Faedah Berkahwin:

Seterusnya sama-sama kita melihat faedah “Az-zawaj” secara ringkas seperti yang disebutkan oleh para ulama di antaranya As Syeikh Muhammad Ali Assobuni dalam kitabnya Az-zawaj al-Islami Al-Mubakkir [ms: 38], Perkahwinan Awal secara Islami, antaranya:

1)      Mengekalkan keturunan.

2)      Memelihara diri dari godaan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Aku tidak tinggalkan suatu fitnah yang paling mudharat kepada kaum lelaki selain dari fitnah perempuan”. [HR Al-Bukhari].

Kata setengah ulama’ syaitan berkata kepada perempuan: Kamu adalah setengah daripada tenteraku, kamu adalah anak panahku yang tidak pernah salah sasarannya.

3)      Mendapat ketenangan dan kerehatan seorang suami apabila berada di samping isteri yang baik serta toma’ninah dalam kehidupan berumahtangga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Aku khabarkan kepada kamu apakah perkara paling baik yang dimiliki oleh seorang itu? Iaitu isteri yang solehah apabila ia melihat kepadanya menyenangkan hatinya, apabila disuruh membuat sesuatu pekerjaan dipatuhinya dan apabila ia keluar dari rumah ia memelihara dirinya.” [HR Al-Hakim, dinilai “Dhaif” dalam Dhaif al-Jami’].

4)      Melapangkan diri dari kerja-kerja rumah yang memberi peluang kepadanya untuk menumpukan kepada kerja-kerja yang lebih besar, berjihad, berdakwah dan lain-lainnya.

5)      Mujahadatun-Nafs serta melatih diri dengan tanggungjawab terhadap rumahtangga, isteri dan anak-anak. Bersabar menanggung kesusahan dan berusaha untuk membentuk dan mendidik mereka ke jalan yang betul. Sayyidina Umar Al Khattab ra berkata, maksudnya: “Tidak ada perkara yang dapat menyekat seseorang itu dari berkahwin kecuali ia tidak berkemampuan (zahir dan batin) atau ia seorang yang Fajir (orang yang suka melepaskan nafsu ke tempat-tempat yang haram).”

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ibadat dan Qurbah, seorang mukmin akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah apabila mengikhlaskan niat perkahwinannya dengan tujuan untuk memelihara diri dari perkara yang haram, bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja.

Nasihat untuk para pelajar:

Tetapi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seorang pelajar terlebih dahulu hendaklah mengkaji keadaan atau zuruf yang sesuai. Sebagai pelajar adalah perlu mengambil kira masa dan tempat belajar, agar ianya tidak mengganggu proses pembelajaran dan ‘tahsilul ilmi’ yang bermanfaat. Serta jangan menjadikannya suatu alasan untuk melarikan diri dari tanggungjawab seperti mereka yang disebutkan pada awal perbincangan tadi. Jangan kerananya kita berada di dalam masyarakat yang hidup liar dan bebas kerana sudah pasti perkahwinan merupakan suatu wasilah untuk menyelamatkan diri dari terjerumus ke lembah maksiat. 

Mereka yang telah melaksanakan sunnah ini hendaklah bersabar dalam menghadapi karenah pasangan masing-masing. Bagi yang hidup berjauhan pula, bersabarlah atas perpisahan yang sementara ini, jangan kerana suami/isteri kita mengabai dan meninggalkan pelajaran. Manakala seorang pendakwah pula hendaklah lebih gigih lagi dalam kerja dakwahnya, jangan menjadi orang yang gugur (al-mutasaqit) dari medan dakwah kerana sayang untuk meninggalkan isteri.

 Allah swt telah mengingatkan kita melalui firmannya yang bermaksud:

{Wahai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri mu dan anak-anak mu ada yang menjadi musuh bagi mu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka, dan jika kamu maafkan, tidak memarahi dan mengampunkan (mereka) sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya harta mu dan anak-anak mu hanyalah cubaan fitnah bagimu dan di sisi Allah pahala yang besar.} [At-Taghabun: 14-15].

 

Akhirnya sentiasalah kita berdoa dengan doa yang di ajar oleh Allah:

ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما.

 

Dan doa yang di ajar oleh Abdullah Bin Mas ‘ud ra kepada para syabab:

أللهم أرزقني امراة إذا نظرتُ إليها سرَّتني، وإذا أمرتُها طاعتني،

وإذاغِبت عنها حفظت غيبي في نفسها ومالي.

Maksudnya: “Wahai Tuhan, rezekilah kepadaku isteri yang apabila aku memandang kepadanya akan menggembirakanku, apabila aku menyuruhnya (melakukan sesuatu) dia akan taat kepadaku, apabila aku tidak ada dia akan menjaga kehormatan dirinya dan hartaku”.

Sekian. Akhukum: Abu Anas Madani, 04-02-2009.

[Sumber: Majalah “Suara Madinah” 1415H-1994].

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *