Keajaiban Kayu Kokka

19
Dis
2009
Posted by: Abu Anas Madani  /   Category: Artikel - Makalah / TULISAN   /   Tiada Komen

Kokka yang ajaib

“Adik, kat mana saya nak beli tasbih Kokka?”
“Ustaz ada orang pesan saya kayu Kokkalah, sini murah tak?”
“Aku dah beli dah, berkilat engkau…wangi lagi.”

Ungkapan-ungkapan begini amat sinonim bagi pengunjung Tanah Haram pada musim haji dan umrah. Para jemaah haji dan umrah yang datang dari jauh dengan membawa panji tauhid dalam talbiah mereka kadangkala turut terpukau dengan karut marut serta khurafat yang datang bersama kayu Kokka. Tajuk Berkaitan Kokka: UZAR: http://www.zaharuddin.net/content/view/514/91/.

Apakah dia kayu Kokka yang telah mencuri perhatian ramai di kala ini?

Kononnya kayu Kokka merupakan kayu yang paling tinggi mutunya antara semua kayu di atas muka bumi dan hanya terdapat di negara tertentu seperti Turki dan Mesir. Ianya telah digunakan sejak zaman nabi-nabi lagi. Bahan asas bahtera nabi Nuh adalah kayu Kokka, tongkat nabi Musa dan nabi Syuaib juga di ambil daripada kayu Kokka!!

Kini Kokka menjadi buruan orang ramai di Malaysia. Ia boleh di dapati di kedai-kedai yang menjual buku agama, minyak atar dan kaset agama dalam pelbagai bentuk seperti loket, mata cincin, cincin belah rotan, untaian tasbih ataupun butiran tasbih bahkan krim dan minyak.

Antara khasiat dan keajaiban yang dihebah-hebahkan ialah ia boleh menjadi penawar, penyembuh dan pelindung. Lebih melampau dari itu terdapat kisah-kisah pelik dan ajaib yang terang-terang merupakan cerita yang direka-reka bagi melariskan barangan ataupun mainan serta tipu daya syaitan yang berbentuk khayalan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyesatkan orang beriman serta melalaikan mereka dari bergantung serta bermohon kepada Allah.

Dalil bahawa ianya tipu daya syaitan ialah satu athar (riwayat) daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawasanya dia memotong pintalan tali yang telah dijampi yang dipakai oleh isterinya. Lalu isterinya berkata, “Mataku sakit, sekiranya aku mengenakan jampi aku merasa lega dan jika aku tinggalkannya sakitku menyeksa.” Ibnu Mas’ud menjawab, “Yang sebenarnya ini adalah kerja syaitan. Sekiranya engkau mengingkarinya ia menyakitkanmu dan jika engkau taatinya ia membiarkanmu”. [lihat Sunan Ibn Majah (no.3530].

Persoalan yang kita bincangkan ini melibatkan kepercayaan dalam soal agama. Perkara agama mestilah berpaksikan dalil yang sahih untuk diamalkan. Dalil dalam perkara agama mestilah dari Quran, hadith yang sahih dan hasan, serta ijmak. Jika tidak amalan hanya akan menjadi sia-sia dan mungkin mengundang dosa sahaja.

Justeru, kita wajib percaya bahawa nabi Nuh alaihissalam membina bahtera kerana ia disebut oleh al-Quran dan hadith. Kedua-duanya adalah asas yang sahih. Namun tidak pula disebut di dalam kedua-duanya bahawa bahtera itu daripada Kokka!! Jadi bagaimanakah dapat kita mengetahui bahawa ianya daripada Kokka?

Sumber cerita Israiliyyat (jikalau ada) ia hanyalah khabar dan bukanlah hujah yang membolehkan kita memakai Kokka untuk berlindung daripada bala atau musuh serta makhluk halus sebagaimana terdapat dalam kisah ajaib kayu Kokka.

Seterusnya, kalaulah benar kayu Kokka adalah bahan bahtera nabi Nuh, siapakah yang pernah melihat bahtera tersebut ataupun menjumpainya? Ataupun sekurang-kurangnya serpihan bahtera baginda untuk kita katakan sebagai sumber arkeologi.

