TERBARU
Home / Artikel - Makalah / Rehlah al-Haj 1430H (3)

Rehlah al-Haj 1430H (3)

Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia diletakkan di perkhemahan Muaisim yang jaraknya hampir 3km daripada jamrah (tempat melontar).

Rombongan kami ditempatkan di Maktab 85, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan disekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP), ditempatkan dekat dengan jamrah. Ada juga yang tinggal di Wadi Muhassir, hujung Muzdalifah tetapi masih dianggap sebagai Mina???

Kami yang tinggal di perkhemahan ini, disediakan makanan secara bungkus sebanyak tiga kali sehari, nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada  bilik air), bolehlah untuk menghalau lapar, alhamdulillah. Pakej yang lebih mahal, sedikit istimewa dengan hidangan buffet, tetapi makanan hampir sama juga.

Lelaki dan perempuan dikhemah yang berasingan, diberikan tilam kecil  sebuah seorang, seelok-elok muat badan, seperti liang-lahad, sebagai peringatan kepada kematian. Suasana tidaklah begitu sesak sangat, kerana terdapat ramai jemaah yang berulang alik pulang ke Makkah untuk menunaikan tawaf dan saei masing-masing.

Yang menjadi sedikit masalah, memerlukan kesabaran dan ketahanan yang amat tinggi ialah tentang bilik air dan tandas. Bilangan yang amat sedikit berbanding dengan jemaah yang amat ramai, satu maktab yang yang terdiri lebih daripada 2000 orang jemaah, hanya disediakan 40 buah lebih tandas sahaja. Purata masa yang diperlukan jika waktu subuh, hampir atau lebih dari sejam beratur untuk menunggunya. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita, nak beratur lagi, nak jaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka). Tambahan lagi orang melayu ini tidak faham-faham, dalam keadaan yang begini terdesak pun, masih sentiasa hendak mandi, tidak hanya menyelesaikan hajat-hajat yang wajib sahaja! Setelah selesai solat nanti pergilah mandi.

Jemaah haji yang berada di Mina diminta supaya solat jamak yang tamam (tanpa qasar) dengan alasan darurat susah mendapatkan air, sedangkan jika mengikut sunnah Nabi saw, Baginda melakukan solat qasar tanpa jamak, bererti setiap solat dilakukan dalam waktunya sendiri.

Aktiviti ibadat lain, mengikut kerajinan dan keaktifan ustaz pembimbing masing-masing. Ada yang meriah dengan ceramah dan tazkirah, ada yang senyap sahaja. Alhamdulillah kami rombongan Ash-Har, sentiasa mengadakan tazkirah setiap selepas solat jamaah, dan ceramah sejarah Mina dan hikmat bermabit (bermalam) & melontar di adakan setiap hari, begitu juga taklimat dan penerangan bagi setiap aktivit yang akan dilakukan seperti melontar dan lain-lain.

Jemaah Malaysia diberi arahan oleh Muassasah keluar melontar selepas asar / maghrib, kami pun keluar berjalan kaki beramai-ramai ke jamrah (tempat melontar). Bagi sesiapa yang mahu melontar secara persendirian, pada waktu selain tadi, boleh pergi, tetapi tidak dibenarkan membawa bendera negara kerana tidak mahu nampak bercanggah dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Muassasah.

Alhamdulillah dengan pembesaran yang begitu canggih dan sistematik, laluan kami terus naik ke tingkat satu, tanpa menghadapi kesesakan dan kekacauan. Ianya amat bersih dan selesa, tanpa ada hujaj-hujaj yang tidur di tepi-tepi jalan lagi, bahkan untuk menunggu pun tidak boleh, akan dihalau oleh polis petugas.

Setelah dua malam berada di Mina, ahli rombongan kami diberi pilihan samada untuk melakukan nafar awal (balik dulu ke Makkah, selesaikan amalan haji di Mina) ataupun memilih untuk menyempurnakan mabit tiga malam di Mina dan melakukan nafar thani. Setengah jemaah melakukan nafar awal, sebahagian lagi melakukan nafar thani bersama ustaz. Ini berpandukan hukum kelonggaran yang diberikan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:

] وَاذْكُرُوا اللهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ، فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ، وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى، وَاتَّقُوا اللهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ [ [البقرة: 203]

 Maksudnya: “Dan berzikirlah*** (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang [a] barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya”. [Al-Baqarah: 203]

[***]  maksud zikir di sini ialah membaca takbir, tasbih, tahmid, talbiah dan sebagainya. beberapa hari yang berbilang ialah tiga hari sesudah hari raya haji iaitu tanggal 11, 12, dan 13 bulan Zulhijjah. hari-hari itu dinamakan hari-hari tasyriq.

Tetapi yang menyedihkan terdapat sesetengah ustaz / pakej, yang tidak membenarkan jemaahnya melakukan nafar awal, dengan salah menafsirkan ayat ini. Janganlah kerana kepentingan pihak tertentu, kita menafsirkan ayat al-Quran mengikut kehendak kita, kononnya “bagi orang yang bertakwa” itu merujuk kepada golongan yang melakukan nafar thani. Jadi golongan nafar awal tidak  bertaqwa kah?!!!

Maksud sebenarnya, ayat ini merujuk kepada kdua-dua golongan yang telah melakukan haji dengan penuh ketaqwaan, wallahu a’lam.

 

 

 

Pada hari ke tiga belas, semua jemaah haji pulang ke Makkah, yang belum tawaf dan saei haji lagi, menyempurnakan tawaf dan saei mereka.

