TERBARU
Home / Artikel - Makalah / Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah

بسم الله الرحمن الرحيم

Kelihatan pelbagai iklan peraduan atau pesta memancing yang menjanjikan hadiah  lumayan, diletakkan ditepi jalan, kita tidak tahu apakah pihak penganjur telah merujuk kepada pejabat Agama di tempat masing-masing sebelum menganjurkan pesta tersebut? Untuk membantu umat Islam memahami isu ini, ana petik di sini Garis Panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM, agar umat Islam mendapat ilmu dan maklumat tentang perkara ini;

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

1-TUJUAN

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah ini disediakan untuk memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran sama ada agensi- agensi kerajaan dan swasta, syarikat-syarikat telekomunikasi, media cetak dan elektronik, pengendali konsep peraduan, penaja, orang awam serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam peraduan tersebut.

2- PENDAHULUAN

2.1  Dengan kemajuan arus perdana, urusniaga jual beli telah mula diperluaskan dengan pelbagai teknologi moden termasuklah melalui SMS. Bukan sekadar itu, promosi produk jualan juga semakin berkembang pesat melalui instrumen semasa termasuk penganjuran peraduan kontemporari oleh pelbagai pihak telah menjadi begitu popular dan semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

2.2  Namun begitu, penganjuran peraduan kontemporari ini yang kebiasaannya menawarkan hadiah contohnya peraduan melalui SMS telah menimbulkan pelbagai polemik dan persoalan khususnya daripada aspek hukum syarak. Justeru garis panduan ini diterbitkan untuk merungkai segala permasalahan dan kekeliruan sekaligus memastikan seluruh penganjuran peraduan berasaskan hadiah bertepatan dengan prinsip muamalat Islam yang berasaskan kepada aspek ketelusan dan keadilan.

2.3  Garis Panduan ini adalah berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Syariah, JAKIM.

3- KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64 yang bersidang pada 27 Julai 2004 telah memutuskan;

Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Dari itu, hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak”.

4- KRITERIA- KRITERIA YANG MESTI DIELAKKAN DALAM PENGANJURAN PERADUAN BERASASKAN HADIAH

4.1.1  Eksploitasi

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “eksploitasi” bermaksud suatu perbuatan atau tindakan mempergunakan sesuatu (orang dll) untuk kepentingan (keuntungan dsb) diri sendiri. (Kamus Dewan)

Eksploitasi bermaksud menuntut (meminta) hasil daripada sesuatu yang dimiliki oleh pemilik. (Mausuah Fiqhiyyah)

Eksploitasi juga bermaksud use selfishly and unfairly for one’s own advantage or profit. (Oxford Dictionary)

Dalam konteks peraduan, peserta mengharapkan hadiah lumayan yang ditawarkan manakala pihak penganjur mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu dan mengaut keuntungan di atas keghairahan orang ramai yang menyertainya. Perbuatan tersebut adalah suatu bentuk eksploitasi yang tidak diharuskan oleh Islam.

4.1.2  Kesamaran.

Dalam konteks peraduan yang menawarkan hadiah juga, maksud “kesamaran” adalah sesuatu perkara yang kurang jelas keadaannya. (Kamus Dewan)

Kesamaran juga telah ditakrifkan sebagai bahaya, tipu helah dan mendedahkan diri kepada kebinasaan diri dan juga hartanya. al- Jurjani pula telah mentakrifkan kesamaran sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya samada berlaku atau sebaliknya. (Mausu’ah Fiqhiyyah)

Kesamaran juga dimaksudkan dengan look or sound different from normal; give false appearance. (Oxford Dictionary) Dr. Yusof al-Qardhawi menjelaskan tentang pendirian Islam terhadap perbuatan yang samar- samar atau syubhah. Beliau menyatakan bahawa Islam memberikan satu garis panduan yang disebut sebagai sikap berhati-hati kerana takut terlibat dalam perbuatan haram. Melalui sifat ini seseorang Islam dituntut supaya menjauhkan diri daripada sesuatu masalah yang masih samar-samar, sehingga dengan cara tersebut dia tidak melakukan suatu perbuatan yang haram.