Menurut sesetengah orang bahwa bahtera nabi Nuh daripada kayu pine. Ini adalah nas Taurat. [Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah (1/124), lihat juga Torakh: Genesis chapter 6:14, kayu itu disebut sebagai gopher wood. Penafsir Injil menyatakannya sebagai pokok cypruss. Lihat (www.keyway.com)]

Begitulah halnya dengan tongkat nabi Musa dan nabi Syuaib alaihimassalam. Bahkan Imam Abdur Razzaq telah menukilkan di dalam tafsirnya bahawa al-Kalby (seorang perawi yang dhaif) telah berkata, “Tongkat nabi Musa diperbuat daripada kayu Ausaj” [sejenis pokok berduri dari spesis terung. Buahnya bulat dan hitam menyerupai batu aqiq. Lihat: Mu'jam al-Wasit (m.s 600)] . Begitu juga disebut oleh Imam at-Thabari dari Imam Qatadah [Lihat Tafsir as-San'ani (3/91) dan Tafsir at- Thabari (20/17)]

Jelaslah bahawa Israiliyyat (riwayat yang dibawa oleh ahli kitab) sendiri tidak menyebut perihal Kokka. Jadi dari mana datangnya cerita kokka?!

Kenapakah nabi Sulaiman alaihissalam tidak disebut bersama? Adakah kerana tongkat baginda telah dimakan anai-anai? (serangga perosak mungkin tidak dapat mendekati Kokka) ataupun baginda tidak tahu tentang kayu Kokka? Mustahil!!

Saya tertarik dengan hujah ringkas seorang jemaah Haji yang pintar dalam mengulas pamphlet khasiat kokka yang banyak tersebar yang menyebut (dengan izin Allah seperti yang berlaku di negeri Syam para soldadu telah memakainya dan tubuh mereka menjadi kebal…) Ujarnya: “Kalaulah Kokka ni macam yang disebut-sebut kenapa Nabi Muhammad SAW tak pakai kayu kokka semasa berperang kat Uhud. Kan senang musuh terus cabut!!”

Tiada siapa yang pernah menjumpai bahtera dan tongkat tersebut namun ramai yang tahu ianya diperbuat daripada kayu Kokka. Inilah sebenarnya keajaiban Kokka.

Mensyukuri nikmat Iman

Iman adalah nikmat Allah yang agung yang dikurniakan bagi hamba-Nya yang Dia kehendaki. Memeliharanya adalah kewajiban yang sangat penting memandangkan nilainya yang amat tinggi bahkan ia tidak ternilai. Ia mudah terhakis dari hati mukmin sekiranya dia melakukan dosa samada besar maupun kecil. Ia adalah satu-satunya barang dagangan sang insan apabila dia dihadapkan di hadapan Allah pada hari kiamat.

Oleh itu, janganlah sampai barang dagangan kita tergadai di dunia lagi dengan melakukan syirik. Sesungguhnya syirik menafikan iman dan menghapuskannya. Serta ketahuilah bahawa pintu-pintu syirik kadangkala amatlah halus dan sukar dilihat mata kasar sehingga disebut bahawa ia lebih sukar dilihat daripada kaki semut hitam yang merayap di atas batu yang legam pada malam yang amat kelam.

Mengetahui perkara-perkara yang boleh membawa kepada kesyirikan adalah penyebab yang boleh menyelamatkan kita dari bahaya syirik. Jesteru, kita hendaklah bersyukur dengan sebenar-benarnya pada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat iman serta memberikan kita ilmu yang mampu menjadi benteng pemelihara iman.

Syirik dalam ‘Kokka’

Syirik di sisi syariat Islam bermaksud meletakkan sesuatu yang merupakan hak-hak Allah yang khas bagi-Nya atau sebahagian daripada hak-hak tersebut pada yang selain dari Allah. Pendekatan menyekutukan Allah dengan yang lain pada hak-hak yang khas bagi Allah.

Antara hak Allah ialah hak mencipta, mentadbir, dan memberi rezeki. Oleh yang demikian orang yang berkata, “Rezeki saya di tangan fulan,” telah melakukan syirik kerana dia telah meletakkan hak Allah iaitu memberi rezeki pada selain dari Allah.

Firman Allah SWT bermaksud:
”(Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang mengurniakan rezeki kepadamu dari langit dan bumi dan siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan atau siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup atau siapakah yang mengatur segala urusan? Lalu mereka menjawab ‘Allah’, maka katakanlah (kepada mereka) mengapa kamu tidak bertaqwa.)” [Yunus: 31]

Antara hak Allah yang lain ialah sifat Allah, perbuatan-Nya serta nama-Nya. Semuanya adalah khusus bagi Allah dan tidak boleh dibandingkan dengan makhluk. Maka kita tidak boleh mengatakan Allah mempunyai tangan seperti tangan kita, Allah melihat sebagaimana penglihatan makhluk ataupun kita menamakan anak dengan nama Allah. Semua yang di atas adalah kufur dan syirik yang mesti di jauhi.

Firman Allah yang bermaksud:
”(Tiada sesuatu yang menyerupai dengan-Nya (Allah) dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.) [Syura: 11]

Syirik yang berlaku dalam penggunaan Kokka dan seumpamanya seperti tangkal, pendinding, tulang duyong adalah syirik dalam ibadat. Ibadat adalah hak Allah yang khas baginya.

