Motivasi HOSPIS & Doa

Pada hari Sabtu 17 April 2010, Persatuan Hospis Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu telah mengadakan MESYUARAT AGONG PERSATUAN HOSPIS KELANTAN DI HOSPITAL RAJA PEREMPUAN ZAINAB11 KOTA BHARU KELANTAN bertempat di Dewan Serbaguna HRPZII

Abu Anas telah diundang untuk memberikan satu ceramah motivasi dan pemberi semangat kepada Pegawai Perubatan, Paramedik dan NGO juga para pesakit yang hadir dalam majlis tersebut.

Persatuan HOSPIS ini ditubuhkan bertujuan membantu pesakit-pesakit kanser yang tiada harapan untuk sembuh dan memerlukan perhatian serta penjagaan yang berkualiti oleh keluarga dan masyarakat. HOSPIS Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991, manakala Persatuan Hospis Kelantan telah didaftarkan pada1997. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang HOSPIS sila hubungi (09-7482256) cari dalam internet.

Ana telah mengulas tentang istilah pesakit-pesakit yang tiada harapan untuk sembuh dan mencadangkan agar kita menggunakan istilah yang lebih lunak dan tidak bertentangan dengan perspektif Islam, iaitu pesakit-pesakit yang agak sukar untuk sembuh. Ini kerana kita seolah-olah telah berputus asa dan berputus harapan terhadap rahmat dan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemberi Rahmat. Insya’Allah jika dikehendaki-Nya segalanya mungkin. Berapa ramai orang sakit yang kita ketahui, tiba-tiba dengan kehendak Allah swt sembuh, dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Istilah ini mungkin sesuai bagi non-muslim yang tidak bertuhankan Allah, tetapi tidak bagi kita orang muslim yang mukmin. Ingatlah firman Allah SWT:

((وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ))

Maksudnya: {Dan apabila aku sakit, Dia (Allah) lah yang menyembuhkan aku}. [Asy-Syu’ara’: 80].

Sabda Rasulullah S.A.W.

((يَا عِبَادَ اللهِ تَدَاوَوْا؛ فَإِنَّ اللهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً، -أَوْ قَالَ-: دَوَاءً، إِلا دَاءً وَاحِدًا.

قَالُوا يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا هُوَ؟ قَالَ: الْهَرَمُ))

Maksudnya: ((Wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit kecuali dijadikan penawar/ubat baginya, kecuali satu sahaja! Sahabat bertanya: Apakah ia ya Rasulullah? Baginda bersabda: Penyakit tua)).[HR At-Tirmizi]

Kepada pesakit yang diuji oleh Allah SWT, bersabarlah dan banyakan berdoa dan bermunajat kepada Allah Subahanahu wa Taala. Mudah-mudahan dengan kuasa-Nya yang tidak dapat ditahan oleh sesuatu pun, akan termakbul. Di antara doa yang diajar oleh Rasulullah saw:

((أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا))

Maksudnya: “Hapuskanlah penyakit hambaMu ini wahai Tuhan sekelian manusia! Sembuhkanlah, hanya Engkau sahaja yang dapat menyembuhkan. Tiada kesembuhan melainkan kesembuhan yang Engkau kurniakan, iaitu kesembuhan dari segala penyakit.” [HR Bukhari].

Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit.
“Letak tangan di tempat sakit kemudian baca: بسم الله “Bismillah” tiga kali dan baca tujuh kali:

أَعُوْذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وأُحَاذِرُ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti”. [HR Muslim]. (Untuk keterangan lanjut doa-doa daripada Nabi saw, sila rujuk buku “Perisai Muslim”)

Terima kasih kepada Akhi Dr. Zaidi dan Dr. Imi Sairi bin Haji Abdul Hadi pakar bedah di HRPZII yang telah memberi peluang kepada ana mengenali secara dekat HOSPIS ini, berkongsi maklumat dan pengalaman tentangnya.

Pada hari itu juga ana berpeluang menemui beberapa orang pesakit ahli HOSPIS ini, berkenalan dan mendengar cerita serta pengalaman yang dilalui mereka. Betapa menginsafkan dan kita wajib bersyukur atas nikmat kesihatan dan tubuh badan yang sempurna yang Allah kurniakan, atau pinjamkan untuk kita buat sementara waktu ini. Semua ini boleh hilang dalam sekelip mata tanpa dapat dijangka walaupun sebanyak mana persediaan dan penjagaan yang kita lakukan.

Sabda Nabi SAW:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: Dua nikmat yang Allah kurniakan, ramai orang yang kerugian (tidak menggunakannya) dengan sebaik mungkin; kesihatan dan kelapangan. [HR: Bukhari].

Sekian.