Perbuatan seperti ini termasuk dalam perkara sadduz zara’i’ (menutup pintu daripada melakukan kejahatan). Perkara tersebut juga merupakan salah satu pendidikan untuk orang Islam memandang lebih jauh serta menyelidik terhadap hidup dan manusia itu sendiri. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat), banyak orang yang tidak tahu; apakah dia termasuk dalam perkara yang halal ataukah yang haram? Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir dia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan.”

(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tarmizi dan riwayat ini adalah lafaz al-Tarmizi) (Dr. Yusof al-Qardhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal 37)

Dalam konteks peraduan kontemporari ini, penganjur mengenakan caj bayaran dalam pelbagai istilah seperti wang pertaruhan, wang penyertaan, yuran pertandingan dan sebagainya.

Penganjur juga menyediakan syarat peraduan yang kurang telus, serta mengelirukan. Ini menyebabkan peserta bergantung kepada nasib di samping menyimpan angan-angan untuk memperolehi hadiah yang lumayan. Kesamaran yang berlaku dalam peraduan seumpama ini boleh menyebabkan orang ramai terlibat dalam perbuatan perjudian tanpa mereka sedari.

4.1.3  Pertaruhan

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “pertaruhan” bermaksud wang dan lain-lain yang dipasang dalam perjudian. (Kamus Dewan)

Pertaruhan juga bermaksud money etc risked or gambled on the unknown result of a future event. (Oxford Dictionary)

Judi daripada sudut bahasa bermaksud pertaruhan yang menggunakan anak panah. Ibn Hajar al- Makki telah mentakrifkan perjudian sebagai al- qimar dalam apa jua bentuk. Manakala al- Muhalli telah menjelaskan bahawa bentuk perjudian ialah sesuatu yang diragukan samada untung atau rugi. (Mausuah Fiqhiyyah)

Peraduan kontemporari contohnya melalui SMS adalah suatu permainan yang melalaikan dan boleh dikategorikan dalam permainan al-nardu (buah dadu -permainan tradisi masyarakat Arab yang mengandungi perjudian dan pertaruhan).

Menurut Dr. Yusof al-Qardhawi (Fatawa al-Mu’asarah jilid 7, hal 465 dan 466) para fuqaha mengharamkan permainan ini berdasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis serta bentuk permainan tersebut yang mengandungi unsur judi yang diharamkan. Mereka merujuk kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [Surah al-Ma`idah ayat 90]

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa yang bermain permainan al-Nardu (perjudian) sesungguhnya ia telah melakukan maksiat kepada Allah dan rasul-Nya”. [Riwayat Abu Daud]

Dalam konteks peraduan, unsur perjudian yang terdapat di dalamnya adalah kerana ia mengandungi unsur pertaruhan, setiap peserta akan dikenakan caj bayaran melalui pelbagai istilah yang mengabui mata peserta sebagai syarat untuk menyertai peraduan tersebut.Bayaran inilah yang dinamakan pertaruhan.

4.1.4  Nasib

“Nasib” bermaksud melakukan sesuatu dengan harapan untuk mendapat keuntungan; bertaruh (Kamus Dewan).

Nasib juga bermaksud chance, esp though of as force that bring good or bad fortune (Oxford Dictionary)

Perbuatan peserta yang membayar caj peraduan dengan harapan mendapat keuntungan atau habuan hadiah ketika menyertai sebarang peraduan yang dianjurkan perbagai pihak adalah tidak diharuskan oleh Islam. Ia sama dengan perbuatan mempertaruhkan wang lalu bergantung harapan kepada nasib untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak.

Perbuatan bergantung kepada nasib ini bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

‘Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ [Surah al-Ma`idah ayat 90]

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ada segelintir penganjur peraduan meletakkan kaedah penentuan pemenang melalui kriteria peserta yang berjaya menjawab soalan dengan tepat dan paling pantas. Kaedah pemilihan pemenang seumpama ini adalah tidak patuh syariah kerana peserta yang menjawab soalan dengan tepat masih tidak ada jaminan untuk dipilih sebagai pemenang kerana terpaksa bergantung kepada nasib semata- mata untuk menjadi peserta yang terpantas menjawab soalan.