Setelah berehat beberapa hari, mereka mula aktif melakukan umrah semula, berulang-ulang kali.

Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab, kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah saw dan para sahabat Baginda yang selepasnya juga.

Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah ra untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah saw, maka ini menjadi asas hukum bahawa ianya boleh dilakukan.

Setelah selesai haji, kami sempat membawa para jemaah melawat ke beberapa tempat bersejarah seperti kaki Bukit Hira’, Jabal Nur, Perkuburan Ma’la dan sebagainya untuk pengetahuan dan peringatan.

Selepas dua minggu kami pun berangkat ke Madinah. Di sini jemaah Malaysia juga kuat beribadat di Masjid Nabi, Raudhah.dan menziarahi makam Rasulullah saw. Mereka juga dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah di Madinah, Kota Rasulullah yang bercahaya ini.

Semoga solat jamaah 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabi itu menjadi asas untuk mereka terus beristiqamah melakukannya sekembali ke tanah air. Amatlah rugi jika ibadat ini hanya menjadi rutin dan amalan semasa di Tanah Suci sahaja, balik ke rumah tidak kenal lagi masjid dan surau. Begitu juga bagi jemaah perempuan, bila sudah terbang balik ke Malaysia, tudung dan pakaian yang menutup aurat juga turut terbang darinya. Jika di Makkah / Madinah mereka sentiasa bertudung rapi bahkan ada yang bertelekung sembahyang 24 jam sehari, kenapalah tidak sanggup untuk menutup aurat yang wajib sekembalinya ke rumah?

Di antara tanda-tanda haji mabrur itu ialah amalan selepas haji adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Jika dulu tidak solat, selepas haji sudah tetap solatnya bahkan berjemaah di masjid, jika dulu tidak kemas tudungnya, selepas haji auratnya tertutup rapi dan kemas, alhamdulillah.

Akhirnya tibalah masa untuk meninggalkan Tanah Haram, pada waktu petang hari keberangkatan kami ke Jeddah , hujan turun dengan lebatnya, semua bas-bas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan, kami berhenti seketika. Apabila hujan agak reda, barulah bas dibenarkan berjalan, tetapi diiringi oleh kereta-kereta syarikat bas dari depan (untuk menjaga agar bas tidak laju dan membahayakan). Kereta ini bersama kami sehinggalah setengah perjalanan ke Jeddah, apabila cuaca semakin baik dan kering barulah bas dilepaskan pergi sendiri.

Setibanya di Jeddah, hujan amat lebat sekali pada malam itu, semua jalan-jalan utama ditutup, bahkan jalan utama dari airport ke Makkah pun sudah ditutup. Kami semua amat cemas dan takut, mengingatkan banjir kilat sebelum haji di Jeddah baru-baru ini yang telah meragut nyawa lebih dari 100 orang mangsa, ianya belaku setelah hujan lebat begini. Bas kami mulai mengharungi air sedalam separuh tayar bas, para jemaah senyap-sunyi dari percakapan lain, yang kedengaran hanyalah alunan ayat-ayat al-Quran, zikir, munajat serta doa, semoga Allah membantu kami.

Pemandu bas tidak tahu lagi ke mana hendak pergi, ana yang biasa di sini pun mulai berasa panik. Tetapi alhamdulillah ketika di sebuah stesen minyak, muncul tiga orang pemuda Arab yang sanggup menunjukkan arah jalan kepada bas kami, dengan janji upah SR20.00. Tiba di separuh jalan, mereka meminta dinaikkan bayaran kepada SR100 ana menyanggupi sahaja permintaan mereka itu, memandangkan tanpa pertolongan mereka, kami tidak akan sampai ke mana, lagipun khidmat mereka itu juga amat mencabar dan membahayakan, memandu kereta kecil dalam hujan lebat, meredah air yang dalam dan deras mencari jalan yang dapat dilalui oleh bas kami untuk sampai ke destinasi yang dituju!!

Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke hostel jemaah haji Malaysia di bangunan airport lama (Mator Qadim) yang disediakan untuk para jemaah haji di Jeddah sebelum berangkat pulang ke tanah air masing-masing.

Setelah semalam berada di Jeddah, kami berangkat balik dengan penerbangan biasa (commercial flight) MH151 ke KLIA.

Solat hormat waktu.

Dalam perjalanan kami terpaksa menunaikan solat subuh di atas flight. Jemaah kami melakukan solat secara sempurna, bahkan berjemaah 4-5 orang, setakat muat ruang yang ada. Yang lain lagi hanya melakukan solat hormat waktu sahaja (tanpa wuduk dan berdiri (qiyam), cuma niat solat sambil duduk di atas kerusi sahaja). Bila ditanya, mereka menjawab begitulah kursus ibadat yang kami lakukan.

Ana minta supaya para pengkursus dan pihak yang bertanggungjawab, muraja’ah balik masalah ini, jangan terlalu bermudah-mudah dengan solat yang sangat besar kedudukannya di sisi Allah, nanti tuan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Alhamdulillah, 24 Dec 2009 selamat sampai ke Pondok Sungai Durian.

 Semoga Allah menerima semua amal yang dilakukan, hajjan mabrura wa zanban maghfura, memberikan kita semua taufik dan hidayah-Nya agar terus berada di atas landasan yang benar, beramal dengan amalan yang diredhai-Nya dan mengikut sunnah Nabi saw.

Akhukum, Abu Anas Madani.

 

 

 

About admin

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...