Mungkin orang yang menggunakan Kokka akan berkata, “Saya tak sembah selain daripada Allah! Saya sembahyang lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji…semuanya kerana Allah. Bagaimana dengan hanya memakai kayu Kokka kamu kata saya telah melakukan syirik? Ini tuduhan yang berat!”

Seorang muslim perlu memahami dan mengetahui bahawa skop ibadat tidak hanya meliputi rukun Islam yang lima sahaja. Bahkan amalan ibadat merangkumi amalan lisan seperti syahadah dan zikir, amalan zahir seperti rukun Islam yang lain serta lain-lain amalan anggota seperti tolong menolong dan berpakaian, dan yang paling hebat dan agung ialah amalan hati. Contoh amalan hati ialah ikhlas, khusyu’, takut, berharap dan tawakal. Semua ini adalah ibadat yang menjadi hak Allah secara mutlak dan kita diharamkan menyekutukan Allah padanya.

Di manakah syiriknya?

Secara amnya orang yang memakai tasbih Kokka, cincin Kokka, atau apa-apa sahaja yang seumpamanya (dengan anggapan bahawa perkara-perkara tersebut mempunyai keupayaan tertentu: Nota penyunting) telah melakukan syirik dalam tawakal. Tawakal bermaksud pergantungan kepada Allah dengan melakukan sebab yang menyampaikan kepada tujuan. Allahlah satu-satunya yang mampu memberi manfaat dan menolak bencana, bukannya kayu atau tangkal atau sebarang jampi serapah yang menyalahi syara’ dan sunnah Rasulullah SAW.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tirmizi Rasullullah SAW bersabda, maksudnya: (Barangsiapa menggantungkan sesuatu [dengan tujuan berlindung daripada bencana atau memohon manfaat] maka pergantungannya adalah pada benda itu). [lihat Sunan Tarmizi (no 2072)]

Dalam hadith yang lain baginda telah bersabda, maksudnya: (Barangsiapa yang mengenakan tangkal, sesungguhnya ia telah melakukan syirik.). [lihat Musnad Imam Ahmad (4/154)]

Syirik yang dilakukan oleh pengguna Kokka, tangkal dan seumpamanya ada beberapa peringkat. Ia bergantung pada sejauh mana pergantungan pemakai terhadap benda-benda ini.

Peringkat pertama.

Sekiranya dia beri’tiqad bahawa benda-benda ini mempunyai kuasa yang mampu memberi manfaat atau menolak bencana dengan sendirinya maka dia telah terjerumus ke jurang syirik besar yang membatalkan iman dan syahadah. Perbuatannya juga telah membatalkan seluruh amalan baik yang telah dilakukan. Ini kerana ia telah bertawakal pada yang lain selain daripada Allah. Lebih teruk daripada itu ia bertawakal pada benda yang langsung tidak mampu memberi manfaat padanya maupun menolak sebarang bencana baik secara logik akal apatah lagi di sisi syarak yang telah menafikannya dari awal lagi.

Peringkat kedua.

Sekiranya dia beri’tiqad bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat dan menolak bala bencana, namun dia menggunakan benda-benda ini sebagai sebab atau alat untuk mandatangkan manfaat daripada Allah dan menolak bala -sebagaimana orang sakit memakan ubat sebagai penyebab untuk sembuh atau pemburu menggunakan senapang untuk membunuh-, sesungguhnya dia telah tergelincir ke dalam lembah syirik kecil. Yang demikian kerana dia telah mereka-reka perkara dalam agama yang tidak diizinkan oleh Allah di samping mendakwa bahawa Allah menyukai perkara yang ia lakukan. [lihat: Fath al-Majid (m.s 104)]

Terdapat perbezaan antara Kokka dan seumpamanya dengan ubat dan senapang. Ubat dan senapang sebab dan akibatnya adalah zahir, sementara Kokka sebab dan akibatnya tidak zahir. Kalau seseorang berkata, “Bawalah senapang ini. Musuh akan takut.” Kata-katanya diterima akal. Inilah maksud zahir. Lantas ianya dibenarkan. Namun kalau disebut, “Jika anda membawa tasbih ini musuh akan takut,” orang yang berkata tadi mestilah membawa dalil yang lain bagi menyokong dakwaannya kerana sebabnya tidak zahir.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husoin bahawasanya Rasulullah SAW terlihat seorang lelaki yang mengenakan kalung dari besi kuning di tangannya. Lalu baginda bertanya, (Apakah ini?) Lelaki itu menjawab, “Penangkal Wahinah” [sejenis penyakit pada lengan] Baginda lantas bersabda, (Tanggalkannya! Sesungguhnya ia takkan menambahkan apa-apa kepada kamu melainkan kelemahan. Sesungguhnya sekiranya kamu mati dan kamu masih memakainya nescaya kamu tidak akan selamat selama-lamanya.) Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang hasan. [lihat Musnad Imam Ahmad (4/445)]

Syirik yang kecil tidak bererti dosa yang kecil. Bahkan sebesar-besar dosa selepas syirik yang besar adalah syirik kecil kerana ia boleh membawa kepada syirik yang besar.