4.1.5  Pembaziran

“Pembaziran” bermaksud perbuatan membazirkan (wang, masa tenaga dsb) (Kamus Dewan).

Perbaziran juga dapatlah diertikan sebagai membahagikan harta di luar tujuan. Sesetengah ahli feqah telah mentakrifkan pembaziran sebagai tiada ihsan dalam pengurusan harta, membelanjakan harta bukan pada tempat yang tidak sepatutnya, membelanjakan harta pada arah kebaikan bukanlah bermaksud pembaziran dan membelanjakan harta dalam urusan makanan tidak termasuk di dalam hal (kategori) pembaziran. (Mausu’ah Fiqhiyyah)

Pembaziran juga dimaksudkan dengan not thinking of the consequences or of danger; rash or impulsive. (Oxford Dictionary)

Islam melarang umatnya melakukan perbuatan mensia-siakan harta atau wang pada tempat yang tidak wajar dan tidak diharuskan oleh Allah S.W.T.. Ini bermakna walaupun sedikit yang kita belanjakan jika bukan pada tempat yang wajar, maka ia tetap dikira sebagai membazir. Tidaklah semestinya banyak atau sedikit semata-mata yang menjadi ukuran kepada perkiraan membazir atau tidaknya dalam sesuatu perbelanjaan. Perbuatan membazir sangat dilarang dalam Islam malah ia dianggap bukan daripada perbuatan seorang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.” [Surah al-Nisaa’ ayat 26-27]

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ramai peserta menghabiskan wang mereka semata-mata untuk meraih hadiah yang ditawarkan. Walau bagaimanapun sebilangan kecil sahaja peserta yang akan memperolehi hadiah, manakala sebahagian besar lagi akan mengalami kerugian serta kehilangan wang dalam pertaruhan. Mereka telah membazirkan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang belum pasti diperolehi.

5- PANDUAN KEPADA PESERTA

5.1 Sebelum menyertai sebarang peraduan yang berasaskan hadiah, peserta haruslah meneliti dan memahami perkara-perkara berikut:

i) Bentuk dan operasi peraduan.

ii) Terma dan syarat peraduan dengan jelas.

iii) Memastikan peraduan yang disertai tidak mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum syarak seperti perjudian, pembaziran, eksploitasi, keraguan dan kerugian kepada peserta.

iv) Memastikan caj yang dikenakan terhadap mereka sama seperti caj biasa sebelum peraduan berlangsung jika peraduan tersebut dianjurkan melibatkan perbualan telefon dan kaedah SMS.

v) Peraduan yang disertai bermanfaat dan tidak mengandungi unsur hiburan yang melampau, aktiviti yang melalaikan dan seumpamanya.

vi) Peserta hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa yang berautoriti sekiranya terdapat keraguan mengenai sesuatu peraduan terutamanya daripada sudut hukum syarak dan perundangan negara.

vii) Peserta dinasihatkan agar tidak terlalu taksub dan fanatik kepada sesuatu peraduan yang disertai sehingga meninggalkan tugasan wajib.

6- PANDUAN KEPADA PENGANJUR

6.1  YURAN PENDAFTARAN DAN CAJ TAMBAHAN

i) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.

ii) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.

iii) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan SMS daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

6.2  TERMA DAN SYARAT PERADUAN YANG JELAS

i) Penganjur mestilah menyatakan tujuan, syarat- syarat penyertaan, ganjaran hadiah, kaedah pemilihan pemenang, tempoh masa dan seumpamanya dengan tepat, jelas dan terperinci di dalam terma dan syarat peraduan.

ii) Sekiranya peraduan tersebut melibatkan penjualan produk dan seumpamanya maka perkara tersebut perlu diperincikan dengan jelas di dalam terma dan syarat.

iii) Terma dan syarat juga mestilah adil, tidak mengandungi unsur penipuan ataupun helah, serta tidak berat sebelah samada di pihak penganjur mahupun pelanggan dan mestilah tidak bercanggah dengan syarak.

iv) Terma dan syarat mestilah dapat diakses sepenuhnya oleh pelanggan dengan jelas samada melalui iklan di media cetak, media elektronik atau seumpamanya.

v) Terma dan syarat mestilah jelas, mudah difahami serta tidak mengelirukan masyarakat awam.

6.3  PROMOSI DAN IKLAN

i) Maklumat penting di dalam terma dan syarat iaitu syarat- syarat penyertaan, bentuk operasi peraduan, ganjaran hadiah, syarat-syarat pemenang dan seumpamanya mestilah dinyatakan sepenuhnya dengan jelas, mudah difahami oleh masyarakat awam.

ii) Jika peraduan tersebut melibatkan sebarang penjualan barangan atau produk, promosi penjualan barangan atau produk tersebut mestilah lebih difokuskan berbanding promosi peraduan.

iii) Iklan-iklan dan promosi di dalam media cetak dan elektronik mestilah;

a) menggambarkan sepenuhnya promosi peraduan tersebut;

b) tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi seperti mengeksploitasikan wanita dan seumpamanya sebagai satu daya tarikan; dan

c) tidak mengandungi unsur-unsur provokasi, paksaan serta mengelirukan peserta.

6.4  SISTEM PERADUAN YANG JELAS

6.4.1  Matlamat Peraduan

i) Peraduan yang dianjurkan mestilah mempunyai matlamat yang bermanfaat, membina daya intelektual, memupuk sikap positif dan seumpamanya.

ii) Tidak dijadikan sebagai helah untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

iii) Tidak melalaikan sehingga menyebabkan peserta meninggalkan kewajipan seharian.

6.4.2  Bentuk Soalan Peraduan

i) Soalan- soalan peraduan mestilah;

a) bermanfaat, ilmiah dan benar- benar menguji kepintaran;

b) tidak tertumpu kepada perkara- perkara yang tidak membina minda serta melalaikan;

c) tidak mengelirukan; dan

d) tidak bercanggah dengan syariat Islam

6.4.3  Kaedah Pemilihan Pemenang

i) Setiap penyertaan peserta mestilah disemak dan dihakimi dengan adil, telus, amanah dan tidak berat sebelah.

ii) Pemenang peraduan tidak boleh ditentukan dengan kaedah cabutan rambang (lucky draw) yang bersandarkan kepada faktor nasib sahaja contohnya sistem pemilihan pemenang hanya ditentukan melalui kaedah cabutan sahaja tanpa disemak keseluruhan borang jawapan peraduan yang diserahkan peserta terlebih dahulu.

iii) Jika sekiranya terdapat lebih daripada satu penyertaan yang menjawab semua soalan objektif dengan betul dan mempunyai markah/ mata yang sama, maka peserta hendaklah diberi soalan subjektif contohnya menulis cogankata dan seumpamanya. Hakim mestilah mengadili soalan subjektif tersebut dengan adil sebelum menentukan pemenang peraduan.

6.4.4  Tempoh Masa Peraduan

i) Jika peraduan tersebut mempunyai sesuatu tempoh had masa penganjuran dan menjawab soalan, maka ia perlulah dimaklumkan kepada peserta sebelum peraduan bermula.

6.5 GANJARAN/ HADIAH

i) Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.

ii) Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta samada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.

iii) Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang di kenakan untuk sms dan seumpamanya.

iv) Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.

v) Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.

vi) Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas.

7- KESIMPULAN

Garis Panduan yang diterbitkan ini adalah diharap dapat memberikan panduan kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran. Semoga usaha ini dapat memastikan keseluruhan operasi peraduan mematuhi prinsip- prinsip syariah.

Rujukan:

1. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 3, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

2. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 4, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

3. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 31, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

4. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 39, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

5. Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Dr.Yusof al-Qardhawi, cetakan ke-15, 1994, al-Maktab al-Islami, Beirut

6. Fatawa Mu’asarah, Dr. Yusof al-Qardhawi, jilid 2, 1991Dar Ula al-Nah, Beirut.

7. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Kuala Lumpur.

8. Oxford Dictionary Advanced Learner’s, A.S Hornby, Fourth Edition,1989, Oxford University Press.

[Sumber: http://www.islam.gov.my/garis-panduan-peraduan-berasaskan-hadiah]

Akhukum,

Abu Anas Madani. 28 April 2011.

 

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...