Kafarah bagi orang yang melakukan syirik yang kecil ialah dengan bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat sahajalah yang mampu menyucikan dosa syirik. Kendatipun telah melakukan syirik, pelaku syirik yang kecil tidak akan kekal di dalam neraka. Setelah dosanya dibersihkan dengan azab dan seksa yang maha pedih, dia akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.

Berhubung dengan pemakaian kayu Kokka atau seumpamanya dengan tujuan saja-saja seperti melawa atau seumpamanya, perkara ini mesti ditinggalkan. Ini kerana ia merupakan perbuatan ahli bid’ah dan kita dilarang dari menyerupai mereka kerana peniruan gaya hidup menunjukkan keredhaan dan kesukaan kita pada perkara tersebut. Apatah lagi para pelajar agama dan para Hujaj (Haji dan Hajah) yang menjadi teladan di tanah air.

Dalam sebuah hadith daripada Ruwaife’ bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya, Maksudnya: (Wahai Ruwaife’, engkau mungkin akan hidup lama. Khabarkanlah kepada sekelian orang bahawasanya barangsiapa yang mengikat janggutnya atau menggantungkan tali panah pada haiwannya [untuk mengelak 'ain] atau beristinja’ dengan tahi binatang sesungguhnya Muhammad SAW berlepas diri daripadanya.). [lihat Musnad Imam Ahmad (4/108-109)]

Sebab larangan mengikat janggut adalah kerana ia perbuatan ahli majusi. Ianya merupakan simbol serta gaya hidup mereka dan kini ia dipopularkan oleh trend muzik global seperti hiphop dan alternatif. Rasulullah SAW melarang dari meniru mereka dan berlepas diri daripada orang yang meniru mereka walaupun ia tidak memasuki agama majusi .[lihat Fath Majid (m.s 152)]

Contoh yang lain ialah serban. Hukum asal memakai serban adalah harus bahkan ada yang mengatakan sunnah. Namun jika ia dililit seperti lilitan penganut agama sikh hukumnya menjadi haram kerana menyamai perkara yang menjadi simbol mereka begitu juga jika dipakai seperti gaya kumpulan sufi penyembah kubur yang banyak di India. Ia adalah simbol ahli bid’ah yang tidak harus ditiru walaupun dengan tujuan saja-saja.

Menurut ulama, tiada suatu bid’ahpun yang dilakukan melainkan suatu sunnah (yang bertujuan seumpama bid’ah tadi) telah dimatikan.

Tanyakanlah pemakai kayu kokka, adakah dia mengamalkan zikir pagi dan petang seperti sunnah Nabi SAW sebagai pelindung untuk setiap hari? Adakah dia tahu doa yang Nabi SAW baca untuk melindungi cucu baginda SAW Hasan dan Husin dari terkena ‘ain dan syaitan ataupun dia menggolekkan butir kokka pada dahi anaknya sahaja? Adakah dia mengamalkan doa sebelum tidur yang boleh menjauhkannya dari sihir ataupun dia hanya meletakkan butir Kokka di bawah bantal? Lihatlah sunnah Nabi SAW yang ditinggalkan akibat bid’ah Kokka!

Untuk bersikap insaf saya akui kemungkinan Kokka mengandungi zat dan khasiat perubatan (meskipun belum pernah dikemukakan secara klinikal) untuk mengubati sesetengah penyakit. Mungkin!! Namun pegangan karut seperti penangkal, pelemah musuh, anak menangis, penghalau hantu dan sihir amatlah tidak dapat diterima.

Akhir kata saya memohon taufik daripada Allah Taala buat kita semua, moga-moga kita akan selamat dari fitnah dan ujian-Nya.

Ingatlah, tawakal atau pergantungan adalah bentuk ibadat yang sangat hebat dan tinggi darjatnya. Allah berjanji akan memasukkan hamba-Nya yang benar dalam tawakalnya kepada Allah ke dalam syurga tanpa perlu dihisab apatah lagi diazab. Wa Allahu a`lam.

Oleh: Abu Abd Rahman Al Madini. (Musim Haji Tahun 1426H)

About the Author

Tiada Komen